Oleh Nomy Nozwir
Minggu
lalu, heboh ketua bagi segala ketua negara dalam dunia ini, Presiden
Amerika Syarikat (AS) Barack Obama datang ke negara ini buat kali kedua
sepanjang beliau menjadi presiden.
Ini sememangnya bersejarah kerana sebelum Obama, satu-satunya presiden
AS yang pernah datang ke Malaysia ialah Presiden Lyndon Johnson pada
zaman Perang Dingin, dan itu pun sekali.
Dan sejak
Amerika menjadi kuasa dunia sejak Perang Dunia Kedua, jika seorang
presiden AS datang ke sesebuah negara, negara itu menjadi sangat
penting bagi kuasa dunia itu untuk meneruskan kuasa hegemoni mereka.
Semasa Perang Dingin dan Perang
Vietnam, Johnson datang sekali ke negara ini kerana pada masa itu
Amerika sedang cuba menghalang 'efek domino' daripada komunisme yang
terus merebak ke seluruh Asia Tenggara.
Tapi apa pula kedatangan Obama kali ini, sampai 2 kali pula tu?
Apa pun jua persoalan yang muncul dalam kotak fikiran saya, semua itu
tidak penting kerana negara ini sudah sejak merdeka lagi sudah menjadi
rakan sampingan, dan kalau dalam bahasa kasarnya, barua setia AS.
Kehadiran presiden AS ke negara-negara barua ini sangatlah besar
ertinya, terutamanya negara yang bergantung kepada kekuasaan bala
tentera Washington ini.
Jadi pelbagai acara dan bermacam-macam
keraian dilakukan bagi menyambut 'maharaja' yang datang melawat 'vassal
state' agar mereka terus dilihat setia dengan Washington, tidak
kiralah 'maharaja' itu Demokrat, atau Republikan.
Dan pada
masa inilah, Obama bercakap tentang hak LGBT, kebebasan media, dan
banyak perkara yang menyelar pentadbiran negara ini.
Dan
apabila presiden AS ini, bercakap tentang ini, di negara ini, semua
ahli politik dan NGO Melayu yang selama ini bising tentang penularan
"masalah" LGBT ini pun menikus dan diam seribu bahasa.
Apabila
kapal terbang Air Force One sudah pun berlepas keluar dari negara ini,
maka mereka yang menikus tadi pun barulah nak keluar dan memekik-mekik
tentang apa yang dikatakan Obama semasa dia di negara ini.
Contohnya seperti apa yang dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global
(GMMF) Nasharuddin Mat Isa dalam satu kenyataannya.
Bekas timbalan presiden PAS itu berkata Obama tidak sepatutnya
mengeluarkan kenyataan agar Malaysia menerima konsep perkahwinan
sejenis.
“Kita tidak perlu mana-mana pihak luar mengajar kita
bagaimana untuk mengurus negara. Kita yang berhak mentadbir dan
mengurus kedaulatan negara ini.
“Apa yang orang lain buat di
negara masing-masing itu hak mereka. Dalam konteks Malaysia, kita ada
Perlembagaan yang jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi
persekutuan.
“Saya merasa sangat kesal dengan kenyataannya. Dia
(Obama) hendak suarakan pandangan itu hak dia, tetapi Malaysia harus
kekal dengan pendirian kita letakkan Islam sebagai hukum tertinggi
dalam negara kita,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Selasa
lalu.
Persoalan saya ialah, kenapa Nasha tidak bercakap ketika Obama sedang berada di negara ini?
Kenapa dia dah lepas baru nak bercakap tentang semua ini?
Tidakkah perbuatan ini seperti melepaskan batuk di tangga, dan kenapa seperti tulisan kolumnis The Malaysian Insider,
Amin Iskandar ada menulis minggu lalu, kenapa tidak ditangkap dan didakwa Obama ini kerana mengeluarkan kenyataan berbau hasutan?
Jawapannya senang saja. Pentadbiran negara ini tahu, ketua polis
negara, Jabatan Kehakiman Negara, NGO Melayu-Islam ini semua tahu
tentang hakikat ini.
Obama tidak mungkin akan didakwa dan ditahan atau ditangkap atau disabit kesalahan di negara ini.
Sebab Malaysia cuma 'vassal state' bagi Amerika. Gila apa nak dakwa 'maharaja dunia'?
Paling-paling pun lah, mereka cuma boleh buat macam mana Tun Dr
Mahathir Mohamad pernah buat, mendakwa seorang lagi bekas presiden AS
George W Bush dan perdana menteri United Kingdom Tony Blair atas
kekejaman di Iraq dalam satu mahkamah
tribunal syok sendiri yang pernah dibuat pada 2011.
Mungkin lepas ini, Nasha Mat Isa, atau Hadi Awang, atau semua orang
yang gila hudud, boleh ikat effigi, patung yang berupa seperti Obama,
dan ikat patung tersebut di tengah-tengah dataran, dan lontarkan batu
seperti hukum hudud bagi mereka yang melakukan hubungan homoseksual.~
TMI