Haji Rashidi Haris
Jangan jadikan isu ceroboh tanah kerajaan politik murahan
ISU utamanya ialah
mengenai pencerobohan tanah kerajaan secara haram dan ia adalah salah
tidak kira apa jua tujuan dan matlamat yang diutarakan.
Menceroboh adalah haram dan wajib dihukum.
2. Isu ini dibawa ke Mahkamah oleh DAP Pahang pada 28 Ogos 2020 kononnya bagi membantu 111 orang peneroka tanah haram ini.
Peliknya, adakah DAP tidak dapat membezakan antara tanah haram dengan tanah yang bergeran atau sah?
DAP jangan cuba menjernihkan air yang keruh dengan memanipulasikan pekebun tanam haram ini dengan perkara kebenaran.
Sedangkan kerajaan negeri mempunyai hak ke atas tanah pajakan, inikan pula tanah haram yang tidak bergeran.
3. Lebih baik DAP memfokuskan isu
gangguan bekalan air bersih yang sering terputus disebabkan loji rawatan
air yang tidak boleh merawat, yang juga berpunca daripada kekeruhan air
kesan daripada penerokaan tanah haram ini. Itu satu masalah besar.
Pencerobohan tanah haram ini daripada
kecil terokaannya kini sudah semakin besar sehingga setiap kali
pembukaan kawasan baru akan menjejaskan air di kawasan berkenaan.
Jangan menjadikan ‘point’ kononnya tanah ini telah diteroka pada zaman dahulu lagi, perkara salah tetap salah.
4. Demonstrasi Selamatkan Pekebun Durian oleh DAP dengan mempamerkan
gambar Yang di Pertuan Agong untuk tujuan meraih simpati dan campur
tangan pihak istana amatlah jelik.
Jangan jadikan isu ini sebagai mainan
politik murahan seperti yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Tras, Pahang iaitu Chow Yu Hui yang terbabit dalam demonstrasi
ini, yang turut lari daripada memfokuskan masalah utamakan kawasan ini
iaitu ‘air bersih’.
Yu Hui sebelum ini cuba mempopularkan
diri apabila memfailkan permohonan mahkamah untuk membantah iklan Jawi
di papan tanda pihak berkuasa tempatan (PBT) Pahang.
5. Kerajaan negeri harus mengambil tindakan tegas dan tidak beri muka kepada mereka.
Keputusan kes ini nanti boleh dijadikan contoh rujukan kepada negeri-negeri lain yang turut mempunyai tanah haram seumpama ini.
Dalam kes ini kita sedia maklum bahawa
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Sallehudin Ishak dalam laporan
MalaysiaKini pada 20 Ogos 2020 lalu menjawab dakwaan Save Musang King
Alliance (Samka), sebuah kumpulan yang dibentuk oleh petani durian yang
tidak mempunyai izin menduduki tanah di Raub dengan tegas berkata:
“Kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang
menentang legalisation scheme (skim pengesahan pendudukan tanah di sisi
undang-undang) ini,”
6. Mereka kemudian mempunyai helah lain bagi mendapatkan tanah di bawah nama syarikat dengan meletakkan nama kerabat.
Ia dengan harapan supaya mereka mendapat
tanah seluas mungkin untuk mengaut keuntungan banyak tanpa berkongsi
dengan kerajaan negeri.
Tanah yang diduduki oleh petani secara
haram akan dipajakkan kepada Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd
(RPDP-PKPP) untuk ‘menghalalkan’ pendudukan tanah secara haram itu.
Siapa Royal Pahang Durian Group (RPD) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP)?
Khabarnya syarikat milik bukan Melayu
yang meletakkan nama kerabat Pahang dan terbaharu RPDP-PKPP dilaporkan
telah diberi pajakan dan hak untuk menggunakan tanah seluas 5,357 ekar
di Raub selama 30 tahun.
Malah, tambahan 30 tahun lagi yang
menjadikannya sebanyak 60 tahun membolehkan mereka menanam pokok durian
di atas tanah berkenaan.
