Thursday, January 31, 2019

'Saya yang bongkar kubur besar Wang Kelian, bukan polis'

   

Seorang wartawan kanan kesal dengan laporan yang memberi kredit kepada pihak lain dalam kes pembongkaran isu pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

Sedangkan, kata bekas wartawan Malay Mail S Arulldas, beliau dan jurugambar Sayuti Zainuddin yang menanggung “risiko, kepayahan dan ancaman” kerana membongkar itu isu.

“Saya hendak maklumkan, jurugambar Malay Mail, Sayuti dan saya mengambil risiko nyawa dan melalui pelbagai kepayahan untuk mendedahkan kem penjara pendatang dan kubur besar itu, yang pihak keselamatan dan agensi berkaitan menemui 139 mayat,” katanya.

Beliau menolak laporan agensi berita nasional Bernama yang melaporkan polis pada Mei 2015 “mengumumkan penemuan” kem pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian.

Malah, katanya, terdapat akhbar lain yang turut mengaku mendedahkan perkara itu.
Arulldas hari ini bercakap perkara itu kepada pemberita di Pulau Pinang atas alasan untuk mahu membetulkan fakta dan “tidak lebih daripada itu”.

Katanya, tulisan pertamanya bertajuk "Migrant 'prison camp' uncovered" (Membongkar 'kem penjara' pendatang) disiarkan oleh Malay Mail pada 16 Mei 2015 setelah menyiasatnya sejak 2014.

“Saya masa itu duduk di kedai kopi di Jitra, Kedah, ketika sumber datang dan memaklumkan tentang kubur besar itu.

“Pada masa itulah saya mula kerap pergi ke kawasan jenayah,” kata Arulldas.

Katanya, pertama kali beliau dan Sayuti melawat kem rahsia itu pada 9 Mac 2015 dengan meredah dan mendaki hutan berbukut beberapa ratus meter.

“Bagaimanapun saya mengalah selepas hampir sesat dan tidak bersedia untuk mendaki bukit.

“Lepas itu saya datang balik ke Wang Kelian enam kali seorang diri untuk sampai ke kubur besar itu.

“Saya tetap gagal, tetapi saya tidak mengalah untuk membongkar tapak itu dan akhirnya saya berjaya dengan bantuan dua lelaki Thailand pada 13 Mei dengan memasuki Thailand.

“Kali ini Sayuti ikut saya kerana sidang redaksi (Malay Mail) tidak mahu saya pergi seorang atas alasan keselamatan dan nasihatkan saya bawa jurugambar,” katanya.

Kerja-kerja kewartawanan itu mendapat anugerah dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2-015 dan Institut Akhbar Malaysia pada 2016.

Arulldas membangkitkan perkara itu selepas kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lepas.

Arulldas berkata beliau sedia memberi keterangan terhadap RCI bagi mengheret dalangnya ke muka pengadilan.

Malay Mail hujung tahun lalu telah menutup akhbar bercetaknya dan menumpukan kepada portal berita.


Pertikaian baru Yadim: Banyak lantikan orang politik, kata Ezam

 

   

Tindakan kerajaan melantik majoriti ahli politik sebagai Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengundang kecaman banyak pihak.

Pengerusi NGO Hisbah Centre for Reform Mohamad Ezam Mohd Nor berkata tindakan itu tidak wajar dan ia perlu diperbetulkan secepat mungkin.

“Yadim adalah badan agama, bukan badan politik. Kehadiran satu hingga dua orang politik perlu untuk input dan tindakan dari sudut politik (tapi) bukan hampir semua ahlinya terdiri orang politik.
 
“Tidak wajar dan perlu koreksi (diperbetulkan) segera,” ciapnya di Twitter, hari ini.

LIHAT TWITTER DI SINI

Antara yang dilantik menerajui agensi itu adalah Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz (calon PRU AMANAH), Timbalan Yang Dipertua Yadim Zolkharnain Abidin (Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah).

Bagi ahli lembaga Yadim pula melibatkan Anggota Parlimen Ledang (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh, MP Merbok (PKR), Nor Azrina Surip, Ketua Bersatu Bahagian Cheras Samsu Adabi Mamat dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Paloh Sheikh Omar Baghrib Ali.

Selain itu, Penasihat Umum Amanah Abdul Ghani Samsudin Naib Pengerusi 2 Amanah, Shamsul Ma’arif Ismail dan ahli Amanah Ahmad Sayuti Bashiron Serta Maznah Daud.

Ahli akademik kecewa

Pensyarah Sekolah Perniagaan Islam, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim pula berkata beliau kecewa dengan kerajaan baru yang meletakkan politikus dalam badan dakwah.

“Sebagai satu pendekatan baru, badan dakwah sebegini penting menjadi payung merapatkan Muslim tanpa mengira parti politik.

“Malaysia Baru melepaskan peluang untuk menunjukkan mereka berbeza! Namun apakan daya, putus harapan,” tulisnya di Facebook.

LIHAT FB DI SINI

Senator bidas 'tai chi' PH isu warga tanpa negara

 
   

Seorang ahli Dewan Negara daripada MIC menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berdolak-dalik lagi dalam isu warganegara yang dijanji akan selesaikan dalam masa 100 hari selepas Pakatan Harapan menerajui kerajaan.

Menurut T Mohan, beliau tidak risau dengan janji-janji yang lain dimungkiri PH, tetapi janji menyelesaikan isu warganegara adalah sangat penting kerana ia melibatkan hak seorang individu yang lahir di Malaysia.

"Kalau PH nak tipu dengan janji-janji lain, saya tidak begitu bimbang.

“Tetapi, yang ini sangat penting kerana status kewarganegaraan akan memberi kesan yang negatif kepada mereka yang lahir di sini, namun tidak diberi kerakyatan," katanya dalam satu sidang media di Puchong, semalam.

Mohan turut memperkenalkan seorang individu bernama P Subramaniam yang masih bergelut untuk mendapatkan status warganegara.

"Saya sendiri mengurus kes ini selama lebih 15 tahun. Setiap kali, kami membuat permohonan bagi pihak beliau, JPN sentiasa menolak permohonannya dengan pelbagai alasan.

“Namun, akhirnya mereka mengambil permohonan beliau bawah program MyDaftar, inisiatif bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tetapi, apa yang sedih JPN masih tidak melayan permohonannya. Janganlah main 'tai chi'. Datang sahaja ke dekat, terus ditolak," katanya.

Jelas Mohan lagi, dalam kes Subramaniam yang kini berusia 40 tahun didapati lahir di Hospital Universiti Malaya pada 15 Jun 1978.

"Carian mendapati beliau lahir Malaysia dan emaknya yang masih hidup merupakan seorang warga Malaysia.

:Apakah ia tidak mencukupi bagi JPN untuk meneliti permohonan Subramaniam?" soal Mohan sambil menambah beliau mengalu-alukan JPN membuat ujian DNA ke atas Subramaniam sebelum diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, Mohan turut mempersoalkan inisiatif kerajaan PH, khususnya menteri-menteri kabinet berkenaan isu warganegara.

"Sebelum PRU14, kita nampak pahlawan-pahlawan ini merentas ke seluruh negara, kata BN tak buat ini, tak bagi IC, ada 300,000 kaum India masih tidak mempunyai taraf kewarganegaraan dan sebagainya.

“Sekarang semuanya sudah membisu. Tak ada keberanian untuk bersuara," tegas Mohan.

"Saya minta kerajaan PH segera memberi perhatian kepada kes-kes sebegini agar mereka tidak hidup merempat di negara sendiri," ujarnya lagi.

Terdahulu, Subramaniam meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempercepatkan permohonan taraf kerakyatan beliau.

"Sudah 15 tahun saya berusaha. Tidak ada kerja tetap. Sudah kahwin dan mempunyai tiga anak. Tetapi, sijil kelahiran tidak mempunyai nama saya. Tolong faham kesedihan saya."

"Saya sedia berjumpa sesiapapun di mana sahaja agar saya dapat iktiraf sebagai rakyat Malaysia," katanya sambil menambah beliau sentiasa membawa bersama fail permohonannya bersama-sama.


Inkues Adib: Mahkamah tolak permohonan kuil, penganut Hindu

 
   
Mahkamah Koroner hari ini menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman dan kira-kira 50 penganut Hindu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut koroner, Rofiah Mohamad, ini memandangkan kedua-dua pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substansif dan munasabah  dalam inkues tersebut.

Rofiah berkata klausa tersebut juga tersasar daripada terma Seksyen 377 Kanun Tatacara Jenayah.

"Pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.

"Selaku koroner, saya tidak boleh keluar daripada sempadan yang digariskan dalam 377," katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Peguam Siti Zabedah Kassim hari ini mewakili sebahagian penganut Hindu di situ dan peguam M Visvanathan mewakili Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman.

