Sesi persekolahan di Kelantan akan dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada 16 hingga 27 Mei.
Penutupan semua sekolah dan institusi di bawah
kementerian pendidikan (KPM) di negeri ini yang bermula 3 Mei ini
dilanjutkan sehingga cuti Aidilfitri.
Sebelum ini media melaporkan penutupan membabitkan 596 buah sekolah di Kelantan adalah sehingga 1 Mei.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Zulkernai Fauzi berkata
seperti yang ditetapkan KPM sesi persekolahan akan dilaksanakan secara
pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada 16 hingga 27 Mei.
“Semua sekolah akan bercuti pertengahan tahun bermula 28 Mei hingga
12 Jun dan akan dibuka semula pada 13 Jun,” katanya ketika dihubungi
hari ini.
Pada
Selasa (27 April), Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri
Yaakob mengumumkan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) di negeri ini sehingga 17 Mei berikutan peningkatan kes Covid-19.
Semalam, Kelantan merekodkan 401 kes positif baharu Covid-19 dengan 32 kluster yang masih aktif.
Sementara itu Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Setiu,
Terengganu ditutup 14 hari bermula Rabu lepas hingga 11 Mei berikutan
terdapat 12 kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan melibatkan 11
pelajar dan seorang guru.
Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata berikutan
itu semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah berkenaan menjalani ujian
calitan dan proses kuarantin.
Beliau berkata penutupan sekolah dilakukan bagi memberi laluan
kepada proses disinfeksi dan membuat saringan kesihatan untuk mencegah
penularan Covid-19 di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Dr Nor Azimi turut mengingatkan golongan guru agar terus mengamalkan
prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mencegah penularan yang
lebih besar di sekolah.
“Guru juga kena sentiasa jaga jarak dengan pelajar termasuk ketika
sesi ‘tasmik’ al-Quran kerana sudah ada kes jangkitan berlaku ketika
sesi ini berjalan dan jumlahnya lebih daripada seorang,” katanya.
Isteri tahanan berkata suaminya ingin membunuh diri selepas didera teruk pihak penjara.
Keluarga tahanan penjara
Jelebu, Negeri Sembilan menggesa tindakan diambil terhadap pegawai yang
mendera lebih 20 tahanan di bawah jagaan polis.
Mereka mendakwa bahawa pada 8 April, sekumpulan 23 tahanan dalam
tahanan polis dipukul selama beberapa jam dengan paip PVC, tongkat,
kerusi dan alat keras yang lain.
Keluarga mangsa turut mendakwa bahawa sebilangan tahanan disembur
serbuk cili di bahagian kemaluan oleh pegawai yang tidak memakai pakaian
seragam rasmi mereka.
Mereka mendakwa bahawa tahanan masih digari sepanjang kejadian tersebut berlaku.
Menurut laporan polis yang dibuat oleh isteri salah seorang tahanan,
mereka meminta tindakan diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab
atas tuduhan tersebut di samping turut berkata para tahanan mengalami
trauma dan ada yang mempertimbangkan untuk membunuh diri.
“Suami saya dan rakan kes tidak ada apa-apa kemudahan atau alat
komunikasi di penjara Jelebu untuk melaporkan perkara ini kepada anggota
keluarga dan pihak polis,” kata wanita itu.
“Suami saya mengalami kecederaan teruk tetapi pihak penjara tidak
membawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Disebabkan kejadian
ini, suami saya memberitahu saya bahawa dia ingin membunuh diri di dalam
penjara.
“Sebagai isteri, saya amat risau akan keselamatan beliau dan saya
mohon pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
hari ini menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan berterusan kes
positif jangkitan harian Covid-19 di negara ini, yang mencecah lebih
3,000 kes.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad
Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan
kebimbangan mengenai laporan penutupan beberapa sekolah akibat penularan
wabak itu serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di
beberapa majlis keraian serta bazar Ramadan yang tidak memuaskan.
Sehubungan
itu, Seri Paduka Baginda menyeru agar rakyat supaya sentiasa
berdisiplin dalam mematuhi arahan serta SOP yang ditetapkan kerajaan
bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami Covid-19 seperti yang
dialami beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.
"Al-Sultan
Abdullah menasihati rakyat supaya tidak alpa dan mengambil sikap sambil
lewa dengan arahan serta pematuhan SOP di bazar-bazar Ramadan,
sekolah-sekolah dan majlis-majlis keraian umum seperti majlis berbuka
puasa dan kenduri bagi memastikan penularan jangkitan wabak Covid-19 di
negara dapat dikawal dan dibendung dengan sebaiknya," katanya dalam
kenyataan, hari ini.
Semalam, sebanyak 3,332 kes baharu postif Covid-19 direkodkan di negara ini.
Ahmad
Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat supaya
tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan
keselamatan diri, ahli keluarga serta masyarakat kerana sekiranya
berlaku gelombang keempat penularan wabak Covid-19, ia akan mengancam
dan meruncingkan ekonomi negara serta sosioekonomi rakyat jelata.
Katanya,
perkara yang turut membimbangkan Yang di-Pertuan Agong adalah laporan
mengenai hospital swasta di Lembah Klang yang mengalami kekurangan katil
bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes Covid-19, sejak
dua minggu lepas.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut
menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial
dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan
mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak
rapat sekali pun tidak bergejala.
Katanya, Al-Sultan Abdullah
bertitah agar rakyat sewajarnya jujur pada diri sendiri dan masyarakat
dengan mematuhi arahan kuarantin dan SOP bagi mengelak kemudaratan
kepada masyarakat serta negara.
Seri Paduka Baginda juga
menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara
rakyat dan kerajaan, kadar penularan jangkitan Covid-19 ini dapat
dilandaikan demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang
dicintai.
"Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini, Seri
Paduka Baginda mengambil kesempatan mengajak rakyat untuk bersama-sama
mendoakan semoga negara sentiasa diberkati dan dilindungi serta ancaman
wabak Covid-19 ini dapat diakhiri dengan segera," kata Ahmad Fadil.- Bernama
Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan sejumlah 22
bazar ramadan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) di enam
negeri dan satu wilayah persekutuan ditutup berkuatkuasa esok.
Perkara
itu dinyatakan dalam surat yang diedarkan kepada PBT berkaitan yang
ditandatangani ketua setiausaha KPKT Zainal Abidin Abu Hassan bertarikh
hari ini.
Menurut surat itu, perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada dua hari lalu.
"KPKT telah menerima laporan daripada Hide (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara yang telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar Ramadan seperti yang dilampirkan.
"Ancaman
penyebaran ini adalah hasil analisis pengesanan kontak yang
dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan melalui aplikasi
MySejahtera.
"Sehubungan itu, kerjasama diperlukan untuk menutup
operasi bazar Ramadan berkuat kuasa pada 1 Mei 2021 bagi membendung dan
mengawal jangkitan serta peningkata kes Covid-19," menurut surat itu.
Bazar Ramadan yang diarahkan tutup adalah seperti berikut:
Johor:
Belatuk Taman Scientex, Pasir Gudang; Kg Pasir, Jalan Mata Kuching,
Johor Bahru; @Mart Kempas, Johor Bahru; Lok Heng, Kota Tinggi.
Kedah: Taman Selasih, Kulim; Baling 2021, Baling; Kupang 2021, Baling.
Pulau Pinang:
MPKK Jalan Tenggiri, Seberang Perai; Attakwa Taman Bertam Indah,
Seberang Perai; Bazar Ramadhan MBPP/MBSP; Kampung Melayu; Masjid Daerah
Barat Daya; Iftar Ramadhan Jalan Berangan Bkt Bntng 2021; Bukit Gedung;
Taman Tun Sardon.
Selangor: Pusat Sementara Penjaja/Basar Ramadhan Puncak Jalil, Subang Jaya; Stesen LRT Cempaka, Ampang Jaya.
