Friday, December 31, 2021

“Alamak.. Macam Mana Abang Polis Trafik Ada Dekat Jeti? Mampus Tak Boleh U-Turn!” – Geng Motor

  THE PROFESSOR

Siapa sangka hajat geng konvoi nak sambut tahun baharu 2022 di Pulau Langkawi dimulakan dengan sambutan abang polis trafik di jeti pelabuhan di Tanjung Lembung.

Situasi ini dapat ditonton menerusi satu video di TikTok yang menunjukkan sekumpulan pemuda ditahan oleh sepasukan polis sejurus kapal mereka naiki sampai di jeti pelabuhan.

Setiap daripada mereka perlu menolak keluar motosikal masing-masing daripada kapal dan berbaris untuk pemeriksaan dan di dalam kapal, masih ramai yang belum keluar.

Menurut info, geng konvoi’ ini berlepas menaiki kapal dari Kuala Perlis menuju ke jeti pelabuhan di Tanjung Lembung, Pulau Langkawi.

Mereka dipercayai dalam perjalanan untuk bercuti dan pada masa sama mahu menyambut ‘acara tahun baharu’ di pulau bersejarah tersebut.

Tambah orang ramai lagi, pasukan polis begitu cekap dengan membuat perancangan rapi sehingga tiada siapa boleh terlepas daripada pemeriksaan besar-besaran yang dilakukan di jeti pelabuhan tersebut. SM

Muat naik video seksi, Sajat minta dikutuk lagi!

HASNURUL MOHAMED

SARANAN menutup tahun 2021 ini tanpa diperbesarkan kisah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang kini telah pun berhijrah ke Australia.

Sajat yang mengusahakan perniagaan kosmetiknya telah mencetuskan banyak kontroversi sepanjang tahun ini dengan menarik perhatian umum terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial.

Menjadi tabiat Sajat kebanyakkan tindak-tanduknya dimuatnaik dalam media sosial iaitu di Instagram atau TikTok.

Bahan yang dimuatnaik sama ada mengundang ketawa ataupun kecaman daripada wargamaya.

Terbaharu Sajad dikritik selepas berkongsi video yang menampilkan dirinya memperagakan busana wanita yang kalau dipakai oleh wanita tulen, nampak seksi.

Tertanya-tanya juga, di manakah keseksian Sajad mengenakan busana seksi tersebut yang menampakkan lurah dendam Sajad?

Dalam ruangan komen, maklumbalas yang ditinggalkan oleh pengguna media sosial tidak bersetuju dengan apa yang dikongsikan Sajat.

Ada yang mengingatkan Sajat soal mati dan ada juga yang menulis komen berbunyi begini:
Buatlah macam mana sekalipun, kalau dah fitrah tu lelaki tetap nampak lelaki juga.

Lain-lain komen yang ditulis oleh netizen, boleh dibaca sendiri. – SM

Tiada lagi pengeluaran simpanan KWSP – Tengku Zafrul

Bangunan KWSP yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. GAMBAR: ABD RAZAK AID

WALAUPUN masih terdapat desakan untuk mengeluarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bertegas menolak permintaan berkenaan.

Dalam kenyataan dilaporkan Malay Mail, Tengku Zafrul berkata, tindakan membenarkan pengeluaran simpanan itu hanya akan membebankan generasi akan datang yang perlu menjaga warga emas tanpa simpanan persaraan.

Tengku Zafrul menegaskan, langkah luar biasa yang dilaksanakan KWSP sebelum ini adalah sebagai tindak balas menghadapi situasi sukar yang belum pernah berlaku ekoran pandemik global.

Hasilnya, kata beliau, pencarum telah pun mengeluarkan RM101 bilion daripada simpanan KWSP masing-masing.

Justeru, Tengku Zafrul menegaskan, inisiatif tersebut adalah program luar biasa yang telah memenuhi tujuannya dan mesti berakhir dengan muktamad.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa pihak secara agresif melobi supaya kerajaan membenarkan pengeluaran awal tambahan pencarum daripada simpanan persaraan mereka.

“Izinkan saya mengulangi bahawa kerajaanlah yang pertama kali mencetuskan idea ini tahun lalu dan ia hanya dapat dilaksanakan selepas pertimbangan teliti serta penilaian kewangan dan ekonomi.

“Suara-suara yang kini ‘menghasut’ rakyat dalam isu ini tidak pernah terlibat dalam keputusan itu justeru tidak mengetahui tentang pelbagai analisis komplikasi dan impak.

“Namun, provokator ini berniat mengeksploitasi keadaan dan telah menekan KWSP serta kerajaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kebajikan jangka panjang rakyat dengan menyediakan penyelesaian kepada cabaran semasa dan masa depan.

Menurut beliau, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 iaitu hanya lapan tahun lagi.

Sekiranya populasi tua tidak mampu memenuhi keperluan asas, Tengku Zafrul berkata, beban kewangan itu bukan sahaja ditanggung oleh kerajaan tetapi juga kepada pembayar cukai akan datang.

“Itulah sebabnya pentadbiran sebelum ini tegas dalam menjaga dana persaraan ahli dalam KWSP.

“Sebagai contoh, pada 2014, banjir besar melanda beberapa negeri termasuk Kelantan dan Pahang yang menjejaskan lebih 300,000 isi rumah dengan ramai kehilangan kediaman dan kereta.

“Walaupun hakikatnya ada mangsa banjir kehilangan segala-galanya dalam bencana itu, namun kerajaan bertegas tidak membenarkan walau satu sen pun pencarum menyentuh wang hari tua mereka.

“Sebaliknya, kerajaan membantu mangsa membina semula kehidupan melalui cara lain dan hari ini, kerajaan menggunakan pendekatan sama untuk membantu mangsa banjir,” kata beliau.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

Sambutan tahun baharu batal, diganti solat hajat, doa selamat – PM

SAMBUTAN Tahun Baharu 2022 dibatalkan dan akan digantikan dengan solat hajat serta doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia. FOTO FACEBOOK ISMAIL SABRI YAAKOB

SAMBUTAN Tahun Baharu 2022 dibatalkan dan akan digantikan dengan solat hajat serta doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia supaya menganjurkan solat hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022, esok di Masjid Putra, Putrajaya.

“Dengan itu, saya mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada malam esok.

“Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran itu turut disertai dengan poster majlis berkenaan yang akan bermula pada 7 malam.

Perdana Menteri turut menyarankan masjid di seluruh negara terutamanya masjid negeri agar menganjurkan majlis sama.

Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing, katanya.

Beliau berharap segala usaha yang dilakukan akan mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. – BERNAMA

COVID-19 terus meningkat, 3,997 kes baharu hari ini

Sebahagian daripada pelajar-pelajar sekolah mendaftar sebelum menerima suntikan vaksin Covid 19 pada Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik, Petaling Jaya baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

JANGKITAN harian COVID-19 dalam negara terus meningkat dan menghampiri paras 4,000 apabila 3,997 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding 3,683 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,754,513.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 64 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 3,933 kes (98.4 peratus) lagi adalah kategori satu dan dua.

Beliau berkata kes harian itu melibatkan 3,631 kes penularan tempatan dan 366 kes import, sementara 3,984 kes sembuh menjadikan kumulatif 2,681,390 kes.

“Kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 281 dan 155 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata hanya tiga kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif kini 221 kluster dan keseluruhan 6,123 kluster, sementara kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.95 setakat semalam.

Mengenai kes COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata setakat hari ini, 15 kes positif direkodkan melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala jumlah keseluruhan mangsa banjir positif wabak itu adalah 442 orang.

