POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai ‘pakar’ membuat senjata
api buatan sendiri dalam satu serbuan di Kampung Pansong, Beaufort,
semalam.
Suspek berusia 57 tahun itu ditahan dalam operasi pada 2.30 petang
bersama selaras senapang jenis bakakuk dan beberapa lagi peralatan
membuat senjata api, yang turut dirampas polis.
Ketua Polis Beaufort Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi
dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Beaufort.
“Sejurus ditahan, suspek mengaku menyimpan senjata api dan peralatan
membuat senjata api di rumahnya,” kata Yusoff Zaki, menurut laporan
Berita Harian.
Suspek dibawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut, dan polis akan
memohon dia direman mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,
tambahnya.
Sebelum ini, kecoh di Sabah mengenai dakwaan sekumpulan lelaki
bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan
Long Patau, Tambisan.
Bagaimanapun, siasatan dan risikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah
serta Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mendapati
tiada petunjuk menunjukkan kejadian itu berlaku.
Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang bertanggungjawab
mencetuskan kejadian khianat di Taman Ipoh Timur semalam sehingga
mengakibatkan dia dipukul sekumpulan individu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata,
suspek kini telah direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 8
Februari untuk siasatan lanjut.
“Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan pada Jumaat (4
Februari) mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari
ini.
Tambahnya, kes itu kini kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen
427 Kanun Keseksaan iaitu kerana mendatangkan kecederaan serta khianat.
Yahaya berkata, pihaknya turut menerima satu lagi laporan polis yang
dibuat oleh waris lelaki itu hari ini mengenai suspek yang dipukul orang
ramai semasa kejadian.
“Siasatan masih dijalankan dengan merangkumi kesemua aspek berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan penularan video berkaitan insiden itu.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak
melangkaui undang-undang atau meletakkan undang-undang di tangan sendiri
dalam apa jua keadaan.
“Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi
mengenai video berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan polis,”
katanya.
Lewat malam tadi UtusanTV turut berkongsi klip video mengenai satu
kejadian pukul yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati
seorang lelaki selepas disuruh memakai pelitup muka.
Lelaki berbaju biru itu yang dikatakan mengamuk dengan merosakkan
beberapa peralatan sebuah restoran di kawasan kejadian telah dipukul
orang ramai akibat tindakannya itu.
Antara peralatan yang dirosakkan lelaki itu termasuk rak kaca dan pengimbas suhu di sebuah restoran.
BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin panas apabila semakin
banyak parti berminat menyertainya dan pemimpin parti masing-masing juga
telah memulakan kempen menyerang parti lawan.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
berpendapat walaupun PRN akan diadakan tidak lama, pihak-pihak
bertanding tidak seharusnya begitu ghairah menyerang parti lawan
sehingga menjejaskan perpaduan masyarakat.
“Menyerang bertubi-tubi tidak membawa kita ke mana-mana. Politik kini
memerlukan hemah dan kebijaksanaan aras tinggi. Tumpu kepada
perkara-perkara asas dan dasar.
“Tumpu kepada usaha mensejahterakan rakyat serta menghurai agenda
masa depan. Tumpu juga kepada jalan-jalan penyatuan dan muafakat Melayu
yang kini kembali rumit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook
miliknya hari ini.
Beliau berkata, usaha melunakkan hubungan politik orang Melayu dan
umat Islam mesti diteruskan dan agenda muafakat yang pernah terbentuk
sebelum ini tidak harus dikesampingkan begitu saja.
“Insyaallah walau berlaku PRN di Johor, agenda kebersamaan orang Melayu dan umat Islam mesti kita teruskan.
“Justeru bersederhana itu adalah sebaik-baik cara untuk semua pihak,” kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu.
Katanya, sejak beberapa hari lepas, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk
Wan Saiful Wan Jan bertindak bertubi-tubi menyerang UMNO kerana PRN di
Johor.
“Nasihat saya pada Wan Saiful supaya tumpu pada partinya dulu dari
menyerang UMNO, khususnya UMNO Johor. UMNO ada cara kita sendiri. UMNO
bukan setahun jagung. UMNO juga bukan serpihan. UMNO ada sejarah dan
wibawanya sendiri. Begitu juga UMNO Johor,” katanya.
Katanya, PRN tersebut diadakan selepas UMNO dan BN Johor telah
meneliti semua sudut dan merasakan mandat perlu dikembalikan kepada
rakyat dan Bangsa Johor, agar terbentuk sebuah kerajaan negeri yang
lebih stabil dan dapat menumpukan sepenuhnya tumpuan kepada usaha
membangunkan Johor dan membela rakyat Johor.
“Kepimpinan UMNO Johor merupakan satu saf kepimpinan yang amat baik,
berpengelaman dan istiqamah dalam perjuangan politik. Mungkin tidak
semua, tapi rata-rata Johor melahirkan pemimpin yang berkualiti. Apa
lagi dalam isu negeri dan rakyat Johor, orang Johorlah yang lebih tahu
tentang negeri mereka,” katanya. – UtusanTV
KUALA LUMPUR yang meniti usia separuh abad tahun ini harus lebih
bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan serta
memastikan tiada golongan yang dipinggirkan selaras prinsip Keluarga
Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip tiada yang
dipinggirkan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak
berkuasa tempatan yang mentadbir bandar raya ini perlu dinamik dan
produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian
perkhidmatan.
“Bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras,
bertimbang sama berat. Prinsip ini terpakai dalam mengurus dan mentadbir
bandar raya Kuala Lumpur. Golongan B40 misalnya, perlu diambil
perhatian bagi memastikan keperluan asas mereka terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur malam ini.
Pembentukan bandar raya yang mampan untuk semua perlu mengambil kira
keperluan ekonomi sesebuah bandar malah tarikan sebenar sesebuah bandar
raya adalah keupayaannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan, katanya.
“Dengan adanya faktor tarikan ini, maka bandar raya dapat terus berkembang secara holistik untuk jangka masa panjang,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata warga kota merupakan tunjang
keutuhan Kuala Lumpur dan kewujudan media baharu telah mendekatkan
mereka dengan pentadbir bagi menyuarakan suara dan pandangan dalam
pembangunan ibu negara.
