Saturday, October 31, 2020

Bomoh palsu guna sihir tipu wanita, curi barang kemas

Oleh MOHD RIFAAT ABD. HAMID
HALIMAH menunjukkan WhatsApp yang cuba menghubungi Pak Su tetapi gagal.

PADANG TERAP: Seorang bomoh palsu dipercayai menggunakan ilmu sihir bagi menipu beberapa mangsa terutamanya dalam kalangan wanita yang mempunyai banyak barang kemas di Padang Sanai, Kuala Nerang di sini.

Beberapa mangsa mendakwa bomoh terbabit yang dikenali Pak Su akan mendekati wanita yang memakai banyak barang kemas pada majlis-majlis kenduri dan perjumpaan ahli keluarga untuk menjadi mangsa penipuannya.

Seorang mangsa yang mahu dikenali Halimah, 35, berkata, dia mengenali bomoh terbabit yang dikenali Pak Su ketika diperkenalkan oleh saudaranya sendiri untuk merawat masalah kesihatan yang dihidapinya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Disember 2019 lalu hinggalah pada awal Oktober 2020 lalu selepas dia mula merasa curiga dengan aktiviti bomoh itu.

“Semasa proses rawatan, bomoh terbabit meminta dia menunjukkan dan menyerahkan barang kemas yang dimilikinya.

“Bimbang dengan keadaan saya yang semakin sakit, saya terpaksa menyerahkan barang kemas seperti rantai leher, gelang tangan dan beberapa bentuk cincin kepada bomoh itu sebelum barangan kemas itu dibalut dalam kain putih dan  digantung di dalam bilik,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, Halimah menambah, dia mula merasa curiga dengan aktiviti bomoh itu pada awal Oktober lalu.

“Saya kemudian membuka balutan kain putih itu dan mendapati  barangan kemas yang ada cuma barang kemas palsu,” katanya.

Jelasnya, dia yang mengalami kerugian sebanyak RM15,000 kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang kerani yang percaya bumbung rumahnya ditimpa makhluk halus terpaksa berputih mata apabila barang kemas bernilai RM45,000 licin dikebas bomoh palsu.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Aishah, 65, pula berkata, bomoh tersebut meminta dia menyerahkan kemas miliknya untuk memulihkan kesihatannya pada Julai lalu.

“Demi memulihkan kembali kesihatan  saya terpaksa mengeluarkan semua barang kemas yang disimpan untuk ditunjukkan kepada bomoh itu dan dibungkus dengan kain putih dan kemudiannya digantung di dalam bilik. 

“Sehinggalah pada September lalu, saya membukanya bungkusan kain putih itu dan mendapati barang kemas saya yang bernilai RM13,000 hilang,” katanya.-UTUSAN ONLINE

PEMBERITAHUAN:

  BERITA POLITIK TELAH DIPINDAH KE DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Ada peguam sekongkol dengan ah long pindah aset peminjam dedah PPIM


Tanda tangan borang kosong antara helah ah long bagi merampas aset milik peminjam yang gagal melunaskan baki pinjaman mereka.

Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa, lebih teruk lagi apabila perbuatan itu turut dibantu oleh firma guaman tertentu yang bersekongkol dengan ah long.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, berkata peguam berkenaan bertindak sebagai penasihat bagi memastikan proses menukar hak milik aset-aset peminjam berlaku dengan lancar.

"Suruh tandatangan kertas kosong bukan perkara baru, cara sedemikian sudah lama berlaku. Ada peguam yang bekerjasama dengan sindiket ah long supaya senang nanti hendak pindah milik rumah, kereta dan lain-lain milik mangsa.

“Sejak PKP, tambahan pula moratorium tamat pada September lalu, kes yang PPIM terima meningkat sehingga 40 peratus. Lebih teruk sebab mangsa yang terlibat tak berani nak melawan sebab ah long pun pakai peguam,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Nadzim Johan berkata, jumlah kes berkaitan penipuan ah long yang diterima Unit Banteras Ceti Haram PPIM ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati meningkat sehingga 40 peratus daripada kebiasaan.

Semalam, akhbar itu melaporkan, tindakan melulu peminjam ah long menandatangani borang perjanjian kosong tanpa mengetahui butirannya boleh memakan diri.