"Pasukan petugas (jawatankuasa kuil) tiada kepentingan, (justeru) permohonan ditolak.

"Begitu juga sebagai penganut yang tidak diketahui identiti juga tidak menunjukkan kepentingan untuk mengikut sama dalam inkues," kata Rofiah.

Peguam kedua-dua pihak memutuskan untuk mengemukakan semakan kehakiman kepada mahkamah tinggi, esok.

Rofiah bagaimanapun membenarkan pihak Majlis Peguam untuk menjadi peguam pemerhati dalam prosiding inkues itu. Beliau turut membenarkan peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mansor Saat menjadi peguam pemerhati dalam prosiding itu.

Rofiah dalam pada itu meminta pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding tersebut supaya mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan di media.

"Elak keluarkan kenyataan seperti 'kita yakin Adib mati in this way...' macam anda mendahului inkues sedangkan kita belum start lagi (prosiding inkues). Tolong elak daripada keluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Rofiah sebelum ini menetapkan 11 Feb hingga 28 Feb; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April sebagai tarikh prosiding inkues itu.

Muhammad Adib, 24, yang adalah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Allahyarham didakwa cedera selepas diserang sekumpulan individu yang merusuh di kawasan kuil berkenaan dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis tahun lalu, selepas 21 hari dirawat.

Seorang ahli patologi menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Muhammad Adib tetapi Menteri Dalam Negeri Muhyiddn Yassin - pada 27 Dis tahun lalu - mengumumkan bahawa suatu inkues akan diadakan bagi mengenal pasti kematian anggota JBPM itu.


MP: Amaran Allah mengatasi amaran Mujahid

 
   
Anggota Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim menolak amaran menteri agama Mujahid Yusof dalam isu lantikan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof jangan ingat amaran dari beliau digeruni oleh umat Islam.

“Beliau dilaporkan memberi amaran jangan mempertikaikan pelantikan wakil DAP sebagai ahli lembaga pengarah Yadim.

“Ingat , 63 peratus rakyat Malaysia adalah umat Islam yang ada had kesabarannya dan tidak teragak-agak mempertahankan Islam jika terus diganggu.

“Ingat, amaran Allah SWT mengatasi amaran beliau (Mujahid),” kata wakil rakyat PAS itu menerusi kenyataannya, hari ini.
Mujahid selepas majlis serahan watikah anggota lembaga pemegang 
amanah Yadim.
Pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Paloh Sheikh Omar Sheikh Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim dikritik banyak pihak, terutamanya pembangkang.

Bagaimanapun, Mujahid mempertahankan pelantikan itu dan menjelaskan bahawa ia dibuat atas kelayakan Sheikh Omar.

Sementara itu, Ahmad Amzad mendakwa DAP berusaha menghalang usaha memperkasakan institusi mahkamah syariah dengan pelbagai alasan.

“PAS beri amaran jangan berterusan memberi laluan campur tangan DAP dalam urusan Islam.

“DAP berterusan cuba menghalang usaha memperkasakan institusi mahkamah syariah dengan pelbagai alasan,” katanya.


Bersih saran SPR diberi kuasa mendenda

 
   
Ekoran berlaku pelanggaran peraturan semasa PRK Cameron Highlands baru-baru ini Bersih mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberikan kuasa mendenda.

Bercakap pada sidang media hari ini Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata kuasa itu perlu diberikan kepada Bersih untuk menangani kes-kes kesalahan kecil.

Katanya langkah itu boleh dibuat dengan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 agar SPR dibenarkan mengambil tindakan penguatkuasaan.

"Bersih mahu mencadangkan supaya SPR diberi lebih kuasa untuk menguatkuasakan peraturan pilihan raya, termasuk mengenakan denda ke atas calon atau kesalahan lain seperti memberi ais krim atau makanan percuma, atau memakai baju dengan lambang parti memasuki pusat pengundian.

"Ada keperluan agar dibezakan di antara kesalahan kecil dengan kesalahan serius.

"Buat masa ini undang-undang pilihan raya tidak membezakannya," kata Fann di Petaling Jaya hari ini.

Menjelaskan lagi cadangan berkenaan Fann berkata langkah yang dikemukakan itu sama seperti cara pihak polis mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar had laju.

"Kamu diberikan kompaun, atau kamu pergi ke mahkamah (jika enggan membayar denda)," katanya.

Selain itu Fann mencadangkan SPR memberi taklimat prapilihan raya kepada semua calon dan ejen masing-masing bagi menjelaskan peruntukan dalam undang-undang pilihan raya.

"Tak perlu mengadakan seminar sehingga dua hari, tetapi memadai dengan taklimat selama kira-kira tiga jam dan ia akan banyak membantu calon dan ejen masing-masing.

"Dengan itu diharapkan kita dapat melihat berlaku penurunan kesalahan pilihan raya dibuat," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

‘NO PROBLEM’ DAN ‘TIMBANG: SPR – NAJIB

Wartawan Watan-Online

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memandang sebelah mata terhadap pelanggaran undang-undang oleh calon DAP dari Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dalam PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Najib berkata SPR hanya akur untuk mempertimbangkan tindakan terhadap Manogaran selepas mendapat kritikan keras daripada rakyat walaupun calon DAP itu jelas melanggar peraturan.

“Calon DAP di Cameron Highlands telah jelas melanggar undang-undang pada hari membuang undi, siap dengan alasan yang amat lemah (Saya terlalu busy, sudah kelam-kabut, saya lupa.)

“Hari itu, SPR kata no problem. Sudah settle kerana kita sudah “tegur”.

“Selepas menerima kecaman hebat dari rakyat, hari ini SPR kata mereka kini mahu “timbang” untuk mengambil tindakan terhadap calon DAP,” katanya melalui kenyataan di Facebook rasmi beliau pada Isnin.

Najib yang juga ahli Parlimen UMNO Pekan itu mempersoalkan tindakan tidak konsisten dan berat sebelah SPR ke atas dirinya berbanding Manogaran yang hanya mendapat teguran walaupun calon tersebut dilihat sengaja melanggar peraturan.

“Saya masih ingat bulan Ogos lalu BERSIH dan SPR pantas sangat melapor saya kepada pihak polis kerana dituduh melakukan kesalahan yang amat berat semasa PRK Sungai Kandis walaupun saya bukan calon di sana pun.

“Siap dengan sidang akhbar sambil bergambar di luar balai polis menyatakan saya telah membuat satu posting di laman Facebook saya tentang PRK itu pada pukul tujuh pagi sebelum pusat undi dibuka pada hari membuang undi.

“Kalau kes calon DAP pula, hari itu tegur hari ini timbang. Ha! Tepuk,” ujar Najib sebelum turut menyertakan tanda pagar #CalonDAPkebal dan #takutApaBossku.


INGAT, RAKYAT SUKA DITIPU? – NAJIB

Wartawan Watan-Online
 



Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan rasional kenyataan beliau terhadap kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Cameron Highlands sebagai kemenangan rakyat.

Najib berkata kemenangan BN di Parlimen Cameron Highlands sebagai kemenangan rakyat dan tidak berlaku dalam kemenangan PH dalam PRK terdahulu berikutan rakyat telah menyedari penipuan demi penipuan dibuat kerajaan PH kepada rakyat melalui pelbagai janji yang tidak tertunai.

“Dia (Hanipa) minta saya beri rasional mengapa saya kata kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands ialah kemenangan rakyat sedangkan BN kalah dalam PRU dan PRK sebelum itu.

“Okay, saya jawab. Masa itu (PRK terdahulu), rakyat belum tahu PH sedang tipu mereka.

“Minyak RM1.50, kos sara hidup akan jatuh, PH boleh kawal ekonomi dan negara lebih baik berbanding BN, tol dan PTPN dimansuhkan, Ringgit akan naik, gaji minima untuk anak muda RM3,000 satu bulan dan berpuluh-puluh lagi,” katanya yang menyenaraikan hasutan serta janji yang tidak ditunai PH sehingga kini.

Hanipa terdahulu menggesa Najib memberi penjelasan rasional terhadap kenyataan bekas Presiden UMNO itu yang menganggap kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands sebagai kemenangan rakyat.

“Nak tanya sikit. Kalau itu kemenangan rakyat, bagaimana pula dengan kemenangan besar dan bersejarah PH pada PRU ke-14 dulu?

“Bagaimana juga dengan kemenangan PH dalam beberapa PRK sebelum Cameron Highlands itu?” katanya melalui hantaran di Facebook sebelum itu.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata Hanipa perlu sedar mengenai sentimen rakyat terhadap kerajaan PH.