“Suara dan pandangan mereka inilah yang akan menggerakkan usaha
kerajaan. Khususnya, terhadap objektif dan fokus dalam pentadbiran
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. Hal ini selari dengan iltizam
saya,” katanya.
Mengimbau sejarah bandar raya pertama di Malaysia itu, beliau berkata
Kuala Lumpur yang dahulunya sebuah pekan lombong bijih timah yang kecil
dan sunyi serta dipenuhi rumah-rumah atap nipah, kini meriah dengan
bangunan-bangunan pencakar langit dan perkembangan pesat penempatan
penduduk.
Katanya, dunia juga terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda
hebat seperti Menara Berkembar Petronas yang pernah mencatat sejarah
sebagai bangunan tertinggi di dunia dan kini, Menara Merdeka 118
merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pada
ketinggian 678.9 meter.
Beliau berkata penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini
terus meningkat saban tahun dengan kini dianggarkan berjumlah lapan juta
orang susulan pertumbuhan pesat ekonomi.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri
Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che
Ngah. BERNAMA
KUALA
LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini
mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL)
bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, PKKMKL merangkumi dua perkara utama iaitu
usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan meningkatkan penyampaian
perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.
“Bagi
menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki,
laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan
keselamatan pengguna.
“Bagi menggerakkan aktiviti ekonomi, DBKL menaiktaraf gerai penjaja
di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di
tepi jalan yang berlesen.
“Selain itu, DBKL dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar
raya sifar miskin tegar,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar
Raya Kuala Lumpur di Panggung Anniversary Taman Botani Perdana di sini
malam ini.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim
dan Timbalan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Datuk Bandar Kuala
Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.
Pada 1 Februari lalu, genap usia Kuala Lumpur 50 tahun diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia.
Ismail Sabri berkata, dalam meningkatkan kualiti kehidupan
rakyat dan membolehkan warga kota mendapat kehidupan lebih selesa DBKL
akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan
keluasan minimum 750 kaki persegi.
Menurut
beliau, DBKL akan membuat pembaikan lif yang melibatkan 306 buah lif di
31 lokasi Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan
dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Tambah beliau, bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap
keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkat dengan melakukan pemantauan
melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal “Kuala Lumpur Command
& Control Centre”.
Jelas beliau, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas
secara dalam talian kelulusan lesen premis perniagaan akan dilakukan
dalam tempoh 24 jam.
“Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperolehi dalam tempoh tiga hari.
“Sebagai insentif menggalakkan warga kota melakukan urusan secara
dalam talian, pembayaran melibatkan semua fi permohonan akan diberi
rebat 10 peratus sepanjang tahun 2022,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, Kuala Lumpur dalam meniti usia 50 tahun
harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa
depan.
Jelas
beliau, DBKL sebagai pihak yang mentadbir Kuala Lumpur perlu dinamik
dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan
penyampaian perkhidmatan.
Sementara itu, Shahidan dalam ucapan alu-aluan beliau berkata,
setakat 31 Disember lalu, seramai 434 belia telah membuka kios
perniagaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kata beliau, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan 1,000 buah kios dibuka menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 1 juta pokok dirancang ditanam di
Wilayah Persekutuan iaitu 500,000 pokok di Kuala Lumpur, 400,000 pokok
di Putrajaya, 100,000 pokok di Labuan dan tempoh penanaman bermula 2021
ke 2025.
“Jumlah keluasan kawasan lapang dan kawasan hijau di Kuala Lumpur
yang diperuntukan bagi tujuan aktiviti rekreasi dan riadah adalah
2068.30 hektar.
“Sebanyak 966.05 hektar tanah sudah pun diwartakan, manakala 1033.99
hektar tanah lapang lagi berpotensi untuk diwartakan seperti digazetkan
dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.
“Kawasan
hijau dan kawasan lapang ini juga boleh membawa nilai ekonomi kepada
negara apabila dinaiktaraf dan dijadikan sebagai salah satu ikon
pelancongan negara,” katanya. – K! ONLINE
GUA MUSANG –
Sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat
Orang Asli suku kaum Temiar bertukar tragedi apabila salah seorang
penduduk ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang
di Kampung Sau, Pos Bihai di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa, Anek Along yang
dipercayai sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya disedari
hilang sebelum orang kampung menemui mayatnya bersama harimau itu.
Ketua
Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anak
perempuan mangsa yang masih belum disahkan usianya menyedari kehilangan
bapa selepas tiada sahutan apabila dipanggil beberapa kali.
Katanya, anak mangsa telah mencari lelaki itu di belakang rumah sebelum melihat kesan darah pada daun-daun pokok.
“Anak mangsa kemudian telah memanggil orang kampung untuk mencari bapanya berdasarkan kesan darah pada daun-daun pokok.
“Tidak lama kemudian, orang kampung akhirnya telah menjumpai mayat
mangsa bersama harimau itu. Orang kampung telah membaling lembing dan
dipercayai telah terkena harimau sebelum haiwan itu lari ke kawasan
hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K!
ONLINE.
LUMUT –
Seorang lelaki warga emas yang terkunci dalam tandas di sebuah rumah di
Taman Guru, Sitiawan ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Ling Chee Moh, 63,sudah meninggal dunia ketika anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari tandas di dalam rumahnya itu.
Jurucakap
Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan
kecemasan daripada anak perempuan mangsa pada pukul 9.38 pagi.
“Anak mangsa menelefon bomba selepas mendapati bapanya tidak keluar
dari tandas sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)
Seri Manjung dan Sitiawan diketuai Komander Operasi, Shariman Hashari,
bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di rumah itu, kami bertindak mengumpil pintu tandas
tersebut dan selepas berjaya dibuka, mangsa disahkan meninggal dunia
oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi
hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk
tindakan lanjut dan operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.31 pagi. –
K! ONLINE
Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta.
Pengambilan tembakau adalah
antara faktor utama pencetus kanser iaitu penyakit utama yang
menyebabkan kematian di hospital swasta dan kerajaan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kanser menyumbang kepada
34.95% penyebab kematian di hospital swasta dan penyebab kematian
keempat tertinggi di hospital kementerian kesihatan (KKM) iaitu 11.56%.
Beliau berkata kanser juga merupakan antara 10 sebab utama kemasukan ke wad di hospital KKM (5.17%) dan hospital swasta (5.37%).
“KKM
melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11% atau 115,238 kes bagi
tempoh 2012 hingga 2016, berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga
2011.
“Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok
adalah sebanyak RM132.7 juta,” katanya dalam kenyataan sempena Hari
Kanser Sedunia hari ini.
Tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah
kanser kolorektal atau usus besar (16.9%), kanser paru-paru (14.8%) dan
kanser prostat (8.1%), manakala dalam kalangan wanita pula adalah kanser
payudara (33.9%), diikuti kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks
(6.2%).
Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan
bahawa satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan
dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan dan
pengambilan alkohol berlebihan, kurang pengambilan sayur dan
buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.
Sehubungan itu, Khairy menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan
gaya hidup sihat dan mengutamakan penjagaan kesihatan diri dalam
kehidupan harian.
Bagaimanapun, kadar kes dalam kategori komorbid, bergejala dan tenat direkodkan sebanyak 0.5%.
9,117 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,904,131 kes.
6,546 pesakit juga direkodkan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sembuh sebanyak 2,806,154.
Dalam pada itu, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi
(ICU) adalah sebanyak 123 kes di mana 81 daripadanya disahkan Covid-19.
Sementara itu pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 67 kes di mana 34 adalah kes Covid-19.
Dari 9,117 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 47 kes (0.5%)
adalah daripada Kategori Tiga, Empat, dan Lima, dan 9,070 kes (99.5%)
lagi adalah terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.
Siasatan mengenai kemunculan harimau di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu dimulakan malam semalam.
Jabatan Perlindungan
Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedang menyiasat
dakwaan terdapat harimau belang yang berkeliaran di kawasan semak
berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini baru-baru ini.
Pengarahnya Yusof Shariff berkata pihaknya telah menghantar Unit Harimau ke lokasi berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Siasatan sedang dijalankan selepas pihak kami mengesan video tular
ini pada kira-kira pukul 10 malam tadi,” katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.
Video
berdurasi 17 saat itu tular menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seekor
harimau berjalan di celahan semak samun di kawasan berbukit.
Pemilik media sosial itu turut mendakwa lokasi terbabit ialah selepas
Cafe Banjaran yang terletak berhampiran kawasan rehat dan rawat serta
meminta orang ramai berhati-hati.
KOTA
BHARU: Farmasi Superbig Kubang Kerian, di sini menjadi farmasi komuniti
pertama di negara ini menggunakan konsep pandu lalu.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang, berkata
kaunter pengambilan ubat secara pandu lalu adalah alternatif terbaik
yang perlu diakses ketika penularan COVID-19.
"Pelanggan memesan ubat dari dalam kenderaan di kaunter pandu lalu
yang mana secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko penularan
pandemik COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Farmasi Komuniti Pandu
Lalu Pertama Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan
Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Superbig Capital Berhad, Dr Wan Sazrina Wan Zaid.
Hingga kini terdapat 22,000 ahli farmasi di seluruh negara yang berdaftar dengan MPS termasuk 4,000 ahli farmasi komuniti.
Sementara itu, Dr Wan Sazrina berkata, kaunter pandu lalu farmasi
itu mampu mengurangkan kapasiti orang ramai di kaunter farmasi hospital.
"Dalam keadaan sekarang, pelanggan lebih cenderung mengunjungi farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat serta vitamin.
"Ini sebahagian usaha mengelak daripada bersesak di hospital dan klinik," katanya.
KOTA
KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan tatacara penutupan sekolah,
sekiranya berlaku penularan jangkitan COVID-19 membabitkan institusi
pendidikan.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun,
berkata keputusan terbabit dilaksanakan berikutan jumlah kluster
pendidikan meningkat secara mendadak, baru-baru ini.
"Berdasarkan kepada situasi semasa di Sabah, terdapat beberapa
tindakan diputuskan melalui Mesyuarat Pengurusan Bencana Negeri Sabah
COVID-19 untuk dilaksanakan segera.
"Antaranya ialah penutupan sekolah serta-merta selama tujuh hari,
sekiranya terdapat sekurang-kurangnya dua orang positif COVID-19 yang
membabitkan satu penularan dalaman.
"Jangkitan mesti disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam
kalangan pelajar, guru atau kakitangan sekolah yang terbabit.
"Selain itu, hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama saja
dibenarkan pulang ke asrama (asrama penuh atau harian), bagi meneruskan
sesi pembelajaran pada 7 Februari," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad
Zahid, Mohamad dan Hasni dan pemimpin dalam majlis di Iskandar Puteri,
Johor, hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan Johor
ISKANDAR
PUTERI: Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan dalam pemilihan
calon untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tidak
mengemuka 'calon kabel', sebaliknya menurunkan hanya calon terbaik.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemilihan
calon terbaik bagi menghadapi PRN Johor penting supaya kemenangan mutlak
dapat dicapai.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata kemenangan mutlak perlu
dicapai BN di Johor sekali gus membuktikan kebangkitan parti yang tewas
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
"BN perlu melakukan perubahan berani pada PRN Johor dengan
menampilkan calon terbaik yang tidak menggunakan 'kabel' bagi memastikan
kebangkitan parti.
"Calon PRN Johor mesti WALI, iaitu 'winnable' (boleh menang),
'acceptable' (diterima) dan 'likeable', (disukai). BN tak perlu calon
kabel.
"Insya-Allah, saya, pemimpin UMNO dan BN bersama pemimpin Johor akan
tentukan calon terbaik supaya perubahan dapat dilakukan di Johor dengan
kita mencapai kemenangan lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap
Pengarah PRN Johor serta Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi UMNO
Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor.
Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,
Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO,
Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga sudah memaklumkan
kepada Hasni supaya berunding dengan ketua-ketua bahagian supaya dapat
menampilkan calon terbaik.
"Ketua bahagian saya tahu tak akan calonkan nama sendiri. Pengundi muda ramai, calonkan calon muda.