Katanya tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan melibatkan mangsa banjir di PPS.

Bagaimanapun, katanya terdapat 71 lagi kes penyakit berjangkit yang dikesan melibatkan mangsa banjir hari ini, merangkumi jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak 26 kes, penyakit kulit (30), cute Gastroenteritis (AGE) (13) serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) (dua).— BERNAMA

Selepas ditegur emak mengada-ngada kerana status ‘umur tidak panjang’, Aliff Syukri kemuka surat doktor

ALIFF Syukri telah dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lepas dan sedang sembuh. (Gambar kanan) Surat pengesahan Aliff dijangkiti COVID-19.

PADA awalnya ramai netizen yang bersimpati dan sedih melihat video usahawan Datuk Seri Aliff Syukri menerima rawatan di hospital kerana dijangkiti COVID-19 selepas pulang bercuti bersama keluarga di Istanbul.

Ramai juga yang sebak apabila dalam hantarannya di Instagram bertajuk ‘Allah sayangi aku…”, Aliff beria-ia meminta maaf kepada semua orang, seolah-olah ketika dia menulis status itu usianya tidak akan panjang lagi selepas dijangkiti COVID-19 Tahap 3.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, suasana menjadi lucu pula apabila ibu kepada usahawan tersebut, Rozita Ibrahim mendedahkan walaupun betul dijangkiti COVID-19 Tahap 3 tetapi anaknya itu telah semakin sembuh dan bukannya dalam keadaan kritikal.

Dia menegur anak manjanya itu yang dikatakan ‘mengada-ngada’ menceritakan berlebih-lebihan mengenai keadaan penyakitnya itu kerana dikatakan ingin viral.

“Dah sembuh pun kan? Tak payahlah nampak nazak sangat,” tegur Rozita kepada anaknya itu yang dilabel sebagai ‘Raja Viral’.

“Kau memang Raja Viral kan. Memang Kri (Syukri) COVID-19 tahap tiga, tapi dah sembuh. Memang disleksia tak faham bahasa. Mak geram dengan kau Kri.

ALIFF Syukri bersama ibu dan keluarganya.

“Mak ‘sound’ Ida (Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid), mak hubungi Kri, mesej, tak jawab. Semalam, mak dah tegur, faham-fahamlah. Sekarang mak tegur ‘direct’ biar kau rasa. Nak sangat kan tular. Mari mak kecam kau pula,” tulis Rozita dalam Instagramnya.

Membalas kembali teguran ibunya, Aliff memuatkan lagi status terbaharu yang menyatakan memang betul dia telah dimasukkan ke wad hospital empat atau lima hari lepas dan kini masih berada di Hospital Damansara, Kuala Lumpur.

“Terlebih dahulu saya nak ucapkan terima kasih yang telah mendoakan kesihatan saya.. Sebenarnya saya telah dimasukkan ke hospital 4-5 hari yang lepas dan sekarang masih di wad Hospital Damansara bukan sekadar gimik ya ..

“Saya memang tak nak ‘infom’ sesiapa waktu sayay tengah lemah sangat sebab saya pitam terlalu sakit.. bila saya dah sedar dan beransur pulih baru saya ‘posting’ video tu… sebab ramai juga yang ingatkan saya sengaja atau demam biasa..

“Lagi-lagi mak saya tu, dia ta faham saya.. sebab tu saya ‘posting’ sekali dengan surat pengesahan saya COVID Tahap 3..,” katanya.

Aliff juga menjawab persoalan mengapa wadnya cantik walaupun sedang mendapat rawatan COVID-19, katanya: “Sebab saya duduk hospital swasta saya pilih bilik yang cantiklah… bukan kerajaan yg tanggung insurans (insuran akan bayar bila anda dijangkiti COVID-19 Tahap 3 keatas sahaja ya)

“Soalan kenapa saya boleh makan buah-buah sedap (sebab saya dah pulih). Bukan masa nazak sakit hari tu saya makan…,”katanya yang mengakui kenyataan emaknya bahawa keadaannya sekarang telah pulih dan bukannya dalam keadaan tenat.

Rozita dalam hantara sebelum itu turut menjelaskan bahawa dia sebelum ini sudah menasihatkan anaknya supaya membuat ujian COVID-19 dengan segera namun tidak diendahkan.

“Mak nangis suruh periksa sebelum itu, tapi kau tak nak dengar. Dah sihat, kau pun ‘post’ macam sedang nazak. Kejap lagi, mak hantar ‘sepak’ guna Telegram ke hospital, baru ada akal,” tulisnya.

55 jemaah umrah Malaysia dikuarantin di Mekah kerana positif COVID-19

JEMAAH umrah yang baru balik dari Arab Saudi perlu memakai alat pe njejak digital sepanjang tempoh kuarantin. - Gambar Facebook KP Kesihatan

SELEPAS dikejutkan dengan ramai jemaah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi dijangkiti varian baharu COVID-19 iaitu Omicron, kini dilaporkan 55 orang jemaah umrah dari Malaysia sedang menjalani kuarantin di Mekah kerana positif penyakit tersebut.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata, mereka yang dikesan positif COVID-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik dengan ditempatkan di bilik hotel berasingan dan tidak menunjukkan simptom penyakit yang teruk.

Katanya, pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu juga menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari, selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya memetik laporan Selangorkini.

Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd Fahmi Mohd Nawi satu dalam kenyataan menyatakan, pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

“Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron dan jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Kertas siasatan kes Long Tiger hampir lengkap – Ayob Khan

Polis Johor membuat laporan susulan gambar tangkapan Long Tiger tular di media sosial semalam kerana boleh mengganggu siasatan./ Gambar media sosial

KERTAS siasatan kes membabitkan lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang berjaya diberkas semula setelah melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor baru-baru ini, hampir lengkap.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar selepas program Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor, hari ini.

Menurut Ayob Khan, buat masa ini, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dan tiga lagi individu dipercayai rakan lelaki berkenaan masih direman sehingga Isnin.

Namun begitu, beliau berkata, polis mungkin akan meminta tahanan reman terhadap Long Tiger dan tiga lagi individu itu disambung sekiranya siasatan belum lengkap.

“(Reman) bergantung kepada siasatan, kalau siasatan belum lengkap mungkin kita akan minta disambung reman.

“Ini juga bergantung kepada Majistret sama ada akan bagi reman tambahan atau tidak.

“Insya-Allah, saya rasa kita dah hampir siapkan kertas siasatan. Kes ini straightforward. Dia melarikan diri daripada tahanan.

“Kita tunggu dan lihat, kalau tak cukup mungkin kita akan minta reman tambahan,” katanya.

Pada masa sama, Ayob Khan memaklumkan, jumlah tangkapan melibatkan kes tersebut kekal empat orang.

Selepas 13 hari bertindak melarikan diri daripada tahanan, Long Tiger yang berdepan perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan akhirnya diberkas semula di Kedah, Selasa lalu.

Selain Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, dia juga masih berdepan dua perbicaraan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol serta Seksyen 506 kanun sama kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya.

Long Tiger ditahan ketika menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.

Lelaki tersebut dikatakan memilih untuk keluar dari negara ini sama ada ke Thailand atau Indonesia setelah meloloskan diri dari lokap, 15 Disember lalu.

Dia direman empat hari hingga Isnin ini oleh Mahkamah Majistret Tangkak bersama-sama tiga lagi individu dipercayai rakan lelaki berkenaan.

Perintah reman terhadap Abdul Hamim dan tiga lelaki masing-masing berusia 36, 38 dan 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.

PM arah Nadma siap sedia gelombang kedua banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi-agensi lain yang terlibat bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir.

