Sunday, January 31, 2010
Azan Akui Ada Tawaran Untuk Lompat Parti
Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat.
Bercakap kepada TV Selangor selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR Pusat tengahari tadi, Azan berkata beliau komited kepada agenda PKR dan Pakatan Rakyat.
Beliau berkata demikian mengulas desas-desus beliau akan keluar parti.
Azan bagaimanapun akui ada cubaan untuk memancingnya melompat parti dengan pelbagai tawaran dan desakan diterimanya.
“Cubaan mereka berhenti setakat itu kerana mereka sudah tahu saya tidak berminat dan saya tetap bersama PKR dan PR.
“Pendirian itu saya rasa tindakan mereka terdorong apabila mereka melihat saya membuat sidang akhbar baru-baru ini,” katanya.
JELI: Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang pendiriannya bertentangan dengan kerajaan pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata hanya Majlis Tertinggi Umno yang boleh membuat keputusan dalam soal itu.
"Ianya bukan bidang kuasa Umno Kelantan, hanya Majlis Tertinggi parti boleh tentukan dan putuskan tindakan ke atas Tengku Razaleigh," katanya selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Batu Melintang, di sini hari ini.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Umno Kelantan boleh mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh berikutan kenyataannya pada Khamis lalu yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukannya wang ihsan.
Berikutan itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh itu.
Mustapa, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pendirian Tengku Razaleigh itu.
Sementara itu, pada majlis perjumpaan khas dengan Umno Bahagian Pasir Puteh di PASIR PUTEH malam tadi, Mustapa berkata, Badan Perhubungan Umno Kelantan akan menemui Perdana Menteri untuk berbincang dan mencadangkan projek-projek yang akan dilaksanakan di bawah pemberian wang ihsan kepada rakyat Kelantan.
Beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri.
"Apabila tarikh diperolehi satu rombongan akan menemui Perdana Menteri yang turut disertai ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.
Mustapa, baru-baru ini mengumumkan kerajaan pusat akan menyalurkan RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan bagi menggantikan royalti minyak dan jumlah itu adalah lima peratus daripada hasil perolehan gas dan petroleum di perairan Kelantan pada 2008. - Bernama
Skandal Keretapi Negeri Sabah?
JABATAN Audit Negara Malaysia (AUDIT) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran menjalankan pemeriksaan rapi terhadap Projek Menaik taraf Landasan Keretapi daripada Tanjung Aru Ke Tenom kerana terlewat daripada jadual dan dikhuatiri berlaku rasuah.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zainuddin Hassan memaklumkan perkara ini kepada Sabahkini.net setelah menjalankan penyiasatan sejak sebulan lalu.
“Laporan akhbar tempatan baru-baru ini mengatakan progress 93%. Bohong! Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Jika kita ikut keretapi dari Beaufort ke Tenom, landasannya tidak dinaiktaraf sejak dari mulanya projek berjalan,” kata Zainuddin yang menegaskan projek bernilai RM300 juta hanya untuk memenuhi kocek pemimpin tertentu dan bukannya untuk rakyat Sabah.
Zainuddin mendedahkan bahawa kontraktor telah dibayar 93% daripada jumlah kontrak, manakala kemajuan kerja tidakpun mencecah 60% sewajarnya dikenakan denda kerana tambahan masa yang diberikan telah berakhir Oktober 2009.
“Yang nyata, Kontraktor ini telah dibayar melebihi kerja tanpa kelulusan Juruperunding. Pembayaran dibuat hanya dengan tandatangan Abd Rahman Din (Wakil KTMB) dan Datuk KSU MOT yang baru saja bersara,” ujar Zainuddin yang kesal kerana sistem akauntabiliti kerajaan begitu lemah.
Kata Zainuddin, projek ini yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dan diselia oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah gagal menyediakan satu projek yang dapat memberi nafas baru kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah.
Projek ini tegas Zainuddin tidak langsung memberi keselesaan kepada rakyat dan gagal meningkatkan program pelancongan dalam negeri.
Projek sepanjang 134 kilometer berkenaan kata Zainuddin terbahagi kepada dua sektor iaitu Tanjung Aru ke Kimanis yang dilaksanakan oleh Suria Capital Holding Berhad dan Sektor kedua daripada Kimanis ke Tenom yang dilaksanakan Hikmat Asia Sdn Bhd.
Projek yang tergendala sejak empat tahun lalu kata Zainuddin telah menyebabkan kesengsaraan kepada penduduk yang tinggal di pedalaman seperti Pangi, Rayoh dan Tenom yang tidak mempunyai sistem perhubungan jalanraya.
“Amat malang sekali kerana Kementerian Pengangkutan telah melantik seorang Pegawai Penyelia daripada KTMB yang hanya berminat untuk membayar kontraktor daripada melihat kemajuan projek secara terperinci,” ujar Zainuddin yang mendedahkan bahawa Kementerian Pengangkutan juga lebih berminat untuk member tambahan nilai kontrak tanpa menilai sama ada kontraktor ini mampu melaksanakannya.
Tegas Zainuddin, Projek Port Klang Free Zone (PKFZ) yang bermasalah juga di bawah kementerian sama dan bimbang skandal sama juga akan berlaku di Sabah jika tidak dibendung.
“Kita semua akan rugi. Saya secara langsung telah memantau kemajuan projek ini tetapi kesal ianya tidak akan terlaksana dengan secara betul, sekalipun dengan teguran Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri,” ujar Zainuddin yang akan mendedahkan bukti sedikit masa lagi.
Dalam lawatan rasminya ke projek berkenaan baru-baru ini, Rahim mendedahkan penggunaan dana bagi projek itu mencapai 90 % namun meminta pihak yang melaksanakan projek berkenaan agar segera menyiapkannya.
“Projek itu diserahkan kepada dua syarikat kontraktor sejak 2005 namun belum juga siap kerana beberapa masalah. Lawatan ini turut bertujuan meninjau punca kelewatan projek dan saya mendengar pelbagai alasan seperti utiliti membabitkan tiang elektrik, laluan telefon dan air,” kata Rahim yang tidak menolak kemungkinan berpunca daripada isu peruntukan dan berjanji akan menyelesaikannya dalam kadar segera.
Katanya, wujud keperluan mendesak bagi meningkatkan sistem kereta api di Sabah kerana selain memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, ia juga berupaya merancakkan ekonomi terutama sektor pelancongan.
Anwar hadir perbicaraan Selasa ini
KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Jalan Duta pada 2 Februari (Selasa) ini, jam 8.30 pagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh didakwa di bawah seksyen 377B Kanun Jenayah.
Menurut kenyataan Biro Komunikasi PKR, pendakwaan itu sebagaimana kes tahun 1998 lalu, menerima bantahan meluas baik dari dalam mahupun luar negara kerana didasari motif politik untuk menghalang kemaraan rakyat menuntut perubahan.
Anwar dilihat antara tokoh utama yang menggembleng hasrat rakyat, baik pada tahun 1998 mahupun pada pasca Pilihan raya Umum 2008.
Keputusan rasmi PRK UKM esok hasil bantahan Pro-M
KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya kampus (PRK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih belum rasmi ekoran bantahan yang dibuat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM).
Pimpinan GMUKM Jumaat lalu, secara aman menghantar surat rayuan beserta duit bantahan kepada pihak pentadbiran universiti kerana mendakwa berlaku penyelewengan yang sangat ketara ketika proses PRK kali ini.
Dakwaan ini termasuk jumlah undi yang diumumkan oleh setiap pengetua kolej tidak sama dengan keputusan rasmi yang dikeluarkan dari pusat penjumlahan undi.
Malah, sepanjang proses pilihanraya kampus ini dijalankan, telah berlakunya 'double standard' pihak universiti terhadap Pro Mahasiwa (Pro-M) untuk berkempen.
Ekoran bantahan itu, pihak pentadbiran melanjutkan tempoh 48 jam yang diberikan GMUKM sehingga esok untuk mengumumkan keputusan rasmi.
Pihak pengurus pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) juga bersetuju untuk bersidang bersama-sama pengetua kolej dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) esok sebelum mengumumkan keputusan rasmi.
Namun GMUKM mempertikai keperluan JAKSA menyertai sidang berkenaan sedangkan mereka tidak terlibat dalam menguruskan pemilihan tersebut.
Turut dikesalkan GMUKM mengenai tindakan pihak pentadbiran yang sengaja melewatkan prosedur rayuan dan tidak membenarkan pimpinan GMUKM untuk berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor (TNC) bagi menyelesaikan kes ini secara aman.
Sehubungan itu, GMUKM berharap persidangan itu menemui satu penyelesaian yang adil terhadap Pro-M.
Jumaat lalu, GMUKM selepas solat Jumaat mengadakan sesi penerangan kepada masyarakat kampus mengenai situasi PRK kali ini secara aman. Namun, apa yang dikesalkan mereka tindakan pihak pentadbiran memanggil polis beserta Pasukan Polis Persekutuan (FRU) yang dilihat sengaja menimbulkan suasana tegang dan menakut-nakutkan mahasiswa.
Dilaporkan pihak FRU telah bersedia di luar masjid UKM semasa solat Jumaat. Mereka juga melakukan kekasaran dengan merempuh dan mencederakan mahasiswa yang sedang memberikan penerangan.
Dua mahasiswa ditangkap sewaktu sesi penerangan itu namun dilepaskan 30 minit kemudian dan diarahkan ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang petang itu untuk memberikan keterangan.
PRK Khamis lalu menyaksikan Pro-M tewas di tangan Pro-Aspirasi. Mereka mendapat 15 kerusi berbanding 19 yang dimenangi pro-A manakala bebas mendapat 1 kerusi. Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi.