"Pengundi wanita juga ramai, jangan lupa calonkan ramai calon wanita.
"Orang lama pun ramai, maka calonkan juga mereka.
"Kita mahu BN menang besar. Maka, lakukan perubahan terutama dalam pemilihan calon," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut sedang meneliti manifesto BN yang terbaik untuk dikemuka kepada pengundi.
"Saya yakin walaupun manifesto ini nanti bukan kitab suci, namun ia mampu dilaksanakan dan bukan janji palsu.
"Saya akan pastikan dan pantau segala janji yang kita kemukakan dalam manifesto BN wajib dilaksanakan," katanya.
KOTA
MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terpaksa menahan
kesakitan selepas sesendal skru yang disarung di jari manis tangan
kanan, tersekat di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 9 malam tadi, mangsa dikejarkan ke Hospital Kota
Marudu sebelum kakitangan hospital kemudiannya menghubungi pihak bomba
bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony
Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.01
malam dan lima anggota dikerah ke lokasi.
"Sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan mendapati
jari manis tangan kanan mangsa membengkak serta mengalami luka kecil.
"Anggota bomba mengambil masa kurang 40 minit bagi memotong dan
menanggal objek berkenaan dengan menggunakan peralatan 'Mini Grinder',"
katanya dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 10 malam dan kes diserahkan
kepada pihak perubatan hospital untuk rawatan lanjut kepada mangsa
Lapor pada SKMM jika terdapat ajaran itu disebar melalui media sosial
PUTRAJAYA
– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris
Ahmad mengarahkan Jabatan Agama Islam di setiap negeri untuk memantau
penyebaran ajaran sesat kumpulan Gerakan Akhir Zaman (Gaza).
Idris
berkata, jika terdapat aduan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
akan menghubungi negeri berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Manakala
jika terdapat aduan ajaran sesat itu disebar di platform media sosial,
beliau berkata, pihaknya akan melaporkan perkara tersebut kepada
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dalam pada itu, Idris menyeru agar semua umat Islam di negara ini tidak terpedaya dengan dakyah sesat kumpulan tersebut.
“Soal agama kena mengaji dengan guru, bukan YouTube atau Google dan kena ada asas pengetahuan agama.
“Apabila kita ada asas dan mengaji dengan guru, benda (Gerakan Akhir Zaman) itu tidak logik,” katanya.
Sinar Harian
sebelum ini melaporkan, kumpulan berasal dari Indonesia itu mengajak
orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim
Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah SWT di dalam
mimpinya.
Babit kebanyakan negeri Semenanjung termasuk Sabah, Sarawak
BANGI, 2 Rejab 1443H, Jumaat
– Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut
petir di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan
Sarawak hingga jam 8 dan 9 malam ini.
Dalam
kenyataan petang ini, MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dan
hujan lebat dijangka sehingga jam 8 malam membabitkan beberapa daerah di
Perak iaitu Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar,
Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim.
Ia turut
membabitkan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat di Selangor, Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Port Dickson, Kuala
Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) serta Melaka.
Turut
diramal terkesan beberapa daerah di Johor iaitu Tangkak, Muar, Batu
Pahat, Mersing dan Pontian serta Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Tawau
dan Sandakan.
Selain itu, beberapa negeri juga dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat yang berterusan sehingga jam 9 malam ini.
Ia
membabitkan Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok
Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Kulim dan Bandar
Baharu), Pulau Pinang serta Perak (Kerian).
Cuaca sama diramal di beberapa daerah di Pahang iaitu Tanah Tinggi, Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Temerloh.
Turut
dijangka terkesan Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan dan
Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song, Kapit dan Bukit
Mabong) serta Limbang di Sarawak.
Menurut
MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan
ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau
dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran
ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak
melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Peningkatan air laut secara normal, tak datangkan risiko
SUNGAI PETANI–
Fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di kawasan Kuala Muda,
di sini antara Selasa lepas hingga esok, setakat ini tidak membawa
ancaman kepada penduduk khususnya di kawasan pantai di daerah itu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia (APM) Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata berdasarkan
pemantauan pihaknya, peningkatan paras air laut berlaku secara normal
dan ia tidak mendatangkan risiko kepada penduduk.
“Pemantauan air pasang besar di Kedah
ada dua tempat iaitu kawasan Kuala Muda dan Kuala Kedah dan tahun lepas
ada kawasan terjejas ekoran fenomena itu tapi untuk kali ini ia
diramalkan berlaku di Kuala Muda.
“Kita telah mengerahkan anggota ke
lokasi yang dijangkakan berpotensi berlaku air pasang besar untuk
ramalan kali ini dan berdasarkan laporan petugas di lapangan walaupun
air pasang berlaku tetapi ia tidak begitu serius,” katanya ketika
ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pemantauan dilakukan di
dua lokasi iaitu pantai Kota Kuala Muda dan pantai Tanjung Dawai dengan
berpandukan maklumat hidrografi yang dikeluarkan Pusat Hidrografi
Nasional serta Jadual Ramalan Air Pasang Surut Malaysia.
Katanya, pada pukul 2 pagi tadi aras air
di kedua-dua lokasi itu dikesan naik ke sekitar 1.3 dan 1.5 meter iaitu
bacaan normal dan tidak mencapai paras yang diramalkan iaitu 2.26
meter.
Awang Askandar berkata komuniti atau
penduduk di kawasan pantai Kuala Muda tidak perlu bimbang dengan keadaan
itu, namun mereka perlu sentiasa berwaspada untuk sebarang kemungkinan
yang boleh berlaku.
Pusat Hidrografi Nasional sebelum ini
mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar di pesisir pantai
khususnya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia mulai 1
hingga 5 Februari.
Selain Kuala Muda, kawasan lain yang
diramal berhadapan dengan fenomena itu adalah Pelabuhan Klang dan Sabak
Bernam, Selangor; Bagan Datuk, Perak serta Batu Pahat dan Pontian di
Johor. – Bernama
Siasatan berdasarkan tanggungjawab dan analisis neutral
KUALA LUMPUR –
Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) K.Lalitha
mendakwa kandungan artikel dan ciapannya berhubung Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki
diperoleh daripada sumber yang sah.
Perkara itu dinyatakan Lalitha, 49,
selaku defendan di dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan menerusi
Tetuan Ibrahim & Fuaadah semalam.
“Saya telah menyiarkan artikel-artikel
itu berdasarkan apa yang diekstrak daripada sumber yang disahkan serta
merumuskan maklumat dengan tepat, adil dan secara neutral,” menurutnya
dalam pernyataan pembelaan.
Beliau juga mendakwa selaku wartawan
penyiasat, siasatan yang dilakukannya adalah berdasarkan tanggungjawab
dan analisis neutral selain tidak berat sebelah terhadap fakta serta
maklumat yang diperoleh, yang boleh diakses daripada domain awam.
“Saya memplid bahawa adalah amat penting
bagi orang ramai untuk menerima komunikasi maklumat tertentu secara
terus terang dan tanpa halangan, demi kepentingan awam,” katanya.
Pada 12 Januari lepas, Azam, 59,
memfailkan saman terhadap Lalitha atas dakwaan menerbitkan artikel
memfitnah berkaitan pembelian saham yang disiarkan oleh portal agensi
berita Independent News Service (INS).
Azam mendakwa Lalitha telah mengarang
dua artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does
It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep
Does It Go? (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada
26 Okt sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Dis tahun
lepas.
Plaintif mendakwa defendan turut
berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama
@LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua
artikel masih boleh diakses sehingga kini.
Dakwa Azam tajuk artikel itu adalah
sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan
diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran
yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam
yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai
tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.
Azam mendakwa penerbitan fitnah itu
menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut
perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat,
menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut
diterbitkan semula selain memohon defendan memadam artikel dan ciapan
dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam
akhbar atau media sosial pilihan plaintif.
Turut dituntut ganti rugi am sebanyak
RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan
sesuai oleh mahkamah. – Bernama
Satu taklimat bersama MP didakwa diadakan pada 9 Februari ini
BANGI – Kerajaan dikhabarkan semakin bersedia untuk membentangkan rang
undang-undang antilompat parti dan mengehadkan penggal bagi Perdana
Menteri kepada 10 tahun.
Portal
Malaysiakini yang memetik sumber mendakwa, Putrajaya akan mengadakan
satu taklimat serta perundingan mengenai rang undang-undang itu.
Sumber
portal itu mendakwa, Ahli Parlimen telah dijemput menghadiri taklimat
oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 9
Februari ini di Parlimen.
“Kami
menjangka akan terlibat dalam perkara dasar berhubung rang undang-undang
antilompat parti dan rang undang-undang untuk mengehadkan penggal
Perdana Menteri kepada 10 tahun.
“Kami juga
mengharapkan untuk mendengar cadangan mengenai pindaan Perlembagaan
selanjutnya,” kata sumber yang didakwa Ahli Parlimen tanpa namanya
disiarkan.
Sumber
terbabit juga mendakwa bahawa kerajaan kelihatan bersedia untuk
membentangkan rang undang-undang berkenaan pada bulan Mac.
Menurut portal Malaysiakini, sesi pada 9 Februari ini dipercayai yang kedua selepas taklimat pada 22 Disember tahun lalu.
Sejak
memegang jawatan Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi telah mengadakan
banyak sesi perbincangan mengenai perkara perundangan dengan Ahli
Parlimen.
Undang-undang
antilompat parti dan had penggal Perdana Menteri adalah syarat yang
ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) Perdana Menteri, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).
Orang ramai diingat agar terus patuhi SOP COVID-19 yang ditetapkan
KUALA LUMPUR –
Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi
menjangkakan pertambahan ketara jumlah pengunjung di kedua-dua Masjid
Suci umat Islam itu sempena kedatangan bulan Rejab (pada Khamis).
Kehadiran bilangan tinggi pengunjung di Dua Masjid Suci itu dijangka berterusan sehingga akhir Ramadan akan datang.
Oleh itu, jabatan itu mengingatkan orang
ramai agar terus mematuhi posedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang
telah ditetapkan.
Menerusi infografik yang dikongsi di
laman Twitter rasminya, jabatan itu menyenaraikan SOP semasa Masjidil
Haram dan Masjid Nabawi setakat 3 Februari 2022, termasuklah wajib
memiliki status ‘imun’ pada aplikasi Tawakkalna dan permit sah untuk
memasuki Dua Masjid Suci itu.
Kedua, hanya individu berusia 12 tahun ke atas dibenarkan mengunjungi Dua Masjid Suci berkenaan.
“Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dari
Arab Saudi dan seluruh dunia, sama ada imun atau tidak, pada masa ini
tidak dibenarkan memasuki Dua Masjid Suci atau halamannya,” kata jabatan
itu.
Ketiga, hanya sekali umrah setiap 10
hari dibenarkan. Ini berikutan penerapan semula langkah berjaga-jaga
oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, untuk mengehadkan kapasiti dan
memastikan tiada kesesakan terutama ketika melakukan ziarah Raudhah dan
Makam Rasulullah.
Keempat, wajib memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.
Kelima, pengunjung perlu mematuhi masa yang diperuntukkan dalam permit masing-masing.
“Keperluan untuk tiba dan meninggalkan
Dua Masjid Suci mengikut masa yang ditetapkan dalam permit adalah sangat
penting. Dua Masjid Suci ditutup sejam selepas solat Isyak dan dibuka
semula sejam sebelum solat Subuh,” menurutnya.
Keenam, ruangan Mataaf adalah terhad kepada jemaah umrah sahaja.
“Pada masa ini kemasukan ke Mataaf hanya
dibenarkan untuk jemaah umrah yang membawa Permit Umrah yang sah dan
untuk tujuan tawaf sahaja,” tambah jabatan itu.
Ketujuh, larangan menyentuh Kaabah, Hajar Aswad dan Solat dalam Hateem.
“Pada masa ini, terdapat sekatan untuk
menyentuh Kaabah, Hajar Aswad dan solat di dalam Hateem sebagai langkah
berjaga-jaga terhadap penularan COVID-19”, katanya.
