OLEH DIYANA IBRAHIM
Orang
ramai melepaskan belon sebagai simbolik memperingati penumpang pesawat
MH370 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar The
Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli,
"Saya
percaya mereka masih hidup sehingga kini," demikian antara luahan hati
salah seorang daripada kira-kira 30 rakyat Malaysia yang hadir menyokong
program memperingati kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370
anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia for Malaysian di Taman
Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam.
Patrick Chow, 34 bekas petugas kabin MAS mengakui sangat terkesan
apabila mendengar berita kehilangan MH370 dan nasib yang menimpa 239
penumpang dan anak kapal.
"Saya amat sedih bila mengetahui tragedi MH370 berlaku, tambahan lagi
saya pernah bekerja di MAS, jadi peristiwa ini amat dekat dengan saya.
"Saya fikir tragedi ini mengenai kemanusian, jadi saya sebagai bekas
kru, apa yang boleh saya sumbang saya akan buat, apa pun saya percaya
mereka masih hidup marilah kita berdoa," katanya di hadapan hadirin.
Meskipun hujan lebat dan menyebabkan rancangan untuk melepaskan belon
yang mengikat 239 nama penumpang dan anak kapal pesawat itu hampir tidak
dapat dilakukan, ia langsung tidak menghalang semangat hadirin yang
datang untuk melepaskan belon ke udara.
Penganjur, Azrul Mohd Khalib, berkata melepaskan belon ke udara bersama
nama yang diikat dengan tali sebagai satu simbolik pendirian rakyat
Malaysia bersama ahli keluarga penumpang tidak akan berputus asa
mengharapkan keajaiban berlaku dan terus berdoa.
"Kita memang sudah lama merancang dan kita memutuskan melepaskan belon
ke udara adalah sebagai salah satu cara untuk kita berdoa, kerana
masing-masing daripada kita mempunyai cara tersendiri untuk berdoa.
"Masing-masing ada kepercayaan mereka, ada yang bersolat dan sebagainya
dan ini juga adalah salah satu di mana ia mungkin dapat melegakan ahli
keluarga penumpang dan anak kapal MH370," katanya.
Program terhenti seketika kerana hujan lebat, disusuli dengan luahan
hadirin yang datang dan terdiri daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum
dan usia menimbulkan sedikit suasana pilu apabila rata-ratanya masih
percaya sebenarnya penumpang dan anak kapal MH370 masih selamat.
Ahli Bersekutu Majlis Perundingan Perpaduan Negara, Profesor Madaline
Berma yang turut hadir dalam acara itu berkesempatan untuk membacakan
sajak dalam bahasa Iban, “Jaku berbuah” atau “Mana hilangnya MH370.”
Berma berkata, puisi tersebut yang menceritakan tentang pencarian MH370
dan turut menekankan nama Andrew Nari yang sememangnya diketahui
sebagai anak jati Sarawak.
"Andrew anak kesayangan kita, dia tidak meninggalkan kita, dia tetap ada, dia terus mendengar kita," katanya.
Aktivis, Datin Paduka Marina Mahathir juga antara yang hadir menyokong
program tersebut turut bersama berkongsi perasaan mengenai MH370.
"Kita datang dengan niat baik dan hati yang jujur serta ikhlas untuk mengingati penumpang dan anak kapal MH370.
"Kita akan terus berdoa tidak kiralah apa kaum dan agama, kerana apa
yang manusia boleh lakukan menghadapi dugaan seperti ini, kita tidak
berdaya, hanya mampu untuk terus berdoa," katanya.
Selain itu, seorang bekas kakitangan MAS berkongsi pengalamannya mengenali juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Siti Norhairiza Jauhari, 44 menyifatkan Kapten Zaharie sebagai seorang yang peramah dan suka berlawak.
"Walaupun tidak mengenali secara rapat namun kita pernah bertegur dan
beliau sangat peramah suka buat lawak, apabila terdapat spekulasi buruk
tentangnya saya tidak fikir langsung dia sanggup bertindak begitu,”
katanya.
Katanya, kakitangan MAS sememangnya dilatih untuk menghadapi kecemasan termasuk menangani situasi kapal terbang dirampas.
"Kami memang terlatih dan diajar untuk menangani situasi seperti itu,
jadi agak mustahil kalau tiba-tiba ia hilang begitu, saya percaya mereka
masih ada," katanya.
Azrul berkata, program itu juga sebahagian daripada penghargaan kepada petugas operasi misi mencari dan menyelamat MH37O.
"Janganlah kita lupa tentang mereka yang bertungkus lumus dalam operasi
tersebut sehingga pesawat belum dijumpai, kita tidak akan berhenti,"
katanya.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pesawat MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi.
Bagaimanapun, sehingga kini pasukan mencari dan menyelamat belum
menemui rangka atau serpihan pesawat MH370 di kawasan yang dikatakan
itu.