Ia susulan amaran hujan berterusan di tahap bahaya dan buruk yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia(MetMalaysia) di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Menurut Perdana Menteri, beliau sendiri akan memastikan gerak kerja persediaan itu berjalan dengan lancar.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan patuh arahan serta nasihat pihak berkuasa.

“MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya dan buruk yang dijangka berlaku di banyak lokasi sekitar Pantai Timur.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah mengeluarkan amaran banjir dan ada sungai yang telah mencecah paras bahaya sejak beberapa hari lalu.

“Sehubungan itu, saya telah arahkan Nadma serta agensi-agensi terlibat yang lain untuk bersiap sedia di lokasi-lokasi berisiko bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua.

“Saya sendiri akan memastikan gerak kerja persediaan ini berjalan dengan lancar,” katanya dalam ciapan di Twitter, tengah malam tadi.

Dalam amaran terbaharu yang dikeluarkan kira-kira pukul 5.00 pagi tadi, hujan sangat lebat berterusan di tahap bahaya dijangka berlaku di Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.

Selain itu, amaran tahap bahaya juga dikeluarkan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu serta Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

Mersing dan Kota Tinggi turut diletakkan dalam amaran tahap bahaya yang dijangka berlaku sepanjang hari ini.

Pada masa sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga esok di beberapa kawasan di Pantai Timur.

Kawasan itu melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan.

Di Terengganu pula, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang turut diletakkan di paras buruk manakala Cameron Highland, Lipis, Temerloh dan Bera di Pahang.

Segamat dan Kluang adalah dua kawasan di Johor yang diletakkan dalam paras buruk.

Mangsa banjir Kelantan, Terengganu meningkat

BERNAMA

Seramai 1,186 orang dari 350 keluarga berada di PPS Kelantan berbanding 856 orang pada sebelah petangnya.

Bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan malam tadi manakala Pahang menunjukkan penurunan sementara di Selangor dan Negeri Sembilan kekal dengan jumlah sama.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 1,186 orang daripada 350 keluarga berada di PPS setakat 9 malam tadi berbanding 856 orang daripada 245 keluarga petang semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), 14 PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu sembilan di Jeli dan lima di Kuala Krai.

Sementara itu, menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah berada pada paras bahaya apabila merekodkan bacaan 23.74 meter (m).

Portal rasmi pengurusan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan jalan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Kampung Reka, Jeli ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 137 orang daripada 42 keluarga malam ini berbanding 69 orang daripada 22 keluarga petang tadi.

Satu lagi PPS di Dungun iaitu Dewan Serbaguna Kampung Shukur dibuka menjadikan jumlah keseluruhan dua PPS beroperasi ketika ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu Rosman Abdullah berkata hanya Dungun satu-satunya daerah yang dilanda banjir hari ini namun pemantauan turut tertumpu di Daerah Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman.

“Jumlah mangsa dijangka terus bertambah malam ini kerana kebanyakan (paras air) sungai utama masih menunjukkan trend peningkatan,” katanya.

Portal rasmi JPS memaklumkan stesen bacaan tiga sungai di tiga daerah di negeri ini telah melepasi paras bahaya malam ini iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dengan bacaan setinggi 35.03 m, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (38.63m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (19.89 m).

Bagaimanapun, di Pahang, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 3,390 mangsa yang masih berada di 33 PPS di Bentong, Temerloh, Kuantan, Maran dan Pekan.

Portal rasmi JPS turut melaporkan bacaan paras air Sungai Kuantan di Bukit Kenau berada di paras amaran manakala Sungai Dong (Raub), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong), Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Lembing (Kuantan) berada di paras waspada.

JPS turut meramalkan banjir akan berlaku secara berperingkat di beberapa daerah lain di negeri ini iaitu Kuantan, Rompin, Pekan, Bera, Maran, Jerantut, Temerloh, Lipis, Raub dan Bentong susulan amaran tahap bahaya dengan hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi petang tadi.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir kekal dengan 466 mangsa melibatkan 132 keluarga di empat PPS di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat, Stadium Tertutup Kuala Selangor (201 orang) dan SMK Kuala Selangor (168 orang) di Kuala Selangor.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan tiga klinik desa (KD) iaitu KD Kampung Nenas, Klang manakala KD Dusun Tua serta KD Batu 18 di Hulu Langat terpaksa ditutup sementara susulan banjir.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir kekal kepada 29 individu daripada sembilan keluarga yang berada di PPS Balai Raya Kampung Puom, Jelebu setakat 9 malam tadi.

Suntikan dos penggalak lepasi 6 juta

 BERNAMA

97.6% populasi dewasa Malaysia lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sebanyak 22,855,374 individu atau 97.6% populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data kementerian kesihatan (KKM) melalui laman CovidNow, sejumlah 98.9% atau 23,148,776 individu daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, 2,753,927 individu atau 87.5% remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,846,238 individu atau 90.4% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan sejumlah 205,259 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 3,419 dos pertama, 4,719 dos lengkap dan 197,121 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 meningkat kepada 57,515,286 dos dengan 6,109,673 daripadanya adalah dos penggalak.

Sarawak, Kelantan beralih ke Fasa 4 PPN

BERNAMA

Peralihan itu akan berkuat kuasa Isnin depan.

Kerajaan bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan, beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan kementerian kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dengan peralihan di kedua-dua negeri berkenaan dari Fasa Tiga sebelum ini, ia bermakna seluruh negara kini berada di Fasa Empat PPN.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin bagaimanapun menyeru orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa, memandangkan Covid-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.

Tanah runtuh, lima jalan di N. Sembilan masih ditutup


Lima jalan di negeri ini yang terjejas akibat tanah runtuh susulan hujan lebat dan banjir baru-baru ini masih ditutup untuk semua kenderaan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata ia melibatkan Jalan Felda Titi, Jalan Kampung Renal, Pocket Road FT086 di Jeram Toi, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras di Jelebu dan Stesen Pemancar Gelombang Mikro Gunung Telapak Buruk di Seremban, menurut laporan Bernama.

“Pembukaan jalan ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Pihak JKR telah membuat laluan yang boleh dilalui sebelah lorong sahaja untuk laluan terjejas bagi hal-hal kecemasan manakala selebihnya akan dibaiki secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menggunakan peruntukan darurat daripada kerajaan negeri bagi membaiki kawasan atau jalan di bawah tanggungjawab JKR yang rosak dan terlibat dengan tanah runtuh terutama di daerah Jelebu, Seremban dan Rembau.

Wan Hasnan berkata peruntukan pembaikan kekal untuk jalan raya yang terjejas teruk akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

Tiada sambutan Tahun Baharu diluluskan polis esok


Tiada sambutan Tahun Baharu diluluskan polis esok

Sebarang acara atau majlis sambutan Tahun Baharu tidak dibenarkan esok selepas pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program sedemikian.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata langkah tersebut melibatkan seluruh negara bertujuan mengelak risiko penularan Covid-19 dalam komuniti.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara untuk melakukan rondaan di kawasan tumpuan ramai bagi memastikan tiada yang berkumpul melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit aktiviti sambutan tahun baharu atau berkumpul beramai-ramai pada malam menjelang tahun baharu di mana-mana lokasi tumpuan ramai,” katanya menurut laporan BH.

Terdahulu, polis dilaporkan akan menjalankan pemantauan dan rondaan pematuhan SOP PPN Fasa 4 di beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu negara esok, sempena sambutan Tahun Baharu 2022.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, dipetik berkata pihaknya akan memfokuskan aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP mengikut arahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jangkitan naik di 13 negeri, 442 mangsa banjir positif Covid-19


Tiga belas negeri hari ini merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan Sabah mencatat kenaikan empat hari berturut-turut.