Setakat 12 tengahari ini, Arab Saudi
merekodkan 3,555 kes positif baharu dengan tiga kematian, dengan jumlah
kumulatif kematian meningkat kepada 8,950 kes, di negara yang
mencatatkan 702,624 kes jangkitan setakat ini. – Bernama
KUALA
LUMPUR: Kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 berdepan risiko 40 kali
ganda untuk mengalami kesan kesihatan berpanjangan sekiranya tidak
diberikan suntikan imunisasi.
Antara risiko yang bakal dihadapi termasuk miokarditis atau radang
otot jantung dan sindrom keradangan pelbagai sistem (MISC) sehingga
menjejaskan kualiti kehidupan kanak-kanak bagi tempoh lama.
Ketua Jabatan Pakar Perunding Pediatrik dan Perubatan Remaja,
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Dr N Thiyagar, berkata perangkaan
semasa menyaksikan sebanyak 74 kes, membabitkan bayi hingga kanak-kanak
dan remaja berusia 15 tahun mengalami miokarditis berikutan jangkitan
COVID-19.
Risiko kesihatan sedemikian bagaimanapun berupaya ditangani
menerusi suntikan vaksin COVID-19 yang ketika ini sudah disyorkan untuk
remaja dan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Ramai yang sering kaitkan dengan kesan sampingan susulan vaksin
(AEFI) seperti miokarditis sehingga mempengaruhi keputusan ibu bapa
untuk membenarkan anak mereka menerima suntikan imunisasi COVID-19.
Data dari luar negara setakat ini menunjukkan bahawa miokarditis
lazimnya dialami remaja lelaki, berusia 16 hingga 18 tahun dan risiko
sebegini dimaklumkan kepada penjaga.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya memberikan suntikan
imunisasi kepada beribu remaja kita di sini, belum ada satu kes kesan
sampingan miokarditis yang direkodkan atau kemasukan ke wad selepas
mendapat pelalian.
"Sebaliknya, miokarditis dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang
belum mendapat suntikan imunisasi adalah 74 kes dan kajian mendapati
mereka berdepan risiko 40 kali ganda tanpa perlindungan vaksin," katanya
kepada BH, hari ini.
Menyedari kebimbangan ibu bapa, Dr Thiyagar menjelaskan, tanggapan
bahawa pembentukan sistem pertahanan badan secara semula jadi, selepas
mendapat jangkitan COVID-19 adalah percaturan yang lebih berbahaya.
Beliau berkata, hal itu kerana kanak-kanak yang lazimnya tidak
mempunyai sistem pertahanan badan secara sempurna berdepan risiko kesan
kesihatan berpanjangan, malah sebarang jangkitan virus tidak semestinya
menghasilkan antibodi atau tahap perlindungan mencukupi.
"Memang betul, jika kita dijangkiti COVID-19, badan akan
menghasilkan antibodi tetapi risiko jauh lebih tinggi berbanding kaedah
terkawal menerusi vaksin, selain kita perlu pertimbangkan kesan
kesihatan berpanjangan yang bakal dialami kanak-kanak," katanya.
Ketua Perkhidmatan Pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA), Dr
Sabeera Begum Kader Ibrahim, pula mendedahkan seramai 200 pesakit
berusia bawah 12 tahun yang dimasukkan ke wad kerana mengalami MISC,
susulan penularan gelombang varian Delta sejak Ogos tahun lalu.
Lebih membimbangkan, katanya, 10 kes kematian dalam kelompok usia
berkenaan direkodkan berikutan MISC, iaitu keradangan secara serentak
pada dua atau lebih organ tubuh badan seperti jantung, paru-paru, buah
pinggang, otak, kulit, mata dan usus.
"Sebenarnya ibu bapa bukan enggan, sebaliknya mungkin mereka
perlukan sedikit masa untuk mempercayai keberkesanan dan keperluan
vaksin bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
"Justeru, langkah terbaik ialah dapatkan nasihat daripada pakar
kanak-kanak anda seandainya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai
keperluan suntikan vaksin bagi anak mereka.
"Nasihat saya, kanak-kanak dengan rekod masalah kesihatan seperti
diabetes, obesiti, asma, komplikasi jantung dan paru-paru adalah
golongan paling utama yang wajar mendapatkan vaksin secepat mungkin.
"Ini kerana COVID-19 berupaya menyebabkan masalah kesihatan
sebegini menjadi lebih teruk, sehingga mengundang risiko kematian,"
katanya.
Bagi memastikan perlindungan menyeluruh, Dr Sabeera berkata
kanak-kanak yang sihat tubuh badan juga amat digalakkan untuk
mendapatkan suntikan imunisasi COVID-19 bagi memutuskan risiko rantaian
jangkitan.
Memberi contoh situasi dalam sebuah keluarga, beliau berkata, warga
emas yang tinggal di kediaman sama berkemungkinan mempunyai
kontraindikasi sehingga tidak membenarkan mereka untuk mengambil
suntikan vaksin.
LULUH hati seorang bapa dari Sinjai, Sulawesi Selatan, Indonesia
apabila mendapati wangnya tidak mencukupi untuk menyewa ambulans bagi
membawa jenazah bayi pramatangnya yang meninggal dunia pulang ke rumah.
Sedih dengan keadaan itu, Asdar, 29, nekad membonceng jenazah anaknya
dengan motosikal sejauh 104 kilometer (km) dari hospital ke rumahnya di
Kelurahan Samataring, Kecamatan Sinjai Timur.
Kisah menyedihkan itu berlaku minggu lalu setelah Asdar menyedari
wang yang sepatutnya digunakan untuk menyewa ambulans masih kekurangan
100,000 rupiah (RM29).
Ini membuatkan Asdar membuat keputusan membonceng jenazah anaknya
dari Hospital Pancaitana, daerah Bone ke rumahya pada 31 Januari lalu
sambil ditemani saudaranya.
Lapor Kompas, lelaki itu pada awalnya meminta pihak Hospital
Pancaitana Bone untuk menghantar jenazah anaknya menggunakan ambulans.
Namun lelaki itu diminta membayar 600 ribu rupiah (RM174) sedangkan Asdar hanya memiliki 500,000 rupiah (RM145).
“Kata pihak hospital kos membawa jenazah itu masih tidak cukup,
terpaksa jasad bayi saya bawa pulang menggunakan motosikal,” kata Asdar.
