Sunday, August 31, 2008

Anwar nasihat Fairus turun padang
Malaysiakini


Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin supaya lebih kerap turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu sibuk menguruskan pentadbiran negeri, beliau perlu meluangkan masa untuk menemui penduduk di kawasannya.

Menurutnya, ini berikutan maklumbalas penduduk menunjukkan pemimpin muda PKR itu jarang kelihatan di kawasannya sejak memenangi pilihanraya umum Mac lalu.

"Saya susah hati kerana tidak pernah orang komplen secara terbuka begini dan mereka minta saya nasihatkan Fairus. Memang kita sibuk tetapi kenalah luangkan masa untuk menemui penduduk kerana mereka boleh faham dan terima kalau kita sibuk tetapi mereka tidak boleh terima kalau kita tak turun padang," kata Anwar.

Bernama memetik beliau sebagai berkata mantan timbalan perdana menteri itu menegaskan demikan dalam ucapannya di majlis kesyukuran kemenangan beliau dalam pilihanraya kecil Parlimen Parlimen Permatang Pauh ini.

Hadir sama ialah isternya yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengosongkan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ.

Fairus yang ditemui pemberita kemudian berkata beliau menerima teguran itu secara positif.

Menurutnya, beliau akan berusaha memperbaiki perkhidmatan kepada penduduk bukan sahaja di Penanti malahan di Pulau Pinang.

Katanya beliau banyak menumpukan masa untuk menyusun pentadbiran kerajaan
negeri bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng sejak lima bulan lalu.

Fairus berkata jika orang ramai mempunyai sebarang masalah, mereka boleh mendapatkan bantuan di Pusat Khidmatnya di Tanah Liat.
Nasihat Azizah Anwar jangan lupa penduduk Permatang Pauh
MSTAR ONLINE


BUKIT MERTAJAM: Majlis kesyukuran Anggota Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini penuh dengan kata-kata nasihat yang disampaikan Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis sarapan pagi bersama jentera wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Dr. Wan Azizah dalam ucapannya sempat menasihat suaminya supaya tidak melupakan jasa penduduk Permatang Pauh yang banyak berkorban untuk membela keluarga mereka selama ini.

Dr. Wan Azizah adalah Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh dan merupakan bekas Anggota Parlimen itu sejak 1999 sebelum meletakkan jawatan pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding di kawasan itu.

Sementara itu, ketika berucap, Anwar, yang juga Penasihat PKR, pula menasihati Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Muhammad Fairus Khairuddin supaya lebih kerap turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, walaupun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu sibuk menguruskan pentadbiran negeri, beliau perlu meluangkan masa untuk menemui penduduk di kawasannya berikutan maklum balas penduduk menunjukkan pemimpin muda PKR itu jarang kelihatan di kawasannya sejak memenangi pilihan raya umum Mac lalu.

"Saya susah hati kerana tidak pernah orang komplen secara terbuka begini dan mereka minta saya nasihatkan Fairus. Memang kita sibuk tetapi kenalah luangkan masa untuk menemui penduduk kerana mereka boleh faham dan terima kalau kita sibuk tetapi mereka tidak boleh terima kalau kita tak turun padang," kata Anwar.

Fairus yang ditemui pemberita kemudian berkata, beliau menerima teguran itu secara positif dan akan berusaha memperbaiki perkhidmatan kepada penduduk bukan sahaja di Penanti malahan di Pulau Pinang.

Katanya, beliau banyak menumpukan masa untuk menyusun pentadbiran kerajaan negeri bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng sejak lima bulan lalu dan jika orang ramai mempunyai sebarang masalah boleh mendapatkan bantuan di Pusat Khidmatnya di Tanah Liat.
Gerakan gesa Ketua Umno Bukit Bendera dikenakan tindakan
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Gerakan, parti komponen Barisan Nasional (BN), hari ini mahu tindakan diambil ke atas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berhubung kenyataannya yang bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk seri Chia Kwang Chye berkata, ramai rakyat Malaysia kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila mengulas mengenai kenyataan Datuk Ahmad Ismail.

"Mereka menjangka satu kecaman yang kuat, terutama pada 31 Ogos, hari di mana semua rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

"Selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, sebarang kesangsian mengenai kesetiaan mana-mana penduduk etnik Malaysia dan tindakan mempersoal kewarganegaraan adalah melampaui usaha menyemai persefahaman di kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Menjelang hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh minggu lepas, Ahmad didakwa membuat kenyataan itu dan semalam, ketika mengulas mengenai perkara itu Abdullah berkata, beliau akan "memberitahu Ahmad jangan mengulangi lagi perkara itu."

"Anda tahu semasa berkempen pelbagai perkara boleh timbul. Saya tidak fikir beliau bermaksud sedemikian. Saya akan pastikan untuk memberitahu dia jangan gunakan perkataan itu lagi," kata Abdullah semalam.

Chia berkata kenyataan Ahmad sudah lapuk dan menimbulkan provokasi perkauman sambil menambah sebarang petanda bahawa BN bertolak ansur dengan mereka yang jelas bersikap perkauman dan mengeluarkan pendapat yang bersifat provokasi akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat.

"Ahmad Ismail bukan sahaja patut menarik balik apa yang diucapkannya tetapi perlu meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan juga dikenakan tindakan disiplin bagi mengelak perkara itu daripada berulang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Teng Hock Nan dalam satu kenyataannya mendesak pimpinan UMNO dan BN untuk mengkaji semula pendirian terhadap Ahmad.

Beliau meminta polis menyiasat perkara itu memandangkan MCa dan Gerakan telah pun membuat laporan terhadap Ahmad.
Apabila jentera Pemuda Umno mengamuk...
Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Walaupun Pilihan raya Kecil Permatang Pauh sudah enam hari berlalu namun bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) masih banyak lagi tidak dibuang.

Senario itu dapat dilihat di merata tempat terutamanya di mana sahaja bekas bilik gerakan parti itu dan di hadapan Pejabat Umno Bahagian di Sungai Semambu, Bukit Mertajam.

Banyak bendera yang digantung merentasi jalan masih berkibar seperti biasa manakala yang jatuh meleret di bawah dan ada yang diterbangkan angin ke dalam longkang di tepi jalan.

Harakahdaily dimaklumkan, semua kejadian itu dikatakan berpunca dari rasa tidak puas hati jentera pemuda Umno kerana tidak memdapat 'habuan' pilihan raya sedangkan peruntukan terlalu banyak dilonggokkan di parlimen itu dulu.

Akibat tidak mendapat habuan tersebut, sekumpulan jentera pemuda Umno mengambil keputusan membaling batu ke arah Pejabat Umno Bahagian Permatang Pauh sehari selepas mengalami kekalahan yang mengaibkan pada 26 Ogos lalu.

Perbuatan itu sekaligus mengakibatkan beberapa keping cermin pejabat berkenaan pecah.

Seorang penduduk, Samad Chik dari Penanti ketika ditemui menyifatkan, tindakan itu membuktikan jentera Umno bagaikan 'hantu raya' yang memakan tuanya sendiri sebab tidak cukup makan.

Bagi Salmah Din pula, mungkin Umno rasa malu setelah bertungkus lumus akhirnya terpaksa akur dengan kematangan penduduk Permatang Pauh.

Zulhasnan Hanafi, 25, mengatakan, sebenarnya jentera pemuda Umno telah hilang sabar kerana di permainkan oleh orang atasan yang mengambil kesempatan menyorok peruntukan untuk kepentingan peribadi.

"Saya tahu wang memang berlonggok diagihkan kepada semua bilik gerakan tapi sayang mereka yang bekerja bermatian-matian tidak mendapat habuan yang mencukupi, " jelasnya yang pernah menjadi jentera Umno dalam pilhan raya umum 2004 lalu. - mks.
Mikrocip RM1.2 juta dirompak
BERNAMA


BUKIT MERTAJAM – Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarikan mikrocip komputer bernilai RM1.2 juta daripada sebuah van keselamatan di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika pemandu van tersebut baru sahaja mengambil muatan mikrocip berkenaan dari sebuah kilang elektronik di bandar Sunway, Seberang Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner, Dr. Mohd. Shah Husin Shah berkata, ketiga-tiga suspek yang memakai jaket JPJ meminta pemandu van tersebut memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

‘‘Menyangka kumpulan itu adalah anggota JPJ, pemandu van memberhentikan kenderaan sebelum dua suspek meluru masuk.

‘‘Kedua-dua suspek yang bersenjatakan pisau kemudiannya mengikat tangan mangsa dan menutup matanya menggunakan kain sebelum melarikan van tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Shah berkata, berlaku pergelutan ketika mangsa cuba melepaskan diri sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan pada bahagian tangan.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudiannya memindahkan muatan bahan tersebut ke sebuah kenderaan lain di Taman Sutera, dekat sini sebelum melarikan diri.

‘‘Dengan bantuan orang ramai, pemandu van tersebut berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan polis,” jelasnya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Bantuan golongan miskin, Pakatan Rakyat tidak pilih kasih
Intan Abdullah


GOMBAK SETIA - Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak pernah mengamalkan dasar diskriminasi dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berkata ia merupakan perbezaan antara kerajaan sebelum ini iaitu BN dengan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita dalam kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengamalkan dasar pilih parti bagi mengagihkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat," ujarnya dalam majlis penyampaian sumbangan kebajikan kepada penduduk Gombak Setia di Dewan Orang Ramai, Jalan 2, Taman Gombak semalam.

Jelasnya, tanpa meneliti sokongan yang diberikan dalam pilihan raya lalu, kerajaan Pakatan Rakyat tetap akan memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan

"Berbeza dengan kerajaan BN, kita Pakatan Rakyat tidak mengira parti, kaum dan agama anda kerana sekarang kita adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat negeri selangor untuk berkhidmat dan membantu anda," katanya.

Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa usaha yang dijalankan itu adalah sebagai melaksanakan misi membebaskan Gombak setia daripada belenggu kemiskinan selain ianya menjadi tanda hati sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba.

Kira-kira 200 individu daripada 15 zon dalam daerah tersebut menerima bantuan berupa beras sebanyak 5 kilogram, gula dan susu terdiri daripada kategori fakir miskin, ibu tunggal serta warga emas.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, beliau sempat mendengar aduan dan keluhan beberapa penduduk di kawasan tersebut yang datang merujuk masalah mereka untuk perhatian pihak kerajaan negeri

Ia merupakan rutin atau kebiasaan beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor setiap kali turun ke kawasannya. - mks._
Anwar sibuk buru Ahli Parlimen lompat parti minggu depan
Oleh G. MANIMARAN


(Dikemas kini) PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi sasaran 16 September masih kekal sambil menegaskan, beliau mempunyai agenda ketat mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam tempoh beberapa hari akan datang bagi membincangkan soal menyertai Pakatan Rakyat.