Kuala Lumpur: Taman Setiawangsa; Jalan Raja Alang.
Sementara
itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menumumkan penutupan
bazar Ramadan Taman Setiawangsa dan Jalan Raja Alang - yang turut
tersenarai dalam surat KPKT - tetapi menjelaskan ia hanya untuk dua
hari, iaitu Sabtu dan Ahad ini (1 dan 5 Mei).
Arahan itu susulan kes Covid-19 yang terus meningkat mutakhir ini, dengan hari ini mencatatkan 3,788 kes baru.
Kadar
kebolehkangkitan R-nought (Rt) seluruh negara semalam adalah 1.2, yang
menandakan wabak itu kian menular dengan pantas. Kali terakhir kadar Rt
bawah 1.00 adlaah pada 7 April lalu.
Di peringkat negeri, kadar Rt
di negeri dan wilayah persekutuan yang terkesan dengan arahan penutupan
ini adalah seperti berikut: Kuala Lumpur (1.23), Selangor (1.19), Kedah
(1.22), Pahang (1.20), Johor (1.14), Perak (1.08), dan Pulau Pinang
(1.01).
Kelantan - negeri dengan Rt tertinggi iaitu 1.24 - telah pun memutuskan yang bazar Ramadan tidak akan diadakan pada tahun ini.
Kementerian
Kesihatan hari ini melaporkan 3,788 kes Covid-19 baru dengan jumlah
pesakit yang memerlukan rawatan intensif turut mencatat rekod baru.
Jumlah kes telah melebihi jumlah kes aktif ketika darurat diisytiharkan pada 11 Jan. Kes aktif ketika itu 25,554 kes.
Rakyat Malaysia menyumbang 91.8 peratus jangkitan baru yang dilaporkan hari ini.
Kes aktif - 29,227 Pesakit di ICU - 328 Memerlukan bantuan pernafasan - 161
Negeri
Kes baru di negara ini telah menunjukkan peningkatan dalam dua minggu terakhir.
Selangor (1,265 kes baru) melaporkan kes baru hampir sekali ganda purata kes 14 hari sebelumnya.
Pulau Pinang (250) melepasi paras 200 kes untuk pertama kalinya sejak 31 Mac.
Tidak ada tanda-tanda kes baru semakin reda di Sarawak, Kelantan dan Kuala Lumpur.
Sehingga
semalam, kadar kebolehjangkitan, atau R-naught untuk seluruh negara
adalah 1.12. Angka lebih daripada 1.00 bermaksud penyebaran Covid-19
semakin cepat.
Hanya ada empat wilayah di mana penyebaran Covid-19 tidak meningkat (R-naught kurang daripada 1.00) - Sabah, Labuan dan Perlis.
Kes berdasarkan negeri:
Selangor (1265) Sarawak (760) Kelantan (464) Penang (250) Johor (160) Negeri Sembilan (136) Kedah (136) Perak (118) Sabah (89) Melaka (55) Pahang (54) Terengganu (37) Perlis (5) Labuan (2) Putrajaya (2)
Kematian
Sebanyak 14 lagi dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19. Angka kematian keseluruhan adalah 1,506.
Selangor (6 kematian) melaporkan kematian terbanyak diikuti oleh Sarawak (5), Negeri Sembilan (1) dan Johor (2).
Tiga mangsa dinyatakan meninggal dunia ketika tiba di hospital. Mangsa termuda berusia 33 tahun.
Majlis
Keselamatan Negara (MKN) meletakkan lima kawasan di Kedah di bawah
perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua minggu berikutan lonjakan
kes Covid-19 di sana.
Lima daerah itu - Kota Setar, Kuala Muda,
Bandar Baharu, Baling dan Kulim - akan menyaksikan sekatan yang lebih
ketat mulai esok (1 Mei) hingga 14 Mei.
Dalam satu kenyataan yang
dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini,
beliau mengatakan bahawa Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 709
jangkitan aktif di kawasan-kawasan berkenaan sejak dua minggu lalu.
"Pelaksanaan PKP ini bertujuan untuk menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain memandangkan kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan awam, makmal dan hospital di Kedah semakin meningkat," katanya.
Ketua
Polis Negara Hamid Bador berkata dia tiada kena mengena dengan rakaman
curi perbualan telefon Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkaitan
pelantikan pegawai kanan polis.
"Saya tak tahu, saya tak ada kena
mengena," katanya diminta mengulas kenyataan menteri yang menyelar pihak
yang merakam perbualannya tanpa izin.
Menyifatkan perkara itu sebagai bahaya, Hamid berkata teknologi semasa membolehkan perkara itu menjadi kenyataan.
"Sekarang ini dah boleh dapat video dari bintang Marikh," katanya berseloroh.
Terdahulu hari ini, Hamzah mengakui suara dalam rakaman bocor beberapa hari lalu memang miliknya, dan berkata ia berlaku pada tahun lepas.
Bagaimanapun,
dia berkata tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membangkitkan
kedudukannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang
menentukan tugasan pegawai polis.
“Cuma yang salahnya orang yang curi rakam perbualan saya, itu melakukan kesalahan,” katanya.
Dalam rakaman itu, Hamzah antara lain menyatakan sokongan kepada seorang yang dirujuknya sebagai “budak kita”.
“Because (kerana) dia budak kita, budak Perak, family (keluarga) semua kat sana and it will be very good for us (baik untuk kita),” katanya, dan menambah akan memilih siapa yang dia kenal.
“Saya beritahu dia you tak boleh ada choice, you hanya boleh bagi nama-nama -katalah lima orang - you let me know, we will decide.
“Not for u to decide anymore like before. All ketua polis negeri dia tak boleh decide,” katanya.
Empat
bazar Ramadan di negeri ini diarah tutup serta-merta sebagai langkah
berjaga-jaga selepas tapak perniagaan itu dikunjungi individu disyaki
positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan
Tempatan Johor Ayub Jamil berkata penutupan berkenaan antaranya
melibatkan bazar Ramadan Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching dan bazar
Ramadan @Mart Kempas di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru
(MBJB).
Katanya dua lagi ialah bazar Ramadan Belatuk, Taman
Scientex di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan bazar Ramadan Lok
Heng dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi.
“Tempoh penutupan semua bazar ini tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
“Berdasarkan
rekod dalam aplikasi MySejahtera, terdapat individu yang disyaki
positif Covid-19 dikesan mengunjungi bazar berkenaan. Jadi langkah awal
yang kami ambil ialah dengan menghentikan terus operasinya,” katanya
ketika dihubungi di Johor Bahru hari ini.
Tahun ini, sebanyak 193
bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan beroperasi di 16 kawasan Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor membabitkan 9,609 petak jualan.
Di PERAK,
Bazar Ramadan Nenas Kampung Selabak di Teluk Intan diarah tutup
sementara mulai esok, bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak Datuk
Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan
menerima surat arahan penutupan itu atas faktor keselamatan daripada
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pagi tadi.
“Surat
tersebut telah mengarahkan Bazar Ramadan Nenas ditutup serta-merta dan
arahan penutupan bazar itu adalah atas dasar keselamatan,” katanya
ketika dihubungi Bernama di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata
Bazar Ramadan yang difahamkan dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO)
berkenaan akan ditutup sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan
kemudian.
Hari ini, tular surat arahan penutupan itu yang
menunjukkan senarai Bazar Ramadan seluruh negara yang dikenal pasti
sebagai kawasan berisiko tinggi termasuk Bazar Ramadan Nenas
satu-satunya yang terlibat di Perak.
Hari ini, 118 kes baharu dilaporkan di Perak menjadikan kes keseluruhan sebanyak 14,749 berbanding 91 kes baharu semalam.- Bernama
Keluarga
Ahli Dewan Undangan (Adun) Melor Dr Md Yusnan Yusof menafikan
Allahyarham meninggal dunia disebabkan menerima suntikan vaksin
Covid-19.
Anak kedua Allahyarham Md Yusnan, Mohammad Baihaqi, 28,
juga kesal dengan pihak yang mengaitkan punca kematian bapanya dengan
pengambilan vaksin.
"Kami menafikan perkhabaran yang menyatakan
baba meninggal dunia setelah mengambil suntikan vaksin Covid-19 kerana
beliau (arwah) sudah lama menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan
kencing manis.
"Ada beberapa orang yang menulis di media sosial
mengaitkan dengan suntikan tersebut. Memang baba ada ambil suntikan
tetapi yang terakhir pada 9 April lalu," katanya kepada pemberita
selepas pengebumian jenazah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Pondok
Haji Hasan, Ketereh di Kota Bharu hari ini.
Jenazah
Md Yusnan yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan
dan Hubungan Seranta negeri, selamat dikebumikan pada kira-kira 2.30
petang tadi.
Allahyarham Md Yusnan meninggal dunia di kediamannya
di Melor di Kota Bharu, selepas mengalami serangan jantung pada 2.28
pagi tadi.
Sementara itu, balu Allahyarham, Romaini Mat Daud, 52,
berkata arwah suaminya sempat bergurau dengan anak-anak yang sibuk
menyediakan puding di dapur pada sebelah malam.
"Arwah buat-buat
mengintai sambil menyorok di belakang pintu sambil melihat anak-anaknya
memasak dan dia nampak gembira," katanya.
Bercerita lanjut,
Romaini berkata sebelum tidur beliau sempat mengingatkan arwah agar
mengambil suntikan insulin untuk penyakit diabetes yang dihidapi
Allahyarham sejak dua tahun lepas.
"Sebelum saya tidur, saya lihat arwah belum tidur dan masih mengemas kini Facebook bagi peringatan Hari Nuzul al-Quran.
"Sebaik
sahaja tersedar, saya melihat beliau rebah di tepi katil sambil
menyebut 'Allahuakbar' dan kelihatan seolah-olah terkena angin ahmar
kerana tangannya kejang dan lidah seperti tertarik," katanya.- Bernama
KUANTAN:
Masalah keciciran dalam kalangan pelajar boleh dibendung melalui
pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka
berbanding Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Malah, kaedah PdP secara bersemuka lebih diminati oleh para pelajar
kerana ia membolehkan mereka lebih fokus ketika guru mengajar dalam
kelas.
Selain itu, pelajar juga boleh berinteraksi secara berdepan dengan
guru dan dapat menyelesaikan masalah pembejalaran dengan lebih cepat.
Mengambil kira faktor di atas, maka tidak hairanlah rata-rata guru,
murid dan ibu bapa yang ditemui menyatakan, PdP wajar diteruskan kerana
ia lebih berkesan berbanding PdPR dalam meningkatkan kecemerlangan
pelajar.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Datin
Nooraziza Sabarudin berkata, PdP wajar diteruskan kerana sesi
persekolahan dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti
ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Menurutnya, jika sekolah ditutup lagi, banyak perkara tidak dapat diteruskan termasuk menilai kemenjadian murid.
“Sebagai contoh, murid Tahun 2 hari ini bersekolah secara bersemuka
srhingga pertengahan Mac 2020 sahaja dan selebihnya menerusi PdPR.
Sejauh mana pencapaian mereka ketika mengikuti kelas online perlu dikaji
semula.
“Justeru, jika PdP diteruskan, banyak masalah dapat diselesaikan
terutama disegi penguasaan membaca, menulis dan mengira Tahap 1,”
katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang guru, Siti Mariam Shaikh Mohamad amat berharap kaedah
bersemuka diteruskan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP)
ditetapkan.
“Murid sekolah rendah lebih sesuai dengan Pdp bersemuka kerana mereka
masih dalam peringkat mengenal fakta asas dan perlu pemantauan secara
langsung daripada guru,” katanya.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan,
Khairul Anuwar Abu Bakar berkata, kegagalan ibu bapa menyediakan
keperluan pembelajaran di rumah seperti telefon bimbit dan laptop secara
tidak langsung menyumbang kepada kegagalan pelajar mengikuti kelas atas
talian secara tersusun.
“Selain itu ketiadaan pengawasan sepenuhnya daripada ibubapa juga
menyumbang kepada kegagalan PdPR walaupun tidak sepenuhnya,” katanya.
Guru tuisyen, Fidelia Sawai Horne turut bersetuju PdP diteruskan bagi
membantu anaknya, Leah Marie Horne, 10, memperbaiki subjek Bahasa
Melayu.
“Selalunya dia tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dan enggan menyertai kelas atas talian,” kata ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu, beberapa murid yang ditemui mengakui kaedah PdP lebih
baik kerana mereka boleh berinteraksi secara berdepan dengan guru dan
dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.
Bagi S. Jayani, kaedah PdP wajar diteruskan kerana dia lebih suka
belajar bersama rakan dan boleh bersoal jawab secara langsung ketika
berada di sekolah.
Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist itu
mengakui fokusnya berkurangan ketika mengikuti pembelajaran secara PdPR.
“Saya mahu PdP diteruskan supaya saya ada banyak masa di sekolah bermain dan belajar bersama kawan-kawan.
“Di rumah, saya tidak boleh menonton televisyen atau menggunakan
telefon bimbit kecuali dengan izin mak dan ayah untuk mengikuti kelas
dalam talian dan ia sangat membosankan saya,” kata anak sulung daripada
dua beradik itu.
Rakannya, Wan Altaf Qaisara Wan Sharuzi, 12, pula berkata, dia dan
empat adiknya terpaksa mengguna komputer secara bergilir ketika
pelaksanaan PdPR.
“Memang sukar belajar di rumah kerana kerap diganggu oleh adik-adik
terutama ketika mengikuti kelas secara dalam talian menyebabkan tumpuan
kepada guru jadi berkurangan.
“Saya harap PdP dapat diteruskan kerana saya lagi suka belajar di
sekolah sebab kalau tak faham boleh tanya guru dan kawan,” kata penerima
Anugerah Nilam 2020 peringkat daerah Kuantan itu.
Leah Marie Horne, 10, juga lebih berminat mengikuti sesi persekolahan
secara bersemuka kerana lebih mudah berinteraksi dengan guru-guru dan
rakan-rakan.
“Saya perlu perbaiki subjek Bahasa Melayu kerana agak lemah. Saya
bimbang jika PdPR dilaksanakan semula saya tidak dapat fokus dalam
menyiapkan latihan diberikan guru kerana tidak faham,” kata murid Tahun
Empat itu. – UTUSAN
PETALING
JAYA: Satu kertas siasatan telah dibuka polis terhadap seorang lelaki
yang bertindak memuat naik video anggota trafik dalam laman sosial
Instagram, semalam.
Penyebaran video berkenaan dipercayai
dilakukan oleh lelaki itu selepas tidak berpuas hati disaman atas
kesalahan guna lesen kenderaan motor bagi tujuan lain.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,
Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, susulan itu,
anggota terbabit membuat laporan selepas mengetahui dirinya dan rakan
setugas ditularkan oleh seorang lelaki di Instagram, semalam.
“Suspek tidak berpuas hati dengan
tindakan pengadu mengeluarkan saman atas kesalahan guna lesen kenderaan
motor (LKM) bagi tujuan lain pada Isnin lalu dan menyebabkan dia sudah
dikenakan denda RM1,000 oleh mahkamah atas kesalahan itu.
“Suspek juga datang ke Ibu pejabat
Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam untuk membuat laporan polis
kerana terbabit kemalangan langgar belakang dan dikenakan saman,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, semakan
lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau dikehendaki
bersabit Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952
sebelum dia diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Cheras
bagi siasatan lanjut.
