Thursday, April 30, 2015

GST: Restoran pertama didakwa

 
Sebuah restoran mamak didakwa mengeluarkan 2,000 invois yang tidak mengandungi maklumat yang ditetapkan mengikut peraturan kepada pelanggannya antara 7 hingga 11 April.


restoran

 
SHAH ALAM: Restoran Hameed Corner di Seksyen 16 menjadi premis perniagaan yang pertama dihadapkan ke mahkamah atas kesalahaan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) 2014, sejak ia dilaksanakan pada 1 April lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, restoran itu didakwa mengeluarkan 2,000 invois yang tidak mengandungi maklumat yang ditetapkan kepada pelanggannya antara 7 hingga 11 April.

Wakil pemilik restoran itu, Raja Bunesh Begum Kamarudeen, 38, tidak mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen, pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Rozela Raja Toran dan Hazril Harun memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM100,000 terhadap wakil pemilik restoran itu.

Peguambela tertuduh, Cullin Andrew, bagaimanapun berhujah bahawa kes itu tidak memerlukan penjamin kerana ia kes saman.

Selepas menimbang hujah kedua-dua belah pihak, Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan RM15,000 untuk ikat jamin dan sebutan semula kes itu pada 25 Mei.

Tembak mati bukan penyelesaian

Death row for Australian Myuran Sukumaran and Andrew Chan
Latihan skuad penembak mati di penjara Nusakambangan, Denpasar,Bali, Indonesia sebelum hukuman dijalankan ke atas lapan individu pada 28 April lalu (Gambar rappler.com)

Oleh CHARLES SANTIAGO 


Kejam dan gasar. Itu kalimah yang paling sesuai bagi menjelaskan hukuman tembak mati terhadap lapan pengedar dadah di Indonesia semalam.

Presiden baru Indonesia, Joko Widodo tanpa banyak fikir menolak rayuan pengampunan kerana percaya bahawa dadah menghancurkan dan mengacau-bilaukan negaranya.

Saya percaya kehidupan golongan remaja yang terpengaruh dengan rakan sebaya telah dimusnahkan dengan dadah. Namun, hukuman mati bukannya penyelesaian, dan ia tidak pernah dan tidak akan menjadi jalan penyelesaian.

Sepatutnya hukuman mati memerlukan moratorium, dan Malaysia juga harus tersenarai dalam usaha ini.

Dalam pengadilan ke atas lapan banduan akhir dari Australia, Brazil, Nigeria dan Indonesia itu, Jokowi tidak mempedulikan dakwaan rasuah terhadap beberapa hakim dan saksi.

Pihak kerajaan Australia sendiri merayu agar pelaksanaan hukuman tembak itu ditangguhkan sehingga prosiding dijalankan di bawah Mahkamah Perlembagaan dan Jawatankuasa Kehakiman selesai sepenuhnya.

Pendengaran awal sedang dibuat di Mahkamah Perlembagaan Australia dijadualkan pertengahan Mei, pastinya relevan berhubung kes dua warga Australia tersebut.

Namun pelaksanaan hukuman mati telah dibuat, dan apa akan Jokowi lakukan jika akhirnya prosiding itu nanti memihak kepada dua warga Australia dan didapati tidak bersalah?

Ketika Jokowi berkempen untuk menjadi Presiden Indonesia, warganya memandang tinggi dan menganggap beliau sebagai seorang calon progresif dan sederhana.

Nampaknya setelah beberapa bulan, dia jatuh merudum. Saya sendiri berharap sikapnya yang keras menolak pengampunan lapan banduan akhir itu bukanlah atas dasar mendapatkan kembali sokongan terhadapnya yang semakin berkurangan, atau kononnya untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa dia seorang yang tegas..

Hukuman mati oleh skuad menembak adalah keterlaluan. Jika ia berdasarkan kepentingan survival politik Jokowi, ini adalah suatu hal yang amat memalukan.

Populariti Jokowi menurun apabila beliau melantik seorang yang mempunyai kes rasuah sebagai ketua polis, selain penghapusan subsidi bahan api di negaranya.

Apabila hampir tiga perempat dari rakyat Indonesia menunjukkan sendiri rasa tidak puas hati terhadap Jokowi, presiden republik itu mula meletakkan perhatiannya terhadap isu nasional untuk mendapatkan kembali sokongan.

Ini termasuk tindakan keras terhadap nelayan asing dan keldai dadah.

Sekarang kita hanya dapat berharap agar Jokowi melakukan perkara yang betul dengan membebaskan Mary Jane Veloso, yang terlepas hukuman tembak apabila penipu yang menjadikannya keldai dadah menyerah diri kepada polis.

Mary Jane tidak mengetahui bahawa beg yang diminta untuk dibawa ke negara itu mempunyai dadah di lapisan dalam beg itu. Dia adalah seorang mangsa pemerdagangan dan mesti dibebaskan dari apa-apa hukuman.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya memahami usaha pembasmian dadah di Indonesia.
Tetapi Jokowi seharusnya melihat strategi baru- seperti mengadakan operasi besar-besaran di rantau ASEAN untuk memerangi kartel dadah, pemerdagangan manusia dan jaringan antara negara termasuk membasmi korupsi dalam pasukan polis bagi menyelesaikan isu ini.

Dan pastilah skuad menembak mati pesalah bukanlah jawapannya. – Roketkini.com

(^)  Dr Charles Santiago adalah Ahli Parlimen Klang


Harga minyak kekal tidak berubah bagi Mei

MALAYSIAKINI


 


Harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Mei 2015 akan kekal pada paras semasa, menurut jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kepada Bernama hari ini.

Harga tidak berubah bagi bulan ketiga berturut-turut, dengan petrol RON95 kekal pada RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.25 seliter dan diesel pada RM1.95 seliter.

Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi 1 Mei. - Bernama


 


Faktor karpet dalam semakan kehakiman

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan 10 Februari yang menjatuhi hukuman lima tahun penjara padanya atas sabitan kesalahan liwat.

Ketua umum PKR itu mendakwa terdapat kesilapan mahkamah dalam keputusan itu.

Anwar menjadikan kenyataan Pejabat Perdana Menteri berhubung sabitan kes itu serta siri jelajah Umno yang mengetengahkan ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebagai alasan untuk permohonan itu.

Anwar percaya tiada sebab untuk sabitan dibuat dan hukuman dijatuhi kerana terdapat percanggahan bukti berkaitan sekeping permaidani – tempat kesalahan dikatakan berlaku – yang dipindahkan.

Permohonan itu difailkan oleh peguam N Surendran dan Michelle Yesudas hari ini.

Turut hadir anak Anwar, Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR.


TKO menanti kumpulan pro-Pakatan PAS

MALAYSIAKINI



 
 
 
Menjelang tengah malam nanti pencalonan bagi pemilihan PAS tahun ini akan ditutup dan calon layak bertanding akan berdepan cabaran sebenar dalam muktamar di Kuala Selangor Jun ini.

Pertarungan sebenar, sejak 2009, menyaksikan pertembungan jelas antara kumpulan pro-Pakatan Rakyat yang mengutamakan agenda merampas Putrajaya dan kelompok berbeza pandangan proulama.

Kumpulan kedua dilihat lebih mementingkan agenda Islam PAS, termasuk perkara kontroversi walaupun kurang strategik daripada aspek politik.

Dalam pemilihan kali ini, kumpulan pro-Pakatan dilihat melalui tugas sukar berdepan kumpulan proulama, yang mencuri perhatian perwakilan dengan wajah “kepimpinan ulama” yang mahu digilap semula.