Wakil-wakil rakyat berkenaan termasuk mereka dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak - antara lain laluan bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

mStar Online difahamkan kelmarin beliau telah mengadakan pertemuan dengan enam wakil rakyat BN dari Sarawak di ibu negara - beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Malah mStar Online, Anwar juga telah dijemput untuk menghadiri pertemuan khas dengan ahli-ahli Parlimen Sarawak di Kuching esok.

Bagaimanapun Anwar masih meneliti perkara itu kerana mempunyai jadual menemui pengundinya di Permatang Pauh.

Selepas mengangkat sumpah, desas-desus timbul mengatakan 40 hingga 50 wakil rakyat sudah menyatakan kesediaan untuk melompat parti.

Ketika ditemui wartawan di Permatang Pauh sempena majlis perhimpunan bersama rakyat dan terima kasih selepas kembali sebagai Ahli Parlimen bahagian itu hari ini, Anwar berkata, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang beberapa hari akan datang untuk membuktikan sasaran 16 September akan dicapai.

Kata Anwar, tidak menjadi masalah bagi beliau jika ada pihak yang mempersendakannya dan sasaran 16 September untuk membentuk kerajaan.

"Pada awalnya mereka mendakwa jika saya menang di Permatang Pauh, saya hanya akan memperoleh majoriti lebih 1,000 undi sahaja.

"Mereka juga mengatakan bahawa tiada negeri yang akan jatuh kepada pembangkang dalam pilihan raya umum Mac lalu. Tetapi satu pun daripada tanggapan sedemikian menjadi," katanya.

Pembangkang kini menguasai lima negeri - Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor

Mengulas lanjut mengenai soal melompat ke Pakatan Rakyat, Anwar berkata, pihaknya tidak akan menggunakan wang, tekanan ataupun ugutan bagi menarik wakil rakyat BN menyertai barisan pembangkang.

Kata beliau, tiada mana-mana wakil rakyat BN yang ditawarkan jawatan menteri setakat ini.

"Mengapa saya harus menjanjikan mereka ketika saya sendiri pun tidak pasti di mana kedudukan saya (dalam kerajaan Pakatan Rakyat)," kata beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya hanya menjanjikan keadilan dan kesaksamaan perwakilan kepada ahli-ahli Parlimen yang menyatakan kesediaan untuk melompat ke dalam Pakatan Rakyat

Sumber-sumber terdekat PKR tidak menolak penyertaan ahli-ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat akan berlaku dalam waktu terdekat.

Kelmarin, beberapa ahli-ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak mengisytiharkan taat setia mereka akan bersama BN pada sidang media bangunan Parlimen.

Anwar mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh Selasa lalu.

Kemenangan itu dikatakan menambah spekulais bahawa beliau akan mempercepatkan strategi melompat parti.
Selangor larang ketua kampung pegang jawatan parti
BERNAMA


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini menetapkan semua ketua kampung tidak memegang sebarang jawatan dalam parti politik bagi memastikan perkhidmatan mereka tiada unsur pilih kasih atau mementingkan kelompok tertentu yang berkepentingan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan demikian ketika menyampaikan surat pelantikan 366 ketua kampung yang baru pada satu majlis di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat ketua kampung yang dilantik semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dikekalkan dalam senarai baru ketua kampung itu,

Abdul Khalid menjawab: "Kami ada memanggil ketua kampung yang dipilih oleh kerajaan negeri sebelum ini, tetapi kita mahu mereka tandatangani perjanjian untuk menentukan mereka tidak memberi perkhidmatan hanya kepada parti tertentu tetapi kepada semua orang.

"Mereka juga mesti memberi keutamaan kepada semua orang dalam masyarakat tetapi mereka enggan dan mereka tidak tandatangani perjanjian. Bila mereka tidak tandatangani, kami tidak pertimbangkan. Kesemua 368 mereka enggan tandatangan".

Dengan pelantikan hari ini, isu pelantikan ketua kampung di Selangor yang sebelum ini kerajaan Pakatan Rakyat dakwa mendapat campur tangan kerajaan persekutuan, akhirnya selesai berikutan seramai 366 ketua kampung daripada 368 kampung di negeri itu dilantik secara rasmi mengikut daerah.

Bagi daerah Sabak Bernam seramai 79 ketua kampung dilantik diikuti Kuala Selangor (55), Gombak (35), Kuala Langat (34), Klang (33), Hulu Selangor (33), Petaling (19) dan Sepang (19).

Bagaimanapun, dua kampung di Hulu Langat iaitu Kampung Seri Jambu dan Kampung Sungai Batu masih tidak mempunyai ketua kampung kerana pencalonan masih belum diberikan kepada kerajaan negeri untuk proses temuduga.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Khalid berkata, semua ketua kampung yang dilantik akan melalui tempoh percubaan selama enam bulan untuk disemak dan dinilai oleh pejabat daerah sebelum dihantar untuk tapisan keselamatan kepada pihak polis.

Kerajaan negeri akan membayar elaun sebanyak RM450 sebulan kepada semua ketua kampung berkenaan.

Mengenai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, Abdul Khalid sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mengiktiraf kewujudan JKKKP itu.
Bajet 2009 - Walaupun banyak inisiatif, masalah ‘orang kampung’ tidak selesai
Ditulis oleh SM Noor


Kuala Nerus - Walaupun bajet 2009 dilihat ramai pihak banyak memberikan faedah, namun ia tidak menyelesaikan masalah asas kehidupan masyarakat di kampung-kampung sekarang yang terhimpit dengan kenaikan harga barang.

Hanya kakitangan kerajaan yang mendapat banyak faedah, dengan mendapat bonus sebulan gaji dan pelbagai insentif lain, sedangkan sedikit sahaja yang diperolehi oleh rakyat biasa

”Walau bagaimana pun kita ucap terima kasih, sebab tahun lepas kakitangan kerajaan tidak ada bonus,”kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ariffin Deraman ketika berucap dalam majlis ceramah sempena kedatangan Ramadhan di Kampung Lerek, dekat sini.

Menurutnya walaupun pelbagai peruntukan disediakan dalam bajet 2009, tapi tidak ada bajet khas yang diperuntukkan golongan belia dan muda dalam kali ini.

Beliau berpendapat sepatutnya harga minyak diturunkan lagi kerana menurutnya kenaikan harga minyak pada bulan Jun lalu menyebabkan semua harga barangan dan perkhidmatan melonjak tinggi, termasuk barang-barang ‘kawalan’. (gambar - Ariffin Deraman)

”Barang-barang besi misalnya, asalnya barang kawalan tetapi tidak dapat dikawal oleh kerajaan, sehingga sekarang ni, (para) peniaga walaupun ayam menjadi barangan kawalan, tetapi mereka menjual lebih dari harga syiling,”tambah Ariffin mengulas tentang Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.

Ariffin berpendapat Bajet 2008 tidak akan dapat mengurangkan kadar inflasi yang naik mendadak kesan dari kenaikan harga minyak.

”Asalnya 3.8%, dua bulan yang lalu, sekarang ini inflasi 8.5%, inflasi menjadikan kuasa beli kita menjadi kurang, kalau dulu pitih seratus boleh beli banyak barang, tapi sekarang ni pitih seratus, sikit sahaja barang boleh beli,”jelas Ariffin.

Beliau berkata kerajaan baru-baru ini menurunkan harga minyak secara tergesa-gesa sebanyak 15 sen kerana tekanan politik yang dihadapi dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Namun begitu, menurut beliau, walaupun telah lebih seminggu harga minyak turun 15 sen, tidak ada satu pun harga barang-barang yang turun, sebaliknya hari ini tambang bas mengalami kenaikan sebanyak 30 peratus.

Saturday, August 30, 2008

Belanjawan 'gula-gula' rakyat, Abdullah mula gementar – Anwar
Roy Rasul & M Khaleel Kas


KUALA LUMPUR - Pembentangan Belanjawan 2009 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap sebagai satu pemberian 'gula-gula' untuk mengabui mata rakyat dan mula gementar dengan proses peralihan kuasa.

Menurut Ketua Pembangkang,Dato' Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berupaya untuk memberikan ransangan baru.

"Masalahnya tidak ada pelaburan baru, pengurusan yang lembab dan rasuah tidak ditangani.

"Jadi jika kita lihat defisit bertambah. Bagi negara Malaysia ini satu yang unik. Ini kerana semua negara pengeluar minyak mempunyai kekuatan lebihan dalam belanjawan,"jelasnya di parlimen semalam.

Menurutnya, Malaysia mempunyai dana yang besar tetapi masih mengalami defisit.

"Kalau kos mngendalikan satu-satu projek RM40 bilion, RM 10 bilion hilang di tengah jalan,ini yang menjadi masalah besar,"katanya.

Tambahnya lagi, Abdullah kini berasa gementar kerana keresahan di kalangan rakyat.

"Maka dia cuba memberi sedikit sebanyak gula-gula untuk riang Sabah, Sarawak dan orang-orang miskin.

"Sebaliknya beliau lupa bahawa peningkatan kos sara hiduo dan inflasi begitu melonjak tinggi.

"Maknanya kalau diberi RM100 atau RM500 tidak sepadan dengan kenaikan kos harga barang dan minyak,"tambahnya lagi.

Selain itu, katanya, Abdullah kelihatan mula gementar dengan kemungkinan peralihan kuasa iaitu dengan cara memberi sedikit ugutan dengan membicarakan proses demokrasi.

"Bila Barisan Nasional menghormati proses demokrasi di Malaysia?

"Pilihan raya banyak penipuan, media dikawal, hakim masih lagi bergelumang di bawah tekanan, polis tidak berwibawa, peningkatan jumlah dana untuk kroni begitu besar tetapi jenayah meningkat. Ini tidak disebut dalam belanjawan,"tegasnya. - mks._
Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.

Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.

PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.

Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh.

Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.
Anwar bertemu pengundi Permatang Pauh, ucap terima kasih
Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja pertamanya setelah distiharkan menang dalam pilihan raya kecil parlimen itu pada 26 Ogos lalu

Sejak sampai semalam jadualnya ketat semata-mata mahu berjumpa rakyat yang inginkan beliau dipertanggungjawabkan menanggung amanah untuk meredakan bebanan rakyat dengan kenaikan barangan seharian dan petroleum.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakayat (KeADILan) Permatang Pauh, Che Mat Haji Hashim lawatan hari ini bertujuan mengucapkan terima kasih beliau kepada pengundi yang sanggup mempertahankan undi Pakatan Rakyat sehinggakan mengaibkan pengaruh Umno dan Barisan Nasional (BN) di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

"Lawatan pertama ini merupakan lawatan ucapan terima kasih Dato' Seri Anwar kepada semua pengundi yang memangkahnya pada pilihan raya kecil 26 Ogos lalu, " ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Kata beliau, selain mengadakan pertemuan dengan pengundi di jamuan makan di Permatang Pasir , Kampung Pelet, Padang Ibu, Sungai Semambu, Kampung Pertama dan Permatang Janggus program dua hari itu juga mempertemukan beliau dengan pengundi Cina berdekatan Markas Pemuda KeADILan Pusat di Taman Cermai pukul 3.00 petang tadi dan pengundi India di Kampung Bagan Serai pada jam 3.00 petang esok.

