Saturday, April 30, 2016

MMA persoal IGP keluarkan rekod perubatan suspek

MALAYSIAKINI




Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata adalah "tidak betul" bagi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberikan maklumat mengenai keadaan mental suspek yang memecahkan kuil di Ipoh.

Badan yang mengawal profesion perubatan itu berkata walaupun semua langkah undang-undang diikuti dalam mendapatkan maklumat, pengumuman maklumat itu kepada media merupakan prosedur yang salah.

Beliau menjelaskan maklumat ini sepatutnya dirahsiakan daripada media dan hanya digunakan dalam mahkamah kerana laporan perubatan adalah terhad di bawah Akta Kemudahan Kesihatan dan Jagaan Swasta (PHFSA).

"Kita bimbang dengan kenyataan Ketua Polis Negara. Bagaimanakah maklumat tentang sejarah perubatan doktor diperolehi?

"PHFSA menghadkan pelepasan maklumat perubatan pesakit," kata Presiden MMA Dr Ashok Philip dalam satu kenyataan hari ini.

Sekarang suspek dilabel oleh umum sebagai "gila", keluh beliau.

"Berikutan prinsip bahawa semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, maklumat sensitif seperti ini sepatutnya ditangani mengikut undang-undang," kata Philip.

MMA juga menggesa amalan perubatan swasta mengikut peruntukan PHFSA mengenai rekod pesakit, dan tidak berasa tertekan untuk mengambil jalan pintas, tanpa mengira keadaan.

NAJIB, PERDANA MENTERI TERHEBAT MALAYSIA YANG MUNGKIN TAK DITEMUI LAGI SELEPAS INI

shahbudindotcom


Tun Mahathir Mohamad selalu dilihat sebagai pemimpin yang hebat kerana aspirasinya membawa pemodenan kepada negara selama 22 tahun berkuasa. Beliau kerapkali disebut sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Tun Razak Hussein pula dikenali sebagai peneraju pembangunan berikutan dasar-dasarnya yang praktikal untuk semua rakyat dan bermanfaat sehingga ke hari ini, khususnya untuk golongan miskin. Lantaran itu, beliau lebih dikenali dengan Bapa Pembangunan negara.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan serta banyak memainkan peranan dalam menyatupadukan rakyat dengan sikap toleransi dan bijaksana dalam memimpin negara. Disebabkan sumbangannya memerdekakan negara, nikmatnya dirasai oleh kita semua sehingga hari ini.

Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi juga tidak kurang pencapaiannya ketika memimpin negara, tetapi harus diakui kedua-duanya sekadar "biasa-biasa" saja pencapaiannya.

Tahun 2016 ini bermakna Najib Razak sudah menjangkau tempoh tujuh tahun sebagai Perdana Menteri. Terbukti hanya dalam tempoh sesingkat tujuh tahun, Najib sebenarnya layak dinobatkan sebagai Perdana Menteri "terhebat" yang kita pernah ada.

Kehebatannya tak terlawan dek semua Perdana Menteri yang sudah dan banyak berjasa kepada kita sebelum ini.

Malah, disebabkan "kehebatannya"  itu, mungkin tidak ditemui lagi sesiapa yang mampu menandinginya. Siapa pun yang menjadi Perdana Menteri selepas ini, hakikatnya teramat sukar untuk melepasi "pencapaian" Najib.

Sumbangan terbesar Najib kepada rakyat ialah memperkenalkan perkataan dan angka bilion kepada rakyat. Sebelum ini ramai yang tidak pernah mendengar, menyebut dan jauh sekali bermimpi untuk memiliki wang berbilion-bilion.

Tetapi dengan terdedahnya mengenai Najib membenarkan wang sebanyak RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadinya, ramai yang jadi biasa menyebut perkataan itu, walaupun ramai yang tidak pernah melihat berapa banyaknya  wang 1 juta sekali pun.

Ramai juga yang sebelum ini tidak tahu dengan tepat makna satu bilion. Kebanyakannya menyangka bilion itu hanya ratus juta, tetapi kini semua sedar, termasuk budak-budak sekolah bahawa satu bilion itu ialah seribu juta.

Bermakna Najib telah mencelikkan rakyat dalam satu lagi ilmu kira-kira yang sebelum ini tak berapa diambil peduli oleh rakyat kebanyakan.

Hebatnya Najib juga ialah kerana mampu menjadi "selamba derk" di sebalik semua dakwaan skandal yang dikaitkan dengannya. Muhyiddin sendiri hairan bagaimana Najib boleh begitu "selamba"  seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan, sedangkan seluruh dunia memperkatakan tentang wang yang masuk ke akaun peribadinya.

Dalam isu RM2.6 bilion atau RM2,600 juta yang masuk ke akaun perbadinya misalnya, di sebalik majoriti isi dunia meragui wang itu sebagai derma, malah Tun Mahathir secara terbuka mengaitkannya sebagai pencurian wang, Persidangan Anti Rasuah merumuskannya sebagai memenuhi semua syarat untuk rasuah dan Akta SPRM sendiri menyebut menerima derma bagi penjawat awam adalah rasuah, Najib tetap "selamba jerrr"  menghadapinya.

Lebih mengkagumkan, berbanding sebelum timbulnya isu wang tersebut, Najib juga kelihatan lebih kerap memunculkan dirinya dengan  memakai jubah, kopiah putih dan bermesra-mesraan dengan golongan agamawan selepas ia semakin diperkatakan ramai.

Ini merupakan kehebatan yang  luar biasa sebenarnya. Di kampung-kampung dahulu, apabila seseorang itu diperbualkan dengan kegiatan jahat seperti disyaki mencuri dan sebagainya, mereka bukan saja menjauhkan diri dengan masyarakat, selalu hilang daripada kampung, malah tidak mungkin berani singgah ke surau atau masjid untuk bercampur gaul dengan golongan yang semuanya berkopiah putih.

Dengan Najib mampu berbuat sebaliknya, beliau nyata benar-benar "hebat"  dalam hal ini.

Dalam aspek yang lain, dengan terbukti dalam akaun peribadinya pernah berlabuh wang sejumlah RM2,600 juta, kemudian disebut juga oleh media-media antarabangsa sebanyak RM4,200 juta, Najib juga merupakan Perdana Menteri "terkaya" berbanding pendahulu-pendahulu yang pernah menerajui negara ini.

Selain itu, meskipun diri dan keluarganya sering dikaitkan dengan perbelanjaan mega, perhiasan mahal dan percutian mewah, tetapi Najib dan Rosmah Mansor juga selalu mengingatkan rakyat tentang jimat cermat, jangan boros berbelanja dan memberi nasihat agar rakyat "memiliki dua pasang baju sahaja" ketika Hari Raya.

Jika dirangkumkan semua "kehebatan"  itu dengan hutang negara lebih RM800 bilion, jumlah kabinet paling besar, penasihat bertaraf menteri paling ramai, mengambil rakyat asing sebagai penasihat media, perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri juga paling besar dan banyak lagi perkara yang menjadi tatapan kita semua sejak 2009 lalu, ternyata Najiblah yang "terhebat"  sekali antara semua Perdana Menteri kita.

Yang lepas-lepas, daripada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj hingga Tun Abdullah Badawi telah terbukti tidak mampu menandinginya, di masa depan pula,  sosok "sehebatnya" mungkin tidak akan kita temui lagi.
 
 
 

Mejar Zaidi sertai DAP, tinggalkan AMANAH

Susan Loone

 


DAP Pulau Pinang mengumumkan kemasukan lapan anggota Melayu baru, dua sebelum ini daripada PAS dan seorang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), yang merupakan sekutu parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow dan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, Wong Hon Wai membuat pengumuman itu hari ini.

Paling menonjol daripada lapan individu itu ialah bekas anggota Tentera Udara Malaysia Mejar Zaidi Ahmad yang sebelum ini menyertai PAS dan Amanah.

Zaidi, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, mula dikenali selepas membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013.

Beliau dipecat daripada tentera udara oleh mahkamah tentera pada tahun 2014 dan selepas itu menyertai PAS. Beliau kemudian meninggalkan PAS untuk menyertai AMANAH tahun lepas, selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PAS.

Zaidi berkata beliau merasakan DAP adalah parti yang lebih sesuai untuknya, sambil menambah "yang paling penting, saya masih dalam HARAPAN".

"Jika penyertaan saya dalam DAP boleh membantu memecahkan persepsi anti-Melayu dan anti-Islam terhadap parti itu, akhirnya ia juga akan memberi manfaat kepada AMANAH, PKR dan HARAPAN secara keseluruhan," katanya.

'Ini adalah sebuah negara yang bebas'

Ditanya sama ada beliau telah memaklumkan kepada pemimpin partinya, iaitu Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa, Zaidi berkata:

"Di negara ini, setiap orang mempunyai hak dan kebebasan untuk menyertai mana-mana parti.

"Pemimpin-pemimpin AMANAH juga melakukannya selepas berhenti dari PAS," katanya berseloroh.

