Oleh Ahmad Lutfi Othman
Ramadan melewati fasa 10 hari pertama. Begitu pantas masa berlalu. Baga
imana
azam untuk menyempurnakan amalan-amalan wajib, juga melipatgandakan
tuntutan sunat, selain bertadarus, tarawikh, sedekah, menaja berbuka
puasa, berbuat baik dengan ibu bapa, famili dan umat seluruhnya?
Semoga
dapat dimanfaatkan sepenuhnya tempoh keemasan penuh keberkatan. Ya,
mungkin ini Ramadan terakhir kita ... Bayangkan, rakan-rakan atau
saudara-mara yang bersama kita pada Ramadan tahun lalu, kini sudah pergi
buat selamanya.
Sekembalinya saya menjalani latihan fisio dan
terapi, selepas hampir seminggu di wad HUKM, mengingatkan betapa tinggi
nilai kesihatan dan masa lapang. Ramai pesakit kronik, termasuk strok,
merupakan orang muda. Saya perhatikan mereka begitu gigih dan tekun
menjalani rawatan pemulihan, meskipun perlu memakan masa lama.
Pergantungan kepada Allah begitu tinggi dalam saat-saat sukar seperti
itu.
Melalui Harakah, untuk Ramadan berbaki ini, di samping lebih
berdisiplin mengikuti pelan rawatan pemulihan yang ditekankan Prof Dr
Zamrin Dimon, saya bertekad untuk mempromosi kerja-kerja kebajikan,
khususnya membantu keluarga tahanan ISA, fakir miskin, ibu tunggal, dan
mereka yang terlantar tidak berupaya.
Alhamdulillah, respons
pembaca Harakah, seperti lazimnya, cukup menggalakkan. Ada rakan lama
tiba-tiba menghubungi saya, selepas terusik dengan rayuan dana ISA itu,
sekali gus menderma.
Rupanya ramai yang tidak menyedari masih ada insan
dizalimi dan dikurung tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting, Taiping
selepas ISA diisytihar mansuh.
Meneliti penyata akuan Maybank,
saya dapati begitu ramai menyumbang, daripada sekecil RM5 sehingga
ribuan ringgit. Dalam hati terdetik, kita perlukan gerakan kebajikan
yang lebih tersusun, sistematik dan efisyen, serta dapat dipercayai.
(Sumbangan kepada keluarga mangsa yang teraniaya dan bekas tahanan ISA
itu boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank 564070000336 atas nama
HARAKAHDAILY DOT COM).
Tidak dilupakan kisah tragis saudara
seaqidah yang paling teruk dizalimi, iaitu minoriti Muslim Rohingya di
Myanmar. Ramai di antaranya menjadi pelarian sejak sekian lama, dan
sebahagiannya berada di sekeliling kita, di Malaysia tercinta ini.
Tidur
saya agak terganggu mengenangkan nasib mereka. Saya kira ramai lagi
resah mendengar dan menatap berita sedih itu. Rasanya, tidak banyak yang
telah kita lakukan untuk membantu mereka, dan ini amat menyedihkan.
Kita
seperti begitu tidak berupaya, cukup daif dan sekadar menunggu takdir,
apatah lagi dengan sekatan tertentu daripada regim junta Burma, yang
memisahkan minoriti Muslim itu daripada masyarakat antarabangsa.
Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat, sokongan dana kewangan dan
bekalan makanan amat diperlukan; dan kita tentu saja boleh meringankan
bebanan mereka.
Petang Jumaat lalu, selepas mendapat rawatan
alternatif daripada Ustaz Kamal Ashaari, yang juga berpengalaman
diserang strok, saya tiba-tiba menyedari, Harakah juga tidak mengambil
sikap proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada Rohingya.
Dan ini
tentu sahaja memalukan diri saya sendiri, yang sekian lama cuba
berusaha membantu golongan teraniaya di negara ini, yang nasib mereka
lebih beruntung daripada Muslim Rohingya.
Agak gelisah saya
mencari idea, terutama dalam keadaan tubuh yang mudah penat. Segera saya
teringat sosok personaliti NGO yang tidak pernah kenal lelah, Cikgu
Mohd Azmi Abdul Hamid. Difahamkan Presiden Teras itu pun "bukannya sihat
sangat", tetapi ia langsung tidak membataskan aktiviti
kemasyarakatannya.
Saya mengirim SMS memaklumkan hasrat Harakah
untuk lebih berperanan dalam isu Rohingya ini, terutama dari segi
menyalurkan bantuan kewangan. Cikgu Azmi mencadangkan tabung khas
dibentuk Harakah, tetapi bagi saya, kami sudah banyak menubuhkan dana
khas seumpama itu. Lebih baik yang sedia ada di bawah kawalan beliau
sendiri.
Cikgu Azmi bersetuju dan minta diiklankan Tabung
Mustadhafin Rohingya, atas nama akaun Sekretariat Himpuna Ulama Rantau
Asia (SHURA), BIMB 12047010037282. Ia anjuran Majlis Perundingan
Prtubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan SHURA. Dia memberi nama-nama untuk
dihubungi, Ahmad Tarmizi 0175606131, Salman Siddiqy 0134013342
Insya-Allah,
tabung itu akan Harakah uar-uarkan secara lebih meluas bagi
menggembleng sokongan berterusan umat Islam Malaysia. Saya menyeru
pembaca agar dapat menyumbang, terutama semasa bulan Ramadan ini.
Moga-moga ia dapat meringankan sedikit keperitan yang ditanggung
generasi demi generasi itu.
Desakan, tekanan dan lobi juga perlu
diteruskan, termasuk terhadap kerajaan negara ini, dalam usaha mencari
penyelesaian yang tuntas ke atas krisis kemanusiaan yang semakin parah
itu. Dunia yang nampak bisu itu mesti digerakkan. Info perlu disalurkan,
kempen kesedaran wajar dimulakan secara lebih terancang dan menyeluruh.
II.
Dalam perkembangan lain, saya tertarik dengan kenyataan
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam forum "ISA: Penyeksaan yang
sempurna", anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), minggu lalu.
Bukan
soal pengalaman penalis, termasuk Mat Sabu dan Hishamuddin Rais,
mengenai penyeksaan semasa dikurung tanpa bicara. Kisah dan cerita sedih
seumpama itu bukan rahsia lagi.
Saya lebih teruja dengan
pendirian Mat Sabu mengenai peranan penting badan bukan kerajaan (NGO),
termasuk sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 nanti. Satu
pandangan terbuka yang meraikan penyertaan politik lebih menyeluruh
daripada masyarakat sivil.
Beliau mahu NGO, seperti GMI, terus
bersikap kritikal terhadap pemerintah dan bekerja kuat untuk
membangkitkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka. Mereka harus terus
menjadi kumpulan pendesak untuk mengkritik dasar kerajaan, termasuk
Pakatan Rakyat, jika ia meneruskan dasar yang zalim dan penyelewengan
seperti kerajaan BN.
Tambah Mat Sabu, jika keberanian itu tidak
ditonjolkan, beliau bimbang, kerajaan yang mengambil alih, iaitu
Pakatan, "akan mencari jalan memperkenalkan undang-undang malah kadang
kala lebih teruk daripada kerajaan yang diambil alih" demi
mempertahankan kuasa mereka.
"Bila orang dapat kuasa, amat susah
kuasa itu digugat. Sebab itu kumpulan memperjuang hak asasi perlu terus
hidup dan kuat, walaupun sesiapa sahaja memerintah. Sebab, senang kita
cakap apabila dapat kuasa. Bila dapat kuasa, sudah mula kita ugut orang.
Aku bongkar ini, aku dakwa (kau) bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi),
sedangkan kita nak hapuskan OSA itu.
"Penyakit orang berkuasa,
dia (buat apa sahaja) nak kekalkan kuasa... Dalam sejarah pemerintah nak
serah kuasa memang susah nak berlaku," katanya, seperti dilaporkan
Malaysiakini.
Sememangnya kuasa perlu dibataskan dan dihadkan.
Seseorang individu atau mana-mana kumpulan yang berkuasa mutlak,
walaupun awalnya nampak baik dan menguasai kerajaan melalui sokongan
orang ramai (demokrasi) dengan menjatuhkan sang diktatotor, ia boleh
bertindak zalim dan lupa diri jika kuasanya tidak dihadkan atau
diimbangi.
Ungkapan popular yang selalu kita dengar ialah
kenyataan Lord Acton, pakar perundangan England, iaitu "power tendes to
corrupts and absolute power corrupts absolutly", atau "kuasa itu
cenderung disalahgunakan, dan kuasa yang mutlak itu lebih dahsyat
penyalahgunaannya."
Justeru, peranan NGO atau kumpulan pendesak
atau dalam pengertian lebih menyeluruh, masyarakat sivil, amat perlu
disuburkan. Setiap pemerintah tidak perlu gundah-gulana dengan
penyertaan politik proaktif oleh kumpulan-kumpulan berkepentingan itu.
Mereka
harus didampingi dan bukannya dimusuhi, meskipun suara kumpulan
berkenaan begitu lantang, vokal dan mungkin mendedahkan kelemahan dan
membongkar kesilapan pemerintah. Pastinya NGO yang bebas daripada
kawalan pemerintah ini harus dibiar bertindak sebagai watchdog terhadap
dasar-dasar dan program kerajaan.
NGO seumpama itu sebenarnya
berperanan untuk menyuburkan demokrasi dan mampu menjaga kepentingan
rakyat terbanyak, yang mengatasi atau melangkaui kepentingan politik
yang sempit. Untuk mengharapkan fungsi "semak dan imbang" dalam parti
pemerintah sendiri, tentulah cukup sukar. Cabaran daripada parti lawan
pula sering ditafsirkan sebagai "bermotif politik"dfan mahu merebut
kuasa.
Saya kira tafsiran yang diberikan terhadap masyarakat
sivil ini agak menarik untuk diteliti: "Masyarakat sivil adalah satu set
institusi bukan kerajaan yang punya kekuatan untuk mengimbangi kuasa
kerajan, menghalang pemerintah daripada bertindak bertentangan dengan
nilai-nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak sebagai
pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat sivil juga
merupakan sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah daripada
mendominasi dan memanipulasi masyarakat terbanyak."
Keterbukaan
Mat Sabu itu menandakan satu bentuk politik baru yang cuba diperkenalkan
Pakatan Rakyat, yang wajar dialu-alukan. Ramai yang menantikan
bagaimana konsep itu dapat dilaksanakan nanti jika rakyat benar-benar
mahukan satu kerajaan baru terbentuk selepas PRU13 nanti.