Hanya tiga negeri, Perlis, Pahang dan Kelantan mencatat penurunan kes baharu hari ini.

Peningkatan jangkitan di Sabah bermula 27 Disember lalu sebanyak 125 kes berbanding 108 pada 26 Disember, diikuti 168 kes (28 Disember); 192 (29 Disember); dan hari ini sebanyak 226 kes.

Sejak awal tahun lalu hingga hari ini Sabah mencatat 240,301 kes positif, dengan sehingga semalam seramai 233,009 pesakit disahkan sembuh, 2,775 kematian, dan 4,291 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 3,657 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 296 ditempatkan di PKRC; 305 dimasukkan ke hospital; dan 33 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 2,387,154 atau 61.1 peratus populasi Sabah telah lengkap divaksinasi, 62.6 peratus atau 2,446,016 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 203,284 individu menerima suntikan dos penggalak.

Lapan daripada 408 kluster dilaporkan masih aktif di negeri itu, dengan empat daripadanya melibatkan pendidikan; tempat kerja (tiga); dan satu kluster import, yang keseluruhannya membabitkan 385 individu.

Bagi negeri-negeri lain, Selangor mencatat 965 kes baharu berbanding 962 semalam diikuti Johor (433 kes baharu, 429 semalam); Kedah (328 kes baharu, 236 semalam); Terengganu (243 kes baharu, 193 semalam); dan Kuala Lumpur (241 kes baharu, 224 semalam).

Melaka pula mencatat kenaikan daripada 101 kes semalam kepada 239 kes hari ini, diikuti Perak (209 kes baharu, 173 semalam); Pulau Pinang (207 kes baharu, 178 semalam); Negeri Sembilan (161 kes baharu, 118 semalam); Putrajaya (25 kes baharu, 22 semalam); Sarawak (24 kes baharu, 23 semalam); dan Labuan (10 kes baharu, tujuh semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 366 lagi kes import dikesan membabitkan 335 warga tempatan dan 31 rakyat asing.

Sejak kerajaan membuka semula pintu sempadan negara lebih sebulan lalu, kes import didapati meningkat setiap hari dan sehingga kini keseluruhan kes import yang dilaporkan adalah sebanyak 7,958 kes.

Katanya, sebanyak 3,631 kes lagi melibatkan penularan tempatan yang turut membabitkan 115 rakyat asing.

Beliau juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam itu seramai 3,984 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,681,390 kes atau 97.3 peratus daripada 2,754,513 kumulatif kes positif.

“Sehingga kini seramai 281 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 155 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Menurutnya tiga kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,123 kluster dengan 5,902 telah ditamatkan dan 221 lagi masih aktif.

Mengenai banjir, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 3 petang tadi, daripada 6,348 mangsa banjir, 442 disahkan positif dengan 15 daripadanya membabitkan individu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

“Pada 30 Disember 2021, sebanyak 71 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan keseluruhannya 1,948 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya jangkitan saluran pernafasan akut mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 1,182; diikuti penyakit kulit (522 kes); Acute Gastroenteritis (238 kes); dan penyakit tangan, kaki dan mulut (enam kes).

Aset ATM digerakkan ke 86 lokasi gelombang kedua banjir


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak anggota dan aset ke 86 lokasi di seluruh negara bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi berkaitan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah itu diambil berikutan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kemungkinan berlakunya hujan berterusan bermula semalam hingga 6 Jan ini yang berupaya menyebabkan berlaku gelombang kedua banjir di beberapa negeri.

“Secara keseluruhan ATM akan mengatur gerak seramai 115 pegawai dan 2,768 anggota Lain-Lain Pangkat. Selain itu sejumlah enam unit trak tujuh tan, 160 unit trak tiga tan, 129 unit bot dan 109 unit enjin bot telah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata ATM telah melaksanakan enam pendekatan dalam menghadapi bencana banjir ketika ini.

“Enam pendekatan itu adalah satu Batalion sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan, ATM juga mengatur gerak pegawai bertanggungjawab ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah.

“Selain itu pasukan perubatan ATM juga dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan dan kawalan pencegahan jangkitan Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). ATM juga merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM,” katanya.

Beliau berkata ATM turut memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga.

“ATM juga menambah bilangan anggota bagi melaksanakan operasi menghantar barang keperluan serta makanan ke pusat pemindahan sementara serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS,” katanya.

Menurutnya perancangan ATM ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan sesuatu kawasan.

“Saya serta kepimpinan tertinggi ATM dan MINDEF (Kementerian Pertahanan) akan memastikan ATM terus melakukan segala usaha yang terdaya demi memelihara keselamatan rakyat sepanjang musim banjir ini,” katanya.

Bencana alam, tidak sedarkah kita?

Dalam dunia utopia, bencana alam yang melanda sesebuah negara, masalah yang kritikal tidak akan wujud bagi rakyat negara itu.

Di dunia itu, kerajaan akan melakukan segala-galanya untuk memastikan kesejahteraan rakyat mereka dijaga dengan baik.

Walau bagaimanapun, kita tidak hidup dalam utopia itu kerana kita ditadbir oleh individu yang tidak cekap, yang lebih mementingkan propaganda berbanding kehidupan orang yang tidak bersalah.

Rentetan banjir melampau yang melanda Malaysia minggu lalu telah menyebabkan kemerosotan fizikal, mental dan emosi kepada mereka yang terjejas.

Mangsa telah cukup penat melalui semuanya. Mereka telah kehilangan keluarga, makanan, rumah, perabot dan perkakas asas, peranti elektronik, barangan peribadi, dan juga kenderaan.

Kita juga terperangkap dalam pandemik yang menyebabkan kadar pekerjaan menurun secara mendadak. Ini bermakna, kebanyakan mangsa sudah pun menghadapi banyak masalah sebelum banjir bermula.

Jadi, persoalannya, apakah yang telah kerajaan lakukan untuk membantu mangsa?

Pepatah mengatakan, “Jangan dikenang masa lalu,” tetapi mustahil untuk tidak kita kenang tentang betapa tidak bergunanya kerajaan sewaktu rakyatnya dilanda musibah.

Kebanyakan pemimpin membawa seluruh krew kamera dengan tujuan hendak ‘membantu’ mangsa-mangsa yang terjejas , sedangkan hakikatnya, ia hanyalah propaganda semata-mata.

Berlimpahan komen dan kemarahan yang ditunjukkan oleh orang ramai di platform media sosial tetapi pihak berkuasa tidak peduli kerana mereka mempunyai wang. Wang adalah penting untuk kuasa tetapi ia juga amat penting untuk kelangsungan hidup.

Kerajaan telah memulakan Tabung Bencana Negara 2021 – Bantuan Banjir RM1000 untuk membantu mangsa. Inisiatif ini telah gagal pada hari pelancaran itu sendiri kerana kaedah aplikasinya yang tidak masuk akal.

Sungguh butanya pihak berkuasa untuk melihat bahawa semua mangsa banjir yang memerlukan bantuan, perlukannya dengan segera. Namun, pihak atasan masih mengambil masa manis mereka untuk melaksanakan rancangan ini.

Namun, sebagai manusia biasa, yang tinggal di negara membangun seperti kita, adakah RM1000 benar-benar cukup untuk menggantikan kemusnahan yang terpaksa dilalui oleh mangsa? Jawapan mudahnya ialah, pastilah TIDAK.

Rakyat negara kita hari ini bersama banyak lagi NGO telah berganding bahu membantu mereka yang memerlukan dari segi makanan, sumbangan dan aktiviti pembersihan.

Sumbangan mereka ternyata berguna dan mangsa-mangsa banjir akan selamanya berterima kasih atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan.

Dengan bukti yang melampau, penglibatan dan bantuan dari kerajaan adalah sangat sikit. Sekiranya mereka tidak dapat menyumbang untuk membantu rakyat dari segi yang disebutkan di atas, mereka sekurang-kurangnya mesti membantu lebih banyak dari segi keperluan kewangan.

Namun begitu, kerajaan gagal membantu lagi apabila mereka tidak meluluskan pengeluaran KWSP, yang secara jujurnya, akan melegakan mereka yang terjejas.

Sebaliknya, agensi-agensi ini mendesak orang-orang yang sudah cukup menderita untuk meminta pinjaman walaupun mereka boleh menggunakan caruman KWSP mereka SENDIRI.

Ia amat mendukacitakan untuk melihat bagaimana kerajaan tidak melihat isu ini ke arah jangka masa panjang. Melakukan pinjaman pada masa yang tidak tentu ini bukanlah idea yang baik.

Ini kerana, kita tidak mahu kehidupan rakyat Malaysia tertumpu kepada membayar hutang yang akan menghalang kemajuan mereka ke arah kejayaan pada masa hadapan.

Lebih-lebih lagi kalau mereka tidak mampu untuk membayar hutang tersebut – mereka akan tersenarai hitam dalam rekod Bank Negara.

Masih boleh diterima jika kerajaan tidak mengambil berat tentang kesan jangka masa panjang isu ini – Apa yang tidak boleh diterima ialah bagaimana mereka tidak memikirkan tentang rakyat yang perlu terus bertahan menghadapi cabaran hidup mereka.

Ia bukan hanya soal ekonomi negara tetapi ia juga tentang kelangsungan hidup rakyat untuk memastikan adanya makanan di atas meja untuk keluarga mereka setiap hari!

Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan rakyat mereka didahulukan dan kemudian fokus untuk membina semula ekonomi negara.

Apakah itu sebuah negara tanpa rakyatnya, dan mengapa melantik kerajaan yang membunuhnya rakyatnya?

Kita telah melihat jumlah kes bunuh diri yang amat mengecewakan pada awal tahun 2021 apabila wabak Covid-19 menyebabkan majoriti rakyat Malaysia menghadapi kekangan kewangan. Orang ramai berputus asa dengan kehidupan dan keluarga mereka.

Adakah kita tidak belajar apa-apa daripada peristiwa ini?

Kerajaan harus bertanggungjawab dan memberikan bantuan maksima kepada rakyat untuk membantu mereka membina semula kehidupan secara langsung atau tidak langsung seperti inisiatif moratorium, pengeluaran KWSP, subsidi, peluang pekerjaan dan lebih banyak bantuan kewangan untuk mengekalkan masa depan yang lebih baik untuk rakyat negara kita.

Untuk membuat perbandingan yang adil dengan Perdana Menteri sebelum ini, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat diberi beberapa pilihan untuk memastikan kelangsungan hidup mereka. Inisiatif seperti i-Lestari dan i-Sinar, telah memberi peluang kedua kepada rakyat untuk membaiki hidup mereka.

Inisiatif-initiatif tersebut telah mengurangkan beban mereka semasa penularan wabak Covid-19 yang teruk dahulu. Walaupun terdapat beberapa kumpulan individu yang menentang tadbir urus bekas Perdana Menteri kita, beliau berjaya membantu rakyat dalam setiap cara yang mungkin semasa kita tidak biasa dengan norma baharu yang kita ada sekarang.

Berita yang telah diterima semalam, telah mengguris hati rakyat Malaysia.

Penolakan pengeluaran KWSP, bantuan fizikal yang sedikit, tindakan lewat yang diambil dan kekurangan pembantu kewangan untuk mengurangkan kesusahan yang dialami rakyat, semuanya merupakan penyumbang utama kepada kemarahan dan kesedihan yang dirasai rakyat.

Inikah nasib rakyat negara kita? Adakah kita benar-benar layak untuk duduk di bawah kepimpinan yang tidak kompeten setiap kali bencana melanda negara ini?

Semua persoalan ini akan terjawab dalam pilihan raya akan datang, di mana keadilan, akan mencari jalan untuk menyerlah. AGENDA DAILY

(*) Mahathir Hj Mohd Rais -Mahathir merupakan Ketua Bahagian Bersatu Segambut.

Mini Tsunami dan kehidupan yang semakin sukar

Lebih Parah dari DKI, Ini Suasana Lebak yang Dihantam Banjir - Foto 6 

Gambar hiasan.

Covid-19 belum reda, ditambah dengan kejutan varian baru, kita merasa masih tidak selamat sama ada untuk terkinja-kinja di pantai atau bersantai dalam mall-mall di pusat bandar.

Sedang kerisauan ini melanda jiwa kita dikejutkan dengan banjir besar di Selangor dan beberapa negeri lain.

Tetapi gambar penduduk terperangkap semalaman di atas bumbung rumah di Hulu Langat dan Seri Muda Shah Alam tambah memilukan hati kita.

Sekitar kawasan Batu 18 Hulu Langat berhampiran dengan Sungai Lui macam baharu dilanda Tsunami dengan imej kereta terbalik penuh dengan lumpur.

Ada laporan mempersoalkan kenapa bantuan lambat sampai ke kawasan terbabit hinggakan tiada kelihatan aset-aset dikerahkan untuk tugas menyelamat mangsa bencana banjir.

Sebaliknya rakyat melalui rangkaian sosial media yang bergerak pantas membantu dalam memberi bantuan makanan dan pakaian.

Cuma selepas 48 jam barulah nampak kelibat pihak berkuasa apabila Perdana Menteri sudah turun padang, diikuti pula beberapa orang Menteri.

Pihak berkuasa memberi alasan banjir besar di Selangor kali ni khususnya di Shah Alam tidak diduga seteruk ini.

Takut dipersalahkan rakyat? Bukan salah kami sebab Putrajaya lambat kerahkan asset untuk menyelamat penduduk.

Tetapi takkan kerajaan negeri tida ada pelan menyelamat untuk bencana alam jika banjir begini berlaku, mustahil .

Janganlah sesiapa pun ambil kesempatan untuk mempolitikkan bencana alam ini sebab rakyat dah muak dengan mainan politik para pemimpin negara ini.

Disebalik kekalutan itu ada satu posting yang dibuat oleh seorang expat yang kagum dengan cara rakyat Malaysia respon kepada bencana ini.

Katanya beliau tidak pernah melihat betapa tenang mangsa banjir redha dengan musibah yang mereka hadapi walaupun kehilangan harta benda.

Kita doakan semoga urusan mereka dipermudahkan. InsyaAllah.

(*) Fuad Abdul Rahman-Pembaca Agenda Daily dan bekas wartawan.

Jemaah umrah mula pakai peranti pengesanan digital hari ini


Jemaah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Arab Saudi setelah mengerjakan umrah, hari ini mula dipakaikan peranti pengesanan digital.

Sepasukan 40 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) membuka 20 kaunter di bangunan Satelit C25 KLIA bagi membantu proses pemakaian peranti digital itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya petang tadi, beliau berkata ujian saringan dan pemakaian peranti itu mengambil masa kira-kira 1 jam 20 minit.

“Terkini mereka yang selamat kembali dari umrah, telah dimulakan pemakaian digital tracker.

Sebanyak 20 kaunter dan 40 staf telah ditempatkan untuk pemakaian digital trackers di bangunan Satelitte C25.

Jangkamasa diambil untuk saringan kesihatan dan pemakaian digital tracker edgenta memakan masa 1jam 20 minit,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini pemakaian peranti pengesanan digital itu adalah untuk pengembara yang kembali dari 18 negara berisiko tinggi di bawah pengawasan kuarantin rumah.

Pada 25 Disember lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan mewajibkan semua jemaah umrah memakai peranti pengesanan digital apabila tiba semula di KLIA.

Tindakan itu dilakukan setelah kes membabitkan jemaah umrah dijangkiti varian baharu Covid-19, Omicron, meningkat. Berita berkaitan 

Terengganu kembali banjir, Kelantan bersiap sedia


Hujan lebat berterusan mengakibatkan Terengganu kembali dilanda banjir, manakala sehingga petang tadi, Kelantan menunjukkan pertambahan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka dialami 11 kawasan di tiga negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang hingga esok. Berita berkaitan

Bernama melaporkan di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan Dungun menjadi daerah pertama dilanda banjir gelombang ketiga apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dibuka pada jam 4 petang yang menempatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga.

Banjir gelombang kedua melanda negeri itu pada 17 hingga 21 Disember lepas menyaksikan seramai 423 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke PPS di Setiu, Dungun dan Kemaman.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 856 orang daripada 245 keluarga setakat 6 petang ini, berbanding 501 orang daripada 142 keluarga, tengah hari tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), 11 PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu tujuh di Jeli dan empat di Kuala Krai.

Sementara itu, portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan dua sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli dengan merekodkan bacaan 29.58 meter (m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.69 m).

Portal rasmi pengurusan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan jalan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Kampung Reka, Jeli ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 4,368 orang di 38 PPS di daerah Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Maran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan hanya Jalan Kampung Belimbing di Maran yang masih ditutup petang tadi, berbanding enam di lima daerah pada sebelah pagi.

Laman web JPS pula melaporkan Sungai Cherating di Kuantan berada para paras bahaya dengan trend menurun, manakala lima sungai pada paras waspada iaitu Sungai Kundang di Maran, Sungai Dong (Raub), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong) dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau serta Sungai Lembing, kedua-duanya di Kuantan.

Sementara itu, situasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pula menunjukkan keadaan banjir semakin pulih.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu kini 466 orang melibatkan 132 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

Empat PPS tersebut adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat, Stadium Tertutup Kuala Selangor (201 orang) dan SMK Kuala Selangor (168 orang).

Di NEGERI SEMBILAN, mangsa banjir kekal 29 individu manakala di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata PPS tunggal yang menempatkan mangsa banjir di Jasin telah ditutup pada 2 petang tadi.

MN, PN perlu diperkasa demi kuasa politik Islam: Majlis Syura

 

Demi kepentingan penyatuan umat Islam, Majlis Syura Ulama PAS menyatakan pendirian agar perlunya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) diperkasakan bagi mengelak sebarang perpecahan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata hanya dengan langkah penyatuan tersebut kuasa politik umat Islam dapat dipertahankan demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

“Perundingan kerusi antara parti-parti Melayu-Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Majlis Syura terdahulu mengadakan muzakarah yang berlangsung semalam bagi membincangkan hala tuju taawun siyasi dan misi PAS bagi PRU-15.

Untuk rekod PAS sebelum ini mewujudkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan menyertai PN yang diterajui Bersatu yang membentuk kerajaan selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Umno dalam perhimpunan agung tahunan sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, UMNO bersendirian menentang PN dan PH sekali gus berjaya menguasai negeri itu.

Sementara itu, Hashim berkata semangat taawun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu-Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” katanya.

Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini sekali lagi mengumumkan mereka akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada PRU-14 lalu.

Anak murid Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga berkata tidak akan berkompromi pembahagian kerusi dengan PN, malah menyatakan keyakinan akan menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi parti itu.

Zahid juga berkata Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang dipimpin Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya berbentuk sementara sahaja dan akan bertukar apabila UMNO kembali menjadi dominan nanti di Putrajaya.

2021: Masih ada beberapa berita baik berkenaan Malaysia

MALAYSIA POST

2021: Masih ada beberapa berita baik berkenaan Malaysia

SYUKURLAH, bukan semua berita buruk berkaitan Malaysia kita dengar menjelang minggu terakhir tahun 2021 – kerana terdapat juga beberapa berita baik dan antaranya adalah berita yang melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan yang kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah adalah selaras dengan perlembagaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina dan Tamil bukan untuk tujuan rasmi dan dengan itu, tidak melanggar Perkara 152 (1) daripada Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pada masa ini terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara, dengan kira-kira setengah juta pelajar daripada pelbagai latar kaum.

“Oleh itu, penggunaan bahasa tersebut tidak bertentangan dengan perlembagaan dan dilindungi di bawah Perlembagaan menurut kedua-dua perkara (a) dan (b) kepada Perkara 152 (1).

Hakim membuat keputusan itu apabila menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) atas perisytiharan bahawa kewujudan sekolah vernakular bertentangan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 152(1) mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Malangnya masih ada masyarakat yang tidak menerima Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya.

Malaysia tewas dalam perlumbaan antarabangsa dalam setengah abad yang lalu, diatasi oleh satu demi satu negara, bukan kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk tetapi kerana keengganan untuk menerima bahawa Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk.

Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara, Malaysia tidak boleh berjaya sebagai negara Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak – ia hanya boleh berjaya sebagai negara Malaysia.

Penghakiman ini mengingatkan rakyat Malaysia tentang penghakiman awal Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai tahun lepas ke atas Kes Antarabangsa SRC di mana beliau mendapati bekas Perdana Menteri, Najib Razak, bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan skandal kewangan berbilion-bilion dalam 1MDB.

Nazlan menganggap kes itu sebagai salah guna jawatan dan pecah amanah jenayah (CBT) paling teruk melibatkan perdana menteri ketika itu, Najib Abdul Razak, pihak berkuasa tertinggi dalam kerajaan.

Beliau berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mendapati bahawa kes itu boleh disifatkan sebagai satu yang termasuk dalam lingkungan jenis penyalahgunaan jawatan, CBT dan pengubahan wang haram yang paling teruk, kerana bukan sahaja bagaimana jenayah itu dilakukan tetapi yang lebih penting adalah ia juga melibatkan sejumlah besar wang RM42 juta.

Dalam alasan penghakiman setebal 801 muka surat bertarikh 21 Ogos, Nazlan berkata terdapat sedikit merit dalam mahkamah untuk bercakap seolah-olah serba tahu dan menyesali mengapa tertuduh melakukan apa yang dia lakukan, walaupun (atau kerana) kedudukannya yang tidak dipertikaikan di puncak pentadbiran kerajaan. kekayaan kuasa dan kuasa yang tiada tandingannya.

Beliau menyifatkan Najib sebagai “seorang individu yang mempunyai tahap intelek yang tinggi dan sudah pasti memiliki pandangan tegas dalam membezakan antara yang betul dan salah” yang tidak menyatakan sebarang penyesalan malah mempertahankan pembelaannya terhadap tiada pengetahuan mengenai RM42 juta daripada SRC dalam ucapan mitigasinya.

Hakim berkata bahawa tiada sesiapa, malah seorang tokoh politik yang paling berkuasa dan pemimpin negara, kebal daripada kuasa undang-undang.

Beliau seterusnya berkata, kenaikan tertuduh ke puncak kepimpinan negara dan cengkaman kuasa politiknya ditanggung oleh rakyat dan negara, kedudukan amanah dalam sistem demokrasi berperlembagaan.

