MALAYSIAKINI
Walaupun banyak pengangkutan awam disediakan, segelintir golongan muda
memilih untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri menunggang
'kapcai' atau motosikal berkuasa rendah.
Menurut mereka selain menjimatkan kos, menunggang beramai-ramai atau
berkonvoi ke kampung halaman juga dapat mempererat silaturrahim sesama
mereka.
Pekerja swasta, Mohd Syahrul Hafizan Wahid, 25, berkata berkonvoi 15
hingga 20 buah kapcai untuk pulang beraya sudah dilakukannya sejak tiga
tahun lepas.
"Bukan tak nak guna pengangkutan awam, tapi kadang-kadang bila pergi ke
terminal bas atau stesen kereta api, tiket telah habis dijual walaupun
Ramadan belum menjengah.
"Justeru, saya berpakat dengan beberapa rakan untuk pulang ke kampung
halaman menaiki motosikal walaupun terpaksa menunggang lebih 300
kilometer," katanya kepada Bernama.
Mohd Syahrul yang berasal dari Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) Kesedar
Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan, berkata banyak kelebihan menaiki
motosikal berbanding menggunakan kereta untuk pulang ke kampung halaman.
"Antaranya dapat mengelak kesesakan lalu lintas yang sering berlaku
terutama dua hari menjelang lebaran kerana ramai yang akan pulang ke
kampung halaman ketika itu.
"Kadang-kadang kasihan bila mendengar sanak-saudara terperangkap dalam
kesesakan sehingga berbelas jam kerana tiada lebuh raya yang
menghubungkan Pahang dan Kelantan," katanya.
Rakannya, Mohd Akirul Abdullah, 24, dari Felda Paloh 3, Gua Musang,
berkata sebelum memulakan perjalanan, motosikal perlu diselenggara agar
kenderaan itu berada dalam keadaan baik.
Katanya antara perkara penting ialah menukar minyak hitam selain brek dan tayar pula dipastikan dalam keadaan baik.
"Ketika pulang, peralatan membaiki motosikal seperti sepana dan tiub
tayar juga mesti dibawa sebagai persediaan jika tayar motosikal pancit
selain memastikan ada antara anggota konvoi yang pandai baiki
motosikal," katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment