MALAYSIAKINI
Seorang MP DAP, Lim Lip Eng mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak hanya cuba meraih publisiti dengan melakukan tinjauan ke atas
kumpulan gelandangan di Kuala Lumpur tanpa memberi apa-apa kebaikan
kepada golongan itu.
“Kunjungan
perdana menteri (pada hari Rabu) tidak memberi apa-apa kebaikan nyata
tetapi hanya untuk meraih publisiti bagi meningkatkan imej partinya yang
tercalar,” kata Lim (kanan) dalam satu kenyataan semalam.
MP Segambut itu mendakwa Najib tidak mengetahui apa yang dilakukan dan hanya membuat kunjungan semata-mata.
“Saya hairan kerana tujuan kunjungan perdana menteri itu hanya untuk
melihat kehidupan mereka dan membiarkannya tanpa membuat apa-apa... Apa
nasib yang akan menimpa (golongan gelandangan) selepas tamat
pemeriksaannya?,” soalnya.
Beliau mendakwa Najib tidak membuat apa-apa tindakan dalam membantu
golongan tersebut walau telah berjanji untuk berbuat demikian sejak
beberapa tahun lalu.
“Perdana menteri dan BN tidak banyak berusaha untuk mengurangkan beban
golongan gelandangan, selain membuat pengumuman untuk membuat itu dan
ini,” katanya lagi.
Najib dalam kunjungannya
itu turut memberitahu pemberita bahawa kerajaan akan menubuhkan tempat
khas untuk menempatkan golongan gelandangan di ibu kota, dijangka siap
dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Ia tidak patut lama... dalam enam bulan akan siap," kata perdana
menteri kepada pemberita selepas melakukan tinjauan secara mengejut
aktiviti dapur jalanan di sekitar Jalan Tun Perak pada Rabu malam.
Kunjungan
mengejut itu dilakukannya selepas timbul bantahan ke atas keputusan
Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menghalang operasi dapur umum,
yang memberi makanan percuma kepada golongan miskin, dari terus
beroperasi di pusat bandar.
Kunjungan itu dibuat sehari selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan
Eng membuat tinjauan sama ke atas satu operasi dapur umum di negeri
tersebut.
Lim menitiskan air mata kerana sedih melihat keadaan golongan tersebut dalam kunjungan yang mendapat liputan meluas itu.
No comments:
Post a Comment