Pengacara Melodi yang baharu iaitu Sherry Alhadad meminta agar penonton
tidak terus memberi kritikan negatif selepas dia dan Zulin Aziz terlibat
megendalikan rancangan itu bersama Awal Ashaari.
Sherry, 30, berkata, mereka masih lagi mencari keserasian bersama Awal
dan berusaha memastikan kehadiran mereka berjaya memenuhi selera
penonton.
"Tipulah kalau saya kata tidak kecil hati dengan komen dan kritikan
penonton terhadap kami, sehingga saya fikir teruk sangatkah saya
mengacara?
"Bagilah kami masa dan peluang untuk memperbaiki diri, ini baru tiga
minggu kami bersama dan saya yakin lama kelamaan ia akan lebih baik,"
ujarnya ketika dihubungi mStar Online.
Sherry berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kritikan di
media sosial tentang gandingan baharu program Melodi bagi menggatikan
Zizan Razak iaitu Sherry Al-Hadad dan Zulin Aziz.
Selain itu kedua-dua mereka turut bersama Awal Ashaari yang masih
dikekalkan sebagai pengacara berkenaan. Gandingan ini diperkenalkan pada
6 Julai lalu.
Sementara itu, Sherry mengakui gandingan mereka memberi cabaran besar
apabila negara digemparkan dengan pemergian Biduanita Datuk Sharifah
Aini dan nahas pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH17.
Katanya, episod itu memerlukan mereka sentiasa berhati-hati agar tidak
terlepas cakap yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.
"Dua episod awal ini sangat mencabar apabila berhadapan situasi yang
sangat sensitif, kami perlu jaga percakapan dan tidak boleh terlepas
lawak yang tidak kena tempat.
"Jadi pada episod MH17 Ahad lalu, kami memang tidak banyak cakap kerana
sentiasa fikir apa yang perlu dicakap yang tidak menyentuh perasaan
mana-mana pihak sehingga akhirnya tidak terkeluar apa yang hendak
dicakap itu.
"Nasib baik Awal banyak pengalaman tentang itu, saya tahu ada yang komen
kata kami tidak banyak cakap dan tiada fungsi pada minggu itu,"
katanya.
Sherry berkata, dia akui seorang pengacara yang baik perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang situasi sekalipun.
Katanya, biarpun agak kecewa dengan kritikan yang diberikan, namun dia
mengambil perkara itu sebagai cara untuk memperbaiki diri.
"Kalau boleh saya tidak mahu baca komen mereka sebab ia beri unsur
negatif tetapi bila fikir balik, saya kena baca juga untuk saya
perbaiki diri menjadi lebih baik," katanya.
No comments:
Post a Comment