Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
BERULANGKALI telah dibuktikan oleh ramai penyelidik betapa kitaran ‘turun-naik’ ekonomi termasuk
kaitannya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar dan Indeks Harga Borong
Barangan (termasuk perkhidmatan) sebenarnya adalah merupakan fenomena
semula jadi.
Pemerhatian sedemikian telah diterbitkan
menerusi banyak buku antaranya ‘The Vast Vastness’ oleh penyelidik
Richard Pasichnyk, ‘Trading Commodity Futures with Classical Chart
Patterns’ oleh pengamal dagangan komoditi Amerika Syarikat, Peter
Brandt, sekadar menamakan dua contoh.
Maknanya, walau apa sekalipun
berlaku, trend ekonomi, pasaran dan sebagainya akan mematuhi carta
tertentu. Begitu pun, tidak ada penjelasan (dan tidak mungkin ada
penjelasan) mengapa ia menurut trend sebagaimana yang ditunjukkan oleh
carta dan graf.
Jawapannya sudah tentulah hanya Allah yang mengetahuinya.
Walaupun pemerhatian tersebut di lakukan di negara-negara lain, ia
tetap benar bagi trend ekonomi dunia atau trend mana-mana negara
sekalipun.
Namun, bagi orang Islam, kita tak perlu taksub dengan
penemuan statistik ini kerana kitaran tersebut sudahpun disebut dalam
Quran: “Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau
yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya;
kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan
benih)...”Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang
ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil
anggur, zaitun dan sebagainya.” (Surah Yusuf: 48-49)
Justeru,
jika ada pun satusatunya negara yang terkecuali dan terlepas daripada
trend ini, setidak-tidaknya selepas tahun 1981, ialah tidak lain dan
tidak bukan melainkan Malaysia.
Pada tahun itu, Dr Mahathir
Mohamad yang baru dilantik menjadi Perdana Menteri telah menyadur mimpi
pejuang kulit hitam dan sivil Amerika Syarikat, “I Had A Dream”.
Kononnya, antara lain Dr Mahathir mengimpikan sebuah negara yang makmur
dengan rakyatnya dapat menikmati usia tua tanpa sebarang masalah. Namun,
apa pun mimpi beliau tak sama dan mungkin tak seikhlas mimpi Dr Martin
Luther King Jr, yang benarbenar mengabdikan dirinya bagi perjuangan
rakyat kulit hitam negara tersebut.
Tentu sekali hari ini orang
tidak lagi bercakap tentang mimpi Dr Mahathir yang diukir pada sebuah
batu dan disimpan di Museum Negara (seolah-olah ia sebuah artifak
bersejarah dan batu penanda kepada anjakan ekonomi Malaysia).
Lagi pun mimpi beliau setakat bena bangunan itu dan ini dan
infrastruktur sahaja dan bukannya mimpi memakmurkan rakyat. Justeru,
bermula tahun mimpi itu Dr Mahathir mengubah segalagalanya. Hari ini
dasar penswastaan dan kontrak runding terus yang ditinggalkan sebagai
warisan menguntungkan segelintir manusia tapi menjerut leher rakyat.
Jika tidak ada dasar ini, tidak adalah kenaikan kadar elektrik, air dan
utiliti lain sewenangwenangnya dan semua projek mega atau tidak mega
akan dianugerahkan secara adil dan saksama kepada mereka yang layak dan
bukan diberikan kepada kroni yang baru seminggu mendaftarkan syarikat
sendirian berhad dengan modal berbayar RM2.
Hari ini apa yang
berlaku ke atas ekonomi rakyat Malaysia (bertentangan dengan mimpi tahun
1981 Dr Mahathir) adalah warisan daripada keputusan yang dibuat oleh
mantan Perdana Menteri itu.
PM kini Najib Razak bukan sekadar
menyambung tetapi mengambil segala kesempatan yang ada berdasarkan
keputusan yang tidak sama sekali menguntungkan rakyat ini tetapi
sebaliknya membebankan. Tak perlulah disebutkan lagi kenaikan dan hilang
kawalan ke atas ekonomi rakyat, tetapi projek yang dianugerahkan
menerusi cara runding-terus ini sudah mencapai taraf super-mega.
Semua ini memamah jauh ke dalam aliran wang tunai kerajaan dan meninggalkan impak cukup parah kepada rakyat Malaysia.
Apa yang berlaku sebenarnya mengenai tindakan dan keputusan ekonomi
yang diambil oleh para Perdana Menteri Umno-BN bermula daripada Dr
Mahathir sehingga Najib adalah mengaut keuntungan atau memperbaiki
aliran wang tunai untuk negara dengan cara memeras wang rakyat.
Benar, kerajaan tidak perlu lagi membiayai kos modal untuk bekalan
elektrik, air, telefon dan tak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk
menyelenggara jalan dan lebuh raya utama.
Namun sementara
kerajaan menyelamatkan dananya, yang terpaksa membiayai kesemua kos
tersebut termasuk memastikan pemilik projek penswastaan terus kaya
adalah rakyat daripada semua lapisan.
Inikah yang dimaksudkan
oleh Dr Mahathir dengan mimpi beliau sehingga apabila kebanyakan rakyat
Malaysia yang muda ketika beliau dilantik menjadi Perdana Menteri tetapi
kini sudah tua terus mengalami mimpi buruk dan ngeri di zaman Najib?
Benar, semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, ekonomi Malaysia
mencatatkan pertumbuhan tahunan melebihi 6.0 peratus setiap tahun untuk
beberapa tahun berturut-turut.
Tetapi itu sebenarnya bukan kerana
beliau atau Menteri Kewangannya pandai sangat tetapi disebabkan kitaran
ekonomi yang disebut itu. Apabila kitaran ekonomi mengambil giliran
menurun bermula tahun 1997/1998, angka pertumbuhan 6.0 peratus itu terus
menjadi debu ditiup angin.
Hari ini keadaan ekonomi global menurut kitaran berkenaan bukan lagi berada pada titik terbawah tetapi sedang menaik.
Malangnya, di Malaysia roda ekonomi itu bukan sahaja tidak menaik
tetapi terus menurun dan mungkin bakal tercabut dari paksinya.
Sepatutnya dalam ghairah bermimpi dan menentukan halatuju ekonomi
Malaysia untuk tiga dekad akan datang dulu, Dr Mahathir turut mengambil
kira tentang ‘tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu
yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh
tangkai lagi yang kering.”
Maknanya sewaktu kitaran ekonomi
berpihak kepada negara, wang tersebut disimpan untuk dikembalikan kepada
rakyat dan bukannya dibelanjakan untuk bina mercu tanda atau dibuang
begitu sahaja untuk ‘menspekulasi’ bijih timah dan mata wang ringgit di
pasaran antarabangsa.
Justeru, hari ini, sementara di negara lain
lembu gemuk sudah kembali makan lembu kurus, kita rakyat Malaysia masih
terus ditelan oleh lembu kurus.