Tuesday, July 29, 2014

Masalah infrastruktur berulang di Tawau, ganggu sektor pelancongan

Chan Foong Hin

Roketkini.com


TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) perlu menyelesaikan segera masalah infrastruktur di Pasar Tanjung Tawau yang menyukarkan urusan peniaga dan pengunjung ke pasar terkenal itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Tanjong Foong Hin Chan berkata, masalah itu sudah sekian lama berlaku tanpa apa-apa tindakan pihak berkuasa.

“Masalah (infrastruktur) pasar ini sentiasa berulang. Sampai bila (baru) MPT akan selesaikan masalah ini?” katanya menerusi laman Facebooknya semalam.

Beliau merujuk laporan Harian Tawau Express, berhubung keadaan uzur pasar tersebut berikutan terdapat sebuah lubang besar di bahagian siling di tingkat tiga yang menempatkan medan selera.

Selain mengganggu pemandangan, masalah lebih besar timbul apabila ia menjadi tempat burung-burung berkeliaran yang boleh membahayakan kesihatan peniaga dan pengunjung.

Memetik laporan tersebut, para peniaga merungut ekoran kejadian bangkai seekor burung yang jatuh ke kawasan medan selera, selain bulu-bulu burung berterbangan yang mengganggu keselesaan pengunjung.

Sehubungan itu, DAP Tawau mendesak MPT agar segera membaiki lubang tersebut bagi mengelakkan mata pencarian peniaga di sana terus terjejas.

Tindakan segera amat diperlukan memandangkan ia bakal menjejaskan reputasi Tawau, ekoran peranannya sebagai tumpuan pelancong luar dan dalam negara, selain menjadi lokasi bagi penduduk tempatan mendapat barang keperluan. – Roketkini.com

No comments: