Thursday, September 30, 2021

Penduduk gempar rumah dinaiki air banjir merah

HUJAN yang turun dari awal pagi hari ini telah mewujudkan limpahan air bewarna merah di sekitar perkampungan Seri Jaya Batu 6, Tampoi, Johor Bahru. FOTO ihsan MEDIA SOSIAL

PENDUDUK Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, Johor Bahru gempar apabila air banjir yang menaiki kediaman mereka pagi ini berwarna merah dan berbau seperti minyak.

Penduduk mendakwa, air berwarna merah itu berpunca daripada sebuah kilang elektronik berhampiran yang sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu.

Seorang penduduk, Azmi Misri, 54, berkata, banjir merah yang pertama kali berlaku itu terjadi selepas hujan lebat lebih tiga jam awal pagi ini.

Kata bekas Ketua Kampung Pasir itu, banjir merah terbabit menimbulkan kebimbangan penduduk kerana berbau seperti minyak selain anggota badan menjadi gatal.

“Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi tidak pernah berlaku.

“Saya dan penduduk di sini, percaya banjir merah ini berpunca dari kilang elektronik berhampiran yang setahun sudah tidak beroperasi, berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Mengulas lanjut, Azmi menegaskan penduduk berharap kejadian banjir merah itu disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada kesihatan penduduk.

“Kawasan Kampung Seri Jaya Baru kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat bertembung air Sungai Skudai yang pasang.

“Ia berikutan tiga pam yang sepatutnya mengepam limpahan air di tali air serta anak sungai ketika hujan lebat, yang terletak di kampung ini difahamkan sudah rosak dan tidak dapat berfungsi menyebabkan kerap berlaku banjir kilat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas , Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata, air banjir kilat awal pagi tadi naik hingga ke paras satu meter surut dalam kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Ujar beliau, pihaknya melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir bewarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Bagaimanapun air banjir berkenaan tidak membawa kemudaratan kepada penduduk kampung.

“Pada awalnya kami bimbang air banjir itu boleh membawa kemudaratan terutama dalam kalangan penduduk kampung warga emas dan kanak-kanak.

“Namun air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam dan tiada masalah lain yang timbul.

“Penduduk berkenaan juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Bagaimanapun, bomba tidak dapat mengenalpasti punca warna air banjir itu.

Sultan Ibrahim titah kaji kawasan sering banjir kilat

Oleh Mohamed Farid Noh
Hujan lebat lebih tiga jam sejak jam 5 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di Johor dinaiki air. - Foto FB Sultan Ibrahim
Hujan lebat lebih tiga jam sejak jam 5 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di Johor dinaiki air. - Foto FB Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya segera menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga mahukan kedua-dua pihak berkenaan supaya segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan.

Baginda bertitah, gangguan terhadap sistem saliran di longkang atau parit terutama di bandar raya ini antara punca utama berlakunya banjir kilat ketika musim hujan.

"JPS Johor dan PBT perlu segera jalankan kajian dan segerakan laporan kepada saya, supaya dapat dikenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

"Taburan hujan yang tinggi akan menyebabkan berlaku banjir kilat seterusnya mengakibatkan kemusnahan harta benda serta memberi kesan kepada penduduk," titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan di akaun Facebook rasmi baginda, hari ini.

Terdahulu, hujan lebat lebih tiga jam sejak jam 5 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah termasuk Kampung Seri Jaya Baru dan Taman Johor di Tampoi, dilanda banjir kilat dengan lumpur dan sampah sarap turut menenggelamkan rumah penduduk.

Turut ditenggelami banjir kilat adalah kawasan Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Air selain Jalan Ayer Molek berhampiran Wisma Persekutuan Johor Bahru.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menasihatkan penduduk khususnya mereka yang menetap di kawasan berisiko supaya mengambil langkah berjaga-jaga disebabkan faktor cuaca tidak menentu pada masa sekarang.

"Purata hujan yang tinggi, berisiko menyebabkan berlakunya banjir kilat atau banjir disesuatu kawasan. Oleh demikian penduduk perlu sentiasa berhati-hati.

"Pada masa sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, PBT dan agensi keselamatan perlu sentiasa bersedia untuk melaksanakan persediaan awal jika berlaku banjir," titah baginda.

Aermacchi MB-339 bakal diganti pesawat dwifungsi baharu

BH ONLINE
Aermacchi MB-339 bakal diganti pesawat dwifungsi baharu. - Foto hiasan
Aermacchi MB-339 bakal diganti pesawat dwifungsi baharu. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tujuh pesawat latihan lanjut model Aermacchi MB-339 digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diganti dengan pesawat platform tunggal baharu yang mempunyai keupayaan dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan dan pesawat tempur ringan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata pesawat keluaran Itali berkenaan yang memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 kini digantung pengoperasiannya sejak 2018 susulan kemalangan di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin pesawat itu.

Perolehan pesawat baharu bagi menggantikan pesawat itu adalah antara fokus 10 tahun pertama iaitu dari 2021 hingga 2030 di bawah Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

"Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamatkan pengoperasian pada 2028.

"Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai rancangan penamatan operasi Aermacchi MB-339CM dan jumlah rekod penerbangan tujuh pesawat berkenaan hingga kini.

Ikmal Hisham berkata, hala tuju pesawat itu juga akan ditentukan selepas Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) melaksanakan audit ke atas pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) enjin.

"Audit ini dijadual tahun lalu, tetapi ditangguhkan atas faktor pandemik," katanya.

Ikmal Hisham berkata tujuh pesawat berkenaan sudah melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan. – BERNAMA

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Dua ditemukan meninggal dunia di pusat rawatan psikiatri

SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditemukan meninggal dunia ketika berada di sebuah rumah teres yang dijadikan pusat rawatan psikiatri di Tikam Batu, dekat sini.

Dua lelaki terbabit masing-masing berusia 25 dan 20 tahun adalah penghuni yang menjalani rawatan di premis berkenaan dan mereka meninggal dunia kelmarin dan semalam.

Mayat penghuni yang berusia 25 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan ditemui pengurus pusat rawatan terbabit jam 8.20 malam kelmarin ketika dia mengejutkan mangsa untuk makan ubat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Shah, berkata mangsa sebelum itu baru selesai makan malam dan dia kemudian berbaring di ruang tamu.

"Pengurus pusat rawatan terbabit kemudian cuba mengejutkan mangsa untuk makan ubat namun tiada sebarang tindak balas membuatkan dia bimbang dan menghubungi hospital.

"Petugas kesihatan yang tiba tidak lama kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya kepada BH, hari ini.

Lokasi terbabit kemudian disanitasi dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan COVID-19 sebelum proses bedah siasat.

Sementara itu, Adzli berkata, seorang lagi penghuni turut ditemui meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari, semalam ketika berada di pusat rawatan terbabit.

"Mangsa yang berusia 20 tahun berasal dari Perak itu ditemui tidak sedarkan diri oleh penyelia pusat rawatan berkenaan yang kemudian menghubungi hospital.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan dia sudah mendapat suntikan vaksin pada 17 September lalu," katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk saringan COVID-19 sebelum bedah siasat yang dijangka akan dilakukan hari ini.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kematian dua mangsa terbabit tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

12,735 kes baharu COVID-19

 Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Sebanyak 12,735 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti virus berkenaan mencecah 2,245,695 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lima negeri mencatatkan pertambahan kes empat angka dengan Sarawak kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu 2,467 kes.

Selangor merekodkan 1,940 kes baharu, diikuti Johor (1,241), Kelantan (1,232), Kedah (1,033), Sabah (993), Perak (913), Pulau Pinang (763), Terengganu (726), Pahang (697), Kuala Lumpur (258), Melaka (194), Negeri Sembilan (132), Perlis (97), Putrajaya (28) dan Labuan (satu).

SPRM dedah ‘pakatan’ rasuah kartel dengan pegawai Jabatan Perolehan

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Izani Wan Ishak berkata, 
berdasarkan kes terdahulu, individu di Jabatan Perolehan akan berpakat 
dengan kontraktor atau pembekal untuk membocorkan maklumat dalaman 
mengenai sesuatu projek kepada syarikat pembida.

PETALING JAYA: Jabatan Perolehan di agensi kerajaan dan swasta didapati paling terdedah kepada skandal rasuah hingga wujudnya pakatan antara pegawai jabatan itu dan kartel tertentu untuk membolot projek, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Izani Wan Ishak berkata, berdasarkan kes terdahulu, individu di Jabatan Perolehan akan berpakat dengan kontraktor atau pembekal untuk membocorkan maklumat dalaman mengenai sesuatu projek kepada syarikat pembida.

“Menerusi pakatan ‘menang-menang’ itu, pembida dapat melalui proses kelulusan tender secara mudah dengan wujudnya amalan rasuah di semua peringkat jabatan.

“Kartel inilah yang menjadi masalah besar yang kita hadapi dan perkara ini sudah lama berlaku dan akan terus berlaku,” katanya dalam seminar bertajuk “Bersama Memerangi Rasuah”.

Beliau berkata, kuasa, jawatan dan kedudukan seseorang serta peluang dan ruang untuk melakukan rasuah adalah antara punca utama wujudnya elemen rasuah dalam sesuatu jabatan.

Katanya, sektor awam mencatatkan kes rasuah paling tinggi dengan 1,628 kertas siasatan dibuka sejak 2018 hingga Ogos tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 255 kes telah dijatuhkan hukuman,” katanya.

Ditanya adakah wujud gangguan daripada mana-mana pihak ketika siasatan dijalankan, Izani mengakui menghadapi kesulitan dari segi kerjasama membabitkan individu berpengaruh atau berjawatan dalam memberi keterangan yang tepat dan benar.

“Tidak ada di peringkat penyiasatan diganggu oleh mana-mana pihak selama 37 tahun saya menyelia kes, tetapi masalah kita adalah untuk dapatkan kerjasama apabila melibatkan individu berkuasa atau berjawatan dalam mendapatkan fakta sebenar,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohamed Shafie BP Mammal mencadangkan Mahkamah Rasuah diwujudkan agar kes berkaitan jenayah itu dapat diberikan perhatian sewajarnya.

“Dengan adanya Mahkamah Rasuah ini, tempoh perbicaraan tidak mengambil masa panjang kerana rakyat sudah meluat dengan apa yang berlaku sekarang, selepas kes berjalan begitu lama, akhirnya sesuatu kes itu digugurkan atau dilepaskan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes.

Penjawat awam wajib vaksin sebelum 1 Nov

 FMT Reporters

Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, langkah mewajibkan vaksinasi bertjuan 
memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan 
kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan perlu segera mendapatkannya sebelum 1 Nov, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

“Sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

“Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” menurut kenyataan itu.

Kerajaan tanggung kos paten produk inovasi pelajar 11 tahun

Maryam Muzamir memenangi tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi 
dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 di Toronto bulan lalu melalui 
inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan 
YAM 2.0.

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) akan menanggung semua perbelanjaan bagi proses pemfailan paten produk dihasilkan pelajar berusia 11 tahun, Maryam Muzamir.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, proses mempatenkan hasil inovasi itu akan dilakukan secepat mungkin bagi memberi pengiktirafan hak milik kreativiti kepada Maryam dan melindungi inovasi berkenaan daripada diciplak.

“Kos untuk proses pemfailan paten ini dianggarkan kira-kira RM20,000 dan kita akan bantu adik Maryam memperoleh hak ke atas produk ciptaannya supaya ia dapat dikomersialkan.

“Kejayaan adik Maryam bukan sahaja membanggakan ibu bapa dan negara, ia juga sesuatu yang boleh dijadikan contoh oleh ibu bapa lain supaya terus memberi sokongan kepada anak mereka dalam menghasilkan ciptaan seumpama ini,” katanya dalam pertemuan maya bersama Maryam dan keluarganya hari ini.

Linggi turut memberikan sumbangan peribadi RM500 kepada Maryam sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas kejayaan pelajar Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Methodist Kuantan itu.

Maryam memenangi tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 di Toronto, Kanada bulan lalu melalui inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.

Kejayaan pelajar itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan pengacara hos terkenal Amerika Syarikat, James Corden pada 23 Sept lalu.

Najib beritahu juruaudit buang bahagian ‘sensitif’ laporan 1MDB, mahkamah diberitahu

Najib Razak menegaskan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB perlu
 dikaji semula sebelum disiarkan kepada pencetak, kata seorang saksi kepada 
Mahkamah Tinggi.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua setiausaha sulit Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri itu mengarahkannya untuk memaklumkan juruaudit agar tidak memasukkan kandungan “sensitif” dalam laporan audit 1MDB.

Shukry Mohd Salleh, yang berkhidmat dengan Najib pada 2015 hingga 2016, berkata perbualan itu berlaku di Pejabat Perdana Menteri pada 26 Feb 2016.

“Beliau berkata “Shukry, beritahu Audit (Jabatan Audit Negara) bahawa isu sensitif termasuk Jho Low (Low Taek Jho), tidak dimasukkan dalam laporan. Jika diketahui pembangkang, ia akan menjadi isu,” katanya.

Selepas itu, Shukry berkata, beliau menghubungi bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad dan memaklumkannya mengenai arahan Najib.

Katanya, sebelum itu pada Feb 2016, Najib telah mengarahkannya untuk mendapatkan laporan audit 1MDB daripada JAN, sambil menyatakan bahawa ia “perlu diperiksa sebelum dicetak”.

“Perdana Menteri bimbang laporan itu mengandungi perkara yang bukan kebiasaan,” kata Shukry.

Saksi terbabit memberitahu mahkamah, beliau menghubungi bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang untuk menyampaikan arahan Najib.

“Pada mulanya beliau enggan, sambil menyatakan laporan itu perlu dicetak segera untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Mahkamah turut mendengar bahawa Ambrin dan beberapa pegawainya melaksanakan audit 1MDB bermula 9 Mac 2015 hingga 4 Mac 2016.

Shukry berkata, Najib bertegas bahawa laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB perlu diteliti dan beliau memaklumkan Ambrin mengenai perkara itu.

“Saya menerima bungkusan daripada Saadatul pada 20 Feb 2016 yang mengandungi laporan itu,” katanya.

“Saya tidak membaca laporan itu tetapi memaklumkan Perdana Menteri mengenai bungkusan terbabit. Saya mencadangkan supaya beliau meminta Arul Kanda (Kandasamy) melihat laporan itu dan beliau bersetuju.”

Shukry berkata, beliau bertemu Arul Kanda beberapa hari kemudian di pejabatnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif itu memaklumkan “beberapa fakta perlu dipinda”.

“Dia memberitahu yang dia bertemu dengan Ambrin berhubung kandungan dalam laporan audit dan banyak dokumen tiada dengan 1MDB.

“Saya mencadangkan kepada Arul Kanda untuk bercakap dengan Ambrin dan dia (Arul Kanda) turut memberikan beberapa kertas penilaiannya mengenai laporan itu,” katanya.