Zaidi berkata bagaimanapun, keahliannya di dalam AMANAH akan ditamatkan apabila menandatangani perjanjian dengan DAP.

Ketika dihubungi, Mujahid hanya berkata "Ini adalah sebuah negara yang bebas, AMANAH percaya dalam pilihan bebas.

'Zaid terlalu cepat cadang kematian Pakatan Harapan'

Alyaa Azhar    




Beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak memihak dengan cadangan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim agar pakatan pembangkang dibentuk terdiri daripada hanya DAP dan AMANAH.

Ahli Jawatankuasa pusat AMANAH Khalid Samad percaya Zaid terburu-buru memberitahu pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang supaya "melupakan pakatan pilihan raya sama sekali".

"Sedikit melampau untuk buat kesimpulan daripada pilihan raya negeri Sarawak yang pakatan antara PKR, DAP, dan AMANAH tidak lagi berbaloi," kata Khalid kepada Malaysiakini.

"Kita mesti memahami keadaan dan syarat-syarat di belakang pembentukan Pakatan Harapan dan kerumitan yang timbul," katanya sambil menambah gabungan itu berusia kurang setahun dan telah mendapat tentangan kepada pembentukannya.

Sambil mengakui tuntutan kerusi bertindih antara PKR dan DAP pada pilihan raya negeri Sarawak mengecewakan, Khalid bagaimanapun menegaskan keadaan di negeri ini adalah unik kerana kedua-dua pihak mempunyai tuntutan sama kuat di beberapa kerusi.

"Ini telah diakui sehinggakan apabila kita mahu membentuk Pakatan Harapan, terdapat beberapa cadangan supaya kita tunggu selepas pilihan raya negeri Sarawak dan ia meramalkan dengan betul akan ada pertembungan antara anggota Pakatan Harapan semasa pilihan raya ini, "kata Khalid.

Gabungan itu bagaimanapun tetap diteruskan kerana ia percaya masalah itu boleh diuruskan dan walaupun jika perkara itu berlaku, ia tidak bermakna Pakatan Harapan berakhir.

"Jadi, walaupun ia adalah satu kelemahan dan kesilapan, ia tak semestinya membawa maut. Melainkan sudah tentu, jika ada yang mahu menggunakannya sebagai alasan untuk membunuh gabungan itu, "katanya.

Hadi yakin pertembungan DAP-PKR beri kelebihan pada PAS

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Pertembungan sesama sekutu Pakatan Harapan, PKR dan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka memberi kelebihan kepada PAS.
 
Keyakinan itu disuarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di samping sokongan rakyat pelbagai kaum kepada parti Islam itu sangat baik sebagai alternatif mewakili pembangkang untuk menolak Barisan Nasional (BN).
 
“(Adakah pertindihan kerusi antara PKR dan DAP akan beri kelebihan kepada PAS?) Kemungkinan ia membawa kesan lebih posifif kepada kita (PAS),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Media malam tadi.
 
Abdul Hadi pada masa sama yakin bahawa PAS akan memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi pada pilihanraya tersebut.
 
“Sambutan dari masyarakat dari semua kalangan sangat baik, termasuk yang bukan Islam. (Memandangkan) Kita telah menampilkan calon dari pelbagai kalangan termasuk wanita dan bukan Islam walaupun jumlahnya 11 kerusi tetapi sudah cukup untuk memberi mesej pada penduduk Sarawak.
 
“Kita yakin daripada (11 kerusi) dua kerusi (kita akan menang) dan mungkin ada lagi tambahan yang lain, antaranya di kawasan yang melibatkan pertandingan bekas wakil rakyat DAP yang bertanding BEBAS melawan DAP,” katanya menjawab jumlah kerusi yang bakal dimenangi parti itu.
 
PKR dan DAP akan bertembung di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 7 Mei ini apabila kedua-dua parti itu gagal mencapai kata putus bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.
 
Sementara itu, PAS pula meletakkan calon di 11 kerusi yang turut ditentang bekas sekutu mereka, PKR, DAP dan PAN, antaranya di kerusi Samalaju (PAS, DAP dan BN), Lambir (PAS, PKR dan BN), Pujut (PAS, DAP, BN dan BEBAS), Samariang (PAS, BN dan PAN), Muara Tuang (PAS, BN dan PAN), Sadong Jaya (PAS, BN, PAN dan BEBAS), Sebuyau (PAS, BN dan PAN), Beting Maro (PAS, BN dan PAN), Kakus (PAS, PKR dan BN), Jepak (PAS, PKR, BN dan BEBAS), Pantai Damai (PAS dan BN).
 
 

PRN Sarawak: BN jangka tawan lebih 70 kerusi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak menjangkakan dapat menawan lebih 70 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN), 7 Mei ini, demikian kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
 
Beliau yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata jangkaan itu berdasarkan kepada pemantauan beliau bahawa kebanyakan rakyat Sarawak yakin dengan BN dalam tempoh kempen yang kini sudah memasuki fasa pertengahan.
 
"Daripada 82 kerusi, kita mungkin dapat lebih 70 kerusi, harap Tuhan makbulkan doa kita supaya ada kestabilan dalam negeri kita," katanya ketika melancarkan Projek Tebingan Sematan dan Pemuliharaan Muara Sungai Sematan di Sematan, kira-kira 100km dari sini, hari ini.
 
PRN kali ini menyaksikan perebutan 82 kerusi DUN, termasuk tambahan 11 kerusi baharu. BN telah memenangi dua kerusi tanpa bertanding bagi kawasan Bukit Sari dan Bukit Kota.
 
Pada PRN 2011, BN menguasai 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.
 
 

PERKASA puji Bank Negara, gesa AG dakwa 1MDB

MALAYSIAKINI




PERKASA menyokong penuh tindakan Bank Negara Malaysia mengeluarkan surat kompaun pentadbiran terhadap 1MDB, kata Pengerusi Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salahgunakuasa PERKASA, Azrul Akmal Saharudin.

Katanya PERKASA melihat perkembangan ini sebagai manifestasi ketegasan dan profesionalisme Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

"Tindakan berani dan tegas Bank Negara ini perlu mendapat pujian semua pihak yang mendukung prinsip integriti dalam ruang lingkup kuasanya selaku agensi kerajaan yang dihormati," kata Azrul pada kenyataan media.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ai memulakan proses pendakwaan ke atas 1MDB.

"Walaupun kita mengalu-alukan tindakan kompaun dikenakan BNM, namun kes 1MDB ini tidak cukup sekadar dikenakan tindakan kompaun kerana nilai wang yang ingkar tidak dibawa balik ini adalah sangat besar dan berkemungkinan diselewengkan.

"Bank Negara telah melakukan siasatan terperinci dan mengenakan tindakan, maka wajarlah Peguam Negara pula membawa kes ini untuk tujuan pendakwaan jenayah yang bukan di bawah kuasa Bank Negara," katanya.

Semalam, Bank Negara dilapor mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ini termasuk mengkehendaki 1MDB menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011.

Bank pusat itu berkata 1MDB juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan untuk memberikan alasan yang kukuh berhubung ketidakupayaan mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik itu.

1MDB diberikan tempoh sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun tersebut.

"Adalah tidak masuk akal, suatu pihak yakni Bank Negara mengenakan tindakan ke atas 1MDB di atas bukti-bukti yang diperoleh melalui siasatan, dan suatu pihak lagi pula tidak mahu meneruskan pendakwaan.

"Peguam negara perlu buat keputusan. Rakyat pasti akan menyokong dan berdiri di belakang peguam negara jika beliau berani untuk menegakkan kebenaran demi kesejahteraan tanah air tercinta," kata Azrul.

Sementara itu Azrul berkata pihaknya terkejut kerana sehingga pagi ini tiada kenyataan sokongan terhadap Bank Negara oleh parti politik sama ada kerajaan mahu pun pembangkang.

"Sepatutnya, apabila tindakan seberani ini dibuat oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang, semua kumpulan masyarakat termasuklah parti-parti politik harus memberikan sokongan agar Bank Negara tidak berasa keseorangan dalam tindakannya.

"Kita harus sedar, langkah yang dibuat oleh Bank Negara ini natijahnya besar, ia menunjukkan bahawa segala apa yang diperkatakan oleh pelbagai pihak berkenaan krisis yang melanda 1MDB selama ini ada kebenarannya," katanya.


Dua pelajar maut kemalangan

Dua pelajar maut kemalangan
Orang awam membantu Alsyukri (kanan) dan Muhammad Firdaus (kiri) melafazkan syahadah.- Foto: Ehsan pembaca Sinar Harian.
 
 
ALOR GAJAH -  Seorang bapa tidak menyangka kali pertama dia menghantar anaknya ke sekolah pagi kelmarin menjadi kali terakhir dia bertemu anak bongsunya itu.

Mohd Hendra Zakaria, 51 bagaimanapun reda pemergian anaknya, Alsyukri Mohd Hendra, 16 akibat kemalangan di Jalan Lubok China, kelmarin.