Bahkan, kali ini, asakan mereka bermula daripada peringkat akar umbi lagi apabila seorang demi seorang calon pro-Pakatan berjaya dicantas daripada bawah.

Antara “singa" yang berjaya dijinakkan kumpulan proulama termasuk bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar atas, kanan).

Walaupun mengetuai PAS Kampar selama 14 tahun, Nizar akhirnya tewas dalam pertandingkan yang dipertua kawasan kepada ulama setempat yang kurang dikenali Mohd Sofian Rejab

Sementara itu, kawalan proulama di peringkat akar umbi pula memberikan kelebihan kepada golongan ini dalam keadaan corak “pengundian blok” di peringkat kawasan.

Kunci G5 pada YDP

Bermaksud, lima undi daripada sebuah kawasan PAS (dirujuk G5) ditentukan oleh kecenderungannya ketuanya di peringkat bawah.

Tidak hairanlah kini budaya “chai” (pengedaran senarai kumpulan) dilihat pengamat politik PAS bakal memainkan peranan penting kali ini.

"Trend pencalonan diberikan kepada proulama. Mereka memberi undi berdasarkan blok. Ini trend baru yang sebelum ini tak ketara sangat sebelum ini.

"Kita nampak akan mengundi (pemimpin dari) satu kumpulan. Ada senarainya.

"(Kumpulan) progresif bakal maut dengan pukulan TKO (pukulan maut)," kata seorang pemerhati politik dalaman PAS kepada Malaysiakini.

Kumpulan proulama juga dilihat mempunyai gerak kerja lebih tersusun ketika pemilihan kali ini dikatakan antara yang paling kotor dalam sejarah PAS.

Kumpulan proulama dilihat memanfaatkan sebaiknya program parti bagi tujuan kempen, antaranya Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Marang dan Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur awal bulan ini.

Malah, kempen melalui siri multaqa (konvensyen) ulama PAS peringkat nasional dan negeri juga dilihat memainkan peranan ke arah melebarkan “kepimpinan ulama” melalui resolusi untuk mengukuhkan kepimpinan golongan itu.

Asakan 'makan diri' DAP

Di media sosial juga begitu, selain beberapa pemimpin progresif yang lantang mengkritik kepimpinan presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, mereka terus ketinggalan dalam perang saraf di Internet.

"Tak ada kepimpinan. Tak ada visi (setakat ini). Ahmad Awang dilihat berseorangan, tetapi kumpulan progresif tidak dilihat bersama.

"Mereka hanya tunggu untuk dipukul habis-habisan. Kita tunggu dan lihat," kata sumber lagi.

Sementara itu, daripada aspek luaran pula, serangan bertubi-tubi DAP terhadap Hadi dilihat tidak sedikit pun melemahkan penguasaan kumpulan proulama, mahupun kepimpinan anggota Parlimen Marang itu.

Walaupun Hadi berdepan kritikan paling lantang sejak 13 tahun menerajui PAS, asakan berlebihan daripada luar hanya mengundang kebimbangan dalaman terhadap maruah parti Islam itu daripada diperkotak-katikkan oleh DAP.

Malah, ia menyebabkan kumpulan pro-Pakatan tersepit. Ia sekali gus membantutkan asakan supaya dilihat 'patriotik' dan tidak dituduh bersekongkol dengan DAP – yang mempunyai masalah serius terhadap dasar-dasar Islam PAS sejak dahulu lagi.

Akhirnya, undi simpati terus memberikan kelebihan kepada Hadi. Ini ditambah lagi dengan faktor kesihatan Hadi yang merosot akhir-akhir ini.

Ini tergambar daripada jumlah pencalonan diterima Hadi yang masih utuh, walaupun tokoh ulama PAS Ahmad Awang digembur-gemburkan sejak sekian lama mampu membuat kejutan.

Malah, ketika Hadi memberi alasan kesihatan apabila gagal hadir ke mesyuarat Pakatan sebelum ini, DAP masih terus mengasaknya dengan menggesa Hadi tidak lagi ponteng demi melicinkan perjalanan Pakatan.

Bagaimanapun, faktor ini ditolak oleh kumpulan pro-Pakatan yang melihatnya pemilihan kali ini semata-mata pertembungan jalur fikrah berbeza dalam PAS.


 

Dr M: BN tak perlu bantuan saya dalam PRK

MALAYSIAKINI


 


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat BN tidak memerlukan bantuannya dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Bagaimanapun, beliau berpandangan BN berpeluang menang kerusi parlimen tersebut ekoran perselisihan berhubung isu hudud yang melanda Pakatan.

"Saya tak fikir mereka (BN) perlukan bantuan saya. (Tetapi) saya fikir mereka mempunyai peluang untuk menang.

"Sebab isu hudud, PKR tak sokong. Jadi PAS mungkin tidak akan bantu.

"Maka ia boleh beri peluang (pada BN)," katanya dalam sidang media selepas program Cakna Ilmu di USM Pulau Pinang.

Selain itu, ditanya mengenai calon BN di Permatang Pauh, Mahathir berkata, beliau tidak mengenali Suhaimi Sabudin, tetapi yakin dia merupakan pilihan yang bagus.

"Saya tak kenal dia. Tapi saya baca dia calon yang bagus saya harap BN menang," katanya.

Ditanya mengenai pencalonan kali kedua Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon kawasan itu, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, PKR merupakan sebuah parti "keluarga".

Malah, katanya penubuhan parti itu juga hanya untuk menguruskan "parti keluarga" itu.

"PKR memang akan selalu mendahulukan ahli keluarga. Parti itu hanya ditubuhkan untuk memberikan sokongan kepada parti keluarga itu," kata Mahathir ringkas.

Sementara itu, di program Cakna Ilmu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM itu, Mahathir hanya menyentuh mengenai latar belakang hidupnya serta memberi pandangan mengenai pengalamannya selaku bekas perdana menteri.

Program yang dihadiri kira-kira 2,000 pelajar ini juga sedikit berbeza berbanding sebelum ini apabila beliau langsung tidak menyentuh tentang kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beliau hanya menyentuh mengenai betapa pentingnya pemimpin dalam sesebuah organisasi supaya tidak hanya bergantung harap pada perkara lain.

"Saya biasa lihat sekolah di seluruh negara. Ada sekolah yang maju dan apabila dikaji saya dapati kepimpinan dalam sekolah itu ialah kepimpinan terbaik. Ada idea, pengetahuan. Sedangkan sistem sekolah sama seluruh negara.

"Ada sekolah yang maju dan yang tidak. Jadi orang yang memimpin itu memainkan peranan yang besar," katanya menjawab soalan moderator sama ada perlunya kuasa autonomi sesebuah universiti untuk menaikkan kualiti sesebuah institusi.


Muhyiddin rayu hadirin tepuk tangan

MALAYSIAKINI


 


Ucapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di satu acara di Permatang Pauh hari ini disambut dengan acuh tidak acuh oleh kira-kira 500 orang pendidik yang hadir.

Hinggakan, Muhyiddin terpaksa meminta para hadirin menepuk tangan – sekurang-kurangnya empat kali sepanjang ucapan 40 minit itu.

Ada di kalangan para hadirin terbabit, yang sebahagian besarnya merupakan para guru, diperhatikan hanya menunjukkan wajah bosan dan ada juga yang mengambil peluang melelapkan mata.