Shukry berkata beliau dan Ambrin bertemu Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Ali Hamsa pada 23 Feb 2016. Ali berkata beliau telah mengatur satu mesyuarat pada hari berikutnya dan menjemput pegawai kanan kerajaan daripada Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Peguam Negara dan Arul Kanda untuk membincangkan perkara itu.

“Saya memberitahu Ali dan Ambrin bahawa 1MDB adalah ‘krisis yang perlu ditangani segera’ kerana syarikat itu telah menjadi perbualan di dalam dan luar negara,” kata Shukry.

Apa yang diberitahu Shukry dalam mesyuarat pada 24 Feb 2016

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Ambrin dan beberapa pegawainya menghadiri mesyuarat dipengerusikan Ali pada 24 Feb 2016.

“Pada dua salinan laporan kewangan, saya memaklumkan dalam mesyuarat bahawa perkara ini mempunyai kesan terhadap keyakinan pelabur terhadap kita,” kata Shukry.

“Ini boleh menggambarkan bahawa syarikat milik kerajaan seperti 1MDB boleh dimanipulasi.”

Katanya, Ali telah meminta bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Isa Hussain untuk membuat laporan polis berhubung dua penyata kewangan itu.

Selepas mesyuarat berkenaan, juruaudit kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan empat perkara – dua salinan penyata kewangan dan rujukan terhadap Low dan penerbitan bon – daripada laporan akhir.

Shukry berkata beliau turut membangkitkan permintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk menggantung penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) ketika Najib menghadap Baginda pada 27 Mei 2009.

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Najib bersetuju dengan cadangan Agong untuk menggantung penerbitan bon terbabit tetapi maklumat itu tidak disampaikan kepada Jemaah Menteri pada hari yang sama.

“Komen juruaudit menunjukkan Perdana Menteri cuba menyembunyikan sesuatu. JAN bersetuju untuk mengeluarkannya selepas mendengar nasihat Dzulkifli Ahmad (wakil Pejabat Peguam Negara),” katanya.

Najib dibicarakan atas tuduhan menyalahguna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan imuniti tindakan undang-undang dan meminta laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan dalam mesyuarat PAC.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung pada 20 Oktober depan.

Dasar imigresen faktor Malaysia jadi transit kumpulan pengganas

Azzman Abdul Jamal

Kumpulan pengganas sifatkan Malaysia sebagai negara 'safe haven'.

Dasar imigresen yang mesra dilihat sebagai antara faktor Malaysia dijadikan sebagai negara transit oleh kumpulan pengganas, kata Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism (E8) Normah Ishak.

Beliau berkata, disebabkan hanya dijadikan sebagai negara transit, Malaysia disifatkan sebagai “safe haven” atau lokasi selamat dan kumpulan pengganas dipercayai akan cuba elakkan sebarang konfrontasi dengan pihak berkuasa.

Katanya, ini menyebabkan kumpulan tersebut akan bergerak secara senyap dan tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan di negara ini.

“Pengganas dari Asia Barat dan negara lain termasuk Eropah juga transit di Malaysia dan mungkin akan ke Korea Selatan atau negara lain kerana Malaysia mempunyai dasar imigresen yang mesra yang mana kami menerima kemasukan pengunjung kebanyakkan negara Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) menerusi visa.

“Itu adalah antara faktor tarikan untuk mereka datang dan transit sebelum meneruskan perjalanan ke negara lain,” katanya pada sesi Webinar bertajuk Peranan Wanita dalam Pembiayaan Aktiviti Keganasan: Apakah Tindakan Kerajaan dan Ketua Pegawai Keselamatan.

Mengulas lanjut, beliau percaya individu yang terlibat dengen pegenboman geraja di Jolo, Sulu di Filipina pada Januari 2019 turut menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum tiba ke Selatan Filipina.

“Kawasan itu mungkin dilihat sebagai lokasi untuk melakukan ‘jihad’. Sebab itu ada pejuang ekstrimis dari Asia Barat dan negara luar termasuk Malaysia dan Indonesia.

“Mereka hanya transit di Malaysia dan pada masa itu, mereka akan cuba sebaik mungkin untuk elakkan konfrontasi dengan pihak berkuasa,” jelasnya.

Sementara itu, Normah berkata, polis menahan seramai 558 individu termasuk 51 wanita yang terlibat dengan kumpulan pengganas sejak 2013 hingga kini.

“80% daripada pendakwaan melibatkan kes memiliki barang berkaitan kumpulan pengganas. Setakat ini tiada kes melibatkan pembiayaan aktiviti keganasan di Malaysia melibatkan wanita.

“Tetapi kami tidak menolak kemungkinan penglibatan mereka dalam hal ini. Mungkin ada yang terlibat tetapi bukan di Malaysia cuma di luar negara seperti di Syria,” katanya.

Beliau menambah, hasil siasatan mendapati sebab utama wanita tempatan ingin ke Syria adalah kerana mereka ingin memberi sokongan kepada suami atau kekasih mereka di negara itu.

“Impian mereka adalah untuk hidup dalam negara Islam dan mereka sangat yakin bahawa situ adalah satu-satunya negara Islam.

“Selain itu, mereka anggap akan mati syahid jika terkorban dalam perjuangan di negara tersebut,” katanya.

KKM beri amaran sebaran berita palsu remaja meninggal dunia selepas vaksinasi

BERNAMA

KKM mendapati kedua-dua pelajar berusia 17 tahun menghidap kencing manis jenis 1 dan penyakit jantung kongenital dan belum menerima vaksin ketika dijangkiti Covid-19.

Semua pihak diminta bertenang dan tidak menimbulkan kebimbangan awam susulan rakaman video tular mendakwa beberapa individu meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali.

Menerusi satu ciapan di Twitter rasminya, beliau berkata kementerian kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara berkenaan dan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

“Pihak KKM mengambil maklum akan video tular di media sosial berkenaan dakwaan kesan sampingan susulan pemberian vaksin melalui program vaksinasi remaja.

Pihak KKM memandang serius perkara ini dan pihak KKM juga sedang mendapatkan fakta yang terperinci bagi setiap isu yang dibangkitkan di dalam video tersebut,” katanya dalam ciapan itu.

Video tular berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa individu termasuk dua pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak dan seorang remaja di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia akibat vaksin Covid-19.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata dakwaan mengenai dua pelajar sekolah di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19 seperti didakwa dalam video berkenaan adalah tidak benar.

Sementara itu, Azmi dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan KKM mendapati kedua-dua pelajar berusia 17 tahun di Ipoh itu masing-masing menghidap kencing manis jenis 1 dan penyakit jantung kongenital.

“Seorang remaja perempuan merupakan pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos sebelum program vaksinasi remaja bermula.

“Seorang remaja lelaki menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk. Bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September dan belum menerima vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata hasil siasatan itu turut mendapati tiada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi seperti dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

Dalam pada itu, wanita dalam video itu juga mendakwa dua anak seorang wanita sedang mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) di Ipoh.

Merujuk perkara itu, Azmi berkata KKM mendapati dua beradik berusia 16 dan 18 tahun itu mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke hospital swasta di Ipoh dan semakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati laporan kesan sampingan mereka masih belum diterima.

Beliau menasihati ibu bapa atau penjaga memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty memandangkan AEFI boleh berlaku dan kebanyakan kes adalah kesan ringan.

“KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami AEFI untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.

“Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber maklumat yang ingin dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber sahih atau pihak bertanggungjawab,” katanya.

