Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh sikap dan pendirian Presiden PAS
Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa kedudukan Tan Sri
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor perlu dikekalkan.
Kenyataan Presiden itu adalah pendirian tegas berdasar keputusan yang
telah dibuat oleh PAS berkait dengan PRK Kajang yang lalu iaitu:
1. Calon PRK Kajang diserahkan kepada PKR;
2. PAS membantu menurut keperluan; dan
3. Isu Menteri Besar Selangor tidak berbangkit.
Oleh itu, pendirian Presiden tersebut adalah berasaskan keputusan yang
telah disepakati bahawa tiada perubahan MB Selangor dan Dewan Ulamak PAS
Pusat menegaskan tiada sebarang alasan Syarie yang kukuh dikemukakan
sehingga kini untuk mewajarkan penukaran Menteri Besar Selangor dan
beliau patut dibenarkan meneruskan amanah sehingga ke akhir penggal.
Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengamati bahawa tidak berlaku sebarang
pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan, penyelewengan dan rasuah yang
dilakukan oleh Menteri Besar Selangor sejak perlantikan beliau sebagai
MB selepas PRU ke-13. Begitu juga, sejak beliau mula menjadi Menteri
Besar pada tahun 2008 sehingga berjaya kembali mendapat mandat rakyat
dengan kemenangan berganda untuk PR dalam PRU ke-13 lalu.
Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa maslahah mengekalkan jawatan
beliau lebih kuat berbanding keperluan menukar MB baru. Sebarang usaha
menukar MB Selangor tanpa persetujuan bersama 3 kompenan parti, PAS, PKR
dan DAP sehingga menimbulkan kekalutan di kalangan rakyat bawahan
hendaklah dielakkan.
Pihak Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru semua ahli PAS agar menghayati
kebijaksanaan pendirian Presiden dalam hal ini tambahan lagi Presiden
mempunyai hak pemutus dalam beberapa isu yang memerlukan keputusan
segera.
USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Pemangku Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat
No comments:
Post a Comment