Bukan itu sahaja malahan pertemuan dengan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pemuda dan Wanita juga diatur bagi mendapat suntikan memperkukuhkan lagi saf yang sedia ada.

Ujar Che Mat lagi, selepas lawatan kerja itu beliau yakin ramai golongan muda terutamanya akan mengambil sikap berpaling tadah daripada Umno-BN untuk menyertai KeADILan atau parti lain dalam Pakatan Rakyat.

"Yakinlah kita akan bertambah kukuh dengan penyertaan ramai lagi ahli selepas ini.

Apa yang penting ialah semaikan ukhwah yang kuat semasa sendiri untuk berhadapan dengan Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, " tegasnya. - mks.
Kes ambil tanah, MB Perak digesa campurtangan
Ekmal Yusof


KUALA KANGSAR - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin diminta campur tangan dalam kes pengambilan sepuluh ekar tanah rezab Melayu di Kampung Sayong Hulu dekat sini oleh Pejabat Tanah dan Daerah untuk didirikan sebuah Bangunan Wisma Persekutuan.

Dalam perjumpaan khas semalam melibatkan 22 orang pewaris di atas rancangan kerajaan untuk mendirikan Bangunan Gunasama (Wisma Persekutuan) yang terletak dekat Jambatan Sayong, mereka yang terlibat itu mohon jasa baik Menteri Besar Perak menentukan hak penilaian ekonomi terkini dan nasib mereka selepas tanah itu diambil nanti.

Harakahdaily difahamkan bahawa tindakan kerajaan untuk mengambil 10 ekar tanah rezab Melayu dilakukan setahun lalu semasa kerajaan negeri Perak dalam gengaman umno-BN.

Dalam perjumpaan semalam juga, Pengerusi bertindak pengambilan tanah tersebut, Fuad Abdullah menyatakan tuan tanah berkenaan telah dipanggil untuk notis siasat di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar pada 18 Ogos lalu untuk membincangkan beberapa perkara termasuk mengenai nilai pampasan mengikut kadar harga tanah semasa.

"Kalau sudah kami tiada diberi pilihan lain iaitu hanya mengikut perintah sahaja, tetapi kami bersetuju 'terima dengan bantahan'. Pertama harap mendapat pampasan yang sewajarnya masa kini termasuk dengan nilai harta di atasnya seperti pokok-pokok buah-buahan dan rumah,"jelasnya kepada Harakahdaily semalam.

Selain itu katanya, Menteri Besar diminta supaya menyediakan kawasan tanah perkampungan lain untuk membina rumah tempat tinggal mereka seterusnya.

"Kalau tidak di mana lagi kami hendak duduk, takkan nak tinggal di bawah Jambatan Sayong tebing Sungai Perak itu,"rungutnya.

"Kalau boleh, kami minta Menteri Besar datanglah sendiri dan melihat keadaan kami sekarang. Kalau tanah itu hendak diambil segera di mana pula kami hendak menghadapi bulan puasa dan seterusnya hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," keluhnya lagi.

Sementara itu, warga emas Hamsiah Alang Mat Yusof, 80, merayu agar sebelum hendak diambil tanahnya kerajaan haruslah gantikan tanah lain kerana sekarang pun beliau duduk menumpang tanah orang. - mks. _
Kesan pada rakyat, kerajaan digesa mansuhkan surcaj 30 peratus
M Khaleel Kas


KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak untuk memansuhkan surcaj 30 peratus yang dikenakan ke atas harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti yang dikuatkuasakan selama sebulan sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

Menurut Timbalan Pengerusi,Biro Hal Ehwal Kepenggunaan AMK, Hasmuzair Hassan, kerajaan perlu memansuhkan surcaj 30 peratus yang dikenakan seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar pada 28 Ogos lalu.

"AMK mempersoalkan kenapa kadar surcaj ini dikenakan menjelang musim perayaan, sedangkan pada kebiasaannya musim perayaan adalah merupakan 'durian runtuh' kepada pengusaha-pengusaha bas di semua destinasi?

"Tidakkah Noh Omar menyedari bahawa pengguna pengangkutan awam ini terdiri dari rakyat yang berpendapatan rendah yang baru mengalami kesan kenaikan harga barang akibat kenaikan harga petrol dan diesel oleh kerajaan yang dianggotai oleh Noh Omar sendiri?,"soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Seterusnya, beliau mencadangkan, agar Noh Omar turun padang meninjau sendiri masalah yang dihadapi rakyat berpendapatan rendah akibat kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini.

"Surcaj 30 peratus yang dikenakan amat memberi kesan yang besar terhadap golongan ini,"katanya.

Tambahnya, di dalam pengumuman Belanjawan 2009, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengemukakan beberapa insentif baru untuk pengusaha pengangkutan awam.

Antaranya jelasnya, seperti meningkatkan kuota subsidi diesel bagi pengangkutan awam, menyediakan kemudahan pinjaman mudah melalui Dana Pengangkutan Awam tiga bilion ringgit di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel,mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun, bermula 15 September 2008.

Selain itu katanya, kerajaan juga memberikan pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi elaun Modal Dipercepatkan dan pengurangan cukai jalan kepada 20 ringgit setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin.

"Malah berkuatkuasa 23 Ogos 2008 lalu, harga runcit petrol RON97 telah dikurangkan sebanyak 15 sen, petrol RON92 dikurangkan sebanyak 22 sen dan harga runcit diesel sebanyak 8 sen seliter.

"Dengan insentif-insentif baru yang diumumkan ini serta penurunan harga petrol dan diesel, AMK percaya ianya cukup untuk menampung kenaikan kos yang ditanggung pengusaha bas,"katanya lagi.

Oleh itu katanya, sekiranya Noh Omar masih merasakan bahawa insentif tersebut masih tidak mencukupi, AMK menyarankan supaya kerajaan menimbang mekanisma lain seperti pengurangan cukai ke atas alat-alat ganti bas, pengecualian pembayaran tol dan sewa terminal, serta pengurangan cukai pendapatan syarikat operator bas.

"AMK bertegas bahawa pengalihan beban kenaikan kos operasi pengusaha bas terbabit secara terus kepada pengguna seharusnya merupakan langkah terakhir yang diambil kerajaan,"tegasnya. - mks. _
Konsert Avril di KL berlangsung di sebalik bantahan PAS
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Konsert Avril Lavigne yang dibantah oleh badan-badan bukan kerajaan dan PAS berlangsung di Stadium Merdeka malam ini.

Bagaimanapun PAS terus mengedarkan lebih 2,000 risalah kepada remaja Islam yang memasuki Stadium Merdeka untuk menyaksikan konsert tersebut.

Menurut Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamarulzaman Mohammad, mereka mengedarkan risalah tentang masalah yang menimpa remaja Islam, jenayah dan sosial.

"Kami juga memberitahu tentang konsep hiburan dalam Islam. Kita mahu mereka menilai semula apa yang dilakukan tidak bertepatan dengan Islam. Niat kami nak beri sentuhan dakwah secara lembut.

"Kami juga mengambil kesempatan ini untuk berbincang dengan mereka. Alhamdulillah, tujuan kami untuk berdakwah tercapai. Cuma kami terkilan dan kecewa sebab kabinet telah meluluskan konsert ini," ujar Kamarulzaman sejurus selesai mengedarkan risalah tersebut.

Turut serta dalam aktiviti tersebut adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan dan beberapa exco Pemuda PAS Pusat.

Kata Kamarulzaman, mereka bertindak untuk berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setelah gagal membatalkan konsert tersebut.

"Kami mahu JAKIM mengawal ketat persembahan artis dari luar negara termasuk di dalam negara. Kami juga mahu pihak berwajib seperti televisyen dan hiburan lain membuat tapisan secara ketat serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh JAKIM," tutur Kamarulzaman lagi.

Terdahulu petang tadi kira-kira 200 orang mahasiswa, anggota badan bukan kerajaan dan parti politik berkumpul di pekarangan Masjid Negara hari ini bagi membantah penganjuran konsert Avril Lavigne.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Mohd Dzulkhairi Mohd selaku jurucakap kumpulan itu berkata, konsert Avril sewajarnya dihentikan bagi mengelakkan pengaruh negatif terhadap golongan remaja lebih-lebih lagi dengan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan kemerdekaan negara yang ke-51.

"Sepatutnya sambutan Hari Kemerdekaan perlu bermotifkan semangat cintakan negara, mempertahankan kedaulatan, mengagungkan pejuang kemerdekaan dan seumpamanya yang boleh menaikkan semangat nasionalisme.

"Avril bukanlah seorang role model yang boleh disamakan dengan tokoh-tokoh wanita negara," katanya dalam perhimpunan aman itu yang berlangsung kira-kira 20 minit.
Mesej Kemerdekaan, Anwar dakwa Perlembagaan diperlekeh
Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Dalam perutusan kemerdekaan, yang dikeluarkan tiga hari selepas mengangkat sumpah semula sebagai anggota Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, "perlembagaan diperlekehkan, demokrasi diinjak dan institusi kenegaraan dijadikan alat penguasa."

"Namun genap 51 tahun merdeka kita sekali lagi berada di persimpangan.

"Kita melihat perlembagaan diperlekehkan, demokrasi diinjak dan institusi kenegaraan dijadikan alat penguasa.

"Sudah tiba masanya kita rakyat Malaysia membuat pilihan untuk menemukan kembali erti kemerdekaan negara ini," kata beliau dalam blognya hari ini.

Anwar yang menggunakan tema "Merdeka" ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh berkata, adalah menjadi tanggungjawab rakyat sekarang untuk memastikan demokrasi bernafas semula di negara ini manakala keluhuran perlembagaan kembali dijunjung dan kedaulatan undang-undang terbina kukuh.

"Marilah kita perbaharui persetujuan yang kita buat bersama 51 tahun dahulu; memastikan negara Malaysia ini kekal bebas dan merdeka," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tambah sejak 31 Ogos 1957, rakyat Malaysia telah lalui bersama saat-saat sukar dan detik kejayaan.

"Kita menaruh harapan untuk melihat Malaysia yang adil, makmur dan perkasa," katanya.

"Selama 51 tahun lalu rakyat negara ini telah membuat pilihan untuk berdiri sendiri, bebas dari pemerintahan penjajah, bersetuju bahawa negara ini ialah negara hukum yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

"Rakyat Malaysia membuktikan mereka berani untuk memilih dan membuat keputusan. Memilih yang terbaik buat Malaysia," kata beliau dan menambah, namun genap 51 tahun merdeka rakyat sekali lagi berada di persimpangan.

"Marilah kita perbaharui persetujuan yang kita buat bersama 51 tahun dahulu; memastikan negara Malaysia ini kekal bebas dan merdeka," katanya
PM bidas Anwar: Bazir masa layan 'ugutan oportunis'
malaysiakini


Perdana menteri menamatkan ucapan pembentangan Bajet 2009 dengan penegasan "tidak akan membenarkan" wujud perubahan kerajaan persekutuan seperti diuar-uarkan sedang diusahakan oleh ketua pembangkang.

"Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan.

"Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti BN yang telah menang majoriti pilihanraya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di hujung ucapan 90 minit di Dewan Rakyat petang ini.

Tambahnya, kerajaan pimpinannya "tidak akan membazirkan masa lagi dengan ugutan-ugutan golongan oportunis untuk merampas mandat rakyat melalui cara-cara yang tidak demokratik."

Kenyataannya itu mendapat tepukan gemuruh ahli-ahli parlimen penyokong kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disahkan secara rasmi sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat semalam, sejak beberapa bulan lepas meletakkan sasarannya sehingga 16 September ini untuk membentuk kerajaan baru.

Beliau dilaporkan memberikan perhatian khusus untuk menarik ahli-ahli parti komponen BN dari Sabah, termasuk Umno, dan Sarawak.

Anwar, kini ahli parlimen baru Permatang Pauh, menyatakan kemenangannya Selasa lepas akan mempercepatkan lagi usahanya mendapatkan lebih 30 wakil-wakil rakyat BN dalam perjalanannya menuju Putrajaya.

Abdullah, yang juga menteri kewangan, berkata desas-desas yang disebarkan oleh tokoh PKR itu boleh "memberi kesan negatif kepada pelabur asing, sentimen ekonomi dan juga pasaran modal."

"Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini, dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak.

"Kita tidak boleh membenarkan ketidakpastian yang timbul untuk berterusan," katanya dalam bajet 'Kerajaan Prihatin' yang bernilai RM207.9 bilion dengan tiga strategi.

Sebelum itu Abdullah menyifatkan politik yang dibawa pembangkang sebagai penuh retorik dan keterlaluan.

"Rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan kita, malah menjejaskan kemakmuran negara," katanya, yang berdiri bertentangan dengan tempat duduk Anwar di dewan yang mulia itu.

Perdana menteri turut membidas janji-janji pembangunan Pakatan Rakyat, termasuk sewaktu kempen pilihanraya umum Mac lalu, "yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan kerajaan dan mewariskan negara yang muflis pada generasi muda."

Mengulas belanjawan tersebut di lobi Parlimen selepas pembentangan, timbalan perdana menteri menjelaskan peruntukan yang lebih banyak bagi Sabah dan Sarawak kali ini selepas mengambil kira pendapat ahli-ahli parlimen dua negeri itu.

Peruntukan itu dibuat, tambah Datuk Seri Najib Razak, memandangkan wujud keadaan unik di Sabah dan Sarawak yang masih rendah tahap pembangunan, geografi yang luas dan kadar kemiskinan yang tinggi.

"Oleh itu, tugas kerajaan untuk mengecilkan jurang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung. Ia merupakan satu janji sebelum ini," katanya.

Naib presiden PKR pula menyifatkan kenyataan perdana menteri itu sebagai "seorang diktator yang mengugut ahli-ahli parlimen BN yang berhasrat menyertai Pakatan Rakyat."

Mengulas pendekatan pembangkang yang mengambil dasar-dasar pembangunan populis, Mohamad Azmin Ali berkata:

"Lebih baik kita mengambil pendekatan yang populis daripada bertindak seperti iblis, menekan rakyat dengan zalim, tidak memahami masalah rakyat di bawah dan hanya menggunakan ruang ini untuk memberi gula-gula politik."
Bajet 'tawan semula' hati rakyat
malaysiakini


Kerajaan mengambil peluang daripada pembentangan bajet 2009 untuk 'menawan semula' hati rakyat selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, membuat beberapa pengumuman yang dapat menggembira dan melegakan rakyat apabila membentang bajet 2009 jam 4.00 petang semalam .

Tumpuannya bajet kali ini dijangka untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya, akibat kos sara hidup yang tinggi ekoran kenaikan harga minyak.

BN yang diterajui Umno, kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu, Walaupun kembali berkuasa, BN gagal menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN menang 140 kerusi Parlimen manakala Pakatan menang 82 kerusi. Umno juga tewas 30 kerusi Parlimen. Dalam pilihanraya 2004, Umno menang 109 kerusi Parlimen.

BN turut tumbang di tangan barisan pembangkang - Pakatan Rakyat - di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. PAS pula berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan dengan tambahan kerusi.

Selain itu, BN dihantui oleh dakwaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sejumlah ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan pada 16 September ini untuk membolehkan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru.

Walaupun kepimpinan tinggi BN sering menafikan dakwaan tersebut, tetapi kerisauan mereka berterusan, sehinggakan semua ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak akan menyerahkan surat yang mengandungi tandatangan mereka, sebagai jaminan tidak akan lompat parti.

Laluan sukar untuk BN

Keadaan BN lebih terdesak lagi ekoran gesaan perwakilan Gerakan Perak bulan lalu supaya parti itu meninggalkan BN jika isu perkauman dan agama tidak diselesaikan oleh gabungan tersebut.

BN juga gagal merampas kerusi Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil yang diadakan Selasa lalu.

Dalam pilihanraya kecil itu, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi. Beliau mendapat 31,195 undi, mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang memperolehi 15,524 undi.

Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Wan Azizah pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Semua itu merupakan tempoh yang sukar yang terpaksa diharungi oleh kerajaan sejak pilihanraya umum lepas, dengan kemerosotan pretasi, dan dipantau rapi semua pihak, termasuk ahli ekonomi.

Ekoran itu, banyak pihak yang berpendapat bahawa kerajaan perlu memanfaatkan pembentangan bajet hari ini untuk 'menawan semula' hati rakyat dengan meringan beban kehidupan mereka.

Pendekatan itu juga dijangka bersifat majmuk ekoran keputusan pilihanraya lalu yang menunjukkan sokongan rakyat bukan Melayu terhadap BN turut merosot dan telah memenangkan pembangkang.

Pelaburan langsung asing

Lantaran itu, tidak seperti bajet-bajet sebelumnya, yang memberi tumpuan khusus kepada golongan miskin, bajet hari ini dijangka meluaskan manfaatnya merangkumi golongan berpendapatan sederhana dan yang lain-lain - yang turut mengalih kepada pembangkang - bagi mengurangkan beban kos hidup mereka.

Beberapa kemungkinan tersebut turut disuarakan oleh agensi berita nasional, Bernama, yang meramalkan kerajaan akan memperkukuh dan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang distruktur dengan baik bagi membantu Rakyat mengatasi bebanan akibat kos hidup yang tinggi.

Memandangkan kerajaan sentiasa ikhlas dalam usaha untuk membantu rakyat, ia tidak akan mengabaikan bantuan dan keselamatan kepada mereka yang terdedah kepada kesan ekonomi iaitu mereka yang memerlukan sokongan jaringan keselamatan sosial, lapor Bernama.

Menurutnya, objektif kerajaan ialah sentiasa memantau perkembangan dan meningkatkan kerangka kerja pengawal aturan bagi memastikan manfaat sosial yang diperlukan dan tidak mengehadkan bantuan kewangan langsung kepada mereka yang miskin.

"Kumpulan berpendapatan sederhana juga dijangka menerima lebih banyak bantuan daripada kerajaan yang akan memperkenalkan mekanisme yang akan memanfaatkan mereka dalam menghadapi senario ekonomi semasa.

Menurut Bernama, antara usaha lain yang dijangka diperkenalkan termasuk peningkatan sistem pengangkutan awam yang meliputi perkhidmatan rel dan bas kerana ia akan mengurangkan beban golongan pekerja berikutan harga petrol yang tinggi.

Dari segi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini, agensi berita nasional itu menjangka kerajaan akan meneruskan dasar mesra perniagaan.

"Berbanding negara lain di rantau ini, Malaysia dianggap destinasi FDI di rantau ini dan dalam bajet kali ini, diharapkan kerajaan akan menyediakan lebih banyak insentif bagi mengekalkan saingan," lapor Bernama.

Friday, August 29, 2008

Cabaran menunggu Anwar!
Tarmizi Mohd Jam


KEMENANGAN Anwar Ibrahim sudah diduga. Lautan manusia yang mendokongnya pada hari penamaan calon memberi signal jelas, langkah mantan TPM itu melakar sejarah baru, kian terbentang.

Anwar membina majoriti 15,671 undi, jauh lebih tegar berbanding penyandang sebelumnya, Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 13,398 undi ketika membenamkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi - kurang 147 undi dari majoriti yang menyarati Anwar.

Manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan setelah hanya mendapat 92 undi.

Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi. Sebanyak 447 undi rosak.

Walaupun berdepan kemungkinan 'dilarang' mengangkat sumpah secara rasmi sebagai ahli parlimen, namun Anwar bertekad ke Parlimen esok (27 Ogos) selepas memenangi kerusi Permatang Pauh malam ini (26 Ogos).

"Insya Allah, seandainya diizinkan dan jika tiada aral, saya akan melangkah masuk ke Parlimen seawal hari esok dengan menggalas harapan rakyat keseluruhannya," katanya pada blognya sewaktu menunggu keputusan rasmi pilihanraya kecil tersebut.

Sebaik diumumkan kemenangan, Anwar sebenarnya sudah disarati dengan dua cabaran baru selain tuduhan 'liwat' yang masih melekat. Kempen-kempen 10 hari yang cukup memualkan, hampir 'merebahkan' Anwar. Dihempap pula permainan ganas media yang berat sebelah.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, awal-awal lagi bertegas "Tiada keperluan untuk Anwar mengangkat sumpah dengan segera. Bukannya ada perebutan kuasa. Seseorang yang menang dalam pilihanraya tidak semestinya mengangkat sumpah jawatan anggota Dewan Rakyat dalam minggu ini juga."

Terdapat kemungkinan dan kebimbangan, Perdana Menteri enggan berdepan dan bertentangan mata dengan Anwar sewaktu pembentangan Bajet 2009, Jumaat ini (29 Ogos). Ini bermakna, Dewan Rakyat yang sedang bersidang, juga sedang 'mengnyahkan' hero baru rakyat ke Parlimen.

Pandikar Amin berkata, beliau akan menunggu notis rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh dengan persetujuan wakil rakyat Permatang Pauh yang terpilih nanti untuk acara mengangkat sumpah.

Pada masa yang sama, tindakan secepat kilat BPR yang akan memanggil Datuk S. Nallakaruppan untuk memberi penjelasan mengenai dakwaannya bahawa Anwar menerima RM60 juta daripada Magnum Corporation, semasa beliau (Nallakaruppan) ketika itu adalah pengarahnya - juga satu lagi perangkap untuk menghambat beliau mara ke Putrajaya.

Timbalan Ketua Pengarah I BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata Nallakaruppan, yang pernah bersahabat baik dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu akan dipanggil secepat mungkin memandangkan dakwaannya itu amat serius.

Belum sampai 24 jam, Anwar kelihatan tersangkut segala macam cabaran pahit untuk menduganya lagi.- (tmj)_
Kerajaan Perak teruskan saman malu terhadap BPR
Intan Abdullah


PERMATANG PAUH - Prosedur bagi mengemukakan saman malu berhubung tuduhan serta dakwaan pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan media arus perdana akan diteruskan selepas kedua pihak tersebut enggan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka seperti yang diminta kerajaan negeri Perak.

Menteri Besarnya, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin berkata pihaknya akan meneruskan prosedur untuk saman malu itu dikemukakan kepada pihak yang disebut sebelum ini memandangkan mereka enggan menunaikan apa yang diminta.

"Kita akan teruskannya, kerana ia membabitkan maruah kerajaan negeri Perak sedangkan pertuduhan tersebut masih dalam siasatan," katanya yang ditemui Harakah selepas menyampaikan kuliah maghrib di Surau Taman Sutera, Permatang Pauh.

Pihaknya yang kesal dengan tindakan kedua-dua pihak tersebut juga menjelaskan bahawa kertas pertuduhan mengenai kes tersebut juga tidak menyatakan secara khusus mengenai dakwaan ke atas kedua-dua exco yang terbabit.

"Ianya tidak disebutkan secara jelas dan tepat mengenai kes tersebut ke atas kedua-dua yang dituduh.

"Apapun kami menyerahkan kepada budi bicara pihak mahkamah bagi mengadili kes ini dan saya akan akur kepada keputusannya kelak," katanya lagi.

Pada 19 Ogos lalu, BPR menahan enam orang, termasuk dua Exco Kerajaan Perak kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan satu projek perumahan di Seri Iskandar, Perak.

Kedua-duanya adalah Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering), Exco Pelancongan, Modal Insan dan NGO dan Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) iaitu Exco Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Perdagangan.- (tmj) _
Kerajaan dirayu bayar pencen bulanan bekas anggota keselamatan
BERNAMA


ALOR STAR: Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia merayu kerajaan membayar pencen bulanan RM200 kepada bekas anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan negara sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Timbalan presiden persatuan itu Abdul Aziz Wahab berkata jumlah anggota veteran yang berjuang dalam pelbagai pasukan sebelum merdeka kini tidak melebihi 1,000 orang kerana ramai yang telah meninggal dunia.

"Nasib kami tidak terbela sepenuhnya, ada yang hidup susah dan menderita," katanya selepas menyerahkan bantuan kerusi roda kepada isteri seorang anggota persatuan itu yang lumpuh di sini, hari ini.

Persatuan itu ditubuhkan pada 1955 dianggotai lebih 3,000 orang bekas Konstable Khas (SC), Home Guard, Unit Kawalan Kampung, Askar Wataniah, Tentera British serta bekas tentera dan polis di seluruh negara.

Katanya hadiah RM1,000 yang diberikan kepada anggota pasukan keselamatan sebelum merdeka pada 2002 dan 2003 tidak seberapa kalau dibandingkan dengan keperitan yang ditanggung selama bertahun-tahun berjuang mempertahankan negara.

Abdul Aziz berkata persatuan pernah mengemukakan permohonan pencen itu kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002 dan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2005 tetapi tidak mendapat jawapan.

Katanya persatuan hanya mampu memberi bantuan bernilai RM200 berupa kain, beras, pakaian dan wang tunai kepada 50 anggotanya pada setiap tahun menyambut Ramadan dan Aidilfitri di samping kerusi roda kepada yang lumpuh.

Pada majlis itu, Puteh Awang, 66, yang lumpuh lebih setahun menerima sumbangan kerusi roda yang disampaikan Abdul Aziz.

Puteh ialah isteri bekas Kons. Khas Mustafa Harun, 75, yang kini hidup dengan bantuan anak-anaknya seramai tujuh orang.

Mustafa yang menyertai SC pada 1953 berkata beliau tidak pernah mendapat bantuan kerajaan kecuali hadiah RM300 semasa berhenti pada 1958 dan cadangan pencen bulanan RM200 kepada anggota keselamatan yang berjuang sebelum merdeka adalah wajar.
Pemuda PAS anjur program Munajat Perdana di dataran MPAJ
Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan program sempena sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama PAS di dataran Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ) pada 30 dan 31 Ogos ini.

Pengerusinya, Ustaz Ridwan Mohd Noor berkata, program itu bertujuan menghimpunkan semua aktivis dan penyokong PAS bagi mengimbau sumbangan kepimpinan ulama dalam perjuangan Islam

Beliau berkata, perhimpunan bermula jam 6.30 petang pada 30 Ogos dengan solat Maghrib berjemaah serta kuliah oleh exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Sallehen Mokhyi.

Selepas solat Isyak, diadakan solat hajat perdana dan ceramah oleh Naib Presiden, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasharuddin Hassan.

Beliau menjelaskan, semua Pemuda dan ahli PAS akan berkhemah di padang MPAJ untuk berqiamulail dan munajat Perdana yang dipimpin oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Pandan, Ustaz Zulkifli Ahmad.

Selepas solat Subuh diadakan forum perdana Ihya Ramadan oleh exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz; Ustaz Azli Musa dan Bendahari Pemuda PAS Pusat, Mohd Zaki Ibrahim manakala Ustaz Ridwan akan mempengerusikan forum tersebut.

Kata Ustaz Ridwan, Ihya Ramadan akan dihidupkan dengan program nuzul Quran serta menyebarkan dakwah ke kampung Orang Asli dan Pusat Pemulihan akhlak di sekitar Lembah Klang. - lanh _
Dr Lo'lo kecewa sikap tak bertanggungjawab JKM
Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Dr Lo'lo Mohd Ghazali (PAS - Titiwangsa) mempersoalkan mengenai peruntukan bagi tahun 2008 yang diberikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di setiap Parlimen.

Jelasnya, beliau kurang pasti kemana serta melalui siapa peruntukan tersebut disalurkan kerana selaku Ahli Parlimen beliau belum memperolehi sebarang peruntukan untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata demikian sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Negara pada 19 Ogos lalu.

Lo'lo turut melahirkan kekecewaan kerana gagal mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat sewaktu beliau mengadakan program yang menghimpunkan 700 orang ibu tunggal di kawasan Titiwangsa.

"Saya telah berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan pengarahnya sendiri untuk mendapatkan kerjasama. Malah beliau telah berjanji untuk menghantar wakil dalam program tersebut.

"Saya mengadakan program tersebut kerana mengambil kira kenyataan yang dibuat Dato' Ng Yen Yen. Saya tidak faham dua hari sebelum program tersebut, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan tidak mahu menghadirkan diri. Jadi saya ingin bertanya adakah 700 orang ibu tunggal di kawasan Titiwangsa tidak penting sehingga wakil JKM tidak mahu menghadirkan diri?" soalnya.

Lo'lo juga mempersoalkan apakah ketidak hadiran pegawai daripada JKM itu disebabkan terdapat halangan daripada pihak kementerian.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Noriah Kasnon menyatakan beliau tidak mendapat sebarang makluman mengenai himpunan ibu tunggal yang dikatakan sepatutnya terdapat wakil daripada JKM.

"Saya yakin ia bukanlah arahan daripada pihak kementerian. Bagaimanapun untuk mendapat jawapannya, YB boleh menghantar surat dan minta penjelasan daripada pihak terbabit," katanya.- (tmj)_
Pertemuan Pertama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat
Buletin Online


Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan Pertemuan Pertama jam 11:00 pagi di Pejabat Ketua Pembangkang di tingkat 14, Bangunan Parlimen hari ini, Khamis 28 Ogos 2008.

Pertemuan tersebut telah dipengerusikan Ketua Pembangkang Baru, Dato' Seri Anwar Ibrahim

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Pas, YB Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, YB Karpal Singh.

Selain itu, pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti turut hadir iaitu YB Azmin Ali dan YB Dr Lee Boon Chye dari PKR; YB Nasharuddin Mat Isa, YB Kamarudin Jaafar dan YB Salahuddin Ayub dari PAS sementara YB Lim Kit Siang, YB Lim Guan Eng dan YB Teresa Kok mewakili DAP.

Dalam pertemuan tersebut Dato' Seri Anwar mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat yang telah bertungkus lumus membantu dalam memastikan Parlimen Permatang Pauh kekal di tangan Pakatan Rakyat.

Kemenangan besar dan bilangan pengundi yang tinggi di Permatang Pauh adalah bukti nyata penolakan rakyat terhadap politik perkauman budaya fitnah dan politik wang.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat buat kesekian kalinya mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan semangat kerjasama di dalam Pakatan Rakyat.

Dalam pertemuan tersebut juga semua pihak bersepakat untuk mengadakan Perhimpunan Pakatan Rakyat Sempena Menyambut Hari Kemerdekaan di Permatang Pauh pada 31 Ogos 2008 pada pukul 9:00 malam.
Mesyuarat MT Umno dibatalkan
mstar online


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno yang sepatutnya diadakan hari ini dibatalkan.

Ini merupakan pembatalan kali kedua dalam tempoh dua minggu ini

Sebelum ini mesyuarat MT yang sepatutnya diadakan pada 14 Ogos lalu dibatalkan disebabkan persiapan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh

Sebelum dibatalkan, mStar Online difahamkan mesyuarat tersebut ditangguhkan sehingga pukul 8 malam ini.

Mesyuarat itu sepatutnya berlangsung mulai pukul 3 petang ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor gagal dihubungi bagi mendapatkan sebab pembatalan mesyuarat hari ini.

Difahamkan mesyuarat yang sepatutnya berlangsung hari ini akan membincangkan beberapa perkembangan baru, termasuk menilai keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam yang dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat.

Semalam Ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, mesyuarat berkenaan bagaimanapun bukan khusus untuk membincangkan isu itu, sebaliknya hanyalah mesyuarat bulanan biasa yang turut akan menilai perjalanan mesyuarat hampir 200,000 cawangan parti seluruh negara yang tempohnya hujung minggu lalu.

Selain itu, katanya, mesyuarat MT itu juga akan meneliti pelbagai isu dalaman parti.
Apa guna Merdeka jika rakyat kita masih menjadi tebusan?
Roslan SMS


Dalam pada kita sibuk dengan tugasan harian masing-masing saya rasa tumpuan negara harus diberikan kepada kejadian menawan kapal tangki minyak MT Bunga Melati Dua milik MISC Berhad di Teluk Aden berhampiran Somalia kira-kira seminggu lepas oleh lanun-lanun yang tidak dikenali. Terdapat 39 anak kapal di atas kapal milik Malaysia itu iaitu 29 warga Malaysia dan 10 Filipina.

Menurut pihak MISC MT Bunga Melati Dua yang boleh membawa muatan 32,025 tan itu membawa minyak sawit dari Malaysia sebelum ditawan oleh lanun-lanun bersenjata di luar pantai Somalia Selasa lepas kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.

