MALAYSIAKINI
PAS Selangor hari ini memberi jaminan kepada rakannya dalam Pakatan
Rakyat ia akan terus kekal dalam pakatan itu "walau dalam apa jua
keadaan sekalipun".
Setiausahanya Mohd Khairuddin Othman berkata PAS Selangor tidak tahu
menahu perihal anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki
berbincang melalui rangkaian kumpulan WhatsApp anggota jawatankuasa itu
tentang kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno di Selangor serta
mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai Menteri
Besar.
"Tidak ada langsung perbincangan tentang perkara itu dan PAS Selangor
komited serta setia kepada Pakatan Rakyat," katanya dalam satu
kenyataan.
Dr Mohd Zuhdi dilaporkan menyuarakan tentang kemungkinan PAS bekerjasama
dengan Umno di Selangor dan mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri
Besar.
Perbualan itu didakwa terkandung dalam mesej kumpulan WhatsApp antara anggota Jawatankuasa Pusat PAS.
'Tiada yang lompat'
Mohd Khairuddin berkata PAS Selangor mengekalkan rekodnya yang tidak
mempunyai sebarang wakil rakyatnya di Selangor menyertai Umno atau
Barisan Nasional (BN).
"Dalam rekod kami, tidak ada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kami
yang menyeberang kepada Umno atau BN. Dan kami akan mengekalkan rekod
ini," katanya.
Beliau berkata perkara tersebut adalah pandangan peribadi Dr Mohd Zuhdi dan tidak memberi kesan kepada PAS Selangor.
Para pemimpin PKR, PAS dan DAP menyuarakan pelbagai pandangan berikutan
keputusan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dengan presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.
Sementara itu, anggota jawatankuasa DAP Selangor Charles Santiago, yang
juga Anggota Parlimen Klang, berkata para pemimpin PAS perlu memisahkan
diri mereka daripada mesej WhatsApp itu.
Beliau menggesa presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan
pendirian beliau tentang "isu WhatsApp" itu dengan menegaskan bahawa
kepimpinan PAS Selangor setia dan komited kepada Pakatan Rakyat.
"Bagi DAP Selangor, kami sentiasa setia dan komited kepada Pakatan (Rakyat)," katanya kepada Bernama.
Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan
sokongan mereka kepada Abdul Khalid, dengan berkata beliau perlu terus
menyandang jawatan Menteri Besar Selangor hingga berakhirnya penggal
sekarang.
No comments:
Post a Comment