Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd (AirAsia)
dilihat sebagai pengendali penerbangan berjaya yang mampu menyelamatkan
penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAB) daripada 'berkubur.'
Menurut
wartawan veteran, A Kadir Jasin, AirAsia juga telah memiliki satu
elemen menyamai MAB iaitu cabang penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd.
"Mereka
ada pengalaman itu kerana memiliki AirAsia X yang melakukan penerbangan
jauh sehingga ke Jeddah serta destinasi lain seperti Jepun, Korea
Selatan dan China.
"Sudah pasti, struktur harga (tambang) mereka berbeza.
"Atas
dasar itu, mereka memang berpengalaman namun sama ada boleh
mengambilalih MAB dan dijadikan sebahagian AirAsia atau mengekalkan MAB
sebagai syarikat penerbangan tambang penuh, merupakan keputusan untuk
ditentukan oleh mana-mana pihak yang berminat dengan MAB," katanya
kepada
Bernama, baru-baru ini.
Kadir berkata demikian
sebagai mengulas jika AirAsia boleh mengendalikan kedua-dua syarikat
penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama.
Ini susulan
cadangan beliau menerusi catatan di Facebook pada Jumaat lepas bahawa
"adalah lebih baik untuk MAB 'berkahwin' (disatukan) dengan AirAsia
daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur."
Mengulas
lanjut, beliau berkata : "Di Eropah, terdapat sebuah syarikat yang
mengendalikan penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama. Malah
ada banyak syarikat penerbangan besar lain di Eropah dan Amerika
Syarikat (AS) yang cuba memiliki penerbangan tambang rendah, tetapi
secara amnya tidak berjaya."
Untuk rekod, pada Disember 2007,
syarikat penerbangan berpangkalan di Jerman, Lufthansa membeli 19
peratus kepentingan dalam JetBlue Airways dan menandatangani perjanjian
perkongsian kod dengan syarikat itu.
Ini merupakan pelaburan
penting pertama oleh sebuah syarikat penerbangan Eropah ke atas syarikat
penerbangan AS sejak termeterainya Perjanjian Langit Terbuka AS-AS
berkuatkuasa pada 2008.
Bagaimanapun pada Mac, 2015, Lufthansa bertindak menjual kepentingannya dalam JetBlue.
Elemen monopoli
Dalam
catatannya, Kadir turut membangkitkan bahawa AirAsia pernah 'berkahwin'
atau bersama dengan Malaysia Airlines sebelum ini - merujuk kepada
perjanjian pertukaran saham dua syarikat itu pada 8 Ogos, 2011.
Malangnya, perjanjian itu tidak bertahan lama apabila ditamatkan lapan bulan kemudian.
Kadir
berpendapat, perjanjian MAB-AirAsia itu tidak berjaya kerana cadangan
yang tidak jelas selain bedepan banyak bantahan daripada pihak awam.
"Namun
itu berlaku beberapa tahun lepas dan keadaan telah berubah. Kita juga
telah melihat kerajaan melakukan banyak cubaan untuk memulihkan Malaysia
Airlines tetapi malangnya, ada persepsi ramai bahawa MAB tidak dapat
dipulihkan dan sesuatu perlu dilakukan," katanya.
Bagaimanapun,
sama ada AirAsia mampu berjaya mengendalikan MAB sebagai sebuah syarikat
tambang penuh dan jika ia benar-benar berminat untuk menggalas tanggung
jawab itu adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan oleh syarikat
tambang rendah tersebut, katanya.
Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini
dilaporkan berkata, pihaknya tidak merancang untuk membeli MAB kerana
berhasrat melakukan usaha transformasi sebagai sebuah syarikat yang
diterajui oleh teknologi.
Mengulas sama ada 'perkahwinan' atau
penyatuan AirAsia dan MAB akan mencetuskan kebimbangan mengenai monopoli
dalam industri penerbangan tempatan, Kadir berkata akan wujud elemen
monopoli atau duopoli antara AirAsia dan Malindo Airways dalam masa
terdekat ini.
"Namun hari ini ianya bukanlah semudah itu untuk
syarikat penerbangan bertindak menetapkan harga tambang kerana perbuatan
itu adalah satu kesalahan dan saya fikir kita kini mempunyai jaminan
dalam bentuk perdagangan yang adil.
"Bagaimanapun, saya yakin
dalam persaingan antara dua syarikat, harga itu tidaklah semurah
persaingan antara tiga syarikat atau lebih," katanya.
Sementara
itu, penganalisis yang juga Penganalisis Penerbangan Endau Analytics,
Shukor Yusof, pula berpendapat Fernandes tidak mungkin mengambil alih
MAB pada masa ini.
"Seperti yang dikatakan oleh Tony Fernandes
secara terbuka sebelum ini bahawa tangannya sudah penuh pada masa ini
dan saya tidak nampak sebarang alasan untuk AirAsia untuk mengambil alih
MAB," kata Shukor sewaktu dihubungi
Bernama.
Menerusi catatan blog beliau bertajuk '
Singapore Airlines to invest in Malaysia Airlines?' (
Singapore Airlines Mahu Melabur Dalam Malaysia Airlines?)
baru-baru ini, Shukor berkata MAB mencatat kerugian lebih RM2.4 bilion
(US$580 juta) bagi tempoh antara 2015 dan 2017 walaupun telah menerima
suntikan dana RM6 bilion daripada Khazanah Nasional Bhd pada 2014.
"Awal
minggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedia
mempertimbang untuk menjual MAB jika terdapat pembeli yang dapat
memulihkan penerbangan nasional itu dan mengekalkan identiti Malaysia
yang ada," katanya.
Topik mengenai kemungkinan penjualan MAB
kembali hangat dan menjadi tajuk utama media selepas Dr Mahathir yang
juga Pengerusi Khazanah, menyatakan kesediaan Malaysia menjual syarikat
penerbangan itu sekiranya terdapat tawaran baik untuk syarikat itu.
Jika
diimbas, Perdana Menteri membangkitkan perkara itu buat pertama kalinya
pada Mac lepas apabila berkata kerajaan sedang mempertimbang sama ada
mahu menutup, menjual atau membiayai semula MAB selepas syarikat itu
kekal mencatat kerugian berikutan beberapa faktor termasuk kekurangan
anak kapal pada separuh kedua 2018.
Idea untuk menutup syarikat
penerbangan itu bagaimanapun telah mencetuskan bantahan pelbagai pihak,
termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan MAB sendiri, Kapten Izham Ismail.
Syarikat penerbangan
nasional itu telah mencatat kerugian sebelum tragedi kehilangan pesawat
MH370 dan seterusnya pesawat MH17 yang ditembak jatuh.
Pada 2014, ia mengumumkan pelan pemulihan lima tahun dengan matlamat untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2018.
Bagaimanapun
syarikat itu gagal mencapai sasaran itu berikutan persekitaran
perniagaan yang mencabar seperti persaingan sengit, kenaikan harga bahan
api, kadar pertukaran asing dan kekurangan anak kapal.-
Bernama