“Suspek menularkan video berkenaan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta reputasi anggota trafik terbabit.
“Justeru itu, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya. – UTUSAN
PETALING
JAYA: Ikatan Anak Mersing bantu masyarakat Mersing menambah ilmu
mengenai penjagaan dan penanaman cendawan tiram kelabu.
Presidennya, Muhammad Syukri Ibrahim
berkata, program-program seperti itu merupakan inisiatif bersiri untuk
membantu masyarakat di situ.
“Selesai kursus asas penjagaan dan
penanaman cendawan tiram kelabu. Terima Kasih saudara Hasrul Hizad atas
perkongsian pengalaman dan tips-tips berguna tentang cendawan tiram
kelabu.
“Siri seterusnya akan dilaksanakan pada bulan Mei tahun ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya.
Muhammad Syukri komited untuk terus
menabur bukti pada masyarakat Mersing walaupun berskala kecil jika
dibandingkan dengan dermawan tempatan yang lain.
“Kami bukan Ustaz Ebit Liew mahupun
Najib Asadok, kami cuma anak tempatan yang mahu menabur budi dan bakti
kepada masyarakat Mersing.
“Terima kasih juga kepada semua yang terlibat menjayakan,” katanya.
Program ini adalah anjuran bersama
Ikatan Anak Mersing, Yayasan Makmur Mersing, Pusat Khidmat Dewan
Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan Pertubuhan Peladang Kawasan Mersing.
– UTUSAN
PETALING
JAYA: Empat lelaki sanggup menawarkan wang sogokan sebanyak RM30,000
kepada polis bagi membebaskan rakan mereka yang ditahan dalam serbuan
perjudian semalam.
Tindakan mereka bagaimanapun mengundang padah apabila kesemua mereka akhirnya ditahan.
Dalam serbuan yang dilakukan pasukan
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang
Wangi kira-kira pukul 3 pagi di sebuah apartmen di Jalan Perak, Kuala
Lumpur telah menahan lapan individu yang terlibat dalam aktiviti judi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi,
Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka yang ditahan
terdiri dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta lima lelaki warga
China berusia 27 hingga 32 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas
108 daun terup, tiga keping catitan angka perjudian, kad akses, kad sim
dan wang tunai berjumlah RM1,213.
“Ketika serbuan sedang dilakukan,
polis didatangi empat lelaki berusia 25 hingga 39 tahun memperkenalkan
diri sebagai rakan suspek di mana mereka ingin menawarkan wang RM30,000
bagi membebaskan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan JSJ IPD Dang Wangi menolak tawaran berkenaan dan memberi amaran supaya tidak mengganggu tugasan serbuan.
“Bagaimanapun keempat-empat suspek
terus menawarkan wang berkenaan menyebabkan polis menahan kesemua mereka
termasuk merampas wang tersebut.
“Siasatan kes rasuah akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,”jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Zainal,
dua unit apartmen lain turut diserbu kira-kira pukul 4 pagi sebelum
menahan empat lelaki warga China berusia 26 hingga 27 tahun.
“Turut dirampas 10 telefon bimbit,
empat kad sim dan wang tunai RM3,311. Semua 12 orang yang ditahan itu
disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan
Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959 dan 1963,” ujarnya. – UTUSAN
PETALING
JAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani
sah dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa Selasa
depan sehingga tarikh persaraan beliau Oktober ini.
Penyerahan surat pelantikan itu diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam majlis khas pagi ini di Putrajaya.
Bagaimanapun, siapa yang bakal menggantikan tempat Acryl Sani masih menjadi tanda tanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah mendedahkan nama Acryl
Sani antara disebut-sebut bakal menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM)
sebaik sahaja Tan Sri Abdul Hamid Bador menamatkan kontraknya sebagai
Ketua Polis Negara 4 Mei ini.
Selain beliau, nama yang turut disebut-sebut iaitu Pengarah Jabatan
Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya antara calon
yang layak memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Negara
menggantikan Acryl Sani. – UTUSAN
PENAMPANG:
Saban tahun menjelang bulan Kaamatan pertandingan masakan tradisi pasti
akan menyerikan pesta yang begitu sinonim dengan masyarakat Kadazan,
Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di negeri Sabah.
Pesta Kaamatan yang diraikan bagi menghormati semangat padi pada
setiap bulan Mei ini bukan hanya mempamerkan pertandingan ratu cantik
Unduk Ngadau tetapi juga, memartabatkan makanan tradisional kaum KDMR
menerusi pertandingan dan hidangan makanan tradisional.
Hidangan bosou, hinava, tuhau, bambangan, pinasakan sada dan pelbagai
makanan tradisional antara hidangan yang pasti dapat dilihat dan
dinikmati pengunjung di rumah-rumah kebudayaan yang terletak di Hongkod
Koisaan, KDCA.
Turut mempamerkan bakat memasak makanan tradisi suku kaum Kadazan
adalah Rosalin Gadua,62, yang pernah memenangi pertandingan yang
diadakan kira-kira 20 tahun yang lalu.
Ibu kepada tujuh anak ini cukup terkenal dengan bosou buatannya yang
cukup istimewa bagi pelanggan yang sering berkunjung ke gerai jualan
yang terletak di Kampung Minintod, Penampang.
Namun, usia yang sudah lanjut mendorong Rosalin menurunkan ilmu
memasak makanan tradisi Kadazan kepada anak-anak tapi, hanya anak
keempatnya sahaja mengusahakan makanan tradisi ini secara komersial.
Bagi anak keempatnya, Laura Wilfred Gismin, 36, pengetahuan tentang
memasak makanan tradisi pada mulanya memang sifar kerana beliau
beranggapan masakan ibunya sudah cukup sedap jadi tiada keperluan
untuknya belajar.
Tetapi segalanya berubah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
dilaksanakan pada Mac tahun lalu. Masa itu, dia mempunyai banyak masa
terluang kerana sesi persekolahan ditutup agak lama.
Atas sebab itu, guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dudar,
Kota Belud ini mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan makanan
tradisi Kadazan.
“Masa itu saya terfikir kalau bukan saya yang menyambung legasi emak
membuat makanan tradisi siapa lagi akan meneruskannya. Saya tidak mahu
generasi akan datang tidak kenal apa itu bosou, hinava atau tuhau.
“Namun dalam mengekalkan tradisi, saya turut mempelbagaikan dan
menokok tambah resipi turun-temurun keluarga kami ini bersesuaian dengan
keadaan semasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun, hasrat untuk membuat masakan tradisi bukan semudah yang
disangka, Laura terpaksa melakukan beberapa kali percubaan hanya untuk
menghasilkan jeruk bambangan yang sedap.
Penyediaan jeruk bambangan cukup mudah tapi, untuk mendapatkan rasa
yang sama seperti jeruk bambangan ibunya memerlukan dia membuat
percubaan dua hingga tiga kali. Biasalah mula-mula belajar memasak mesti
akan gagal.
Setelah jeruk bambangan yang dihasilkan mendapat sambutan dan
ditempah oleh kawan-kawan, dia mula belajar resipi lain seperti membuat
bosou atau jeruk ikan, hinava iaitu isi ikan segar yang diperap, tuhau
yang diperbuat daripada halia liar tempatan, pinasakan sada yang
diperbuat daripada ikan basung atau sardin serta ikan basung tausi
kodop.
Kebanyakan resipi ini sudah diubah suai dan dipelbagaikan mengikut
selera sekarang. Misalnya bosou yang dahulu diperbuat daripada ikan
tapi sekarang, sudah ada bosou udang dan bosou sayuran. Istimewanya
bosou sayuran ini, ia menggabungkan lebih 10 jenis sayur-sayuran
tempatan agar rasanya lebih unik.
Laura berkata, ikan basung tausi kodop atau ikan basung dimasak
menggunakan cendawan kukur antara masakan yang paling sukar kerana
penyediaannya mengambil masa selama tiga jam. Proses itu bagi memastikan
tulang ikan cukup lembut untuk dimakan.
Produk makanan tradisi yang dihasilkan bekas graduan Universiti Sains
Malaysia (USM) ini sudah menembusi pasaran Semenanjung Malaysia dan
Australia.
Katanya, biarpun diusahakan secara kecil-kecilan namun, produknya
mempunyai pasaran tersendiri dan pelanggan yang berada di Australia
kerap membuat tempahan dan boleh dikatakan hampir setiap bulan.
Kini, produknya turut dijual di ruang pameran Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah.- UTUSAN ONLINE
PONTIAN:
Kedatangan Aidilfitri kurang dua minggu lagi akan makin berseri
sekiranya rumah kediaman turut dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan
yang segar dan mewangi seiring dengan bulan Syawal yang mulia.
Bagi pengusaha Riyadhs Agro Garden, Nor Hidayad Abdullah, 34, telah
bersedia menanti kunjungan pelanggan pada 10 Ramadan terakhir bagi
mereka menghias rumah pada saat-saat akhir.
Katanya, terdapat berpuluh jenis bunga-bungaan di nurserinya sama ada
bagi hiasan ‘outdoor’ dan ‘indoor dengan sifat yang tahan panas atau
kurang tahan panas disediakan untuk pilihan para pembeli yang datang
berkunjung.
Menurutnya, seperti mana sambutan Tahun Baharu Cina, pihaknya juga
menerima kehadiran masyarakat Tionghua pada saat-saat akhir yang
membelinya sehingga tidak cukup tangan untuk melayan.
“Antara tanaman yang kami tawarkan termasuklah pelbagai jenis keladi seperti Caladium, Alocasia,Alocasia black ripple, Alocasia black magic, Alocasia tea cup, Caladium USA, Caladium Thai, Caladium Festivia dan Caladium Praetermissum,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Sungai Pinggan, Benut, di sini, baru-baru ini.
Menceritakan perjalanannya dalam bidang itu, ujar Nor Hidayad,
sebelum membuka nurseri, dia mengusahakan tananam cili fertigasi,
menternak madu kelulut, berniaga di pasar tani sebelum beralih kepada
nurseri disebabkan Covid-19 pada Jun tahun lalu.
“Syukur usaha ini berjaya mendatangkan pendapatan tetap di mana
sebelum ini juga saya menjalankan perniagaan menjual pakaian secara atas
talian ketika tinggal di Selangor,” ujarnya yang dibantu isteri, Nurul
Syazreen Abdul Rahman, 31.
Kedua-dua mereka yang merupakan bekas penuntut Universiti Teknologi
Mara (UiTM) sebagai pemegang ijazah dalam bidang komputer perniagaan dan
perakaunan tanpa ada latar belakang pertanian.
Bagaimanapun kata Nor Hidayad, pada tahun 2018, dia terpaksa balik ke
Pontian kerana bapa mentuanya terkena penyakit angin ahmar yang
memerlukan isterinya menjaga sepenuh masa
“Pelbagai kerja saya lakukan ketika itu seperti menjadi pemandu
e-Hailing, pemandu peribadi, manakala isteri menjaga ayahnya dan
mengurus anak-anak kami sebelum beralih kepada bidang pertanian,”
ujarnya.
Katanya, sejak membuka nurseri, sambutan daripada orang ramai
khususnya peminat bunga hiasan cukup mengalakkan dengan pemasaran turut
dilakukan melalui media sosial seperti Facebook.
Mengenai perniagaan bunga-bungaan setakat ini, mereka mampu mencapai
jualan antara RM20,000 sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada
jumlah permintaan pada tempoh tersebut.
“Riyadhs Agro Garden turut menjual pelbagai produk seperti
sayur-sayuran segar, anak-anak benih, baja, madu kelulut asli dan acar
buah bagi mempelbagai lagi perniagaan dan menambah pendapatan,”
katanya.- UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA:
Susulan kemunculan Kluster Raub Jaya, enam lokaliti dalam dua mukim di
Daerah Raub, Pahang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
bermula esok hingga 13 Mei ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob malah berkata, seluruh daerah itu diisytiharkan
sebagai zon PKP Bersyarat (PKPB) secara serentak yang juga mulai esok.
“Pelaksanaan PKP dan PKPB ini untuk
memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal dan mengelakkan penularan
kes Covid-19 ke kawasan lain,” katanya melalui kenyataan hari ini.
PKP di Mukim Gali ialah Bandar Raub,
Sungai Ruan dan Kampung Baru Sempalit serta Kampung Sang Lee, Kampung
Baru Tras dan Kampung Sungai Cheetang di Mukim Tras.
Kluster di lokaliti ini ujarnya,
merebak disebabkan aktiviti sosial dan turut dikesan di sekolah serta
dalam kalangan pelajar dengan merekodkan 83 kes positif sejak sembilan
hari lalu.
Sementara itu, kata Ismail Sabri, PKP
Diperketatkan (PKPD) bakal dikenakan di Taman Seri Desa, Kuala Krau,
Daerah Temerloh, Pahang juga selama 14 hari yang akan bermula esok
susulan 11 kes positif Covid-19 direkodkan daripada 117 orang yang
disaring selain masih berlaku lagi penularan dengan kadar
kebolehjangkitann pula adalah tinggi.
Turut dikenakan PKPD katanya, ialah
Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu di Jalan Po Ai, Sri Aman, Sarawak
susulan 17 kes dicatatkan daripada 594 ujian saringan dilaksanakan.
Dalam pada itu ujar beliau, PKPD
melibatkan dua institusi pengajian agama di Kelantan dilanjutkan lagi
untuk tempoh dua minggu antaranya di Sekolah Menengah Ugama (Arab)
Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung di Tumpat selain Kolej Tahfiz
Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu.
Bagaimanapun jelasnya, PKPD
melibatkan sejumlah tujuh lokaliti yang berbeza di seluruh negara pula
akan ditamatkan esok susulan penurunan kes baharu dan kluster juga
terkawal.
“Ada ditamatkan lebih awal iaitu di
Sungai Passin, Matu, Bahagian Mukah, Sarawak yang sepatutnya berakhir 8
Mei depan namun ditamatkan lebih awal kepada esok selain Kampung Baru
Pasir Putih, Taman Tawau Lama, Kampung Batu Payung, dan Kampung Simpang
3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah.
Juga ditamatkan PKPD mengikut jadual
kata Ismail Sabri, ialah di Pusat Latihan Polis dan kuarters kakitangan
di Kuching, Sarawak dan Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka. –
UTUSAN ONLINE
PETALING
JAYA – Penceramah popular, Ebit Lew hari ini menghadiahkan RM25,000
kepada lima keluarga mangsa tragedi KRI Nanggala-402.
Menurutnya di laman Facebook, setiap keluarga menerima RM5,000 yang bersamaan dengan 17 juta rupiah.
“Sayu sebak bila dapat panggilan video ahli keluarga tragedi KRI
Nanggala-402. Selalu berdoa Allah bantu dan beri kekuatan buat mereka
dan ahli keluarga.
“Saya niat nak beri kata semangat doa dan hadiahkan RM25,000 untuk
lima keluarga yang susah mangsa tragedi KRI Nanggala-402. Setiap
keluarga RM5,000 atau 17 juta rupiah. Bila call (berhubung) terasa
seperti sebuah keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Ebit berkata, dia bersyukur dapat menghubungi
keluarga Serda Diyut Subandriyo dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) Aksi Cepat Tanggap.
Menurutnya, Serda Diyut meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
“Dapat bercakap dengan keluarga dan anak beliau. Comel anaknya.
Keluarga minta doakan anaknya boleh bercakap dan berjalan. Sekarang umur
5 tahun. Kerana belum boleh bercakap dan berjalan.
“Sayu sahaja rasa tengok anaknya yang tak tahu apa-apa. Masa berdoa
bersama tadi keluarganya sebak sedih. Mereka baru lepas berbuka dan
sedang bacaan Yasin,” katanya. –
PUTRAJAYA –
Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan pulang beraya ke
kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan perlu menjalani
pengasingan kendiri di kediaman masing-masing selama enam hari.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, semua pelajar terbabit
juga perlu menjalani proses pengasingan di kampus sekembalinya mereka
dari kawasan yang dikenakan penguatkuasaan PKP.
Bagi pelajar yang memasuki Sabah, KPT berkata, mereka diwajibkan
menjalani ujian calitan RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari
sebelum memulakan pergerakan ke negeri itu.
“Hanya pelajar yang memasuki Sabah perlu menjalani ujian calitan dan ia tertakluk kepada arahan semasa kerajaan negeri.
“Segala kos pergerakan pulang dan kembali ke kampus, termasuk bagi
menjalani ujian calitan adalah di bawah tanggungan pelajar sendiri,”
katanya dalam kenyataan soalan lazim Pergerakan Pulang Pelajar IPT
sempena Hari Raya Aidilfitri yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, KPT berkata, pelajar IPT yang menjalani latihan
industri dibenarkan pulang dan kembali semula ke tempat latihan mereka
selepas tamat cuti Aidilfitri.
“Kebenaran pulang dan kembali ke universiti ini juga melibatkan
pelajar yang menetap di luar atau sekitar kampus dengan pematuhan
terhadap prosedur operasi standard yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, KPT mengingatkan kebenaran merentas daerah dan negeri
untuk pulang beraya hanya diberikan untuk pelajar sahaja dan tidak
termasuk ahli keluarganya.
Kosmo! hari ini melaporkan kira-kira 103,994 pelajar IPT yang berada
di kampus masing-masing boleh menarik nafas lega selepas dibenarkan
pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali
negeri Sarawak.
Para pelajar boleh pulang ke rumah masing-masing mulai 7 hingga 12
Mei, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 hingga
20 Mei depan. – K!ONLINE
Sungai
Petani: Polis menafikan menyekat masuk orang ramai dari daerah lain ke
Kuala Muda tanpa surat kebenaran polis berikutan daerah ini berada di
bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang tular di
Facebook (FB), malam tadi.
Ini berikutan hanya Kuala Muda masih di bawah perlaksanaan PKPB
manakala kesemua daerah lain di negeri ini sudah bertukar ke Perintah
Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah
berkata, kebenaran merentas daerah dari daerah lain di negeri ini
dibenarkan seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan hanya ditekankan untuk pergerakan
merentas negeri sahaja yang memerlukan mereka menunjukkan surat
kebenaran dari polis.
"Tak betul...Kita proceed (benarkan) seperti biasa...
tekankan pada larangan rentas negeri," katanya dalam kenyataan ringkas
kepada pemberita, malam tadi.
Terdahulu, tular di FB berhubung larangan orang ramai ke daerah Kuala Muda berikutan daerah itu masih di bawah PKPB.
Orang ramai kononnya dari daerah lain perlu menunjukkan surat
merentas daerah dan perlu mendapat kebenaran polis sebelum memasuki
Kuala Muda
Turut berkas 18 individu termasuk wanita berasal dari China
KUALA LUMPUR
– Seramai 18 individu termasuk lima lelaki serta wanita warga China
ditahan dalam serbuan ke sebuah banglo yang disewa dan dijadikan pusat
panggilan judi dalam talian di Taman Orkid Desa di sini, semalam
Serbuan dijalankan jam 11.45 malam itu
oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7)
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)
Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata,
sindiket yang mempromosikan perjudian dalam talian itu sudah beroperasi
sejak tiga bulan lalu dipercayai meraih keuntungan harian mencecah
RM100,000.
Katanya, siasatan mendapati mereka
menyewa kediaman pada kadar RM25,000 sebulan, manakala setiap pekerja
menerima upah di antara RM 5,000 hingga RM 7,000 sebulan.
“Penjaga premis pula menerima upah sebanyak RM15,000 sebulan.
“Semua suspek berusia 18 hingga 39 tahun
akan direman untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi
Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya
seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi
berkenaan turut merampas 109 telefon bimbit, satu unit modem, dua
router, 27 set komputer riba, wang tunai RM54,000 dan mata wang asing
dengan keseluruhan nilai dianggar berjumlah RM300,000.
Polis Kuala Lumpur turut mengingatkan
orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian
kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau
pelanggan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang
maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan
Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline
Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999
Tauke judi bagi duit raya bukannya RM1,000, kadang-kadang sampai RM10,000
KLUANG – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis di Johor yang menerima duit raya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran beliau tidak akan bertolak ansur berhubung perkara itu.
“Kalau ada aduan, saya akan ambil tindakan. Tiada istilah duit raya, yang tadi ditanya itu kurma, kurma bagi saya itu biasa.
“Tapi kalau duit raya lain. Kalau tauke
judi bagi duit raya bukannya RM1,000 tapi kadang-kadang sampai RM10,000.
Kalau ada maklumat saya akan ambil tindakan.
“Yang mana ambil rasuah, saya sudah dan akan ambil tindakan siasat, tiada tolak ansur,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata,
pemberian kurma yang kerap diamalkan umat Islam pada Ramadan tidak
dianggap rasuah kerana lebih berupa hadiah kepada seseorang.
“Takkanlah kita nak kategorikan pemberian
kurma sebagai rasuah terutama bulan puasa ini, banyak sedekah makanan
dapat pahala banyak,” katanya.
Katanya lagi, Penasihat Majlis Agama
Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot, turut menggunakan istilah hadiah
bagi mereka yang berkemampuan.
Bagaimanapun bagi Musang King, beliau berkata, ia mungkin dianggap rasuah kerana harganya yang mahal.
Hari ketiga berturut-turut kes baharu kembali cecah empat angka
SHAH ALAM –
Susulan Selangor mencatatkan kes tertinggi COVID-19 tiga hari
berturut-turut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan
mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara bagi
Negeri Selangor, esok.
Dalam
ciapan menerusi Twitternya, Amirudin berkata, mesyuarat itu bagi
meneliti semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
di seluruh Selangor.
“Hari ini, hari ketiga berturut-turut kes baharu COVID-19 kembali mencecah empat angka.
"Mesyuarat
esok akan mengangkat syor-syor pelaksanaan PKPB di Selangor kepada
Majlis Keselamatan Negara bagi pertimbangan kerajaan Persekutuan,”
katanya hari ini.
Kes
positif baharu COVID-19 hari dilaporkan sebanyak 3,332 kes dengan
Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,083 kes.
Pada Rabu
(28 April), daripada 3,142 kes baharu dilaporkan, Selangor mencatat kes
tertinggi dengan 1,019 kes dan pada Selasa (27 April) daripada 2,733 kes
baharu yang dilaporkan, Selangor catat kes tertinggi dengan 750 kes. –
Bernama
HUJAN lebat luar biasa yang melanda Mekah sejak petang Selasa
menyebabkan beberapa kawasan terutama di bandar dilanda banjir kilat.
Menurut perkongsian beberapa penduduk Malaysia di Mekah melalui laman
sosial, hujan turun dengan lebat semalam ketika umat Islam berpuasa
pada hari ke-15 Ramadan.
Salah seorang daripada mereka, Datuk Sheikh Abdul Halim Sheikh Salah
yang mengirimkan video hujan itu kepada UtusanTV berkata, hujan tersebut
memberi rahmat kepada umat Islam yang sedang berpuasa di Mekah.
Manakala, Menurut perkongsian di laman Twitter Haramain Sharifain,
hujan lebat yang amat jarang berlaku sejak Asar menyebabkan air naik
sehingga mencecah 0.5 meter.
