Tuesday, November 30, 2010
MB S'gor: Raja Melayu perlu awasi 'Si Kitol'
Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memberi peringatan kepada Raja-Raja Melayu supaya berhati-hati dengan "Si Kitoll" yang dikhuatiri akan kembali mempergunakan institusi berkenaan demi kepentingan politik.
Beliau berkata demikian dengan melihat kepada perkembangan sejak tahun lalu yang menyaksikan golongan berkenaan kembali "bermuka-muka" untuk mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Khalid (atas, kiri) memberi alasan, Krisis Perlembagaan 1983 yang berlaku akibat tindakan para pemimpin negara ketika itu "melakukan beberapa tindakan diluar Peruntukan Perlembagaan, dalam lain perkataan membelakangi Raja-Raja."
Insiden itu juga berlarutan pada tahun 1992 dan 1993, kata Khalid lagi.
"Tiba-tiba, sejak awal tahun 2009, setelah 17 tahun berlalu, kini pihak yang berusaha dan berjaya 'menghapuskan kekebalan dan beberapa hak istimewa Raja-Raja Melayu', kembali bermuka-muka dengan seruan supaya orang Melayu menghormati Raja dan Sultan serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu," katanya.
Jelasnya, pada masa krisis perlembagaan berlangsung, "para pemimpin utama" negara pada ketika itu "melakukan beberapa tindakan secara rahsia" dengan membuat pindaan ke atas Perkara 66(5) dalam Perlembagaan.
Tindakan itu dilakukan tanpa mendapat perkenaan Majlis Raja-Raja, kata Khalid lagi.
"Peruntukan asal berbunyi 'Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila yang di-Pertuan Agong menandatangani'.
Pindaan ke atas peruntukan itu kemudiannya, antara lainnya, menyebut bahawa sesebuah Rang Undang-undang itu dianggap telah ditandatangani selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 15 hari.
"Contoh kedua, pindaan ialah pada Perkara 10(1), di mana kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di negara ini maka perdana menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut," kata Khalid lagi.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis perasmian wacana 'Kedaulatan Raja-Raja: Institusi Yang Mesti Dipertahankan' di Shah Alam hari ini yang turut dihadiri Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
ADUN Hutan Melintang diperintah keluar sidang
Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R Ganesan mengarahkan ADUN Hutan Melintang, S Kesavan keluar dari dewan sehingga tamat sidang hari ini kerana didakwa berkelakuan tidak sopan dan mengharu-birukan dewan dengan menuntut jawapan berhubung soalan yang dikemukakannya.
Pada jam 11.15 pagi, selepas sesi soalan berakhir, Kesavan bangkit dan menuntut soalannya berhubung pemindahan tanah di kawasannya dijawab oleh Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Meskipun Ganesan memberi amaran supaya tidak meneruskan soalannya, Kesavan berkeras berkata beliau adalah perwaklian rakyat Hutan Melintang, dan menjadi tanggungjawabnya menyuarakan 'masalah rakyat'.
Ganesan kemudian menggantung Kesavan mengikut Artikel 44(2) Peraturan Dewan selama sehari.
Apabila beliau enggan meninggalkan dewan, Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) pula bangkit dan memohon Artikel 44(3) dan 44(5) Pearturan Dewan digunakan bagi menggantungnya terus daripada menghadiri sidang DUN Perak.
Usul itu diluluskan dengan suara majoriti.
Tindakan itu menyaksikan ADUN pembangkang yang diketuai oleh menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bawah, kanan) meninggalkan dewan.
Mereka kemudiannya mengadakan sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Chang Lih Kang (Teja), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) dan Tai Sing Ng (Kuala Sepetang).
Pada sidang media itu, Kesavan menafikan beliau berlaku biadap kepada speaker dan mendakwa beliau meninggikan suaranya kerana pembesar suaranya telah dipadamkan.
Katanya, beberapa surat telah dihantar ke pihak yang bertanggungjawab, termasuk pejabat Zambry berhubung isu tanah itu, namun semuanya tidak dijawab.
Hisham: Peningkatan kes tembakan maut tak ketara
Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Hishammuddin Hussein berkata peningkatan jumlah kes tembakan maut oleh polis sebenarnya tidak begitu ketara.
Oleh itu, katanya beliau menyerahkan kepada PDRM untuk menjelaskan kerana mereka bertanggungjawab dalam isu berkenaan dan ia membabitkan imej pasukan berkenaan.
"Biarlah dia jawab dari segi data, dari segi tarikh (kes-kes), sebab yang mungkin terpaksa pikul imej yang mungkin terjejas adalah kepentingan PDRM sendiri.
"Kalau tidak, itu saja soalan yang setiap hari saya kena jawab sedangkan ada perkara lebih serius lagi," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Sebaliknya, menurut Hishamuddin, kes berkenaan dianggap meningkat kerana disensasikan oleh pihak tertentu.
"Tak ada (peningkatan). Saya tengok seperti dijawab di Parlimen, kalau nak banding dalam sejarah negara kita, jumlahnya tidaklah begitu ketara.
"Banyak perkara yang dibangkitkan di parlimen disensasikan sehingga kita bawa jumlah yang sebenarnya.
"Tak tahulah, dia ada kes-kes tertentu ada yang dah ke mahkamah, ada dalam siasatan dan ada yang dah pun diperjelaskan," katanya lagi.
Tambahnya, perkara itu perlu dijawab dengan cepat oleh PDRM untuk mengelakkan ia disalah tafsir oleh masyarakat.
Ketika ditanya lanjut, beliau berkata kes berkenaan mungkin meningkat berbanding sebelumnya.
"Mungkin itu merupakan kes yang lebih berbanding dahulu, mungkin itu merupakan satu situasi yang kita perlu kita tangani," katanya.
Tambahnya, beliau telah meminta ketua polis negara serta timbalannya untuk menyediakan mekanisme yang telus dalam menjelaskan isu berkenaan.
"Kalau tidak diterangkan awal, tak dibawa ke muka keadilan kalau bersalah dengan cepat, tak dibebaskan (sekiranya tidak bersalah).
"Kalaupun bawah standard operating procedure sedia ada, ia tetap menjadi tanda tanya (peningkatan kes tembakan maut oleh PDRM).
"Jadi kaedah PDRM menangani kes berprofil tinggi seperti ini memerlukan pemikiran dan pendekatan mungkin tindakan yang lebih telus, terbuka, adil dan saksama dalam lanskap baru pada hari ini.
"Saya ingin serahkan kepada PDRM untuk menanganinya, dan kita akan bimbing," katanya lagi.
Tambahnya lagi, PDRM perlu mengambil pendekatan untuk mendedahkan siasatan tanpa menjejaskan siasatan itu sendiri.
"Ia tidak menganiaya orang tidak berdosa, tetapi pada masa yang sama kalau salah dalam menjalankan tugas, mereka yang salah itu tetap diadili," katanya lagi.
Katanya lagi, pendekatan PDRM seperti itu boleh dilihat dalam penerangan mengenai kes melibatkan jutawan kosmetik Sosilawati.
Pusat hakis negeri, dasar tidak pro rakyat
Harakahdaily |
SHAH ALAM: Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri Pakatan Rakyat menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat. Di samping itu, berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri dan mereka mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat. Demikian antara kandungan resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bertemakan ‘Meneruskan Cita-cita Rakyat’ yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam ini. Pada persidangan yang diadakan di sini sejak pagi tadi, selain Khalid, Menteri Besar Kelantan dan Kedah, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan pandangan masing-masing. Namun demikian, mereka percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka mereka bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat. Justeru, siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat. Berikut ialah resolusi penuh persidangan tersebut. Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran. Hasrat Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan: Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat; Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang; Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti; Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan. Janji Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan: Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat; Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape); Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik; Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri. Komited Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak: Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah; Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat; Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat; Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak; Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri; Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah; Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak. Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain; Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan; Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau. Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat; berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri; dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat. Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat. Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat. Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan. |
Ketuanan Islam: Alternatif yang enggan difikirkan?