Exco Pemuda Umno desak Khairy letak jawatan
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno malam kelmarin kecoh ekoran terdapat desakan supaya ketuanya, Khairy Jamaluddin berundur untuk menyelamatkan pergerakan itu. Harakahdaily difahamkan, punca utama desakan beberapa anggota Exco pergerakan itu kerana Khairy dilihat gagal menterjemahkan hala tuju Pemuda Umno Malaysia selari dengan kepimpinan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Seorang Exconya, Mohd Hishamuddin Yahaya dilaporkan membentangkan beberapa bukti yang menunjukkan kepimpinan pergerakan yang diterajui Khairy itu tidak berminat untuk membantu parti dan kerajaan menarik sokongan sebaliknya mengugut agar diberi jawatan. Difahamkan, Hishamuddin mencadangkan dua usul sama ada Khairy meletakkan jawatan dan membenarkan Ketua Pemuda dipangku oleh Datuk Razali Ibrahim atau keseluruhan Exco meletakkan jawatan bagi membolehkan satu pemilihan baru dibuat secepat mungkin. Sungguhpun mendapat sokongan tetapi tiada undian atau keputusan dicapai tetapi difahamkan dua pertiga Exco Pemuda bersedia meletakkan jawatan untuk pemilihan semula pergerakan itu jika selari dengan kehendak perlembagaan parti. Mengikut Perkara 5.7 Perlembagaan Pergerakan Pemuda Umno, jika dua pertiga atau lebih bilangan Ahli-ahli Jawatankuasa Pemuda berhenti, maka jawatankuasa itu dianggap telah bubar dan Majlis Tertinggi bolehlah mengadakan Perhimpunan Khas Pemuda Umno Malaysia bagi menubuhkan semula Jawatankuasa Pemuda dan Majlis Tertinggi berkuasa menentukan tempoh perkhidmatan jawatankuasa yang baru dipilih itu. Selain isu kemelut yang melanda beberapa Pemuda Umno negeri yang gagal ditangani oleh Khairy, beliau juga dianggap gagal apabila kursus Perdana Pemuda di Janda Baik hujung tahun lalu hanya dihadiri tidak sampai separuh ketua-ketua pemuda bahagian. Kursus yang sepatutnya menjadi medan menunjukkan kekuatan kepimpinan Khairy untuk mendesak Perdana Menteri memberi jawatan kabinet akhirnya menjadi masalah besar kepadanya apabila hanya separuh jemputan sahaja yang hadir. Pada mesyuarat malam kelmarin juga, beberapa Exco Pemuda turut mempersoalkan kegagalan Khairy menjadi suara pemuda dan menggerakkan jentera pemuda dalam banyak isu nasional yang sepatutnya dipergunakan bagi mengenakan tekanan ke atas Pakatan Rakyat. Ada di kalangan mereka yang membangkitkan jika dahulu Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berjanji mengorbankan harta benda untuk pergerakan Pemuda jika menang, tetapi setelah menang lain pula alasannya. |
MPP PKR Bertemu Ahad Untuk Putuskan Tarikh Baru Pemilihan
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menentukan esok sama ada mereka akan menerima cadangan agar pemilihan di peringkat cabang (bahagian) dan pusat ditangguhkan sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan setiap ahli mengundi.
Mengikut jadual, pemilihan pucuk pimpinan baru PKR di kedua-dua peringkat itu sepatutnya berlangsung Mac dan April ini.
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan mengadakan mesyuarat khas esok dan adalah difahamkan salah satu daripada agenda mesyuarat adalah untuk membincangkan tarikh dan cadangan baru pemilihan kepimpinan cabang dan pusat.
Dengan pindaan ke atas perlembagaan PKR yang baru sahaja diluluskan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan, ini bermakna sejumlah 300,000 ahli PKR dari seluruh negara akan berpeluang memilih pemimpin peringkat pusat secara langsung.
Pindaan itu juga menambah jumlah naib presiden daripada lima orang kepada tujuh orang - empat daripada dipilih dan tiga lagi dilantik oleh kepimpinan pusat.
Isu Agama: Majlis Gereja Kecewa Pendirian Kerajaan
PETALING JAYA: Majlis Gereja Malaysia kecewa dengan pendirian terbaru kerajaan yang tidak bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Agama yang sebelum ini dianggap platform terbaik bagi membolehkan wakil agama berbincang menangani isu-isu yang berkaitan pada masa depan.
Presidennya, Rev. Dr Thomas Phillips berkata, pihaknya keliru dengan pendirian sebenar kerajaan berhubung isu persefahaman agama di negara ini.
"Sekarang kami sudah keliru dengan apa yang berlaku kerana sebelum ini kerajaan kata serius nak tubuhkan majlis berkenaan... tapi sekarang tak jadi nak tubuhkan pula," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Agama kerana dialog tertutup yang diadakan bagi menangani isu-isu sensitif termasuk penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly sudah memadai.
Muhyiddin berkata proses dialog adalah yang terbaik bagi mencari satu titik pertemuan, mewujudkan sifat saling hormat-menghormati serta memastikan tidak tercetus perasaan yang boleh membawa perkara kurang baik kepada negara.
Bagaimanapun laporan sebelum ini menyatakan kerajaan serius untuk memikirkan penubuhan majlis perundingan antara agama bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan agama.
Selain itu, Dr Thomas yang juga Pengerusi Majlis Perunding Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata, pihaknya tetap dengan pendirian bahawa majlis rundingan antara agama merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan isu-isu sensitif yang berkaitan.
"Majlis seperti ini adalah sangat penting kerana melaluinya semua wakil agama boleh duduk berbincang sekurang-kurangnya sebulan sekali.
"Apabila satu majlis khas dibentuk, ini bermakna setiap wakil agama mempunyai komitmen untuk disumbangkan kepada perpaduan agama di negara ini," katanya.
Jelas beliau, majlis dialog seperti yang disarankan oleh kerajaan tidak cukup untuk menangani isu yang berkaitan dengan hal ehwal agama.
"Dialog sahaja tidak cukup, kita hanya berdialog kalau ada isu... kalau tak ada, kita tak akan berjumpa.
"Melalui dialog sesuatu isu sukar untuk ditangai dengan segera, ia berbeza kalau kita ada majlis perundingan yang akan sentiasa berbincang dari semasa ke semasa," katanya.
Masa depan politik Liow dalam MCA berkubur?
|
Kini berakhirlah teka-teki bagi mereka yang menaruh harapan tinggi untuk melalui jalan ini bagi menyelesaikan krisis kepimpinan dalam MCA.
Alasannya mudah bila rancangan ini terbantut: tidak ramai anggota CC berminat untuk melepaskan jawatan masing-masing yang begitu penting.
Orang-orang dalaman parti percaya selama ini puak yang diketuai Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai tahu ia tidak akan mendapat banyak sokongan untuk memaksakan pemilihan baru, namun tetap meneruskan usaha untuk memberi gambaran seolah-olah ia mendapat sokongan luas akar umbi.
Petanda Liow tiada sokongan majoriti
Orang dalaman itu mengesani bahawa tanda pertama Liow dan 12 anggota lain CC tidak mendapat sokongan yang diperlukan ialah apabila mereka memutuskan mengubah Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA yang dipanggil oleh mereka pada 28 November tahun lalu kepada sesi taklimat.
MCA mempunyai kira-kira 2,400 perwakilan pusat dan satu pertiga bererti kira-kira 800 perwakilan.
Tanda kedua ialah bila puak itu bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa pemilihan semula parti diketuai timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi mengkaji kemungkinan mengadakan pemilihan baru.
"Dengan menyetujuinya, ini bererti anda sebenarnya tidak mempunyai bilangan yang cukup. Jika anda punya bilangan cukup, anda tidak akan bersetuju dengannya (jawatankuasa) dan tetap meneruskan EGM bagi membuka jalan mengadakan pemilihan baru dengan menerima beberapa usul tertentu," kata seorang daripada mereka.
Seorang daripada anggota CC yang enggan dinyatakan identitinya berkata semasa mesyuarat CC semalam, Liow terus berhujah bahawa parti itu perlu menetapkan tarikh bagi pemilihan baru.
"Hakikatnya ialah jawatankuasa pemilihan semula parti menyatakan tidak terdapat bilangan anggota CC yang cukup untuk meletak jawatan bagi membolehkan pemilihin baru," kata seorang lagi anggota CC.
Permainan angka MCA
Anggota CC ketiga, Eng Hiap Hon, berkata desakan untuk pemilihan baru telah berkurangan dengan puak Liow sewajarnya menerima keputusan jawatankuasa pemilihan semula yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini bahawa korum tidak mencukupi untuk mengadakan pemilihan baru.
"Ini merupakan permainan angka. Jika anda tidak mempunyai angka, anda tidak boleh mendapatnya, itu sahaja."
Pandangannya dikongsi oleh seorang lagi anggota CC, Datuk Ti Lian Ker, yang berkata bahawa pemilihan baru bukan lagi satu isu kerana para penyokong tidak berupaya untuk mendapatkan sokongan.
"Isu itu sekarang telah ditutup. Kita tidak boleh membenarkan parti untuk berdiam diri sepanjang masa sebagai pra syarat bagi pemilihan baru dipenuhi. Parti perlu terus bergerak," katanya.
Beliau berkata perpecahan itu timbul apabila seorang anggota CC, yang sebelum itu membuat kenyataan mendesak pemilihan baru diadakan, untuk keluar dari mesyuarat CC hari ini tidak menerima sokongan padu kerana hanya tiga daripada 13 puak itu meninggalkan mesyuarat.
Anggota veteran parti Datuk Yap Pian Hon berkata beliau percaya ada kemungkinan bahawa Liow akhirnya akan kembali dan menyokong kepimpinan parti selepas usahanya gagal untuk mendesak bagi pemilihan baru.
Yap berkata Ong selama ini berkata "pintunya sentiasa terbuka buat Liow".
Bagi kebanyakan pemimpin parti dan penganalisis politik, hasil yang paling signifikan daripada mesyuarat CC bukanlah semata-mata keputusan parti untuk tidak mengadakan pemilihan baru tetapi mengenai pelantikan setiausaha penganjur kebangsaan yang baru Simon Lim, yang juga setiausaha politik kepada Menteri Pengangkutan Ong dan Tee Siew Keong, bekas setiausaha politik Dr Chua sebagai timbalan setiausaha penganjur.
"Mesejnya amat jelas bahawa Ong mahu pemilihan presiden diadakan secara terus dan membuat perubahan yang perlu kepada perlembagaan parti.
Beliau meletakkan orang yang boleh dipercayainya memegang jawatan-jawatan utama bagi membolehkan cadangannya dilaksanakan. Kita boleh menjangkakan bahawa pemilihan parti tahun depan akan diadakan berdasarkan sistem baru ini," katanya.
Perbicaraan kes liwat Anwar Selasa ini?
Selasa ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya perbicaraan kes liwatnya
ditangguhkan, manakala pihak pendakwaan pula bersiap sedia untuk memulakan perbicaraan kes itu pada hari yang sama.
Sama ada perbicaraan yang telah beberapa kali tertangguh dan ditunggu-tunggu itu akhirnya akan bermula, bergantung kepada keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang terlebih dahulu akan mendengar permohonan Anwar bagi penangguhan tersebut.
Dalam permohonannya yang difailkan hanya lima hari lepas sebelum penetapan tarikh perbicaraan itu, Anwar berkata kes itu perlu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadapnya.
Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu.
Pada 1 Disember tahun lepas, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Anwar dan menetapkan sebulan dari 25 Januari bagi perbicaraan.
Namun perbicaraan itu ditangguhkan kepada 2 Februari oleh Mahkamah Persekutuan sementara menunggu keputusan sama ada membenarkan permohonan Anwar bagi pihak pendakwaan membekalkan dokumen kepadanya bagi membuat persediaan pembelaannya.
Jumaat lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Anwar.
Berikutan itu, Selasa ini tumpuan beralih semula ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 di Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Duta apabila Hakim Mohamad Zabidin mendengar permohonan Anwar untuk menangguhkan prosiding.
Sebelum ini, Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 1 Julai hingga 24 Julai 2009 untuk perbicaraan tetapi ditangguhkan selepas beberapa permohonan dikemukakan oleh Anwar yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan itu pada 7 Ogos 2008.
Ini ekoran laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantunya yang berumur 23 tahun, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa Anwar meliwatnya.
Penasihat PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang kini berusia 63 tahun, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan jam 4.30 petang 26 Jun 2008.
Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi pertuduhan liwat.