Muhyiddin memulakan ucapannya dengan membangkitkan mengenai kadar kemiskinan dalam negara yang menurutnya berjaya dikurangkan.

Tambahnya, jumlah miskin tegar itu tidak mencapai tahap dua peratus.

Bagaimanapun, para hadirin tidak menepuk tangan selepas mendengar statistik yang dikongsinya itu.

"Tak apalah jika anda tidak tepuk, biasalah,” katanya

Beliau seterusnya menyebut pula tentang sistem e-Kasih yang bertujuan untuk mengukur kadar kemiskinan dalam negara.

"Sistem ini diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai sistem paling baik di dunia untuk mengukur kadar kemiskinan,” katanya.

Kata-katanya itu bagaimanapun tetap gagal meraih tepukan.

"Ah... tolong tepuklah. Saya bercakap dengan orang pandai... Saya tidak tipu,” katanya.


Kad prabayar: Ahmad Maslan vs Shabery

MALAYSIAKINI


 


Isu mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas kad tambah nilai telefon prabayar semakin kusut dengan kenyataan berbeza dari dua anggota Kabinet dari Umno.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyebelahi agensinya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang setuju agar kad tambah nilai tidak dinaikkan.

Menurut Shabery, syarikat telekomunikasi tidak akan kembali mengenakan harga lama seperti sebelum penguatkuasaan GST.

Namun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyebelahi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, yang menuntut agar telco mengenakan harga lama.

Menurutnya, harga tersebut telahpun ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.

"Keputusan Kabinet pada 3 April mengatasi keputusan yang lain tentang isu kad prabayar. Tentu pihak telco sudah tahu tentang ini,” katanya di Twitter.

Dalam tulisannya itu, beliau turut memuatkan pautan laporan berhubung keputsan Kabinet bahawa harga kad prabayar tidak akan dinaikkan walau dengan pelaksanaan GST.

Shabery pula berkata, syarikat telekomunikasi tidak akan dapat menetapkan harga kembali ke paras asal, seperti diarahkan oleh Kastam.

"Bayaran kad prabayar ini juga melibatkan pembayaran melalui bank serta pembayaran secara elektronik selain ia melibatkan seramai 30,000 ejen seluruh negara.

“Perubahan perisian dan sistem perlu dilakukan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Tambahnya, SKMM dan Kastam telahpun bersetuju untuk mendapatkan maklum balas pengguna berhubung pelaksanaan GST sebelum membuat keputusan lanjut.

Menurutnya, kajian itu akan siap pada minggu ini dan akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet minggu depan, lapor Bernama.

Tinjauan Malaysiakini awal bulan ini mendapati, ada di kalangan peruncit menghentikan jualan selepas pelaksanaan GST kerana keliru dan bimbang akan mengalami kerugian.

Menurut kiraan SKMM, jika isian semula itu bernilai RM10, ia akan dijual dengan harga RM10.60

Pengguna juga boleh beli dengan harga RM10 bagi mendapatkan isian semula bernilai RM9.43.

Kastam pula mahu harga tersebut kekal pada harga lama, dengan nilai yang sama dengan harganya.


Zaid: Najib tak ubah seperti maharaja

MALAYSIAKINI


 


Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim melihat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini tidak ubah seperti seorang maharaja yang sanggup membuat apa sahaja tanpa rasa tanggungjawab.

Oleh itu, Najib perlu digantikan dengan calon lain yang lebih sesuai, katanya yang mengumpamakan perdana menteri seperti seorang maharaja Perancis, Louis XIV.

“Oleh itu, Najib adalah maharaja Malaysia yang pertama. Memangpun dia berlagak seperti maharaja. Beliau sangat kaya sebab, seperti Louis XIV, beliau mewarisi kekayaan yang besar, seperti didakwa pejabatnya.

“Bila adik beradiknya terpaksa jelaskan bahawa arwah bapa mereka – perdana menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak – bukan seorang yang kaya, Najib tidak pula menjelaskan bagaimana sebenarnya beliau mendapat duit.

“Beliau tidak beritahu rakyat jumlah kekayaannya, kerana seperti juga seorang maharaja, beliau tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada sesiapapun,” kata Zaid.

Selain itu, Najib tidak berminat untuk menjelaskan mengenai motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kata Zaid.

“Bila pengawal keselamatannya bunuh seorang wanita dari Mongolia dan meletupkan jasadnya hingga berkecai, beliau tidak berasa bahawa perlu ditanya sebabnya.

“Beliau tidak berminat langsung untuk menjelaskan perkara pelik ini padahal semua orang ingin tahu sebab pembunuhan itu berlaku.

“(Najib) hanya berminat untuk bersumpah dengan nama tuhan bahawa beliau tidak mengenali (Altantuya).

“Dengan lagak seorang maharaja, beliau tidak perlu bertanggungjawab ke atas tindakannya, dan seterusnya, para pengawalnya itu,” tambahnya.

Dalam tulisannya di blog zaid.my, bekas MP Kota Bharu itu seterusnya membangkitkan mengenai isu pentadbiran dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kata Zaid, Najib masih belum menjelaskan mengenai hutang 1MDB sebanyak RM48 bilion.

“Beliau juga nampaknya tidak segan bila syarikat kerajaan ini terpaksa minta sedekah baru-baru ini untuk mendapatkan RM2 bilion bagi membayar faedah kepada bank.

"Tapi dia tidak perlu menjawab persoalan mengenai 1MDB kerana beliau seorang maharaja,” kata Zaid


Wednesday, April 29, 2015

Ahmad Maslan tidak faham GST-Tun M

 
Menurut Dr Mahathir jawapan dan respon yang diberikan Ahmad Maslan menunjukkan Ahli Parlimen Pontian itu sebenarnya tidak mendalami GST.


maslam mahathir pulak


KAJANG : Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak Datuk Ahmad Maslan yang tidak tahu hal ehwal kewangan walhal memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan.

Bekas Perdana Menteri berkata, Ahmad Maslan sebagai pelaksana sepatutnya lebih arif tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, berdasarkan jawapan dan respon yang diberikan oleh Ahli Parlimen Pontian sudah cukup membuktikan Ahmad Maslan sebenarnya tidak mendalami GST.

“Orang yang nak laksana tak paham apa dia (GST). Bila kita tanya dia pun tidak berapa tahu. Jadi nampak tak memahami secara mendalam. Saya pun kena bayar GST juga,” katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun beliau tidak memahami GST namun Ahmad Maslan tidak pula mengatakan apa disebutnya itu salah.

“Saya tak faham (GST) tapi apa yang saya kata dia (Ahmad Maslan) tak kata salah tapi yang dia cakap tu macam tak tahu apa.

“Jaga pasal kewangan tapi tak tahu pasal kewangan langsung, macam mana?,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Maslan menyifatkan Dr Mahathir tidak tahu GST kerana kemungkinan tidak mendapat penerangan terperinci atau tersalah tafsir mengenai pelaksanaan GST daripada orang-orang di sekelilingnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir mengesahkan beliau tidak akan menyertai perhimpunan pada 1 Mei bagi membantah pelaksanaan GST.

Pentadbiran Najib tidak bersih- Tun M

 
Dr Mahathir menerima agenda kerajaan membayar hutang tetapi beliau tidak puas hati apabila duit negara hilang dan hutang luar negara meningkat.


mahathir kritik najib



KAJANG : Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pentadbirannya yang didakwa tidak bersih.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak puas hati kerana di bawah pentadbiran Najib, duit negara hilang dan hutang luar negara pula meningkat.