Nasrudin Hassan |
1. Seusai Kongres PKR , kini UMNO dan BN seperti mendapat peluru tembaga untuk dibidik tepat ke jantung PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya. Biadab , kurang ajar , khianat , pelacur politik dan 1001 kata - kata kesat dihamburkan ekoran kenyataan dari presiden PKR Datin Seri Wan Azizah binti Dato' Wan Ismail . 2. Saya tidak sempat menghadhiri Kongres PKR kerana menerima undangan saat akhir sedang saya telah mempunyai komitmen untuk menghadhiri Hari keluarga DPP Malaysia di Pulau Pangkor . Walau bagaimana pun saya mengikuti perkembangan dan berita mengenainya . Terlebih dahulu saya ucapkan syabas kepada PKR dan AMK yang telah selesai berkongres semoga PKR dan AMK semakin utuh dan mantap selepas ini mendepani cabaran dan halangan perjuangan yang sukar ini . 3. Tidak puas - puas UMNO dan BN membelasah PKR . Sebelum dan selepas kongres , ada sahaja peluru baru yang dilepaskan oleh pelbagai agensi mereka untuk membunuh PKR dan sekaligus dilihat sebagai percubaan untuk melemahkan Pakatan rakyat. Terkini isu Ketuanan Melayu menjadi turning point UMNO dan BN untuk memperbaharui serangan ke atas Pakatan Rakyat . 4. Wartawan pula bertalli arus menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan mengenai kenyataan tersebut dan saya tegaskan atas 3 point penting : A. ] Sejak merdeka sehingga kini sudah lebih 50 tahun , Melayu belum menjadi tuan . UMNO dan BN awal - awal lagi sebenarnya tidak layak pun hendak bercakap soal Ketuanan Melayu , apalagi bersilat untuk mempertahankannya . Keris panjang tidak bersarung milik UMNO selama ini tidak ubah seperti keris sisip di pinggang sang pengantin . Bukan sahaja tidak berfungsi malah sedikit pun tidak menambah keberanian sang pengantin selain hanya menurut sahaja apa yang disuruh . Disuruh bangun mereka bangun , disuruh duduk mereka duduk , disuruh senyum mereka senyum , disuruh suap mereka suap , disuruh makan mereka makan , disuruh basuh periuk belanga mereka basuh. Menurut saja apa yang disuruh walau keris tersisip dipinggang , bersampin dan bertanjak . Sepanjang tempoh 50 tahun lebih inilah , menyaksikan melayu hilang maruah , hilang jati diri , hilang tanah , hilang kuasa , hilang upaya ekonomi dan hilang kehebatan . Malah fenomena ini diakui sendiri oleh pemimpin UMNO dan BN apabila sehari dua ini mereka selalu bertanya kemanakah hilangnya kuasa politik orang melayu ? . Walaupun soalan itu seperti mahu menyalahkan Pakatan Rakyat tetapi rakyat umumnya mengetahui bahawa Pakatan Rakyat belum sepenggal mengurus pemerintahan beberapa buah negeri yang dimandatkan oleh rakyat , sementara Kerajaan Persekutuan masih berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN malah berkuasa penuh sejak lebih 50 tahun yang lalu . Pertanyaan itu seperti UMNO meludah ke langit dan akhirnya menimpa muka sendiri . B. ] Tidak salah perjuangkan bangsa dan pertahankannya sebagaimana yang telah termaktub di dalam perlembagaan . Melalui perlembagaan Malaysia yang sedia ada telah dimaktubkan hak keistemewaan orang melayu . Saya tidak prejudis mengenainya bahkan mempertahankan hak bangsa dan berbangga dengan bangsa kita melayu juga adalah adalah suatu yang tidak bertentangan dengan Islam . Sebagaimana nabi saw sendiri berbangga sebagai bangsa Arab Quraisy .Terutama majoriti penduduk negara ini ialah melayu dan mereka pula rata - ratanya masih perlu pembelaan kerana taraf hidup yang rendah angkara amalan kronisme dan dasar ekonomi yang korup oleh kerajaan UMNO dan BN sejak 53 tahun yang lalu . [ Lantaran selama ini hanya segelintir melayu yang kaya raya dan harta negara berlegar dari kalangan pembesar dan kroni mereka. ] Memperjuang dan mempertahankan hak bangsa yang saya maksudkan tidaklah menjadikan bangsa kita tuan dan bangsa lain pula hamba . Pertahankan hak bangsa kita malah berbangga menjadi bangsa melayu adalah suatu yang positif dan wajar namun jangan sekali - kali kita menzalimi bangsa lain serta tidak berlaku adil terhadap bangsa lain sekalipun berbeda agama justeru inilah yang dilarang. C. ] Saya mencadangkan Ketuanan Islam menggantikan Ketuanan Melayu tajaan UMNO dan BN . Justeru Islam adalah agama Allah tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Allah swt , tuhan yang namanya mahu digunakan oleh seluruh agama samawi dalam negara kita . Islam pula bukan hak orang melayu sahaja , bahkan bangsa India dan China jauh lebih awal menerima Islam . Islam adalah agama yang adil untuk semua . Islam dirujuk kepada kitab suci al Quranul Karim yang rata - rata pemimpin Pakatan Rakyat termasuk non muslim mula memetiknya untuk berhujjah justeru ia satu pengiktirafan kepada kebenaran yang dibawa oleh Islam . Islam adalah satu agama yang lengkap merangkumi semua persoalan hidup termasuk perkara yang melibatkan hubungan sesama manusia seperti ekonomi , sosial , politik dan undang - undang , juga hubungan manusia dengan tuhan seperti ibadah . 5. Negara dan dunia serta seluruh isinya memerlukan Islam . Saya menegaskan demikian bukan bermakna Islam memaksa manusia menganutnya . Menerima bukan semestinya menganut Islam . Ahli zimmah [ non muslim yang tidak menentang Islam ] boleh menerima sistem dan dasar kepimpinan serta pemerintahan Islam sementara mereka kekal dengan agama dan kepercayaan mereka. Seperti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadikan Khlaifah Umar bin Abdul Aziz sebagai idola dan contoh kepimpinannya , maka perlu difahami bahawa Khalifah umar bin Abdul Aziz menjadi hebat kerana Islam yang diyakininya. |
Selagi dana politik Umno belum terisi
Ahmad Lutfi Othman |
Tarikh pilihan raya umum akan datang, menurut seorang teman, tidak perlu didebatkan. Memang selamanya, selagi sistem sedia ada dikekalkan, ia menjadi kelebihan buat parti pemerintah, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Dan prosedur itu sebenarnya tidaklah sangat mencacatkan proses demokrasi, malah dalam keadaan tertentu boleh menguntungkan rakyat. Hayat sesebuah kerajaan boleh dipendekkan tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu. "Yang penting, parti-parti politik harus sentiasa mengkoreksi diri, menilai prestasi, mengambil berat persepsi pengundi. Dan sebaik-baiknya, terutama ketika penggal pemerintahan sudah melewati separuh masa kedua, lakukanlah kajian separuh penggal. "Jangan remehkan kritikan pesaing, ambil berat rasa tak puas hati rakyat walaupun dalam isu yang nampak kecil, dan cuba selesaikan," tambahnya, mengulas kolum saya sebelum ini. "Usah lupa menghidu dan mengesan strategi licik-jahat Umno, yang akan mengerah dan mengeksploitasi apa juga sumber dan kemudahan kerajaan. Taktik lama memperalatkan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak mustahil akan digunakan kembali, mungkin dalam pendekatan berbeda," tegasnya, dengan nada serius dan bersungguh-sungguh. Beliau ternyata risau jika pengalaman lampau, terutama membabitkan senarai daftar pemilih, yang memeritkan pembangkang tidak diambil iktibar. Rakan saya itu, bekas wartawan berpengalaman, sempat menegur: "Masih ada pemimpin Pakatan Rakyat, malah yang bertaraf ahli Parlimen mahupun Adun, apatah lagi di peringkat ketua kawasan atau bahagian parti, seperti bermentaliti pembangkang lagi. Pembabitan mereka dalam komuniti setempat kurang menonjol. Ada yang semacam malu-malu lagi untuk ke depan menggerakkan masyarakat." Membicarakan hal sama, seorang lagi kawan, yang mempunyai hubungan rapat dengan kelompok Umno Selangor, menelefon saya: "Aku yakin, Najib Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Dana atau tabung Umno masih kosong. Belum diisi secukupnya bagi membeli undi rakyat. Mereka perlu masa lebih panjang untuk lancar projek besar dan raih wang panas." "Mudah saja," katanya, "Umno-BN perlukan duit sehingga ribuan juta ringgit untuk gerakkan jentera kempennya. Duit itu ada dalam projek-projek kerajaan yang kosnya sengaja ditinggikan berkali ganda." "Bukankah sekarang banyak projek dibuat secara tender terbuka?" pintas saya, nampak sangat macam soalan bodoh. "Bila pula Najib jadi bodoh macam tu? Semenjak zaman Pak Lah, yang janjikan ketelusan itu pun, banyak projek mega diuruskan secara rundingan terus. Lutfi, bukankah kau juga yang selalu sebut, Umno dan rasuah itu kembar siam yang tak boleh dipisahkan? Hang masih ingat kes Hasbie Satar, bekas Setiausaha Politik Tan Sri Nor Mohamed Yackob? Masa SPRM serbu pangsapuri dia di Butterworth, ada wang tunai lebih RM2 juta," jawabnya lancar. "Itu kes kecil yang kebetulan terbongkar. Banyak lagi duit politik Umno yang terkumpul secara senyap dan diuruskan dengan begitu sistematik, tetapi tidak pernah dikesan," tambah beliau, sambil berjanji akan menjelaskan modus operandinya kepada saya. "Kau tahu, kebanyakan dana politik Umno ini diuruskan secara rasmi, bukan lagi di bawah meja? Malah dalam proses rundingan tender dan penentuan harga, peruntukan untuk dana politik Umno ini disebut secara jelas!" sambungnya. Pakatan Rakyat, meskipun turut menguasai sumber dan kemudahan di empat negeri, tentunya tidak bersedia terjebak dalam perangkap politik wang yang terbukti telah menjerumuskan Umno-BN selama ini. Rasuah politik jika sudah dimulakan pasti tidak akan menemui titik nokhtahnya. Ia terkepung dalam "lingkaran syaitan", wabaknya segera berjangkit dan boleh menikam diri. Dipercayai majoriti rakyat tidak mudah lagi tersilau dengan umpan murahan itu. Tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Najib Razak, seperti terkejut mengapa bantuan kerajaan pusat yang dihulurkan kepada golongan tidak berkemampuan jarang dihargai sedangkan pakej bantuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lebih kecil nilainya sering disebut-sebut. Najib dan pemimpin BN tidak perlu pening kepala mencari jawapannya. Kunci kata adalah keikhlasan dan