Oleh
AHMAD LUQMAN HAKIM AHMAD LUTFI
Minggu
lalu, rakyat Malaysia digemparkan dengan tindakan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) bertindak merampas akhbar lidah rasmi PAS, Harakah di
beberapa buah negeri, antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan
Perak.
KDN dalam kenyataan 23 Mei lalu memaklumkan
sebanyak 1,408 tabloid Suara Keadilan, 1,062 Harakah dan 70 The Rocket
dirampas. Harakah yang dirampas adalah Edisi Jumaat 24-26 Mei yang
memaparkan tajuk muka depan "GST hadiah BN untuk rakyat". Bagaimanapun,
difahamkan, KDN sebenarnya merampas lebih 4,000 naskhah Harakah.
Tragedi
malang ini seolah-olah mengimbau kembali sejarah Harakah ditekan begitu
teruk pada era Mahathir Mohamad, khususnya selepas PRU1999 yang
menyaksikan BN mendapat purata undi yang menyusut begitu mendadak
terutama daripada pengundi Melayu. Semuanya dirakamkan oleh Ketua
Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam kolum Catatan Hujung yang
lalu.
Tulisan ini bukan mahu menceritakan kembali zaman gelap itu,
tetapi menyorot bagaimana kerajaan BN mengendalikan media cetak dan
elektronik di negara ini.
Beberapa persoalan timbul ekoran tindakan sembrono dan bebal KDN itu.
Pertama,
mengapa akhbar pembangkang, Harakah, Suara Keadilan dan Roket ditekan
sebegitu rupa, sedangkan dalam masa sama parti-parti komponen BN,
khususnya Umno dan MCA bebas "memiliki" Utusan Malaysia, Berita Harian,
The Star dan lain-lain?
Kedua, apa rasionalnya tindakan
mengenakan pelbagai syarat tambahan terhadap organ parti-parti Pakatan
Rakyat itu, selain sentiasa memberi tekanan kepada media yang dilihat
mesra oposisi atau tidak menyokong aspirasi BN?
Kedua-dua
persoalan primer ini perlu dijelaskan KDN dan pemimpin kanan kerajaan BN
agar Malaysia tidak dilihat sebagai bersikap keras dan mengongkong
kebebasan media.
Ayuh kita lihat peranan yang sepatutnya
digalas akhbar arus perdana, antaranya menjadi sumber maklumat. Saban
hari akhbar menyiarkan pelbagai perkembangan, bukan saja dalam negara
malah melaporkan isu-isu antarabangsa. Semua maklumat ini menjadikan
masyarakat kita cakna dan prihatin dengan situasi di sekeliling mereka.
Semua yang dilaporkan perlu berteraskan fakta dan sumber sahih agar
tidak menjadi medan menabur fitnah.
Soalnya, realiti media kita
bagaimana? Akhbar yang dikuasai pemerintah itu hanya menyiarkan berita
sebelah pihak tanpa mengambil kira pandangan dan komentar pihak lain
sehingga menggambarkan hanya pihak tertentu sahaja yang benar tanpa
khilaf.
Contoh mudah apabila Utusan Malaysia telah kalah hampir
kepada semua saman yang dikenakan ke atasnya. Banyak laporan Utusan
bukan saja tidak menepati konteks dan maksud yang ingin disampaikan,
malah telah memutar-belit cerita sebenar.
Apa yang dikatakan
akhbar perdana itu sebenarnya tidak lebih daripada organ parti Umno dan
sekutunya dalam BN. Ia tidak lagi menepati peranannya sebagai wadah dan
wahana penyampai maklumat yang telus, sebaliknya menjadi media penabur
fitnah dan pengampu.
Soalnya, jika Utusan dilihat bagaikan lidah
rasmi Umno, dan mutakhir ini banyak membangkitkan sentimen perkauman
yang melampau, dan tidak pula ditegur KDN, apatah lagi dihalang
penerbitannya, mengapa pula Harakah dikongkong sebegitu dahsyat?