Miliki PhD, namun hantar makanan: ‘Rider’ kejar impian di jalan raya

Danisyah Dalily

Walaupun sering dilihat sekadar penghantar makanan, namun mereka berpandangan pekerjaan itu sebagai batu loncatan untuk perkara yang lebih besar.

Sekilas pandang, Mohd Akmal Azhar kelihatan seperti penghantar makanan lain ketika dia mencelah kereta dan lori di jalan raya dengan pesanan pelanggan tersimpan selamat dalam beg di belakangnya.

Dia merupakan salah seorang penghantar makanan yang hari-hari mereka dipenuhi dengan mengambil pesanan makanan dari restoran di sekitar kota dan menghantarnya kepada pelanggan.

Penunggang motor untuk khidmat penghantaran makanan atau lebih dikenali sebagai “rider” adalah pemandangan biasa lebih-lebih lagi sejak pandemik Covid-19 melanda di mana ia mencetuskan lonjakan permintaan penghantaran makanan sepanjang pelaksanaan beberapa tempoh perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan orang ramai tidak dapat atau enggan keluar dari rumah mereka.

Dengan sekatan Covid-19 mulai dilonggarkan dan kehidupan mula perlahan-lahan kembali seperti biasa, perkhidmatan penghantaran makanan atau turut dikenali sebagai perkhidmatan p-hailing masih mendapat permintaan tinggi terutama di kawasan bandar ekoran kerancakan dan pergerakan yang pantas membuat ramai orang terlalu sibuk untuk mendapatkan makanan dengan cara lain.

Namun mereka hanya dipandang sebagai seorang penghantar barang dan bukannya sebagai individu yang mempunyai harapan dan impian sendiri.

Beberapa penghantar makanan tiba di Panda Mart untuk 
mengambil barangan yang dipesan oleh pelanggan melalui 
atas talian di Kuala Lumpur.

Contohnya Akmal, dia memecahkan stereotaip tersebut dengan satu hal yang signifikan: tidak seperti gambaran popular kononnya penghantar makanan adalah orang yang hanya mempunyai pendidikan asas, sebaliknya Akmal memiliki gelaran doktor falsafah dalam teknologi farmaseutikal.

Akmal baru sahaja menyelesaikan empat tahun pengajian PhD, kini katanya dia bergelut untuk memenuhi keperluan keluarga dan perlu menyelesaikan pembiayaan pengajiannya.

“Saya menjalani pengajian doktor falsafah sepenuh masa dengan Universiti Malaysia Pahang di mana mereka menaja pengajian saya selama tiga tahun,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sepanjang tempoh itu, saya lakukan pekerjaan sambilan pada hujung minggu untuk mendapatkan lebih banyak wang belanja. Bagi baki setahun pengajian, saya perlu bayar sendiri pengajian saya.”

Dengan seorang isteri dan lima anak untuk di bawah tanggungannya, Akmal tahu dia perlu mencari pekerjaan sepenuh masa.

Namun seperti ratusan ribu orang di seluruh negara, dia menyedari dirinya juga turut terperangkap dalam kekangan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Tahun lalu, ketika sektor perkhidmatan penghantaran makanan berkembang pesat, mereka minta lebih banyak rider untuk isi kekosongan itu, jadi saya ambil kesempatan yang saya ada ketika itu kerana saya memerlukan wang,” katanya.

Menurutnya, selagi kerja tersebut halal, dia tidak begitu ambil kisah.

Namun, dia tetap memasang impian agar dapat kembali ke dalam bidang akademik dan ijazah PhD itu dapat digunakan.

“Saya mahu menjadi pensyarah,” katanya.

Namun katanya, jika impiannya menjadi pensyarah tidak kesampaian, dia akan cuba masuk ke dalam bidang penyelidikan.

Penghantar makanan Abdullah Mohd Zain bersiap sedia 
memakai helmet untuk ke lokasi tugasan setelah menerima 
‘ping’ dari sistem syarikat itu di Jalan Chow Kit.

Bagi Abdullah Mohd Hussein, menjadi rider penghantaran makanan sesuai dengan kehidupannya ketika ini.

Berusia 44 tahun, dia memulakan pekerjaan sebagai penghantar makanan tiga tahun lalu kerana suka menunggang motosikal dan dengan cara ini membolehkannya bekerja secara fleksibel.

“Saya pernah jadi penghantar barang ketika saya masih muda, namun kemudian ekonomi merosot sehingga saya terpaksa mencari pekerjaan lain untuk keluarga saya,” katanya.

“Sekarang saya sudah berusia, tidak banyak yang dapat saya lakukan, dan sukar untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang memuaskan.”

Namun walaupun menyukai pekerjaannya ketika ini, dia tidak merancang untuk menjadi penghantar makanan selamanya.

“Saya lakukan ini buat sementara sehingga saya dapat simpan wang yang cukup untuk jalankan perniagaan ‘kambing bakar’ saya sekali lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Apabila kita sudah dapat keluar lagi dan ekonomi jadi lebih stabil, saya rancang untuk tumpu pada perniagaan saya.”

Abdullah, yang tidak asing lagi bagi sebilangan rider di sekitar kawasan KLCC berkata sebilangan besar daripada mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa melakukan pekerjaan tersebut.

“Ada yang bekerja sebagai rider sambilan dan ada yang melakukannya sepenuh masa, tetapi kebanyakan melakukannya kerana mereka ingin kumpul wang untuk perusahaan yang dirancang ke depan,” katanya.

Penghantar makanan Mohd Haizad Firdaus bin Hussein bersiap 
sedia memakai helmet untuk ke lokasi tugasan setelah menerima 
pesanan dalam talian dari sistem syarikat itu di Jalan Chow Kit.

Begitulah keadaannya bagi Mohd Haizad Firdaus, yang pernah bekerja sebagai tukang masak di restoran Thailand sebelum menjadi eksekutif pemasaran.

Walaupun ketika ini dia adalah penghantar makanan, Haizad tahu apa yang mahu dilakukan dengan hidupnya.

“Saya tidak mahu bekerja dengan orang selama-lamanya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya merancang untuk buka restoran saya sendiri.

“Untuk buka restoran tanpa ambil pinjaman atau pinjam wang dari tempat lain, saya perlu kumpul duit terlebih dahulu.

“Sementara itu, saya mahu dapatkan pengalaman dan pengetahuan selain meningkatkan kemahiran komunikasi saya.”

Walaupun pekerjaan menghantar makanan mungkin dilihat lebih rendah dari menjadi eksekutif pemasaran, Haizad berkata terkejut apabila mengetahui dia sebenarnya menjana lebih banyak wang sebagai rider.

“Seorang rider memperoleh gajinya berdasarkan kerja kerasnya,” katanya.

“Semakin keras saya bekerja, semakin banyak saya dapat pendapatan.”

Walaupun begitu, Haizad sudah memiliki susur masa yang jelas untuk melaksanakan impiannya beberapa tahun akan datang.

“Saya tidak akan menjadi rider selama-lamanya. Saya mahu buka restoran sebelum usia 40 tahun.”

Kini berusia 36 tahun, Haizad memiliki baki empat tahun lagi untuk mencapai impiannya, dan tidak berhasrat untuk membazir satu hari pun untuk tujuan itu.

Lebih 400,000 kanak-kanak di Malaysia dijangkiti Covid-19 tahun ini

BERNAMA

Sebanyak 252,569 kes terdiri daripada murid sekolah manakala 42,831 lagi melibatkan kanak-kanak prasekolah.

Lebih 400,000 kes jangkitan Covid-19 melibatkan individu bawah 18 tahun direkodkan tahun ini, meningkat daripada sekitar 12,000 pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 252,569 adalah murid sekolah manakala 42,831 lagi melibatkan kanak-kanak prasekolah dan lebih membimbangkan 67 kes kematian telah dicatatkan tahun ini.

“Adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan anak-anak terhindar daripada Covid-19 dengan memastikan persekitaran selamat buat mereka termasuk mengambil langkah pencegahan dan perlindungan sewajarnya,” katanya dalam ucaptama sempena Webinar Hidup Bersama-sama Virus Covid-19: Kanak-kanak dan Remaja hari ni.

Khairy berkata bagi melindungi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, kerajaan telah melaksanakan vaksinasi kepada golongan itu sebagai satu ikhtiar untuk melindungi mereka daripada Covid-19.

Berdasarkan perincian portal CovidNow hari ini, kementerian kesihatan (KKM) memaklumkan 43% atau 1,352,870 remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

Khairy berkata walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk Covid-19, tetapi ia belum mencukupi, sebaliknya pembudayaan amalan normal baru perlu terus dipraktik bagi mengelakkan risiko jangkitan.

“Antara yang perlu kita amal dan terapkan kepada anak-anak termasuk memakai pelitup muka sepanjang masa; membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; tidak hadir ke sekolah jika bergejala atau mempunyai kontak positif Covid-19 dan melakukan saringan di pintu masuk sekolah,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga adalah satu persiapan dan persediaan warga sekolah serta ibu bapa untuk anak-anak mereka yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Khairy berkata ibu bapa perlu memberikan sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada mereka telah divaksin atau tidak selain membudayakan cara hidup sihat antaranya dengan mempraktikkan hidup aktif, makan secara sihat dan selamat serta menjauhi amalan merokok.

“Kesihatan rakyat bergantung kepada kerjasama semua pihak…dalam berhadapan dengan Covid-19 tiada seorang pun yang selamat daripada jangkitan, sehingga setiap orang selamat,” katanya.

Mak berhutang beli laptop, anak di kolej kata laptop buruk!

 Abu Hurairah Roslan

Inspiron 27 7700 Gambar hiasan

Hari ini, 2 pelanggan membatalkan pembelian laptop.

Alasannya adalah anak mereka tak minat dan tak mahu, walau setelah seminggu saya hantar gambar dan juga harga.

“Maaf ustaz. Anak saya kata macam calar-calar. Dia nak yang macam baru.”

“Maaf ustaz. Boleh kurang ke? Anak kata laptop tu buruk sikit”

Saya teringat kisah jual laptop pada seorang pelajar, yang mana saya sanggup drive sampai utara, bawak anak isteri semata-mata sebab ibunya nak minta sangat satu laptop untuk anaknya.

Yang paling sedih, maknya sanggup berhutang dan simpankan duit pada saya selama 6 bulan hanya untuk anaknya yang perlukan sebuah laptop.

Sampai saja di kolejnya, saya pun jumpalah pelajar ini di kantin.

Saya keluarkan laptop. Dan tunjukkan padanya.

“Cik cubalah dulu”

Dia tengok je. Sambil tengok kiri kanan. Kemudian, dia keluarkan handphone, dan taip sesuatu.

Ting! Whatsapp saya masuk.

“Ustaz, anak saya macam tak minat lah. Tapi, saya kata guna laptop ni dulu. Nak beli baru saya tak mampu”.

Saya pandang je budak ni. Pandang kali ni sekali dengan perasaan yang cukup geram.

“Macamana cik? Tak nak cuba ke. On dulu, kemudian tengok lah. Saya dah format dan install semua software sekali antivirus. Cik guna je”.

Dia macam tulah. Senyum pun tidak. Bagi salam pun tak masa jumpa. Muka lawa tapi? Allahu. Saya cuba tahan sabar.

Ting! Whatsapp masuk lagi.

“Ustaz, saya minta maaf. Tengah pujuk ni. Dia kata laptop ni buruk. Malu nanti nak bawak pergi belajar. Dia nak yang laptop terbaru”.

Cukup! Saya letak handphone!

“Cik, saya minta maaf kalau laptop ni nampak macam buruk. Macam lama tapi ini lah yang mak cik mampu belikan. Harga dia RM599 tapi semua masih baik.

“Saya dah belikan sekali charger baru, bateri baru. Cik tahu tak, mak cik kumpul duit 6 bulan, simpan dengan saya, hutang dengan orang semata-mata nak belikan untuk cik. Saya datang beratus kilometer ni sebab mak cik tau tak? Sebab mak. Mak tu sumber berkat. Mak tu jiwa dan hati kita!”

Kali ni sabar tak mampu dah saya pegang.

Saya tak kisah soal laptop ni sangat, cuma saya lebih fikirkan soal mak dia yang bersusah payah demi laptop ni. Ya, itu yang menyakitkan hati ni!

Dia diam dan masih kayu kat depan ni.

“Baiklah. Saya pulangkan duit pada mak cik. Cik tak minat kan? Takpe. InsyaAllah, esok lusa adalah pembeli yang beli nanti.

“Jagalah hati mak. Apa yang mak bagi, ambillah. Yang penting, berkat cik. Berkat. Tak berkat hidup ni, belajarlah tinggi mana pun tak ke mana. Saya minta maaf ya”.

Saya berlalu dengan penuh rasa di jiwa.

Penat lagi. Masa yang habis lagi.

Ting! Whatsapp masuk lagi.

Saya tak mampu baca lagi. Mak dia sedih dan menangis sebab anaknya tak nak laptop yang dibelikan dengan jerih dan payah.

Ingat wahai anak.

Setitis airmata ibu kerana keterasaannya pada kita, akan membuatkan Allah menutupkan segala pintu syurga.

Titik!

(*) Abu Hurairah Roslan
Tukang baiki laptop Plaza Imbi

Polis terima 2 laporan berita palsu pelajar meninggal kerana vaksin


Polis Perak hari ini menerima dua laporan polis berhubung berita palsu kononnya dua pelajar sekolah di negeri itu meninggal dunia selepas menerima suntikan Covid-19.

Kedua-dua laporan itu dibuat oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan Daerah Ipoh, dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, Ipoh, berkaitan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian dua pelajar SMK Tasek Damai, adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Siasatan awal mendapati kematian kedua-dua pelajar sekolah itu disahkan sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja dilaksanakan di Perak iaitu bermula 20 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya mangsa pertama merupakan seorang pelajar Melayu Tingkatan Lima yang meninggal dunia pada 18 Ogos 2021 di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), Ipoh akibat masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif Covid-19.

“Pelajar ini juga masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata pelajar kedua adalah lelaki Melayu Tingkatan Lima yang meninggal dunia pada 17 September 2021 di HRPB akibat masalah jantung berlubang, dan mangsa juga belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mior Faridalathrash berkata kematian kedua-dua pelajar itu disahkan sebelum PICK Remaja dilaksanakan di Perak bermula 20 September lalu.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima. Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam,” katanya.

Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 38 saat memaparkan seorang wanita sedang berucap kepada sekumpulan individu sebagai tanda solidariti untuk menuntut hak pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin COVID-19.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan vaksin, selain dua lagi pelajar di lokasi berlainan termasuk di Lahad Datu, Sabah, serta dua lagi remaja di Ipoh yang kononnya mengalami alahan serius selepas divaksin.

KKM siasat video tular lima remaja maut akibat vaksin

 Oleh MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

Noor Azmi

PETALING JAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) tampil memberi penjelasan berhubung video tular yang mendakwa lima orang remaja maut selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di lokasi tidak dinyatakan di Perak dan Sabah.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, KKM mengambil maklum video tular dibuat aktivis berkenaan seterusnya menjalankan siasatan terhadap kenyataan beliau.