Katanya kerajaan PH kini sentiasa berada dalam pemantauan rakyat yang merasa tertipu dengan janji serta manifesto yang tidak ditunaikan mereka.

“Sekarang rakyat sudah lihat dan menilai dengan mata sendiri.

“PH fikir rakyat suka sangat kena tipu, ke?

“Macam ini pun Timbalan Menteri masih tak faham-faham lagi?,” soal beliau.


YADIM DIKUASAI PH

Wartawan Watan-Online

Sekali lagi Pakatan Harapan (PH) membuktikan mereka tidak boleh dipercayai apabila menggunakan lantikan politik untuk mengisi kekosongan dalam Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), kata Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata hampir semua lantikan baru dalam YADIM merupakan ahli dalam parti-parti komponen PH.

“Mana dia janji-janji kerajaan PH yang kononnya tiada lagi lantikan politik dalam agensi-agensi Kerajaan, Badan-badan Berkanun, GLC atau yayasan berkaitan kerajaan?

“Terkini, hampir semua lantikan baru Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terdiri daripada penjawat-penjawat jawatan parti dari kalangan Amanah, PPBM, PKR dan DAP,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata fenomena tersebut tidak berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional di mana pelantikan dibuat berdasarkan kebolehan dan tidak mempunyai kepentingan politik.

Beliau turut menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid yusof Rawa yang turut terlibat dalam pelaksanaan lantikan politik tersebut.

“Boleh lihat perbandingan dengan waktu zaman BN dulu, hanya seorang sahaja yang terlibat aktif dengan politik, itupun atas kapasiti Menteri Agama Sabah, yang lain merupakan tokoh akademik, mufti, agamawan dan bekas-bekas pegawai kanan kerajaan.

“Mungkin inilah acuan Malaysia Baharu Rahmatan Lil Alamin model kekanda Dr. Mujahid Yusof Rawa,” katanya.


Perbicaraan Farid ditangguhkan, peguam jalani pembedahan

MALAYSIAKINI

   

Perbicaraan kes Farid Kamil Zahari yang didakwa menampar anggota polis trafik dan menggunakan dadah, ditangguhkan lagi hari ini kerana peguam yang mewakili pelakon serta pengarah itu belum sembuh daripada kecederaan akibat kemalangan minggu lalu.

Peguam Mohd Hafiz Zainol Abidin, yang menyebut bagi pihak peguam Megat Syazlee Mokhtarom, memohon tarikh baharu selepas memaklumkan keadaan Megat Syazlee pada sebutan semula kes di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

"Megat Syazlee masih dalam cuti sakit sehingga 14 Feb selepas menjalani pembedahan pada 23 Jan lalu berikutan kemalangan ketika menunggang motosikal baru-baru ini dan mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan dan kaki," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak membantah selepas pihak pembelaan mengemukakan cuti sakit dan memohon tarikh baharu untuk sambung bicara kesemua kes yang dihadapi Farid Kamil.

Nor Ariffin kemudian menetapkan 27 Feb serta 13, 14, dan 15 Mac sebagai tarikh sambung bicara itu.

Pada 16 Jan tahun lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Jan 2018, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah menggunakan dadah jenis tetra hydrocannibol.- Bernama


Anak Altantuya: Bapa enggan jaga saya lepas kematian ibu

 
   

Bayarkhuu Bayarjargal memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bapanya - yang sudah lama berpisah dengannya - enggan menjaganya selepas kematian ibunya, Altantuya Shaariibuu.

Ketika sesi soal balas, peguam Manjeet Singh Dhillion membangkitkan soal bapa Bayarkhuu, Bayarjargal Bayasgalam, yang merupakan seorang penyanyi rap di Mongolia.

Manjett merujuk Bayarjargal dengan nama pentasnya, Maadai.

"selepas Oktober 2006, adakah datuk anda mencadangkan anda tinggal bersama bapa?" soal Manjeet yang mewakili salah seorang defendan, Abdul Razak Baginda.

"Saya ingat selepas kematian emak, bukan saja datuk cadangkan agar saya bertemu dengannya, saya juga memang mahu berjumpa dengannya," kata Bayarkhuu.

"Saya berjumpa dengan datuk sebelah bapa yang beritahu dia (Maadai) sudah berkahwin semula dan ada anak lain. Dia enggan terima saya," katanya, yang berusia sembilan tahun ketika Altantuya dibunuh.

Manjeet berkata beliau membangkitkan soal bapa Bayarkhuu, yang disifatkannya sebagai penyanyi rap yang berjaya di Mongolia, kerana saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya turut memasukkan tuntutan tanggungan.

Bayarkhuu, 21, berkata dia pertama kali bertemu bapanya pada 2011 dan ketika itu bapanya memaklumkan baru balik dari United Kingdom. Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada Maadai sebelum itu tinggal disana.

Katanya lagi, dia kini sekali-sekala ada bertemu bapanya, ada kala selang beberapa tahun.

Manjeet kemudian merujuk artikel berita pada 2006 di mana Maadai dilaporkan berkata dia akan "bertemu dan memujuk bekas mentaunya untuk memberi hak penjagaan anak kepadanya" jika Altantuya sah meninggal dunia.

"Adakah anda tahu bapa anda mahu hak penjagaan terhadap anda?" soalnya.

Mengatakan kali terakhir bertemu bapanya sebelum datang ke Malaysia, Bayarkhuu berkata dia tidak setuju dengan kandungan artikel itu.

"Saya bercakap dengannya secara bersemuka, (pendiriannya) begitu jelas ketika itu. Dia minta maaf kerana tiada bersama ketika saya membesar.

"Sebagai anak, saya rasa dia tidak mahukan saya. Dia akuinya dan minta maaf," katanya.

Tanya Manjeet lagi: "Adakah anda tahu, selepas 2006, bapa anda sayangkan anda dan mahukan yang terbaik untuk anda?"

"Saya tahu saya ada bapa tetapi tak pernah merasakan sebarang kasih sayang daripadanya," jawab Bayarkhuu.

'Bayar nama popular di Mongolia'

Manjeet kemudian mencadangkan bahawa Bayarkhuu - nama asalnya Mungunshagai Bayarjargal - menukar namanya kepada nama sama dengan bapanya kerana hubungan rapat mereka.

"Saya tak setuju. Bayar nama sangat popular di Mongolia. Ini tidak bermakna saya berbangga dengan bapa saya," katanya, sambil menambah ia bermaksud 'kegembiraan' dalam bahasa Mongolia.

Manjeet juga bertanya jika dia tahu sama ada Maadai diberi peluang untuk membesarkannya.

"Saya tidak tahu tetapi saya tahu dia enggan terima saya," kata Bayarkhuu.

Ketika Manjeet bertanya sama ada bapanya mampu untuk menjaganya selepas 2006, Bayarkhuu berkata: "Macam mana saya tahu, saya tak pernah berjumpa dengannya (ketika itu)."

Merujuk artikel sama, manjeet memetik Maadai sebagai berkata, "Saya boleh menjaganya. Saya sayangkannya dan saya mahukan yang terbaik untuknya".

Bayarkhuu hanya menjawab: "Saya tak setuju."

Pendengaran bersambung Mei ini dengan sesi soal balas dengan bapa Altantuya, Shaariibuu Setev.

Bayarkhuu adalah plaintif ketiga dalam saman sivil RM100 juta terhadap Abdul Razak, kerajaan Malaysia dan dua individu yang sabit kesalahan atas pembunuhan warga Mongolia itu.


Cameron Highlands catat kesalahan PRK paling tinggi

 
    Kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih mencatatkan 23 kesalahan pada pilihan raya kecil Cameron Highlands baru-baru ini, ini adalah yang paling tinggi di antara semua pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-14.

Antara 23 kesalahan itu, 14 telah dilakukan oleh BN yang memenangi PRK itu manakala lima lagi oleh Pakatan Harapan. Dua dilakukan oleh PAS, yang tidak bertanding tetapi berkempen untuk BN.
Dua lagi kesalahan dilakukan oleh parti yang tidak dikenali.

Bersih bertindak sebagai pemerhati pada pilihan raya kecil itu.

Mengulas mengenai kesalahan itu, Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata lonjakan dalam kesalahan yang dicatatkan bukan kerana tidak menghiraukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tetapi kerana kedua-dua pihak baik orang awam mahupun parti politik lebih peka mengenai apa yang ditakrifkan sebagai kesalahan.
"Pilihan raya kecil tercetus kerana kesalahan pilihan raya membabitkan amalan rasuah. Kerana itu, terdapat kesedaran yang tinggi tentang kesalahan pilihan raya, orang ramai tiba-tiba menjadi lebih peka berhubung kesalahan pilihan raya. Ia boleh menyebabkan kerusi itu dikosongkan.