Akibatnya aset-aset berharga terutama rumah dan tanah tergadai walaupun nilainya lebih tinggi daripada pinjaman.

Nadzim menambah, terdapat juga kes peminjam secara sah memindahkan aset-aset kepada ah long meskipun menyedari baki hutang tidak setara dengan nilai kereta atau hartanah yang terpaksa dikorbankan.

“Apabila tak dapat bayar, ah long ugut bunuh dan sebagainya. Sebagai penyelesaian mereka terpaksa tukar hak milik aset-aset kepada nama ah long.

“Keadaan sebegini agak sukar kalau dibawa ke mahkamah. Sebab mangsa yang berbuat demikian. Tetapi ada beberapa kes yang kita lawan, menang juga akhirnya. Jadi jangan takut untuk dapatkan hak kembali,” katanya lagi.

MR :  Manusia bila lihat duit hilang harga diri

Apa sudah jadi dengan Felda sampai kena pungut derma

Ia susulan surat yang tular membabitkan Felda Sungai Tekam Utara, Pahang berhubung kutipan derma RM300 daripada peneroka di kawasan berkenaan.

Menurut laporan FMT, surat berkenaan diedarkan kepada peneroka pada 14 Oktober lalu.

“Dalam sedekah tidak ada paksaan,” kata Idris ringkas kepada portal berkenaan.


Ganti tindakan bankrap kepada moratorium – PPIM

Nizam Zain
MGF02092019_OWH-MG-NADZIM11
Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masa kerajaan menggantikan tindakan bangkrap kepada moratorium kepada rakyat yang bermasalah dengan pinjaman bank lebih-lebih ketika pandemik Covid-19 sekarang.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan bangkrap itu tidak membantu menyelesaikan masalah apatah lagi ketika ekonomi rakyat terjejas buat masa ini.

“Kerajaan kena guna kaedah moratorium bagi menggantikan tindakan muflis kepada peminjam bank. Disebabkan Covid-19, ia perlu jadi pertimbangan paling wajar, bukan orang suka-suka tak nak bayar hutang.

“Kalau moratorium tidak dilakukan, lebih ramai orang akan jatuh bankrap disebabkan PKP sebab orang tak dapat bayar,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Nadzim juga menggesa kerajaan mengkaji semula langkah bankrap yang dikenakan ketika ini kerana tindakan undang-undang itu hanya menyukarkan hidup rakyat.

“Kita nak minta kerajaan buat undang-undang bekukan proses kebangkrapan, sekarang ini lebih banyak kes. Walaupun kadar kebangkrapan dinaikkan sekarang ini, tapi orang tetap dibangkrapkan juga, kalau dinaikkan pun hanya RM100,000.

“Kita tak nak tindakan undang-undang dilakukan. Bila ada tindakan undang-undang, masuk CTOS, CCRIS, orang tak boleh nak gerak, orang nak buat apa pun tak boleh,” katanya.

Nadzim turut mengingatkan pihak bank agar bertimbang rasa dan tidak mengutamakan keuntungan ketika rakyat sedang bergelut memulihkan ekonomi sepanjang tempoh PKP.

“Bank mungkin tak ada untung tapi tak payah la dia nak cari untung musim ini, bank pula sudah berpuluh tahun untung.

“Bank ini mereka yang kapitalis yang banyak duit perlu memberi pertimbangan, nilai kemanusiaan perlu ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Kerajaan dengar rintihan rakyat, Bajet 2021 bantu semua – PM

Mohammad Arif Nizam
MGF31102020_PERUTUSAN-PM-6
Orang awam menonton Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai situasi semasa Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November ini dengan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 bagi memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam bajet itu, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung semua pihak dalam menghadapi zaman yang sukar ini.

Justeru beliau berharap, semua ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan ahli-ahli Parlimen untuk membolehkan
Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini,” katanya dalam perutusan khas sempena situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisen dan media sosial hari ini.

Muhyiddin menambah, matlamat kerajaan hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Jelas beliau, dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.

“Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

“Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800,00 orang telah kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian,” katanya. – MalaysiaGazette

UMANY derhaka persoal tindakan Agong: PEMBINA UM

Siti Hafidah

Tindakan UMANY cukup biadab, rosak nama baik Universiti Malaya

BANGI – Derhaka! Demikian gelaran yang wajar diberikan kepada University of Malaya Association of New Youth (UMANY) setelah mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masuk campur dalam urusan pentadbiran negara.