Dalam kejadian kira- kira jam 3.30 petang itu, Alsyukri dan rakannya Muhammad Firdaus Shahrulnizam, 14, maut selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta.

Mohd Hendra Zakaria, 51 berkata, pada pagi sebelum kejadian, anaknya itu memberitahu mahu menumpangnya menaiki motosikal ke sekolah.

"Permintaan itu juga pertama kali disuarakan Alsyukri yang selama ini hanya berjalan kaki dari rumah kami di Taman Wira Mas ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China.

“Masa saya nak pergi kerja lepas subuh, dia cakap nak tumpang naik motor saya untuk ke sekolah dan sampai sekolah dia salam dan cium tangan macam biasa.

“Selama empat tahun ulang alik rumah ke sekolah yang jarak hanya 500 meter, dia tak pernah tumpang atau minta hantar ke sekolah dan ini pertama kali,” katanya.

Dia berkata, kejadian menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu hanya diketahui apabila menerima panggilan daripada seorang lagi anak lelakinya ketika sedang bekerja mengecat rumah di Bukit Beruang.

“Saya ingat kemalangan biasa dan saya ingatkan dia dihantar ke Hospital Melaka jadi saya ke sana untuk cari dia tapi petugas dekat kaunter bahagian kecemasan cakap tak ada kes Lubok China di situ.

“Saya minta tolong anak buah periksa dekat Hospital Alor Gajah dan doktor di situ sahkan anak saya dalam perjalanan ke hospital tapi sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, anak bongsunya itu  sering membantu isterinya Suzana Deraman, 49, di rumah, selain rajin menunaikan solat Maghrib di surau hadapan kediaman mereka itu.

Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar itu maut selepas motosikal jenis Modenas Dinamik berlanggar kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 48 tahun yang sedang membuat pusingan U di hadapan SMK Lubok China.

“Kedua-dua kenderaan dipercayai dari arah Lubuk China menghala Brisu sebelum pelanggaran yang menyebabkan bahagian kanan kereta remuk sementara dua mangsa terjatuh atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.


Hilang kerja, dihalau selepas peluk Islam

Harinder Pal Singh
Harinder Pal Singh 
 
 
SHAH ALAM - Seorang lelaki berketurunan Sikh kelahiran India, Harinder Pal Singh mengakui hilang pekerjaan serta dihalau dari rumah sewa selepas memeluk Islam ketika sesi ceramah Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalik 14 April lalu.

Harinder berkata, dia kehilangan pekerjaan sebagai penjawat swasta kerana kontraknya tidak diperbaharui dan turut dihalau keluar rakan serumah kerana bimbang akan mempengaruhi rakan-rakan lain dengan ajaran Islam.

"Saya perlukan pekerjaan," katanya ketika ditemubual dalam program Into Taqwa terbitan TV Al Hijrah.
Katanya lagi, dia amat memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan dan mendalami Islam yang kini sudah menjadi jalan hidup di dunia dan akhiratnya.

Sementara itu, memetik My News Hub penyanyi Noh Hujan yang kini berada di Timur Tengah bersama isterinya Mizz Nina bersedia membantu Harinder dengan menawarkan pekerjaan di restoran miliknya.

Deklarasi Rakyat sasar 1 juta tandatangan dalam 2 minggu

Susan Loone    




Pergerakan 'Selamatkan Malaysia' berjaya mengumpulkan kira-kira 500,000 tandatangan untuk petisyen Deklarasi Rakyat dan yakin mereka dapat mencapai sasaran dalam tempoh dua minggu ini.

Petisyen itu akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk memohon penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila ia memenuhi matlamat mendapat satu juta tandatangan.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata, kira-kira 230,000 rakyat telah menandatangani petisyen dalam talian, manakala 270,000 tandatangan telah dikumpul semasa siri jelajah, ceramah dan tinjauan mesra di pasar malam.

Walaupun hanya 50 peratus daripada sasaran mereka, beliau yakin akan mendapat satu juta tandatangan tidak lama lagi.

"Kami jangka akan capai sasaran dalam masa dua minggu lagi, lebih ramai akan tandatangani semasa perhimpunan 1 Mei akan datang yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia di Kuala Lumpur," kata Maria dalam forum Selamatkan Malaysia di Pulau Pinang malam tadi.

"Umno juga, sedang berusaha keras di peringkat akar umbi untuk mengumpul tandatangan, dan kami menjemput semua orang untuk turut serta dengan kami kerana negara ini menghadapi krisis," katanya.

Walaupun mengakui sesetengah pihak mungkin merasakan usaha gerakan Selamatkan Malaysia tidak akan membawa apa-apa perubahan dan Najib akan masih kekal berkuasa, Maria berkata, "Kami perlu cuba."

"Jika satu juta tandatangan tidak mencukupi, kita akan pergi untuk dua juta atau tiga juta. Kita tidak boleh berhenti berusaha,"katanya.

Beliau telah menyertai Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan aktivis sosial yang juga penulis Hishamuddin Rais.

Prema Devaraj dari ALIRAN menjadi pemudah cara selama tiga jam dalam forum yang diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang di George Town, di hadapan kira-kira 150 hadirin.

Tak boleh tubuh kerajaan perpaduan

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang


MARANG - "Tidak boleh!". Demikian jawapan ringkas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan di antara Pas dan Umno di Terengganu pada saat Umno dalam keadaan terumbang-ambing.

Malah, beliau turut menyifatkan kedudukan Umno di negeri Terengganu kini dalam keadaan ‘darurat’ berikutan krisis yang melibatkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan Istana Terengganu.

“Tujuan kena ikhlas (untuk mewujudkan kerajaan perpaduan), jangan tujuan kerana darurat. Ini darurat, tidak boleh,” katanya sambil menegaskan beliau, bagaimanapun, tidak mengikuti sepenuhnya perkembangan Umno di negeri itu.

Ketika ditanya selain faktor politik semasa, adakah Pas meletakkan apa-apa syarat jika Umno di Terengganu mahu bersama dengan Pas yang dasarnya memperjuangkan Islam, tegasnya, perkara itu sudah dimaklumkan sebelum ini.

“Kita dah cakap lama (mengenai penubuhan kerajaan perpaduan). Kena baca balik (kenyataan-kenyataan saya sebelum ini),” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila di sini, semalam.

Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu jelas menunjukkan ketegasan pendiriannya sebelum ini yang diluahkan selepas merasmikan Himpunan NGO Marang di pekarangan Masjid Pasir Puteh, Merchang, di sini, minggu lalu.

Ketika itu, beliau berkata Pas tidak ada halangan untuk bersama mana-mana parti politik di negara ini dengan syarat mereka boleh menerima Islam, al-Quran dan as-Sunnah.

“Siapa pun tak kisah, Umno ke, DAP pun... jika terima Islam. Siapa yang masuk Islam kita terima,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau juga dipetik berkata, jika Umno bersedia bersama dengan Pas, muzakarah perlu diadakan bagi mencari titik persamaan itu.

Sementara itu, ketika mengulas pandangan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang mencadangkan agar parti Pas dan Umno bergabung, Abdul Hadi mengulangi syarat Dr Zakir, iaitu mengikut al-Quran dan as-Sunnah.

“Dr Zakir sebut kena ikut al-Quran dan as-Sunnah, tapi orang lupa syarat itu,” katanya.


Azmin kesal diarah pulang 2 Mei

Azmin Ali
Azmin Ali


SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa terkejut apabila beliau diminta meninggalkan Sarawak pada 2 Mei ini dan tidak dibenarkan masuk semula sehingga hari mengundi pada 7 Mei ini.

Memetik portal The Borneo Post semalam, Azmin dimaklumkan perkara itu secara rasmi oleh pegawai Jabatan Imigresen ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak, semalam.

“Mereka cop pada nota yang saya perlu meninggalkan Sarawak pada 2 Mei dan tidak akan membenarkan saya untuk kembali sehingga hari mengundi.

“Ini adalah terang-terangan mengabaikan undang-undang,” katanya semasa tinjauan mesra di Satok, Kuching, Sarawak, semalam.

Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor, turut berkongsi perkara itu di akaun Facebooknya semalam, dengan memuat naik sekeping gambar nota pemberitahuan itu, sambil mempersoalkan arahan siapa di sebalik Imigresen Sarawak.

Dalam posting berasingan, Azmin berkata, walaupun tempoh beliau di Sarawak dipendekkan, namun ia tidak menghalangnya memahami suara hati pengundi dan berkongsi visi parti pembangkang itu untuk perubahan.

Mengulas lanjut, Azmin berharap, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem akan mengotakan janjinya membawa pembaharuan kepada negeri itu dan membenarkan pemimpin pembangkang memasuki negeri itu semasa musim pilihan raya.

“Ini adalah masa di mana semua pemimpin politik harus dibenarkan datang menyatakan kebimbangan kami dan berkongsi sentimen dengan rakyat Sarawak,” katanya.