“Agenda kerajaan kena bayar hutang. Kalau bayar hutang saya tidak ada masalah. Menjadi masalah sekarang ialah duit (negara) hilang.

“Kalau satu juta, dua juta takpelah, ni sampai 14 juta, 20 juta hilang. Tidak tahu ke mana perginya. Ini persoalannya. Saya tak puas hati pasal duit hilang…duit kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan Perdana di German-Malaysia Institute pada Rabu.

Dr ‎Mahathir berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Najib yang menyatakan beliau tidak akan berganjak walaupun ‘diserang’.

Najib ketika berucap ketika melancarkan laporan Program Transformasi 2014 berkata, beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik.

Cubaan Syarikat Jho Low Beli Hotel di London Bernilai Lebih 900 Juta Pound Sterling Dapat Sokongan 1MDB?




Cubaan Syarikat Jho Low Beli Hotel di London Bernilai Lebih 900 Juta Pound Sterling Dapat Sokongan 1MDB? : Jikalau disemak pada laporan Berita Astro Awani yang bertarikh 16 Mac 2015, laporan berita Astro Awani menyatakan yang mana Perdana Menteri kita sama sekali menyangkal dakwaan liar yang mengatakan figura yang cukup popular dengan skandal 1MDB ini, Jho Low sama sekali tiada kaitan dengan 1MDB pada ketika Datuk Seri Najib menjawab soalan di Dewan Rakyat.

jho low 1mdb

 

Cubaan Syarikat Jho Low Beli Hotel di London Bernilai Lebih 900 Juta Pound Sterling Dapat Sokongan 1MDB?

Persoalannya di manakah kebenarannya? Semakan Berita Semasa terhadap transkrip yang keluar dari Mahkamah di Britain menunjukkan secara jelas di sini struktur kertas penghakiman kes Patrick McKKillen v Misland(Cyprus) Investments Ltd dan 10 yang lain di London seperti lampiran yang telah Berita Semasa kongsikan di bahagian atas.

Ia menunjukkan Jho Low ada “hubungan” dengan 1MDB mellaui syarikat Wynton dan tawaran yang dibuat Jho Low mendapat sokongan dari kerajaan 1MDB dan kerajaan Malaysia untuk beli 3 buah hotel di London dengan nilai lebih 900 juta pound sterling.

BACA SINI BERKAITAN : Soal Jawab Najib Razak di TV3 Isu Semasa Terkini di Malaysia 1MDB, BR1M, Altantuya. Berpuas Hati Jawapan Najib?

Tetapi dalam pada masa yang sama Najib Razak mengatakan JHo Low tiada kaitan dengan 1MDB?
P/S : Ingat lagi sejarah Nero bermain biola semasa Rom terbakar? Ataupun Marie Antaoinette yang gila kemewahan dicincang oleh rakyat Perancis? King Louis XVI? Berhati-hati.

P/S : Mengapa Datuk Seri Najib tidak menggunakan peluang ketika siaran rakaman penjelasan isu semasa di malaysia yang berbangkit untuk menyentuh dan memberikan penjelasan melibatkan isu ini? Rakyat tidak berminat mahu tahu anda bersumpah atau tidak, jambatan bengkok atau tidak.


Ahmad Maslan VS Tun Mahathir Mohamad ISU GST Malaysia 6% : Chedet Gesa Batal Segera GST. Bebankan Rakyat!




Ahmad Maslan VS Tun Mahathir Mohamad ISU GST Malaysia 6% : Chedet Gesa Batal Segera GST. Bebankan Rakyat! : Jurucakap NO.1 GST Malaysia, Ahmad Maslan yang sekarang ini cukup sibuk dengan aktiviti penerangannya ke seluruh Malaysia terhadap, keindahan, kebaikan, kecekapan dan segala macam yang baik-baik tentang pelaksanaan GST Malaysia yang dibuat sekarang ini menemplak mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir yang mencadangkan supaya batal GST Malaysia dihentikan pada masa sekarang ini.

batal gst

Ini kerana Ahmad Maslan merasakan Tun Dr Mahathir masih lagi kabur dan tidak faham pelaksanaan GST Malaysia ini.

 

Ahmad Maslan VS Tun Mahathir Mohamad ISU GST Malaysia 6% : Mahathir Tidak Faham?

“Jelas peratus GST merupakan cukai yang lebih rendah daripada SST sebelum ini. Bagaimana boleh dia (Dr Mahathir) kata lebih baik jika kerajaan batal GST?,”
Hebat. Kepada Ahmad Maslan, Berita Semasa ada persoalan seperti di bawah ini :
  • kenapa reload sekarang sudah naik harga?
  • kenapa dahulu bil internet dan segala benda naik harga?
  • padahal dahulu SST 10% harga reload RM10 bil RM199
  • GST datang reload jadi RM10.60 bil internet jadi RM210.9?
Di manakah penjimatan dan harga rendah yang dicanang oleh anda, wahai Ahmad Maslan? Yang rakyat paham sekarang, mereka bayar lebih?

P/S : Jikalau dahulu, kejatuhan empayar Melaka berpunca antaranya lain disebabkan sikap “tin kosong“, pembodek dan pengampu seperti Raja Mendeliar dan si Kitul. Rakyat Malaysia tidak sanggup menerima jelamaan Raja Mendeliar dan si Kitul buat kali kedua.

PP/S : Seorang pemimpin tidak boleh guna teori dalam buku semata tanpa perhatikan realiti pelaksanaan di lapangan bagaimana.


SPR: Banduan memang tak layak mengundi

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kekal dengan pendiriannya menganggap banduan hilang kelayakan mengundi walaupun PKR mendakwa agensi itu tersilap mentafsir perlembagaan persekutuan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu Malaysiakini, mereka tidak akan mengubah keputusan berkenaan.

Malaysiakini pada Ahad lalu melaporkan, SPR menganggap seseorang banduan tidak layak mengundi berdasarkan Artikel 119 (3) (a) perlembagaan.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran (gambar) mendakwa, SPR tersilap dalam pentafsirannya dan menuntut Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara di Sungai Buloh dibenarkan mengundi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 7 Mei ini.

PKR: Pagoh lebih mundur dari Permatang Pauh

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya menjaga dan menumpukan isu pembangunan di kawasannya berbanding di Permatang Pauh.

Saifuddin mendakwa, kawasan Muhyiddin di parlimen Pagoh lebih mundur dari segi pembangunan dan infrastruktur berbanding di Permatang Pauh.

"Muhyiddin semalam menyentuh tentang pembangunan di Permatang Pauh.

"Jika dibandingkan dengan di Pagoh, di Permatang Pauh, pembangunannya lebih baik dari Pagoh dari segi prasarana, peluang pekerjaan dan pembangunan," katanya pada sidang media harian di Pusat Media PKR Permatang Pauh.

Semalam, Muhyiddin melahirkan kebimbangan sekiranya calon pilihan raya kecil Permatang Pauh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat menjaga dan memajukan kawasan itu. 
 
 

Pemuda PAS PP tarik balik boikot PRK

MALYSIAKINI



Pemuda PAS Pulau Pinang telah mengubah pendiriannya dan hari ini mengumumkan untuk membantu jentera Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. 