Perbuatan kontroversi itu bukan sahaja memperlihatkan sikap biadab persatuan berkenaan, malah secara langsung memburukkan nama baik Universiti Malaya (UM).

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UM berkata, merujuk kepada artikel bertajuk ‘YDPA Should Not Interfere In National Affairs’ sudah terang lagi bersuluh UMANY tidak berlaku adil dalam menulis artikel tersebut.

Jelasnya, ini kerana, UMANY tidak menyatakan berkenaan kewujudan Perkara 39 dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan yang memperincikan kuasa Agong berkaitan urus tadbir negara.

Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyatakan: “Kuasa Eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan.

“Jadual kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi Eksekutif kepada orang lain.”

Sementara Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan Parlimen menyatakan: “Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”

Sehubungan itu, PEMBINA UM berkata, pada perenggan pertama dan kedua artikel UMANY, mereka menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan keterlibatan Seri Paduka dalam dua perkara iaitu penolakan perisytiharan darurat seperti mana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Berkaitan perisytiharan darurat, barang kali UMANY terlupa, atau buat-buat lupa bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk memperkenan atau menolak perisytiharan darurat seperti mana yang termaktub dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Proklamasi Darurat,” bidasnya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, PEMBINA UM menempelak kenyataan UMANY yang menyebut ‘walaupun Malaysia mengekalkan sistem pemerintahan beraja, raja hanya mempunyai status simbolik yang dianugerahkan oleh Perlembagaan Persekutuan’.

“Cukup biadab kenyataan yang dikeluarkan oleh UMANY! UMANY telah menggunakan hujah Perkara 40 (1A) dan Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi ‘menghalalkan’ kenyataan biadab mereka berkenaan bidang kuasa Agong,” katanya tegas.

Terdahulu, UMANY dalam satu hantaran Facebook berkata, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Katanya di bawah sistem ini, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan (YDPA) harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik atau bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang, kata UMANY.

UMANY menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun, hari ini, hantaran UMANY di Facebook itu telah dipadamkan.

Ia libat hidup dan mati, elok pertimbangkan keluar duit KWSP – PPIM

MGF31102019_SIDANG-MEDIA-PPIM-ISU-GAJI04
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempertimbangkan semula cadangan pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kegunaan rakyat yang terkesan dengan Covid-19.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ia perlu dibenarkan ketika rakyat kebanyakannya terjejas sumber pendapatan dan hilang pekerjaan selepas kerajaan melaksanakan langkah pencegahan pandemik itu.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan kerajaan sejak 18 Mac lalu memberi kesan ekonomi kepada rakyat khususnya mereka yang bekerja sendiri atau berniaga secara kecil-kecilan, katanya.

“Kalau penggunaan wang itu melibatkan antara hidup dan mati, bagi dia tentu hidup sekarang daripada dia mati tak pasal-pasal.

“Cadangan itu saya rasa patut dipertimbangkan sebab KWSP ini simpanan masa depan, kita kalau dua tiga hari atau mati hari ini, tak hidup pada masa depan.

“Walaupun asasnya tidak dibenarkan tapi kalau melibatkan kes-kes yang terlalu kritikal, ia patut dibenarkan, lagi pun itu duit rakyat.

“Masa depan tak siapa pun tahu, jadi kita rasa elok dipertimbangkan supaya kita boleh guna duit kita,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar rakyat dibenarkan mengeluarkan wang sehingga RM10,000 secara one-off dari akaun satu KWSP bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun cadangan itu ditolak oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil merasakan cadangan itu sukar dilaksanakan pada waktu ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan masa depan pencarum.

Nadzim juga menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan itu hanya kepada kes-kes tertentu sahaja termasuk kesan ekonomi yang terpaksa ditanggung rakyat akibat langkah PKP.

“Kerajaan perlu menilai semula kepada kes-kes yang benar-benar kritikal dan mendesak seperti rawatan pembedahan, kalau tunggu sudah pasti dia mati dulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Akaun 1 KWSP: Golongan akademik tak setuju, kena pinda akta

KUALA LUMPUR – Golongan ahli akademik tidak bersetuju dengan cadangan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Profesor Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Abd Ghafar Ismail berkata, ini kerana cadangan itu akan menyebabkan akta badan berkanun itu perlu dibuat pindaan.