“Hasil siasatan mendapati, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun merupakan pelajar tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai. Beliau merupakan pesakit kencing manis jenis 1 dan bergantung kepada insulin.

“Pelajar itu dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 18 Ogos 2021 sebelum program Vaksinasi PICK Remaja bermula,” katanya hari ini.

Katanya, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun merupakan pelajar tingkatan 5 di SMK Tasek Damai dan menghidap penyakit jantung kongenital.

“Pelajar itu dibawa ke unit kecemasan akibat jangkitan kuman teruk, malah bantuan pernafasan dan resusutasi telah diberikan tetapi dia meninggal dunia pada 17 September 2021 serta belum menerima vaksin,” katanya.

Susulan itu, Noor Azmi menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) untuk segera membuat laporan.

“Penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab. KKM menasihatkan semua pihak yang mahu membuat kenyataan umum untuk bersedia atas tindakan dibuat,” tegasnya. -K! ONLINE

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Hampir seluruh negara diramal hujan lebat petang ini

 Oleh MOHD RASDAN AHMAD

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Hampir seluruh negara dijangka bakal mengalami ribut petir dan hujan lebat lewat petang ini.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook rasminya berkata, di kawasan Semenanjung Malaysia hampir kesemua negeri kecuali di Pantai Barat Semenanjung.

Manakala di Sabah dan Sarawak beberapa kawasan turut dikeluarkan amaran sama termasuk daerah Kapit dan Bintulu (Sarawak) serta beberapa daerah Tawau, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu (Sabah). – K! ONLINE.

Tiada negeri dalam Fasa 1 PPN mulai Jumaat ini

 Oleh KOSMO!

Gambar Hiasan

PETALING JAYA – Tiada negeri berada dalam Fasa 1 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas kerajaan bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

Ketetapan baharu tersebut membolehkan Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor beralih ke Fasa 3.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Melaka beralih ke Fasa 3 manakala Kedah pula ke Fasa 2.

Katanya, Negeri Sembilan dan Labuan kekal di Fasa 4.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri di Fasa 2, 3 dan 4 boleh dilihat di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-K! ONLINE

Penonton dibenar hadir di stadium

 Oleh KOSMO!

Kehadiran penonton dalam acara sukan di stadium dibenarkan. -Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan kelonggaran baharu dalam Pelan Pemulihan Negara.

Antara kelonggaran itu ialah menonton perlawanan bola sepak, menghadiri bengkel dan perasmian dengan syarat tetamu telah menerima vaksin lengkap untuk negeri di Fasa 2, 3 dan 4.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

“Kerajaan juga membenarkan pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi berkuatkuasa 15 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, 3 dan 4 juga dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu.

Menurut Ismail Sabri, antara syarat itu termasuk memakai pelitup muka, menerima vaksin lengkap dan tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

Kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.-K! ONLINE

Padang Terap pula dilanda banjir

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS

Keadaan sebuah rumah di daerah Padang Terap yang dilanda banjir malam ini.

KUALA NERANG – Seramai 35 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Pokok Machang dalam daerah Padang Terap dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini.

Kawasan rumah penduduk dinaiki air akibat limpahan Sungai Padang Terap selepas hujan lebat berpanjangan sejak pukul 6 petang tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi yang dibuka pada pukul 8 malam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah memberitahu, hujan lebat mulai pukul 6 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air akibat limpahan Sungai Padang Terap.

“Sebanyak tujuh buah rumah di Kampung Pokok Machang dalam Mukim Padang Temak terlibat dalam kejadian banjir ini.

“Seramai 35 mangsa telah dipindahkan ke PPS SK Bukit Tampoi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE

5.8 juta bakal pemilih boleh semak rekod dengan SPR Oktober ini

Ainul Illia

Warganegara 18 tahun dan ke atas boleh sahkan maklumat sebelum didaftar sebagai pemilih secara automatik

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) akan diadakan pada 1 sehingga 31 Oktober 2021.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bagi tujuan itu SPR akan mempamerkan maklumat bagi sejumlah 5.8 juta bakal pemilih dan memberi peluang kepada mereka untuk menyemak dan mengesahkan rekod mereka dengan SPR.

Katanya, urusan SPPA boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu membuat semakan menggunakan aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my; atau hadir ke 604 tempat semakan SPPA di seluruh negara dan mengimbas Kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

“Dalam tempoh SPPA ini, mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat mereka dan membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, SPR menyeru kepada 5.8 juta bakal pemilih berumur 18 tahun dan ke atas untuk menyemak dan mengesahkan maklumat mereka dengan SPR.

“Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan untuk mengemaskini alamat kad pengenalan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya l 31 Oktober ini.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPA ini, orang ramai boleh hubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my,” katanya.

Kecuaian silibus: Ini masanya kerajaan bertegas haramkan UEC

 Oleh Zuhayati Yazid

Pemimpin kita terlalu ‘beri muka’ demi kepentingan politik?

BANGI – Pengakuan sumber Pertubuhan Pendidikan Cina, Dong Zong bahawa terdapat unsur kecuaian dalam buku teks sejarah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – boleh menjadi asas penting untuk kerajaan mengharamkan sijil berkenaan.

Memetik China Press, sumber berkaitan mengakui terdapat unsur kecuaian pada dua gambar dalam buku teks edisi lama, tapi ia telah dibetulkan dalam edisi baru.

“Setiap enam tahun kami akan menilai semula dan menambah baik buku-buku teks, sama dengan amalan kerajaan,” dakwanya.

Mengulas perkara itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya meluahkan rasa kecewa kerana jika perkara ini tidak didedahkan, entah berapa ramai generasi ditipu oleh mereka.

“Sehingga saat ini, Dong Zong langsung tidak memohon maaf – walaupun ianya telah dibetulkan dalam edisi terbaharu.

“Lebih mengecewakan apabila saya dimaklumkan graduan ini berjaya diterima masuk ke institusi pengajian awam untuk kemasukan baharu ini seolah tiada apa yang berlaku.

“Seharusnya UEC ini diharamkan, namun pemimpin kita olah-olah tidak menyedari kesilapan serius yang telah dilakukan,” ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Haji Aminuddin turut menegaskan, apa yang berlaku disebabkan kecuaian dalam silibus itu bukan sesuatu yang mudah tapi ini soal maruah negara.

“Jika kita tidak buat pembongkaran, entah berapa generasi lagi membesar dengan kebodohan ini, yang akhirnya faham naratif yang salah.

“Hakikatnya, mereka sedang perkotak-katik tanah air kita, sekiranya sukatan yang digunakan berlandaskan dasar kerajaan kesilapan tidak mungkin berlaku,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan semua ini berpunca daripada sikap pemimpin yang terlalu ‘memberi muka’ demi kepentingan politik.

“Disebabkan agenda politik untuk kekal memerintah, mereka terpaksa gadaikan perkara asas sehingga merosakkan negara,” katanya.

Sebelum ini, Dong Zong menyiarkan sebuah video berbahasa Melayu didakwa untuk menjelaskan ciri-ciri penyusunan buku teks sejarah UEC.

Ini susulan kritikan yang diterima dari pertubuhan Islam, yang mendakwa buku teks UEC memfokuskan sejarah negara China, seolah-olah tidak mementingkan sejarah Malaysia, tiada rasa cintakan negara dan lain-lain lagi.

Sumber Dong Zong berkata, video tersebut bertujuan untuk menjawab ulasan yang dibuat oleh sebuah pertubuhan Islam.