Dalam beberapa video yang tular, dapat disaksikan bagaimana banjir
kilat menengelamkan kereta dan ada kereta yang dibawa arus kuat.
Sebelum ini, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran cuaca buruk
membabitkan beberapa wilayah di seluruh Arab Saudi bermula Jumaat
sehingga Selasa.
Amaran awal berkenaan membabitkan ramalan ribut petir dengan hujan
sederhana serta angin kencang di wilayah Asir, Al-Baha, Jazan, Najran,
Mekah dan Madinah bermula Jumaat.
Memetik laporan media tempatan juga, amaran itu turut melibatkan ibu
kota Riyadh, Qassim dan Provinsi Timur yang akan mengalami hujan lebat
sederhana yang dijangka mengakibatkan arus deras dan banjir.
PETALING
JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan penjualan bunga api bagi
musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Timbalan Pengarah Pengurusan(Pentadbiran), Datuk Wira Mat Kasim Karim
berkata, kelulusan dasar telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri
(KDN) bagi mengimport, menyimpan dan berniaga secara jualan umum sempena
musim perayaan.
“Sehubungan itu, penjualan bunga api bagi Hari Raya Aidilfitri pada
tahun ini adalah dibenarkan dengan mematuhi peraturan yang telah
ditetapkan oleh PDRM.
“Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 8 Akta Bahan
Letupan 1957 (AKta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun
atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam
satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, semua pihak yang menjalankan perniagaan tersebut
diberi peringatan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang
telah dikeluarkan.
“Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh peniaga kecil atau peruncit
dan pasar raya adalah warganegara Malaysia sahaja, lesen berniaga
hendaklah dipamerkan dan tempoh jualan hanya dibenarkan selama 30 hari.
“Peniaga kecil dan bazar adalah dibenarkan dengan syarat mempunyai
tempat simpan selamat serta diperakui dan mempunyai kebenaran seperti
permit atau lesen,” katanya.
Tambahnya, antara perkara yang tidak dibenarkan ialah menjual bunga
api kepada pembeli kurang 18 tahun, urus niaga secara dalam talian dan
restoran serta kedai makan tidak dibenarkan menjual bunga api. – K!
ONLINE
TUARAN – Pernah mengalami kerugian sehingga mencecah RM50,000 ketika
mula terlibat dalam perniagaan madu kelulut, di Bukit Payung, Telipok
dekat sini, Salmah Singa tekad untuk bangkit semula sehingga berjaya
dalam perniagaannya.
Menurut beliau, ladang ternakan kelulut yang diusahakan bersama
suaminya sejak tahun 2015 itu kini memiliki lebih daripada 5,000 sarang
kelulut berbanding hanya 60 sarang sebelum ini.
Lebih menarik, jumlah ladang madu kelulut juga bertambah kepada
sembilan dan kini telah berjaya menghasilkan tuaian hampir satu tan
liter setiap bulan.
Memasarkan madu kelulut di bawah jenama Nikmah, Salmah, 53,
menjelaskan, minatnya terhadap perniagaan madu kelulut bermula setelah
melihat keberkesanan madu sebagai alternatif untuk membantu mengurangkan
penyakit asma yang dihidapi suami dan anak lelakinya.
“Saya sendiri mengalami masalah resdung sehingga sukar untuk tidur
dan selepas melihat kebaikan madu kelulut, saya turut mengamalkannya,”
kata beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Mengimbau perjalanan perniagaan yang diusahakan, ibu kepada tiga
cahaya mata itu mengakui pernah berputus asa sebelum ini selepas 60
sarang kelulut yang diusahakan terpaksa dimusnahkan selepas diserang
penyakit.
“Kerugian sekitar RM50,000 itu ibarat tamparan hebat buat saya dan keluarga.
“Selain daripada pinjaman yang berterusan, AIM melalui Unit
Pembangunan Usahawan menyediakan latihan dan bimbingan secara percuma.
“Saya mengambil masa kira-kira tujuh bulan untuk kembali bangkit bagi
membangunkan semula ladang kelulut yang diusahakan,” katanya.
Mengulas lanjut,Salmah berkata, madu kelulut asli Nikmah ditawarkan pada harga antara RM35 sehingga RM200 mengikut saiz botol.
Salmah yang merupakan seorang Sahabat AIM memberitahu, institusi itu
banyak membantunya dalam mengembangkan perniagaan sejak mula berniaga
menjual ayam, daging dan sayur-sayuran pada tahun 2002.
“Pinjaman permulaan pada waktu itu hanya RM500 sebelum saya mengambil
keputusan membuat pinjaman sebanyak RM5,000 untuk memulakan ladang
ternakan kelulut pada hujung tahun 2015.
“Selepas mengalami kerugian dan bangkit semula, saya sekali lagi
membuat pinjaman sebanyak RM10,000 untuk membangunkan semula ladang dan
perniagaan madu kelulut. -K! ONLINE.
KUDAT – Siapa sangka hanya bermula dengan usaha untuk mencuba minyak
kelapa dara sebagai salah satu inisiatif membantu menyembuhkan pelbagai
penyakit yang dihidapi suami kira-kira 12 tahun lalu, kini Jalimah
Majimil bergelar usahawan.
Langkah kanan beliau meneroka bidang tersebut telah membolehkan
wanita berusia 58 tahun itu mengeluarkan produk berasaskan minyak kelapa
dara di bawah jenama Bonco di daerah Kudat.
Menurut beliau, suaminya, Ronnie Onginjan, 65, mula menghidap
pelbagai penyakit termasuklah gastrik, darah tinggi dan gout sejak tahun
1998.
Pelbagai usaha dillaksanakan untuk membantu menyembuhkan penyakit berkenaan sehingga beliau menemui minyak kelapa dara.
“Salah seorang kawan kami yang terlebih dahulu bergelar usahawan
minyak kelapa dara telah memberikan sebotol produknya kepada suami untuk
dicuba.
“Selepas mengamalkan minyak kelapa dara secara konsisten, tahap kesihatan suami kembali normal.
“Sejak itu, saya dan suami mengambil keputusan untuk terlibat secara
serius menjual produk berasaskan minyak kelapa dara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kilang pemprosesan minyak kelapa di Kampung Kimihang di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai perancangan masa depannya, Jalimah yang kini layak
meminjam sehingga RM30,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
berkata, pihaknya merancang untuk menghasilkan lebih banyak produk
sendiri berasaskan minyak kelapa dara seperti sabun dan syampu.
Berkongsi mengenai pembabitannya sebagai Sahabat AIM, Jalimah
memulakan perniagaannya sejak tahun 2002 dengan kelayakan pinjaman
sebanyak RM2,000. -K! ONLINE.
KUANTAN –
Disebabkan tiada capaian internet di rumah, ada murid yang terpaksa
berdiri di luar rumah bagi mengikuti kelas secara online yang dianjurkan
guru.
Perkara itu didedahkan guru Bahasa Melayu dan Sains, Sekolah
Kebangsaan (SK) Tengku Azizah, Roziah Shamsuddin apabila ditanya
mengenai cabaran yang dihadapi ketika pelaksanaan Pengajaran dan
Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada tahun lalu.
Roziah berkata, ibu bapa telah mengirimkan gambar menunjukkan gelagat
anak mereka yang bersusah payah untuk mendapatkan capaian internet yang
stabil sehingga terpaksa berdiri di luar rumah semata-mata untuk
mengikuti kelas dalam talian.
“Itu antara situasi yang terpaksa murid hadapi apabila PdPR
dilaksanakan malah kami sendiri sering mendengar keluhan ibu bapa
mengenai pelbagai kesulitan yang dihadapi ketika itu.
