Oleh Hishamuddin Rais
Seorang menteri dari parti UnitedMalays National Organisation mencadangkan digubal satu rang undang-undang untuk mewajibkan dan
memaksa rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap bulan
Ogos. Sang menteri ini sedang gelabah kerana orang ramai - rakyat
Malaysia - langsung tak ambil pot tentang bulan Ogos. Bulan Ogos adalah
bulan yang dipanggil oleh gerombolan ini bulan kemerdekaan.
Kadang-kadang
saya naik kasihan melihat gerombolan politikus dari United Malays
National Organisation. Selalunya saya merasa gumbira dan ketawa melihat
lawak kebangangan mereka. Saya juga bersedih kerana mereka buta
sejarah. Kesedihan menjadi lawak kerana gerombolan politikus ini juga
amat-amat buta politik.
Bila tulisan ini disiarkan - hari
malapetaka 31 Ogos - akan sampai tidak lama lagi. Ertinya empat hari
lagi dalam istilah United Malays National Organisation kita akan
menyambut merdeka. Tarikh 31 Ogos dalam naratif gerombolan difahami
sebagai hari mereka dinobatkan untuk menjadi raja.
Wahai para
pembaca yang budiman, lihat di jalan raya. Buka mata dan pandang. Amati
betul-betul. Di jalan raya tidak ada teksi. Tidak ada kereta
persendirian. Tidak ada bas. Tidak ada van. Tidak ada bas sekolah. Tidak
ada mat rempit. Tak ada kenderaan apa pun yang sedang mengkibarkan
Jalur Gemilang.
Pilu di hati ini menjadi bertambah lawak. Pada
tahun ini lori bawa pasir pun tidak mengibarkan bendera. Selalunya lori
pasir akan memasang bendera agar dilihat patriotik. Pasang bendera
untuk menghindarkan dari ‘kena pau' oleh mata-mata yang sentiasa
mencari kesalahan lori pasir. Kalau lori pasir pun sudah tidak
mengibarkan dengan bendera ini maka jelas propaganda United Malays
National Organisation sedang sakit tenat.
Tetapi kenapa agaknya warga Malaysia enggan mengibarkan bendera yang dipanggil bendera Malaysia?
Kita wajib menyingkap kembali sejarah negara bangsa, sejarah kelahiran
Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia. Sejarah inilah yang
selama ini telah dinyahkan oleh United Malays National Organisation.
Tetapi dengan mewujudkan sistem maklumat Internet dari hari ke hari,
warga Malaysia terutama anak-anak muda sedang menggali kembali sejarah
yang selama ini cuba dikambus. Penipuan sejarah yang diciritkan oleh
United Malays National Organisation kini terbongkar.
Setiap kali
bulan Ogos sampai United Malay National Organisation yang akan
tercirit mulut mengakui bahawa ‘kemerdekaan' negara ini didapati dengan
jalan damai. Merdeka Tanah Melayu dimenangi melalui berunding. Poorah.
Yang berunding ialah Uniterd Malays National Organisation. Parti ini
TIDAK pernah melawan dan tidak pernah menentang penjajah British.
Buktinya cukup senang.
Penjajah ialah musuh. Penjajah ialah
orang jahat. Penjajah datang untuk mengambil tanah, minyak, kelapa,
rempah, emas, balak dan, dan, dan. Penjajah menjadikan anak tanah
jajahan sebagai hamba. Penjajah beli barangan tempatan dengan harga
murah dan jual dengan harga mahal. Penjajah merampok dan menjarah tanah
jajahan.
Justeru dalam sejarah Asia, Afrika dan Amerika Latin,
semua kuasa kolonial penjajah telah dilawan oleh anak watan. Indonesia
melawan Belanda. Filipina melawan Sepanyol. Rakyat Vietnam bangun
melawan Perancis dan kemudian Amerika. Burma melawan British. India
melawan Bristish. Ramai nasionalis dari negara-negara ini ditangkap,
dipenjara, dibunuh atau dibuang negeri kerana menentang penjajah.
Sila tanya kepada ahli United Malays National Organisation siapakah
pemimpin parti mereka yang telah melawan Bristih? Siapa pemimpin mereka
yang telah ditangkap British atau yang telah dipenjara oleh British
atau dibunuh British? Kalau ada pemimpin United Malays National
Organisation sebesar tungau sekali pun yang bangun melawan British maka
sejarah akan tabik hormat. Tetapi hakikatnya seekor pun tidak ada.
United Malays National Organisation - yang namanya masih nama Inggeris
- bukan parti nasionalis anti-British. Mereka adalah parti budak
suruhan British. Parti ini adalah alat penjajah British. Justeru
namanya masih lagi nama Inggeris.
Naratif kemerdekaan yang
diciritkan oleh United Malays National Organsiation bukan naratif
perjuangan menentang British. Naratif mereka ialah ‘menentang orang
yang menentang British'. Setiap bulan Ogos mereka akan tercirit dengan
kesah bagaimana mereka menentang Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka
akan tercirit dengan tohmahan menentang Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM). Mereka menentang Gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang bangun
angkat senjata melawan penjajah.
United Malays National
Organisation menentang PKM, menentang PKMM, menentang Kesatuan Melayu
Muda (KMM), menentang Hizbul Muslimin, menentang Angkatan Pemuda Insaf
(API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Nama-nama ini adalah parti dan
kumpulan nasionalis yang telah bangun menentang penjajah British.
Jelas United Malays National Organisation TIDAK pernah menentang
British. Tidak ada naratif melawan untuk mendapatkan Merdeka. Parti ini
telah bangun menentang orang yang menentang British. Ini sejarah jahat
United Malays National Organisation. Jelas, tugas parti ini ialah
menjadi budak suruhan British untuk menentang kaum nasionalis yang
bermandi darah mengangkat senjata melawan British. Inilah naratif bulan
Ogos yang mereka gembar gemburkan sebagai ‘bulan kemerdekaan'.