Sumber mendedahkan, kebelakangan ini pertubuhan tersebut dengan lantang menggesa kerajaan agar tidak mengiktiraf UEC di media sosial, bahkan beberapa minggu sebelumnya ia juga telah mengadakan wawancara yang ‘menggembar-gembur’ mengenai buku teks sejarah UEC.

Menurutnya, video penjelasan berbahasa Melayu yang disiarkan oleh Dong Zong adalah sebagai respons terhadap tindakan pihak tersebut, tetapi video itu tidak menamakan kepada siapa ia ditujukan.

Video turut menyebut kesalahan pada buku teks edisi 2013 yang telah dibetulkan dalam edisi 2019.

Malangnya, semakan Ismaweb.net mendapati video berkenaan tidak lagi boleh dilihat, berkemungkinan sudah ditutup.

Guru agama di sekolah menengah sedikit berbanding rendah

 zuhayati

Bincang dengan UMS tubuh Fakulti Pengajian Islam

KUALA LUMPUR ¬ Kementerian Pendidikan (KPM) mengakui wujudnya kekurangan guru agama terutama di peringkat sekolah menengah di seluruh negara.

Setakat 30 Ogos lalu, hanya 16,024 guru agama berkhidmat di sekolah menengah berbanding 40,713 guru agama di sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya memahami isu kekurangan guru agama dan kementerian sentiasa berusaha mencari jalan untuk menambah bilangan guru.

“Umpamanya, di Sabah, kita telah berbincang dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menubuhkan Fakulti Pengajian Islam untuk membantu menangani masalah kekurangan guru agama,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah, pihaknya akan berbincang dengan universiti-universiti tempatan lain untuk mengambil langkah sama.

“Dengan ini, kita berharap dapat melahirkan guru agama yang kompeten dalam menangani masalah kekurangan guru di seluruh negara,” jelasnya.

Apa PAS boleh buat dengan hanya 18 kerusi Parlimen?

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Bersuaralah, jangan tenggelam di puncak kuasa. Buktikan, PAS tetap PAS yang dahulu, tulen

KEKUATAN PAS adalah terhadap ketulenannya, bukan 18 kerusi Parlimen.

Jangan jadikan alasan “apa yang boleh dibuat dengan 18 kerusi”. Sebenarnya, banyak yang boleh dibuat. Sudah cukup untuk menjinakkan yang lain sekiranya berpaksikan kepada amar makruf nahi mungkar, kerana perjuangan ini adalah nilai universal, suruhan semua agama.

Cuba tanya kepada pemimpin agama Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh, satu soalan sahaja, adakah tikam nombor ekor itu suruhan agama mereka? Jika mereka jawab, ya! Maka hina sangatlah agama mereka, kerana tidak ada agama yang menghalalkan judi.

Justeru, jadikan PAS yang tulen seperti dahulu. Bersuaralah, berpaksikan amar makruf nahi mungkar. Jangan tenggelam dalam puncak kuasa. Inilah masa untuk buktikan, PAS tetap PAS yang dahulu, tulen.

Jangan biarkan kami NGOs dan NGIs terus menjerit, seolah-olah kami keseorangan. Sebenarnya, kami tidak memerlukan PAS. Sudah semestinya PAS yang memerlukan kami, kerana kami sudah mengambil tugas PAS ketika menjadi pembangkang dahulu.

Saya tidak boleh bayangkan jika isu kuil yang menceroboh tanah masjid tidak disuarakan oleh NGOs dan NGIs (tokoh individu). Takut-takut, sedar-sedar sudah jadi macam Batu Caves. Status Batu Caves itu adalah tanah kerajaan, tetapi kini seolah-olah sudah menjadi tanah kuil Hindu. Semakin membesar dan meluaskan, atas nama destinasi pelancongan.

Saya ingin mengingatkan PAS rentetan kontroversi pencerobohan kuil Hindu terhadap tanah masjid di Taman Indah, Tampin.

Ini kerana, saya cukup teruja dengan kesediaan pengurusan kuil Hindu yang menceroboh tanah sebuah masjid di Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan untuk mengosongkan kawasan yang dicerobohnya.

Sudahlah ceroboh tanah orang, sepatutnya angkat kakilah. Tidak perlu kononnya nak tunjuk baik, kesediaan untuk mengosongkan tanah yang diceroboh. Namapun ceroboh. Angkat kaki. Ini siap beritahu kesediaan untuk berpindah, dengan syarat iktiraf mereka. Desak kerajaan negeri agar segera mewartakan tapak kuil tersebut. Undang-undang rimba mana kamu pakai?

Isunya, kuil tersebut terletak di tanah milik kuil atau kerajaan?

Jika tanah kerajaan, mereka tidak berhak sama sekali mendirikan kuil di situ, apa lagi meminta supaya diwartakan

Inilah masalah lambakan kuil haram seluruh negara yang selalu menimbulkan masalah kerana didirikan di kawasan yang bukan milik mereka. Selepas itu, bila menjadi kontroversi, mendesak kerajaan untuk iktiraf atau wartakan. Lebih dahsyat lagi sehingga berani menceroboh. Cuba buat kiraan lambakan kuil seluruh negara. Hak tetap hak, tetapi berpada-pada.

Jika kuil itu berada di tanah kerajaan, atau kuil haram, ia tidak boleh dihalalkan. Apatah lagi untuk diwartakan. Apabila diwartakan, ia seolah-olah sudah menjadi hak mutlak yang tidak boleh disentuh

Berapa banyak jalan yang terpaksa ‘dibengkokkan’ kerana memberi laluan kepada kuil haram ini. Begitu juga dengan tokong.

Contoh, terkini, tokong Cina di Jalan Ampang, berdekatan hentian akhir LRT, Ampang, jalan terpaksa menjadi sempit dan bengkok, kerana adanya tokong yang tidak boleh disentuh, sehingga membahayakan. Tokong itu betul-betul berada di bawah jejantas. Begitu juga dengan kuil Hindu di Serdang. Kuil di bawah jejantas. Tidak sampai satu kilometer, ada lagi kuil besar, penghalang jalan pun dibuangnya dan didirikan tembok pagar kuil.

Apa sudah jadi dengan Malaysia? Undang-undang bukan pagi merujuk kepada perlembagaan tetapi di tangan manusia. Banyak lagi contoh lain, pembangunan terhalang dan pembangunan menjadi bahaya kerana terpaksa menuruti kehendak mereka, kerana memberi laluan kepada rumah ibadat mereka.

Maka kita pun canangkan inilah “unity in diversity”. Sedangkan kita tidak memberikan hak kepada yang berhak.

Bayangkan, sekiranya masjid dan surau berada di situ, tempat yang sama, sudah tentu sudah lama dirobohkan, tanpa banyak bicara. Sedih bukan? Seolah-olah seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Isu kuil haram ini perlu diselesaikan secara tuntas. Penganut tidak ramai, nisbah kuil tidak mencerminkan bilangan penganut. Berlaku di seluruh negara, kecuali Kelantan dan Terengganu.

Saya mohon kepada kerajaan, buatlah penyelidikan dan kajian menyeluruh mengenai rumah ibadat haram yang didirikan di kawasan bukan milik mereka.

Kita tertanya, dalam kes kuil di atas, bagaimana sebidang tanah yang telah digazetkan sebagai hak milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan boleh diberikan kebenaran untuk dibina kuil hindu?

Apakah hak milik tersebut sudah ditukar? Siapa pula yang beri kelulusan atau pakai redah sahaja seperti amalan sebelum ini?