“Jadi PdP secara bersemuka adalah langkah terbaik dan jika keadaan
terlalu mendesak, saya mencadangkan sesi persekolahan dibuat secara
bergilir bagi memastikan proses PdP secara bersemuka dapat terus
dilaksanakan,”katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini
baru-baru ini..
Sementara itu, Guru Besar SK Tengku Azizah, Sharipah Hadibah Habib
Noh berkata, murid sekolah rendah berhadapan dengan cabaran yang lebih
besar berbanding pelajar sekolah menengah apabila PdPR dilaksanakan.
Jelas beliau, ini kerana murid sekolah rendah masih bergantung kepada
ibu bapa sepenuhnya untuk menguruskan segala keperluan mereka
berbanding pelajar sekolah menengah yang moleh menguruskan sendiri.
“Contohnya untuk persediaan kelas dalam talian, ibu bapa perlu
menguruskan anak-anak mereka dari awal termasuk membuka aplikasi,
memantau sesi pembelajaran serta membimbing mereka menyiapkan tugasan.
“Jadi sudah tentu perkara ini akan menambahkan lagi bebanan ibu bapa terutama yang bekerja,”katanya.
Dalam pada itu, seorang guru, Syarifah Salwa Syed Mad Damsuri
menyokong agar PdP secara bersemuka dikekalkan kerana sebagai ibu kepada
empat anak berusia enam hingga 12 tahun, beliau sangat memahami
kesulitan dialami kedua pihak.
“Sebagai ibu, saya dapat rasai bagaimana sukarnya untuk menguruskan
empat anak serentak supaya mereka dapat mengikuti kelas dalam talian dan
dalam masa sama saya juga perlu mengajar secara dalam talian.
“Saya akui sangat penat untuk menguruskan semuanya serentak namun
untuk mengelak keadaan kelam kabut, saya mengambil inisiatif dengan
membuat senarai semak untuk anak-anak supaya mereka lebih teratur,”
ujarnya.
Sementara itu, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Azizah, Abdul Razak Ahmad berkata,
pelaksanaan PdP dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilihat
dapat memberi manfaat kepada murid-murid dan ibu bapa.
“Kebanyakan ibu bapa sekarang sudah kembali bekerja atau berniaga,
sekiranya sesi persekolahan ditutup maka anak-anak terpaksa belajar di
rumah.
Ini tentunya akan menjejaskan jadual kerja atau perniagaan mereka.
“Hantar anak ke sekolah adalah lebih selamat berbanding tinggalkan
mereka di rumah apabila ibu bapa terpaksa keluar bekerja malah ada
sesetengah rumah yang tidak kondusif untuk sesi pembelajaran secara
online, ini akan menjejaskan perkembangan pelajaran murid,” ujarnya.
Ditanya pendapat seorang murid darjan enam, Nur Arissya Sofea
Zulnizam berkata, dia lebih suka ke sekolah kerana lebih mudah untuk
memahami pengajaran guru berbanding belajar dengan kelas dalam talian.
Katanya masalah internet yang lemah menyebabkan pengajaran yang
dibuat guru tidak jelas seterusnya menyebabkannya tidak dapat melakukan
tugasan yang diberi.
“Jika tidak faham atau ada masalah saya tidak tahu ingin bertanya
kepada siapa kerana ibu dan ayah bekerja manakala abang pula ada kelas
dia sendiri.
“Di sekolah saya rasa lebih bersemangat untuk belajar kerana ada
ramai kawan selain boleh bertanya terus kepada guru jika tidak
faham,”ujarnya.
IPOH:
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad perlu menjalani
kuarantin selama 14 hari setelah ada kontak rapat dengan pesakit
Covid-19.
Setiausaha politiknya, Sham Mat Sahat mengatakan bahawa beliau
dimaklumkan bahawa Saarani diberitahu untuk menjalani kuarantin dari
semalam hingga 11 Mei setelah ada kontak rapat itu dengan seorang
individu ketika menghadiri program di Lenggong.
“Pada pukul 5 petang, beliau (Saarani) memberitahu saya bahawa beliau
tidak dapat menghadiri sambutan Nuzul Quran 2021 Perak di Masjid Sultan
Idris Shah II di sini petang ini.
“Dia juga memberitahu saya untuk mewakilinya pada waktu berbuka puasa
di Batu Kurau pada hari Jumaat kerana beliau kini di kuarantin.
“Namun, oleh kerana saya tidak mempunyai maklumat yang lengkap, saya
tidak dapat menjelaskan lebih lanjut,” kata Sham ketika ditemui wartawan
setelah menghadiri majlis Nuzul Quran, yang juga dihadiri oleh Sultan
Perak, Sultan Nazrin Shah.
Katanya, Saarani disuruh menjalani kuarantin setelah mempengerusikan
mesyuarat dewan eksekutif negeri Perak pagi ini diikuti dengan sidang
media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. UTUSAN
PORT
DICKSON: Seorang lelaki ditahan selepas membuat laporan polis palsu
tentang kehilangan sebuah kereta miliknya pada 20 April lalu.
Lelaki berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penganalisis data itu
disyaki membuat laporan palsu tersebut bagi tujuan mendapatkan tuntutan
insurans bagi mengadakan majlis perkahwinannya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed
berkata, lelaki itu ditahan enam hari kemudian selepas siasatan lanjut
mendapati dia sengaja mereka cerita mengenai kehilangan kenderaan jenis
Subaru Forester tersebut.
“Pada 20 April 2021, pukul 10.30 malam, lelaki tersebut membuat satu
laporan polis berhubung kehilangan sebuah motokar miliknya di pekarangan
parkir Lukut Prima, di sini.
“Hasil soal siasat awal mendapati pengadu parkir motokar di kawasan
tersebut sekitar pukul 8 malam untuk makan bersama rakan dan apabila
kembali semula ke pada pukul 10 malam, pengadu mendapati motokar telah
tiada di tempat parkir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pada 26 April 2021 kira-kira pukul 1.30 petang,
setelah disoal siasat lanjut oleh polis, mendapati lelaki berkenaan
sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan kenderaannya itu.
Jelas Aidi Sham lagi, kereta itu disimpan di tempat lain dengan
tujuan untuk mendapatkan tuntutan insurans ke atas kehilangan motokar.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan JSJ Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan kemudian menangkap lelaki berkenaan
bersabit kereta dan laporan palsu.
“Dengan dipandukan oleh pengadu, polis menemukan semula motokar yang
disorokkan oleh pengadu di belakang bangunan sebuah pasar raya di Lukut.
“Lelaki itu kini masih ditahan di lokap Polis Port Dickson sehingga
esok dia akan disiasat lanjut dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau
kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE
JOHOR
BAHRU: Kerajaan negeri menetapkan tarikh cuti persekolahan sempena
sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini bagi sekolah-sekolah di bawah
kelolaannya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi
berkata, penetapan itu dibuat dengan mengambil kira pengumuman Menteri
Kanan Pendidikan menerusi sidang akhbar, baru-baru ini.
Menurut beliau, tarikh cuti berkenaan melibatkan Institusi Pendidikan Islam Negeri Johor.
“Bagi Maahad Tahfiz Negeri, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah
Agama Kerajaan Negeri Johor dan Tadika Agama Johor, cuti ditetapkan
bermula 7 Mei sehingga 15 Mei.
“Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pula akan bermula
pada 16 Mei sehingga 27 Mei mengikut kesesuaian guru dan murid. Manakala
bagi mereka yang akan pulang ke asrama bermula 12 Jun bagi kelas darjah
khas dan 13 Jun bagi murid dan pelajar lain,” katanya dalam satu
kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Tosrin memberitahu, cuti bagi Sekolah Menengah dan
Sekolah Rendah Islam Swasta, Maahad dan Madrasah Tahfiz Swasta, Madrasah
Pondok Swasta dan Madrasah Malabar Johor tertakluk kepada pihak
sekolah. – UTUSAN ONLINE