Difahamkan, setelah Asdar melalui dua mukim iaitu Barebbo dan Cina,
pemandu ambulans Hospital Pancaitana meminta Asar berhenti namun lelaki
itu menolak tawaran itu.
Mengikut laporan Tribun Timur, isteri Asdar, Juliatun Mariani, 25, melahirkan anak mereka pada 27 Januari lalu secara pramatang.
Ini selepas wanita itu mengalami pendarahan ketika kandungannya baru berusia tujuh bulan.
Bayi pramatang itu kemudian berjaya dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.
Bagaimanapun selepas beberapa hari, anak pasangan itu kemudiannya meninggal dunia di Hospital Pancaitana Bone.
Sementara itu, pihak pengurusan Hospital Pancaitana Bone tampil memohon maaf kepada Asdar.
“Jadi kami atas nama pengurusan meminta maaf atas masalah ini, tak
seharusnya terjadi seperti ini Pak, ini salah,” kata Ketua Bagian
Pentadbiran Hospital Pancaitana, Fahruddin.
JERAT cinta ‘Love Scam’ memang lain macam, sudah banyak dilaporkan sejak beberapa tahun dahulu namun ada lagi yang terpedaya.
Seperti biasa, percintaan yang wujud adalah secara online dengan wanita berduit disasarkan mereka tanpa mengira umur.
Selepas perkenalan di media sosial dan janji mahu berkahwin,
‘kekasih’ luar negara mulalah meminjam wang dan selepas berkali-kali
masukkan duit barulah mangsa sedar yang sebenarnya percintaan itu
hanyalah penipuan semata-mata.
Terbaru wanita berusia 74 tahun di Kuantan kerugian RM52,300 akibat
Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang kononnya warga
Amerika Syarikat (AS) menerusi laman sosial pada Disember lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd
Wazir Mohd Yusof berkata, wanita warga emas yang juga pesara itu
dikatakan telah dihubungi suspek melalui Facebook dengan nama Nelson
Michael Jr.
Suspek mendakwa dirinya berasal dari AS namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak.
Beliau berkata sepanjang perkenalaan, mangsa tidak pernah menemui
suspek dan hanya berhubung dengan lelaki tersebut menerusi panggilan
telefon dan aplikasi WhatsApp.
“Suspek telah meminjam wang dari wanita itu dengan pelbagai alasan
sebanyak tujuh kali dengan jumlah keseluruhan RM52,300 malah berjanji
dengan mangsa mahu mengahwininya apabila memberi pinjam wang tersebut.
Bagaimanapun, suspek tidak dapat dihubungi mangsa sejak 31 Januari
lepas, iaitu selepas melakukan transaksi terakhir malah lelaki itu turut
menyekat nombor telefon wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari
ini seperti dilapor Bernama.
Menurut Mohd Wazir, mangsa yang menyedari dirinya tertipu telah
membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh
dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” ujarnya.
JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang bermesyuarat hari
mencapai persetujuan untuk menggariskan lapan langkah strategik menambah
baik pengurusan bencana negara yang telah dibentangkan Agensi
Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan
menekankan langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan
panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya
bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.
“Peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan
peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan
masa panjang.
“Oleh itu, mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap
kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan
penyelesaian masalah banjir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mesyuarat di Putrajaya itu turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri
dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas),
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua
Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara
(NADMA), Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Agensi-agensi yang berkaitan.
Menurut Perdana Menteri, lapan langkah yang digariskan NADMA itu ialah:
i. Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR)
ii. Penekanan Terhadap Inisiatif DRR
iii. Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR
iv. Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana
v. Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat di dalam Pengurusan Bencana dan DRR
vi. Pemerkasaan Dasar dan Mekanisma Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan
vii. Peningkatan Kemahiran di dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik
viii.Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap “Localization” di dalam Pengurusan dan DRR.
Kata Ismail Sabri, perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah
dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan
berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori
daftar risiko secara sistematik.
“Kementerian dan Agensi juga turut disaran untuk membuat penetapan
sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan
bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.
“Ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana,
pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko
bencana,” jelasnya.
Sementara itu, maklum Perdana Menteri, kerajaan sedar akan perubahan
iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di
negara ini.
Dalam hubungan ini, katanya, pewujudan subjek utama dalam menangani
bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti
akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi
perkara ini sebagai norma baharu.
“Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of
society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian
dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan
Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).
“Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan
dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai
initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan
bantuan untuk melaksanakan tindakan awal,” ujarnya.
Selain itu, kata Perdana Menteri, mesyuarat secara dasarnya turut
bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang
dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk
menyelesaikan masalah banjir.
Antara langkah itu kata Ismail Sabri, mengenal pasti Pusat Pemindahan
Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti
tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas
bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah.
Ujarnya, bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.
Langkah-langkah lain yang diumumkan beliau ialah pihak kerajaan
negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk
memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.
Turut dipersetujui ialah menaik taraf, mendalamkan dan melebarkan
sungai-sungai utama, meninggikan benteng dan ban sungai serta parit
serta membina lebih banyak tebatan banjir dan membina empangan dan
stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
Cadangan lain yang dipersetujui ialah membina terowong SMART terutama
di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah
Alam, membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge
city’ di China serta mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir
sungai’ seperti di Belanda.
SEORANG penternak ikan didakwa di Mahkamah Majistret di Bentong hari
ini, atas pertuduhan membunuh empat beranak yang maut dalam kemalangan
di Jalan Lebu-Felda Mempaga, Bentong, minggu lepas.
Pengakuan Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, yang berasal dari Lipis
direkodkan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim selepas semua
pertuduhan itu dibacakan secara berasingan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang
kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung kerana ia terletak di
bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa membunuh suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya
Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, tujuh; dan Ahda Imtinan,
lima; di Kilometer 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di sini pada 2.30 petang,
28 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Shahrul Ekhsan menetapkan 16 Mac ini sebagai sebutan semula kes untuk
mendapatkan keputusan bedah siasat semua mangsa dan laporan kimia
tertuduh.