Isu rumah ibadat haram ini bukanlah isu remeh kerana ianya membabitkan sensitiviti keagamaan dan siasatan terperinci yang telus mesti dilakukan. Bukan sahaja Negeri Sembilan tetapi seluruh negara.

Begitu juga dengan isu cabutan khas nombor ekor sebanyak 22 kali untuk tahun 2021. Jangan beri ruang dan peluang untuk musuh-musuh terus mengkritik, walaupun mereka ini tidak layak mengkritik. Contohnya, wartawan tua veteran sekular terus mengkritik PAS.

Hairan juga, sejak bila wartawan tua ini suci? Waktu wartawan tua ini menjadi ketua kepada akhbar di Jalan Riong itu, tidak kedengaran beliau memberi pandangan tentang nombor ekor. Malah akhbar yang dipimpin itulah yang menyiarkan keputusan nombor ekor. Tiba-tiba hari ini bukan main lagi lagaknya, mahu jadi lembu suci. Kenapa jadi begini? sebab kita beri ruang.

Justeru, saranan saya kepada PAS, apa yang boleh dibuat dengan 18 kerusi Parlimen yang ada, berada dalam kerajaan?

1. Kembali kepada ketulinan PAS seperti dahulu, dengan pendekatan hikmah.

2. PAS mesti mempertahankan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. PAS jangan rasa malu, kerana agama Islam sememangnya termaktub gagah dalam perlembagaan. Selagi kita tidak ekstrem, memperjuangkan keadilan iaitu memberikan hak kepada yang berhak, selagi itu PAS akan terus relevan. Jika UMNO pun telah ubah Perlembagaan mereka meletakkan Islam sebagai perjuangan nombor satu, kenapa PAS harus malu-malu?

3. PAS mesti menjadi jaguh dalam amar makruf nahi mungkar. Apa jua perkara mungkar, mesti ditentang dan sudah tentu yang makruf perlu dipertahankan dan disokong. Jangan bersubahat

4. PAS mesti memperjuangkan keadilan berpaksikan kepada memberikan hak kepada yang berhak, bukannya samarata samarasa

5. Segala yang bertentangan dengan Islam, janganlah dikompromi. Tidak mengapa duduk dalam kabinet tetapi kena bersuara. Hari ini, tidak ada sesiapa berani menentang PAS keluar, kerana jika PAS keluar pasti kerajaan akan tumbang

6. Pemimpin PAS yang duduk dalam kerusi Menteri, Timbalan dan GLC jangan gelap mata dengan ‘kemewahan’ menjadi orang besar.

7. PAS mesti membuat ‘engagement’ dan berkelaborasi serta menyokong dengan NGOs/NGIs (tokoh-tokoh individu), dalam perjuangan amar makruf nahi mungkar, jika mahu menambah kerusi parlimen dan DUN dalam PRU15 akan datang

8. PAS mesti meyakini bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan untuk mendapatkan pahala daripada Allah dan menghindarkan diri mereka daripada neraka. Perjuangan PAS adalah untuk bahagia di dunia dan berbahagia di Akhirat.

Perjuangan PAS ialah untuk berkongsi kebahagiaan yang diperolehi menerusi Islam dan pemerintahan Islam dengan manusia sejagat. Itulah asas moto “PAS untuk Semua”. Kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS ialah kebajikan berasaskan kaca mata Islam dan bukan kebajikan pada kacamata sosialis atau komunis atau demokratis atau sekularis.

Akhirnya, kenapa saya tujukan PAS? Kerana hanya PAS boleh menjadi ‘check and balance’ kepada parti-parti Melayu, khasnya UMNO dan PPBM sekarang. PAS boleh diharap menjadi “mediator” antara mereka. Dalam kata lain, pusat politik Melayu Islam negara hari ini fokusnya adalah pada PAS walaupun hanya ada 18 kerusi Parlimen. Biar apa orang nak kata PAS kena jadi PAS.

Justeru, PAS jangan sampai terlePAS. Jangan sampai orang kata PAS ini adalah hamPAS. Tetapi PAS tetap PAS. PAS adalah semesti PASti dalam tindakan, tidak ragu-ragu. PAS menjadi PASak kepada politik Malaysia.

Sudah tentu PAS bukan Parti Ajaran Sesat, sebagaimana yang didakwa musuh-musuh. Tetapi PAS adalah PAS. PAS yang tulen sentiasa lantang bersuara menegakkan amar makruf nahi mungkar, serta menegakkan keadilan berasaskan memberikan hak kepada yang berhak. ISMA WEB

Peguam Negara, Ketua Polis Negara digesa nyatakan perincian kes Adib

 Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Siasatan kes pembunuhan Allahyarham tidak boleh ditutup walaupun sementara

BANGI – Pihak yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bukanlah menteri, tetapi Peguam Negara atau Ketua Polis Negara.

Menegaskan perkara itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kenyataan bahawa kes itu ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu, oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sama sekali tidak wajar.

Beliau menegaskan, kenyataan sebegini tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang menteri apatah lagi yang tidak berkaitan dengan perlaksanaan undang-undang jenayah. 

“Sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah. Jika siasatan ditutup bagaimanakah bukti baharu akan diperolehi?

“Sehingga kini rakyat masih terpinga-pinga kedudukan kes ini walaupun dulu pernah ada beberapa orang yang direman oleh pihak polis berkaitan dengan pembunuhan arwah Muhammad Adib,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, PPMM mendesak Peguam Negara serta Ketua Polis Negara menzahirkan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri. 

Beliau menegaskan, bukti baharu tidak akan datang bergolek begitu sahaja jika siasatan ditutup sementara. 

“Adalah menjadi tugas pihak polis mencari bukti-bukti tersebut sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bagi membela arwah Muhammad Adib. 

“Persoalan timbul kini adakah pihak polis sudah buntu, tidak menemui jalan dan sudah letih menyiasat kes pembunuhan Muhammad Adib dan mengumpul buktinya?

“Begitu juga berkaitan dengan permohonan komital yang dibawa oleh keluarga arwah Muhammad Adib perlu diselesaikan dengan segera dan adil terutamanya kerajaan perlu jelaskan pendirian.

“Mengapa Tan Sri Tommy Thomas masih lagi dibela oleh kerajaan dalam prosiding komital di Mahkamah Rayuan sedangkan ketika masih menjadi pembangkang mereka sangat lantang mengecam tindak tanduk Tommy Thomas dalam menangani inkues arwah Adib,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk keluarga Allahyarham Muhammad Adib, mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali dan ramai lagi yang masih lagi tidak ketahuan tindakan yang diambil oleh pihak polis.

Keputusan Mahkamah Koroner perlu dihormati

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

“Keputusan Mahkamah Koroner tersebut perlu dihormati kerana tiada sebarang proses perundangan yang dibawa oleh pihak kerajaan bagi merayu atau menyemak keputusan tersebut. 

“Ini bermakna pihak kerajaan telah berpuas hati dengan keputusan koroner itu. Oleh itu, jika sekarang ada yang cuba mempertikaikan keputusan koroner tersebut, ia bukan berpaksi kepada aspek perundangan negara,” katanya.

Justeru, PPMM mendesak siasatan kes pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib tidak ditutup walaupun sementara dan usaha perlu dilipat ganda bagi membawa pembunuh ke muka pengadilan. 

Beliau menegaskan, di dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak.

“PPMM menegaskan kepada rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pembelaan kepada arwah Muhammad Adib masih perlu diteruskan. 

“Seorang penjawat awam yang bertugas dengan kerajaan perlu dibela kematiannya oleh kerajaan,” katanya.