Pada 2000, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000, tetapi dibebaskan pada September 2004 selepas menghabiskan hampir enam tahun di penjara selepas Mahkamah Persekutuan menggugurkan sabitan dan mengenepikan hukuman penjara itu.
Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dituduh meliwat Azizan antara Januari dan Mac 1993 di apartmen Sukma di ibunegara.
Kali ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, ketika dihubungi, berkata pasukannya telah membuat persediaan rapi tanpa mengira sama ada perbicaraan itu diteruskan atau ditangguhkan.
Beliau akan dibantu lima Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin dan Shamsul Sulaiman.
Anwar juga telah menghimpunkan sekumpulan 13 peguam untuk membelanya.
Mereka ialah peguam bela utama Raja Aziz Addruse, Datuk Param Cumaraswamy, Karpal Singh, Datuk C V Prabakharan, S N Nair, Wan Anuar Shadat, R Sivarasa, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.
Sebulan putus tindakan terhadap Zulkifli, Zahrain
Jawatankuasa disiplin PKR menetapkan tempoh selama sebulan untuk meneliti tindakan yang akan diambil ke atas dua orang wakil rakyatnya - Zulkifli Noordin (Kulim) dan Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru).
Ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengulas tempoh yang panjang itu bagaimanapun berkata, ia tidak bermaksud parti itu tidak serius dalam menangani tindakan wakil berkenaan.
Jelasnya, PKR membantah tindakan Zahrain menyerang ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilihat sebagai satu perbuatan yang keterlaluan dan jawatankuasa disiplin telahpun mengadakan mesyuarat pertama bagi meneliti perkara itu.
"Kita dengar pandangan (dalam mesyuarat) supaya parti ambil tindakan keras dan segera.
"Tapi kita dalam PKR dan Pakatan Rakyat mesti tunduk kepada peraturan dan perlembagaan parti.
"Juga kita perlu beri peluang kepada orang itu untuk bela dirinya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya hari ini.
"Ada juga yang serang Datuk Seri Zaid Ibrahim kerana tidak tegas dan jawatankuasa disiplin juga sedang teliti kenyataan beliau," katanya lagi.
Anwar: JJ ketuai usaha Umno 'pikat' MP PKR
Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujudnya usaha Umno untuk 'memikat' beberapa ahli parlimen parti itu, termasuk ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Anwar berkata, usaha tersebut diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Seri Jamaludin Jarjis yang menghubungi Azan melalui telefon bimbit.
"(Usaha ini) daripada Jamaludin Jarjis mewakili Umno untuk beli ahli-ahli parlimen kita.
"Ini tindakan yang korup dan rakus. Tapi kerana beliau tidak layan, jumlah berapa juta (yang ingin ditawarkan itu) tidak disebut," katanya lagi.
Anwar yang juga ketua pembangkang memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya hari ini.
Ditemui Malaysiakini selepas itu, Azan berkata beliau tidak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menganggap pelawaan itu dibuat atas dasar "kawan baik."
Orang Islam Jangan “Jahil Ugama”
MARANG – Orang Islam mestilah beristiqamah, bertindak betul dan tidak melampau dalam menghadapi pelbagai isu yang sedang berlaku dalam negara masakini.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika diminta mengulas isu-isu sensitif yang berlaku mutakhir ini seperti isu ‘kepala babi’ di perkarangan masjid, membakar surau dan membakar gereja.
”Jangan melampau, itu tak boleh, walaupun orang melampau kepada kita, kita tak boleh melampau kepada orang, kita kena tetap,
”dan kita minta supaya dibuat siasatan secara adil, scara telus, siapa dia yang buat itu, kena bertindak (keatasnya), bukan sahaja surau, termasuklah gereja, dua-dua sekali, dua-dua itu kena siasat,
”yang buat ke surau pun kena siasat, yang buat ke gereja pun kena siasat kena adil dan saksama,”tegasnya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguannya, disini, semalam.
Menurutnya, orang Islam tidak boleh berindak mengikut persaan namun mesti bertindak menurut petunjuk al-Quran dan hadis RasuluLlah SAW.
”Tak boleh (marah), kita ada petunjuk, al-Quran dan hadis, (mesti bertindak) dengan ilmu, jangan tidak (mengunakan) ilmu,
”yang bertindak (melampau) banyak yang jahil, orang Islam jangan jahil dengan ugamanya,”katanya lagi.
Katanya, masalah yang timbul adalah kerana ramai yang jahil ugama dan bertindak dengan cara yang tidak betul.
”Kita nak mempertahankan ugama kita, tetapi (sebaliknya) dengan cara yang tidak betul, nak mempertahankan (Islam) biar (dengan) cara yang betul.”katanya.
Pasar Tani Siswazah ditubuh di Unimas
KUCHING: Pasar Tani Siswazah (PTS) akan diwujudkan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Samarahan dekat sini, awal Mac depan, bagi melatih pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam di negeri ini menceburi bidang keusahawanan berasaskan pertanian.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sarawak Paza Dan, berkata, 30 gerai PTS yang menjual pelbagai hasil pertanian dan produk perusahaan kecil sederhana (PKS) berasaskan pertanian akan mula beroperasi di Unimas kira-kira sebulan lagi.
Beliau berkata, langkah mewujudkan PTS di Unimas hasil perbincangan antara Fama Negeri Sarawak dengan Pusat Pemajuan Pelajar (PPP) Unimas berhubung dengan perkara itu, awal bulan lalu.
Katanya, persetujuan itu dicapai berikutan Unimas kini sedang mencari kaedah bersesuaian untuk melatih dan menggalakkan pelajarnya menceburi bidang keusahawanan berasaskan pertanian.
“Untuk permulaan 30 gerai yang menjual pelbagai hasil pertanian dan produk PKS berasaskan pertanian diwujudkan PKS di Unimas, Mac depan.
“Berikutan Unimas tidak mempunyai produk berkaitan, beberapa peserta Pasar Tani di Samarahan digalak untuk mengambil bahagian dalam PTS itu,” katanya kepada pemberita, selepas menghadiri Majlis Taklimat Fungsi Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada Ketua-Ketua Masyarakat Serta Ahli Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian Pertanian Parlimen (MPPP) Stampin, di sini, semalam.
Majlis yang dikelolakan oleh Fama Negeri Sarawak dan MPPP Stampin itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng
Syor tambah Pusat Pemulihan komuniti
Oleh Nor Fariza Ramlan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk memperbanyakkan lagi Pusat Pemulihan Komuniti di seluruh negara yang akan bertindak sebagai pusat latihan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata setakat ini kementerian sudah mewujudkan 409 Pusat Pemulihan Komuniti yang memberi faedah kepada 17,435 kanak-kanak dan OKU di seluruh negara.
"Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan masyarakat, malah bagi memperbanyakkan lagi pusat itu, kementerian memerlukan maklum balas pemimpin setempat bagi mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk dibangunkan.
"Bagi kanak-kanak kurang upaya yang tinggal di kawasan berkepadatan tinggi seperti perumahan kos rendah, kewujudan pusat sebegini akan menyediakan aktiviti seperti kelas tambahan dan sesi kaunseling kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Parti Tahunan ke-12 Kanak-Kanak Kiwanis bertempat di Taman Tema Sunway Lagoon, di sini semalam.
Chew berkata, Pusat Pemulihan Komuniti ini memberi perkhidmatan seperti diagnosis, pemulihan, perawatan dan menyediakan pembelajaran khas serta kemahiran vokasional bagi membantu orang kurang upaya dalam mendapatkan pekerjaan.
Mengulas mengenai pembabitan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Kiwanis dalam menjaga kebajikan kanak-kanak, beliau berkata, NGO perlu bersama menyokong usaha kerajaan dalam penyediaan perlindungan kepada golongan itu terutama mereka yang kurang bernasib baik dan kurang upaya.
"Jika kita lihat kembali, dalam Bajet 2010 pihak kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun dari RM50 ke RM150 bagi kanak-kanak kurang upaya yang mendaftar di bawah sekolah kelolaan NGO dan 4,000 kanak-kanak berdaftar mendapat manfaat itu.
Sementara itu sebagai menyokong usaha Kelab Kiwanis mengurus dan menjalankan 19 pusat khusus untuk penjagaan kanak-kanak kurang bernasib baik, Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM30,660 bagi mereka yang bernaung di bawah kelab itu.
Gaji minimum pengawal keselamatan JPAM, Rela RM1,400
KUALA LUMPUR – Kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang akan mengambil alih tugas rakyat Nepal sebagai pengawal keselamatan dengan syarikat-syarikat swasta dijangka menerima gaji minimum RM1,400.
Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, gaji tersebut tidak termasuk imbuhan elaun lebih masa jika mereka diminta berbuat demikian.
“Sekiranya kualiti perkhidmatan kawalan keselamatan di negara ini dapat dipertingkatkan, gaji pengawal keselamatan juga akan diselaraskan pada tahap yang berpatutan pada masa depan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika mengulas langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membenarkan anggota JPAM dan Rela berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam semalam berkata, usaha kerajaan menggalakkan penglibatan orang awam menyertai pasukan Rela dan JPAM kini maju setapak lagi apabila mereka berpeluang mendapatkan pekerjaan tetap.
Majlis kahwin penulis blog berjalan lancar
SEREMBAN – Majlis perkahwinan penulis blog adukataruna.blogpsot.com.my yang baru dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, berjalan lancar dan meriah di kediamannya di Rumah Rakyat Panchor, Paroi, dekat sini, hari ini.
Khairulnizam Abd. Ghani, 29, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina institusi kesultanan Johor.
Tinjauan Mingguan Malaysia di rumah Khairulnizam mendapati majlis perkahwinannya itu berlangsung dengan penuh ceria tanpa sebarang gangguan serta dikunjungi oleh saudara mara serta sahabat handai.
Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, majlis itu bermula dari pukul 11.30 hingga 6 petang hari ini.
“Majlis hari ini berjalan lancar dan ceria tanpa sebarang gangguan, ramai sanak saudara, jiran dan sahabat yang datang untuk meraikan kedua-dua pengantin.
“Tetapi kita tak mahu komen apa-apa lagi kerana ia akan mengganggu emosi keluarga kami termasuk ibu bapa. Apa pun kami bersyukur setelah dia dibenarkan diikat jamin kira-kira pukul 7.00 petang semalam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya lagi, kedua-dua pengantin serta ibu bapa mereka enggan bertemu wartawan dan enggan mengulas sebarang kenyataan kerana sebuah akhbar perdana negara telah membuat laporan yang tidak tepat mengenai Khairulnizam.
“Kita bukan apa, sebab sebelum ini sebuah akhbar perdana buat laporan yang tidak tepat dan mungkin abang (Khairulnizam) akan ambil tindakan.
“Contohnya, akhbar itu ada mengatakan yang abang menyembunyikan diri padahal itu tidak benar sama sekali,” ujarnya.
PTPTN perlu dana RM5b setahun menjelang 2012
PUTRAJAYA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) memerlukan dana sebanyak RM5 bilion setahun berbanding RM3 bilion sekarang bagi mengelakkan berlaku keciciran di kalangan pelajar yang layak menjelang tahun 2013.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keperluan itu selaras dengan pertambahan peluang, tempat dan jumlah pelajar yang layak memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).