Tarikh 31 Ogos ialah hari malapetaka. Pada tahun 1957 - di hari
malapetaka - British telah meninggalkan kuasa dan memberikan Tanah
Melayu ini untuk diperintah oleh United Malays National Organisation
dan konco-konconya. Semenjak dari tarikh ini Tanah Melayu dan kemudian
Malaysia tidak sudah-sudah terus ditimpa oleh malapetaka.
Setelah memahami babak babak sejarah ini maka kita akan sedar kenapa
rakyat Malaysia - anak semua bangsa - enggan mengibarkan bendera yang
kini telah dikenali sebagai Jalur Gemilang. Bendera ini adalah
ciplakan. Kita tidak perlu pergi belajar ke Oxford atau Sorbonne untuk
memahami fakta ciplakan ini. Malah anak mahasiswa dari Universiti
Sintok pun dapat memahami bahawa Jalur Gemilang ini diciplak dari
Star-Spangled Banner - bendera Amerika Syarikat.
Kebencian dan
keengganan anak semua bangsa untuk mengibarkan Jalur Gemilang ini
semakin menjadi-jadi hinggakan perlu satu rang undang-undang. Kenapa
ini berlaku?
Biar saya terangkan kenapa ini terjadi. Bulan Ogos
tahun 2013 adalah tanda penolakan yang amat jelas terhadap Jalur
Gemilang - simbol milik United Malays National Organisation ini. Ini
terjadi kerana kurang lebih tiga 3 bulan dahulu rakyat Malaysia telah
ditipu oleh United Malays National Organisation. Dalam PRU13 yang baru
selesai United Malays National Organsiation telah menang dan kembali
berkuasa.
Menang dan kembali berkuasa dengan jalan tipu. Penipuan ini
cukup jelas dan disedari oleh orang ramai.
Terbukti bahawa rakyat
Malaysia - anak semua bangsa - dalam PRU13 telah menolak United Malays
National Organisation dan konco-konco. Tetapi dengan licik dan penuh
perancangan yang disusun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya - gerombolan
yang telah ditolak oleh rakyat ini kembali berkuasa. Ini menyebabkan
orang ramai bertambah marah dan benci kepada Jalur Gemilang yang
menjadi simbol United Malays National Organisation.
Apa yang
saya tulis ini bukan untuk bacaan satu kumpulan minoriti. Apa yang saya
tulis ini bukan sentimen kumpulan kecil. Apa yang saya lakar ialah
suara dan tuntutan 52 peratus warga Malaysia - anak semua bangsa.
Apabila Anwar Ibrahim bercakap, apabila Hadi Awang bersuara atau apabila
Lim Kit Siang mengeluarkan pandangan - itu adalah suara dan pandangan
52 peratus warga Malaysia.
Orang ramai - 52 peraus warga
Malaysia - merasa ditipu dalam PRU13. Orang ramai - 52 peratus - yakin
kemenangan mereka telah dirampas. Orang ramai tahu bahawa kuasa United
Malays National Organisation ini adalah hasil dari penipuan yang
dirancang. Maka tanda awal yang dapat mereka nyatakan tiga bulan
kemudian ialah mereka tidak ambil pot tentang Jalur Gemilang.
Rasa muak dan mual terhadap kerenah United Malays National Organisation
ini belum selesai. Kemarahan orang ramai kerana kemenangan mereka
dirampas tidak akan terhenti. Rasa muak, benci dan marah ini sedang
dikongsi oleh 52 peratus warga Malaysia. Rasa kemarahan ini sedang
membara.
Justeru para menteri dan para politikus dari United
Malays National Organisation dan konco-konconya wajib sedar bahawa
mereka berkuasa kerana penipuan. Suara mereka bukan suara majoriti. Para
aparacik parti dan para pegawai kerajaan wajib sedar bahawa kerajaan
hari ini adakah kerajaan haram yang ditubuhkan melalui penipuan.
Bagaimana
pula dengan lagu Negaraku yang kini dimainkan dalam panggung wayang?
Para penonton akan dipaksa mendengar lagu ini. Ini juga menjadi berita
heboh bulan Ogos. Sebenarnya lagu Negaraku ini sama seperti Jalur
Gemilang. Lagu yang dipangggil lagu kebangsaan ini adalah hasil
ciplakan. Lagu asal
La Rosalie dari Perancis, menjadi
Memula Moon, menjadi lagu
Terang Bulan di Indonesia dan diciplak untuk menjadi lagu Negaraku.
La Rosalie, Memula Moon, Terang Bulan atau
Negaraku akan dipaksakan kepada penonton panggung wayang. Ini akan
menjadi lawak seram. Tidak ada sesiapa yang memiliki harga diri dan tahu
sejarah asal usul lagu ini akan bangun hormat pada lagu ini. Lagu
Negaraku adalah hasil ciplakan. Tidak perlu ditutup lagi sejarah ini.
Segala yang diciplak lambat laun akan diketahui umum. Lambat laun akan
dihumbankan.
Tidak dapat tidak Malaysia hari ini memerlukan satu
bendera yang memiliki motif wataniah untuk melambangkan sejarah
pejuangan anak bangsa. Bukan bendera ciplakan dari bendera Amerika.
Malaysia juga memerlukan lagu kebangsaan yang menjiwai tempo dan naluri
sejarah bangsa. Malaysia dengan politik baru akan menghumbankan ke
dalam tong sampah sejarah semua yang diciplak. Melahirkan ini adalah
tugas anak muda yang telah diberikan oleh sejarah....M/kin