"[...] Selain itu, kedua-dua parti yang bertanding (BN dan PH) sentiasa mengawasi serta memerhati satu sama lain mengenai kesalahan pilihan raya.

“Ini menyaksikan lebih banyak kesalahan yang didedah dan dilaporkan," katanya pada sidang akhbar di pejabat Bersih di Petaling Jaya pagi ini.

Antara kesalahan itu, BN dirakamkan mencetuskan ketegangan kaum sebanyak tujuh kali dan ketegangan agama sebanyak sekali serta menggunakan sumber kerajaan negeri.
Secara khusus, Fann menekankan bagaimana Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail (gambar), yang mengawasi perkara tanah di negeri ini, mengeluarkan permit tanah kepada 73 petani,
dan pada satu ketika, memberitahu mereka untuk mengundi BN jika mahukan lebih banyak keuntungan.

PH pula dicatatkan sebagai membeli undi dan menggunakan pengaruh yang tidak wajar, termasuk berkempen pada hari mengundi dan menggunakan sumber kerajaan.

Fann menghuraikan bagaimana PH mula menggunakan jentera kerajaan sebelum hari pencalonan (12 Januari) dengan beberapa menteri yang mengadakan lawatan kerja di kawasan itu.

PSM dakwa KDN keluar pekeliling larang sertai perhimpunan

 
 
   

Anggota Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang didakwa memberi amaran kepada syarikat pengawal keselamatan agar melarang pekerja mereka menyertai perhimpunan menuntut jaminan kerja tetap untuk pekerja kontrak di sekolah kerajaan.

Arutchelvan berkata beliau terkejut apabila KDN mengeluarkan amaran tersebut sedangkan memorandum disediakan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Minggu lalu, kumpulan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan mendapat persetujuan daripada KPM untuk mengadakan perhimpunan aman ini dan seterusnya menyerahkan memorandum bagi menyuarakan keluhan pekerja kontrak untuk perhatian mereka.

"Tetapi, KDN pula (didakwa) mengeluarkan pekeliling yang ditandatangani individu bernama Muhamad Ghazali Mamat (daripada jabatan keselamatan KDN) mengarahkan syarikat tidak membenarkan pengawal keselamatan mengikuti perhimpunan berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Apa yang menjadi persoalan, kata Arutchelvan, ialah kenapa KDN mengeluarkan arahan berkenaan dan mempersoalkan sama ada ia satu tindakan sabotaj.
Arutchelvan
Terdahulu, KDN didakwa mengeluarkan pekeliling bertarikh 30 Januari dan ditujukan kepada Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Mustapa Ali.

Melalui pekeliling itu KDN mengarahkan syarikat kawalan keselamatan untuk tidak membenarkan pengawal mereka mengikuti perhimpunan berkenaan.

Pekeliling itu juga menyatakan syarikat yang membekal pengawal keselamatan kepada kerajaan bertanggungjawab memastikan pekerja berkelakuan baik, bertatatertib, mematuhi peraturan dan tidak melakukan perbuatan buruk, salah laku atau menyalahi undang-undang semasa dalam kontrak perkhidmatan.

Arutchelvan mendakwa pekeliling itu telah menjejaskan kehadiran perhimpunan itu.

"Kami terima banyak panggilan telefon daripada pengawal yang berkata mereka tak dapat hadir kerana telah diberi amaran. Yang hadir pula risau jika mereka akan dibuang kerja," katanya.

Namun beliau berkata peserta perhimpunan berjaya menyerahkan memorandum kepada pegawai kementerian.

'Maszlee kena jawab'

Arutchelvan berkata ia bertentangan dengan pendirian kerajaan berhubung perhimpunan aman dan menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk menjawab perkara itu.

"Maszlee selalu kata bahawa sedia berjumpa dengan sesiapa sahaja. Jadi, kenapa perhimpunan ini dihalang?

"Apa yang cuba dibuat oleh Kerajaan PH?" soalnya.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengulas tentang larangan itu.

Arutchelvan berkata masalah yang dihadapi pekerja kontrak di sekolah kerajaaan memerlukan perhatian perhatian segera.

"Sebagai contoh, kalau dulu pengawal keselamatan berkerja dua syif dengan gaji purata antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.

"Sekarang, ia menjadi tiga syif dan kebanyakan syarikat keselamatan memaksa pegawal keselamatan yang berkerja pada syif pagi bertugas pula pada syif malam dengan gajinya dikurangkan antara RM1,100 hingga RM1,200.

"Nasib yang sama dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak yang kerja sebagai tukang cuci di sekolah," katanya lagi.


'PRK Semenyih penentu hala tuju kerjasama PAS-Umno'

 

   
Penganalisis politik berpendapat hala tuju kerjasama antara PAS dan Umno akan lebih jelas selepas  Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Malah menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, kerjasama antara kedua-dua parti itu bergantung pada keputusan PRK yang akan berlangsung 2 Mac ini.

"PRK Semenyih akan menjadi kayu ukur sejauh mana kerjasama itu dapat diteruskan. Jika pembangkang menang kemungkinan besar kerjasama itu akan berterusan, sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka kalah.

"Saya tak nampak kerjasama PAS dan Umno boleh bertahan lama sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam PRK Semenyih nanti.

"Kalau kita melihat kepada tiga PRK di Selangor yang lalu menunjukan bahawa rakyat Selangor masih bersama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk di kawasan majoriti Melayu walaupun sudah wujud kerjasama PAS dan Umno pada peringkat awal," katanya kepada Malaysiakini.

Kerjasama antara PAS dan Umno yang merupakan dua parti besar dalam blok pembangkang dilihat sebagai antara faktor penting yang membolehkan BN mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highlands pada PRK 26 Jan lalu.

Bagaimanapun Rusdi berkata, berdasarkan rekod lampau dan prinsip perjuangan kedua-dua parti, masih terdapat ketidakpastian sama ada hubungan kerjasama tersebut mampu bertahan.
Katanya, jika dilihat sejarah hubungan kedua-dua parti ini menunjukkan mereka tidak boleh kekal lama kerana masing-masing mempunyai kepentingan tertentu selain ideologi politik yang berbeza.

"Keadaan ini agak sukar untuk mereka bekerjasama dalam jangka masa panjang. Kalau kita tengok sejarah kerjasama PAS dan parti-parti lain di Malaysia juga tidak menunjukkan hasil yang baik dan berakhir seperti layang-layang putus tali.

"Konflik antara kedua-dua parti kemungkinan besar akan berlaku nanti apabila mereka nak buat pembahagian kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) terutama di negeri-negeri yang mempunyai majoriti pengundi-pengundi Melayu," jelasnya.

Bersifat spontan

Sementara itu bagi Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Univeristi Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, kerjasama kedua-dua parti itu yang terjalin kini berlaku secara spontan ekoran isu-isu yang wujud selepas pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, PAS dan Umno kini menemui titik persamaan melalui pemahaman terhadap isu-isu melibatkan Melayu-Islam.

"Antaranya apabila mereka sama-sama melihat kerajaan PH ini dikawal oleh DAP. Jadi dalam situasi Umno tertekan, berlaku perpecahan dan keluar parti, Umno melihat sangat penting untuk mereka bekerjasama dengan PAS pada masa sekarang.
"PAS juga melihat isu-isu survival Melayu-Islam ini sesuatu yang perlu mereka tangani, saya melihat hubungan PAS dan Umno buat masa ini satu simulasi bersifat spontan.

"Jadi kerjasama yang terjalin sekarang ini berasaskan isu yang berlaku sekarang. Bukan disebabkan oleh dua parti ini mempunyai dua titik persamaan dalam konteks perjuangan antara dua buah parti," katanya.

Tambah Dr Mazlan, kelangsungan kerjasama PAS-Umno itu perlu dilihat dan mengambil kira aspek sejarah hubungan kedua-dua parti.

"Saya lihat isu survival di sini, maksudnya PAS keluar gabungan BN pada 1978 itu sebenarnya berpunca daripada pergelutan antara dua parti itu sendiri.

"Ini kerana, PAS dan Umno adalah dua parti yang bersaing sesama mereka dan pengaruh yang mereka rebut adalah segmen sama iaitu pengundi-pengundi Melayu," jelasnya.

Justeru, kata Mazlan, persoalan kerjasama hari ini kekal atau tidak bergantung kepada isu-isu yang dibawa oleh kedua-dua parti berdasarkan situasi politik semasa.

Bertahan jika ada kepentingan

Sementara itu, bagi Profesor Madya Dr Awang Azman Pawi hubungan erat PAS dan Umno boleh bertahan selagi masing-masing masih mempunyai kepentingan antara satu sama lain.

Pensyarah Universiti Malaya itu berkata, Umno memerlukan PAS untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk undi bagi memastikan kerusi-kerusi majoriti tipis pada PRU lepas dapat dikekalkan.

"PAS pula memerlukan Umno sebagai rakan sekutu baru bagi menggerakkan kerjasama untuk menentang musuh bersama mereka pada masa kini iaitu PH.

"Selagi tidak ada konflik timbul, selagi itulah kerjasama akan terus dapat berlangsung.

"Konflik boleh berlaku sekiranya berlaku isu seperti perebutan kawasan untuk ditandingi di peringkat PRK, pemilihan calon yang paling layak untuk bertanding, isu percanggahan ideologi dan pendirian politik," katanya.

Tambah Awang Azwan, situasi sekarang menyaksikan PAS mampu diyakini oleh Umno bahawa kerjasama ini bermanfaat dan penting untuk orang Melayu dan Islam.

"Penyokong PAS dan Umno berjaya diyakini melalui kempen politik yang memberi gambaran bahawa DAP sangat jahat dan bermaharajalela dalam PH. Naratif bersifat politik ini berjaya mencetuskan sentimen antiDAP setakat ini selepas PRK cameron Highland," ujarnya.

Kaji selidik: Majoriti Melayu tak puas hati pada PH

MALAYSIAKINI
 
   
Suatu kajian yang dijalankan di seluruh negara pada akhir tahun lalu menunjukkan hampir 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.

Dapatan daripada kajian itu menyatakan 54.4 peratus responden Melayu tidak percaya kerajaan serius melaksanakan agenda Melayu, termasuk mempertahankan hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi.

Laporan TMI melaporkan 60 peratus responden pula percaya orang bukan Muslim sedang menguasai kerajaan dan DAP yang membuat keputusan di Putrajaya.

Kajian Ilham Centre bersama Penang Institute itu dijalankan ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Okt hingga 24 Dis 2018.

Untuk rekod PH hanya mendapat sokongan kira-kira 17 peratus pengundi Melayu pada PRU Mei tahun lalu.

Kajian itu juga menunjukkan lebih separuh responden percaya PH boleh bertahan lebih dari satu penggal dan pentadbiran sekarang akan membawa masa depan cerah buat negara.

Pengarah Ilham Centre Mohd Yusri Ibrahim berkata naratif Islam yang dikemukakan PH sukar difahami ramai orang Melayu kerana falsafahnya terlalu dalam.

"Untuk memenangi hati Melayu kerajaan mesti memaparkan diri mereka sebagai konservatif dan centrist, bukan progresif atau konservatif kanan seperti PAS atau Umno," katanya.

Anggap DAP jadi penentu

Kajian itu juga menunjukkan 53.6 peratus responden tidak bersetuju Dr Mahathir Mohamad menamatkan tempohnya selama lima tahun sebagai perdana menteri, sebaliknya menyerahkan pimpinan kepada Anwar Ibrahim seperti yang dirancang.

Daripada jumlah itu 51.9 peratus responden bersetuju Anwar adalah orang yang terbaik untuk menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Dapatan lain termasuklah:

* 59.5 peratus responden tidak bersetuju mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH sejak PRU lalu, berbanding 40.8 peratus yang bersetuju
* 54.4 peratus bersetuju kerajaan PH mengabaikan hak orang Melayu dan kepentingan Islam, berbanding 45.1 peratus yang berpendirian sebaliknya
* 50.1 peratus berpendapat PH tidak serius memenuhi janji pilihan raya dalam manifesto mereka berbanding 49.8 peratus percaya sebaliknya
* 58.3 peratus yakin kerajaan pusat tidak serius menangani isu kos sara hidup
* 62.9 peratus reposnden yakin orang bukan Muslim kini mengawal kerajaan pusat selepas 9 Mei berbanding 37.2 yang berpendapat sebaliknya
* 62 peratus percaya DAP mendominasi kerajaan berbanding parti lain dalam PH
* 58.9 peratus percaya kerajaan pusat kini membawa agenda liberal

Subky: Islam Memimpin formula satukan PAS dan Umno

 
   

Islam memimpin - tema yang diangkat pada Muktamar PAS tahun lalu dilihat sebagai formula untuk satukan PAS dan Umno.

Veteran PAS, Subky Latif berpendapat, PAS melalui formula itu sudah memberi isyarat kepada semua pihak (termasuk Umno) untuk mencari menjalinkan perpaduan.

"Perkara ini bukanlah payah bagi PAS dan Umno untuk mengikuti formula ini.

"Ia bukan syarat kepada Umno, tetapi kita sampaikan dakwah dan formula untuk bersatu melalui Islam Memimpin.

“Pandai-pandailah tafsir," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hala tuju kerjasama antara PAS dan Umno dalam landskap politik semasa.

Ia susulan kerjasama yang dijalinkan kedua-dua parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini termasuk di parlimen Cameron Highlands, baru-baru ini.

Malah menurut Subky, sekiranya formula itu dapat diikuti Umno tidak mustahil kerjasama itu akan berterusan termasuk pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Perkara itu tidak mustahil. Pada masa ini strategi masing-masing ialah untuk menghadapi musuh lebih besar iaitu Pakatan Harapan (PH).

"Pada PAS satu masa dulu Umno adalah musuh, tetapi sekarang Umno tiada apa-apa lagi. PAS dan Umno kini menghadapi musuh yang sama," katanya.

Tambah bekas ahli jawatankuasa PAS pusat itu, formula Islam Memimpin itu bukanlah diwujudkan oleh PAS serta-merta sebaliknya anugerah Allah sejak zaman nabi Adam lagi.

"Untuk kesejahteraan dunia adalah Islam memimpin, bila kalangan manusia sudah jahiliah dan kafir, Allah hantar nabi Muhammad SWT untuk Islam memimpin," jelas Subky.


Pedih telinga menteri agama

ISMA WEB

Sakit kena hentam Mujahid keluar ugutan untuk ambil tindakan


DAP memang tidak suka kepada Islam. Sebab itulah pemimpin-pemimpinnya sebelum ini menghina Islam. Itulah sejarahnya.

Lalu, pedih dan sakit juga telinga menteri agama kita kena jentik kiri kanan. Pedang ingatkan, ‘orang agama’ ini boleh bersabar, apatah lagi bila menjaga semua agama.

Tapi baru sikit kena jentik, cubit dah melompat. Dia nak, semua orang sokong saja. Tak boleh bantah apapun, hatta Rahmatan Lil Alamin Pakatan Harapan (PH) pun kena ikut, walaupun tak sehebat mana menjaga agama Islam.

Bila dah kena jentik, cubit atau orang Kedah dan Parit Buntar (juga orang Perak) kata ‘kutey’, lalu bermulalah edisi mengugut mana-mana pihak yang masih mempertikaikan ‘kebetulannya’ dalam melantik Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Jika ikut laporan media semalam, Datuk Mujahid Yusof Rawa kata dia akan ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang masih mempertikaikan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada DAP menjadi salah seorang daripada 10 ALPA Yadim.

Awalnya Mujahid ketika ditanya wartawan selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan ALPA semalam, berkata pelantikan itu berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman.

“Kebetulan yang merit itu bersama parti-parti tertentu, jadi kita tidak mahu menjadikan alasan kerana itu tidak lantik. Jadi kalau ada pun mereka bersama mana-mana parti politik, termasuk YB-YB itu secara kebetulan,” katanya.

Adun DAP itu ialah Sheikh ‘Umar Bagharib Ali. Dan kata Mujahid lagi dakwaan tular yang mengatakan DAP tidak mengiktiraf agama Islam adalah satu tuduhan melampau sedangkan parti itu bersama kerajaan pada hari ini.

“Kalau dalaman, kita ada prosedur iaitu menegur dia, jika orang luar terutamanya di media sosial, tak semestinya tindakan daripada saya, mungkin daripada orang luar untuk buat laporan. Maka orang akan melihat ia satu politik jijik untuk melihat ini dengan satu agenda politik sempit,” katanya.

Tetapi yang ‘terlantik secara kebetulan’ menjadi ALPA bukan saja anggota DAP, sebaliknya terdiri daripada enam ahli PAN; dua (PKR); dan seorang (Bersatu).

Pedang pun macam orang lain juga berasa hairan bagaimana boleh secara ‘kebetulan’ terlantik orang PAN, PKR, dan Bersatu. Bukan seorang dua, tapi sembilan daripada 10 ALPA ‘terlantik’ adalah orang parti.

Tapi, dalam ‘hairan’ itu, Pedang senyum saja. Lagipun, kita bukan bodoh yang mudah hendak diperbodohkan. Permainan twist isu, sudah selalu berlaku. Orang pertikai kenapa lantik ‘ramai geng’ termasuk Adun DAP jadi ALPA Yadim.