ketelusan. Bersainglah secara sihat untuk menabur bakti dan jangan rendahkan daya intelektual rakyat. Saya sukar melupakan dialog seorang pemandu teksi warga emas, dalam perjalanan mendapatkan rawatan susulan di HUKM, Cheras. "Pilihan raya akan datang, jangan sokong BN tau! Mereka rampas duit kita RM1,000, tapi dia derma hanya RM10 dan sembang kuat untuk beritahu semua orang," ujarnya, dalam nada sedikit lucu tetapi jelas bukan bergurau. Selang beberapa minggu kemudian, pemandu teksi lain turut berkongsi idea yang hampir sama! Rakyat dapat memahami bagaimana sesebuah kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dilihat gagal menjalankan tugas memenuhi amanah dengan lebih efektif kerana kekangan yang dikenakan kerajaan pusat, terutama dari segi peruntukan kewangan dan projek pembangunan. Konsep federalisme memang menggariskan dengan jelas dalam Perlembagaan tentang senarai negeri dan pusat, namun ada sebahagiannya tidak dihormati pemimpin kerajaan pusat, atau dilaksanakan secara tidak adil kepada negeri yang diperintah Pakatan. Namun demikian, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan usaha berterusan mengotakan janji seperti diungkapkan dalam manifesto pilihan raya. Wakil rakyat bersama pemimpin parti mesti bersikap proaktif di tengah masyarakat, menjadi penggerak di medan depan. Rakyat mahu melihat perbedaan dan nasib mereka dibela. Mereka sudah muak dan jelak dengan stail kehidupan majoriti YB Umno-BN. Elemen politik baru perlu dipraktikkan. Gaya politik baru yang muncul pada 1999 dan menyerlah ketika pilihan raya umum ke-12 bukan lagi fenomena sementara atau sekadar bermusim. Ia semakin merata dan mula menyelinap ke segala pelosok tanahair. Peningkatan tahap pendidikan dan perkembangan teknologi maklumat, terutama dengan pembudayaan ruang siber di kalangan masyarakat, telah mempercepatkan lagi proses pendemokrasian dan kematangan berpolitik rakyatnya, termasuk di negara kita. Terdapat pengkaji yang melihat gaya politik baru ini "tenggelam dan timbul" dalam tiga pilihan raya umum terdekat, iaitu muncul pada 1999, tenggelam pada 2004 dan kembali timbul pada 2008. Justeru, ada yang bimbang, dalam pilihan raya seterusnya ia akan tenggelam semula. Mungkin gaya lama yang sarat dengan sentimen perkauman, politik adu-domba, retorik "keselamatan dan pembangunan" dominan kembali? Soalnya, apakah aktivis dan penggerak Pakatan Rakyat hanya menunggu "nasib baik" dalam pusingan seterusnya itu, tanpa berusaha keras dan tersusun bagi mempengaruhi budaya politik masyarakat Malaysia? Ini berikutan budaya dan tradisi masyarakat bukanlah sesuatu yang bersifat tegar, sebaliknya ia adalah lebih bersifat fleksibel iaitu ia boleh dicipta, diubahsuai, diubahsuai semula dan malah boleh dihapuskan. Menurut Kamus Sains Politik (DBP), istilah budaya politik ditakrifkan sebagai: "Sifat dan oreintasi politik yang diamalkan dalam sesebuah negara yang mengandungi elemen seperti kepercayaan, simbol dan sistem nilai. Semua tindakan politik dalam masyarakat berasaskan kepada elemen ini. Budaya politik juga boleh mengalami perubahan melalui proses sosialisasi, tetapi mengambil masa yang panjang." Manakala ada sarjana yang mendefinisikan sosialisasi politik sebagai cara atau kaedah kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan. Ia suatu proses yang berterusan, bermula apabila masyarakat belajar mengenai politik dan kerajaan dengan melalui putaran hidup, bermula dengan zaman kanak-kanak, dewasa dan zaman tua. Proses sosialisasi politik dicorakkan oleh peranan keluarga dan juga masyarakat dari pelbagai status dan kelas, selain alam pendidikan yang mempunyai impak besar. Kuasa baru dalam dunia sosialisasi politik ialah media alternatif atau ruang siber. Ia seterusnya mencetuskan ruang awam yang membuka laluan kepada perdebatan sihat tanpa saringan yang mengongkong. Media tradisi sudah kehilangan sengatnya. Kawalan maklumat tidak berkesan lagi. Saya mahu menekankan bahawa persaingan politik dan gerakan mengembangkan pengaruh semakin terbuka di negara ini. Sepatutnya tiada pihak yang berasa rendah diri dan tertinggal jauh di belakang. Fenomena BN menang percuma sebelum bertanding sudah berlalu. "Padang permainan" menjadi semakin rata. Meskipun proses pilihan raya masih tempang dan perlu dilakukan perubahan menyeluruh melalui tuntutan lebih agresif, namun penguasaan BN tidak sekebal mana. Sentimen perkauman bukan lagi senjata ajaib untuk menumpaskan pembangkang. Terpulang kepada setiap "peserta" untuk melakukan persiapan sebaiknya. Jika ada masalah menghimpit, pasti tersedia jalan keluar. Yang penting adalah daya kreatif dan tekun mencari formula penyelesaian. Harus diingat, propaganda keterlaluan media yang memperbodohkan audien, seperti terbukti menimpa BN pada 2008, hanya memakan tuan. Promosi berlebihan, yang cuba menutup salahlaku dan penyelewengan, boleh menimbulkan dampak negatif. Namun begitu, media baru masih terbatas jangkauannya, lagipun ia bukan lagi monopoli golongan "reformasi". Mendemokrasikan maklumat perlu melalui pelbagai kaedah yang inovatif. Amat malang jika segalanya tersangkut dan terbantut pada sistem penyampaian yang bercelaru dan tidak efisyen. Dengan itu persepsi rakyat terus gagal untuk diperbetulkan. Tidak seperti jentera Umno-BN yang cukup bergantung kepada wang, sehingga Najib tidak akan mencadangkan pembubaran Parlimen selagi dana politik belum terisi sepenuhnya, bagaimanapun bagi Pakatan, tanpa peruntukan yang memadai, ia juga boleh merencatkan laluan ke Putrajaya. Misi menggantikan sebuah kerajaan yang bertapak lebih 50 tahun - apatah lagi dalam kedudukan yang hegemonik seperti BN - menuntut persiapan serapinya. Pengalaman perit memerintah beberapa kerajaan negeri, yang sentiasa ditindas kerajaan pusat, sudah cukup untuk menggerakkan persediaan itu. Yang lebih diharapkan ialah perubahan pada sikap, mentaliti, tanggapan dan budaya politik setiap pendokong Pakatan bagi memikul tanggungjawab lebih besar menjelang pilihan raya umum akan datang. |
Third party: Menteri tidak rasai kesusahan rakyat
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyifatkan jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai berhubung tindakan kerajaan terhadap syarikat insurans yang enggan memberikan perlindungan 'third party' kepada kenderaan bermotor berusia sepuluh ke atas sebagai indah khabar dari rupa. Salahuddin sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat hari ini berkata, timbalan menteri tidak merasai sendiri kesusahan rakyat bawahan yang tidak boleh mendapatkan perlindungan pihak ketiga kerana kenderaan yang dimiliki didakwa tidak selamat. "Jawapan timbalan menteri tadi indah khabar dari rupa. Saya tak tahulah sama ada Yang Berhormat seringkali turun padang dan berada di pejabat pengangkutan jalan untuk merasai keperitan rakyat untuk mendapatkan insurans daripada kelas ini. "Berdasarkan kepada fakta yang diberikan kepada saya, sehingga Ogos 2010, jumlah kenderaan di Malaysia berjumlah lebih 19,820,442 buah dan yang berusia lebih sepuluh tahun adalah 5,110,326 buah yang menyumbang kepada 25.78 peratus," kata beliau. Salahuddin juga berkata, alasan pihak insurans yang mendakwa kenderaan sepuluh tahun ke atas tidak selamat untuk berada di jalan raya adalah tidak munasabah kerana kenderaan-kenderaan ini diselia Puspakom terlebih dahulu. "Tadi Yang Berhormat menyatakan syarikat ini agak keberatan untuk memberikan perlindungan kerana isu keselamatan kenderaan ini. Saya tidak yakin dengan jawapan tersebut kerana kita ada Puspakom. Setiap kenderaan ini dibawa ke Puspakom kemudian bila ada kelulusan dari puspakom mereka layak untuk mendapatkan perlindungan insurans dan cukai jalan. "Jadi apa alasanya syarikat insuarans ini yang begitu keberatan dan menyusahkan rakyat," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Bela Rakyat (Bela) di bawah PAS untuk membantu pemilik kenderaan ini. Beliau juga berharap kerajaan menyediakan satu mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu ini. "5 juta jumlah kenderaan ini yang menangung risiko ini jadi saya mengharapkan ada satu mekanisme terbaik untuk kerajaan menyelesaikan isu ini yang mana rakyat di kampung khususnya di luar bandar amat sukar mendapatkan insurans pihak ketiga disebabkan oleh syariakt insurans takut rugi," katanya. Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan tindakan yang diambil terhadap syarikat insurans yang enggan memberikan perlindungan "third party" kepada kenderaan bermotor berusia 10 tahun ke atas. Beliau juga mahu kementerian menyatakan sejauh manakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Donald dalam jawapannya memberitahu selaras dengan rangka kerja modal berasaskan risiko tgahap penganggungan risiko oleh penanggung insurans berganung kepada modal serta kapasiti kewangan masing-masing. "Oleh kerana pengalaman tuntutan perlindungan Kematian dan Kecederaan Pihak Ketiga yang senakin meruncing serta kemampuan kewangan yang terhad, penanggung insuransdan pengendali takaful semakin berhati-hati menawarkan mendapat akses kepada perlindungan insurans motor pada harga yang berpatutan,” katanya. |
Khalid dakwa Shaziman gagal selia projek sakit
