Kemelut
Akta 355 boleh dikata sudah pun berakhir sekarang ini. Hampir tiada
harapan lagi untuk melihatnya dapat dibentangkan, apatah lagi untuk
diluluskan. Kalau ada pun harapannya, ia hanyalah tinggal senipis kulit
bawang saja lagi.
Apa
pun janji yang dilafazkan, antaranya dengan mengatakan Speaker Parlimen
tentu ada kebijaksanaan untuk memberi ruang kepada Hadi Awang untuk
membentangkannya, ia tidak lebih sekadar janji palsu semata-mata.
Najib Razak, UMNO dan BN sebenarnya sedang menjadikan Speaker Parlimen sebagai perisai untuk menyelamatkan diri mereka.
Begitu
juga dengan kata-kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan, keengganan kerajaan membentangkan
usul Akta 355 tidak bermakna kerajaan tidak mahu menyokongnya, turut
merupakan janji palsu belaka.
Malah,
ini merupakan janji palsu paling dahsyat daripada seorang yang berkuasa
berkaitan kepentingan agama. Ia ibarat seorang teruna yang sudah
termengandungkan seorang wanita secara luar nikah, kemudin berjanji
untuk kahwin, tetapi dengan syarat jika seluruh keluarganya memberi
keizinan terlebih dahulu.
Menurut
kata Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, apa yang berlaku dalam isu
Akta 355 ini ialah kerana kedua-dua pihak, UMNO dan Pas, bersifat
gelojoh serta tidak mengikut road map atau hala tuju yang sepatutnya
berkaitan usul tersebut.
Kedua-dua
pihak, kata beliau, sepatutnya mengikut road map jawatankuasa teknikal
yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan suatu
ketika dahulu.
"Road
map itu adalah bagi membolehkan enakmen jenayah di negeri Kelantan
dapat dilaksanakan iaitu dengan meminda Akta 355 dan jawatankuasa juga
bersetuju pindaan itu mesti dibawa oleh kerajaan kerana ia di bawah
bidang kuasa mereka.
"Jadi,
akibat daripada tindakan tidak mengikut road map yang telah ditetapkan
iaitu menjadikannya sebagai usul persendirian, maka ia telah menyebabkan
keadaan menjadi celaru," kata Mahfuz.
Terbukti
di sini bahawa kecelaruan dan kekeliruan berkaitan Akta 355 adalah
kerana keinginan Najib dan Hadi menjadikannya sebagai isu politik untuk
kepentingan UMNO, Pas serta untuk mengaburi rakyat melalui hubungan
mesra mereka.
Di
pihak Hadi dan Pas, mereka bukan saja berceramah, berkempen, mengajak
rakyat bermunajat, bersolat hajat dan berhimpun di Padang Merbok serta
meminta seluruh umat Islam bersama mereka, sedangkan sejak awal mereka
tahu bahawa road map yang sepatutnya langsung tidak diikuti.
Akhirnya, semua orang jadi keliru dan celaru.
Begitu
dengan Najib dan UMNO. Beliau juga tahu dan pasti sedar bahawa road map
yang sepatutnya tidak dilalui dan sebelum sesuatu mahu dilaksanakan,
persetujuan parti-parti komponen BN wajar dirundingi terlebih dahulu.
Lebih-lebih lagi jika daripada awal ada parti-parti komponen yang
menyuarakan bantahan.
Tetapi,
mengapa Najib dengan berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung UMNO berani
mengatakan kerajaan akan mengambil alih usul Akta 355 itu?
Mengapa
Najib memberi sokongan penuh kepada Perhimpunan Ungu di Padang Merbok,
bukan saja dengan menghantar Jamil Khir Baharom menghadirinya, malah
turut berkirim salam kepada para peserta?
Mengapa
juga Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri turut memberi
jaminan yang sama iaitu kerajaan akan mengambil alih usul berkenaan
dengan hujah kononnya sebagai langkah komited kerajaan meletakkan
perundangan Islam di tempat yang sewajarnya?
Mengapa begitu berani untuk menjerit, bertempik dan bersorak terlebih dulu sedangkan mesyuarat BN belum pun diadakan?
Akhirnya,
apabila konsensus gagal dicapai dan kerajaan tidak jadi mengambil alih
usul tersebut yang dilihat semata-mata kerana tunduk dengan ugutan MCA,
MIC dan Gerakan, rakyat juga jadi keliru dan celaru?
Natijahnya, Najib dan Hadi, sama-sama memikul tanggungjawab telah mengelirukan umat Islam negara ini.
Hadi,
bermula dengan Amanat Haji Hadi yang menyebabkan umat Islam berpecah,
wujudnya dua iman, pasangan bercerai, suka melabel orang lain sebagai
kafir, taghut, assabiyah, barua dan munafik sehinggalah kepada isu Akta
355, sudah terlalu banyak menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan dalam
masyarakat.
Najib,
dengan pelbagai skandal dan imej buruknya di dalam negara dan di mata
dunia, turut sama menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan atas banyak
tindakannya dan yang terbaru ialah u-turnnya berkaitan Akta 355.
Kedua-dua
mereka ini adalah lambang kekeliruan dan kecelaruan kepada Malaysia dan
sudah sewajarnya diletakkan di kerusi persaraan. Selagi mereka ini ada,
negara tidak akan bertambah baik, jauh sekali bertukar menjadi aman dan
tenteram.