"Kita percaya menjelang tahun 2013, PTPTN perlu mempunyai dana untuk memberi pinjaman kepada pelajar sebanyak RM5 bilion setahun.
"Maka, kita kini sedang membuat kajian bagaimana nak menentukan kelestarian PTPTN bukan hanya daripada segi menyediakan pinjaman yang mencukupi tetapi juga soal pengurusan organisasi yang mapan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Real Undergraduate 2010 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Wiba Prima, Datuk Kamilia Ibrahim.
Persidangan sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Wiba Prima, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Real Leaders Solution.
Mohamed Khaled berkata, PTPTN tidak boleh mengharapkan pembayaran balik pinjaman oleh pelajar yang tamat belajar untuk menampung keperluan semasanya.
Ini kerana, pembayaran itu bukan dibuat secara sekali gus tetapi bulanan berdasarkan kemampuan pelajar terbabit.
"Soal utama adalah kami perlu membantu mereka yang berada dalam kategori yang sepatutnya dibantu kerana sudah tiba masanya masyarakat tidak boleh melonggokkan semuanya kepada kerajaan," ujarnya.
"Kerajaan sudah mengeluarkan belanja untuk menyediakan infrastruktur dan tenaga akademik, dan dari segi itu, semua orang boleh menggunakannya," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai demonstrasi 100 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membantah keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM semalam, beliau berkata, setiap calon perlu menerima apa jua keputusan undian secara terbuka.
"Kalau kita berani menyertai sesuatu, kita juga kena berani terima keputusannya dan saya pun tidak tahu kenapa mereka boleh menyangka mereka boleh menang," katanya.
Muhyiddin lancar laman web rasmi My-Malaysia
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan laman web rasmi beliau My-Malaysia sebagai medium interaksi dua hala antara beliau dengan rakyat.
Ia boleh dilayari di www.my-malaysia.com.my yang turut memaparkan liputan berita dalam dan luar negara mengenai beliau, aktiviti kemasyarakatan dan politik, galeri video, koleksi ucapan dan pautan ke laman-laman web utama kerajaan.
''Hari ini, saya melancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi.
''Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita berikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu yang diadakan serentak dengan Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di sini.
Pada majlis itu, beliau berdialog dengan lebih 1,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjelaskan pelbagai isu semasa termasuk penggunaan kalimah Allah dan kebebasan bersuara di Malaysia.
Muhyiddin berkata, langkah mewujudkan laman web itu adalah sebagai salah satu usaha beliau untuk mendekati anak-anak muda melalui media sosial.
Beliau berkata, anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang dikatakan lebih telus, dalam erti kata menjelaskan dan menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan.
''Dalam berinteraksi dengan anak-anak muda, kita tidak perlu menganggap bahawa teguran atau kritikan itu sebagai petanda mereka bersikap anti kerajaan sebaliknya kerana sayangkan negara.
''Kerajaan harus mendengar dan sekiranya teguran ini wajar, maka ambil langkah pembetulan dan kita tidak harus menjadi bebal dan enggan berubah untuk kebaikan.
''Saya juga ingin mengingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial secara berhemah. Perbezaan pendapat bukan lesen untuk seseorang itu memaki hamun dan mencerca orang lain,'' katanya.
Sementara itu, pada dialog berkenaan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sempat melontarkan beberapa idea baru yang diharapkan akan menjadi topik perbincangan dalam laman web beliau.
''Rakyat boleh memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.
''Orang ramai juga boleh memberi pendapat mengenai kemungkinan had usia kanak-kanak yang mendaftar ke darjah satu diturunkan kepada enam tahun berbanding tujuh tahun sekarang,'' ujarnya.
Cabar Rais bawa ke mahkamah
KOTA BHARU – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meminta kerajaan Pas Kelantan membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, apa yang dinyatakan pada ceramah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam kelmarin adalah berdasarkan Akta Petroleum 1974 yang jelas memberikan hak tersebut kepada kerajaan Kelantan.
“Kalau dia (Rais) fikir begitu elok dia bawa ke mahkamah, saya tidak ada kuasa juga. Dia (Rais) tahu sejarah, saya tak tahu sejarah
“Saya bercakap apa yang diperuntukkan akta dan oleh perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri dengan restu kerajaan Pusat diketika itu, ini yang dipakai sampai sekarang.
“Jadi kalau hendak selesai segala-gala di mahkamah maka tidak usah pakai apa-apa (undang-undang atau perjanjian), bawa ke mahkamah sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rais bahawa isu tuntutan petroleum oleh kerajaan akan hanya dapat diselesaikan di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persetujuan untuk mengetuai kaukus petroleum yang dicadangkan pakatan pembangkang, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak menetapkan sebarang syarat. Saya cadang hendak terima jawatan itu tetapi belum buat keputusan lagi kerana saya kena bercakap dengan ahli-ahli Parlimen terutama dari negeri-negeri yang mengeluarkan minyak supaya ada perwakilan dari mereka, barang kali dua orang dari satu negeri.
“Kebanyakan negeri ini diwakili oleh ahli Parlimen BN tetapi kita tidak kira sangat kecuali Kelantan yang tidak dalam kalangan BN.
“Kalau dikira bilangan majoritinya adalah dari BN jadi tidak ada apa nak ditakut bukan hendak buat keputusan, ini bukan kerajaan tetapi kita nak bincang saja,” katanya.
Menurut beliau, kaukus tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang.
Jelasnya, ia bukan sahaja membincangkan mengenai royalti tetapi juga kedudukan ekonomi negeri-negeri di seluruh negara.
Zambry adalah MB mahkamah pada 9 Feb ini?
Kelmarin saya dihubungi oleh wartawan dari Konsep Era Pakatan bertanyakan apakah rumus terakhir mengenai kemungkinan yang akan berlaku di Perak dengan dikaitkan dengan pengumuman Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari akan datang.
Sesuatu yang baru saya katakan kepada wartawan itu. maklumlah apapun kita semua boleh jangkakan dan itulah suasana sekarang, macam macam ada.
Saya katakan bahawa antara yang saya jangka selain jangkaan DUN dibubarkan sebelum 9 Februari, namun kita juga kena fikir bahawa Mahkamah juga kemungkinan akan mengumumkan Zambry adalah Menteri Besar yang mewakilinya di Malaysia, maksud saya satu-satunya MB di malaysia yang naik cara mahkamah hanyalah Zambry.
Sesudah itu demi maruah Zambry akan ke Istana dan memohon perkenan DYMM Sultan Perak untuk pembubaran DUN Perak. Yang jelas kerajaan sementara Perak ditangannya dan dia seperti biasa akan pergunakan semua badan dan agensi untuk jadi komponen UMNO dan BN bagi menentang Pakatan Rakyat.
Apa pun hari 9 Februari semakin menghampiri kita, sehari yang berlalu makin dekat sehari dengan tarikh keramat itu.
Namun manakah rumus yang benar, kita tunggu dan lihat.
Saturday, January 30, 2010
Kempen PRK di Facebook, salah di mana wahai UPM!?
Adalah tidak betul sikap Universiti Putra Malaysia menjatuhkan hukuman ke atas para pelajarnya gara-gara mereka membuat kempen dalam pilihan raya kampus (prk) baru-baru ini, menggunakan Facebook.
Saya amat rapat dengan dua buah kampus universiti, UKM dan UM ketika ini dan saya banyak meneliti bagaimana kegiatan kempen mereka dilakukan melalui Facebook.
Pengerusi Pro M UM Mohd Shafie Hashim saya temui ketika hari penamaan calon berlangsung di kampus tersebut.
"Ana nak orang yang boleh update selalu laman web, blog, Facebook lepas ni," katanya lagi. Telinga lintah saya bagaikan radar, ia terus mendengar, bersama kecepatan jari-jemari saya menggodam komputer riba.
Laporan berita seharusnya pantas apatah lagi untuk menulis berita berhubung perjalanan pilihan raya kampus mutakhir ini.
Salahkah Najib Razak berkempen 1Malaysia menggunakan Facebook? Aspirasi pun tidak boleh dipersalahkan jika mereka berkempen menggunakan alat itu.
Pro M UKM dan Pro M UM adalah golongan yang terlebih awla lagi afdal untuk dibatalkan pencalonan mereka kalau UPM bertindak sedemikian ke atas siswa mereka sendiri.
Ketika Naib Canselor USM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ditanya berhubung hal tempoh berkempen yang singkat, beliau berkata dalam Utusan Malaysia, hal itu tidak lagi berbangkit kerana calon boleh berkempen perkakasan internet.
Sambil menyebut Friendster, Dzulkifli tidak lupa menyebutkan Facebook.
Saifuddin Abdullah pun ada Facebook juga
Saya kebetulan punya kesempatan berbual bersama Dato' Saifuddin Abdullah di NZ Garden Jalan Ampang berhubung idea Parlimen Mahasiswa.
Malam itu, saya melihat sendiri betapa Saifuddin disambut mesra oleh kalangan siswa. Saya difahamkan beliau juga membawa mahasiswa menonton wayang '3 Idiot' yang mengisahkan isu-isu pendidikan di India.
Daripada filem itu, beliau mengambil buah fikiran mahasiswa untuk membaiki sistem pendidikan di negara ini. Saya difahamkan, acara tontonan wayang itu, dibuat melalui rakan-rakan mahasiswa dalam Facebook beliau.
Ya memang Saifuddin antara yang terkenal menjawab persoalan siswa dengan pantas melalui Facebook.
Kita boleh marahkan Facebook kerana pengasasnya adalah Yahudi. Lain-lain isu lagi, kita nak marahkan apa sebenarnya?
Saya pernah naik turun mahkamah universiti gara-gara membuat laman web peribadi multiply.com pada tahun 2005.
Memang disebut di dalam surat yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tatatertib HEP USM itu - jenayah saya adalah membuat laman web multiply.com TANPA KEBENARAN DAN KEIZINAN UNIVERSITI.
Zaman itu, blogspot.com belum ada atau belum terkenal. YouTube.com juga tiada ada. Apatah lagi Facebook. Kalau pada zaman itu, perkakasan ini sudah lengkap tersedia, memang saya gunakan bersungguh-sungguh dan saya nak goncang betul-betul pegawai HEP yang menyusahkan hidup saya itu.
Mereka ini terlalu sombong, angkuh, gemar bertempik. Tidak tahu nak cakap, bahasa apa yang kita mahu gunakan bagi menggambarkan kejelikan tingkah laku mereka ini. Tapi saya lawan juga dalam keadaan sokongan hampir tiada.
Kepada rakan-rakan siswa di UKM dan UM atau di mana-mana sahaja. Jangan patah hati dan teruskan berusaha. Jenguk-jenguklah mereka sama.
Apabila membaca kes mahasiswa dibatalkan pencalonan gara-gara Facebook ini, nak marah pun ada, nak tergelak pun ada juga. Tak tahu, yang mana nak didahulukan - nak gelak atau nak marah.
"Akar nibung meresap, akar keranji dalam perahu, terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu" - Karam Singh Walia (Aduan Rakyat)...(Anwar Ibrahim dalam 'Muktamar' Agung Umno, 19??)
Hussien Kesal SPRM Diperalatkan
Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor, Hussien Ahmad dukacita kerana SPRM dipergunakan oleh pihak tertentu untuk membuat pertuduhan fitnah terhadapnya.
Beliau berkata penahanannya oleh SPRM berpunca daripada fitnah anasir-anasir yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapatkan kontrak pasir.
Pegawai kanan kepada EXCO Yaakob Sapari itu dibebaskan tanpa syarat setelah ditahan reman selama lima hari minggu lalu.
“Pasir adalah sumber alam yang di bawah YB Yaakob, tapi sebenarnya YB Yaakob sebagai Exco Sumber Alam, tapi pasir ini adalah bawah jagaan anak syarikat kerajaan Selangor yang bernama Kumpulan Semesta Sdn Bhd jadi ini yang berlaku apabila setiap permohonan terpaksa dihantar kepada pihak KSSB, tapi malangnya melihat mereka ini tidak faham prosedur yang sedia ada dan saya terlibat dengan konflik untuk menjatuhkan saya kerana tak dapat kontrak pasir”, katanya yang ditemui baru-baru ini.
Hussein ditemubual dalam program Apa Khabar Selangor terbitan TV Selangor di Shah Alam.
Hussien turut disoal siasat SPRM atas lawatannya ke Hangzhou, China pada Oktober lalu di bawah program lawatan kerja usahawan yang ditanggung kerajaan negeri.
“Kita pergi ke Hangzhou sebagai usahawan, tapi dalam ramai-ramai itu, rupanya terselit 2-3 orang yang kita tak dapat terima keinginan dia itu, yang dia mahu bukannya usahawan, tetapi pasir, tapi kita tak tahu, tuduhan yang kita terima dia kata semasa dalam perjalanan itu pergi Hangzhou, tuduhan dia telah memberi saya 10 ribu yuen untuk saya meluluskan permit pasir dan juga gambar China, apa yang saya tahu, saya tak pernah meluluskan permit pasir, kerana saya tak pernah meluluskan permit pasir dan saya tak boleh meluluskan permit pasir begitu juga YB Yaakob Sapari”, jelasnya lagi.
Beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan terhadapnya didalangi oleh golongan terdesak dalam Umno-Barisan Nasional yang mahu menggulingkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.
Lans Koperal dinamakan penyebar gambar bedah siasat Nurin
KUALA LUMPUR - Jazimin Abdul Jalil, bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin, semalam, dibenarkan menamakan anggota polis Amran Arifin, yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin, sebagai defendan dalam kes saman kecuaian terhadap polis dan kerajaan.
Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamed Din membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Jazimin Abdul Jalil memohon menamakan Amran, seorang Lans Koperal, sebagai defendan kelima selepas Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia berikutan pengakuan pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar itu diedarkan Amran.
Semua defendan juga menarik balik permohonan untuk membatalkan saman itu.
Sejuta penganut Hindu dan pelancong berhimpun di Batu Caves
KUALA LUMPUR - Kira-kira sejuta penganut Hindu termasuk pelancong asing membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di sini, sempena Thaipusam bagi menghormati hari lahir Dewa Murugan.
Walaupun cuaca panas terik sejak pagi, suasana di sekitar kawasan itu meriah dengan tumpuan diberikan kepada kira-kira 10,000 penganut yang menunaikan nazar dengan membawa kavadi, palkudam (belanga susu), memecahkan kelapa dan mencukur rambut sebagai penebus dosa.
Anggota jawatankuasa kuil itu V. Krishnamoorthi berkata sambutan kali ini lebih meriah kerana lebih 10,000 penganut membayar nazar mereka dan pelancong juga dapat melihat perubahan-perubahan yang dilakukan di sekitar kawasan kuil itu.
"Memang banyak perubahan yang dilakukan pada sambutan Thaipusam kali ini, antaranya bangunan dan dewan di sekitar kawasan kuil dicat semula, laluan pejalan kaki yang baru dan sebuah dewan kecil yang dibina khas bagi penganut yang membayar nazar dengan mencukur rambut," katanya.
Selain itu, keadaan lalu lintas juga dilihat dapat dikawal dengan sempurna dan tidak berlaku kesesakan teruk seperti tahun sebelum ini.
Felcra mula perkenal sawah padi organik
KAMPUNG GAJAH - Felcra Berhad mula mengorak langkah untuk melaksanakan penanaman padi organik sepenuhnya di kawasan jelapang padi Felcra Seberang Perak di sini melalui pelancaran projek perintis Pakej Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) Lestari, hari ini.
Projek perintis itu dimulakan di kawasan seluas 26 hektar daripada keseluruhan kawasan 4,000 hektar jelapang padi berkenaan.
Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, melalui program perintis itu, kaedah penanaman padi yang berkonsepkan mesra alam serta meningkatkan hasil dan mengurangkan kos akan diperkenalkan.
"Di bawah pakej IPM ia dapat mengurangkan penggunaan racun serangga perosak melalui strategi kawalan yang berdasarkan ekologi yang bergantung kepada faktor semulajadi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek perintis itu, di sini.
Beliau berkata, konsep itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan ia dijangka mampu menghasilkan pendapatan bersih RM4,000 sehektar berbanding RM1,000 sehektar jika menggunakan racun serangga perosak.
Pendirian Ku Li Mengenai Royalti Minyak Mengejutkan - Rais
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini melahirkan rasa amat terkejutnya dengan perubahan pendirian bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang Kelantan berhak mendapat royalti minyak berbanding pendiriannya sebelum ini.
Beliau berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan adalah bertentangan dengan kenyataan yang dibuat pada Oktober 2000, dan kenyataan terbarunya itu mengelirukan rakyat, terutama penduduk Kelantan.
Rais berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh mengenai isu royaliti minyak yang dibuatnya semasa berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan pada Khamis lepas yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pada 31 Oktober 2000, media melaporkan Tengku Razaleigh berkata daripada segi undang-undang, negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak terhadap minyak yang ditemui di luar kawasan pentadbiran masing-masing.
Oleh itu, Tengku Razaleigh yang merupakan pengerusi Petronas pada tahun 1974 yang terbabit dalam perjanjian berhubung pemberian wang ihsan itu kepada kerajaan negeri terbabit, termasuk Terengganu dan Kelantan, berkata pembayaran wang hasil minyak oleh Petronas kepada kerajaan negeri terbabit bukan diberi kerana ada dasar ianya hak negeri terbabit.
Kenyataan itu dibuat oleh Tengku Razaleigh bagi mengulas pembayaran wang ihsan yang dipertikaikan oleh anggota PAS pada persidangan Dewan Rakyat.
Rais berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada tahun 2000 itu amat nyata bahawa semua negeri di Semenanjung tidak mempunyai hak di bawah Akta Petroleum 1974, dan " apabila Ku Li ubah pendirian dua malam lalu, ini satu perkara yang sangat mengejutkan bagaimana beliau boleh sanggup tukar pendirian benarnya yang dilahirkannya akhir Oktober 2000 dengan semata-mata berhadapan dengan ribuan orang."
Kenyataan terbaru Tengku Razaleigh itu mengelirukan rakyat, terutama sekali di Kelantan yang harus diperbetulkan kedudukannya daripada segi undang-undang iaitu negeri-negeri di Semenanjung tidak ada hak terhadap minyak yang ditemui di luar kawasan pentadbiran masing-masing, katanya.
"Bagi negeri yang memikirkan untuk membuat tuntutan ke atas royalti minyak seperti Kelantan, tidak berhak di bawah mana-mana Akta Petroleum kerana berada di kawasan antarabangsa yang Persekutuan berhak.
"Ini adalah kedudukan undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang negara.
"Akta Petroleum berbeza dengan peruntukan Akta Pelantar Benua yang mana Sabah dan Sarawak tertakluk bawahnya," katanya.
"Sekiranya hendak jadi orang tengah tidak menjadi masalah, tapi saya berharap beliau tidak kemukakan tuntutan dan pandangan bagi pihak PAS dan parti pembangkang kerana beliau masih Ketua Umno bahagian Gua Musang, dan saya berharap rakyat faham keadaan sebenar," katanya.
Di BACHOK, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Umno Kelantan terkilan dengan kenyataan Tengku Razaleigh itu.
Beliau berkata ketika kerajaan pusat memberikan wang ihsan bagi menggantikan royalti minyak kepada Terengganu ketika diperintah PAS pada 1999 hingga 2004, Tengku Razaleigh ketika itu antara tokoh yang lantang menyokong keputusan kerajaan pusat.
"Ketika itu Ku Li (Tengku Razaleigh) menyokong pendirian kerajaan pusat memberi wang ihsan kepada Terengganu tetapi apa yang berlaku sekarang disebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Muzakarah Ahli Sunnah Wal-Jamaah Parlimen Bachok hari ini.
Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan Tengku Razaleigh yang disiarkan oleh beberapa akhbar pada akhir tahun 2000 dan awal tahun 2001.
Katanya ini termasuk laporan Berita Harian keluaran 1/11/2000 antara lain melaporkan bekas Menteri Kewangan itu mengesahkan bahawa bayaran yang dibuat Petronas kepada kerajaan Terengganu sejak dulu lagi bukan royalti minyak.
Saifuddin Harap Universiti Tidak Singkir Sembilan Mahasiswa
SHAH ALAM: Pihak pengurusan universiti diminta supaya bertindak adil dan tidak menyingkirkan sembilan mahasiswa yang ditahan polis kerana mengadakan demonstrasi membantah proses pilihan raya kampus (PRK) di ibu negara Sabtu lepas.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap mahasiswa yang terbabit dalam demonstrasi itu.
Beliau berharap pihak pengurusan universiti tidak mengenakan tindakan dwi-dakwaan terhadap mahasiswa tersebut atas satu kesalahan.
"Setiap universiti mempunyai pelbagai bentuk tindakan tataterbit di mana tindakan buang pelajar adalah jalan terakhir. Saya harap ia tidak akan sampai ke tahap itu," katannya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Karangkaraf di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, polis menahan sembilan daripada kira-kira 200 mahasiswa dari pelbagai universiti yang menyertai perhimpunan membantah proses PRK di Menara Tun Razak, Jalan Raja, Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo, kira-kira 500 meter dari situ.
Lebih 33 % Aduan Kepada BPA Mengenai Kelewatan & Tiada Tindakan Atas Janji Yang Dibuat
PUTRAJAYA: Lebih 33 peratus aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) sepanjang tahun lalu adalah mengenai isu kelewatan dan tiada tindakan yang diambil oleh agensi yang berkaitan mengenai janji yang dibuat.
Ketua Pengarah BPA, Datuk Tam Weng Wah berkata, ini menunjukkan masyarakat sedar akan hak mereka dan mengikuti perkembangan setiap agensi atau jabatan dari dekat.