Justeru beliau memahami kesukaran kenapa kerajaan berdepan kesukaran untuk melaksanakan cadangan tersebut seperti dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Alasan pertamanya kerana Akta KWSP yang perlu diubah jika cadangan itu dilaksanakan.

“Yang kedua pentingnya simpanan ini untuk keselamatan sosial pada pada masa depan iaitu pendapatan masa pencen,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambung pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat itu, sepatutnya kerajaan mencari sumber kewangan lain untuk membantu rakyat antaranya memperkenalkan dana skim pengangguran dan zakat selain simpanan yang sedia ada.

Jelas beliau, pada masa sama, kerajaan juga memiliki tanggungjawab untuk memberi bantuan dalam perpindahan secara terus.

“Contohnya, kerajaan boleh memperkenalkan kupon makanan, kupon biaya rumah dan kupon utiliti air serta eletrik dalam meringankan golongan rakyat yang terjejas ketika ini,” katanya.

Semalam, kerajaan membayangkan kesukaran untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan. – MalaysiaGazette

Sukar tak bermaksud mustahil, kata Najib

Shawaliah Hadir
MGF10102020_TEMUBUAL-EKSKLUSIF-DATUK-SRI-NAJIB_12
Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak. foto ISKANDAR HAMIDI,

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh memilih melaksanakan pengeluaran caruman dari Akaun 1 secara one-off atau ansuran dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Dalam masa yang sama kata beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh membeli bon dari pasaran tempatan sekiranya perlu untuk membantu KWSP sekiranya diperlukan, cadang Datuk Seri Najib Razak.

“Langkah BNM ini tidak berbahaya sebab Malaysia dan dunia kini dalam zaman inflasi negatif akibat ekonomi yang tertekan. KWSP juga boleh memilih untuk membayar pengeluaran one-off ini secara bulanan dalam tempoh tiga bulan atau enam bulan,” kata mantan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu Najib menganggarkan sejumlah RM45.7 bilion diperlukan sekiranya semua pemohon skim i-Lestari mahu mengeluarkan RM10,000 daripada akaun masing-masing.

“Itu pun jika semua mahu atau layak untuk mengeluarkan sebanyak RM10,000. Ada yang mungkin mahu jumlah lebih kecil untuk keperluan terdesak,” tambahnya.

Secara tidak langsung jelas Najib, dengan membenarkan Akaun 1 KWSP dikeluarkan, ekonomi tempatan dapat dirancakkan semula kerana rakyat mempunyai kuasa beli yang lebih.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan  itu menyifatkan pelaksanaan pengeluaran wang KWSP dari Akaun 1 tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Dan bila duit ini sampai ke rakyat terdesak dan dibelanjakan, ekonomi tempatan juga dirancakkan. (Jangan guna duit ini untuk beli iPhone 12 pulak).

“Ini zaman norma baharu. Sebab itu, norma baharu dan kaedah baharu juga diperlukan dalam pendekatan kerajaan untuk membantu rakyat serta merancakkan ekonomi.

“Sukar untuk membenarkan tak bermaksud mustahil untuk dilakukan. Nak, seribu daya… Pada masa depan setelah ekonomi pulih apabila krisis Covid-19 berlalu, barulah kerajaan dan pencarum cari jalan untuk pulihkan simpanan usia tua kita di KWSP,” katanya lagi.

Terdahulu semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sukar bagi kerajaan untuk membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias pula berkata akses kepada simpanan akaun satu bukanlah satu-satunya cara untuk mendapatkan wang tunai.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan telah menyediakan banyak bantuan kewangan langsung melalui PRIHATIN, PRIHATIN SME +, PENJANA, dan KITA PRIHATIN berjumlah RM55 bilion untuk B40 dan M40.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan sukar benar pengeluaran akaun 1 KWSP – PM

Kereta rempuh Masjidil Haram, pemandu pakai ihram ditahan

MEKAH – Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta merempuh Masjidil Haram malam tadi.

Kereta yang dipandu lelaki berpakaian ihram itu merempuh Pintu 89 di masjid suci umat Islam bagaimanapun terhenti selepas melanggarnya.