Bocey juara Maharaja Lawak Mega 2016

Bocey juara Maharaja Lawak Mega 2016
Bocey muncul sebagai juara pada pentas akhir MLM 2016.
 
 
SEPERTI yang dijangka, kumpulan Bocey muncul sebagai juara pada pentas akhir program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016, malam tadi.

Kemenangan kumpulan yang dianggotai oleh Abam, Fad dan Acey itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong kami.

"Sokonglah MLM. Lawak untuk anda semua," kata Bocey ketika menerima hadiah kemenangan.
Malah, Acey turut memenangi kategori Man of The Match pada pentas akhir MLM2016.

Gelaran naib juara pula dimiliki kumpulan Joras yang dianggotai oleh Shuk, Rahim dan Joey sekali gus layak  menerima wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Bagi tempat ketiga, ia menjadi milik Puteh sekali gus membawa pulang wang tunai RM150,000 dan trofi manakala kumpulan LOL pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat seterusnya memenangi RM50,000.

Semua hadiah disampaikan oleh pelawak veteran, Wahid Satay manakala Datuk AC Mizal bertindak sebagai pengacara.

Pada malam itu, semua peserta diwajibkan membuat dua persembahan yang bertemakan bebas dan muzikal.

Mereka diadili oleh empat juri tetap iaitu Bunga Citra Lestari, Ziana Zain, Shaheizy Sam dan Najip Ali yang mewakili 70 peratus pemarkahan manakala bakinya menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Program realiti komedi itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105), Astro Warna (saluran 132), Astro Mustika HD (saluran 134) dan Astro Maya HD (saluran 135) dari Stadium Tertutup Perbadanan Pasir Gudang, Johor Bahru.


Mahathir ulangi gesaan Najib letak jawatan



 
Oleh MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI


JITRA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi gesaan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya

Beliau berkata, ia perlu segera dibuat susulan kegagalan Najib menyelesaikan banyak isu berbangkit termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kehilangan wang berbilion ringgit.

“Kalau dia (Najib) tak digugurkan sekarang, saya yakin (BN) akan hancur dalam PRU14. Najib akan kalah, BN akan kalah dan Umno akan Kalah. Apa jadi lepas itu, sama-samalah kita lihat.

“Tapi kalau kita dapat gugurkan Najib sekarang, mungkin parti yang terbesar dalam Dewan dapat memilih pemimpin baru yang tidak mengulangi apa yang dilakukan Najib,” katanya pada program bicara isu-isu semasa Selamatkan Malaysia (Team B Umno) di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, di sini, malam semalam.

Menurutnya, parti keramat yang banyak berjasa itu juga kelihatan sudah tidak lagi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

“Kenapa saya tinggalkan Umno? Kata pepatah Melayu kalau sayangkan anak, tangan-tangankan; sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan. Tapi saya juga tinggalkan Umno kerana sayang.

“Saya melihat Umno hari ini bergerak hanya untuk mempertahankan presidennya walaupun membuat benda yang salah. Mereka membisu kerana mungkin sudah disuap dedak ke dalam mulut mereka,” katanya.

Menurutnya, Umno yang dahulu memperjuangkan agama, bangsa dan negara sudah tidak lagi mengamalkan demokratik sebaliknya hanya untuk menyokong presiden parti dan perdana menteri.

“Melihat keadaan ini bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan bangsa kita, saya tidak dapat lagi kekal dalam Umno. Sebab itu saya keluar Umno. Kita dapati Umno seolah-olah bisu dan tak boleh bercakap, bahkah dengar pun tak boleh.

“Dia percaya dengan duit boleh buat apa saja dan rakyat akan sokong kalau dia bagi duit. Sebab itu kita lihat dia ada BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) RM500 setahun. Mungkin bagi sesetengah orang RM500 itu besar, tapi kebanyakan yang terima lebih RM500,” katanya.
 
 

Langkah-langkah menangani masalah tingkah laku remaja




 
Oleh Jacquelyn Su Wan Chuen 



Kita sering mendengar orang berkata, ‘awak mempunyai personaliti yang teruk’ dan sebagainya. Personaliti merujuk kepada gaya berfikir, emosi dan kemahiran perlakuan seseorang apabila bertindak balas dengan persekitaran luar. 

Bagaimana personaliti anda? Sekiranya anda dapat menyatakan siapa diri anda, maka anda telah mula mencari personaliti anda.

Salah satu langkah untuk menangani masalah tingkah laku remaja iaitu memupuk sikap saling membantu. Remaja yang mempunyai penghargaan kendiri positif memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan kepada remaja yang mempunyai penghargaan kendiri yang rendah dalam menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.

Di samping itu, kita juga boleh menaikkan semangat dengan memberikan motivasi dan galakan kepada para remaja. Remaja sentiasa memerlukan bimbingan daripada ibu bapa, guru dan orang dewasa lain dalam pembentukan identiti dan dalam proses penyesuaian ke dalam masyarakat. Walaupun remaja boleh menyelesaikan sendiri tetapi peranan ibu bapa dan guru menjadi role model untuk mereka. Seterusya ialah memperbaiki kendiri yang lemah.

Sebagai contoh, guru perlu sentiasa menggunakan pendekatan pembelajaran di hadapan kelas untuk memberi peluang remaja menampilkan diri dan boleh menambah keyakinan diri. Pada masa yang sama, remaja akan bersemangat untuk belajar dan memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung.

Secara umumnya, strategi pengajaran dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu strategi pemusatan kepada guru, remaja atau pada bahan. Pemilihan strategi pengajaran oleh guru bergantung pada situasi remaja.

Pemusatan strategi yang diplih adalah tidak tetap kerana boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa remaja.

Guru akan menentukan strategi pengajaran mengikuti keadaan yang sesuai. Selain daripada itu, guru haruslah menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kaedah pengajaran untuk menarik minat remaja untuk belajar. Ini kerana terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pengajaran dapat menarik perhatian pelajar untuk belajar dan pelajar tidak akan berasa bosan dan mengantuk dalam kelas.

Kawalan emosi perlu dilatih oleh setiap remaja dan kesan ini akan mempengaruhi tingkah laku.

Emosi yang stabil akan berlakunya dengan tindakan balas seseorang terhadap situasi yang dihadapi.


Dalam bilik darjah, terdapat pelbagai keadaan emosi ditujukan oleh remaja. Oleh itu, guru perlu sensitif memerhatikan perbezaan emosi remaja. Kebolehan meramal emosi juga dikenali sebagai kemahiran pengajaran melalui air muka. Gangguan emosi dalam kalangan murid-murid berpunca daripada persekitaran sekolah yang tidak kondusif.

Contohnya, gangguan emosi berpunca daripada masalah kesesakan dalam kelas yang boleh mewujudkan kecenderungan murid untuk melakukan kesalahan disiplin seperti ponteng kelas, menyendiri, murung, marah dan sebagainya. Peristiwa dalam keluarga melibatkan perubahan yang besar dan penyesuaian dalam kehidupan kanak-kanak dan ia mempengaruhi pengembangan emosi mereka.

Sebelum bermulanya proses pembelajaran, guru digalakkan mengemukakan soalan yang berkaitan dengan pembelajaran yang lepas. Hal ini akan membentuk personaliti ego kerana remaja akan berusaha mengingat, mengamati apa-apa yang telah dipelajari oleh mereka sebelum ini untuk tujuan menjawab persoalan yang dikemukakan oleh guru. Apabila persoalan yang dikemuka dapat dijawab dengan lancar, mereka akan berasa puas walaupun jawapan yang diberikan tidak menepati kehendak guru. Sebagai kesimpulan, guru akan memberikan jawapan yang tepat dan sebagai remaja mereka akan mengambil iktibar yang baik untuk mengawal tingkah.

Langkah seterusnya ialah mengembangkan minat secara cemerlang kerana minat merupakan satu anugerah daripada Tuhan. Setiap orang mempunyai bakat yang berlainan seperti kebolehan menyanyi, menari, melukis dan sebagainya. Jika seseorang itu berbakat akan memudahkan guru menyampaikan maklumat.

Terdapat kajian menyatakan bahawa pelajar sederhana lebih kreatif daripada remaja pintar. Antara kaedah untuk membimbing remaja mengikut kebolehan boleh menyediakan latihan atau tugasan dengan tahap pencapaian remaja. Melalui aktiviti yang sesuai, mereka akan sentiasa menikmati pengalaman tersebut.

Oleh itu, guru perlu meneliti minat yang dimiliki oleh remaja dan mencari jalan untuk mengembangnya.

Tambahan lagi, guru harus menggalakkan remaja menggemukan soalan. Teknik soal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam bidang pendidikan.

Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar sama ada dalam kelas KBSR ataupun KBSM.

Apabila pelajar ditanya sama ada mereka mempunyai soalan atau tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu tidak mempunyai soalan. Adakah benar pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk ditanya tidaklah dapat dipastikan. Namun satu soalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah adakah guru telah mengajar kemahiran menyoal kepada pelajar-pelajar di dalam kelas? Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi ialah aktiviti bertanya dan menyoal.

Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

Langkah terakhir ialah mengenal pasti remaja mempunyai perbezaan dalam kesediaan emosi, kesediaan kognitif dan kesediaan psikomotor. Kita perlu memikir dan mempertimbangkan kemampuan, keupayaan, kebolehan dan kesediaan kanak-kanak mengikut tahap perkembangan mereka.

Guru yang mengajar kanak-kanak pada peringkat awal perlu lebih kreatif dan fleksibel dalam pengajaran mereka. Mereka harus peka pada tahap perkembangan dan ciri-ciri peribadi setiap kanak-kanak dan mengubahsuai teknik pengajaran mereka mengikut keperluan kanak-kanak tersebut.

Oleh itu, persediaan dan pengalaman awal kanak-kanak memerlukan pembelajaran yang terancang, menarik dan relevan dengan perkembangan semasa serta dapat memenuhi keperluan individu kanak-kanak.

Secara kesimpulannya, remaja merupakan aset negara pada masa hadapan. Namun demikian, personaliti remaja mempunyai hubungan yang rapat dengan perlakuan remaja. Pesonaliti seseorang boleh bersifat kekal serta boleh berubah pada masa ke semasa.

*  Jacquelyn Su Wan Chuen adalah mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Aliff Syukri soal salahkah beliau minat bola sepak

Aliff Syukri soal salahkah beliau minat bola sepak
Aliff Syukri (tengah) bergambar bersama pengurusan dan pemain Kedah selepas aksi Liga Super 2016 menentang JDT pada 16 April lalu di Stadium Darul Aman. -FOTO Datuk Aliff Syukri


PENGASAS D'Herbs Healthy Sdn Bhd (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman enggan mengambil peduli komen-komen negatif di facebook rasminya termasuk ada yang mahu memboikot produk-produk keluarannya.

Menulis di facebook rasmi, Aliff Syukri Terlajak Laris, beliau berkata menjadi hak untuknya membuat sebarang keputusan termasuk menaja mana-mana pasukan bolasepak yang diminati.

"Kepada yang komen-komen nak boikot D'Herbs terpulanglah, rezeki saya Insya-ALLAH ketentuan ALLAH SWT. Saya seperti orang lain juga, sebagai penaja adakah saya tidak boleh minat bola," katanya.

Tambahnya, beliau tidak pernah kisah sesiapa menghina atau mengutuknya kerana rezeki yang diperolehinya semua atas pemberian ALLAH SWT.

Nukilan itu dimuatkan bersama kata-kata semangat kepada pasukan Kedah yang akan menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk aksi separuh akhir kedua Superbest Power Piala FA 2016 di Stadium Larkin, malam ini.

"Siapapun yang menang kita masing-masing adalah pasukan yang hebat, JDT hebat dengan pemain bertaraf Tinggi, Kedah pula hebat dengan pemain muda kerana masing-masing ada kelebihan," katanya.

Luahan itu difahamkan ada kaitan dengan usahanya yang telah bersedia untuk menaja Hijau Kuning dengan nilai tajaan sebanyak RM30 juta selama tiga tahun.


Larang pembangkang masuk Sarawak boleh jejas imej

PRN Sarawak
Grafik Sinar Online


SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat keputusan larangan kemasukan pemimpin pembangkang ke Sarawak yang dibuat selepas kerajaan negeri di Sarawak dibubarkan, 11 April lalu boleh dipertikaikan dari segi kuasa kerajaan negeri yang berstatus sementara itu.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, BN Sarawak sepatutnya tidak boleh bertindak sebagai kerajaan negeri selagi ia belum ditubuhkan semula.

“Adakah sah dari segi undang-undang kerajaan negeri sementara buat larangan begitu? Sebelum ini, ketika masih menjadi kerajaan (negeri), BN Sarawak ada hak untuk membuat keputusan untuk menghalang sesiapa masuk Sarawak tetapi sekarang dia bukan kerajaan, hanya kerajaan sementara.

"Jadi, BN Sarawak tidak boleh bertindak sebagai sebuah kerajaan yang belum ditubuh lagi. Melainkan individu itu ada rekod jenayah berat dan sebagainya tapi dalam konteks ini tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada Sinar Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin kesal diarah pulang 2 Mei]

Terbaharu,  Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa terkejut apabila beliau diminta meninggalkan Sarawak pada 2 Mei ini dan tidak dibenarkan masuk semula sehingga hari mengundi di Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 7 Mei ini.

Beliau juga akui tidak bersetuju dengan tindakan melarang pembangkang memasuki Sarawak itu.

"Apa salahnya bagi masuk untuk bersaing secara demokrasi? Lagi bagus imej BN Sarawak sekiranya dibenarkan pemimpin Sarawak masuk.

"Bukannya (pembangkang) mampu tarik sokongan banyak pun untuk menang kerusi dan sebagainya tapi apabila buat begini, imej tak bagus untuk BN Sarawak," katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu difikirkan semula oleh BN kerana jika tidak, parti itu akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

"Bimbang selepas pilihan raya nanti mereka (pembangkang) saman dan sebagainya, jadi isu berkaitan Perlembagaan pula," katanya.


Friday, April 29, 2016

P'raya S'wak: Hartawan dan DAP 'bertarung' di Sibu

Zulaikha Zulkifli






ULASAN Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 bagi kawasan Sibu boleh dikategorikan sebagai 'pertarungan' antara hartawan dengan DAP.

Ia dapat dilihat apabila terdapat kerusi BN yang bertembung dengan DAP seperti di DUN Dudong dan Pelawan diwakili oleh hartawan yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di negeri itu.

Bagi calon Dudong,Datuk Tiong Thai King, beliau merupakan adik kepada pengerusi kumpulan syarikat Rimbunan Hijau (RH Group)- Tan Sri Tiong Hiew King yang pernah menjadi antara 10 orang terkaya di Malaysia.

Thai King yang membuat kemunculan sekali lagi selepas kalah pada PRN pada 2011 dengan majoriti tipis - 317 undi - merupakan pengarah eksekutif kumpulan bagi syarikat milik abangnya itu.

Di DUN Pelawan pula, Datin Janet Lau - balu kepada bekas timbalan menteri pengangkutan negeri, Datuk Robert Lau - dipilih oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sebagai calon di kawasan bekas suaminya itu.

Robert Lau merupakan anak saudara kepada Datuk Henry Lau, ketua pegawai eksekutif Kumpulan KTS - sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di Sarawak.

Pertandingan lebih tiga penjuru

Tiga lagi DUN dalam kawasan Sibu - Bawang Assan, Bukit Assek dan Nangka - dijangka sengit apabila ada antara kawasan itu menyaksikan pertandingan lebih daripada tiga penjuru.

Selepas persempadanan semula, kawasan Sibu terbahagi kepada dua kawasan - Parlimen Sibu dan Lanang - yang masing-masing mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai iaitu 65 peratus dan 72 peratus. Manakala masyarakat bumiputera di Sibu pula sebanyak 35 peratus dan di Lanang 28 peratus.

Bagi DUN Bawang Assan, calon Datuk Seri Wong Soon Koh bertanding mempertahankan kerusi tersebut. Beliau menewaskan calon DAP dalam pilihan raya negeri lalu, dengan majoriti 1,808 undi.

Calon Bukit Assek, DAP meletakkan Irene Mary Chang Oi Ling, 51, untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi mendiang suaminya, Wong Ho Leng pada pilihan raya negeri 2011 dengan 8,827 undi.

Dan bagi DUN Nangka pula, penyandang Dr Annuar Rapaee bertanding mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti 5,302 undi, menentang satu-satunya calon PKR di Sibu.

Pertarungan antara hartawan dengan DAP ini juga dapat dilihat daripada cara kedua parti itu berkempen yang menampakkan beberapa perbezaan, antaranya dari segi 'sajian' yang diberikan.

Penampilan kempen

Selain daripada membuat program tinjauan mesra dan ceramah pada waktu malam, program BN dilihat lebih meriah apabila pengunjung adakalanya akan dihidangkan dengan persembahan tarian atau nyanyian.

Malah, terdapat juga calon yang tidak melepaskan peluang untuk mendendangkan lagu kepada bakal pengundi mereka.

Berbeza dengan DAP, ceramahnya lebih bersifat politik dan turut menggunakan teknologi seperti Skype bagi membolehkan pemimpin mereka yang disekat memasuki Sarawak, berinteraksi dengan masyarakat di situ.

Pada minggu pertama berkempen ini juga, perang poster di Sibu masih lagi suram dengan hanya beberapa kawasan sahaja yang dilihat meriah dengan bendera dan poster parti yang bertanding seperti di kawasan DUN Nangka.

Selain itu, Adenan juga dilihat menjadi 'bahan' utama bagi setiap kempen BN untuk menarik sokongan pengundi.

Perkara itu dapat dilihat apabila slogan #teamAdenan dan 'Adenan Fever' dipaparkan di poster serta kain rentang calon BN yang bertanding serta dalam ceramah-ceramah parti berkenaan.