Kenapa
Harakah, organ rasmi PAS, sebuah parti yang sah ditubuhkan sejak lebih
60 tahun lalu, dan dibenarkan untuk bertanding dalam setiap kali pilihan
raya, tiba-tiba dihalang penerbitannya daripada dibaca oleh rakyat
Malaysia yang bukan ahli PAS?
Adakah kerana Harakah banyak
menyiarkan bahan-bahan yang boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan
kepada BN, malah membongkar pelbagai penyelewengan dan salahguna
kerajaan, maka ia tidak mendapat hak seperti Utusan Malaysia?
Andaikata
KDN mahu dilihat adil dan bebas kepada semua, maka syarat-syarat yang
mengongkong kebebasan dan antidemokrasi itu mesti dihapuskan segera.
Dalam zaman internet ini, sekatan dan kongkongan terhadap media hanya
akan diketawakan oleh dunia. Maka, syarat permit harus diselaraskan
kepada semua akhbar tanpa memilih bulu.
Antara syarat tambahan
permit yang amat tidak masuk akal dan memualkan minda rakyat kelas
pertama adalah penjualan akhbar Harakah kepada ahli PAS sahaja, manakala
penjualan di premis yang bukan pejabat atau markas PAS adalah DILARANG.
Pada hemat saya, hal ini amatlah tidak menggambarkan Malaysia adalah
sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan ingin mencapai Wawasan
2020.
Berkenaan penjualan kepada ahli PAS sahaja, apakah instrumen
atau andaian yang digunakan oleh KDN bagi menentukan hanya ahli PAS
yang akan membeli akhbar Harakah? Adakah dengan menunjukkan kad
keahlian? Atau adakah setiap penjual akhbar perlu bertanya kepada setiap
pembeli: “Encik ini ahli PAS ke?”
Jika ini yang difikirkan oleh
Menteri Dalam Negeri, sebenarnya anda berfikiran kolot dan primtif!
Adakah KDN fikir ahli PAS hanya sekadar 10,000 orang dan tertumpu di
satu-satu tempat sahaja? Dengan keahlian PAS mencecah lebih 1 juta
orang, bagaimana KDN mahu memikirkan kaedah yang sesuai untuk mematuhi
syarat tersebut? Dangkal sungguh.
Syarat yang memerlukan Harakah
hanya dijual di markas PAS juga amat kekampungan. Adakah ahli PAS yang
mencecah jutaan ahli itu mudah mempunyai akses terhadap markas PAS di
kawasan mereka?
Logikkah orang yang berada di kawasan A tetapi
jarak untuk tiba ke markas PAS hampir satu jam perjalanan sanggup
berhabis wang minyak dan tenaga untuk ke sana semata-mata untuk membeli
Harakah?
Bagaimana dengan ahli yang miskin? Berbekalkan kos sara hidup
yang tinggi dan pelbagai kos sampingan yang ada, bagaimana syarat ini
mampu diterima dek akal?
Apakah yang KDN mahukan sebenarnya? Demokrasi apakah yang BN ingin laksanakan?
Hal
inilah yang membuatkan majoriti rakyat menyampah dan meluat melihat
karenah kerajaan BN yang terlalu rakus dan serakah mempertahankan "kuasa
minoriti".
Andai mahu melihat BN masih relevan, perkara pertama
yang perlu dilakukan ialah bebaskan kongkongan terhadap semua media,
khususnya akhbar parti-parti politik pembangkang, seperti Harakah, Suara
Keadilan dan Roket.
Selaraskan semua syarat perolehan permit,
atau lebih baik mansuhkan sahaja Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang
ketinggalan zaman itu. Mengapa harus disekat aliran maklumat secara
tradisi dalam negara ini ketika media baru bebas melaporkannya?
Sesungguhnya
Harakah bukanlah akhbar antikerajaan atau penghasut ke arah keburukan.
Harakah merupakan wadah penyampai pelbagai informasi dan ilmu, selain
bertindak sebagai akhbar alternatif, yang belaporkan isu-isu yang
disembunyikan faktanya oleh akhbar nasional lain.