Marah betul Mujahid bila ramai kata DAP tak iktiraf Islam hingga dia beri amaran akan ambil tindakan, tapi dia memang ‘Melayu mudah lupa’ apabila tidak melihat kembali sejarah bagaimana parti tamak haloba itu tidak suka kepada Islam, anti-Islam – terutama pemimpin DAP daripada Kristian Evangelis.

Pedang pun dulu pernah tulis dengan merujuk DAP sebagai parti anti-Islam, rasis dan cauvinis, berdasarkan kenyataan kenyataan mereka terhadap Islam. Tapi Pedang belum lagi kata ‘DAP tidak mengiktiraf Islam’.

Mungkin dengan bahasa lembut dan ramah, Pedang boleh kata ‘DAP tidak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan’. Ini berdasarkan beberapa kenyataan yang dibuat sendiri pemimpin-pemimpin parti itu yang menolak Islam sebagai agama Persekutuan.

Masa belum memonopoli kerajaan seperti sekarang, parti itu dulunya – melalui pemimpin-pemimpin kafirnya (lepas ini mungkin Mujahid tak benarkan lagi penggunaan perkataan ‘kafir’ bagi merujuk kepada orang bukan Islam) – banyak mengeluarkan kenyataan yang menghina, mencemar dan mengancam Islam.

Apakah menghina, mencaci, mencemar dan mengancam Islam di tanah Melayu ini bermakna mereka suka kepada Islam? Kalau setakat dalam perlembagaan parti menyatakan DAP tidak anti-Islam, tapi dari segi perbuatan dan percakapannya berbeza, tidak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, tiada beza pun.

Hanya kerana DAP menjadi rakan sekutu dalam kerajaan sekarang, dan pemimpin-pemimpinnya yang dahulu kuat menghina dan memburuk-burukkan Islam sekarang sudah diam, maka Mujahid sudah lupa dan kini sanggup membela mereka, kemudian mengancam orang lain pula.

Sekarang semua orang kena tutup mulut?

Dengan ugutan dan ancaman menteri agama itu, tidak terkejutlah Pedang apabila petisyen menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa ‘Malaysia Negara Islam’, dibuat sekali lagi di dalam Dewan Rakyat, mendapat tentangan pihak tertentu.

DAP pun tidak setuju dengan petisyen itu. Pedang berani kata DAP pun tak setuju Dr Mahathir sebut atau isytihar ‘Malaysia Negara Islam’ dalam Dewan Rakyat.

Kata Pedang: ‘Orang bukan Islam’ adalah bahasa ramah, penghormatan orang Melayu kepada orang kafir. Tapi jika mereka tidak ramah dan hormat kepada Islam kenapa harus kita hormati mereka. Haram tetap haram, kafir tetap kafir.


Maknyah, 2 tokoh besar Islam dan seorang mufti negeri




Baru-baru ini telah tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan pergaduhan 2 orang yang dipercayai wanita trans di hadapan sebuah farmasi di pusat membeli belah di Kuala Lumpur.

Menerusi klip video itu, kelihatan mangsa ditarik keluar dari farmasi berkenaan oleh seorang lagi wanita trans. Mangsa ditampar dan diherdik berulang-kali yang kemudiannya berakhir dengan pergelutan antara kedua-dua mereka.

Kita tidak dapat menolak, ada kemungkinan video ini mencetuskan komen daripada Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang berbunyi: “Hanya 2 jantina yang diiktiraf. Tiada yang ke-3. Agama mengharamkan jantina bidaah yang dinamakan ‘maknyah’ atau ‘saudarai’ atau apa sahaja namanya.”

Komentar tersebut serta-merta mendorong cetusan di hati ini, apakah mazhab yang dipegang oleh saudara mufti memandangkan 2 orang ulama besar, masing-masing dari dunia Sunni dan Syiah, pernah mengiktiraf trans, dan mengizinkan pembedahan tukar jantina (SRS) sejak tahun 1980an.

Sheikh al-Tantawi bermazhab Sunni dari Mesir dan Ayatullah Khomeini bermazhab Syiah dari Iran mungkin tidaklah seprogresif Asri seperti yang beliau megahkan. Kedua-dua mereka dapat digolongkan sebagai neo-tradisionalis.

Untuk memahami proses pengeluaran hukum yang mendorong fatwa keizinan untuk melakukan pembedahan tukar jantina (SRS) daripada kedua-dua ulama besar ini, kita perlu melihat bagaimana mereka membuka mata terhadap 2 kes wanita trans.

Kes pertama adalah Sally atau nama kelahirannya Sayyid Abd Allah yang merupakan penuntut di Fakulti Perubatan Al-Azhar di awal tahun 1980an. Beliau mengalami kemurungan yang dahsyat yang mana pakar psikologi telah menyatakan beliau mengalami “psychological hermaphroditism”.

Pakar psikologi cuba merawat Sayyid selama 3 tahun, tetapi gagal, dan kemudiannya merujukkan beliau kepada pakar yang akan melakukan pembedahan jantina.

Pakar bedah tersebut telah merujukkan Sayyid kepada ahli psikologi kedua yang turut bersetuju dengan pandangan yang pertama. Sayyid akhirnya melakukan SRS.

Tetapi selepas melakukan pembedahan tersebut, dekan fakulti enggan membenarkan Sally (nama baharu Sayyid) menduduki peperiksaan dan keributan berlaku.

Untuk menyelesaikan masalah ini, fatwa mufti Mesir diperlukan. Pihak Majlis Perubatan mengutus surat kepada Sheikh Tantawi pada 14 Mei 1988 meminta pandangan atau ijtihad beliau. Beberapa pemeriksaan dilakukan terhadap Sally yang mana pakar turut mengesahkan tiada kesan liwat. Ini membolehkan satu konklusi yang mana Sally diputuskan adalah seorang trans dan bukan gay.

Fatwa Sheikh Tantawi bertarikh 8 Jun 1988 ini dirakam secara terperinci oleh Skovgaard-Petersen, seorang sarjana yang meneliti institusi fatwa.

Kisah ‘maknyah’ Iran

Kes kedua adalah Fereydoon Mulkara (1950-2012) kelahiran Iran.

Sejak kecil, Fereydoon sudah mempunyai naluri keperempuanan dan sering diejek. Dia mengenakan busana perempuan sehinggalah diusir ibu-bapa.

Di awal usia 20an, beliau bertugas sebagai pembantu di rumah jagaan orang tua yang menemukannya dengan seorang pakar psikologi. Fereydoon memberitahu beliau merasakan dirinya wanita, dan bukan gay lelaki.

Pakar psikologi itu menjelaskan beliau mengalami “psychological hermaphroditism”. Ini mendorong Fereydoon, seorang yang warak, untuk mendapat pandangan seorang ulama besar di Tehran iaitu Ayatullah Behbehani.

Behbehani melakukan istikharah (ala Ja’fari iaitu dengan Al-Quran) dan halaman Al-Quran yang terbuka ketika proses istikharah tersebut adalah muka pertama Surah Maryam.

Sejak itu Fereydoon menggunakan nama Maryam. Behbehani menyarankan Maryam menulis surat kepada Ayatullah Khomeini yang ketika itu hidup dalam buangan.

Apabila Imam Khomeini berada di Paris, Maryam mengambil peluang ke Perancis untuk menemuinya; tetapi gagal. Berbekalkan pandangan Behbehani, Maryam mulai mengambil hormon yang membolehkan payu daranya mengkal.

Apabila Revolusi Iran meletus, Maryam hilang mata pencarian selepas diberhentikan oleh Televisyen Iran. Dia malah ditangkap berkali-kali kerana berpakaian wanita, dihumban ke dalam penjara dan disuntik tanpa kebenarannya hormon testosteron untuk mengembalikan keadaan asal dadanya (tanpa buah dada yang mekar).

Maryam menemui pula seorang ulama konservatif, Ayatullah Ahmad Jannati, yang mencadangkan beliau menulis surat kepada Khomeini.

Khomeini yang tidak memahami isu Maryam telah mengeluarkan fatwa untuk membenarkan beliau sebagai seorang perempuan dengan sangkaan Maryam seorang khunsa dengan 2 jantina.

Keadaan itu amat menyeksa Maryam, beliau memiliki payu dara, dan dipaksa berpakaian lelaki dengan jambang.

Maryam, yang merupakan seorang yang kuat beragama telah menawarkan diri untuk berkhidmat di barisan hadapan ketika perang Iran-Iraq. Kelembutan layanan dan rawatan yang beliau berikan telah mendorong banyak pertanyaan dalam kalangan askar.
Maryam yang menjalani pembedahan jantina (kiri) bersama 
suaminya Mohamad.
Pada 1983, tidak tahan lagi dengan penderitaan yang dialaminya; Maryam berusaha menemui Khomeini, lalu berangkat ke luar rumah Imam.

