Oleh Mohd Rani Mohamad
Paling utama, PH perlu bersedia menghadapi kekalahan
kerana kekenduran isu Anwar yang diganti dengan cara berpolitik Dr
Mahathir.
Mengatakan Pakatan Harapan (PH) akan menang hanya satu kempen. Kalau
PH kalah dikatakan penipuan. Semua ini adalah alasan PH dan sebenarnya
PH sendiri ragu-ragu mampu menempuh pilihan raya umum ke-14 (PRU14)
dengan berjaya.
Kalau ada yang menyatakan sebab-sebab PH akan menang, ini merupakan
percanggahan pendapat kerana PH sepatutnya bersedia menghadapi
kekalahan.
Sebelum mengulas pendapat kecil ini, kita perlu sedar kehadiran orang
ramai di ceramah-ceramah hanya memberi kesan kecil kepada pertambahan
undi.
Kadang-kadang kita melihat PH seakan-akan berjaya mendahului dalam
kempen mereka, berjaya memburukkan kepimpinan Barisan Nasional (BN)
dengan kekuatan mereka di media sosial, malah media antarabangsa,
tuduhan korupsi dan salah guna kuasa oleh Datuk Seri Najib Razak
dijadikan punca kekalahan BN dan kemenangan PH.
Namun, bagi mereka yang seakan-akan sudah mahu meraikan kemenangan PH
harus sedar semua isu itu, sekiranya tidak dapat diterjemahkan kepada
undi, maka kekalahan pasti menanti. Apapun, PH perlu bersedia tewas pada
PRU14.
Tsunami Melayu diharapkan tsunami yang melanda PKR
Harapan PH jelas tertumpu kepada tsunami Melayu. Mereka membawa masuk
Tun Dr Mahathir Mohamad juga untuk mendapatkan sokongan Melayu yang
dikatakan menjadi penghalang kejayaan merebut Putrajaya pada PRU13.
Namun, sebaliknya berlaku. Tsunami Melayu tidak akan berlaku.
Sebaliknya, PAS yang membawa ideologi Islam mempunyai ramai pengikut
beragama Islam dan Melayu adalah penghalang kepada tsunami Melayu.
Dengan laungan PAS untuk menentang PH, undi orang Melayu berbelah
bahagi dan pecahan ini tidak memungkinkan tsunami Melayu berlaku.
PAS pada PRU14 lebih cenderung membalas dendam terhadap PH, khususnya
kumpulan “Anwarisme” yang menubuhkan Amanah. Kehadiran Amanah sekali
lagi memberi ketetapan tsunami Melayu tidak akan berlaku.
Pergolakan dalaman
Di samping itu, pergolakan dalaman PKR semakin nyata. “Hanya ada kem
saya”, kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seakan-akan
mengakui pendapat bahawa pergolakan dalam PKR semakin ketara.
Kumpulan yang mahu menjatuhkan satu sama lain seakan-akan menggenggam
bara api, biar sampai jadi arang, sudah berkerat rotan mahu menjatuhkan
satu sama lain, biar pada waktu PRU sebegini.
Perbalahan pelantikan calon PKR sendiri sudah menyuluhkan kekalahan PH.
Dalam PPBM juga begitu, suara yang sebelum ini kuat, kini muncul
menentang PPBM. Parti yang masih longgar pentadbirannya, kedudukan
cawangan dan bahagian hanya akan menyulitkan PH, tetapi memberi banyak
harapan kepada BN.
Pertandingan 3 penjuru
PAS dengan terbuka mengumumkan calon mereka menentang PH dan BN.
Penyokong tegar PAS antara punca kemenangannya pada PRU13, tetapi hari
ini PAS terpisah dengan dendam besar kepada PH, khususnya PKR dan
Amanah.
Sudah semestinya mereka berkempen untuk menjatuhkan PH. Pastinya akan dihasut kepimpinan PAS untuk tidak mengundi PH.
Isu 1MDB
Isu ini sudah lusuh atau tidak difahami rakyat terbanyak menjadi sebab ia tidak memberi perubahan undi Melayu khususnya.
Baru-baru ini sahaja, “counter attack” dilancarkan menerusi contoh
siri penerangan 1MDB dalam Bicara Subang tanpa kehadiran kepimpinan
pembangkang untuk mempersoalkan apa yang dipertikaikan mereka secara
terbuka dan dijadikan senjata untuk menghentam Najib.
Ini semestinya akan dijadikan senjata kempen PRU14 oleh pembangkang.
DAP beri peluang kepada komunis Melayu
Sentimen ini adalah satu bentuk indoktrinasi yang diserap bertahun lamanya, khususnya sepanjang 22 tahun Dr Mahathir memerintah.
Tidak mudah mengasingkannya daripada pemikiran orang Melayu,
khususnya di luar bandar. Penolakan terhadap DAP ini pasti memberi kesan
kepada PH.
Kehadiran Dr Mahathir dengan kepimpinan DAP, khususnya Lim Kit Siang
pasti akan memberi gambaran bercelaru kepada pengundi. Mereka akan
keliru dan kekeliruan ini digunakan sebagai strategi kempen BN.
Dr Mahathir menggantikan Anwar
Paling utama, PH perlu bersedia menghadapi kekalahan kerana
kekenduran isu Anwar yang diganti dengan cara berpolitik Dr Mahathir.
Amat jelas, Dr Mahathir tidak pernah berjuang dalam kerangka tidak
mempunyai kuasa dan masih merasakan pengaruhnya bertambah, sedangkan ia
hakikat yang perlu diterima – hilang kuasa dan pengaruh.
Musuh PKR hari ini dijulang sedemikian rupa, tetapi memualkan pejuang
dan penyokong PKR. Hari ini berlaku demonstrasi membantah Dr Mahathir
bertanding atas tiket PKR untuk menunjukkan kemarahan penyokong,
khususnya dari gerakan Reformasi.
Bukan itu sahaja, Dr Mahathir adalah liabiliti dengan kesalahan yang
pernah dibuat sehingga digelar “Mahazalim” dan “Mahafiraun”. Pendedahan
kesalahan beliau menjadi bahan kempen BN. Ini memberi mereka lebih
banyak peluru untuk menyerang PH.
Bersedialah untuk kalah PH. Jangan pula menyalahkan kekalahan itu
kepada penipuan. Tuduhan penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kerap
dibuat, sungguhpun 52% undi popular menyebelahi pembangkang.
*Mohd Rani Mohamad ialah pembaca FMT.