Ketua Pemudanya Mohd Yusni Mat Piah berkata, keputusan itu diambil selepas mesyuarat Pemuda PAS Pulau Pinang bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Khairil Nizam Khirudin, malam tadi. 
"Kami sebulat suara untuk akur arahan PAS Pusat untuk bantu gerak kerja PRK Permatang Pauh. 
"Kami juga tetap dengan pendirian kami supaya AMK menarik balik kenyataan melampau terhadap presiden PAS," kata Mohd Yusni (kanan) dalam sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang di Kepala Batas pagi ini.

Turut hadir dalam sidang media itu Khalil dan Khairil.

Pemuda PAS Pulau Pinang sebelum ini bertegas tidak membantu gerak kerja Pakatan di Permatang Pauh setelah AMK negeri masih tidak memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan melampau kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

AMK Pulau Pinang sehingga hari ini masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada untuk menarik balik kenyataan tersebut atau membuat permohonan maaf.

Pemuda PAS akur Majlis Syura

Selain itu, Yusni berkata tindakan pihaknya membantu jentera Pakatan pada PRK ini tidak bermakna mereka akur dengan kenyataan AMK itu.

"Walaupun AMK belum menarik balik kenyataan dan memohon maaf, Pemuda PAS akan tetap membantu jentera pilihan raya Permatang Pauh atas dasar mempertahankan kerusi itu," katanya.

Malah, Yusni berkata, pihaknya juga hanya akur pada Majlis Syura Ulama apabila sebelum ini yang menetapkan bahawa PAS masih lagi kekal di dalam Pakatan.

"Kami tetap dengan pendirian sebelum ini tetapi pada masa sama tetap nak pertahankan kerusi Permatang Pauh. Tidak mahu kerusi terlepas daripada Pakatan.

"PAS ada Majlis Syura Ulama yang tetapkan parti ini masih dalam Pakatan, jadi akhirnya kami akur," tegasnya lagi.

Selain itu, Yusni juga berkata, beliau turut bersedia untuk memberi kerjasama dengan Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya dikenakan tindakan tatatertib.

"Saya bersedia dan tahu prosudernya. Kalau ada laporan untuk diambil tindakan, saya bersedia kalau diminta.

"Saya atau (Pemuda PAS) Pulau Pinang bersedia untuk bekerjasama dengan Lembaga Tatatertib," katanya lagi.


Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli berkata, beliau berterima kasih kepada Pemuda PAS negeri kerana memeriahkan lagi kempen Pakatan.

"Tidak timbul soal sama ada mereka (Pemuda PAS Pulau Pinang) akan dikenalan tindakan tatatertib kerana perkara itu telah diselesaikan.

"Pemuda PAS Pulau Pinang ambil keputusan untuk sertai (kempen) dengan sepenuh hati dan bekerja kuat," katanya.

Ella: Masyarakat belum sedia dengan GST

MALAYSIAKINI


 


Ratu Rock Ella mengakui masyarakat belum bersedia dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan bermula awal bulan ini.

“GST ini mungkin ada kebaikan, tetapi kita ini diberi masa (bersedia) yang tidak cukup.

“Maknanya kita kena warm up dulu sampai masyarakat faham, kemudian baru lancarkan,” katanya kepada Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam.

Tambahnya, pelaksanaan cukai itu, yang masuk hari ke-29 hari ini, seperti dibuat secara tiba-tiba.

“Tidak cukup masa, macam tiba-tiba,” kata Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin.

Ella bukan selebriti pertama tampil menyuarakan perasaan tidak selesa itu.

Sebelum ini, pelakon, model dan pengacara Rozita Che Wan (kiri) juga telah menyatakan kebenciannya terhadap pelaksanaan GST secara terbuka.

Lebih mesra dengan panggilan Che Ta, beliau menyatakan bantahan halus itu melalui penggunaan hashtag #bencigst di Instragram ketika menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir, bekas perdana menteri keempat sebelum ini mengeluh “keseorangan” mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lagu baru, rahsia kecantikan

Sementara itu Ella juga akan kembali mewarnai kariernya dengan pelancaran single terbaru berjudul “Istimewa” dan “Sujud” esok.

Album penuh akan dilancarkan Jun ini dan penggambaran klip video akan dibuat di kota London.

Ditanya mengenai keistimewaan lagu baru itu, Ella menjelaskannya sebagai “lagu berunsurkan ketuhanan dalam versi Ella’”.

Ella juga kini cuba menceburi bidang perniagaan dengan produk kecantikan berasaskan rahsia turun temurun keluarganya.

Dinamakan “Lameya”, produk itu mengandungi bahan berkhasiat seperti minyak ikan kod, habbatus sauda dan buah zaitun.

“Lameya bermaksud bijaksana, cantik dan berseri. Ia makanan Sunah. Ella dah pakai produk ni bertahun sejak dari mak lagi,” katanya


Dr M: RM3 juta untuk bunga kenduri, Rosmah?

MALAYSIAKINI


 


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan beliau menyerang isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam salah satu tulisan dalam blognya.

Menurut bekas perdana itu, apa yang dibangkitkannya dalam tulisan itu hanya mengenai gaya hidup Datin Seri Rosmah Mansor yang kelihatan "mewah."

"Ada khabar angin mengatakan beliau (Rosmah) membelanjakan RM3 juta hanya untuk hiasan bunga-buangan (ketika majlis perkahwinan anaknya).

"Isunya ialah, orang bercerita. Ia mungkin salah atau betul. Saya tak pasti kalau ia benar, tetapi saya fikir ada yang fakta. Itu jadi masalah."

Dr Mahathir juga menambah, pendapatan sebagai seorang perdana menteri tidaklah tinggi.

Ketika menjawat tugas itu, katanya, beliau menerima pendapatan RM20,000 dan ia mencukup untuk dirinya dan keluarga beliau.


'Belajar dulu sebelum kata saya bodoh'

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menafikan laporan yang mendakwa beliau menerima arahan supaya tidak bercakap mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompin.

Beliau menafikan laporan berita AstroAwani hari ini yang memetik sumber mengatakan Ahmad diberi amaran supaya tidak bercakap soal GST.

Laporan itu juga menyebut, amaran diberi kerana pihak pembangkang sering memanipulasikan isu pelaksanaan GST.

Sehubungan itu, mengulas perkara tersebut, Ahmad berkata, pihak pembangkang sering memainkan isu GST adalah kerana mereka takutkannya.

"Tidak ada seorang pucuk pimpinan yang memaklumkan saya tentang itu.

"Memang tiada terima sebarang amaran dari pucuk pimpinan Umno.

"(Pembangkang mainkan isu GST) kerana mereka takut pada saya," kata Ahmad sambil ketawa semasa mengadakan sidang media di Pusat Media PRK Permatang Pauh hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan ahli akademik Datuk Dr Agus Yusof yang mengkritik ahli parlimen Pontian itu, Ahmad meminta supaya mereka belajar lebih lanjut mengenai GST sebelum memanggilnya "bodoh".

Katanya, selain dua tokoh akademik itu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu diberitahu tentang perkara sebenar mengenai cukai GST.

"Saya berharap agar penasihat-penasihat Mahathir dan juga pelapor-pelapor kepada Tun Mahathir tolong ceritakan tentang GST yang sebenar kepada beliau.

“Kalau Tun Dr Mahathir, Dr Asri (kanan) dan Dr Agus tahu tentang GST ini menurunkan cukai rakyat, saya kira mereka setuju dengan GST.

"Oleh kerana itu saya ingin mengesyorkan Dr Agus dan Dr Asri belajar lebih lanjut tentang GST sebelum nak kata saya bodoh dan sebagainya.