TPM Najib Tun Razak dalam akhbar tempatan hari ini menytakan kesemua 39 anak kapal tersebut selamat dan rundingan sedang dijanalnkan untuk membebaskan mereka.

Saya yakin semua kita bersimpati dengan mangsa dan keluarga mereka dan mendoakan agar mereka semua khasnya mangsa tidak diapa-apakan dan akan selamat kembali kepangkuan keluarga masing-masing secepat mungkin.

Saya berharap agar pihak kerajaan lebih telus dan terbuka akan perkembangan yang sedang berlaku. “Updates” dari masa kesemasa perlu diberikan untuk mengurangkan kegusaran dan kebimbangan rakyat khasnya kaum keluarga dan kawan serta kenalan mangsa. Mengapa tidak dikeluarkan senarai nama mereka yang menjadi mangsa, sehingga kini cuma keluarga terdekat sahaja yang ketahui.

Apakah opsyen menggempur kapal tersebut untuk menyelamatkan tebusan tidak dipertimbangkan. Mengapa tidak kita hantar kapal dan pesawat tentera kita ke sana untuk emmantau keadaan, kita tahu bumi Somalia kini bergolak, lantas kekuatan kita perlu ada di sana untuk memimpin suasana.

Jangan pandang remeh dan kecil perkara ini kerana ia melibatkan maruah negara dan keselamatan rakyatnya. Kita mahu jika boleh PM sendiri atau wakil peribadinya terlibat dalam rundingan bagi mencerminkan seriusnya kerajaan dalam menangani isu ini dan membela rakyatnya. Bertindaklah, apa guna kita megah merayakan Merdeka jika rakyat warganegara kita sendiri menjadi tebusan di negara lain!
Galasan bebanan Anwar makin berat
Ahmad Lutfi Othman


Sejak awal tiada siapa berani meramalkan BN boleh merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh, apatah lagi berdepan Anwar Ibrahim, tokoh karismatik dan menjadi kebanggaan penduduk setempat.

Tumpuan hanya kepada sejauh mana majoriti kemenangan Dr Wan Azizah Ismail pada Mac 2008 (13,398 undi) dapat dikurangkan; itu sudah dianggap satu kejayaan.

Jalan pemulihan Umno sebenarnya belum tertutup mati. BN masih berpeluang mencari strategi terbaik, namun ia seperti tidak mahu belajar daripada sejarah.

Bukan perlu mengggali pengalaman lama zaman purba atau pramerdeka, hanya iktibar daripada pilihan raya ke-12, beberapa bulan lalu. BN mensesiakannya. Seperti terlalu sukar buatnya menimba pengajaran daripada kekalahan. Pemimpinnya tetap angkuh mendongak ke langit. Justeru, ia terus tersilap membaca realiti

Umno lebih suka menyalahkan parti-parti komponen BN lainnya. Kehilangan teraju kuasa di Kedah, Perak dan Selangor tidak mampu menginsafkannya.

Lalu ditunjukkan bahawa kerusi yang kalah bukannya milik Umno tetapi hak MCA, Gerakan atau MCA. Mereka mendakwa, pengundi Melayu masih menyokong Umno.

Buktinya, kata mereka, jumlah kerusi Dun di kawasan Melayu di Selangor dan Perak, yang dikuasai Umno, melebihi kerusi PAS atau KeADILan yang diwakili Adun Melayu

Dari sisi lain, jentera kempennya yang terbukti gagal pada Mac 2008 masih beroperasi cara lama. Isu-isu sensasi yang tiada kaitan dengan kehidupan rakyat diperbesarkan, manakala keperitan menanggung bebanan seharian diremehkan, dan paling menonjol, media yang ditungganginya terus memperbodoh-bodohkan minda pengundi.

Serangan dihamburkan semahunya bagai mahu melepaskan geram, sedangkan yang harus diutamakan ialah usaha memujuk rakyat dengan pendekatan berhemah.

Peliknya, itulah juga yang dilakukan dalam pertempuran di kubu kuat Anwar. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dihujani pelbagai kecaman, kata-nista, serta dilonggok fitnah paling hina, dan ia diulang-ulang melalui media utama sehingga meninggalkan kesan berbeza, yakni menikam balik Umno-BN.

Pengaruh media baru seperti internet kepada warga Permatang Pauh mungkin tidak sekuat Lembah Klang, namun media di bawah kawalan mutlak Umno, yang beroperasi secara "tunggang-langgang" menyebabkan rakyat "semakin meluat dan jijik" dengan pemerintah.

Anda tidak perlu turun padang meninjau perjalanan kempen. Cukup dengan membuka lembaran akhbar dan menatap siaran berita TV. Aneh ya, mengapa Umno-BN harus terus mengulangi "cerita lama keganasan" sehingga memaksa jurufoto "yang dibelasah" tinggal begitu lama di hospital?

Begitu juga dengan adu-domba tentang perselisihan PAS-KeADILan, dan "permainan lapuk" menimbulkan sentimen kevbencian orang Melayu terhadap DAP. Hatta rakaman sumpah laknat Saiful Bukhari makin membuatkan Anwar mendapat simpati. Serba tidak menjadi kempen BN!

Akhirnya keputusan menunjukkan dua daripada tiga pengundi di Permatang Pauh menyokong Anwar. Majoriti yang diperolehi Anwar (15,671 undi) adalah lebih besar daripada jumlah undi Arif Shah (15,524) sendiri.

Kekhuatiran awal bahawa pengundi Melayu mula sangsi dengan keperibadian Anwar, ekoran sumpah Saiful, bagai tertolak terus. Ia lebih kepada bagaimana isu itu dibentangkan kepada khalayak, dengan rekod lama pertuduhan 1998 yang belum dapat dilupai.

Banyak pihak mahu momentum kemenangan ini membawa Pakatan Rakyat ke mercu kuasa dan merintis laluan mudah Anwar ke Putrajaya. Impian itu pastinya tidak mudah digapai.

Ranjau dan duri menanti Anwar, selain kes dakwaan liwat yang boleh menjerutnya bila-bila masa. Galasan bebanan di belakang Anwar makin memberat.

Kemenangan besar ini tentu menggusarkan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, tetapi ia juga menuntut kebijaksanaan Anwar bersama pimpinan Pakatan menempuh cabaran baru yang menjadi perhatian istimewa masyarakat.

Usah persiakan harapan rakyat. - mks._
Imam Masjid Wilayah bakal dipecat ?
Suara KeADILan


KUALA LUMPUR - Dari maklumat yang layak dipercayai, Imam Masjid Wilayah, Ramlang Porigi, yang mendedahkan beliau telah dipaksa untuk menjadi saksi sumpah Saiful Bukhari Mohd Azlan dipercayai telah di beri cuti oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sumber kami juga mempercayai beliau akan di pecat oleh Jawi setelah kembali berkhidmat kelak.

Pada 15 Ogos lalu, Ramlang dikatakan telah menjadi saksi sumpah kepada Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Anwar Ibrahim.

Walaubagaimanapun, Suara Keadilan Online, 25 Ogos lalu secara eksklusif mendedahkan bahawa seorang pegawai khas kepada Najib telah mengaturkan segala persiapan upacara sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan disaksikan oleh beliau sendiri.
Tujuh malu besar !
Siasah Online


Pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pihak yang paling malu sekali dengan kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menambahkan majoriti kemenangan PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Selain beliau, turut malu besar adalah Ezam Mohd Nor yang menjadikan Anwar musuh peribadi beliau, Khairy Jamaludin yang mahu menguburkan Anwar dan Datuk S Nalakarupan yang menyerang beliau di bawah paras pinggang di samping Mohd Saiful Bukhari Azlan yang terpaksa menggadaikan maruah peribadi beliau sendiri.

Turut malu besar adalah TV3 yang membuat serangan besar-besaran terhadap Anwar tanpa berlapik dan akhbar Utusan Malaysia yang tidak menjaga langsung etika sebagai media utama negara.
Bajet 2009 perlu penuhi pelan jangka sederhana dan panjang


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji pelan jangka sederhana dan panjang dalam bajet negara bagi memastikan kemampanan dan kemakmuran ekonomi.

Dalam menjaga kebajikan rakyat, tahap persaingan dan pembangunan modal insan juga perlu ditingkatkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Biorteknologi Malaysia Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Perlu ada kesimbangan dalam elemen ekonomi dan kebajikan bagi mengekalkan kemakmuran negara," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini hari ini.

Ia akan menyumbang kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.

Bagi Bajet 2009 yang akan dibentangkan di Parlimen esok, beliau berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap elemen berikut meningkatkan daya saing negara, memperkukuhkan pembangunan modal insan dan kebajikan sosial rakyat.

Iskandar berkata langkah jangka pendek mungkin tertumpu pada kebajikan sosial rakyat terutama bagi mengurangkan beban berikutan peningkatan kos hidup akibat inflasi.

Salah satu cara ialah bagi menstabilkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan, serta menggalakkan pengguna bahan bakar alternatif, katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan wajar menimbang untuk menurunkan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyediakan pendapatan boleh belanja yang lebih tinggi kepada rakyat.

Bagaimanapun, bantuan kewangan secara langsung berbanding penurunan cukai pendapatan, lebih banyak membantu memandangkan hanya satu juta daripda 27 juta penduduk yang membayar cukai, katanya.

Mengenai sektor bioteknologi, beliau berkata sektor itu memasuki fasa kedua pelan induk Biotekologi, dan pelaburan perlu ditingatkan bagi merealisasikan projek berimpak tinggi untuk industri terbabit.

Beliau berkata kerajaan akan memainkan peranan dalam menyediakan dana permulaan, khusus untuk dilaburkan dalam syarikat biroteknologi tempatan, yang akan diurus oleh profesional, seperti tabung amanah.

"Kerajaan akan memberi pengecualian cukai kepada mereka yang melabur dalam dana ini, dan dalam masa yang sama meningakatkan pembanguan projekprojek berimpak tinggi," katanya.

BiotechCorp sudah melahirkan 71 syarikat bioteknologi menerusi status BioNexus dan dijangkakan akan mewujudkan 40 syarikat dengan status yang sama menjelang akhir tahun ini, kata Iskandar.

Beliau berkata BiotechCorp akan melancarkan program rakan usaha sama BioNexus pada Oktober yang akan menggalakkan kerjasama antara insttusi pengajian tinggi dan sektor swasta yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, hingga ke proses pengkomersilan.

Bagi menggalakan lebih banyak penyertaan, kerajaan boleh menimbang untuk memberi geran atau bantuan lain yang dapat membantu pihak terbabit mencapai objekttfnya, katanya. BERNAMA
(Dikemas kini)

Anwar angkat sumpah MP baru, BN Sabah Sarawak ikrar taat setia PM
Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Ketika pembangkang meraikan kehadiran semula bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh buat penggal kelima di Dewan Rakyat pagi semalam, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak pula mengisytiharkan taat setia mereka akan bersama BN.

Majoriti ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak menyatakan pendirian tidak akan lompat parti sebagaimana yang diuar-uarkan pembangkang sejak keputusan pilihan raya kecil diumumkan Selasa lalu.