Isu-isu nasional

Isu yang dibawa DAP berhubung cukai barangan perkhidmatan (GST) pula dilihat masih lagi berada pada tahap 50-50 dengan tidak semua pihak dilihat memahami dan 'merasai' kesan ekoran pelaksanaannya.

Tinjaun Malaysiakini juga mendapati ada anggota masyarakat yang tidak mengendahkan isu GST serta isu nasional lain seperti skandal 1MDB.

Ini kerana penduduk di negeri yang mempunyai pelbagai etnik kaum itu berpendapat isu sedemikian tidak memberi impak terhadap kehidupan seharian mereka.

Malah, terdapat juga segelintir yang berpendirian untuk tidak masuk campur urusan politik dan hanya mengundi kerajaan dan BN memandangkan ia merupakan perkara yang telah lama mereka lakukan dan tidak perlu diubah.

Bagi pemerhati politik Dr Jeniri Amir, walaupun isu GST dilihat sebagai 'ibu segala isu' kerana ia memberi implikasi terhadap semua rakyat termasuk di luar bandar, namun sesetengah masyarakat masih lagi menganggap ia tidak penting.

"Ini ibu segala isu berbanding isu lain kerana GST beri kesan dan implikasi terhadap semua orang termasuk di bandar, di luar bandar, miskin dan apa jua golongan.

Pola pengundian

"Sejauhmana terpengaruh atau tidak (tentang isu GST), kita perlu lihat cara BN untuk menangkis hujah dengan 'dalil' yang konkrit. Jika gagal, ini boleh mempengaruhi pola pengundian.

"Dan bagi orang Sarawak, mereka memang tak kisah kerana menganggap tak ada kaitan dengan diri mereka. Mereka (pengundi) lebih mengutamakan perut mereka dari isu 1MDB dan isu lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, dalam tinjauan Malaysiakini mengenai kempen Sarawak for Sarawakian (S4S) yang dibawa oleh NGO yang bertanding atas tiket Bebas, mendapati rata-rata anggota masyarakat tidak bersetuju dengan kempen itu dan enggan mengulas mengenainya.

Ditanya ditanya mengenai perkara itu, Dr Jeniri berpendapat isu tersebut sensitif dan pihak berkenaan perlu lebih berhati-hati dalam membawa isu yang menyemarakkan semangat kenegerian.

"Kita harus guna kebijakasaan untuk tentukan ke mana harus kita lakarkan negeri kita ini. Harus jelas tentang perjuangan dan faham tentang sejarah. Jangan hanya ikut membabi-buta," ujarnya.

Hari pembuangan bagi pilihan raya negeri Sarawak akan berlangsung pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 12 hari.


Najib tak macam bapa, kata Dr M pada orang Kedah

Susan Loone

 

Selepas memperkenalkan diri sebagai 'Team B' Umno, pasukan yang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu memilih Jitra untuk siri ceramahnya.

Acara malam tadi berlangsung di Napoh, sebuah pekan kecil di Jitra, yang cuma 18 minit ke sempadan Thailand, Bukit Kayu Hitam.

Antara digolongkan dalam kumpulan itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pusat Datuk Seri Shafie Apdal.




Dewan Lye Huat malam tadi penuh dengan kira-kira 2,000 penyokong dalam program dua jam bermula 8.30 malam.

Kelihatan sedikit batuk-batuk, Mahathir yang kini berumur 91 tahun, berucap hampir sejam dan hanya menamatkan ucapannya untuk bergegas pulang dengan penerbangan ke Kuala Lumpur pada tengah malam.

Selain membangkitkan dakwaan amalan urus tadbir yang tidak baik, Mahathir berkata Najib telah berubah selepas mendapat kuasa.

Pemimpin PAS, AMANAH turut hadir

Malah, kata Mahathir, beliau tidak seperti bapanya Tun Abdul Razak, perdana menteri kedua.


Katanya, tidak seperti Razak, pentadbiran Najib didakwa menggunakan pendekatan “cash is king” (duit itu raja).

Menurut Mahathir, Najib berasa beliau boleh melakukan apa sahaja selagi memberikan wang kepada rakyat.

Antara yang hadir ke acara malam tadi ialah pemimpin PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Nawawi.

Turut hadir pendebat terkenal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Orang ramai memberikan tepukan gemuruh manakala Mukhriz sempat mengambil gambar selfie bersama orang ramai.

Video AG kena bu

Secara berjenaka beliau berkata terpaksa melakukannya supaya tidak dituduh pemimpin Umno hanya 200 orang hadir dalam acara itu.

Ucapan Mukhriz lebih banyak menumpukan kepada penglibatan Najib dalam kontroversi 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Beliau malah menunjukkan rakaman video menunjukkan perbezaan penjelasan Najib berkaitan wang itu, yang dimasukkan ke akaunnya sebelum pilihan raya umum ke-13.


Ketika ditunjukkan rakaman Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan salah laku, ia disambut sorakan bu oleh penonton.

Acara itu dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka “Jaringan Gelombang Merah” bagi mengumpulkan tandangan terhadap Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Najib.

Deklarasi itu, yang turut melibatkan pemimpin pembangkang, menyasarkan sejuta tendangan untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Sementara itu, Shafie pula berkata, sepanjang kerjaya politiknya dalam tujuh kementerian, beliau tidak pernah melihat dakwaan rasuah sebesar itu.

PAS: Kalau kita pelampau, kita bom saja

Zikri Kamarulzaman


81


Calon-calon PAS di Sarawak menolak tanggapan bahawa parti Islam itu bersifat sebagai pelampau.

“Kalau kita pelampau, kita tak akan bertanding (pada pilihan raya negeri), bom saja,” sindir calon PAS bagi kerusi Pujut, Jofrie Jaraiee.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan untuk bertanding di Pujut, kerusi majoriti masyarakat Cina.

Menurut Jofrie, sebagai penduduk jati Miri, beliau yakin mempunyai peluang memenangi kerusi itu sekalipun berdepan saingan empat penjuru antaranya dengan DAP, BN dan Bebas.

Katanya, calon BN Hii King Chiong BN juga berdepan saingan sukar kerana bekas pemimpin UPP itu tidak akan mendapat sokongan daripada rakan SUPP di Miri.

“Mereka mungkin tak memilih parti, (tetapi akan) pilih calon yang terbaik, Wallahualam,” katanya pada sidang akhbar di Miri hari ini.

Sementara itu, calon PAS bagi kerusi di Lambir, Arifiriazul Paijo juga menaruh keyakinannya untuk menang sekalipun berdepan dengan BN dan PKR.

“Masing-masing ada penyokong tetap, kita kejar pengundi atas pagar," kata Arifiriazul.

Beliau berkata PAS aktif di Lambir sejak 2012, dan sebenarnya berjaya meraih lebih 7,000 undi pada pilihan raya umum 2013 bagi kerusi parlimen Sibuti.

PAS tewas di Sibuti kepada calon BN dengan majoriti 6,000 undi pada pilihan raya berkenaan.

Pampasan RM39.8j bela nasib pesawah

Kemarau
Musim kemarau telah menyebabkan kawasan beting pasir sungai Danube berhampiran Mariaposching, Jerman menjadi tandus dan gersang. - Foto EPA


BAGAN SERAI - Lebih 3,000 pesawah di daerah Kerian memerlukan bantuan pampasan bernilai RM39.8 juta daripada kerajaan pusat bagi menampung kerugian tanaman padi mereka terjejas akibat fenomena El Nino terburuk ketika ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan kajian dibuat, anggaran nilai pampasan itu perlu dipertimbangkan secara serius memandangkan sejumlah 3,175 petani daerah ini bakal kehilangan satu-satunya sumber pendapatan iaitu hasil padi.

Setelah bekalan pengairan pertanian dari empangan Kolam Bukit Merah kini ditangguhkan sepenuhnya, Dr Noor Azmi mendedahkan sejumlah 8,237 hektar sawah padi melibatkan kompartment A hingga H dikenal pasti terjejas daripada keseluruhan 21,108 hektar sawah padi di daerah Kerian.

"Daripada keseluruhan 8,097 pesawah di daerah ini, sejumlah 3,175 pesawah melibatkan Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar dikenal pasti terjejas teruk setelah sawah padi diusahakan berisiko tinggi tidak menjadi akibat kekurangan bekalan air.

"Berdasarkan angka itu, kesimpulannya hampir 50 peratus pesawah daerah Kerian terkesan teruk akibat paras air empangan semakin kritikal dan saya menganggarkan nilai pengeluaran padi terjejas pada musim ini bernilai keseluruhan RM56.4 juta,"katanya kepada media pada majlis apresiasi rakyat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) sekolah-sekolah seluruh Parlimen Bagan Serai di sini, semalam.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen(MPPP) Parlimen Bagan Serai berkata, cadangan pemberian bantuan pampasan bernilai RM39.8 juta dibuat berdasarkan pengiraan jumlah kos permulaan menanam padi ditanggung pesawah setiap hektar ditambah bantuan pembiayaan 50 peratus daripada anggaran hasil padi mereka.

