MALAYSIAKINI
Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof yang
menganggotai Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) berpandangan NGO
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersifat perkauman melampaui NGO PERKASA
dan menurutnya lebih merbahaya.
Menurutnya,
PERKASA sekurang-kurangnya berterus terang dengan agenda perkauman
mereka namun ISMA, bersifat perkauman tetapi cuba bersembunyi di sebalik
pengaruh agama.
Tindakan ini kata Mujahid, memberikan gambaran buruk kepada agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keharmonian.
"Bagi saya ISMA ini lebih perkauman daripada PERKASA, sekurang-kurangnya PERKASA beritahu orang ramai yang mereka ini perkauman.
"Perkara yang bagus tentang PERKASA ini mereka berterus terang tentangnya.
"Saya katakan orang yang menggunakan agama untuk menyembunyikan dogma
perkauman mereka ini lebih merbahaya," katanya dalam wawancara dengan
Malaysiakini.
Beliau yang juga merupakan pengerusi biro perpaduan nasional PAS berkata
demikian sewaktu diminta mengulas pendirian pro-Melayu Islam yang
dianuti ISMA.
Pertubuhan
itu sebelum ini menggelarkan warganegara Malaysia berketurunan Cina
sebagai 'pendatang' dan kemudiannya mempertahankan kenyataan itu sebagai
satu fakta sejarah.
Terkini, presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman (kiri) dituduh menghasut di bawah Akta Hasutan 1948 pada 19 Jun lalu.
Beliau tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan pada 19 Julai ini.
Mengulas perkara ini, Mujahid menegaskan sekali lagi akan pendiriannya
yang tidak bersetuju Abdullah Zaik dibicarakan kerana menghasut.
"Saya akan berhadapan dengan beliau dengan cara yang lebih beradab,
berdialog dengannya dan bertanyakan apa sebenarnya yang beliau mahukan,"
kata Mujahid.
Beliau
turut menolak konsep mengutamakan orang Melayu bagi memimpin Muslim di
Malaysia seperti digagaskan Abdullah Zaik dalam bukunya "30 Soal Jawab
Melayu Sepakat Islam Berdaulat".
"Adakah anda mengatakan di Malaysia, Islam hanya untuk orang Melayu? Tidak, itu sudah satu kesalahan.
"Islam itu untuk semua - bukan semua perlu jadi Islam tetapi kebaikan Islam itu untuk semua.
"Inilah yang saya katakan Malaysia memerlukan Islam yang rahmat untuk semua.
"Kalau saya orang Melayu, maruah diri saya adalah apabila saya membela hak yang ditetapkan ke atas kaum lain," katanya.
Menurutnya, rakyat Malaysia kini perlu membuat pilihan sama ada untuk
terus kekal takut dengan momokan perkauman atau mendakap sebuah Malaysia
yang harmoni.
"Rakyat Malaysia tidak mahu negara ini ada orang yang prejudis, benci
atas nama kaum - negara ini tidak perlu kepada golongan ekstrem yang
berwajahkan agama.
"Keputusan
ini penting dan semua pihak kena jujur menyokong harapan bahawa inilah
Malaysia yang aku idam-idamkan - Malaysia tanpa ekstremis, Malaysia
tanpa rasis, Malaysia tanpa prejudis," katanya mengakhiri wawancara.
Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar yang dipengerusikan Mujahid di
bawah MKPN baru selesai merangka draf tiga rang undang-undang yang akan
menjadi sebahagian daripada pelan induk perpaduan negara.
Tiga draf itu adalah Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan
Rekonsiliasi, Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama serta Rang
Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.
Ketiga-tiganya kini dibuka untuk maklum balas orang ramai.
Wawancara dilakukan oleh Ram Anand, Ahmad Fadli KC dan Zulaikha Zulkifli
No comments:
Post a Comment