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor gagal melaksanakan tugas dalam mengawal selia projek sakit. Khalid berkata, kegagalan itu dapat dilihat dalam tiga aspek iaitu tender runding terus yang masih diamalkan, mekanisme menyelamatkan projek sakit serta kualiti sesuatu projek itu. "Yang pertama budaya rundingan terus yang menyebabkan kontrak diberi kepada orang yang kemungkinan tidak ada kelayakan dan dengan harga yang tinggi. "Sudah banyak kali isu ini dibangkitkan, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian. Saya difahamkan, kontraktor yang dilantik telah dihentikan kerana gagal siap, serta ditender semula projek ini dan tentunya akan meningkatkan lagi kos projek tersebut," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. Kata beliau, projek Hospital Shah Alam yang sepatutnya disiapkan November 2010 kini masih terbengkalai hampir satu tahun ekoran kegagalan kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek tersebut "Budaya memberi projek kepada OKU (orang kuat Umno), tanpa runding terbuka terus dipertahankan. Seperti yang kita ketahui, cara ini hanya menyebabkan kos semakin tinggi tetapi kualiti rendah seperti yang berlaku pada projek Istana Negara, Hospital Shah Alam dan Institut Kanser Negara," katanya. Katanya, mekanisme yang diambil kerajaan hanya menamatkan khidmat kontraktor, selain menawarkan tender baru yang boleh meningkatkan kos projek. Malah, tambah Khalid menteri turut berbangga dengan mekanisme yang diambil hingga melupakan matlamat untuk menyiapkan projek seperti yang dijadualkan. Dalam pada itu, Khalid mendakwa menteri turut membuktikan dirinya gagal apabila isu kualiti sesebuah projek itu tidak dapat diselia dan dipantau sebaik-baiknya. "Isu kualiti merupakan satu lagi kegagalan menteri. Isu kualiti ini bukan soal 'design' tidak betul, tetapi apabila dibina tidak mengikut 'design'. Inilah kelemahan yang perlu dibaiki menteri," tegas beliau. Sebelum itu, Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menolak usul Khalid agar gaji menteri dipotong RM10 atas kegagalan yang didakwanya itu. |
Dasar pertanian negara cacamarba
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengadakan kerjasama strategik untuk mewujudkan tapak pengeluaran makanan di luar negara membuktikan dasar pertanian negara yang cacamarba dan tidak mempunyai perancangan strategik. Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengani perkara itu. Menurut Najib, ia sebagai satu usaha untuk membendung kemungkinan berlakunya krisis makanan yang berpunca daripada kenaikan harga yang melampau dan kekurangan bekalan “PAS konsisten daripada dahulu sampai sekarang meminta kerajaan menjadikan negara ini jangan mengenepikan sektor pertanian,” kata Idris dalam satu kenyataan. Justeru, katanya PAS mengingatkan kepada kerajaan bahawa sektor pertanian bukan sahaja untuk mengurangkan kadar import yang menyebabkan wang negara mengalir keluar. Lebih daripada itu, tambahnya sektor pertanian mesti dianggap sebagai sektor keselamatan dalam pemakanan. “Sekiranya berlaku sesuatu di dalam negara insya Allah rakyat selamat kerana bekalan makan mencukupi. Tetapi dalam keadaan sekarang siapa boleh memberi jaminan jika berlaku sesuatu,” ujarnya. Menurutnya, cadangan Perdana Menteri untuk menanam makanan di luar negara seolah-olah negara ini gurun Sahara yang hanya boleh tumbuh pokok kaktus sahaja sedangkan bumi Malaysia adalah bumi yang subur dan tidak perlu merempat ke negeri lain untuk mengemis tanah. Katanya, satu ketika dahulu di Kedah di bawah pimpinan Tan Sri Sanusi Junid menanam padi atas bumbung, seolah-olah negeri Kedah berada di atas planet. Beliau menambah, keresahan Najib akan berlaku krisis makanan di negara ini menunjukkan pemimpin negara celaru dan bertindak tanpa merujuk kepada pakar ekonomi ketika melaksanakan dasar pertanian negara. Rakyat Malaysia, ujarnya tentu masih ingat kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bahawa negara lebih ekonomik mengimport makanan daripada menanam sendiri. Analogi yang beliau buat, seekar tanah pertanian hanya boleh memberi pekerjaan kepada lima orang, tetapi jika mendirikan kilang, akan memberi peluang pekerjaan kepada 500 orang. Menurut Kementerian Pertanian nilai import makanan dalam lima tahun telah meningkat daripada tahun 2005 sebanyak RM17.7 bilion kepada RM26.7 bilion iaitu peningkatan purata tahunan 10.2%. “Berapa banyak wang negara mengalir keluar negara. “Alangkah baiknya jika kita mempunyai pemimpin yang mempunyai wawasan yang jauh seperti pemimpin PAS, wang negara pun selamat dan keselamatan negara juga akan selamat,” kata Idris lagi. |
MPSP rugi, defisit teruk masa BN
Harakahdaily |
SEBERANG PRAI: Sebelum Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) telah mengalami kerugian dan defisit yang teruk iaitu sebanyak RM230 juta dalam tempoh lapan tahun dari tahun 2000 hingga 2007. “Sehingga kini kerajaan terdahulu masih gagal untuk menjelaskan perkara tersebut. Hanya apabila kerajaan negeri PR memerintah barulah defisit ditukar menjadi lebihan buat kali pertamanya pada 2008,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Majlis Angkat Sumpah Pemangku Yang Dipertua MPSP di Dewan Kenangan, di sini, pagi ini. Katanya, bagi menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh BN, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat telah memberikan pinjaman kewangan sebanyak RM10 juta kepada MPSP sebagai langkah mengurangkan tunggakkan pinjaman dari luar dan membolehkan MPSP bangkit semula melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Tambahnya, perkembangan kewangan positif MPSP berterusan iaitu sehingga 30 September tahun ini di mana kutipan hasil berjumlah RM141.9 juta yang terdiri daripada hasil cukai berjumlah RM113.56 juta termasuk RM11.86 juta hasil tahun ini yang dikutip pada akhir tahun 2009, hasil bukan cukai RM23.3 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM5.09 juta. Secara perbandingan, katanya hasil majlis meningkat sebanyak RM6.3 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM135.59 juta. “Prestasi kewangan baik adalah disebabkan prinsip CAT, tender terbuka dan konsep perbelanjaan berhemah membolehkan lebihan pendapatan dicapai dan adalah diharapkan MPSP dapat mengekalkan prestasi kewangannya seperti tahun lalu,” ujarnya. Dari segi aliran keluar dana, jelasnya sehingga 30 September tahun ini, perbelanjaan yang telah dibuat oleh majlis adalah berjumlah RM88.72 juta. “Perbelanjaan ini terdiri daripada bayaran emolumen sebanyak RM34.86 juta, belanja mengurus RM53.84 juta dan belanja pembangunan sebanyak RM0.02 juta,” katanya. Menurutnya lagi, secara perbandingan perbelanjaan majlis menurun sebanyak RM4.49 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu di mana pada tempoh yang sama tahun lalu perbelanjaan majlis adalah sebanyak RM93.22 juta. Tambahnya, berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan sehingga suku ketiga tahun ini, majlis masih mempunyai lebihan pendapatan atau ”surplus” sebanyak RM53.17 juta. Walau bagaimanapun, katanya tanggungan perbelanjaan majlis yang perlu dijelaskan dalam tahun ini adalah berjumlah RM37.83 juta termasuk tanggungan emolumen sebanyak RM14.53 juta). “Setelah diambilkira keseluruhan perbelanjaan dan tanggungan, majlis masih mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM15.34 juta,” katanya. Pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus dilantik memangku jawatan Yang Dipertua MPSP kerana YDP sekarang, Moktar Jait kini mengikuti Kursus Kepimpinan Dan Pengurusan Utama (ALMP) Siri 31 Bil.5 Tahun 2010 selama lebih kurang sebulan. |
Zambry patut insaf, jangan salahkan orang lain
Harakahdaily |
IPOH: Datuk Ngeh Koo Ham melahirkan rasa kesal dengan sikap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menggunakan al-Quran menyalahkan Pakatan Rakyat semasa membentangkan bajet negeri 2011, pagi tadi. Bagi Adun Sitiawan itu, Zambry sepatutnya insaf dan bertaubat, bukannya menyalahkan orang lain. |
Pusat belakangi rakyat isu air di Selangor
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar gaji Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dipotong sebanyak RM10 di atas kegagalannya menguruskan dasar penswastaan dalam sektor berkaitan. Beliau sewaktu mengemukakan usul berkenaan berkata, menteri gagal melaksanakan tarif yang dijanjikan dalam perjanjian konsesi penswastaan dahulu dan untuk mendapatkan pulangan yang telah mereka janjikan, kerajaan terpaksa sama ada membayar pampasan dan subsidi dengan mengorbankan wang rakyat. "Contoh empat konsesi air di Selangor, tiga yang merawat, satu yang mengagih. Puncak Niaga, Splash dan Abbas yang mengagih dan Syabas yang merawat air manakala empat konsesi ini menanggung hutang RM6.4 bilion," kata beliau. Menurutnya juga, sehingga kini masalah penstrukturan air di Selangor gagal diselesaikan kementerian berkenaan. "Pertikaian di Selangor sehingga kini setelah dua tahun lebih Selangor di bawah Pakatan, sehingga kini persoalan penstrukturan air tidak dapat diselesaikan. "Nyata dalam perkara ini wujud kecenderungan yang menyaksikan masalah yang terbit kerana air tidak diurus secara baik padahal Span telah diwujudkan," katanya. Beliau turut menyentuh mengenai audit yang tidak dijalankan dengan baik menyebabkan banyak berlaku kepincangan. "Kita masih tidak dapat melihat satu audit ke atas tadahan air yang seperti tidak diletakkan kepentingan. Semua air mentah sehingga kini tidak diurus tadbir dengan baik," katanya lagi. Beliau turut menegaskan sekiranya menteri masih mahu memberikan penguruskan air kepada syarikat swasta khususnya di Selangor, ternyata mereka membelakangi rakyat. "Jika kementerian masih bertegas untuk memberi kembali hak mengurus air kepada pihak swasta khususnya di Selangor maka nyata menteri bersedia membelakangi rakyat dan tidak melindungi kepentingan umum," katanya. Usul itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional setelah dibahaskan. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat seramai 15 orang bagaimapun bangun mempertikaikan keputusan itu bagi membolehkan undi belah bahagian diadakan. Undi belah bahagian itu menyaksikan seramai 58 wakil BN tidak bersetuju manakala seramai 47 wakil Pakatan Rakyat bersetuju. |
“Meneruskan Cita-cita Rakyat”
RESOLUSI PERSIDANGAN SHAH ALAM: Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.
Setelah mengambil kira hasrat pihak Kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta Persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini Kami menegaskan:
1. Untuk terus memimpin kerajaan Negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;
2. Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;
3. Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;
4. Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan
5. Untuk memastikan sumber kekayaan Negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan. Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:
1. Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;
2. Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);
3. Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
4. Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai- pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan
5. Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara ahli-ahli politik dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan Negeri. Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:
1. Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
2. Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
3. Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;
4. Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
5. Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
6. Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;
7. Menjamin ‘security’ makanan Negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
8. Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
9. Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya Kerajaan Tempatan menjadi kenyataan;
10. Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat,
bersih, dan hijau.
Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak Negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat; berlaku keterbatasan kuasa Negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan Negeri; dan Kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.
Namun demikian, Kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir Negeri, maka Kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan Negeri dan kemajuan rakyat.
Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing Negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat
Adalah Kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat, Menerima resolusi ini untuk dilaksanakan.
Aminulrasyid seperti pemandu berpengalaman – saksi
SHAH ALAM: Saksi ke-28 perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah hari ini memberitahu mahkamah kereta Proton Iswara yang dikejarnya itu seperti dipandu oleh orang yang berpengalaman.
R Lokman R Daly, 23, dalam keterangannya berkata, semasa insiden kejar mengejar antara tiga motosikal yang ditunggangnya bersama dua rakan lain, beliau mendapati kereta BET 2053 dipandu laju melebihi 120km/j ketika berada di jalan raya yang lurus.
Beliau juga mendakwa selain melanggar lampu isyarat merah, pemandu kereta Proton Iswara putih itu mampu menyusup laju mencelah kereta yang lain secara ‘zig-zag’ semasa tiba di lampu isyarat simpang empat berdekatan Plaza Masalam Seksyen 8 di sini.
"Pemandu seperti berpengalaman kerana dia laju dan boleh elak kereta lain," katanya semasa disoal balas peguam bela M Athimulan.
Kereta Proton Iswara putih pada malam kejadian 26 April lalu dipandu pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini yang mangsa tembakan polis, Aminulrasyid Amzah.
Lokman berkata dalam insiden itu juga, beliau bersama dua rakan lain cuba menyuruh pemandu kereta BET 2053 supaya berhenti namun gagal malah dihimpit terus oleh kereta berkenaan.
"Salah seorang rakan saya, Suffian yang berjaya memotong kereta itu cuba mengarahkan pemandunya berhenti tapi saya lihat dihimpit dan terpaksa memperlahankan motosikalnya," katanya.
Beliau juga mendakwa motosikalnya turut dihimpit kereta berkenaan ke bahu kanan jalan sewaktu cuba mendekati kereta terbabit dan mahu mengarahkan pemandu kereta agar berhenti.
Terjatuh dari motosikal
Beliau mendakwa cubaannya gagal malah terus terjatuh daripada motosikal bagi mengelakkan daripada dilanggar kereta terbabit dan pembahagi kanan jalan.
"Kalau saya tak elak kemalangan lebih serius mungkin berlaku," katanya. Beliau ketika disoal Athimulan jika dalam insiden itu ada antara rakannya pernah melanggar kereta Proton Iswara, beliau menafikannya.
Kenyataannya itu sekaligus menolak dakwaan rakan Aminulrasyid, Azamuddin Omar di media sebelum ini yang mengatakan kereta mangsa dilanggar oleh salah serang pemandu motosikal.
Lokman dalam kenyataannya juga sekali lagi mengesahkan kereta BET 2053 melanggar kereta Toyota Cellica milik rakannya yang terletak di selekoh jalan di Restoran Ali’s Cafe di Seksyen 7 di sini.
"Setuju….. dia yang langgar kereta Toyota Cellica rakan saya…mungkin ketika itu dia hendak membelok tapi saya rasa dia tak sengaja," katanya.
Usul potong gaji Menteri Tenaga ditolak
PARLIMEN KUALA LUMPUR: Usul supaya gaji Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Dr Marcus Majigoh dipotong RM10 ditolak oleh Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee setelah dibuat undian di kalangan ahli parlimen.
Seramai 47 ahli Parlimen setuju manakala 58 lagi tidak setuju dengan usul yang dibawa oleh Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) hari ini.
Dr Dzulkefly membawa usul tersebut kerana mendakwa beliau gagal melaksanakan tanggungjawab berhubung dasar pengswastaan bekalan air khususnya di Selangor.
Dalam perbahasannya, ahli Parlimen Kuala Selangor itu mendakwa dasar pengswastaan air yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat akan gagal.
"Ini berdasarkan kepada tiga faktor – tempuh pelaburan dalam industri air ini adalah terlalu panjang; kegagalan pemegang konsesi melaksanakannya dan kos yang terlalu tinggi.
Dr Dzulkefly berkata, pengswastaan air ini pada mulanya kononnya untuk mengambilalih kos air dari kerajaan negeri tetapi sebaliknya kerajaan yang menanggung mereka.
Tanggung hutang RM6.4 bilion
Katanya, empat syarikat konsensi air – Syabas, Abbas, Splash dan Puncak Niaga menanggung hutang sebanyak RM6.4 bilion kepada kerajaan negeri.
"Syarikat pembekal air berkenaan tidak mencapai prestasi mengikut terma-terma syarat yang telah dipersetujui," katanya.
Bagaimanapun, dakwanya kerajaan pusat mahu meneruskan pengswastaan fasa kedua kepada syarikat kroni walaupun ternyata mereka telah gagal dan melanggar penjanjian.
Dr Dzulkefly berkata, kualiti air yang dibekalkan oleh konsesi bekalan air kepada penduduk Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak mencapai kualiti yang diharapkan.
Manakala, kos pembayaran semula selepas bekalan air dipotong ialah RM50 berbanding RM10 semasa diuruskan oleh kerajaan negeri.
"Konsesi air berkenaan juga gagal mengatasi masalah air mentah terbuang dan ini menyebabkan mereka mahu menaikkan tarif air bagi menampung kos operasi," katanya.
Menurut Dr Dzulkefly, syarikat konsesi berkenaan juga melanggar perjanjian dengan kerajaan pusat iaitu membeli paip dari Indonesia bernilai RM320 juta untuk mengganti paip di Selangor.
Calon SPM tidak perlu ambil semula Bahasa Melayu Kertas Dua
PUTRAJAYA — Kementerian Pelajaran menafikan khabar angin bahawa calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 berkemungkinan perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Dua yang dijalankan pada 23 November lepas.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, peperiksaan subjek itu sah dan calon-calon yang menduduki peperiksaan itu tidak perlu menduduki semula kertas tersebut.
“Saya ingin menegaskan di sini supaya ibu bapa dan terutamanya calon-calon peperiksaan supaya tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta ibu bapa dan calon-calon peperiksaan supaya tidak risau atau bimbang kerana Kementerian Pelajaran sentiasa mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua peperiksaan adalah sah serta memastikan kualiti atau standard peperiksaan berada pada tahap yang baik.
Abd Ghafar berkata sehingga hari ini, peperiksaan SPM yang bermula pada 23 November lepas dan berakhir pada 20 Disember depan berjalan baik dan lancar seperti yang telah dijadualkan.
Sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai peperiksaan SPM 2010 boleh dikemukakan kepada Bilik Gerakan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia yang beroperasi setiap hari peperiksaan dari pukul 7 pagi hingga 6 petang atau menghubungi talian 03-8889 3551, 03-8889 3601 atau 03-2889 3520.
Kerajaan DAP Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan pengerusi SPPP
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata MCA mungkin hendak membuat sesuatu perubahan kerana sebelum ini jawatan itu hanya dipegang oleh orang Pulau Pinang.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan Dr Chua dan berharap beliau boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada pengerusi sebelum ini, sungguhpun beliau tidak berada di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Pemangku Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Farizan Darus di sini hari ini.
Bernama melaporkan bahawa Dr Chua telah dilantik Pengerusi SPPP dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (Teluk Ewa) untuk tempoh setahun berkuat kuasa 15 Nov lepas sehingga 14 Nov tahun depan bagi mengantikan Tan Cheng Liang.
Lim berharap Dr Chua sebagai seorang yang berkaliber dan lebih berkemampuan, akan meluangkan lebih masa di Pulau Pinang untuk menangani masalah yang timbul berkenaan dengan pelabuhan tersebut.
"Kita harus bekerjasama untuk memajukan pelabuhan berkenaan khususnya Jeti Swettenham milik kerajaan negeri.
“Saya percaya Dr Chua akan menggunakan pendekatan lain dan saya berharap dengan kerjasama yang ada, kita dapat memajukan pelabuhan ini bagi merealisasikan potensinya untuk mengembalikan pelabuhan tersebut ke zaman kegemilangannya," katanya.
Terminal Swettenham, dengan dermaga sepanjang 400 meter dan dua dolphin untuk kemudahan kapal berlabuh dibina sejak 2005 dengan kos RM65 juta.
Terminal dengan keluasan 15,000 kaki persegi turut mempunyai bangunan baru tiga tingkat yang menempatkan pejabat Kastam dan Imigresen, kawasan kuarantin dan petak meletak kenderaan bagi 18 buah bas dan 48 teksi.
Sebelum ini, kapal persiaran mewah terpaksa berlabuh jauh dari jeti dan bot terpaksa digunakan untuk mengangkut pelancong ke darat.
Ibrahim: Saya aktif balik awal 2011, harap dipanjang umur 25 tahun lagi
Menjawab soalan pelbagai pihak seolah-olah beliau ‘senyap’ dari arena politik, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata beliau sedang berehat tiga bulan selepas menjalani pembedahan jantung pertengahan 18 Oktober lalu.
Ibrahim menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat (PR) kerana menggunakan platform Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) untuk membawa isu-isu menyentuh kepentingan orang Melayu.
Beberapa pemimpin BN mendakwa tindakan Perkasa dan MPM yang dilihat keterlaluan akan menjejaskan sokongan kepada perikatan itu dalam pilihan raya.
Ibrahim, 57, berkata beliau akan kembali aktif awal tahun depan, dijangka bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Dalam sebulan lagi, saya boleh keluar semula untuk meneruskan perjuangan saya dengan aktif dan lebih berani... insya-Allah, Tok Him (Ibrahim) akan hidup 25 tahun lagi untuk mengambil berat dan menjaga kepentingan kaum Bumiputera, rakyat Malaysia dan keselamatan negara,” kata beliau dalam respons SMS dihantar kepada The Malaysian Insider.
Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim bertanding di Pasir Mas atas tiket PAS dan kemudian mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas.
Selain sebagai pemimpin belia beliau pernah menganggotai Umno dan Parti Melayu Semangat 46 (S46).
Selepas perubahan landskap politik pada 2008, Ibrahim menubuhkan Perkasa dan awal tahun ini memimpin penubuhan MPM.
Ibrahim berkata beliau mahu rehat sepenuhnya susulan pembedahan yang dijalani 18 Oktober lalu memandangkan tidak pernah berehat sepanjang tiga dekad lalu.
“Saya mahu rehat sepenuhnya. Selepas 35 tahun aktif, sejak menjadi pemimpin pelajar pada 1972 dan menyertai politik, ini kali pertama betul-betul saya berehat.
“Doktor minta saya rehat selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. Sekarang sudah enam minggu,” kata Ibrahim sambil berkata, beliau semakin sihat dan sudah kurang lapan kilogram.
Kata Ibrahim lagi, beliau melihat pembedahan jantung yang dilalui itu sebagai satu rahmat kepada dirinya.
“Terima kasih kepada Tuhan... jika tidak saya seperti sebuah kereta, bergerak tanpa henti, tanpa servis,” katanya lagi.
Putrajaya gubal garis panduan bina rumah ibadat di taman perumahan baru
KUALA LUMPUR — Putrajaya sedang merangka garis panduan untuk mengawal selia pembinaan rumah-rumah ibadat di kawasan perumahan ekoran pertikaian yang tercetus berikutan keputusan memindahkan kuil Hindu di Shah Alam tahun lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang menggubal garis panduan itu bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Berkaitan dengan pembinaan rumah-rumah ibadat di kawasan perumahan, kerajaan mempunyai garis panduan, yang sedang dikaji oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jakim juga berada dalam jawatankuasa itu,” kata beliau.
“Apabila mereka selesai (dengan garis panduan itu), kami akan membuat pengumuman,” kata beliau menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) yang mengemukakan soalan mengenai kriteria kerajaan dalam meluluskan tapak-tapak rumah ibadat di kawasan perumahan baru.
Kerajaan negeri Pakatan ulangi komitmen adakan pilihan raya tempatan
KUALA LUMPUR – Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengulangi komitmen akan berusaha untuk menyediakan undi ketiga dengan diadakan pilihan raya kerajaan tempatan yang tidak menjadi kenyataan awal tahun ini.
“(Kami) mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan,” kata kenyataan dikeluarkan di akhir persidangan sehari itu yang berlangsung di Shah Alam hari ini.
Ia merupakan salah satu daripada 10 perkara dasar awam dan agenda bertindak yang dikomited dalam resolusi diputuskan persidangan tersebut.
Kerajaan negeri PR Selangor dan Pulau Pinang telah menggerakkan usaha mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi tidak menjadi kenyataan ekoran kekangan dalam Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memansuhkan pilihan raya seumpama itu empat dekad lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bersedia untuk mengendalikan pilihan raya sedemikian selagi tiada peruntukan undang-undang sedemikian.
PR dibentuk membabitkan PAS-DAP-PKR selepas pilihan raya umum 2008.
Persidangan hari ini dihadiri oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Lim Guan Eng.
Turut diputuskan ialah usaha mahu mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah, mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat selain turut mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media Barisan Nasional (BN) dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara negeri PR.
Persidangan hari ini yang merupakan pertemuan kedua juga mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak dan juga mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah kerajaan negeri.
Kenyataan itu juga menyebut kerajaan-kerajaan negeri PR juga bersepakat untuk memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan pasukan petugas khas perumahan di peringkat negeri dan daerah, dan menjamin jaminan makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
Turut diputuskan ialah usaha memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara negeri Selangor menyediakan dana pemula sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” bagi membantu negeri-negeri PR yang lain.
Usaha ke-10 yang diputuskan bersama ialah mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.
“Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan kerajaan pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak prorakyat; berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri.
“Dan, kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa pusat. Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat,” katanya.
Selain itu, persidangan kali ini juga berjanji untuk membentuk sebuah pakatan ekonomi antara kerajaan negeri PR, menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran, melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik dan meneruskan penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara negeri PR.
Ketua diburu, Jais dakwa 21 pengikut ajaran sesat Islam Jamaah esok
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mendakwa 21 individu pengikut ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) termasuk enam warganegara Indonesia dan dua rakyat Bangladesh yang ditahan di sebuah surau di Sungai Tangkas, Kajang Jumaat lepas.
Pengarah JAIS Datuk Mohamed Kushrin Munawi berkata kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Syariah Kajang esok kerana kesalahan menunaikan solat Jumaat tanpa kebenaran serta mengikut imam yang tidak mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri itu.
“Kesemua mereka berumur antara 29 dan 50 tahun menunaikan solat Jumaat tidak cukup jemaah iaitu kurang daripada 40 orang selain membaca khutbah dalam Bahasa Arab yang dipetik daripada koleksi buku terbitan mereka sendiri bukan mengikut teks daripada Jais,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata mereka akan didakwa mengikut Seksyen 12 (c) dan 13 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana melanggar fatwa Jabatan Fatwa Selangor dan bagi setiap kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan menggunakan bangunan bagi perkara yang hanya boleh digunakan di masjid, mereka dituduh mengikut Seksyen 97 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) di mana boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Kushrin berkata ketua ajaran itu Abdul Wahab Jantan, 41, masih diburu Jais kerana beliau dipercayai berada di Solo, Indonesia bagi tujuan mendalami ajaran berkenaan semasa serbuan dilakukan.
Beliau berkata Jais telah melakukan pemerhatian terhadap gerakan ajaran sesat itu sejak setahun lepas dan menunggu masa serta bukti yang sesuai untuk melakukan serbuan.
Katanya, beberapa barang bukti dirampas untuk tujuan pendakwaan seperti teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan sendiri IJ, mimbar, set pembesar suara, risalah Islam Jemaah serta 15 keping surat pernyataan taubat yang dibuat dalam upacara “taubat”.
Selain itu, ajaran berkenaan turut dipercayai menjadi sindiket ejen nikah tidak sah berikutan penemuan beberapa dokumen mengenai pasangan yang mahu dinikahkan oleh pemimpin kumpulan berkenaan.
“Kita percaya terdapat kira-kira 1,000 pengikut ajaran IJ yang masih aktif di negeri ini yang dipercayai beroperasi di Sungai Tangkas, Kajang, Padang Jawa dan Sungai Udang, Klang, Bagan Hailam, Pelabuhan Klang dan Bandar Baru Hicom, Shah Alam,” katanya.
Dipercayai ajaran IJ diperkenalkan di Jawa Timur, Indonesia pada tahun 1941 oleh pengasasnya yang dikenali sebagai Haji Nurhasan al-Ubaidah atau nama sebenarnya, Mohd Madigol Ab Aziz.
Antara ciri-ciri ajaran sesat ini adalah pengikut IJ adalah orang Islam sebenar dan orang lain dianggap kafir, najis mughallazah seperti najis anjing tidak perlu disamak, binatang yang mati dalam kawasan kampung orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan dan tulang babi tidak haram.
Ajaran itu juga percaya dosa boleh diampunkan dengan mengisi borang tebus dosa yang disahkan oleh pemimpin.
Nik Aziz: Umno iri hati melihat permuafakatan Pakatan
SHAH ALAM – Keikhlasan dan permuafakatan dalam memperjuangkan hak rakyat menyebabkan Umno berasa iri hati dan melakukan apa saja untuk merobohkan ikatan teguh Pakatan Rakyat (Pakatan).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, Umno cuba melaga-lagakan parti dalam Pakatan dengan mendakwa PAS sebagai alat DAP.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan di Shah Alam pagi tadi.
“Saya nak tanya, adakah Umno alat MCA… PAS mendekati DAP berlandaskan Islam dan membawa Islam ke dalam DAP dan pendekatan ini diterima baik oleh DAP.
Bolehkah Umno bercakap berkenaan Islam kepada MCA ataupun MIC, jawapannya tidak boleh sebab dia sendiri (Umno) tidak ada penerapan Islam,” kata beliau.
Menurut Nik Aziz lagi, Islam tidak menyatakan apa-apapun berkenaan bangsa kerana dalam Islam semua manusia adalah bersaudara, tidak kira sama ada mereka beragama Islam ataupun bukan Islam.
Beliau mengambil contoh, Expo Cheng Ho yang dianjurkan oleh Kerajaan Pakatan Kelantan baru-baru ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai kaum, terutamanya kaum Melayu dan Cina.
Di expo tersebut ujarnya, kaum Cina dan Melayu turut mengambil bahagian dan saling membantu menjayakan expo terbabit tanpa sebarang perasaan wasangka atau waswas.
Oleh itu kesimpulannya, Umno adalah merupakan penyebab utama semua masalah di negara ini yang menyebabkan berlakunya kekacauan berkaitan kaum dan agama.
“Kerana kekacauan sebeginilah ulama Umno dahulu keluar Umno dan menubuhkan PAS,” ujar beliau lagi.
Nik Aziz juga mengambil contoh bencana banjir di Kedah yang baru berlaku baru-baru ini untuk menunjukkan topeng kejahatan Umno yang cuba mempergunakan kesempatan mempolitikkan keadaan ketika itu.
Menurutnya, Sultan Kedah yang merupakan juzuk mewakili seluruh kerajaan telah turun padang melawat kawasan dan mangsa banjir, namun dua menteri Umno cuba memburukkan kerajaan Pakatan dengan mendakwa kerajaan Kedah ‘lepas tangan’ semasa banjir.
Ini, tegasnya jelas menunjukkan bahawa mereka langsung tidak mempedulikan dan menghormati Sistem Raja-raja Melayu asalkan matlamat mereka mahu memburukkan kerajaan Pakatan berhasil
Kontraktor Melayu PP tidak lembik, bukan dayus
Sistem tender terbuka yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah teraju Ketua Menterinya, Lim Guan Eng membuktikan bahawa kontraktor Melayu di negeri itu tidak lembik, apatah lagi dayus.
Di sebalik dakwaan negatif seumpama itu selama ini, Guan Eng (gambar kanan) berkata, sistem berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti & Telus (CAT) yang menjadi pedoman pimpinan kerajaan negeri menunjukkan lebih 70% bidaan kontrak kerajaan negeri berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.
"Di Pulau Pinang, mana-mana kontraktor tidak perlu pakai kabel politik untuk dapat kontrak tetapi hanya pakai kabel komputer sebab kerajaan negeri mahu memartabatkan usahawan Bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-perolehan dan kontraktor kelas F tidak perlu hanya datang dari UMNO sahaja."
"Malah, program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebanyak RM3 juta untuk membiayai program perniagaan ekonomi kecil telah memberi manfaat kepada 356 peminjam dan 81% daripada jumlah itu ialah usahawan kecil Melayu di Pulau Pinang."
"Biarlah UMNO dan Barisan Nasional menerusi lidahnya, Utusan Malaysia hari-hari cuba menggambarkan kerajaan Pakatan Rakyat dan saya anti-Melayu tetapi kita tahu kita memang memerintah berteraskan rakyat, berjiwa rakyat demi memartabatkan rakyat tanpa mengira kaum," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Kementerian Kerja Raya turut diminta untuk menambahkan bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang untuk projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang daripada 24.5% sahaja buat masa ini kepada lebih 50 peratus di masa depan, jelasnya.
Tambahan sub-kontraktor daripada Pulau Pinang adalah perlu untuk memberikan peluang kepada sub-kontraktor Pulau Pinang mendapat peluang daripada projek RM4.5 bilion yang bertapak di negeri mereka sendiri, katanya.
Bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang yang kecil ini dinyatakan dalam jawapan Menteri Kerja Raya kepada Guan Eng dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini yang menjelaskan bahawa setakat 30 September 2010, seramai 106 sub-kontraktor telah dilantik oleh kontraktor utama bagi melaksanakan projek ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 26 sub-kontraktor atau 24.5% sahaja merupakan kontraktor yang berdaftar di Pulau Pinang, tambahnya.
Kerajaan Persekutuan menubuhkan syarikat khas, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang konsesi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer ini akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada bulan November 2013.
Kontraktor- kontraktor utama yang terlibat dengan pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini ialah Chec Contructions (M) Sdn. Bhd yang berasal dari Republik Rakyat China, UEM Builders Berhad, Cergas Murni Sdn. Bhd., IJM Contructions Sdn. Bhd., HRA Teguh Sdn. Bhd.,
*Kenyataan ini disediakan oleh Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
PKR cuba kembalikan keyakinan: "15 minit kita bongkar 15 jam fitnahnya!"
Lim Hong Siang
"Musuh serang kita bukti kita kuat", demikianlah mesej yang berkali-kali diulangi perwakilan mahupun pimpinan PKR, untuk meyakinkan perwakilan dan rakyat bahawa kekuatan partinya masih menggeruni musuh politiknya, UMNO-BN. PKR yang dihujani serangan media sejak penubuhannya, malah sepanjang pemilihan parti sehingga Kongres Nasional PKR pada hari ini, cuba meyakinkan penyokongnya bahawa perjuangan parti berada pada landasan yang tepat.
Malah, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim diasak bertubi-tubi di ruang media, dengan liputan diberikan kepada mereka yang keluar parti, tidak puas dengan perjalanan pemilihan parti dan sebagainya. Dari "pengkhianat Melayu", hujah "Anwar Anugerah Tuhan" yang mencetus pertikaian, sehinggalah "kekosongan kerusi dalam dewan kongres" dijadikan isu yang menghiasi ruang dada media musuh PKR.
Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan penggulungannya sebelum Kongres Nasional PKR melabuh tirai di Dewan Sivik MBPJ hari ini, menyerang bukan sahaja UMNO, malah rakan sekutu UMNO dalam Barisan Nasional.
Bermula dengan lojik mustahil media musuh menyetujui PKR apabila perjuangan PKR adalah untuk mendedahkan rasuah yang diamalkan oleh UMNO, Anwar Ibrahim berkata pihak musuh akan terus menyerang PKR, malah akan "curi satu dua dari PKR dan menyerang dari dalam" jika serangan gagal.
Anwar Ibrahim berkata PKR tidak mungkin diberi ruang dalam media UMNO-BN, kerana UMNO gagal menjawab apabila isu rasuah dibangkitkan. Beliau berkata, "Bagi 15 minit, mustahil...kerana dia tahu 15 minit itu, kita akan pecahkan 15 jam fitnahnya itu!"
Bukan Melayu menjadi pencacai UMNO
Anwar Ibrahim juga menjelaskan pendirian partinya yang sering dituduh sebagai "pengkhianat Melayu". Semalam, Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, juga isteri Anwar berkata konsep "Ketuanan Melayu wajib ditinggalkan".
"Lebih baik hidup di bawah pimpinan bukan Islam yang adil dan bersih, daripada hidup di bawah pimpinan Islam yang rasuah, zalim dan menindas," tegas Anwar Ibrahim (gambar kiri). Malah, beliau menyasarkan golongan bukan Melayu yang membela dengan UMNO.
"Dan yang anehnya, bukan setakat orang Melayu... (dengan) Ketuanan Melayu, rompakan Melayu, penghinaan orang bukan Melayu, masih ada alat pencacai (UMNO) orang Cina, India, Iban, Kadazan yang mempertahankan rasuah dan kezaliman Melayu terhadap kaum mereka sendiri," Anwar mengulangi kata-katanya dalam bahasa Inggeris dan menyifatkan perbuatan tersebut adalah sesuatu yang memalukan.
Azmin Ali: Lahirkan Melayu bermaruah
Azmin Ali dalam ucapan sulungnya selaku Timbalan Presiden PKR turut menyentuh kegusaran perwakilannya dalam isu kepentingan Melayu.
"Ada suara yang mahu kita terlibat dalam wacana tersebut untuk menangani kegelisahan dan rasa tidak selamat di kalangan Melayu. Sebenarnya mereka yang gelisah dan rasa tidak selamat adalah spesis Melayu Ali-Baba, mereka yang ingin mengaut kekayaan dengan cara rasuah dan tidak telus. Melayu yang memperolehi kekayaan melalui amalan rent-seeking, keuntungan besar dengan resam rasuah dan tidak telus serta tidak mahu adanya persaingan," kata Azmin Ali (gambar kanan).
Beliau yang enggan bersikap apologetik untuk mempertahankan pendirian parti ini berkata, "Bangsa Melayu adalah bangsa yang besar, bangsa yang melahirkan pemikir seperti Hamzah Fansuri, Nurudin al-Raniri, Abdullah Munsyi, Tok Kenali, Syed Sheikh al-Hadi dan lain-lain. UMNO dan PERKASA tidak mengenali tokoh-tokoh besar ini justeru itu mahu memberikan gambaran bahawa orang Melayu lemah dan tidak berkeupayaan. Melayu yang lemah adalah Melayu yang bersarang dalam UMNO. Sebaiknya, kita menganjurkan wacana yang mengungkap persoalan negara bangsa bukan polemik perkauman sempit."
Azmin menegaskan, "KEADILAN bertanggungjawab untuk melahirkan Melayu yang bermaruah dan bukannya Melayu rent-seeking, Melayu Kronisme dan Melayu Nepotiseme. Kita perlu menganjurkan wacana mengungkap persoalan bangsa sebagai 'nation'."
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Nik Aziz: UMNO sengaja timbulkan suasana tidak senang
MERDEKA REVIEW
Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri-negeri Pakatan Rakyat kali kedua berlangsung hari ini di Kompleks Kediaman Pegawai Kerajaan di Seksyen 7 di sini, yang menyaksikan tiga Menteri Besar dan Ketua Menteri berazam untuk mengukuhkan kerja sama bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Persidangan sehari ini dihadiri Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Exco-exco Kerajaan negeri dan wakil-wakil anak syarikat kerajaan negeri.
Dalam ucapan perasmian, Abdul Khalid berkata, persidangan ini adalah medium penting untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam menggalas amanah rakyat berdasarkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan urus tadbir kerajaan yang baik.
Katanya, persidangan ini juga ruang penting untuk membolehkan persoalan dasar, strategi dan program yang telah dilaksanakan di setiap negeri terlibat dikongsi sebagai panduan atau pengajaran kepada semua pihak.
Abdul Khalid berkata, negeri-negeri Pakatan Rakyat menghadapi pelbagai cabaran selama hampir tiga tahun memerintah tetapi berjaya mematahkan cubaan yang bertujuan menggagalkan usaha-usaha melakukan reformasi pentadbiran negeri.
Beliau berharap, persidangan kali ini dijadikan landasan untuk berkongsi pengalaman untuk meningkatkan tahap perkhidmatan sekali gus memperkukuhkan pentadbiran sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Bezakan kawan dan lawan
Lim Guan Eng pula berkata, pemimpin Pakatan Rakyat perlu mengubah tanggapan bahawa mereka ini bukan lagi pembangkang tetapi pemerintah negeri pemerintah dan perlu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaik mungkin.
Katanya, pemimpin negeri Pakatan Rakyat tidak perlu terlalu birokratik atau terikat dengan protokol kerana pemimpin Pakatan Rakyat perlu kekalkan budaya pemimpin berjiwa rakyat.
"Kita perlu kekalkan nilai-nilai mesra rakyat dan mudah didampingi yang kita amalkan sebelum menjadi kerajaan pemerintah. Paling penting kita tahu bezakan yang mana lawan dan kawan," katanya.
Lim juga menasihatkan Kerajaan Pakatan Rakyat supaya mendapatkan sokongan kakitangan awam dan tidak mengabaikan mereka menjadi nadi pentadbiran sesebuah negeri.
Nik Aziz Nik Mat (gambar kanan) pula menasihatkan negeri-negeri pakatan Rakyat terus bersatu menentang serangan media arus perdana yang terus memutar belit fakta bagi mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, semua masalah yang timbul di negara ini adalah mainan UMNO yang sengaja menimbulkan suasana tidak senang rakyat terhadap Pakatan Rakyat.
Azizan Abdul Razak berkata, Pakatan tidak boleh terlalu yakin untuk terus berkuasa dan jadikan pilihan raya umum 2004 sebagai pengajaran apabila PAS tewas di Terengganu dan menang tipis di Kelantan.
Bagaimanapun, beliau berkata, rakyat Kedah semakin selesa dengan pentadbiran Pakatan di Kedah yang mengamalkan ketelusan dan berjaya meningkatkan hasil negeri menerusi pembalakan.
Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan menyampaikan ucapan penggulungan pada malam ini.
*Kenyataan dari Sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar Selangor.
Masjid Al-Amin Tetap Kokoh Sewaktu Gunung Merapi Meletus
SABAH DAILY
Berikut laporannya:
Jakarta (voa-islam.com) - Subhanallah, Panasnya guguran awan panas yang dimuntahkan Gunung Merapi di Yogyakarta membuat puluhan orang meninggal dunia. Hijaunya desa sudah terganti dengan tebalnya debu abu volkanik termasuk gersangnya pepohonan yang habis terbakar.
Berdasarkan pantauan Kumpulan Penyelamat Mangsa Merapi Dompet Dhuafa, Iman Surahman, hanya ada satu bangunan yang masih utuh berdiri yaitu Masjid Al Amin. Masjid tersebut hanya berjarak 100 meter dari halaman rumah Mbah Maridjan di desa Kinahrejo, Cangkringan, Umbul Harjo Sleman Yogyakarta.
...“Betul ada masjid yang berdiri, dari sekian banyak rumah yang yang porak poranda. Yang masih tampak bentuknya yaitu masjid Al Amin, itu kuasa Allah,” kata Iman...
Yang lebih mencengangkan lagi, meskipun panas memiliki suhu lebih dari 600 darjah celcius tak dapat membakar sejumlah benda yang terdapat di dalam masjid tersebut. “Di dalam masjid, ada debu tebal. Tapi yang kita lihat ada Alquran yang terjaga dan tidak terbakar,” sambungnya.
Berdasarkan maklumat yang dihimpun masjid yang dibangunkan dekat kediaman si Mbah sebahagian dana pembangunannya berasal dari sumbangan Mbah semasa membintangi iklan minuman berkhasiat.
PERKHIDMATAN MAS SEMAKIN BURUK
MUTU perkhidmatan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) di Sandakan semakin buruk sejak akhir-akhir ini kerana banyak penerbangan tidak mengikut jadual dan ketiadaan kapal terbang untuk menggantikan kerosakan sesebuah kapal terbang.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah syarikat penerbangan milik Negara ketika bersaing hebat dengan syarikat penerbangan murah seperti Air Asia yang mencatat keuntungan berganda berbanding MAS yang mula mencatatkan kerugian besar sejak tahun lalu,” ujar Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan.
Zainuddin yang menghubungi Sabahkini.net kesal kerana penerbangan terus Sandakan- Kuala Lumpur melalui MH 2711 yang sepatutnya berlepas pada jam 11.35 pagi tadi hanya berangkat enam jam kemudian sehingga ramai penumpang yang terlepas jadual penerbangan sambungan ke luar Negara dan tidak dapat menghadiri acara penting mereka.
“Sikap tidak professional ini menyebabkan pelanggan merasa serik dengan MAS dan akan menyebabkan mereka beralih kepada penerbangan tambang murah yang segera menukar kapal jika berlaku kerosakan,” ujar Zainuddin yang kesal kerana wang tiket tidak dikembalikan bagi membolehkan beliau menaiki Air Asia.
Sebelum ini kata Zainuddin, perbicaraan penting di Mahkamah Sandakan terpaksa ditunda kepada tarikh lain kerana Timbalan Pendakwaraya, Kevin Morrais tidak dapat datang daripada Kuala Lumpur disebabkan masalah penerbangan yang serupa.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Perdana Menteri Malaysia membuat pemantauan dengan mengikuti penerbangan MAS sekali sekala kerana menggunakan jet rasmi kerajaan membuatkan beliau tidak tahu betapa buruknya perkhidmatan MAS di Sandakan dan seluruh Sabah.
KEADILAN mampu kembalikan maruah Sabah ?
Wakil dari Sabah, Winnie Juanie, menyatakan suara hati orang Sabah yang sekian lama kecewa ditipu dan diperguna oleh kerajaan BN.
Beliau percaya, hanya KEADILAN dan Pakatan Rakyat mampu mengembalikan maruah serta menjaga kebajikan orang Sabah.
“KEADILAN perlu menyelamatkan orang Sabah dari cengkaman kerajaan BN. SelamatkaNlah Sabah untuk menyelamatkan Malaysia, kerana kami juga sebahagian daripada Malaysia,” ujar Winnie.
Menurutnya, masalah seperti kemiskinan dan kekurangan infrastruktur di kawasan pedalaman masih lagi berlarutan sejak dahulu hingga sekarang.
“Setelah sekian lama di bawah pemerintahan BN, masih ada rakyat Sabah yang tidak mendapat bekalan elektrik serta air.
Masih ada jalan yang tidak diselenggara dengan baik” jelas Winnie.
“Pendatang asing tanpa izin semakin hari semakin banyak malah tidak langsung berkurangan.
Di bawah Projek MyKad Mahathir, sebanyak 1 juta pendatang asing tanpa izin diserap sebagai warganegara berbanding 4 juta pengundi berdaftar di Sabah,” tambah Winnie.
DUN Kemasik dan DUN Chukai boleh dimenangi
BULETIN ONLINE
KEMAMAN: PAS Kawasan Kemaman yakin dengan perkembangan politik semasa di Terengganu boleh memenangi dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemasik dan Chukai.
Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun berkata dua Dun di Kemaman berpotensi besar untuk PAS menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.
Katanya, Dun Kemasik dan Dun Chukai juga termasuk dalam sasaran parti untuk menang dengan ‘simple’ majoriti 17 kerusi Dun dalam pilihan raya tersebut.
“Saya harap dalam pilihan raya akan datang Dun Kemasik ini boleh menang dan kita yakin dengan perkembangan politik semasa ini boleh menang.
“Dua Dun di Kemaman ini ada potensi untuk PAS menang iaitu di Dun Kemasik dan Dun Chukai, Insya’Allah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Peringkat Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kemasik di Pasti Al-Abrar, Kampung Gelogor, Kertih, Kemaman paad 24 November lalu.
Menurutnya, Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kemasik diberi penghormatan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menjadi Dun pertama dilancarkan gerak kerja pilihan raya di negeri ini.
Katanya, Dun Kemasik terletak dalam lingkungan para pengundi yang boleh mengeksas dengan internet serta media baru.
Tambah beliau minda serta pemikiran rakyat di kawasan bandar serta pinggir bandar tidak mudah ‘dibeli’ kerana terdedah dengan sumber maklumat sebenar.
MTD Kemasik terdapat 10 Unit Peti Undi (UPU) PAS iaitu UPU Batu Putih, UPU Felda Kertih 5, UPU Kampung Ranggon, UPU Kuala Kertih, UPU Pekan Kertih, UPU Tanjung Pantai, UPU Ayer Jernih, UPU Kampung Chabang, UPU Felda Kertih 6 dan UPU Kampung Tok Kaya.
Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta dihadiri oleh Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Arifin Deraman dan Pengarah MTD Kemasik, Ustaz Alias Abdul Hamid.
FREE MALAYSIA TODAY