“Saya juga syorkan Tun Mahathir diceritakan yang benar jangan tidak benar, kesian orang tua tu," kata Ahmad lagi.

Sabtu lalu, Ahmad menyifatkan bekas pemimpin negara itu masih belum memahami sepenuhnya tentang GST.

Ia mengundang rasa kurang senang Mohd Asri dan Agus apabila masing-masing mengkritik kenyataan Ahmad itu di Facebook mereka.

Perkara itu berbangkit apabila bekas perdana menteri menggesa supaya dibatalkan GST dan mengatakan pegawai yang mengedalikan perkara tersebut tidak faham tentang pelaksanaan cukai itu. 


SKMM: Youtube sekat video Alvin Tan

SINAR HARIAN


Alvin dikecam, biadab hina Azan Sedutan video yang dimuatnaik oleh Alvin Tan.
 
 
 
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta YouTube dan Facebook untuk mengeluarkan video menghina azan oleh Alvin Tan pada 21 April 2015.

Katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama, berdasarkan pemantauan SKMM menunjukkan bahawa video berkenaan telah dimuat naik beberapa kali di YouTube.

Oleh yang demikian katanya, pihak YouTube semalam telah menyekat video berkenaan untuk penonton di Malaysia, dan SKMM masih berhubung dengan Facebook untuk mengeluarkannya.

SKMM menegaskan pihaknya sedang memantau penyebaran video tersebut dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan dalam media  sosial mahupun dalam aplikasi pesanan kerana ia melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“SKMM menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terkesan dengan kelakuan yang tidak bermoral dan boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara,” katanya. - Bernama


Tun M kritik Najib kerana duit kerajaan hilang


Mahathir Mohamad Mahathir Mohamad
KAJANG - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tiada masalah dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang asalkan pentadbiran Najib 'bersih' daripada hutang.

Beliau berkata, serangannya dan kritikannya ke atas pentadbiran Najib, adalah disebabkan duit negara sering hilang dan hutang semakin meningkat.

‎"Kerajaan kalau bayar hutang  saya tiada masalah, yang jadi masalah sekarang ini duit hilang kalau satu, dua juta tak apalah, ini sampai 14 juta, 20 juta hilang tidak tahu ke mana pergi.

"Ini persoalannya, saya tidak puas hati pasal duit kerajaan hilang," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan syarahan perdana di Jerman Institut, Kajang hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tidak akan tunduk dengan kritikan‎]

‎Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Najib semalam yang mengatakan bahawa beliau tidak akan berganjak walaupun 'diserang'

Najib semalam dipetik berkata, biar dirinya diasak dan dikritik, tetapi sebagai kerajaan yang telus beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah malah akan terus istiqamah berjuang demi negara.

Kenyataan Dr Mahathir tersebut merujuk kepada hutang 1MDB, yang sehingga kini belum dilunaskan keseluruhan hutangnya.


BN, PKR janjikan saingan sengit


BN, PKR janjikan saingan sengit Kempen anti GST menjadi fokus PR dalam PRK Permatang Pauh dan kempen balas mengenai GST oleh BN.
 
 
 
PERMATANG PAUH - Atas kertas undi ada nama empat calon yang menawarkan diri dalam PRK Permatang Pauh tetapi saingan sengit dilihat lebih menjurus kepada BN dengan PKR.

PKR menampilkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - nama yang sudah dikenali dalam persada politik tanah air dengan menerajui parti itu sejak ditubuhkan pada 1999.

Sebut sahaja Kak Wan, semua orang kenal dan tahu siapa dirinya. Mewakili Permatang Pauh hampir tiga penggal di Parlimen dan menggalas tugas ketua pembangkang sebelum ini.

Setiausaha Umno Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin pula menjadi taruhan BN dalam saingan kali ini sebagai memenuhi cita rasa anak muda yang memerlukan lebih banyak suara mereka didengari oleh kerajaan.

Anak tempatan dari Guar Jering ini memikul amanah besar jika terpilih sebagai YB kelak kerana diberi tanggungjawab membangunkan semula kawasan itu dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan projek pembangunan.

Calon Bebas, Salleh Isahak, anak tempatan dan lebih memberi fokus kepada aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan ke arah melahirkan insan berilmu, berakhlak dan beriman.

Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman juga anak tempatan tetapi masih belum tampil di hadapan orang ramai atau turun padang berkempen.
Personaliti ini kurang dikenali penduduk tempatan walaupun dikatakan dibesarkan di Permatang Pauh.

Timbul sedikit kontroversi apabila penampilan calon ini yang tidak disokong oleh PRM negeri di mana mereka menyuarakan sokongan kepada calon dari  PKR.

Lebih 72 jam kempen berjalan, belum nampak siapa yang akan menjadi 'juara' dalam perebutan kali ini kerana masing-masing masih mempunyai kira-kira 208 jam lagi untuk bertarung dalam kempen dan terus merayu undi dari lebih 70,000 pengundi berdaftar.

Dilihat kepada gerak kerja jentera pilihan raya parti, kemampuan BN dan PKR nampak seimbang setakat ini walaupun kehadiran orang ramai belum boleh menjadi ukuran sebenar calon yang menjadi pilihan mereka.

Dari segi ceramah, banyak isu yang dibangkitkan pemimpin PR agak panas berbanding BN. Mungkin lebih mudah bercakap dari mencari kesalahan parti lawan berbanding cadangan bernas untuk menyelesaikannya.

Kadang-kadang bila banyak bercakap, akan nampak kelemahan sendiri. Contoh dalam isu GST yang menjadi fokus utama PR dalam kempen apabila menyalahkan kerajaan melaksanakan cukai itu hingga membebankan rakyat.

Pelbagai makna diberi kepada GST - gasak sampai tersungkur, gosok sampai terlena, godam sehingga terbeliak - semata-mata untuk menunjukkan rasa geram terhadap langkah terbaharu kerajaan meningkatkan hasil pendapatan.

Tetapi PKR lupa, pemimpin mereka pernah menyebut mengenai kebaikan GST dan akan melakukan perkara yang sama jika berjaya mengambil alih Putrajaya.
Calon kitar semula sering kedengaran apabila berlaku PRK atau pilihan raya umum.

Yang menjadi sasaran ialah BN kerana masih menampilkan calon lama atau veteran dengan alasan masih dikehendaki rakyat atau calon boleh memang.

Inilah modal dan kempen PR dengan menyatakan BN ketandusan pemimpin berbanding pakatan pembangkang memberi peluang kepada golongan pelapis  bertanding dalam pilihan raya.

Tetapi kali ini, tempias itu kembali kepada PKR yang dianggap mengemukakan calon kitar semula apabila menampilkan calon lama yang sudah meletak jawatan sebelum ini dengan alasan tersendiri.

Sebaliknya BN kali ini memberi peluang kepada muka baharu dan yang masih muda untuk menjadi wakil di Permatang Pauh dengan harapan mampu membawa suara anak muda yang penuh dengan idea dan inovasi kreatif bagi membangunkan kawasan ini yang agak ketinggalan dari arus pembangunan semasa.

Kini, terserah kepada kebijaksanaan jentera pilihan raya parti masing-masing merayu pengundi memilih calon mereka kerana persaingan masih terbuka dengan isu yang agak setara antara BN dan PKR.


KPDNKK: ‎Lepas GST ada barang turun harga


Alias Ahmad Datuk Seri Alias Ahmad
 
 
 
PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesahkan beberapa barangan mengalami penurunan harga di seluruh negara selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Setiausahanya,‎ Datuk Seri Alias Ahmad berkata, ‎ hasil analisa terhadap harga barangan bagi April berbanding Mac lalu, 99 barang telah mengalami penurunan harga di Semenanjung dan 145 di Sabah serta 102 di Sarawak.

"Ini bukti bahawa selepas pelaksanaan GST, tidak semua barang naik harga. Sebab barang-barang ini dikecualikan GST yang tidak boleh dikenakan 6 peratus.

"Peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga. Sebab itu kita minta pengguna lapor kepada kita," katanya pada sidang media di KPDNKK, hari ini.

Melalui senarai barangan harga turun hasil analisa harga bulan April berbanding Mac di Semenanjung, 99 barangan tersebut mengalami penurunan antara satu sen sehingga RM7.80.

Antaranya, udang putih besar import, ikan bawal putih import, tomato, Dumex Dupro Langkah 2, bawang besar Import China, telur ayam, ayam bersih Super, minyak sawit campur Cap Pisau dan teh boh sebuk.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan ada barangan dalam kategori sama yang mengalami kenaikan susulan punca yang tidak dapat dielakkan.

"Harga barang yang naik itu ada memang tak dapat dielakkan. Macam kobis bunga, kacang bendi...Sebab cuaca, kadar mata wang," katanya.

Melalui pembentangan pegawai KPDNKK dalam sidang media sama, beberapa faktor lain turut memainkan peranan dalam kenaikan harga barangan tersebut iaitu kondisi bekalan yang diterima.

“Kebanyakan barangan basah tidak dikenakan GST dan komoditi barangan basah sensitif terhadap sebarang perubahan ekonomi dan cuaca,” katanya.

Ketika ditanya mengenai senarai barangan yang mengalami kenaikan harga, beliau memberitahu pihaknya akan mengemukakan senarai barangan naik kelak.


Tuesday, April 28, 2015

PAS Pelawa Tun M Kongsi Pentas Ceramah Kempen PRK Rompin

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM


 

Dr Mahathir turun padang buat pertama kalinya menerusi program Bicara Negarawan baru-baru ini.
 
 
 
Dikemaskini  TANJUNG GEMOK: Selepas hasrat untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan tidak kesampaian, PAS cuba mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk 'berkongsi pentas ceramah' dengan parti itu di Rompin.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pelawaan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri itu 'turun padang' baru-baru ini untuk membicarakan isu-isu semasa berkaitan kepincangan pentadbiran kerajaan sedia ada.

"Beliau buat 'jelajah' satu negara untuk jumpa rakyat bagi menjelaskan bagaimana Perdana Menteri gagal memimpin negara dengan baik.

"Jadi saya sebagai Naib Presiden PAS mempelawa Tun Mahathir bersama-sama kami dalam PRK Rompin ini. Kalau beliau mahu berkongsi pentas silakan," katanya.



Beliau berkata demikian semasa ceramah PAS di Kampung Piangu di sini yang dihadiri kira-kira 50 orang, malam Isnin.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyampaikan ucapan mengenai isu dan persoalan berbangkit berhubung pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Program Bicara Negarawan anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah program turun padang pertamanya untuk berbicara secara langsung mengenai isu-isu semasa yang mana sebelum ini kebanyakan persoalan mengenai kepimpinan Perdana Menteri disentuhnya menerusi tulisan di laman blognya atau sidang akhbar.


Kehadiran Dr Mahathir pada program Bicara Negarawan mendapat sambutan ramai.

Menurut Salahuddin, Dr Mahathir adalah seorang tokoh politik yang  dihormati, justeru kehadirannya akan membuka mata rakyat mengenai situasi yang melanda negara pada hari ini.

Pada ceramah itu, PAS turut mempersoalkan mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibicarakan tanpa mendedahkan motif sebenar pembunuhan tersebut.

Malah, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Felda dan kehadiran kebanyakan pemimpin Umno ke Rompin membantu calon antara senjata yang digunakan PAS untuk menyerang BN pada PRK kali ini.

Pada masa sama, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengalu-alukan bekas Perdana Menteri itu untuk berkongsi pentas dengan PAS bagi membicarakan isu-isu semasa yang melanda negara pada hari ini.

"Jika Tun M melihat ia satu tuntutan dan keperluan, maka saya setuju beliau turun ke Rompin bagi menjelaskan dan membuktikan bahawa beliau bukan keseorangan.

"PAS sanggup sediakan pentas bagi beliau dan ini bukan perkara baru kerana Tun M pernah berkongsi pentas dengan PAS suatu ketika dulu," katanya.

'Hasan, usah ambil hati ejekan calon kitar semula'

MALAYSIAKINI


 


Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin tidak harus mengambil hati dengan ejekan pembangkang mengenai calon kitar semula.
  
Sebagai seorang yang pernah digelar sebagai calon kitar semula oleh pembangkang pada PRK Parlimen Teluk Intan, April tahun lepas, Mah berkata apa yang penting ialah kesediaan berkhidmat kepada masyarakat terutama demi kebaikan masyarakat.
  
"Dulu mereka (pembangkang) kata saya calon kitar semula, tetapi itu bukan menjadi masalah kerana walaupun saya sudah tua, tapi saya masih ada tenaga dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat. Dan akhirnya saya menang," kata beliau.
  
Mah ditanya oleh pemberita mengenai pengalamannya digelar sebagai calon kitar semula selepas menghadiri majlis dialog dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Daerah Rompin di Rompin semalam.
      
Walaupun dicemuh oleh pembangkang, Mah yang ketika itu berusia 53 tahun berupaya menewaskan peguam muda Dyana Sofya Mohd Daud, 27, dan merampas kembali kerusi itu dari DAP, yang ditawan DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata umur calon bukan menjadi isu besar tetapi apa yang lebih penting ialah "hati dan semangat calon masih bertenaga."
   
Hasan, 62, bekas ADUN Tioman dan Bukit Ibam, menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad, 40, dalam pilihan raya kecil pada 5 Mei ini.
  
Mah yakin bahawa BN akan memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya kecil itu jika semua parti komponen bekerjasama bagi memastikan kemenangan dan juga yakin Hasan akan meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina di kawasan itu.
  
Mengenai kempen Gerakan di sini, Mah berkata sayap pemudanya telah menjalankan kempen secara agresif untuk memancing undi pengundi muda daripada kaum Cina melalui media sosial dan kempen secara bersemuka.
  
PRK Rompin diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas
  
Parlimen Rompin mempunyai 1,352 pengundi kaum Cina yang meliputi tiga peratus daripada 53,294 pengundi di kawasan Parlimen itu.-Bernama


 

Pengerusi BERSIH ditahan polis

MALAYSIAKINI


 


Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan pegawainya Mandeep Singh hari ini ditahan polis susulan perhimpunan Kita Lawan pada 28 Mac lalu.

Maria ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan beliau ditahan polis.

Peguam Honey Tan di Twitter menyebut Maria ditahan bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.

Penangkapan Mandeep pula disahkan oleh Kita Lawan melalui kenyataan sebentar tadi.

“Dua-dua pun kena tangkap. Sekarang (sebentar tadi) Mandeep bagi kenyataan.

“Saya dah bagi kenyataan. Lepas itu saya fikir mereka akan beri jaminan,” katanya.

Maria pada mulanya datang untuk merakamkan kenyataannya dengan ditemani oleh Mandeep.

Bagaimanapun sejurus selepas itu polis menangkap Mandeep dan mengambil kenyataannya.