Sambil memegang Al-Quran di tangannya, dia menggantung kasut di tengkuk sebagai satu lambang dalam kalangan orang Iran (tanda menyerah diri dan memerlukan perlindungan).

Tindakan itu disalah tafsir pengawal rumah Khomeini yang menyangkakan ia adalah alat letupan. Maryam dibelasah dengan dahsyat.

Ketika dipukul Maryam menjerit, “Saya seorang perempuan, saya seorang perempuan”.

Tatkala itu abang Khomeini, Hasan Pasandideh, melintasi halaman dan terkejut melihat tindakan pengawal membelasah seseorang sehingga berdarah.

Maryam dibawa ke ruang tamu di rumah Khomeini. Beliau kemudian menceritakan apa yang berlaku kepada anaknya Ahmad Khomeini.

Pengawal mempertahankan tindakan mereka dengan menunjukkan kasut yang diikat di tengkuk. Maryam memutuskan untuk merungkai sepatu itu, berteriak “saya perempuan” seraya kemudian melondehkan baju sehingga terdedah payu daranya.

Sebaik sahaja buah dadanya kelihatan, wanita di kalangan ahli keluarga Khomeini segera membawakan chador dan membawa Maryam masuk ke kamar Imam.

Di hadapan Khomeini, beliau pengsan. Beberapa tahun kemudian apabila diwawancara, Maryam menjelaskan beliau pengsan kerana merasakan sudah berada di syurga. Ini kerana usaha beliau untuk menemui Imam Khomeini akhirnya berhasil.

Khomeini telah meminta pandangan 3 orang doktor pada waktu itu dan memarahi pengawalnya kerana melayan wanita sebegitu buruk.

Beliau kemudian memberikan fatwa membenarkan Maryam melakukan SRS. Presiden Iran ketika itu, Ali Khamenei menghadiahkan chador kepada Maryam. Hanya beberapa tahun kemudian barulah Maryam melakukan pembedahan di Thailand.

Maryam malah menubuhkan Yayasan Imam Khomeini untuk mendanai mereka yang memerlukan SRS. Yayasan ini kemudian didanai kerajaan Iran apabila Zahra Shojai, seorang wanita dilantik menjadi naib presiden.

Maryam mengahwini seorang penjawat awam bernama Mohamad dan meninggal dunia pada tahun 2012.

Islam tidak herdik golongan trans

Untuk memutuskan kes Sally, Sheikh Tantawi telah melakukan ijtihad dengan memberi perhatian kepada qias sebagai salah satu sumber hukum. Ini dilakukan berasas sebuah hadis yang mana Rasulullah tidak melarang kaum mukhannath masuk ke ruang perempuan sehinggalah baginda mendengar mereka memberi perincian tentang fizikal wanita itu kepada orang lain.

Berdasarkan kefahaman Tabari, Tantawi berpandangan kaum mukhannath tidak wajar disalahkan dan mesti dirawati.

Ini mendorong kepada langkah kedua di mana Tantawi memutuskan berdasarkan hadis yang setiap penyakit hendaklah diubatkan.

Tantawi seterusnya merujuk kepada hadis Ahmad bin Hanbal dan Muslim menerusi Jabir yang mana Rasulullah menghantar seorang pakar memotong urat dan menyembuhkannya dengan kaedah tersebut.

Berdasarkan perbincangan al-Qastallani dan al-Asqalani, Tantawi memutuskan SRS diperbolehkan. Di akhir sekali Tantawi menyatakan sesiapa yang ingin melakukan pembedahan hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan dan bukan memandai.

Dalam kes Imam Khomeini, Syiah tidak mengiktiraf qiyas sebagai sumber hukum. Akan tetapi salah satu sumber hukum dalam mazhab Ja’fari Syiah adalah akal, yang mana membawa Khomeini kepada kaedah-kaedah fekah sebagai penyelesaian.

Pertama, Khomeini menggunakan kaedah fekah isalat al-ibahah dan isalat al-hillyyah yang mana setiap sesuatu yang tidak dapat diputuskan secara jelas sebagai haram, atau halal, adalah dengan itu dibenarkan dan hukumnya diperbolehkan asalkan tiada keterangan jelas yang ia haram berdasar sumber Islam.

Pun begitu, Khomeini menyatakan, jika ia tidak benar-benar diperlukan, makanya ia tidak diperbolehkan.

Kedua, kaedah fekah isalat al-taslit turut digunakan yakni adalah menjadi hak setiap individu untuk mengubah badan dan kepunyaan sendiri.

Peringkat ketiga, Khomeini menetapkan SRS boleh dilakukan dengan sokongan pakar perubatan dan psikologis.

Akhir sekali kaedah yang paling besar adalah ijtihad itu sendiri yang mana di dalam Syiah terdapat peranan masa dan tempat di dalam ijtihad yang menjadikan ia dinamik.

Dalam erti kata lain, ijtihad membenarkan fleksibiliti. Ini menjelaskan banyak fatwa Khomeini seperti kebenaran bermuzik, bermain catur dan hak wanita sebagai ahli parlimen.

Kedua-dua kes melibatkan Sally dan Maryam menunjukkan agama Islam tidaklah semberono mengherdik trans.

Malah ulama besar dalam dunia Sunni dan Syiah yang dianggap tradisional pun boleh menyantun dan beradab dalam mengeluarkan fatwa dan kenyataan.

Kesemberonoan tidak harus keluar daripada seorang mufti. Sebarang pandangan dan hujah keras dan menghukum akan menjadikan masyarakat juga keras dan menghukum sendiri.

Adalah dibimbangi ada yang mengambil tindakan sendiri atas dasar kebencian.

Mufti di Malaysia yang perasan progresif boleh menemui sendiri para trans, mendengar penderitaan mereka, berbincang dengan pakar perubatan dan psikologi; seperti yang dilakukan oleh ulama besar Tantawi dan Khomeini.

Usahlah bersombong dengan ilmu di dada dan memilih jalan herdik dan hamun.

Ketahuilah, umat memerlukan; kamu adalah mufti, bukan penunggang keldai dengan cemeti.

Harga durian J-Queen cecah RM4,000, Musang King ada pesaing?

Madiha Abdullah, Astro Awani
Harga durian J-Queen cecah RM4,000, Musang King ada pesaing?
Durian J-Queen dijual di sebuah pasar raya di Indonesia dengan harga 14 juta Rupiah. - Instagram @solodelicious


DI Malaysia, harga durian paling mahal pernah dilaporkan adalah sekitar RM100 untuk durian Musang King.

Ia bukan satu perkara pelik kerana saiz dan rasanya yang sering dilabel sebagai yang terbaik.

Namun Musang King sudah ada pesaingnya. Sejenis durian yang dinamakan J-Queen kini mungkin durian termahal di dunia apabila harganya mencecah RM4,000!

J-Queen dijual di sebuah pasar raya di Jawa Timur, Indonesia dengan harga 14 juta Rupiah, atau RM4,036.

Menurut laporan portal The Guardian, seorang pelajar psikologi bernama Aka didakwa orang yang bertanggungjawab menghasilkan durian itu melalui kaedah crossbreeding daripada pelbagai jenis durian yang diambil dari seluruh Indonesia.

"Niat saya adalah untuk meningkatkan pendapatan petani dengan mewujudkan sejenis durian yang hebat," kata Aka yang mengakui mempunyai enam kebun durian di Jawa Timur.

Keistimewaan J-Queen, kata Aka, adalah ia hanya berbuah tiga tahun sekali dan setiap pohon hanya akan mengeluarkan tidak lebih daripada 20 biji buah durian.

Malah, Aka juga mendakwa buah durian itu mempunyai "sedikit rasa seperti mentega kacang", lapor The Guardian.

Media Indonesia melaporkan, dua biji buah durian J-Queen sudah dibeli pelanggan selepas ia mula dijual hujung minggu lalu.

Kerajaan pertimbang pajakan 99 tahun dalam pembangunan semula Kg Baru





PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi pajakan sehingga 99 tahun bagi menangani isu tanah rizab Melayu dalam pembangunan semula Kampung Baru.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata pihaknya juga sedang memikirkan beberapa mekanisme untuk uruskan soal status tanah rizab Melayu di Kampung Baru.

“Seperti yang telah disebut Kabinet, antaranya memberi pajakan panjang. Maknanya orang yang bangunkan (tanah itu) boleh dapat pajakan (misalnya) 60 tahun atau 99 tahun.

“Akhirnya tanah itu kembali kepada pemilik yang sama. Hak milik tidak terjejas,” katanya pada sidang media di sesi ramah mesra menteri bersama media.