Di mahkamah sama, Ahmad Fuad juga mengaku tidak bersalah atas dua
pertuduhan berkaitan dadah termasuk memiliki 0.75 gram methamphetamine
pada 11.45 pagi, 28 Jan lepas di tempat sama yang merupakan kesalahan di
bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang
memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara
maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dadah methamphetamine
pada 12.05 tengah malam, 29 Jan lepas, di pejabat Bahagian Siasatan
Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta
sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1)
yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman
denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta dikenakan
perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun.
Shahrul Ekhsan juga tidak membenarkan jaminan terhadap kes dadah
memandangkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
yang perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.
Pada 28 Jan lepas, media melaporkan kemalangan tragis yang meragut
nyawa empat beranak selepas kenderaan Toyota Vellfire dinaiki mereka
dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa melanggar lampu
isyarat merah.
Semua mangsa yang semasa itu dalam perjalanan dari Gua Musang,
Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan ahli
keluarga, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian. — BERNAMA
SEBANYAK 7,234 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, lonjakan
lebih 100 peratus berbanding purata jangkitan pada awal bulan lalu.
Semalam, negara merekodkan 5,720 kes baharu dengan 1,563 daripadanya dikesan di Selangor.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,
ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 2.89
juta kes.
“Pada 4 Februari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 7,234 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,895,014 kes.
“Maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my.
“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah di kemaskini sekaligus
selepas tengah malam,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mesteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada satu majlis
dekat ibu negara sekali lagi memaklumkan lonjakan ini disebabkan
penularan gelombang varian Omicron dan ia dijangka terus meningkat.
Katanya, bagaimanapun orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan
gelombang terbaru ini kerana didapati tidak mendatangkan gejala serius
kepada mereka yang dijangkiti.
“Gelombang kali ini berbeza dengan Delta tahun lepas. Yang ini tahap
gejalanya tidak seteruk dulu setelah 99 peratus populasi dewasa sudah
pun divaksinasi.
“Kalau lihat kemasukan ke hospital, kadar kematian adalah masih
rendah dan terkawal. Perkara ini adalah indikator, data penting kepada
kita.
“Ya, kita risau jika kita kes naik terlalu tinggi. Tetapi kes akan
terus naik kerana kadar jangkitan Omicron yang tinggi selain kelonggaran
terus diberi untuk memulihkan ekonomi,” katanya.
Tambah Khairy, yang penting ialah memastikan golongan berisiko seperti warga emas dapat dijaga dengan baik.
Untuk rekod, negara pernah merekodkan kes harian melebihi 20,000
jangkitan tahun lalu dengan kapasiti hospital di beberapa negeri berada
pada tahap yang tinggi.
Ia dikaitkan dengan penularan varian Delta yang turut menyaksikan jumlah kematian akibat virus itu mencecah tiga angka sehari.
Bagaimanapun, situasi itu bertambah baik seiring dengan peningkatan
vaksinasi termasuk pemberian dos penggalak dalam kalangan populasi
Malaysia.
SEMPENA Hari Kanser Sedunia hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob berkata sokongan Keluarga Malaysia kepada pesakit
kanser amat penting untuk mereka terus berjuang melawan penyakit itu.
Dalam hantaran di laman Facebooknya, Ismail Sabri berkata beliau
percaya ramai antara kalangan Keluarga Malaysia yang mempunyai saudara
mara atau rakan yang bertarung dengan kanser.
Jelasnya ini termasuk beliau sendiri yang mempunyai pegawai yang menghidap kanser payudara namun terus survive setelah lapan tahun bertarung.
“WARTAWAN cilik” Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau,
Sungai Petani berhasrat untuk menemu ramah Perdana Menteri Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob jika diberi kesempatan.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata adalah menjadi impiannya
untuk menemu bual pemimpin nombor satu negara itu secara bersemuka yang
sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.
“Memang nak jumpa kalau boleh. Kalau dapat jumpa PM (perdana menteri)
nanti saya nak temu ramah PM dan juga akan sediakan donut dan roti yang
akan saya buat untuk dihidangkan kepada PM,” katanya kepada Bernama
ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau dekat
Sungai Petani hari ini.
Muhammad Haziq meraih perhatian netizen dan menjadi popular selepas
videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar
awam di sini, tular baru-baru ini.
Video tersebut yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Januari
lepas sehingga kini telah menerima sebanyak 1.2 juta tontonan.
Ketika ditemui Muhammad Haziq yang juga minat memasak kelihatan
seperti pendiam, namun perwatakannya berubah selepas diberikan mikrofon
dan beraksi sebagai wartawan di hadapan kamera untuk membuat laporan
berita.
Secara bersahaja dan tanpa kekok, kanak-kanak itu terus
mendemonstrasikan kebolehannya membuat laporan mengenai dirinya dengan
lancar dan petah diselangi loghat Kedah.
Ibunya, Nur Shakilla Zainol, 33, berkata dia dan suami Mohd Asyraf
Ahmad, 37, amat menyokong minat Muhammad Haziq dan menggalakkannya untuk
terus menghasilkan video laporan berita bagi mengasah bakatnya.
Katanya, sejak video pertama Muhammad Haziq mengenai penemuan ular
sawa menjadi tular bulan lepas, banyak pihak yang tampil untuk
memberikan sokongan kepada anak sulungnya itu yang bersekolah di Sekolah
Kebangsaan Bukit Selambau.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang beri perhatian kepada
anak saya, yang memberi sumbangan terutama untuk persekolahan dia dan
seorang lagi anak perempuan saya,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Left Kol
(PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub turut mengunjungi kediaman kanak-kanak
itu dan menyampaikan sumbangan persekolahan kepada Muhammad Haziq dan
adik perempuannya Sara Salsabilla, 7.
“Sumbangan ini sebagai bantuan dan sokongan kepada Muhammad Haziq
supaya dia dapat menjadi pencetus kepada rakan-rakannya dan kanak-kanak
lain supaya bergiat aktif dan membawa manfaat kepada masyarakat,” kata
Awang Askandar.
Sebelum ini, Muhammad Haziq yang juga penghidap talasemia, turut
mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang
berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.
Kanak-kanak itu juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri
Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, selain sumbangan
persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan
individu.— BERNAMA