Bagi BPA katanya, ini adalah satu perkembangan yang sihat kerana masyarakat sedar akan kewujudan dan peranan BPA dan mahu ke hadapan untuk membuat aduan bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
Sehubungan dengan itu, BPA pada tahun ini berazam untuk menyelesaikan aduan masyarakat dalam masa 15 hari daripada tarikh aduan dibuat yang mana sebelum ini mengambil masa 41 hari untuk diselesaikan.
"Kita juga akan memberi perhatian lebih kepada masalah-masalah yang dilaporkan dan tidak mengambil ringan terhadap laporan yang dibuat," katanya dalam temuramah eksklusif dengan mStar Online di pejabatnya di sini.
Menurut statistik yang dikumpulkan oleh BPA, 10 agensi yang paling banyak menerima aduan daripada orang-ramai sepanjang tahun lalu ialah (1). Polis Diraja Malaysia (783 aduan); (2). Jabatan Kerja Raya (496 aduan); (3). DBKL (437 aduan); (4).Bank Negara Malaysia (380 aduan); (5). Jabatan Pelajaran Negeri (311 aduan); (6). JPN (309 aduan); (7). Jabatan Imigresen (274 aduan); (8). Jabatan Kebajikan Masyarakat (269 aduan); (9). Hospital (255 aduan) dan (10). Tenaga Nasional (219 aduan).
Menurut Tam, aduan mengenai kelewatan bertindak atau kegagalan agensi-agensi tertentu mengambil tindakan ke atas aduan yang dibuat meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun 2008 yang hanya 30.3 peratus.
Bagaimanapun menurut Tam, daripada keseluruhan 12,688 kes aduan yang diterima oleh BPA sepanjang tahun lalu, 12,125 kes atau 95.6 peratus telah berjaya diselesaikan oleh BPA.
"Jumlah itu amat besar dan pihak kami amat gembira apabila hampir semua masalah dapat diselesaikan," kata.
Beliau juga memberi contoh dalam kes aduan yang dibuat mengenai PDRM iaitu 783 aduan sepanjang tahun lalu, 753 aduan atau 96.2% berjaya diselesaikan dan begitu juga dengan sembilan lagi agensi yang mendapat aduan tertinggi semuanya berjaya menyelesaikan lebih 90% daripada aduan yang disampaikan.
Malah katanya, dalam kes aduan yang dibuat mengenai JPN, 99% daripada aduan itu berjaya diambil tindakan dan diselesaikan.
Menurutnya lagi, kejayaan itu hasil daripada kegigihan dan kesungguhan kakitangan BPA menjalankan tugas mereka secara sistematik dan teratur selain kerjasama erat BPA dengan agensi-agensi yang telibat.
Menurut Tam, kes yang sering dilaporkan oleh orang awam mengenai agensi kerajaan adalah berkaitan dengan kualiti perkhidmatan, kegagalan penguatkuasaan, salah laku anggota awam selain kelewatan mengambil tindakan dan tiada tindakan langsung selepas aduan dibuat.
"Kakitangan perlu peka dengan setiap permasalahan yang diadu oleh pihak pengadu dan polisi kita di sini adalah mesti bertindak cepat tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.
"Selain itu, kerjasama erat antara agensi amat penting bagi mencari punca sebenar masalah yang timbul," katanya.
Tambah beliau, BPA tidak boleh bersikap berat sebelah kepada agensi yang diadu tanpa mengkaji terlebih dahulu masalah yang berlaku.
Ditanya mengenai badan itu yang agak low-profile daripada sebarang publisiti tetapi menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan, Tam berkata, itu bukan satu isu yang besar kerana menurutnya, apa yang lebih penting adalah untuk melaksanakan tanggungjawab dan saling tolong menolong dalam menyelesaikan masalah yang diajukan oleh rakyat.
"Itu adalah tanggungjawab kami di sini untuk menyelesaikan masalah," ujarnya.
Pengaruh Rakan Sebaya Penyebab Murtad di Selangor
SHAH ALAM: Pengaruh rakan sebaya didapati menjadi sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada budaya murtad di Negeri Selangor, demikian dedah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi.
Bercakap dalam satu temuramah eksklusif dengan mStar Online, beliau berkata, terdapat sebanyak 109 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak tahun 2007 hingga 2009.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, statistik juga menunjukkan kes murtad yang dilaporkan di Selangor mencatatkan penurunan pada tahun lalu.
“Pada tahun 2007 terdapat 27 kes, tahun 2008 42 kes, 2009 ia mencatatkan penurunan dengan 40 kes dilaporkan dan setakat bulan Januari 2010, baru ada 3 kes,” katanya.
Menurut Mohamed Khusrin, terdapat unit khas yang diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling tersebut.
"Setakat hari ini sebanyak 13 kali panel unit khas ini telah bersidang dan memanggil mereka yang terlibat," katanya.
Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk keluar Islam antaranya ialah masalah perkahwinan terutamanya di kalangan mualaf.
"Apabila perkahwinan sesuatu pasangan itu bermasalah seperti suami tidak bertanggungjawab dan ada juga yang menerima ugutan daripada keluarga asal mereka.
"Hal ini menyebabkan golongan mualaf tersebut menghadapi tekanan dan menyebabkan mereka mahu kembali kepada agama asal mereka," ujarnya.
Tambahnya, ada juga kes terpencil seperti mangsa memang bukan beragama Islam ketika dilahirkan namun nama yang terdapat dalam kad pengenalan mereka nama Islam.
"Kes ini banyak berlaku di kawasan ladang dan pedalaman. Nama mereka Islam tapi mereka memang tidak amalkan ajaran Islam. Jadi mereka memohon untuk menguggurkan nama Islam dalam kad pengenalan mereka.
"Dalam masa yang sama, berdasarkan siasatan yang dijalankan kita dapati pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada kes murtad ini. Mereka mendakwa Islam pada nama sahaja dan tidak mengamalkan ajaran agama," katanya.
Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, permohonan untuk keluar daripada Islam atau murtad hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
"Sebelum sesuatu kes di bawa ke mahkamah jawatankuasa khas ini akan memberi kaunseling dan sekiranya kaunseling tidak berjaya untuk bawa mereka yang ingin kembali kepada ajaran agama.
"Jadi kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk putuskan tindakan selanjutnya," katanya.
Setakat ini, Mahkamah Syariah di Selangor belum ada sebarang keputusan untuk membenarkan kes murtad atau keluar daripada Islam.
Dalam menangani masalah murtad di negeri itu, Mohamed Khusrin berkata, Unit Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan mengadakan sesi kaunseling dan penerangan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, isu keluar Islam melibatkan akidah dan pendirian agama seseorang itu sukar untuk diubah dan ia mengambil masa yang panjang.
"Bagi saya ini satu tugas yang berat dan kita tetap akan teruskan sehingga kes-kes tertunggak ini selesai.
"Kebanyakan golongan yang terlibat dengan kes murtad ini ialah mereka yang berusia di awal 30 an dan mereka ini masuk Islam kerana perkahwinan.
"Mereka kebanyakannya mengalami masalah rumah tangga setelah berkahwin selama 3 hingga 5 tahun,” ujarnya.
Mohamed Khusrin turut mengakui bahawa isu penggunaan kalimah Allah memberi impak kepada golongan mualaf kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada mereka.
"Sebab itu kita berharap isu kalimah Allah ini tidak dipolitikkan oleh mereka yang tidak faham tentang isu ini.
"Kita harap golongan ini tidak bercakap dan cuba mentafsir isu itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutamanya golongan mualaf dan mereka yang sedang dalam dilema untuk keluar Islam.
"Biarlah isu ini ditangani oleh pihak berkuasa berdasarkan enakmen dan undang-undang negeri sedia ada.
"Berdasarkan laporan yang kita terima semalam, pihak kami mendapati individu dan tokoh politik menggunakan masjid sebagai pentas untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah bersifat politik dalam isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.
Tegasnya, perkara tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia akan hanya menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana masjid dan surau sepatutnya dijadikan tempat beridat dan menyampaikan ajaran agama.
"Kita harap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghentikan perbuatan sebegitu kerana perkara ini termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam), Negeri Selangor Tahun 1988.
"Kita telah menyenaraikan beberapa perkataan lain seperti baitullah, solat dan alhamudillah antara yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dari segi penguatkuasaan ada beberapa perkara yang menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.
Namun demikian, Mohamed Khusrin menegaskan bahawa JAIS akan tetap menyiasat setiap kes yang dilaporkan dan pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah.
Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.
Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Umno-BN diselubungi ketakutan melampau
Iklim ketakutan atau climate of fear makin menyelubungi negara. Umno-BN, yang sudah lama memerintah, memperkuatkan lagi cengkamannya agar nafas Demokrasi, Kebebasan dan Karamah Insan di negara ini mulai sesak.
Minggu kebelakangan ini keresahan memuncak apabila adanya percubaan untuk merekayasa ketegangan antara kaum dan agama. Siri serangan ke atas rumah ibadat mengejutkan rakyat Malaysia kerana ada di antara kita demi kelansungan politik segelintir, sanggup menggadai keamanan dan keharmonian negara ini.
Kita dikejutkan lagi dengan berita bahawa adanya tangkapan secara beramai-ramai minggu lalu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), kononnya untuk memerangi pengganas.
Sekiranya tidak didedahkan oleh Gerakan Mansuh ISA, pastinya kerajaan akan mendiamkan perkara ini agar tidak diketahui umum. Persoalannya jika ada bukti kukuh, mengapa menggunakan ISA? Saya menggesa agar kerajaan segera membawa mereka ke muka pengadilan dan diadili secara bebas tanpa menurut telunjuk sesiapapun.
Manakala tohmahan diperhebat terhadap Pakatan Rakyat, dibantu pula oleh ”lidah rasminya,” yang mengabaikan segala prinsip serta integriti kewartawanan, keadaan ternyata semakin memburuk.
Dipaparkan kononnya pimpinan umno-bn sedang berusaha memulihkan negara dari kemurungan ekonomi dan sedang cuba membawa perubahan, walhal pada masa yang sama, mereka yang bangkit menyatakan perbezaan, dibantai serta cuba dialahkan menggunakan taktik keji.
Lihat sahaja apabila kerajaan sanggup membiarkan anak-anak mahasiswa kita diberkas dan diugut. Apa erti slogan perubahan jika suara mahasiswa dibungkam dan mereka ditakut-takutkan.
Lebih menyedihkan kemurnian kawasan universiti dicemar apabila pihak keselamatan menceroboh lalu angkuh mempamirkan kekuatan. Tidak sedarkah kamu wahai pemerintah! Yang cuba ditakut-takutkan ini adalah penzahiran dari damir perjuangan bangsa!
Mahasiswa dan anak muda adalah generasi pemberani yang tidak gentar walau hanya berbekal genggaman tapak tangan apabila berhadapan kekuatan pemerintah.
Jelas kelihatan kepada kita, iklim ketakutan dimunculkan demi mengalih pendangan rakyat dari isu sebenar. Apatah lagi kerana kemurungan ekonomi yang belum berlalu,
kebobrokan rasuah yang semakin memualkan, kehakiman yang tidak bebas serta peningkatan ketidakyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno.
Hina Sultan Johor, Penulis Blog Didakwa
Seorang penulis blog dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor.
Khairul Nizam Abd Ghani, 29, yang dikenali dengan nama penanya Aduka Taruna, sebelum ini diperintahkan ditahan reman empat hari oleh mahkamah majistret Kota Baharu.
Perintah tahanan reman itu berakhir hari ini.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.
Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, hakim Zamri Bakar mengurangkannya sebanyak RM5,000 dengan mempertimbangkan rayuan Khairul Nizam yang akan mengadakan majlis persandingan esok.
Pengantin yang baru sebulan mendirikan rumah tangga itu diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin.
Khairul Nizam kelihatan tenang sepanjang prosiding tersebut. Isterinya turut hadir di mahkamah.
Pemuda itu sebelum ini menyerah diri ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu. -MK
Rebut Jawatan: Kemelut Dalaman UMNO Silam?
Pengerusi BN Silam, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman telah mempengerusi kan mesyuarat BN Silam baru-baru ini dan mencadangkan beliau agar BN meneruskan tradisi memilih Pengerusi BN iaitu Ahli Parlimen setelah beliau bukan lagi Ahli Parlimen Silam.
Namun Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Nasrun Datu Mansur yang kononnya dijanjikan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman menggantikan Samsu bertindak ‘di luar tabii’ apabila secara tiba-tiba memecat Setiausaha UMNO Bahagian Silam, Mohammad Firdaus Datuk Ahmad Alawi kerana ‘menderhaka’ kepada beliau.
Secara kebetulan, Firdaus merupakan adik ipar Samsu yang terus dikekalkan setelah Nasrun dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Silam dalam satu pertandingan maraton yang penuh culas dan penipuan.
Pertembungan politik dan budaya cantas mencantas di Silam sudah menjadi tradisi apabila berlaku pemecatan dan persekongkolan antara dia pihak yang bertelagah, namun kemenangan seringkali berpihak kepada puak yang berkecuali.
Dalam perebutan jawatan Pengerusi BN Silam, tiga Adun dan seorang ahli parlimen berminat untuk memegang jawatan berkenaan bagi melebarkan pengaruh mereka, apatah lagi seorang Adun dan seorang Ahli Parlimen tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam UMNO.
Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang cuba keluar daripada ‘Kepompong Badi YB Satu Penggal’ menjaring rangkaian dengan Mantan Ahli Parlimen Silam, Samsu Baharun kerana berasal daripada klan yang sama iaitu Legasi Magindora.
Manakala Adun Kunak, Nilwan Kabang yang selama ini berkecuali dalam sebarang pertikaian antara Kumpulan Nasrun/Salleh turut berhasrat untuk menjadi Pengerusi BN Silam sekalipun digelumang krisis identiti.
Adun Lahad Datu, Datu Nasrun dan Adun Tungku yang masing-masing memegang jawatan Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Silam berada di dalam kedudukan selesa namun berhasrat untuk memperkukuhkan pengaruh politik mereka sehingga menginginkan jawatan Pengerusi BN Silam yang sehingga kini masih disandang Samsu kerana belum ada sebarang perlantikan baru dibuat sejak 2008, iaitu menjelang pilihanraya umum apabila Samsu tidak terpilih sebagai calon.
Dengan peluang yang luas dan kekentalan semangat Legasi Magindora, kemungkinan besar Salleh dilantik sebagai Pengerusi BN Silam yang akan melenyapkan ‘Badi YB Satu Penggal’ dan kedudukan Firdaus akan lebih kukuh dengan sokongan Parti Komponen BN Silam selama ini.
Nasrun yang disifatkan sebagai ‘Kayu Ara’ dalam politik Silam terpaksa mencari ‘pintu masuk’ kedua setelah laluan pertama gagal disebabkan tradisi yang diamalkan BN selama ini.
Berjayakah Nasrun memasang ranjau buat Salleh bagi mengakhiri kerjaya politik Salleh yang belum duduk, sudah berlunjur dan sering menongkah arus?
PTPTN Perlu RM5 Bilion Setahun, Kata Mohamed Khaled
BERNAMA
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) memerlukan RM5 bilion setahun bagi memastikan mereka yang layak melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak tercicir.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keperluan itu memandangkan pertambahan peluang dan jumlah mereka yang akan melanjutkan
pengajian ke IPT.
"Sekarang peruntukan setahun untuk PTPTN adalah sebanyak RM3 bilion, kementerian menganggarkan menjelang 2013 ia tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan "Real Undergraduate" di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata keperluan itu juga memandangkan bayaran balik yang dibuat oleh peminjam adalah secara ansuran.
"Kini kementerian sedang membuat kajian bagaimana hendak menentukan kelestarian PTPTN...untuk menentukan dana itu hanya diberikan kepada mereka yang
benar-benar memerlukan," katanya.
Beliau berkata ibu bapa yang berkemampuan sepatutnya perlu mengambil tanggunggjawab untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka dan tidak meletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan sahaja.
"Kerajaan dah sedia infrastruktur, sediakan tenaga akademik itu sudah disubsidi jadi kalau memang anak orang kaya sepatutnya boleh bayarlah tanpa bantuan kerajaan," katanya.
Thaipusam : Ribuan Rakyat Selangor Tolak Kekerasan Polis, Hadir Majlis Kerajaan Negeri
TV SELANGOR
Ribuan rakyat Selangor hadir pada majlis Thaipusam anjuran kerajaan negeri Selangor di Batu Caves malam tadi, meskipun polis mengenakan kekangan yang dilihat sebagai cubaan langsung untuk menggagalkan majlis itu.
Polis merobohkan sebuah pentas yang didirikan oleh kerajaan negeri untuk majlis berkenaan, setelah memberi kelulusan terlebih dahulu.
Tindakan polis itu dikaitkan kepada cubaan memastikan rakyat hanya hadir untuk lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke tapak itu malam tadi dan memulau majlis anjuran kerajaan negeri yang di atur jauh lebih awal.
Tindakan polis merobohkan pentas berkenaan memaksa kerajaan negeri membatalkan pertunjukkan kebudayaan yang bertujuan memupuk keharmonian kaum.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan EXCOnya tetap mengambil keputusan untuk hadir merasmikan majlis sambutan itu walaupun mereka terpaksa berdiri atas beberapa meja yang diatur bersebelahan sebuah trak penguasa tempatan.
Meskipun majlis diadakan sejurus selepas Perdana Menteri Najib Razak melawat tapak itu, namun sambutan rakyat Selangor untuk pemimpin kerajaan negeri Selangor tetap hangat, khususnya daripada kaum India.
Tan Sri Khalid menyampaikan bantuan berjumlah RM1 juta, kepada badan amal serta sekolah Tamil di sekitar Selangor dan berjanji kemewahan Selangor akan terus dikongsi bersama dengan rakyat.
Beliau berkata sebarang usaha untuk menyekat kerajaan negeri daripada mendampingi rakyat akan terus ditolak, walaupun ia membabitkan jabatan persekutuan seperti polis.
Beliau juga menyampaikan mesej tajam kepada pemimpin persekutuan yang cuba membelakangkan hak dan kuasa-kuasa kerajaan negeri yang dilantik rakyat.
"Kita bukan menidakaan kehadiran kerajaan persekutuan. Sebagai tuan rumah kita menyambut baik kehadiran mereka. Tetapi mereka bukan tuan rumah di negeri Selangor. Mereka hanya tetamu. Saya harap perkara ini dapat difahami supaya kita dapat meraikan apa sahaja perayaan bersama- sama," kata Tan Sri Khalid.
Polis dilihat sebagai bertindak di luar bidang kuasa apabila merobohkan pentas kerajaan negeri sehari sebelum Najib melawat tapak itu.
Umumnya, hanya penguasa tempatan mempunyai kuasa menentukan kesesuaian mendirikan pentas dalam sesuatu premis seperti Batu Caves setelah mengambil kira kepentingan semua pihak.
EXCO kerajaan negeri Xavier Jayakumar berkata Polis tidak membantah pembinaan pentas kerajaan negeri apabila usul itu dibuat tetapi kemudian mengarahkan supaya ia dirobohkan atas alasan keselamatan.
Beliau berkata alasan itu tidak masuk akal kerana pentas berkenaan tidak mengancam keselamatan mana-mana pihak.
Ratusan ribu orang membanjiri Batu Caves malam tadi dan hari ini untuk bersembahyang dan membayar nazar.
Kerajaan Negeri telah meletakkan perayaan Thaipusam sebagai satu tarikan pelancong sempena kempen pelancongan Selangor Shine sepanjang tahun ini.
Hasil publisiti meluas kerajaan negeri di dalam dan luar negara, ribuan pelancong tempatan dan luar Negara bertumpu ke tapak bersejarah Batu Caves untuk sambutan terbesar Thaipusam di rantau Asia Tenggara.
"1Malaysia", satu slogan baru?
Mustafa K Anuar
Apabila Najib Razak mengambil alih pucuk pimpinan pada 3 April lalu sebagai Perdana Menteri yang baru, beliau lantas memperkenalkan satu konsep baru kepada rakyat Malaysia, iaitu "1Malaysia".
Pada asasnya, konsep ini adalah merujuk kepada usaha pemimpin BN untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang etnik di Malaysia. Ini adalah langkah yang penting dalam impian pemimpin negara untuk membina satu masyarakat yang maju, progresif lagi berindustri.
Perpaduan rakyat boleh dipupuk jika ahli dalam masyarakat benar-benar merasakan diri mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Dengan kata lain, nilai keadilan, kesaksamaan dan peluang memperbaiki diri yang sama adalah ramuan yang penting.
Sebagai stakeholders yang mempunyai kepentingan dalam masyarakat, rakyat jelata perlu mendapatkan ruang di mana mereka sama-sama dapat berkongsi idea, impian dan juga kekecewaan, selain daripada juga mencapai kejayaan, kebahagiaan dan kekayaan. Peluang untuk meluahkan pandangan membina adalah penting dalam menjana perasaan a sense of belonging kepada rakyat yang mencintai negaranya.
Perasaan "ke-asingan"
Sebaliknya, luahan yang menyahkan atau mempunyai kesan menyisihkan sekelompok manusia dalam masyarakat berkenaan, seperti lemparan ungkapan "pendatang", sudah tentunya bukan sahaja mengundang perasaan marah dari komuniti berkenaan, tapi juga perasaan "ke-asingan".
Polisi tertentu yang dibentuk oleh pemerintah yang mempunyai elemen diskriminasi juga berkeupayaan untuk melemahkan perasaan ‘keahlian’ bagi komuniti yang menghadapi amalan diskriminasi dari pihak tertentu. Pendekata, diskriminasi ini boleh menggagalkan usaha untuk memupuk perpaduan rakyat pelbagai etnik, dan seterusnya menggugat konsep ‘1Malaysia’ itu.
‘1Malaysia’ juga boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menghayati idea ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ (unity in diversity) yang penting kerana ini menggalakkan warganegara untuk menghargai kepentingan dan "kecantikan" yang boleh diperolehi daripada kepelbagaian. Konsep kepelbagaian ini dikatakan penting lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia di mana terdapat pelbagai jenis manusia dengan pelbagai sikap, pendirian, fahaman, ritual dan budaya yang diamalkan.
Kepelbagaian juga membawa implikasi bahawa wujudnya perbezaan dalam masyarakat dan interaksi manusia. Dan perbezaan mempunyai potensi mencetuskan kesalahfahaman antara satu kelompok dengan kumpulan manusia lain. Di sinilah timbulnya betapa penting dialog dan perundingan antara pihak yang berkaitan. Malah, perbezaan yang dihargai dan hormati boleh membina solidariti dalam kalangan mereka.
Tapi untuk ini semua dilaksanakan atau dicapai, ianya juga memerlukan penglibatan dan tindakan pemerintah. Misalnya, "1Malaysia" yang benar-benar mengilhamkan masyarakat yang saksama dan merasakan perasaan "keahlian", harus membanteras usaha-usaha elemen tertentu dalam masyarakat yang cuba memecahbelahkan rakyat jelata menerusi politik ras, sepertimana yang dipopularkan oleh beberapa parti politik tanah air yang juga melibatkan kelompok BN sendiri.
Kesatuan rakyat Malaysia juga boleh digagalkan melalui polisi pemerintah yang mendiskriminasi kelompok tertentu hanya berdasarkan warna kulit dan kepercayaan. Gejala ini perlu ditangani golongan pemerintah yang dikatakan prihatin terhadap perpaduan rakyat.
Sekiranya kecacatan yang ada pada dasar pemerintah dan juga tindakan yang diambil yang memecahbelahkan rakyat berdasarkan etnisiti tidak ditangani, maka ungkapan "1Malaysia" ini akan hanya tinggal sebagai slogan kosong semata-mata sepertimana yang telah dilakukan oleh pemimpin politik sebelum Najib.
Menjaga hegemoni politik
Malah, konsep "1Malaysia" yang diwar-warkan ini akan hanya dilihat sebagai satu usaha golongan memerintah untuk semata-mata menjaga hegemoni politiknya dalam ertikata bahawa golongan memerintah berusaha mendapatkan restu (untuk kepimpinannya) daripada sebilangan rakyat dengan menjanjikan keadilan dan hak demokrasi pada tahap tertentu oleh pihak pemerintah kepada kelompok bukan Melayu yang rata-rata telah berkiblat kepada Pakatan Rakyat sejak pilihanraya umum yang lalu.
Sesungguhnya, tawaran konsep "1Malaysia" kepada rakyat Malaysia bukan sahaja perlu berupa ikhlas malah ianya perlu direalisasikan secara sistematik dan berlandaskan lunas-lunas murni seperti keadilan, belas kasihan (compassion), demokrasi dan perpaduan.
*Mustafa K Anuar ialah seorang pemerhati budaya, masyarakat dan slogan.
Himpunan 2K ‘Orang Muda Geng Kita’ (H2kOMGK) Catat Sejarah
BN diberi amaran, jangan selewengkan demokrasi Pemaisuri.
SETIU – PAS menerima demokrasi berparlimen sebagaimana yang diamalkan dan memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya tidak menggunakan cara lain dan ‘menutup’ demokrasi
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani memberi amaran, pemuda PAS diseluruh negera akan bangkit menentang sebarang bentuk penyelewengan prinsip demokrasi.
”Kita bimbang keadaan ini (yang) berlaku di Malaysia, hari ini kami (PAS) menerima demokrasi berparlimen, kita beri amaran kepada Barisan Nasional (BN),
”kalau kamu guna cara lain, tutup dmokrasi, kalau kami menang (dalam pilihanraya) kamu (BN) tak serah Negara, kami pemuda (PAS) akan bangkit menentang kamu (dari) seluruh negara,”tegasnya dihadapan 2000 orang pemuda PAS yang berhimpun dalam program ‘Orang Muda Geng Kita’ bagi parlimen Setiu dan Besut di Kampung Bari Besar dekat sini, Jumaat, 29 Januari.
Menurutnya, kehadiran ramai pemuda pada Himpunan tersebut dan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang lalu, membuktikan pemuda PAS Terengganu sedang menuju kejayaan.
”Bukan di Besut (dan) Setiu sahaja kita bekerja (untuk kemenangan), (di) seluruh negeri Terengganu, InsyaAllah,
”rekod kita (pemuda PAS Terengganu) di HIMPIT, 10,000 kita himpun pemuda, tak mampu dilakukan dinegeri-negeri lain,”jelasnya.
Beliau berkata, Pemuda PAS Besut dan Setiu yang berhimpun untuk program H2KOMGK, merupakan satu sejarah, kerana berjaya mencapai sasaran.
Katanya, pemuda PAS Kelantan, walaupun mempunyai kerajaan, sekiranya dihimpunkan bagi dua kawasan parlimen, tidak mampu menghimpunkan seramai mana yang hadir pada hari ini.
Kepala babi: Pihak berkuasa diminta siasat kesimpulan penduduk
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali menggesa pihak berkuasa meneliti beberapa kesimpulan yang buat penduduk berdasarkan beberapa petunjuk awal dalam kejadian melempar kepala babi hutan di dua masjid di Petaling Jaya, Rabu lalu.
Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu terdapat empat kesimpulan besar berhubung perkara itu dapat dibuat iaitu:
Pertama: kawasan di sekeliling masjid di Taman Medan itu didiami oleh orang Melayu dan tidak mungkin bagi seorang bukan Melayu yang dikenali atau tidak dikenali berani memasuki kawasan untuk membuat kerja buruk ini.
Kedua- Kepala babi hutan itu dimasukkan dalam plastik dan diikat dengan tali, menunjukkan kemungkinan besar ia diletak dekat masjid oleh seorang atau lebih tepatnya Muslim yang tidak mahu memegangnya kerana tahu ia haram dalam Islam.
Ketiga- Ramai penduduk Taman Medan menganggap kerja ini mungkin dilakukan oleh beberapa orang ekstremis, termasuk ahli Umno, kerana mereka biasa dengan cara lama Umno ini untuk mengapikan kemarahan kaum.
Dan keempat- Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengandaikan bahawa kepala babi hutan itu mungkin dibeli dari restoran, dan ekoran dari andaian ini ramai penduduk mengesyaki bukan orang awam biasa yang boleh mendapatkan empat kepala babi hutan dari restoran sekaligus melainkan dia seorang yang mempunyai kuasa.
"Saya menggesa pihak-pihak berkuasa menyiasat dengan segera dan teliti segala kesimpulan orang ramai ini sebelum ia merebak sebagai yang sebenarnya," katanya.
Dalam kejadian 27 Januari lalu, dua bungkusan masing-masing berisi dua kepala babi hutan dilemparkan di perkarangan masjid Taman Datuk Harun dan Seri Sentosa.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR Azmin Ali turut mendakwa ahli Umno terlibat dalam pembakaran sebuah gereja di Desa Melawati dan akan membaut pendedahan lanjut berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun memutuskan Azmin tidak perlu dipanggil untuk membantu siasatan.
Peralat rumah ibadat, politik biadab nakal-Mahfuz
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin tindakan melempar kepala babi di dua masjid di Petaling Jaya adalah cubaan pihak tertentu memprovokasi umat Islam bagi membangkitkan kemarahan terhadap penganut agama lain.
Beliau berkata, tindakan itu berkemungkinan setelah gagal membangkitkan kemarahan umat Islam dengan pembakaran beberapa gereja baru-baru ini ekoran isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut kristian.
Tindakan itu disifatkannya sebagai strategi politik 'Biadab Nakal'.
"Kejadian tersebut berpunca dari kenakalan politik mengadudombakan rumah Ibadat bagi mencapai cita-cita politik Biadab Nakal.
"Tindak tanduk politik Biadab Nakal ini adalah berpunca apabila mejoriti rakyat pelbagai kaum dan agama menolak dan tidak lagi terpengaruh dengan kenakalan politik golongan ini," katanya.
Percubaan itu jelasnya dilakukan bagi mengharapkan umat Islam kembali berpayung kepada politik murahan Biadab Nakal untuk kelangsungan kuasa mereka.
Lebih malang katanya, apabila suspek yang ditangkap adalah merupakan penganut agama Islam dan mencerminkan ada sesuatu yang silap dalam memberi kefahaman kepada mereka.
"Penangkapan suspek dalam kejadian pembakaran gereja dan surau yang terdiri dari kalangan umat Islam dan kini melemparkan kepala babi ke dalam masjid ternyata gagalnya pihak berkuasa agama Islam dan mereka yang punya kuasa dalam hal ehwal Islam memberikan kefahaman yang jelas betapa Islam sangat memuliakan rumah ibadat," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan, perbuatan melempar babi di Masjid Taman Datuk Harun dan Taman Sentosa juga dilakukan oleh orang Melayu sendiri.
"Melemparkan kepala babi yang di bungkus dalam pelastik lutsinar adalah petunjuk ianya di lakukan oleh orang yang jijik dan haram dengan babi.
"Kalau ianya di lakukan oleh orang tidak jijik dan tidak haram dengan babi sudah tentu ianya tidak perlu di letakkan dalam pelastik lutsinar," katanya.
Beliau melahirkan kekesalan dengan beberapa insiden serangan rumah ibadat yang boleh menjejaskan keharmonian hidup rakyat Malaysia.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab menghentikan dan menamatkan politik Biadab Nakal dan usaha memporakperandakan negara orang Malaysia," katanya.
Khalid terima keputusan, akan rayu segera
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menerima keputusan Jawatankuasa Disiplin yang mendapati beliau bersalah namun akan membuat rayuan segera berhubung hukuman penggantungan enam bulan dari jawatan parti.
Dalam respon segera kepada Harakahdaily beliau yang berada di luar negara berkata, beliau menghormati keputusan tersebut.
"Oh ok, No problem, saya boleh appeal (merayu) selepas saya balik.
"Yang penting dua dua didapati bersalah dan saya harap Datuk PJ (Hassan Ali) tidak akan lagi menimbulkan masalah dengan PR (Pakatan Rakyat) Selangor," katanya melalui khidmat pesanan ringkas SMS.
Hasan Ali dalam sidang medianya sebelum ini juga memaklumkan menerima keptusan Jawatan Kuasa Disiplin dengan hati yang terbuka dan menganggap ianya sebagai satu proses pendidikan kepada dirinya.
"Dalam pertemuan selama setengah jam tadi, saya sudah menerima hukuman daripada lembaga disiplin parti dan saya diberi amaran.
"Saya terima dengan hati yang terbuka dan anggap apa yang berlaku ini sebagai proses pendidikan bagi diri saya,"katanya.
Jawatankuasa disiplin PAS petang tadi memutuskan Khalid bersalah dan digantung enam bulan dari jawatan dalam Parti manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga bersalah dan diberi amaran bertulis berkuat kuasa hari ini.
Khalid digantung daripada menjadi Yang Dipertua Shah Alam dan Ahli Lajnah Politik PAS Pusat.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas mesyuarat petang tadi.
Mereka bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan dalam masa 30 hari.
Selain itu kedua-duanya juga tidak dibenar mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan parti dan Pakatan Rakyat.