Mahathir Mohamad
ULASAN l Apa yang akan Najib lakukan atau mungkin lakukan untuk menang Pilihanraya ke-14 (PRU14) boleh memuat senaskhah buku.
Saya hanya senaraikan beberapa tindakan yang telah dia lakukan
sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13 dan apa yang dilakukan semasa
pilihanraya kecil dan juga lain-lain yang dilakukan untuk menyekat
bangkangan terhadapnya.
Negara
masih ingat demonstrasi BERSIH 5. Dia menyatakan yang dia tidak akan
sekat. Tetapi kita semua tahu apa yang dia bermati-mati lakukan untuk
menghalang demonstrasi itu daripada diteruskan sama sekali atau untuk
mengurangkan skalanya.
Kesemua tempat yang dicadangkan oleh BERSIH tidak diluluskan pihak
polis.
Beberapa jalan juga di klasifikasikan sebagai tidak sesuai.
Demonstrasi tidak boleh ada apa-apa unsur keganasan. Tidak boleh ada
apa-apa sampah dibuang oleh para peserta demonstrasi. Baju kuning
menjadi pakaian jenayah.
Demo paling tertib
BERSIH telah patuhi hampir kesemua sekatan ini. Tidak seperti
demonstrasi jalanan di negara-negara lain, pesertanya tidak memenuhi
jalan-jalan tetapi hanya di kaki lima.
Mereka mematuhi semua arahan polis. Malahan ada pasukan untuk
mengutip sampah. Peserta juga elak daripada membuang sampah di jalan.
Tidak ada keganasan, walaupun apabila bertembung dengan penyokong Kerajaan berbaju merah.
Dunia tidak pernah menyaksi demonstrasi yang begitu tertib dan aman.
Tidak ada gas pemedih mata, tiada pembakaran tayar, tiada kenderaan yang
diterbalikkan.
Walaupun penganjur telah memberikan ketetapan untuk patuhi kesemua
syarat-syarat, beberapa hari sebelum demonstrasi, Maria Chin Abdullah,
pemimpin utama bersama sembilan lagi pemimpin yang lain ditangkap.
Maria dihumban ke dalam bilik yang sejuk dan gelap. Ini merupakan
satu penyeksaan. Demonstrasi tetap berjalan tanpa ramai daripada
pemimpin mereka.
Beberapa hari selepas demonstrasi berakhir barulah Maria dan yang
lain-lain dibebaskan. Ia juga kerana ramai yang melakukan protes secara
senyap di Dataran Merdeka setiap malam.
Inilah salah satu cara Najib untuk menakutkan pembangkang.
Dari episod ini kita dapat jangkakan yang Najib akan bertindak untuk
menghancurkan pembangkang dan menakutkan rakyat semasa Pilihanraya Umum
ke-14.
Terdapat
beberapa tanda-tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan
menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan
mengucar-kacirkan parti.
Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang.
Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil
terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus
dilakukan.
Duit mengalir tanpa batas
Undi untuk pembangkang akan merosot. Dan semasa ketiadaan pemimpin,
Najib boleh rasuah rakyat dan pekerja parti sesungguh hatinya.
Mereka akan lakukan semua perkara yang melanggar undang-undang menurut kehendaknya. Duit akan mengalir tanpa batas.
Pekerja pilihan raya dan juga pegawai mungkin akan menyalah arahkan
pengundi, dan undian akan dimanipulasi. Ramai yang tidak akan boleh
buang undi sama sekali.
Undi pos akan di “hijack” dan dipindahkan bagi menaikkan jumlah undi di kawasan calon-calon penting BN.
Secara dasar Malaysia bukan lagi sebuah demokrasi. Kita kini di
klasifikasikan sebagai sebuah kleptokrasi, sebuah negara yang dipimpin
pencuri. Tahap penipuan dalam pilihan raya akan menjadikan ia tidak
bererti sama sekali. Ini memalukan.
Ketua Polis Negara mungkin tidak bersetuju tetapi Malaysia telah pun
menjadi negara polis atau “Police State”. Tidak ada peraturan
undang-undang.
Sama ada arahan itu bertentangan undang-undang negara atau tidak, polis telah menunjukkan yang mereka bersedia menjalankannya.
Mereka akan tahan pemimpin pembangkang walaupun sedar yang mereka ini tidak pun melakukan apa-apa kesalahan.
Mereka akan menganggu-gugat orang, memanggil untuk disoal-siasat dan
diancam. Kesemua ini telah dilakukan dan ia dilakukan dengan persetujuan
KPN.
Isytiharkan darurat
Semua ini akan berlaku lagi semasa pilihan raya diadakan. Tetapi Najib juga boleh untuk tidak adakan pilihan raya.
Ia di bawah bidang kuasa dia untuk berbuat sedemikian. Undang-undang tidak akan menghalangnya.
Hanya dengan mengisytiharkan darurat, walaupun hakikatnya tidak pun timbul situasi sebegitu dia boleh gantung perlembagaan.
Dan dia akan dapat sokongan tidak belah-bahagi pemimpin Umno dan
Barisan Nasional. Mereka ini semua tahu yang pemimpin mereka ini
menyalahguna kuasa.
Mereka sedar akan siasatan dan tuduhan terhadap Najib oleh beberapa badan siasatan negara asing.
Mereka tahu tentang laporan jenayah oleh Department of Justice
Amerika Syarikat, penahanan individu dan penutupan bank-bank di
Singapura yang terpalit dengan skandal 1MDB.
Mereka tahu tentang kegiatan rasuah berleluasa melibatkan duit curi
yang dilakukan Najib bermula sebaik sahaja ianya menjawat jawatan. Dia
telah menghancurkan Umno dan negara.
Bangkitlah rakyat!
Said Keruak, Annuar Musa, Zahid Hamidi, Hishamuddin, Mustapa Mohamad,
pemimpin-pemimpin MCA dan MIC dan kesemua Menteri Kabinet sedikit pun
tidak ambil kisah.
Mereka
tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan
kepada reputasi Kerajaan yang baik yang telah dibina pemimpin-pemimpin
terdahulu.
Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi.
Biarlah negara ini hancur. Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi.
Biarkan ianya tersenarai sebagai diantara 10 negara paling korup di
dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi
mereka tidak kisah.
Rakyat boleh menderita. Itu bukan masalah Bapak-bapak Menteri. Dipimpin pencuri tidak mengapa.
Asalkan mereka sendiri dapat meraih untung untuk diri mereka sendiri
tidak mengapa, apa yang nak dikisahkan tentang perkara lain.
Saya
sedar yang pemimpin-pemimpin pembangkang sedang dijerut. Tetapi saya
merayu kepada semua rakyat Malaysia; Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan,
Murut Bajau dan lain-lain tolaklah Najib di Pilihan Raya Umum ke-14
walaupun pemimpin pembangkang dimasuk di dalam penjara.
Rakyat Malaysia!
Ini adalah negara negara kita. Kita dilahirkan di sini. Kita
dibesarkan di sini. Kita telah merasai kehidupan yang baik di sini,
mendapat pendapatan yang halal dari pekerjaan yang dilakukan dan
perkhidmatan yang diberikan.
Selamatkanlah negara ini daripada dihancurkan dan diranapkan sama sekali oleh Najib dan ketamakan kleptokrat-kelptokratnya.
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD pengerusi Parti Pribumi Bumiputera Bersatu (BERSATU) dan bekas perdana menteri keempat.