Dr Samhan Awang menjalani jadual yang sibuk setiap hari.
Dari saat menjejakkan kaki di Klinik Perubatan Hijraa Chendering,
Kuala Terengganu, sehingga pulang ke rumah, dia melayani pesakit dengan
pelbagai masalah kesihatan.
Samhan komited dalam usahanya merawat pesakit yang menghidap penyakit
kronik, dan bahkan, jika perlu dia sendiri akan ke rumah pesakit jika
mereka tidak dapat datang ke kliniknya.
Pada usia 34 tahun, Samhan sudah biasa dengan tekanan dan kesibukan sebagai seorang doktor perubatan.
Namun, walaupun sibuk, lelaki ini juga memainkan peranan lain.
Samhan juga turut dikenali sebagai pencipta kandungan di platform
perkongsian video di TikTok, satu peranan yang dimulakannya sejak
Disember tahun lalu.
Sekurang-kurangnya, doktor kelahiran Terengganu itu akan menyiarkan dua video setiap hari.
Topik-topik video TikTok Samhan merangkumi pelbagai topik berkisar
kesihatan, dari menangani kekejangan haid sehinggalah bagaimana cara
mengatasi kemurungan selepas bersalin.
Klip-klip video Samhan mendapat sambutan ramai dan menarik jutaan penonton.
Setakat ini, dia memiliki sekitar 544,700 pengikut di TikTok.
Videonya yang paling popular hingga kini adalah panduan langkah demi langkah bagaimana mengurangkan sakit belakang.
Video pendek itu dilihat lebih dari 8.7 juta kali.
Samhan, yang sebelum ini berkongsi nasihat perubatan di Twitter dan
Facebook berkata membuat video TikTok memerlukan lebih banyak kerja.
Antara sebabnya termasuk platform itu mengenakan had masa 60 saat bagi setiap klip video.
Ini bermakna Samhan terpaksa mengerah kreativitinya untuk memasukkan sebanyak mungkin maklumat dalam masa satu minit.
Sudah tentu apa yang dilakukan Samhan adalah satu perkara yang rumit
apatah lagi kandungan-kandungannya adalah nasihat perubatan yang
biasanya kompleks untuk dijelaskan.
“Pada masa ini, saya buat video kepada beberapa bahagian (untuk satu
topik) bagi memastikan tidak ada butiran penting yang tercicir.
“Namun bagi penonton, saya nasihatkan baca juga tentang perkara itu,” kata Samhan kepada MalaysiaNow.
Dalam
meningkatkan kualiti klip-klip videonya, Samhan sedar beberapa
penjelasan yang dilakukan beliau boleh disampaikan dengan lebih baik.
Sebagai pencipta kandungan TikTok, Samhan berusaha untuk cuba
menyiarkan dua hingga tiga video setiap hari, namun hal ini bergantung
kepada jadualnya di klinik.
Ketika ditanya mengapa dia komited dalam usahanya membina kandungan
di TikTok walaupun beban kerja hariannya sudah cukup berat, Samhan yakin
penting untuk mendidik masyarakat mengenai masalah kesihatan, terutama
ketika terlalu banyak maklumat palsu dalam talian.
“Tujuan utama saya adalah untuk mendidik dan memperbaiki maklumat
yang salah ini dan bantu orang ramai memahami alasan dalam nasihat
perubatan, dan menasihati mereka untuk lebih patuh dengan rawatan.”
Setakat ini, usaha Samhan itu menampakkan kejayaan. Rata-rata setiap
video yang beliau usahakan memiliki tontonan lebih dari 200,000.
Bagaimanapun, usahanya membanteras maklumat perubatan yang salah dalam talian tidak berseorangan.
Dr Tai Weng Yew dari Poliklinik Tan di Baling, Kedah, juga turut melakukan perkara yang sama.
Klipnya yang paling popular menyentuh tajuk tanda-tanda kolesterol tinggi.
Ia baru sahaja disiarkan bulan ini, namun videonya ditonton hampir 600,000 kali.
Bercakap dengan MalaysiaNow, Tai berkata sangat penting pakar
perubatan turut serta dalam platform itu bagi mendedahkan kebenaran
berhubung pelbagai berita palsu yang tular di media sosial.
“Apabila ada doktor di media sosial untuk membicarakan kesihatan, ia
dapat tingkatkan keyakinan orang mengenai topik tersebut,” katanya.
Tai mempunyai 20,370 pengikut di TikTok.
Seperti Samhan, dia berkata sukar untuk menjelaskan masalah perubatan yang rumit.
Maka, doktor itu berkata sangat penting menumpukan perhatian pada butiran penting maklumat bagi mengelakkan maklumat yang salah.
“Sangat sukar untuk masukkan semua maklumat dalam satu video,” katanya.
“Orang ramai harus faham, ada seribu cara untuk berikan maklumat
kepada orang tentang topik tertentu. Bahkan doktor pun boleh memberikan
maklumat yang salah.”
Nasihatnya adalah berpegang pada penjelasan termudah.
“Perkara yang paling penting adalah sentiasa memastikan fakta anda tepat.”
Seorang pakar estetik, Dr Nadzirah Abdullah pula berkata, banyak maklumat salah mengenai produk kecantikan.
Keprihatinannya berhubung produk pemutihan kulit yang berbahaya menjadi tular dalam talian.
Hal ini mendorong wanita ini untuk turut menggunakan platform TikTok.
“Produk kecantikan yang berbahaya ini murah tetapi boleh menyebabkan lebih banyak bahaya dan tidak selamat,” katanya.
“Memang semua orang ingin kelihatan cantik, tetapi bagi saya, memiliki kulit yang sihat adalah lebih baik.”
Setakat ini, Nadzirah mempunyai lebih dari 48,700 pengikut.
Dia berkata setiap video yang disiarkan melalui akaun TikToknya
memerlukan perancangan dengan pasukannya demi memastikan maklumat palsu
tidak tersebar.
“Biasanya saya menghabiskan dua hari seminggu bagi merancang dan merakam video dengan pasukan saya,” katanya.
“Saya hanya meletakkan perkara yang penting supaya klipnya pendek, namun bermaklumat.”
Nadzirah menggesa pengguna media sosial untuk sentiasa memeriksa
sumber maklumat mereka, terutama perkara yang berhubung dengan kesihatan
diri mereka.