Oleh: Shirzad Lifeboat
Minggu lalu saya berada di Bali, Indonesia. Hampir setiap manusia yang ditemui adalah penganut agama Hindu. Beza mereka dengan penganut Hindu di Malaysia dan di tempat lain ialah mereka adalah berketurunan Melayu – Melayu Indonesia dan bertutur dalam bahasa Melayu (bahasa Melayu Indonesia).
Maka rumusan ringkasnya, apapun keadaan politik republik berkenaan, siapa dan parti apa yang memerintah sekalipun, Bahasa Melayu tetap menjadi penyatu kepada lebih daripada 252 juta penduduk Indonesia.
Mengetahui saya dari Malaysia, penyambut tetamu dan pelayan restoran hotel antarabangsa tempat saya menginap terus bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka fasih berbahasa Inggeris.
Hal ini berbeza dengan di Malaysia di mana orang Malaysia sendiri, tak kira dari keturunan apa sekalipun dan ketika bertutur dengan sama keturunan ketika berurusan di hotel, lebih-lebih lagi hotel bertaraf antarabangsa atau ketika membeli belah di kompleks membeli belah premium dan sebagainya lebih kerap bertutur dalam bahasa Inggeris seolah-olah bahasa Melayu tak laku, bukan bahasa kebangsaan, tidak difahami oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan bukan bahasa yang boleh digunakan ketika berurus niaga.
Rumusan ringkasnya bahasa Melayu gagal menyatukan, walau hanya 30 juta penduduk, iaitu tidak sampai daripada 12 peratus dari penduduk Indonesia. Dan rumusan selanjutnya, UMNO yang begitu mendabik dada tentang mendaulatkan bahasa Melayu dan bercakap tentang itu dan ini mengenai perjuangan Melayu sejak Merdeka (malah sejak sebelum itu lagi) gagal merealisasikan matlamat bahasa Melayu sebagai alat penyatuan bangsa berbanding dengan Indonesia yang diperintah oleh parti silih berganti dan jarang-jarang bergimik tentang perjuangan bahasa Melayu.
Begitulah nasib malang yang menimpa bahasa Melayu di Malaysia berbanding di Indonesia. Dalam lain cakap pemimpin UMNO sejak Merdeka sehingga hari ini mengenai pendaulatan bahasa Melayu adalah ‘cakap-cakap yang tak serupa bikin’.
Seperti kebanyakan pengunjung Bali, antara destinasi menarik tentulah Pantai Kuta yang menganjung ke Laut Timor. Sebenarnya keindahan pantai ini tidak ada bezanya dengan keindahan pantai di Malaysia. Benar seseorang boleh melihat dan merakamkan foto mentari terbenam di u***** Barat. Tapi scenario seperti itu turut dapat dilihat di seluruh pantai Barat Malaysia terutama di pantai di Langkawi yang menganjung ke Laut Andaman.
Di pekan Kuta, di jalan-jalan utama dan di lorong-lorong pelancong asing kelihatan di mana-mana dan si setiap masa walaupun baik Indonesia mahupun Pulau Bali jarang mengadakan kempen ‘tahun melawat’ sebagaimana yang dilakukan oleh Malaysia.
Dibandingkan dengan suasana di Malaysia, bezanya ibarat langit dengan bumi. Benar sesekali timbul kenyataan menteri bertanggungjawab tentang pelancongan merasa teruja dengan kononnya jumlah tahunan pelancong asing yang masuk ke negara ini. Malangnya daripada jumlah yang dikatakan itu, sebahagian besar daripada mereka bukanlah pelancong bona fide tetapi memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan dan pelbagai lagi tujuan yang menyalahi undang-undang negara.
Bukanlah tujuan saya mahu memperlekehkan negara saya sendiri. Kita sebenarnya boleh melakukan sebaik atau lebih baik dari orang lain. Malangnya pemimpin yang memerintah dan membentuk minda dan budaya kita tidak Merdeka tidak pernah mengambil berat dan menghargai apa yang kita miliki kecuali melakukan sesuatu bersifat ‘melepaskan batuk di tangga’ atau sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Lihat sahaja apa sudah jadi dengan Rukun Negara. Di zaman Tun Razak ia diperkatakan setiap hari dan di mana-mana. Di zaman Najib, Rukun Negara yang diperkenalkan oleh ayahndanya hanya tinggal kenang-kenangan. Hal ini bertentangan dengan ‘Pancasila’ Indonesia yang didukung sejak dari zaman Soekarna sehinggalah ke zaman Jokowi kini.
Begitu juga dengan penghormatan kepada tokoh-tokoh nasionalis bangsa. Di Malaysia nama bangunan, lapangan terbang dan sebagainya banyak sempena nama orang tertentu terutama ahli politik UMNO. Sebaliknya di Indonesia penghormatan diberikan kepada sesiapa sahaja yang pernah berjasa kepada republik berkenaan.
Di Bali, lapangan terbang antarabangsanya dinamakan sempena I Gusti Ngurah Rai. pahlawan yang mengetui penentangan Belanda di pulau itu dan terkorban di Perang Margarana pada usia 29 tahun.
Selain itu portret bekas askar Belanda kelahiran Bali ini diabadikan dalam wang kertas 50,000 rupiah Indonesia.
Melihat semua ini secara ringkas kita mungkin tertanya bilakah pemimpin kita akan bangkit dari lena mereka.