“Sabitan beliau terhadap kesemua tujuh pertuduhan berhubung salah guna jawatan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram merupakan satu pengkhianatan mutlak terhadap amanah itu”, kata hakim itu.

Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada tiga hakim, dalam penghakiman setebal 317 muka surat pada 8 Dis 2021, sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil berkata mahkamah rayuan tidak mendapati sebarang kesilapan dalam keputusan hakim bicara yang arif, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mahkamah juga menggunakan kata-kata mantan Yang di-Pertuan Agong Raja Azlan Shah, kerana beliau dikenali ketika itu sebelum menaiki takhta sebagai Sultan Perak, dalam kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris.

Raja Azlan, hakim perbicaraan dalam kes Harun, telah mendapati Harun bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara.

Dalam penghakimannya, Raja Azlan telah berkata: “Saya ulangi apa yang saya katakan sebelum ini — undang-undang tidak pilih kasih. Walau bagaimanapun, adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa anda berada dalam kategori yang berbeza daripada mana-mana orang yang pernah saya adili. Adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa, di mata berjuta-juta rakyat negara kita, anda adalah seorang patriot dan pemimpin.

“Bahkan mereka yang berbeza dengan anda dalam politik memandang anda sebagai seorang yang mempunyai cita-cita tinggi. Anda mempunyai setiap peluang untuk mencapai tahap tertinggi pencapaian manusia. Tetapi di tengah jalan, anda membenarkan ketamakan untuk merosakkan anda.

“Adalah tidak dapat difahami bagaimana seorang manusia dalam kedudukan anda tidak boleh dalam hati nurani anda sendiri mengenali apa itu rasuah.

“Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja mengkhianati kepentingan parti anda, yang mana anda telah bercakap dengan begitu fasih, tetapi juga sumpah jawatan yang telah anda ambil dan laksanakan di hadapan Raja Berdaulat anda, dan di atas semua undang-undang yang anda adalah hambanya.”

Mahkamah rayuan berkata kira-kira 45 tahun kemudian, kata-kata Raja Azlan masih relevan kepada perayu.

“Kemerosotan yang menakutkan dalam integriti beberapa pemimpin kita yang diberi amaran oleh Raja Azlan 45 tahun lalu masih menjadi wabak yang melanda negara yang indah ini.

“Mahkamah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang perlu melakukan apa yang perlu untuk memastikan wabak zaman moden ini dihapuskan demi kebaikan negara. Undang-undang sememangnya ‘tidak pilih kasih’.

“Semua manusia adalah sama di sisi undang-undang, dan mahkamah menggunakan undang-undang secara sama rata kepada semua,” kata mahkamah itu.

Mahkamah Rayuan berkata projek SRC International Sdn Bhd bermula sebagai usaha niaga berkepentingan negara tetapi pada akhirnya telah memalukan negara.

Tetapi Najib tidak malu dan tidak berputus asa untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Skandal “kleptokrasi paling teruk” 1MDB tidak diragukan lagi adalah “keburukan paling buruk”, dan menjadi alasan mengapa apabila sebagai penjenayah yang disabitkan bersalah, Najib membuka persidangan antarabangsa pada 27 Dis 2021, ia membawa keaiban dan keburukan kepada Malaysia.

Adakah Najib akan melepaskan harapannya untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia?

Lanjutan pengeluaran i-Citra: Kerajaan perlu ada ‘political will’ – Zahid

AMRI

Lanjutan pengeluaran i-Citra: Kerajaan perlu ada ‘political will’ – Zahid 

UMNO berharap masih ada ruang buat kerajaan membenarkan lanjutan pengeluaran skim i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau seterusnya meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tidak menutup sepenuhnya ruang untuk pengeluaran i-Citra di kala rakyat merintih akibat kesan Covid-19 dan banjir. 

Rakyat yang menjadi mangsa banjir, ditimpa bencana tanah runtuh, masih dalam kesempitan kesan darurat dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) separuh masak yang lepas. 

“Jika Menteri Kewangan memberi nasihat sebaliknya kepada kerajaan, Kabinet telitilah dengan mendalam terlebih dahulu. 

“Perlu ada “political will” kerana rakyat yang baru terjejas atau sekian lama terkesan perlukan wang untuk perbaiki keadaan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Ahmad Zahid berkata sebelum ini menteri sama memberi pelbagai alasan, namun terbukti ia boleh dilakukan selepas desakan demi desakan. 

“Berdasarkan respons di media sosial, rakyat tidak “prefer” membuat pinjaman dan mahu menggunakan dana sendiri.  

“Mereka tidak bersedia untuk berhutang apatah lagi dengan menambah hutang. Sebahagiannya susah dan tidak mampu pun membayar hutang yang sudah sedia ada.  

“Tempoh enam bulan atau setahun penangguhan bayaran balik tetap bermakna mereka sudah menambahkan lagi bebanan hutang. Tidak ubah seperti gali lubang tutup lubang. Pinjam wang bayar hutang,” katanya lagi. 

Namun kata Ahmad Zahid, jika itu sahaja pilihan yang ada, maka apakan daya mungkin ramai terpaksa menambah hutang. 

“Sedangkan sebahagian rakyat mahukan penambahan skim i-Citra adalah bagi mengurangkan bebanan hutang. Justeru jangan disulitkan keperluan rakyat kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya. 

Baru-baru ini Ismail Sabri Menteri dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang caruman KWSP berjumlah RM10,000 meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.  

Perdana Menteri berkata ini kerana kerajaan telah memperuntukkan dana dan bantuan mencukupi untuk membantu mangsa banjir, selain sedia menambah peruntukan tersebut.  

Beliau juga menjelaskan kerajaan bimbang jika ia dibenarkan, baki simpanan pencarum akan terus berkurangan selepas kerajaan dua kali membenarkan pengeluaran KWSP menerusi i-Sinar dan i-Citra. – Malaysiapost

Thursday, December 30, 2021

Aliff Syukri dijangkiti Covid-19, mohon maaf takut umur tak panjang

Aina Arisya

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri yang baru pulang dari percutian di Turki memaklumkan dirinya dijangkiti Covid-19.

Aliff, 34 memaklumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di akaun Instragramnya turut memberitahu dirinya dijangkiti Covid-19 tahap tiga yang melibatkan paru-parunya.

“Saya ditahan di wad kerana dijangkiti Covid-19 tahap tiga melibatkan paru-paru saya. Saya ditempatkan di hospital untuk rawatan rapi.

“Kepada semua sahabat kenalan yang dikasihi atau sesiapa yang mengenali saya, saya memohon kemaafan sekiranya pernah menyakiti awak.

“Maaf sekiranya pernah terkasar, mengupat atau termakan secara sengaja atau tidak. Sesunggunya yang buruk itu datang daripada saya dan yang baik datang daripada Allah S.W.T.

“Rasa lega dah mohon maaf pada semua. Takut-takut umur saya tidak panjang. Doakan saya cepat sembuh,” kongsinya di Instragram.

Melihat diruangan komen, rata-rata mendoakan kesejahteraan Aliff dan menitipkan doa semoga Alif cepat sembuh.

Pada awalnya, Aliff enggan mewar-warkan mengenai penyakitnya kerana risau dituduh sengaja mencari perhatian.

Sementara itu, Isterinya, Datin Seri Shahida kini sedang menjalani kuarantin di kediaman mereka selepas pulang dari bercuti beberapa hari lalu. -SM

Tersekat di atas pokok selama 3 jam, tak sempat sampai rumah

WARTA RAKYAT

MEMBAYANGKAN mangsa-mangsa banjir yang terperangkap dan kesejukan di atas bumbung rumah ketika paras air sudah mula menenggelami sebahagian rumah mereka sememangnya satu perkara yang meluluhkan hati.

Kisah seorang mangsa banjir di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, memang menyayat hati apabila terperangkap tdi atas pokok selama tiga jam pada 19 Disember lalu, ketika paras air pada ketika itu sudah semakin tinggi.

Bercerita kembali kepada SatuBerita pengalaman yang disifatkan seperti mimpi ngeri itu, Mohd. Rizzainudden Md. Husin, 43, berkata, pada petang itu, dia baru sahaja memindahkan sebuah kereta miliknya di Masjid Besar Taman Sri Muda.

“Saya letak kereta di situ kerana sangkakan kawasan masjid tak akan tenggelam. Pada ketika itu, air baru sahaja mencecah paras pinggang. Namun, ketika saya dalam perjalanan pulang, air sudah naik pada paras hidung saya.

“Saya kemudian mula berenang sedikit demi sedikit menuju ke rumah saya. Namun, saya sudah tidak larat dan kaki mula kekejangan ketika sudah menghampiri rumah Terus saya panjat dan tunggu di atas pokok itu,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Mohd Rizzainudden Md Husin, 43, ketika ditemui SatuBerita 
di Taman Sri Muda, hari ini

Anak kelahiran Negeri Melaka ini menambah, sebelum itu, dia hanya bergantung kepada sebuah kotak polisterina kecil untuk berenang sehingga ke pokok berkenaan.

Walaupun jarak antara pokok itu dengan rumahnya hanya kira-kira 60 meter, namun dia bimbang dihanyutkan air kerana terdapat parit yang besar di antara pokok itu dan rumahnya, selain faktor keletihan.

Lokasi pokok Rizzainuddin tersekat pada 19 Disember lalu 
dan kotak polesterina yang digunakan olehnya ketika berenang.

“Kalau saya teruskan berenang, mungkin saya sudah tiada hari ini. Tahu-tahu orang jumpa mayat saya sahaja di hujung parit sana,” katanya.

Rizzainudden berkata, dia juga menjerit meminta tolong kepada bot penyelamat dari jabatan Bomba dan polis, tetapi tidak dipedulikan kerana mereka mengutamakan mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah.

“Saya panggil mereka namun mereka suruh saya tunggu dahulu. Saya menggigil kesejukan dengan angin yang kuat di atas pokok itu. Saya ni bukan nyawa kah? Saya mahu ke seberang situ sahaja,” luahnya dengan rasa kecewa.

Detik ngeri tersangkut di atas pokok itu berakhir apabila tiga lelaki yang menaiki bot persendirian menyelamatkannya sekitar jam 3 pagi.

“Saya nampak mereka dari jauh, saya mula keluarkan telefon bimbit saya yang simpan dalam kotak biskut kecil dan saya nyalakan lampu suluh bagi memberikan isyarat.

“Alhamdulillah mereka nampak saya. Mereka datang ke arah saya, dan saya berpaut pada bot mereka. Sampai sahaja di rumah, saya panjat masuk menerusi satu lubang kecil yang terletak di tingkat atas rumah. Barulah saya dapat jumpa anak dan isteri saya,” katanya. 

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

Bah besar penutup 2021

 BERNAMA

BENCANA alam termasuk banjir besar yang melanda beberapa negeri sehingga meragut hampir 50 nyawa manakala lima lagi dilapor hilang, mengakhiri tahun 2021 yang turut menyaksikan rakyat bersatu hati dan bangkit untuk saling membantu selari dengan semangat Keluarga Malaysia.      

Jumlah 48 korban (setakat 27 Dis) dikatakan paling tinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia. Banjir besar kali ini tidak dijangka apabila ia melanda Lembah Klang khususnya Selangor yang padat dengan penduduk sehingga rakyat dari merata pelosok negara berusaha menabur bakti menghulur bantuan. 

Hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur di Lembah Klang serta Bentong, Mentakab dan Temerloh di Pahang ‘tenggelam.’

Kesannya ibarat dilanda tsunami, puluhan ribu mangsa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara, puluhan keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras manakala ribuan kenderaan pula terdampar dan musnah selepas ditenggelami banjir.

Lazimnya pada setiap hujung tahun, monsun timur laut membawa banjir ke negeri-negeri di pantai timur Semenanjung tetapi bencana alam kali ini membuat kejutan dengan ‘membadai’ Lembah Klang, kawasan yang sebelum ini hanya mengalami banjir kilat.

Kejutan itu bukan sekadar dirasai oleh penduduk di Lembah Klang yang nyata tidak bersedia menghadapi bencana alam itu malah pihak yang terlibat dalam mengendalikan bencana juga pada awalnya kelihatan agak ‘kelam-kabut.’

Tempoh 48 jam pertama bencana melanda menyaksikan keadaan ‘huru-hara’ dalam kalangan agensi berkaitan yang seolah-olah hilang arah apabila suara-suara meminta bantuan dari segenap pelosok Lembah Klang menghujani media sosial.

Ibarat kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara pada tengah malam 18 Dis: “Situasi di Selangor ini, ia agak kelam-kabut memandangkan negeri ini biasanya tidak terjejas apabila tiba musim tengkujuh.”

Pasukan keselamatan iaitu bomba, tentera dan polis pula bertindak segera dan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kawasan terjejas teruk seperti Taman Sri Nanding di Hulu Langat, Taman Sri Muda di Shah Alam dan Bukit Changgang di Kuala Langat.      

Tengah malam 18 Dis itu, koordinasi dibuat dan Perdana Menteri meminta Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia menggerakkan lebih banyak aset dengan fokus utama adalah menyelamatkan nyawa serta memastikan bekalan makanan disediakan untuk mangsa yang terperangkap.

Taburan hujan pada 18 Dis di Lembah Klang adalah melebihi purata hujan sebulan. Keadaan itu menyaksikan lima juta padu air banjir dilencongkan daripada memasuki Kuala Lumpur melalui Terowong Smart dalam usaha mengurangkan impak banjir di ibu negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata lencongan SMART yang mula diaktifkan sehingga mod 4 pada 7.45 malam 18 Dis itu adalah kali pertama proses itu dijalankan melebihi tiga jam sejak ia dibina pada 2007.

Secara keseluruhan, banjir yang melanda lapan negeri iaitu Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur itu menjejaskan 116,273 orang daripada 31,949 keluarga.

Selain itu, kejadian tanah runtuh dilaporkan di beberapa lokasi antaranya Karak yang menyebabkan ramai pengguna jalan raya terperangkap serta terpaksa diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Kejadian itu turut menyebabkan ada antara destinasi peranginan di Janda Baik berubah menjadi lokasi bencana dan satu daripada pusat peranginan di kawasan itu musnah dilanda ‘kepala air’ menyebabkan tiga penghuni menjadi mangsa dengan dua daripadanya ditemukan maut manakala seorang masih hilang.

Bangkit daripada kejutan bencana banjir besar itu, pelbagai pihak sama ada orang perseorangan atau badan bukan kerajaan tanpa mengira bangsa dan agama dari seluruh pelosok negara tampil menghulurkan bantuan dari segi keperluan asas serta pembersihan pasca banjir.

Bagi meringankan beban mangsa, kerajaan mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak serta Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan meliputi pembiayaan kewangan tanpa faedah atau keuntungan sehingga RM5,000 menerusi Bank Simpanan Nasional dan memperuntuk RM30 juta bagi Pinjaman Pemulihan Banjir menerusi TEKUN Nasional.

Koperasi yang terjejas pula dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000.— BERNAMA