7. Kami bukan mempersoalkan mengenai
usaha sama kerajaan negeri atau penglibatan kerabat diRaja dalam
syarikat tersebut, tetapi yang menjadi tanda tanya mengapa tidak ada
penguatkuasaan melarang pencerobohan?
Jika berlaku pencerobohan, adakah pihak berwajib mengambil tindakan terhadap syarikat atau pekebun terbabit?
Isunya adalah mengapa tiada tindakan pemguatkuasaan?
Bagaimana syarikat atau pekebun boleh menanam pokok durian di atas tanah yang belum diwartakan kebenaran ke atasnya?
Penceroboh negara atau pendatang asing tanpa izin kita tangkap, hukum dan halau keluar dari negara.
Mengapa penceroboh tanah tidak
ditangkap, dihukum dan dikenakan kuarantin dengan menjadikan kawasan
tanah berkenaan sebagai kawasan larangan pencerobohan.
Letak iklan “Amaran! Penceroboh AkanDidakwa!”
8. Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa
Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd
Soffi Abd Razak berkata, pencerobohan tanah berkenaan telah berlaku
sejak sekian lama dan individu terlibat juga telah mendapat hasil selama
berbelas tahun tanpa diganggu gugat.
Persoalannya mengapa tidak dikenakan
denda maksimum dan bayaran semula penempatan penanaman secara haram
selama tahun-tahun akibat pencerobohan?
Individu terbabit perlu didenda sekurang-kurangnya RM100,000 bagi setiap satu tahun.
9. Selain itu, beliau juga memberitahu
bahawa operasi pemutihan tanah dalam kegiatan pencerobohan bagi tanaman
durian Musang King di Pahang perlu dilakukan secara bertimbang rasa,
agar aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, termasuk hutan simpan tidak
berlaku dengan sewenang-wenangnya.
Apakah kenyataan ini secara tidak
langsung mahu memberitahu para penceroboh tidak akan dikenakan sebarang
hukuman kerana menceroboh?
10. Kesimpulannya, saya berasa amat
sedih dengan pendekatan sikap beberapa pemimpin yang kita amanahkan
untuk menjaga kepentingan anak cucu-cicit bangsa Melayu ini yang
kelihatannya semakin hari semakin berkurangan dan perkara ini sangat
membimbangkan.
Kita adalah anak pribumi dan telah berada di sini ribuan tahun bukannya baru 100 tahun yang lalu.
Apabila terjadi keadaan begini, kita
tersepit antara mahu atau tidak bagi mengekalkan kerajaan negeri yang
ada, kerana jelasnya mereka ini amat mudah luntur melutut apabila soal
wang ringgit menjadi pertaruhan.
11. Sampai bila? Soalan yang tiada siapa boleh menjawabnya melainkan bangsa Melayu itu sendiri.
Sama ada mahu melihat sesuatu yang
dilakukan itu pada jangka masa pendek atau pun panjang hanya semangat
kemelayuan dalam diri itu sahaja yang boleh menjawabnya.
Bagaimanapun, peruntukan undang-undang
mesti dilaksanakan, dan jika tidak, kredibiliti dan integriti akan
tercemar, yang akhirnya keadaan negara ini akan semakin hilang
kedaulatannya.
12. Solusinya? Apakah tidak boleh selain
daripada memberi kelulusan mengusahakan tanah tersebut dengan manfaat
yang terhad kepada mereka yang tertentu sahaja?
Mengapa tanah 4,400 hektar itu tidak
dijadikan Tanah Rizab Melayu dan disewakan sahaja dengan tidak kurang 40
peratus saham dijadikan milik Melayu dengan sebahagian diberi kepada
Tabung Haji (TH), Yayasan, Koperasi dan sebagainya, agar semua pihak
mendapat manfaat daripada tanah yang tuhan anugerahkan kepada orang
Melayu?
Haji Rashidi Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA