AIDCNews
Dr Kamarul Zaman Yusoff
Saya
terkejut bila membaca kenyataan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem
Faruqi, yang sekarang ini menjawat jawatan Tunku Abdul Rahman Professor
of Law di Universiti Malaya, di dalam portal berita Berita Daily yang
mempertikaikan kenyataan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen semalam bahawa ‘freedom
of religion is not freedom from religion’ (kebebasan beragama itu bukan
bermakna kebebasan untuk tidak beragama).
Kata Datuk Dr Shad:
(1) “Tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan
ateisme tidak berperlembagaan di Malaysia” (“There is nothing in the
Federal Constitution which makes atheism unconstitutional in Malaysia”).
(2) “Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) juga memasukkan hak
untuk tidak mempercayai” (“The Universal Declaration of Human Rights
(UDHR) also included the right to not believe”).
(3) “Dakwaan Asyraf bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman
awam tidak disokong oleh data sosial” (“Asyraf’s claim that atheism can
lead to public disorder was not supported by corresponding social
data”).
Untuk ketepatan, ini adalah transkripsi ucapan Datuk Dr Asyraf Wajdi di Parlimen semalam:
“Saya bersetuju bahawa ideologi ateis ini amat merbahaya kerana ia
juga bukan hanya menyebarluaskan pemahaman mereka kepada orang Islam
tetapi jugak kepada orang bukan Islam. Di dalam Perlembagaan, kita ada
dua peruntukan penting yang harus kita semua fahami. Pertama, di dalam
Perlembagaan, untuk orang Islam, dalam konteks agama Islam, dipelihara
dan dijaga melalui Perkara 11(1) yang harus dibaca dengan Perkara 11(4),
yang mengatakan bahawa kebebasan agama di negara kita ini terikat
kepada Perkara 11(4), iaitu menyatakan sebarang bentuk penyebaran agama,
kepercayaan, doktrin di kalangan orang Islam itu adalah ditegah, dan
kerajaan boleh mengadakan apa-apa jugak peruntukan undang-undang untuk
menyekat pemahaman ataupun penyebaran doktrin-doktrin yang dirasakan
boleh mengganggu-gugat kesucian agama Islam itu sendiri. Itu untuk orang
Islam.
Bagi yang bukan Islam, sebenarnya, seperti yang kita semua
maklum, ia bercanggah jugak dengan undang-undang yang berkaitan
ketenteraman awam dan kemoralan. Bahkan kita sudah ada Akta Hasutan
umpamanya yang sekiranya ada pihak-pihak yang cuba untuk menyebarkan
ideologi-ideologi doktrin sepertimana ateis ini, yang cuba untuk
menyangkal kesucian agama-agama lain, ia boleh diambil di bawah Akta
Hasutan ini. Dan kita harus faham bahawa dalam konteks Malaysia,
Perlembagaan kita menyatakan bahawa kebebasan beragama itu bukan
bermakna kebebasan untuk tidak beragama kerana it is unconstitutional,
dengan izin, untuk mengatakan bahawa kita boleh menyebarkan pemahaman
tidak beragama di dalam konteks negara ini, sebab ‘freedom of religion
is not freedom from religion’, bermakna kita tak boleh, dengan izin,
incite people to leave religion or to promote to no religion. Kita tak
boleh mengarahkan atau mempromosikan satu fahaman yang bertentangan
dengan Perlembagaan untuk kita tidak beragama, sepertimana yang saya
jawab tadi, dalam konteks Rukun Negara, kita tidak boleh bertentangan
dengan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan.”
Pertamanya, sebelum ini, Datuk Dr Shad adalah antara pakar
perlembagaan yang saya kagumi kerana pandangan-pandangan tajam beliau
yang dilihat sering bersifat neutral dan objektif.
Bagaimanapun, penghormatan saya terhadap beliau ini sudah semakin
pudar sejak beliau berkawan rapat dengan kumpulan G25 di dalam dua tiga
tahun kebelakangan ini sehingga beliau mula mengeluarkan pelbagai
pandangan yang kontroversi yang sesetengahnya kelihatan bercanggah
dengan pandangan-pandangan yang beliau sendiri buat sebelum beliau
mengasosiasikan diri dengan kumpulan G25.
Di dalam kes ateisme ini, saya merasa sangat hairan kenapa Datuk Dr
Shad kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk mempertahankan golongan
ateis sehingga ke tahap merendahkan martabat beliau sebagai seorang
pakar perlembagaan, di antara lainnya kerana:
(1) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “tiada apa-apa di dalam
Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan ateisme tidak berperlembagaan
di Malaysia” kelihatan bercanggah dengan beberapa kenyataan beliau
sebelum ini. Antaranya ialah kenyataan beliau di dalam kertas kerja
beliau bertajuk “The Constitution Of A Muslim Majority State: The
Example Of Malaysia” yang menyebut, di bawah tajuk kecil (“Tiada Hak
Untuk Ateisme” (“No Right To Atheism”): “Adakah hak untuk percaya
merangkumi hak untuk tidak percaya dan mengamalkan ateisme, agnosticisme
dan rasionalisme? Dalam kebanyakan negara demokratik hak untuk tidak
percaya dilindungi oleh perlembagaan.
Tetapi tidak begitu di
Malaysia(“Does the right to believe include the right to disbelieve and
to adopt atheism, agnosticism and rationalism? In most democratic
countries the right not to believe is constitutionally protected. But
not so in Malaysia.”). Begitu juga dengan kenyataan beliau di dalam
kertas kerja beliau bertajuk “Freedom Of Religion: International And
Constitutional Perspectives” yang menyebut: “Perlindungan yang diberikan
kepada seseorang individu oleh Perkara 11(2) dan Perkara 12(3) hanyalah
terhadap “satu agama yang lain daripada agamanya”.
Peruntukan-peruntukan ini menimbulkan masalah terhadap hak-hak
perlembagaan mereka yang tiada agama” (“The protection offered to a
person by Articles 11(2) and 12(3) is only against “a religion other
than his own”. These provisions pose problems for the constitutional
rights of nonbelievers, atheists, agnostics, free thinkers and
rationalists”).
(2) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “Deklarasi Hak Asasi Manusia
Sejagat (UDHR) juga memasukkan hak untuk tidak mempercayai” kelihatan
bercanggah dengan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa UDHR
tidak mengikat Kerajaan Malaysia. Antaranya ialah keputusan Mahkamah
Persekutuan di dalam kes Merdeka University Bhd v. Government of
Malaysia [1981] di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa UDHR
adalah “hanya satu pernyataan prinsip dan tidak mengandungi sebarang
watak kewajiban” (“merely a statement of principles devoid of any
obligatory character” dan “bukan satu alat yang mengikat dari segi
undang-undang” (“not a legally binding instrument as such”). Begitu juga
dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Bato Bagi & Ors
v. Kerajaan Negeri Sarawak and another appeal [2011] di mana Mahkamah
Persekutuan memutuskan bahawa “kita tidak perlu menggunakan norma
antarabangsa sebagai satu panduan untuk mentafsirkan Perlembagaan
Persekutuan kita” (“we should not use international norms as a guide to
interpret our Federal Constitution”).
(3) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “Dakwaan Asyraf bahawa ateisme
boleh menjejaskan ketenteraman awam tidak disokong oleh data sosial”
kelihatan bercanggah dengan peruntukan Seksyen 298(A)(1) Kanun
Keseksaan, yang turut saya gunakan untuk membuat laporan polis terhadap
Hannah Yeoh pada 17 Mei 2017, yang sekadar menggunakan istilah-istilah
“menyebabkan, atau cuba menyebabkan atau mungkin menyebabkan” dan
“memprejudis, atau cuba memprejudis, atau mungkin memprejudis” (“causes,
or attempts to cause, or is likely to cause” dan “prejudices, or
attempts to prejudice, or is likely to prejudice”) sahaja yang tidak
memerlukan kepada penggunaan data sosial begini. Samalah juga dengan
perintah pengharaman buku G25 yang sekadar menggunakan istilah-istilah
“mungkin memudaratkan ketenteraman awam”, “mungkin menggemparkan fikiran
orang ramai” dan “mungkin memudaratkan kepentingan awam” sahaja yang
turut tidak memerlukan kepada penggunaan data sosial begini.
Apa pun, dakwaan bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman awam
ini sebenarnya bukan dimulakan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi, tetapi Dr
Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja merangkap Ketua Angkatan
Wanita (AWAN) AMANAH.
Untuk ketepatan, ini adalah transkripsi ucapan Dr Siti Mariah di Parlimen semalam:
“Dan kita tahu bahawa yang diwarwarkan itu kebanyakan yang terlibat
(dengan ateisme) kita dapat melihat adalah muka-muka Melayu, ya, dan
orang-orang muda dan kehadiran mereka dalam masyarakat ini sangat
menggusarkan dan menyebabkan masyarakat merasakan sebagai satu ancaman
kepada anak muda kita… Mereka ini bukan sahaja setakat tidak mempercayai
adanya Tuhan, tetapi tindakan mereka agak agresif, bila di dalam
Facebook dan sosial media mereka menyerang agama-agama lain, juga
menyerang agama Islam.”
Tahniah saya ucapkan kepada Dr Siti Mariah di atas ucapan beliau di
Parlimen yang kelihatan agak berlawan dengan arus AMANAH dan parti-parti
lain Pakatan Harapan ini. Jika getir di sana, boleh sahaja Dr Siti
Mariah pertimbangkan kembali ke parti lama.
Saya masih teringat betapa bila isu ini ula muncul dulu, empat
individu, iaitu Dr Maszlee Malik, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, Rev Dr
Sivin Kit dan Dr Azmi Sharom, telah dipetik membantai kerajaan di dalam
portal berita South Cina Morning Post pada 13 Ogos lalu.
Kita tunggu lihat siapakah pula yang akan membela golongan ateis pada kali ini.
*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).