Meskipun maklumat awal menyatakan jumlah keluasan sawah padi terjejas di Kerian meliputi 5,000 hektar, Dr Noor Azmi menegaskan ia hanya melibatkan kawasan sawah padi di Kompartment G dan H yang tidak sempat memulakan tanaman musim ini gara-gara bekalan pengairan pertanian ditangguhkan.


"Sebaliknya, tambahan 3,097 hektar kawasan sawah padi melibatkan Kompartment A hingga F sebenarnya turut terjejas meskipun pesawah sudah memulakan tanaman.

"Hal ini kerana sawah padi sudah ditanam lebih berhadapan risiko tinggi tidak menjadi sekiranya bekalan pengairan tidak cukup terutama usia padi mencecah 40 hari.

"Selain itu, ancaman rumpai tumbuh secara agresif dalam cuaca panas turut meningkatkan risiko tanaman padi diusahakan pesawah terjejas sepenuhnya,"katanya.

Ditanya keputusan kerajaan pusat tidak mengisytiharkan kawasan empangan Kolam Bukit Merah sebagai kawasan bencana, Dr Noor Azmi akur dengan keputusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Menangani Bencana di Putrajaya petang semalam.

Menurutnya, kerajaan pusat wajar memikirkan implikasi yang perlu ditanggung dari segi kewangan dan perundangan sebelum pengisytiharan kawasan bencana dibuat.

"Bagaimanapun, saya berharap bantuan pampasan dapat disalurkan segera kepada golongan pesawah terjejas, lebih-lebih lagi bulan Ramadhan dan perayaan Aidilfitri bakal menjelang tiba.

"Selain itu, kerajaan pusat juga perlu mengambil perhatian terhadap implikasi negatif ditanggung pemain industri pelancongan resort, Pulau Orang Utan dan pengusaha ikan arowana yang turut terjejas akibat bekalan air empangan sangat kritikal ketika ini," katanya.


Anwar berjaya teruskan rayuan qazaf

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim - Foto AFP


KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh meneruskan kesemua prosiding rayuan berkaitan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukari Azlan.

Ini susulan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi membatalkan kesemua semakan dan notis rayuan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Md Yusuf Che Teh memutuskan, kekhilafan Anwar selaku responden dalam menamakan bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden dalam rayuannya boleh diperbetulkan.

Korum yang turut dianggotai Hakim Datuk Yusof Musa dan Hakim Mohd Amran Mat Zain juga memutuskan, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang mensabitkan Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari tidak menjadikan Mahkhamah Syariah terikat kerana kedua-dua mahkamah berbeza.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki.

Jamil Khir, Shamsudin dan Che Mat mengemukakan permohonan bagi membatalkan kesemua notis rayuan yang difailkan Anwar atas alasan mereka tidak lagi memegang jawatan seperti yang dinamakan dalam rayuan.

Mereka juga mengemukakan alasan, bahawa Mahkamah persekutuan telah mensabitkan Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari.


Media Malaysia antara 10 paling tak bebas di Asia Pasifik

MALAYSIAKINI




Malaysia mengekalkan status 'tidak bebas' dengan markah 67 mata, demikian menurut laporan kebebasan media oleh badan pemantau antarabangsa, Freedom House 2016 yang dikeluarkan hari ini.

Berdasarkan latar belakang tindakan keras dan penutupan beberapa media tahun lalu, Malaysia menjana dua mata, dalam sistem pemarkahan yang menilai sifar bagi terbaik manakala 100 bagi markah tercorot.

Sejumlah 33 peratus (66 negara) daripada 199 negara yang terlibat dalam tinjauan tersebut diberi penarafan tidak bebas; 36 peratus separuh bebas (71 negara); dan 31 peratus bebas sepenuhnya (62 negara).

Di peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia terikat bersama-sama Singapura di tangga 31 daripada 40 negara.

Korea Utara, dengan markah 97, berada di kedudukan tercorot dalam rantau ini manakala Palau - negara pulau yang terletak di Laut Pasifik barat - berada di tangga teratas dengan 15 markah.

Di peringkat global, Malaysia berada di kedudukan 149 daripada 199 negara dalam kajian.

“Kerajaan Malaysia— dalam usaha mempertahankan diri dari skandal rasuah besar-besaran — menggunakan secara meluas akta hasutan untuk menghalang mereka yang menentang, dalam satu kes mendakwa pelukis kartun politik atas beberapa siri tweet,” kata laporan itu dalam analisanya berhubung trend serantau.

“Daripada semua, sekurang-kurangnya, 91 individu telah didakwa, ditahan dan disiasat di bawah undang-undang hasutan sepanjang tahun 2015,” jelas laporan itu, memetik fakta-fakta daripada kumpulan hak asasi antarabangsa, Amnesty International

1MDB: Bekas pegawai BSI berdepan dakwaan baru

MALAYSIAKINI




Bekas pegawai BSI Bank dari Switzerland yang beroperasi di Singapura, yang didakwa dengan pengubahan wang haram selepas siasatan pihak berkuasa negeri itu ke atas 1MDB, berdepan dua pendakwaan.

Yeo Jiawei kini berdepan dengan dakwaan menipu melibatkan AS$1.6 juta dan cubaan untuk ‘mempermainkan keadilan’, sebagai tambahan kepada dakwaan awal kerana menerima S$200,000 dalam akaun Bank of China yang dianggap ‘manfaat pelakuan jenayah’, memetik laporan Channel NewsAsia.

Pegawai bank berusia 33 tahun itu didakwa minggu lalu atas kesalahan di bawah Akta Rasuah,

Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius lain (rampasan manfaat).

Walaupun dakwaan awal tidak menyebut 1MDB atau kaitan mana-mana individu mahpun entiti, ia berpunca dari siasatan ke atas aliran dana kewangannya, menurut laporan Bloomberg pada minggu lalu.

Peguam cara awam kedua Singapura, Kwek Mean Luck, yang mengetuai pendakwaan berkata, siasatan semasa ialah “tanpa keraguan, siasatan sempadan bersilang paling kompleks yang pernah wujud”.

Dalam menekan mahkamah untuk mengarahkan Yeo terus ditahan reman tanpa akses kepada peguamnya, Kwek berkata, Yeo telah memainkan peranan yang beerti dalam memindahkan jumlah wang yang besar, dan siasatan ke atasnya "sangat relevan”.

Peguam Yeo, Philip Fong, walaupun begitu, membuat penentangan dengan hujah jabatan hubungan komersil telah diberikan masa yang banyak untuk melakukan siasatan,

Jangan tertipu emel palsu LHDN

 
E-mel palsu itu mengehendaki pembayar cukai memasukkan maklumat perbankan mereka dan akan dipautkan dengan paparan laman web palsu perbankan pilihan mereka.


lhdn-cyber-crime


PETALING JAYA: Tiada emel yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pembayar cukai mengisi maklumat tertentu, bagi mendapatkan bayaran balik cukai pendapatan.

Penafian itu dibuat selepas LHDN menerima aduan orang ramai yang menerima emel daripada ‘refunds15@hasil.gov.my’.

“Bayaran balik cukai pendapatan hanya diproses berdasarkan maklumat pembayar cukai dalam pangkalan data agensi itu sahaja.

“E-mel palsu berkenaan mengehendaki pembayar cukai memasukkan maklumat perbankan mereka dan akan dipautkan dengan paparan laman web palsu perbankan pilihan mereka.

“LHDN menjangkakan e-mel palsu ini sedang berlegar di internet dan menasihatkan semua pembayar cukai berhati-hati, tidak memberikan maklum balas terhadap sebarang arahan dalam e-mel berkenaan.

“Pembayar cukai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau mana-mana cawangan LHDN berhampiran untuk pengesahan dan maklumat lanjut. Nombor talian cawangan LHDN ada di www.hasil.gov.my,” katanya, lapor Berita Harian.

Setakat jam 3 petang tadi, LHDN menerima 17 panggilan daripada pembayar cukai untuk mengesahkan e-mel terbabit.

Sesiapa yang cuba tujuk pandai, majlis presiden Pakatan Harapan perlu bertindak

MUHAMMAD SYAFIQ AZMI


Muhammad Syafiq AzmiMuhammad Syafiq Azmi


Pemimpin AMANAH, PKR atau DAP perlu belajar hormati janji dan persetujuan. Jangan bila sampai hari penamaan calon sudah memberi gambaran kegoyahan Pakatan Harapan dek kerana beberapa kerat yang cuba menjadi wira.

Jika kamu tidak mahu bergerak secara koalisi yang asasnya permuafakatan, maka nyatakan pendirian kamu dan parti. Ini lebih memudahkan perjalanan dan gerakan rakyat untuk terus mara. Belajarlah dari kesilapan yang berlaku ketika wujud Pakatan Rakyat.