Meskipun spekulasi itu dinafikan oleh beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak dari semasa ke semasa itu muncul semula semalam.

Di sebalik upacara angkat sumpah Anwar sebgai anggota Dewan Rakyat muncul spekulasi bahawa 40 hingga 50 Ahli Parlimen BN akan melompat parti dalam waktu terdekat.

Satu surat yang mengandungi tandatangan semua Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sebagai tanda sokongan mereka.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dipetik Bernama berkata, kenyataan yang dibuat pembangkang mengenai perkara itu merupakan suatu rekaan dan pembohongan semata-mata.

"Sokongan anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan BN dan kita akan sentiasa bersama BN walaupun ada cerita di luar sana bahawa kononnya ada ura-ura anggota Parlimen dari kedua-dua negeri nak melompat (parti)," katanya yang mewakili anggota Parlimen kedua-dua negeri itu pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Kira-kira 20 anggota Parlimen Sabah dan Sarawak hadir pada sidang media itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Douglas Unggah Embas dan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Shafie yang juga anggota Parlimen Semporna berkata pendirian tidak akan berlaku lompat parti itu turut dinyatakan dua anggota Parlimen BN dari Sabah iaitu Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau) yang sebelum ini didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya telah bercakap dengan Eric Majimbun dan Chua Soon Bui pagi ini (semalam), saya berjumpa mereka dan mereka memberi jaminan kepada saya bahawa mereka masih kekal bersama BN," kata beliau.

"Pendirian kami sangat jelas jadi saya harap tiada spekulasi, jangan dengar spekulasi yang dibuat (Penasihat Parti Keadilan Rakyat) (Datuk Seri) Anwar Ibrahim atau sesiapa di luar (parti)," katanya.

Semalam, Anwar selepas mengangkat sumpah berkata, rancangan menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru dengan mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 30 anggota Dewan Rakyat dari BN menjelang 16 September masih kekal.

"Perdana Menteri telah kehilangan mandat negara," kata Anwar sambil menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan "kesemua kroni mereka" harus dikeluarkan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua tidak mengulas lanjut melainkan berkata, "kami akan mengumumkan bila tiba masanya."

Kini BN mempunyai 140 anggota di Dewan Rakyat manakala pembangkang di bawah perikatan tidak formal Pakatan Rakyat mempunyai 82 anggota.

Pakatan Rakyat memerlukan 30 lagi anggota untuk menubuhkan kerajaan.

Ketika kempen, Anwar berkata, Pakatan Rakyat sudah pun memiliki 84 wakil rakyat dengan dua kerusi 'tambahan' merujuk kepada sama ada anggota sebuah parti dari Semenanjung atau Sabah.

Thursday, August 28, 2008

Kesan besar kemenangan Anwar

A. Kadir Jasin

KEMENANGAN Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh hari ini akan memberi kesan besar dan menyeluruh kepada persekitaran politik negara.

Anwar (Parti Keadilan Rakyat/Pakatan Rakyat) memperoleh 31,195 undi, Arif Shah Omar Shah (Barisan Nasional) 15,524 dan Hanafi Hamat (Akim) 92, memberikan Anwar majoriti 15,671 undi.

Kelebihan undi yang besar itu membuktikan populariti Anwar tetap kental walaupun sudah sedekad terkeluar daripada arus politik perdana dan kini menghadapi tuduhan liwat di mahkamah.

Serentak itu, keputusan pilihan raya kecil itu mengesahkan penolakan yang meluas dan berterusan terhadap Barisan Nasional, khasnya Umno.

Ia juga berupa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan tamparan hebat kepada timbalannya, Mohd Najib Abdul Razak, yang menjadi ketua kempen BN.

Beberapa fakta dan kesimpulan awal yang terbit daripada keputusan pilihan raya kecil itu adalah seperti berikut:

1. Serangan peribadi ke atas Anwar tidak berkesan walaupun BN menggunakan hujah seperti tuduhan liwat dan sumpah laknat si penuduh, Saiful Bukhari Azlan;

2. Gula-gula pilihan raya seperti penurunan harga minyak, janji-janji pembangunan dan buah tangan tidak membantu mengubah pendirian majoriti pengundi yang tidak sukakan BN;

3. Kehadiran begitu ramai pembesar Umno dan BN dengan jentera rasmi dan peribadi mereka ditolak oleh majoriti pengundi;

4. Peranan media massa arus perdana yang terus memberi gambaran yang songsang mengenai keadaan sebenar menyebabkan pemilih jelak dan menolak mesej BN dan pemerintah yang mereka bawa;

5. Kekalahan lebih teruk ini akan memburukkan lagi kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN;

6. Kewibawaan dan integriti pakatan setia Abdullah-Mohd Najib semakin dicurigai apatah lagi apabila Mohd Najib sendiri menggunakan pilihan raya kecil itu untuk bersumpah dengan nama Allah menafikan keterlibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Mohd Najib bersumpah yang dia tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan wanita Mongolia itu;

7. Seruan supaya Abdullah segera meletakkan jawatan mungkin memuncak semula dan mungkin berlaku percubaan baru mencalonkan seseorang untuk mencabar beliau dan Mohd Najib pada pemilihan Umno Disember ini;

8. Kemenangan ini memberi mandat yang lebih kuat kepada Anwar untuk memujuk Ahli Dewan Rakyat BN untuk berpaling tadah menjelang Hari Malaysia pada 16 September ini seperti yang diuar-uarkannya;

9. Kedudukan Anwar sebagai MP dan calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat bergantung dan tertakluk kepada keputusan perbicaraan kes liwatnya;

10. BN tidak lagi boleh menggunakan kuasa kewangan dan pentadbiran untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil. Pada masa lampau, BN umumnya menang pilihan raya kecil malah berjaya merampas kerusi pembangkang; dan

11. Umno akan lebih parah dan mungkin ditolak terus oleh orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang jika kepemimpinannya terus mengabaikan mesej yang dihantar oleh pengundi. Ramai ahli parti dan penyokong BN tidak keluar mengundi.

BPR masih belum dapat hubungi Nallakaruppan

PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesahkan bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan masih belum dapat dihubungi bagi mendapat keterangan tentang dakwaannya terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian.

Pengarah Siasatan BPR Datuk Shukri Abdull berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menghubungi Nallakaruppan dengan segera berkaitan dakwaan itu.

"Kita sedang menghubungi dia, sekarang tak dapat lagi," katanya kepada pemberita ketika ditanya bila Nallakaruppan akan dipanggil oleh BPR berhubung perkara itu, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah I BPR Datuk Abu Kassim Mohamed berkata BPR akan memanggil Nallakaruppan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan itu.

Sabtu lalu, Nallakaruppan mendakwa Anwar menerima RM60 juta daripada syarikat perjudian terbabit ketika beliau menjadi pengarah perhubungan awam syarikat berkenaan.

Nallakaruppan, yang juga bekas sahabat baik Penasihat PKR itu, turut mendakwa Anwar meluluskan banyak lesen perjudian serta kedai empat nombor ekor ketika menjadi Menteri Kewangan serta Timbalan Perdana Menteri dulu.

Ditanya sama ada Nallakaruppan akan dipanggil ke ibu pejabat BPR di sini, Shukri berkata: "Mungkin." BERNAMA

Anwar gembira kembali ke Parlimen
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Hasrat menjadikan Parlimen sebagai gelanggang yang benar-benar berfungsi untuk menyuarakan tuntutan rakyat menjadi matlamat utama bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen hari ini.

"Saya gembira apabila kembali semula ke Parlimen setelah meninggalkannya sedekad yang lalu. Ini adalah peluang terbaik untuk saya suarakan permintaan rakyat bersama dengan PAS dan DAP," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen selepas proses angkat sumpah.

Beliau juga melahirkan rasa terharu dengan keputusan rakyat di Permatang Pauh yang berkeinginan untuk beliau kembali semua ke Parlimen sebagai wakil mereka.

"Saya sedar sejak saya disingkirkan dengan cara zalim sepuluh tahun lalu, seluruh jentera Umno dan kerajaan hingga kini mengambil segala langlah untuk menafikan hak saya menduduki kerusi ini.

"Namun dengan kebijaksanaan pengundi, saya merasa lega kerana kini saya bebas dari cengkaman sedemikian," katanya.

Detik mula perubahan ke arah kerajaan baru 16 September
Mohd Rashidi Hassan


Hari ini Dato' Seri Anwar Ibrahim akan hadir kali kedua ke Bangunan Parlimen, selepas 10 tahun untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, sekaligus menjadi Ketua Pembangkang yang baru.

Anwar dipaksa meninggalkan Parlimen secara paksa 10 tahun lalu ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, dalam kerajaan Barisan Nasional.

Bezanya, kemasukkan beliau ke Parlimen kali ini bukan setakat hendak menjadi Ketua Pembangkang atau TPM sahaja.

Beliau mempunyai matlamat yang besar dan jelas, iaitu mahu menjadi Perdana Menteri bagi kerajaan baru yang dinamakan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh semalam mencetuskan implikasi politik yang besar kepada negara.

Kemenangan besar Anwar bukan sahaja membuktikan bahawa Permatang Pauh merupakan 'safe heaven' baginya, malah ianya merupakan titik tolak yang besar kepada perubahan politik negara.

Hakikat yang tidak dapat sanggah iaitu, memenangi pilihan raya kecil dengan majoriti yang lebih besar bagi calon parti pembangkang, merupakan sesuatu yang amat sukar dalam sejarah politik negara.

Anwar dan gerombolannya daripada Pakatan Rakyat sudah menghampiri tarikh 16 September yang sering dicongak oleh kawan dan lawan.

Rakyat Permatang Pauh mewakili seluruh rakyat Malaysia, memberikan 'signal' yang paling jelas kepada Barisan Nasional bahawa era pemerintahannya selama 50 tahun bakal berakhir tidak lama lagi.

Liku perjuangan politik Anwar

Anwar melalui perjalanan politik yang penuh berliku. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa setakat ini tiada ada seorang pun ahli politik di Malaysia yang mengharungi liku kerjaya politik seteruk Anwar Ibrahim.

Semua tuduhan dilemparkan terhadap Anwar. Kaki liwat! Agen Amerika! Kaki kelentong! Perasuah! Agen bangsa asing! Perosak bangsa Melayu! Pengancam agama Islam! Pemusnah negara! Dahsyat...amat dahsyat sekali kecaman dan tuduhan BN terhadap Anwar.

Bukan bermakna penulis atau mana-mana penyokong Pakatan Rakyat terlalu taksub kepada Anwar. Tetapi tuduhan BN ini amat dahsyat dan melampau. Semua tuduhan ini menyebabkan rakyat muak dengan BN. Tuduhan-tuduhan melampau inilah yang sebenarnya menyebabkan BN 'over kill'!

Dalam politik..biasalah hentam menghentam, kritik mengkritik dan sebagainya. Tetapi berpada-padalah sedikit. Janganlah melampau sangat.

Ini tidak. Jelas dilihat walaupun rakyat Permatang Pauh yang menghadapi PRK, namun kempen dan serangan media yang menjadi 'barua' BN seolah-olahnya berpesta dengan pelbagai tuduhan terhadap Anwar dan Pakatan rakyat.

Kempen BN dan media pengampu terpaksa menghadapi PRK Permatang Pauh, sama seperti mereka menghadapi Pilihan Raya Umum!

Pelbagai tuduhan, fitnah dan kecaman dilemparkan BN terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat, sama ada menerusi televisyen, akhbar, radio, internet dan apa juga saluran yang mereka boleh usahakan.

Kempen besar-besaran BN untuk menyekat Anwar dilakukan bukan setakat untuk menghalangnya masuk ke Parlimen sahaja, bahkan mereka tahu bahawa Anwar boleh menjadi penyebab utama tumbangnya keangkuhan BN selama 50 tahun.

Hakikat sebenarnya pemimpin BN tidak pernah sedar bahawa mereka bukan berhadapan dengan Anwar seorang diri. BN sebenarnya berhadapan dengan 'force' besar iaitu kuasa rakyat.

Rakyat yang mahukan perubahan. Rakyat yang menolak segala bentuk tohmahan dan serangan politik yang melampau oleh media pengampu BN.

Rakyat sebenarnya mengubah paradigma dan persepsi bahawa BN sahaja yang boleh memerintah.

Lihatlah dengan jelas, apa sahaja tohmahan, adu domba, kecaman dan usaha-usaha jahat BN serta media 'barua' untuk mengugat lima negeri yang diterajui Pakatan Rakyat, semuanya gagal.

Kuasa rakyat, kehendak rakyat dan sokongan rakyat sememangnya mahukan negara berubah ke arah pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan.

Hasil kemenangan Anwar

Sekarang ini Barisan Nasional menghadapi masalah paling besar. Hasrat Umno untuk kekal berkuasa dengan mengekslpoitasikan isu Melayu dan agama diketepikan rakyat.

Gerakan sepatutnya berfikir semula untuk meneruskan hasrat keluar BN. MCA yang terbahagi kepada dua pendapat, semakin cenderung meninggalkan BN

Kedudukan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terumbang ambing, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hampir pasti tidak berpeluang menjadi PM. Parti Umno yang sedang menghadapi mesyuarat bahagian dan pemilihan Majlis Tertinggi sekarang semakin hampir terkubur.

Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin memikirkan secara serius untuk berhijrah keluar negara, manakala Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Mohamed Ezam Md Nor dan para kroni mereka harus bersedia menelan segala muntah dan sumpah seranah yang dihamburkan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ada seorang lagi pembelit besar yang tiba-tiba menyerang Anwar tanpa memikir risiko yang bakal menimpanya. Dato' S. Nallakaruppan. Adeii Nalla..yenge poringge..? (Mana lu mau pergi). Mana lu mau taruk lu punya muka sekarang!

Hari ini pemimpin-pemimpin utama Umno/ BN terpaksa berhadapan secara 'live' dengan Anwar dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sejak dari PRU 8 Mac lepas, laluan mereka di Parlimen tidak lagi mudah. Mereka semakin sukar sekarang ini.

Mulai hari ini, usaha membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat semakin hampir. Itulah kehendak rakyat sebenarnya. Insya-Allah, Anwar mampu melakukan! - mks. _

MB Negeri Sembilan kata 'pergi mampus'...
Zaili Muhammad


SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan, mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan di dalam persidangan Dun Negeri Sembilan semalam kerana berang dengan tindakan Adun Pakatan Rakyat yang keluar dari dewan sebagai tanda protes.

Persidangan Dun yang bermula jam 10 pagi itu menjadi kecoh apabila Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAP-Lobak), menyuarakan rasa tidak puas hati Adun Pakatan Rakyat kepada Speaker Dato' Razak Mansor kerana penggiliran sesi soal jawab ketika perbahasan hanya mengutamakan kepada Adun Barisan Nasional (BN) sahaja.

Adun BN pula akan melengah-lengahkan masa dan membangkitkan soalan yang tiada mempunyai kepentingan langsung terhadap permasalahan rakyat sehingga menyebabkan Adun Pakatan Rakyat tidak berpeluang untuk membangkitkan soalan kerana masa sudah tamat.

Loke mencadangkan supaya diselang-selikan soalan di antara wakil BN dan Pakatan Rakyat supaya ianya adil kepada kedua-dua belah pihak seperti yang diamalkan di Parlimen mahupun di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Walaubagaimana pun, ianya ditolak oleh Dato' Razak dengan alasan peraturan itu telah dijalankan sejak sekian lama dan memang diamalkan di dalam persidangan Dun Negeri Sembilan, ini menyebabkan 15 Adun Pakatan Rakyat bertindak keluar dari dewan pada pukul 10.30 pagi kerana memboikot persidangan Dun tersebut.

Mohamad Hasan yang jelas berang dengan tindakan itu mengatakan 'pergi mampus' kepada pembangkang sambil diiringi sorakan Adun BN yang lain ketika menggulung perbahasan pada pukul 12.00 tengahari.

"Mereka ingat saya takut, 'pergi mampus' sama mereka, mereka tak ada pun kita boleh bersidang juga lagi senang kita buat kerja," kata beliau dengan nada marah.

Akhirnya persidangan Dun kali ini ditamatkan pada pukul 12.30 tengahari iaitu antara tempoh persidangan Dun yang terpendek sedangkan notis yang diberikan sebelum ini untuk dua hari. - mks. _

PAS rakam tahniah kemenangan PKR di Dewan Rakyat
Ismail Hashim

KUALA LUMPUR : PAS merakamkan ucapan tahniah pada Keadilan atas kemenangan besar Ketua Umum parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil P44 Permatang Pauh pada 26 Ogos baru lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di institusi perlembagaan negara itu sebelum meminta soalan no. 4 nya dijawab oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas kemenangan besar yang dicapai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam pilihan raya Permatang Pauh," ucap Ketua Penerangan PAS sambil mendapat tepukan dari kalangan anggota parlimen PR.

Dalam sidang yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 itu telah dapat didengari oleh jutaan rakyat negara ini.

Belum sempat beliau menghabiskan ucapan itu, penyokong BN telah mengganggu kononnya tidak berkaitan dengan acara sidang. Keadaan menjadi lebih gamat bila Haji Mahfuz membangkitkan 'BN kalah juga meskipun berlindung di belakang punggung Saiful', disambut gelak ketawa sebahagian besar hadirin.

Bermula dari situ, kalangan penyokong BN dikepalai oleh Rompin, Dr Jamaluddin Jarjis meminta Haji Mahfuz menarik balik tanpa menyatakan perkataan berkaitan. Peristiwa menarik ini berakhir begitu sahaja tanpa ada sebarang tarik balik meskipun di kalangan penyokong BN masih tidak berpuas hati.

Dalam soalan tambahannya berkaitan pembinaan sekolah di seluruh negara yang hanya diberikan pada dua kontraktor sahaja, beliau juga mempersoalkan kenapa tidak diagihkan pada lebih ramai kontraktor yang ada.

Oleh sebab soalan tambahannya agak panjang, beliau telah ditegur oleh penyokong kerajaan yang menyifatkan beliau berceramah, Haji Mahfuz berkata, "mereka semua tidak berpeluang mendengar ceramah saya di Permatang Pauh...!" tegasnya.

Dalam pilihan raya kecil itu, Anwar telah menang dengan majoriti 15,671 undi bila mendapat undi sebanyak 31,195, calon BN, Dato' Ariff Shah Omar Shah (15,524) dan calon Akim, Hanafi Mamat 92 undi dan hilang wang deposit.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran penyandang kerusi itu, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar meletakkan jawatan bagi membuka laluan pada suaminya menjadi ahli parlimen bagi membawa perubahan pada landskap politik negara.

Sementara itu, Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada sesi pagi 28 Ogos seterusnya berperanan sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Azizah sebelum ini.

Ekoran itu, Anwar pasti berperanan besar di dalam membahaskan bajet negara 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Jumaat 29 Ogos.

Anwar dilihat sebagai tokoh yang paling layak bercakap tentang bajet, kewangan dan ekonomi kerana pengalaman menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada 2 Disember 1998 oleh Dr Mahathir ketika berkuasa dahulu.- IBH

Anwar angkat sumpah sebagai MP Permatang Pauh.
Zuwairi Zakwa


PARLIMEN
– Tepat jam 9.51 pagi, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim dilihat masuk ke dalam Dewan Rakyat dengan berpakaian baju Melayu serba hitam lengkap dan bersongkok diiringi isteri beliau, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan serta beberapa pimpinan utama dan MP Pakatan Rakyat.

Ketibaan Anwar di dalam Dewan Rakyat disambut meriah seluruh MP Pakatan Rakyat yang hadir sambil bersalaman dengan pemimpin itu. Sambil bersalaman Anwar turut bersama mesra dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang juga merupakan Ahli Parlimen.


Antaranya yang turut kelihatan adalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta beberapa pemimpin yang lain.


Setelah bacaan doa, Anwar yang telahpun berdiri di tengah dewan dengan tenang dan penuh keyakinan membacakan sumpah di hadapan Speaker Dewan, Pandikar Amin Mulia.


Speaker kemudian melakukan upacara pemahsyuran Anwar sebagai MP Permatang Pauh yang baru seterusnya memahsyurkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai Ketua Pembangkang mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (a) 3.


Lantaran pemahsyuran itu, dewan sedikit gamat dengan tepukan meja yang bergemuruh daripada kalangan MP Pakatan Rakyat yang menyaksikan upacara yang penuh bersejarah itu.


Suasana sekali lagi menjadi gamat dengan tepukan apabila Ahli Parlimen BN, Sepanggar, Eric Enchin Majimbun dan begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz kedua-duanya mengucapkan ucapan tahniah kepada Anwar sebelum sesi soal jawab lisan.


Terdahulu sebelum itu, suasana dalam dewan hari ini telah dipenuhi lebih ramai tetamu dan ahli media seawal jam 9.30 pagi bagi mengikuti upacara mengangkat sumpah yang penuh bersejarah itu.


Walaubagaimanapun, suasana agar hambar di tempat duduk ahli Parlimen BN apabila tidak ramai yang hadir pada sesi pagi yang dipercayai cuba boikot upacara itu. SK difahamkan siaran langsung RTM juga dihentikan atas arahan Menteri Penerangan.


Anwar yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen kerusi yang sama telah menduduki kerusi itu sejak 1982 sebelum dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998.

Lantaran tuduhan yang dikenakan terhadap beliau, Anwar dinafikan hak politiknya selama 10 tahun dan kerusi Permatang Pauh kemudiannya disandang isteri beliau, Wan Azizah setelah memenangi kerusi itu selama 3 penggal berturut-turut sejak 1999. –