Khalid berkata walaupun tinjauan dibuat pihaknya mendapati 88% responden mahu Kampung Baru dibangunkan tetapi terdapat masalah seperti geran mempunyai sehingga 12 nama atas 1 lot rumah.
Katanya, sekiranya lagi lama penyelesaian terrtangguh lagi banyak masalah.

“Kita tak nak ia terpinggir atau tertinggal oleh kerana ia asalnya kawasan Melayu yang begitu strategik.

“Tetapi kalau boleh kita nak bangunkan dan semua merupakan pewaris akan dapat manfaat,” katanya.

Umno: Melayu elit tak layak terima ‘bantuan’ Bumiputera

Shahril Hamdan mahu bantuan Bumiputera disalurkan kepada
rakyat yang benar-benar memerlukan.
 
PETALING JAYA: Umno berpendapat kelompok Melayu elit tidak wajar menerima bantuan khas di bawah dasar kerajaan yang pro-Bumiputera.

Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, golongan itu tidak berhak mendapatkan bantuan khas Bumiputera sebagaimana yang diterima Melayu kelas bawahan.

“Biarlah ia disalurkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada golongan Melayu kaya layak menerima bantuan khas kerajaan untuk Bumiputera seperti kuota kemasukan ke universiti awam, biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran dan diskaun khas dalam pembelian hartanah.

Shahril berkata, kelompok itu harus keluar dari senarai penerima bantuan khas Bumiputera kerana kejayaan mereka mungkin disebabkan bantuan tersebut.

Oleh itu, katanya, mereka perlu memberi peluang kepada Melayu kelas bawahan untuk sama ratakan ekonomi dalam kalangan orang Melayu.

Sementara itu, penganalisis dari Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Faisal Hazis berkata, pemberian bantuan khas Bumiputera kepada golongan Melayu sememangnya bermasalah.

Jelasnya, hal itu berpunca dari sistem pelaksaanan dan pengagihan oleh kerajaan.

“Itulah masalahnya, kalau kita lihat DEB (Dasar Ekonomi Baru) pun, dari segi ‘on paper’, dasarnya itu cantik. Ia menyatakan kita nak strukturkan balik masyarakat. Kita bantu semua orang yang memerlukan.

“Tetapi masalah adalah dari segi implimentasinya, sebab akhirnya yang nak dibantu itu adalah golongan yang tak sepatutnya dibantu,” katanya.

Tambahnya, golongan yang dibantu itu adalah Melayu kelas atasan seperti kelompok Melayu yang menjadi “kroni” kepada pemerintah.

“Jadi kita harus bezakan dua perkara, iaitu dasar yang membantu dan masalah pelaksanaan yang harus ditelitikan,” katanya.

Melayu kaya berhak dapat bantuan

Berbeza pula pandangan yang diberikan oleh Ketua Penyelidik Ilham Centre (ILHAM), Yusri Ibrahim yang mengatakan, golongan Melayu elit berhak menerima bantuan khas Bumiputera meskipun mereka adalah golongan yang sangat berkemampuan.

Katanya, salah satu kajiannya mendapati, semakin tinggi ekonomi orang Melayu, semakin tinggi kecenderungan mereka kepada dasar kerajaan.

“Barangkali mereka nampak peluang dan dasar-dasar dalam kerajaan macam projek-projek dan tender (untuk Bumiputera),” katanya.

Yusri berkata, ia tidak bermaksud apabila seseorang itu menjadi kaya, pendapatan tinggi dan ekonomi semakin berkembang, mereka semakin bebas.

Sebaliknya golongan itu, katanya, akan lebih melihat pengharapan kepada pihak kerajaan.

“Sebab mereka tahu dan nampak, ada projek dan peluang seperti kerja dan sebagainya.”

Dark Web: Polis masih siasat dakwaan penjualan maklumat pelajar UiTM

Bernama
Dark Web: Polis masih siasat dakwaan penjualan maklumat pelajar UiTM
UiTM komited dan sentiasa telus dalam membekalkan sebarang maklumat diperlukan oleh semua pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
 
 
SHAH ALAM: Polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung dakwaan penjualan maklumat pelajar dan alumni universiti itu di 'Dark Web' pada November tahun lalu.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata pihaknya juga kini giat bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) sejak November lalu, bagi menjalankan siasatan serta menganalisa keutuhan sistem aplikasi UiTM.
 
"Setakat hari ini penemuan awal NACSA mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan menjurus kepada kebocoran maklumat berlaku, namun pihak NACSA masih lagi meneruskan siasatan berdasarkan maklumat terkini yang telah dibekalkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hassan berkata pihaknya komited dan sentiasa telus dalam membekalkan sebarang maklumat diperlukan oleh semua pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

Beliau berkata UiTM juga sedang giat menjalankan pelbagai penambahbaikan dan pemantapan prosedur serta operasi bagi memastikan integriti rangkaian, program dan data dilindungi daripada serangan, kerosakan atau akses tanpa izin.

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah dan sedang membantu UiTM dalam menangani isu keselamatan ini. Saya juga berharap orang ramai dapat memberi ruang kepada pihak berkaitan menjalankan siasatan dengan adil, telus dan berkesan," katanya. -- BERNAMA 
 
 

PH perlu pecah hak eksklusif, monopoli Bernas - Khairuddin

Astro Awani
PH perlu pecah hak eksklusif, monopoli Bernas - Khairuddin
KHAIRUDDIN: Dengan hanya memiliki 28 buah kilang dari 191 pengilang beras berdaftar, mengapa kerajaan harus sambung hak monopoli kepada Bernas? - Gambar AWANI / SHAHIR OMAR
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus menjalankan 'audit luaran' bagi memantau keberkesanan peranan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang sudah semakin tidak relevan kini.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Bernas seharusnya menambah pelbagai kemudahan kepada pesawah secara menyeluruh di seluruh negara setelah begitu lama memegang hak eksklusif serta monopoli dan mengambil alih peranan Lembaga Padi Negara (LPN).

"Dengan hanya memiliki 28 buah kilang dari 191 pengilang beras berdaftar, mengapa kerajaan harus menyambung hak monopoli kepada badan ini? Apakah yang boleh kita kagumi dengan pencapaian Bernas kepada warga pesawah?

"Jumlah kecil kilang padi milik Bernas akan menyukarkan para pesawah menjual padi-padi mereka. Akhirnya, kerana kekurangan kilang milik Bernas dan dari logistik yang jauh dengan kawasan-kawasan sawah; para petani terpaksa menjual hasil mereka kepada kilang-kilang swasta.

"Kenyataan Bernas sudah cukup bukti dan kukuh untuk kerajaan menamatkan 'monopoli' mereka dalam industri beras negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
 
BACA: Kerajaan perlu pantau isu Bernas lambat bayar pesawah - Khairuddin

BACA: 
Kami tidak pernah abai kepentingan rakyat - Bernas

Terdahulu, Bernas menasihatkan pesawah menjual hasil padi mereka di kilang-kilang beras Bernas yang berhampiran di mana pembayaran untuk belian padi dijamin badan itu, atau menjual hasil padi mereka di kilang-kilang swasta yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Dalam kenyataan itu, Bernas memaklumkan, ia bertujuan bagi menjamin perolehan pendapatan yang stabil dan berterusan.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, lambakan beras import kini begitu banyak dan harga yang lebih murah berbanding beras tempatan.

"Bagaimana nasib pesawah negara jika Bernas mengimport beras dari luar dengan kuantiti yang banyak dan seterusnya melambakkan di pasaran pada kadar harga yang lebih murah dari beras tempatan?

"Bernas lebih mementingkan keuntungan komersial dari melaksanakan tanggungjawab sosial kepada pesawah kita," jelasnya.

Tambahnya, pertemuan dengan semua pengilang-pengilang beras bumiputera di seluruh negara akan dibuat dalam masa terdekat bagi memahami secara lebih lanjut permasalahan mereka dengan Bernas.

"Selepas itu kami akan membuat penjelasan mengenai kepincangan peranan Bernas kepada warga pesawah di negara ini.

"Dalam apa jua situasi, monopoli Bernas mesti dipecahkan untuk mewujudkan persaingan yang lebih efisien dalam industri beras nasional.

"Tolong kerap turun ke padang bagi mendengar serta memahami permasalahan pesawah di seluruh negara," katanya.

Bernas sebelum ini memaklumkan, akan terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara.

Ia termasuk antaranya dalam sektor pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga minimum terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.

Terdahulu, Khairuddin mahu Kerajaan PH memantau dan mengambil tindakan ke atas Bernas yang didakwa lambat membuat pembayaran kepada pesawah yang menjual padi kepada kilang di kawasan setempat.