Pesanan ini saya tidak hanya ditujukan untuk mereka yang terlibat dalam PRN di Sarawak. Ianya ingatan sepanjang zaman selagi hasratnya mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Jika tidak teruslah bergelar pembangkang terlama didunia.

Saya kira ramai yang setuju seharusnya semua parti harus bergerak atas paksi yang telah dipersetujui. Bukan memberi seribu satu alasan dalam menunjuk kuasa. Saya tidak tuju pada semua, tapi siapa yang faham pasti berfikir apa yang perlu dibuat.

Jika kita mahu 1 lawan 1 bila berhadapan dengan PAS agar tidak memberi kemenangan kepada BN, mengapa kita tiada semangat itu sekaligus menghormati apa yang dilaung bahawa tiap keputusan yang diambil perlu melalui konsensus.

Ambillah iktibar yang berlaku di Dun Sungai Acheh dan Kota Damansara, tiada apa pun yang menguntungkan selain dari kepuasan sendiri. Ingat siapa yang berkenaan, jangan asyik fikir mahu tumbangkan BN dengan stratergi sendiri bimbang nanti kamu yang terkubur sekali.

Maka punya keperluan atas nama Majlis Presiden Pakatan Harapan atau mereka yang bertanggungjawab mengelola perjalanan Pakatan Harapan untuk mengambil tindakan kepada mereka yang suka bergerak sendiri. Rakyat bukan sekadar menilai BN tetapi mereka juga "sedang memerhati anda'.

Sekian, terima kasih.



Bekas banduan kongsi pengalaman sedih Anwar di penjara

MALAYSIA DATELINE


Sulaiman AjikSulaiman AjikDi sebalik tirai besi, tiada siapa menyangka, kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baharu kepada penghuni-penghuni Penjara Sungai Buloh.

Sulaiman Ajik, 49 yang baru dibebaskan selepas dipenjara enam bulan hadir ke pejabat Suara Keadilan berkongsi cerita dan pengalamannya bersama Anwar.

Sulaiman dipetik berkata, kali pertama dia melihat Anwar di dalam sel waktu itu, dia cukup sayu dan sedih.

"Tidak dapat digambarkan bila seorang pemimpin seperti beliau meringkuk di penjara dalam keadaan sedemikian rupa.

“Tapi beliau tidak mudah patah semangat. Dalam penjara pun, beliau selalu beri kata-kata semangat pada semua banduan-banduan lain,” kata Sulaiman menceritakan detik-detik awal ketika melihat sosok tubuh pemimpin berjiwa besar di hadapannya waktu itu lapor Suara Keadilan.

Sulaiman berkata, masa Anwar banyak dihabiskan dengan mentelaah buku agama dan membaca Al Quran.

Malah Anwar juga mengimamkan lebih 300 jemaah banduan dan petugas-petugas penjara serta menyampaikan tazkirah seusai solat.

“Beliau langsung tidak menyentuh isu politik, semua pengisian adalah berbentuk nasihat dan bagaimana mahu menjadi manusia yang baik dan berguna kepada manusia.

“Tetapi yang menariknya apabila Anwar memberi tazkirah, para banduan seolah-olah terpaku dan sentiasa ternanti-nanti pada esoknya apa yang ingin Anwar sampaikan,” katanya yang membenarnkan gambarnya dirakam ketika temubual diadakan di pejabat PKR.

Sulaiman dipenjarakan atas dakwaan memiliki barang curi selepas mendakwa dirinya diperdaya untuk membeli sebuah laptop daripada seorang pelajar.

Menceritakan pengalamannya lebih lanjut, Sulaiman berkata keadaan sel penjara sangat menyeksakan bagi individu seusia Anwar.

Apatah lagi, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menderita sakit belakang.

Mungkin selepas mendapat bantahan peguam, katanya, Anwar diberikan sebuah meja sebagai alas tempat tidur.

“Tetapi yang sedihnya hanya tilam nipis sebagai pengalas perbaringan. Untuk bantal pula atas inisiatif banduan-banduan yang lain yang mengumpulkan lipatan kain dan dimasukkan ke dalam sarung sebagai bantal untuk Anwar tidur,” ceritanya sayu.

Dalam wawancara bersama Suara Keadilan, Sulaiman turut menceritakan kegemaran Anwar menyanyikan lagu Azizah dan berpuisi ketika berada dalam sel penjara.


Walaupun dihina, calon OKU Amanah PRN Sarawak teguh berdiri

MALAYSIA DATELINE


Rapelson Richard Hamit ketika mengisi borang pencalonan dan tulisan luahan hatinya terhadap pihak yang memperkecilkan kemampuannya sebagai calon wakil rakyat dari Amanah dalam PRN Sarawak.Rapelson Richard Hamit ketika mengisi borang pencalonan dan tulisan luahan hatinya terhadap pihak yang memperkecilkan kemampuannya sebagai calon wakil rakyat dari Amanah dalam PRN Sarawak.


Walaupun penyertaan beliau sebagai calon pilihan raya dipandang hina oleh sesetengah pihak, namun calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi N26 Gedong, Rapelson Richard Hamit tidak terkesan dengan kata-kata penghinaan itu.

Beliau sebaliknya menulis nota ringkas kepada pihak-pihak yang merendah-rendahkan keupayaannya sebagai calon OKU (orang kelainan upaya) yang menggalas cabaran Amanah dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 ini.

Dalam nota ringkasnya kepada para pengundi Rapelson menulis: "Salam sejahtera kepada pengundi-pengundi yang saya kasihi dan hormati.

"Saya dapat tahu ada kepen-kempen yang mengatakan saya tidak layak menjadi calon dan Adun kerana saya cacat.

"Saya mengucapkan terima kasih atas kata-kata itu. Dan saya tidak marah atau kecewa.

"Kecacatan ini anugerah Tuhan. Siapa yang kenal Tuhan mereka tidak akan pertikai pemberian Tuhan.

"Walaupun saya cacat tetapi saya tidak khianati rakyat. Bahkan saya telah membela rakyat.

"Bukan beribu ekar tanah yang saya kehendaki tetapi khidmat dan budi yang akan saya taburi. Tuan-tuanlah yang menilai saya.

"Ini kalilah... Undilah Parti Amanah." tulisnya.

Rapelson dilahirkan pada 13 April 1986 di Kuching, Sarawak.

Walaupun dilahirkan cacat, Rapelson membuktikan kekurangan fizikal tidak menghalangnya untuk mencapai kejayaan.

Berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Kajian Perancangan Dan Pengurusan Pembangunan) daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), anak muda ini berkhidmat sebagai Gis And Remote Sensing Officer.

Masa lapangnya tidak dibazirkan seperti manusia biasa yang lain. Rapelson menghabiskan masa terluangnya sebagai aktivis hak asasi manusia khususnya membela penghuni tanah adat negeri (NCR) yang diancam pembangunan.

Seorang gurunya yang enggan dikenali menyifatkan Repelson di antara pelajar yang bijak.

"Apabila ditawarkan masa yang lebih untuk menjawab peperiksaan, dia menolak. Katanya, 'saya akan jawab peperiksaan sebagaimana orang lain'.

"Dia tak merasakan perlu belas ehsan disebabkan keadaannya itu," ujar gurunya itu.

Rapelson Richard Hamit ketika menerima watikah pelantikan sebagai calon Amanah yang bertanding di Dun Gadong.Rapelson Richard Hamit ketika menerima watikah pelantikan sebagai calon Amanah yang bertanding di Dun Gadong.



Bekas  gurunya juga mengakui Repelson antara pelajar yang vokal dan tidak hairanlah jika beliau menjadi begitu vokal dalam isu pemilikan tanah di Sarawak.

Repelson juga mampu menulis laju dengan bantuan dua tangannya yang tidak berjari.

Malah dia boleh berdikari untuk ke mana-mana kerana mampu membawa kereta dengan baik tanpa bantuan sesiapa.

Mengulas penghinaan sesetengah pihak terhadap Repelson, Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda menulis:

"Terkejut saya bila ada ahli Pas pertikaikan tindakan Amanah calonkan seorang OKU dalam PRN Sarawak. Diguna nas al qawwi al amin serta petikan tulisan ulama untuk sokong hujahnya.

"Apakah dia lupa Almarhum Prof Zulkifli Muhammad bekas Timbalan YDP Pas era Dr Burhanuddin Helmy dulu juga seorang OKU? Ada kecacatan pada kaki dan tangannya kesan penyakit polio yang dihidapi sewaktu kecil.

"Prof Zulkifli dicalonkan untuk kerusi Bachok dan beliau menang. Beliau muncul sebagai pemidato hebat di parlimen. Jasa beliau dikenang sehingga hari ini.

"Mahu kritik pun berpada-padalah. Jangan selewengkan nas untuk menutup kejahilan kamu," tulis Hasbie.

Dalam PRN Sarawak 7 Mei ini, Rapelson menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan calon BN-PBB, Datuk Mohd Naroden Majais dan Uja ak Bansi (Bebas).

N26 Gedong adalah kerusi baru dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak yang diluluskan Dewan Undangan Negeri tahun lalu.