MALAYSIAKINI
Ibu bapa atau penjaga diseru mendaftarkan anak-anak Orang Kurang Upaya
(OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan golongan
itu tidak diabaikan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani
Abdul Karim berkata mereka yang berdaftar dengan JKM akan diberikan Kad
OKU bagi membolehkan mereka menikmati 25 jenis kemudahan disediakan oleh
kerajaan.
Antaranya rawatan perubatan percuma, pengecualian duti import bagi
membeli peralatan sokongan, elaun RM50 sebulan kepada pelajar sekolah
rendah dan menengah daripada Kementerian Pendidikan serta pengecualian
cukai jalan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Rohani berkata bagaimanapun saringan akan dibuat ke atas setiap
permohonan bantuan peruntukan bulanan OKU untuk memastikan mereka yang
benar-benar layak sahaja mendapat bantuan bulanan berkenaan.
"Tetapi sekiranya ada yang berkata bantuan JKM ada yang ditarik balik
kita tengok keadaan. Misalnya EPC (Elaun Pekerja Cacat) yang mana
pendapatan pemohon hendaklah tidak melebihi RM1,200 sebulan tidak
temasuk pendapatan keluarga.
"Apabila pendapatan OKU ini sudah melebihi RM1,200 dia sudah tidak layak
untuk mendapat EPC dan ini akan membuka ruang lagi kepada OKU lain yang
lebih layak mendapat bantuan bulanan EPC sebanyak RM300 ini," katanya
Justeru, Rohani berharap selain ibu bapa atau penjaga, pemimpin
masyarakat, komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) NGO atau
individu boleh membantu golongan OKU mendaftar dengan JKM di kawasan
masing-masing.
Rohani berkata kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan lain
dengan JKM amat diperlukan dalam usaha membantu menyediakan perkhidmatan
bagi meningkatkan kesejahteraan golongan OKU.
Mengulas mengenai dakwaan pegawai JKM tidak membuat kerja sebaik mungkin
membantu golongan OKU, Rohani berkata dakwaan itu tidak tepat sekali.
"Sudah tentunya pegawai kebajikan menggalas tanggungjawab yang penting
bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berkesan," katanya.
Rohani berkata sekiranya dibuat perbandingan jumlah golongan sasar yang
memerlukan perkhidmatan JKM dengan bilangan kakitangan JKM sememangnya
tidak mencukupi memandangkan seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat perlu
mengendalikan antara 300 kes sehingga 1,000 kes.
Beliau berkata masyarakat tidak boleh menuding jari terhadap JKM
semata-mata sebaliknya tampil membuat sebarang aduan dan memberi
cadangan untuk kementeriannya ambil perhatian bagi memperbaiki mutu
perkhidmatan.- Bernama
No comments:
Post a Comment