Sementara itu sekretariat Kita Lawan dalam satu kenyataan mengecam penangkapan tersebut.

Menurut kenyataan itu, tangkapan berkenaan adalah usaha menakut-nakutkan orang ramai menjelang perhimpunan Jumaat ini.

Namun, kata Kita Lawan, sebaliknya langkah itu diyakini hanya akan menaikkan semangat orang ramai meneruskan hak berhimpun secara aman.

“Rakyat berhak berhimpun untuk melawan GST (cukai barangan dan perkhidmatan)," kenyataan itu dipetik.

Sementara itu Mandeep dan Maria telah dibebaskan selepas memberi kenyataan selama lebih dua jam mulai 11 pagi hari ini. 


DAP: Bagaimana jika penganjur saman MPSJ?

MALAYSIAKINI


 


MP Serdang Ong Kian Ming berkata, Majlis Perbandaran Subang Jaya kini mungkin disaman kerana membatalkan konsert Thirst 2015 ekoran bantahan seorang ADUN kawasannya.

Dalam surat terbukanya kepada ADUN Sri Serdang, Noor Hanim Ismail, Ong membangkitkan bahawa bantahan wakil rakyat tersebut menyebab polis menarik balik sokongan pada konsert berkenaan.

Sedangkan, kawasan yang diwakili Noor Hanim tidak meliputi kawasan tempat konsert itu berlangsung, katanya.

Katanya, aduan Noor Hanim itu menimbulkan masalah kerana ia berdasarkan maklumat salah dan kejahilan ADUN PAS itu.

Sedangkan, MPSJ sudahpun mengambil langkah tertentu untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Oleh itu ada kemungkinan bahawa penganjur terlibat mungkin mengambil tindakan undang-undang ke atas MPSJ kerana menarik balik permit hiburan pada saat akhir.

"Jika MPSJ terpaksa membayar gantirugi kepada mereka disebabkan keputusan mahkamah, ia akan membazirkan dana awam yang sepatutnya digunakan kepada pembayar cukai MPSJ,” katanya.

Menurut sumber industri, kira-kira RM5 juta dibelanjakan untuk acara tersebut.

Ong berkata, MPSJ menguatkuasa 26 peraturan ketat ke atas penganjur, yang menghalang individu bawah umur dan orang Islam daripada menghadirinya.


Najib 'ghaib' di Permatang Pauh?

MALYSIAKINI


 


Walaupun bahang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh semakin terasa, PKR mendapati ada sesuatu yang 'hilang'  dari kawasan itu - poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlime Bayan Baru, Sim Tze Tzin hari ini berkata tidak seperti kempen pilihan raya kecil lain ketiadaan poster memaparkan wajah Najib di Permatang Pauh sangat dirasai.

Kali ini, kata Sim, kebanyakan poster yang dinaikkan hanya memaparkan gambar calon BN, Suhaimi Sabudin tanpa dihiasi wajah Najib.

Sim turut mempertikaian sama ada perkembangan itu ada kaitan dengan kritikan keras bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Najib berhubung dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Ini menunjukkan Umno membawa bersama krisis politik dalamannya ke Permatang Pauh," katanya di Penanti.

Bos CIMB: 1MDB patut tangani kebimbangan

MALAYSIAKINI


 


Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menggesa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendedahkan segala maklumat yang perlu untuk meredakan kebimbangan mengenai firma pelaburan tersebut.

"Saya tiada penyelasaian kepadanya, tetapi saya fikir, kita mungkin sepatutnya tahu – dedahkan apa yang patut untuk membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar demi meredakan kebimbangan mereka.

"Saya hanya katakan apa yang nyata, semua orang bimbang mengenainya, jadi anda mesti redakan kebimbangan.

“Biar tiada lagi kebimbangan, itu sahaja,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang juga adik kepada perdana menteri diminta memberikan pendapat untuk menyelesaikan isu 1MDB susulan kritikannya ke atas firma itu, Khamis lalu.

Firma berkenaan tidak muncul di satu forum pelaburan utama, yang sepatutnya boleh menjadi medan untuk menangani isu melibatkan syarikat dicetuskan perdana menteri itu.

Tambahnya, rakyat akan membayangkan senario paling buruk jika tidak diberikan maklumat mengenai perkara itu.

Nazir bagaimanapun setuju dengan pandangan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa 1MBD bukanlah satu “risiko sistemik”.

Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa isu berkenaan perlu dijelaskan.

Tambahnya lagi, kebimbangan itu akan menjejaskan sentimen pelaburan, pasaran saham dan nilai ringgit.



Beliau menggesa demikian ekoran keengganan 1MDB untuk menjawab laporan yang mendakwa, jutawan Jho Low mengaut dana syarikat tersebut.

1MDB memberi alasan, firma itu tidak boleh mengulas mengenai spekulasi dan khabar angin di pasaran.


Kini berhijab, Hanez minta doakan yang baik-baik


Hanez Suraya Gambar yang dikongsi Hanez di laman Instagram miliknya.
 
 
 
PELAKON cantik Hanez Suraya mengesahkan dirinya kini sudahpun berhijab sepenuhnya menerusi laman sosial miliknya.

Hanez yang baharu sahaja melangsungkan pernikahan bulan lalu memuatnaik gambarnya mengenakan tudung beserta kapsyen "Semoga penghijrahan saya ini berkekalan.. Amin".

Dia yang dipetik sebuah akhbar tempatan berkata, niatnya untuk berhijab sudah tersimpan di dalam hati ketika menunaikan umrah bersama suaminya, Romie Razin Adilha, baru-baru ini.

 “Memang sejak ke sana, hati saya kuat untuk bertudung. Apatah lagi di sana, semua wanita Islam bertudung. Lalu semangat nak bertudung itu jadi semakin membuak-buak.

“Sama ada saya terus bertudung atau tidak, doakan yang baik sahaja. Saya harap ia dipermudahkan. Saya bimbang timbul rasa riak. Biar saya perlahan-perlahan mengikut ‘rentak’ baharu ini. Malahan kalau keluar rumah sekarang pun saya sudah bertudung," Hanez dipetik sebagai berkata.

Selepas episod cintanya dengan Romie dihujani kontroversi, pasangan ini akhirnya selamat diijabkabulkan pada 14 Mac di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.


Wanita buka pakaian di tempat awam didakwa


Wanita buka pakaian di tempat awam didakwa Aksi wanita yang dirakam membuka pakaian di khalayak ramai.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Seorang model sambilan yang dirakam video kerana membuka pakaian di Petaling Street minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebentar tadi atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

Tertuduh, Persana Avril Sollunda, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Zura Shazween Hamzan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buka baju dituduh tak bayar minuman]

Sebelum ini, sebuah video yang memaparkan seorang wanita menanggalkan bajunya selepas dituduh tidak membayar minuman yang dibelinya menjadi viral di laman-laman sosial.

Video yang berdurasi 1.52 minit dipercayai berlaku di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Video tersebut menyaksikan wanita berkenaan marah kerana dituduh tidak membayar minuman yang dibelinya dan kemudian bertindak membuka baju sebelum menanggalkan baju dalamnya.

Kerana malu dengan tindakan wanita berkenaan, peniaga terbabit dilihat membiarkan wanita tersebut dengan perlakuannya.

Pada mulanya wanita dalam video dikatakan pelancong asing tetapi identiti sebagai warga tempatan terbukti apabila dia bertutur menggunakan Bahasa Melayu.