Sebelum itu, kereta berkenaan dipandu laju dan merempuh beberapa penghalang di kawasan yang sedang dalam kerja-kerja pembesaran itu.

Kejadian berlaku pukul 10.25 waktu tempatan dan 3.25 pagi waktu Malaysia.

Bagaimanapun, tiada sesiapa tercedera dan suspek telah ditahan oleh pasukan keselamatan.

Namun motifnya masih belum diketahui. – MalaysiaGazette

LIHAT VIDEO DI SINI

Daripada meminjam, baik keluar akaun 1 KWSP – MTUC .

MG111019_TINJAUAN-BELANJAWAN202002
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja di Malaysia yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja di Malaysia yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kelonggaran bagi pengeluaran tersebut antaranya dapat membantu mereka yang tiada pekerjaan mahupun kehilangan pekerjaan.

Menurutnya, ada kemungkinan pekerja terpaksa meminjam dengan institusi kewangan sehingga ke pinjaman ah long disebabkan terhimpit untuk meneruskan kehidupan harian.

“MTUC berpendapat daripada mereka meminjam, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran tersebut.

“Kaedah ini dapat mengurangkan beban ekonomi pekerja terhadap pinjaman sedia ada, bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan kehidupan harian di samping menggunakan dana yang dikeluarkan ini sebagai modal perniagaan perniagaan untuk menyara hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan membayangkan sukar untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan. – MalaysiaGazette

Permohonan Najib untuk mencelah semakan kehakiman Azilah didengar 8 Dis

Malaysiakini

Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 Dis depan untuk mendengar permohonan Najib Razak bagi mencelah dalam prosiding semakan kehakiman bekas pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang ingin mengenepikan sabitan serta hukuman mati terhadapnya atas pertuduhan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam Sarah Abishegam yang mewakili bekas perdana menteri itu, ketika dihubungi berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar semakan kehakiman Azilah.

Sebelum ini, pendengaran kedua-dua permohonan ditetapkan pada 21 Okt namun tarikh itu dikosongkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang telah dilanjutkan sehingga 9 Nov.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam J. Kuldeep Kumar mewakili Azilah.

Azilah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 5 Dis tahun lepas bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Najib yang ketika itu menyandang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Azilah, 43, meminta agar sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 diketepikan dan perintah agar kes itu dibicarakan semula.

Pada Disember tahun lepas, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihak media bahawa anak guamnya iaitu Najib, menyangkal semua dakwaan Azilah itu.

Azilah dan Sirul Azhar Umar, 47, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.

Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua anggota UTK itu.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.

-Bernama

Buat malu nama negara

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: "Setiap kali kes penderaan tular di media sosial, rakyat Malaysia dikecam warganet antarabangsa dan dilabelkan sebagai tidak bertamadun.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R Kalaivanan berkata, situasi itu pastinya memalukan Malaysia apabila kes kekejaman terhadap binatang ini menjadi topik bualan oleh masyarakat luar.

Menurutnya, dianggarkan hampir 50 kes kekejaman terhadap haiwan dilaporkan kepada pihaknya sejak Mac lalu.

"Antaranya adalah kes membuang kucing dan anjing, memelihara haiwan tanpa keperluan asas mencukupi, haiwan dibiarkan kebuluran, malah ada juga dipukul, dipotong dan diracun.

"Malangnya 50 peratus kes ini tidak mempunyai bukti mencukupi untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, seharusnya kes haiwan jalanan dizalimi tidak berlaku secara berleluasa.

"Sewajarnya masyarakat Malaysia menyayangi haiwan peliharaan dan jalanan.

"Bagi penggemar haiwan peliharaan, mereka tertakluk kepada beberapa keperluan utama iaitu persekitaran dan diet makanan sesuai, memastikan haiwan kelakuan semula jadi, ditempatkan bersama atau berasingan dan dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan atau penyakit," katanya.

Justeru, katanya, pendidikan berterusan serta kempen kesedaran mengenai perlindungan kebajikan haiwan perlu dipertingkatkan pihak berkaitan berikutan Malaysia bukan tempat tinggal pendera haiwan.

"Akta sedia ada juga mendidik rakyat mempunyai sikap bertanggungjawab dengan memastikan haiwan peliharaan atau terbiar mempunyai hak untuk hidup serta dilindungi daripada sebarang penderaan.

"Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan jika individu gagal menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan haiwannya, maka haiwan itu akan diambil dan pemiliknya tidak dibenarkan mengambil haiwan pemeliharaan lain untuk tujuan jagaan selama setahun.

"Tanggungjawab memelihara kucing, anjing, arnab atau haiwan ternakan lain, termasuk lembu, kambing adalah besar. Pemilik bukan sahaja memastikan makan dan minum dijaga rapi, tetapi wajib mengambil berat soal kesihatan dan ruang persekitaran habitat semula jadi," katanya.

Menurutnya, kekejaman haiwan mencakupi pelbagai tingkah laku kejam termasuklah meninggalkan haiwan peliharaan tanpa perhatian sepanjang percutian panjang, merantai haiwan peliharaan sepanjang hayat tanpa sebarang peluang bagi haiwan itu untuk membebaskan diri, menyimbah haiwan dengan air panas, mengabaikannya apabila haiwan itu menjadi buta dan berpenyakit, atau luka akibat dipukul.

Bukan hanya haiwan yang menjadi teman seperti anjing dan kucing sering didera waima hamster, guinea pig, arnab, reptilia dan haiwan peliharaan eksotik yang kebanyakannya dikurung juga sering diabaikan.

"Pihak sukarelawan SAFM giat mengumpul dana bertujuan membeli makanan dan ubat-ubatan khusus untuk haiwan-haiwan jalanan selain menyelamatkan haiwan yang dianiaya selain menampung perbelanjaan pusat perlindungan untuk haiwan malang," katanya.

Anggota tentera maut, kereta bertembung lori

Mohd Rashidi Yusuf

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba

Gerik: Anggota tentera maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 16, Jalan Gerik - Kupang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, Muhammad Azizi Ahmad, 25, dari Bukit Indera Muda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mengalami kecederaan parah di kepala, maut di tempat kejadian.

Isterinya, Nur Kamaliah Md Nor, 24, dari Lorong Sera, Kampung Air Puteh Junjung, Kulim, Kedah mengalami kecederaan patah bahu dan dihantar ke Hospital Taiping selepas mendapat rawatan awal di Hospital Gerik.

Pemandu lori, Khirul Amir Jafar, 35, dan kelindannya, Suhaimi Jafar, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan membabitkan Proton Saga dan sebuah lori jenis Nissan.

Katanya, siasatan mendapati Proton Saga dipandu Muhammad Azizi dari arah Kulim menghala ke Gerik, manakala lori datang dari Terengganu ke Kulim.

Beliau berkata, kereta dipandu mangsa bertembung secara berhadapan dengan lori menyebabkan pemandu maut di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan isterinya dirujuk di hospital sama sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut," katanya.

Terdahulu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik diketuai Mohd Nizam Zakaria mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Pengeluaran Akaun 1 KWSP bukan penyelamat tunggal

Ilah Hafiz Aziz
 
Menara KWSP, Jalan Tun Razak. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 bakal mengakibatkan masalah yang lebih besar di masa hadapan.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, walaupun ramai rakyat Malaysia berdepan kesukaran namun peringatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai masa hadapan rakyat perlu menjadi pertimbangan semua pihak.

"Mengeluarkan simpanan dalam akaun 1 tidak seharusnya menjadi satu-satunya untuk pencarum mendapatkan tunai dalam melalui kesukaran mereka.

"Kerajaan juga sudah menyediakan bantuan kewangan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), BPN SME+,Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kita Prihatin yang menelan belanja sehingga RM55 bilion untuk kumpulan B40 dan M40 serta kumpulan sasar lain.

"Malah pencarum turut dibenarkan untuk mengeluarkan wang akaun KWSP menerusi i-Lestari, dengan lebih RM11 bilion sudah dikeluarkan seramai 4.7 juta pencarum, sejak April tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alizakri berkata, simpanan persaraan itu adalah insurans masa hadapan pencarum dan keputusan mengeluarkan dari akaun itu bakal membahayakan perlindungan itu.

"Saya menyarankan agar pencarum membuat temu janji dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk mendapatkan pelan kewangan mereka ketika masa yang sukar ini," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

Katanya, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

PEMBERITAHUAN:

 BERITA POLITIK TELAH DIPINDAH KE DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Karnival buku dalam talian .

Fairul Asmaini Mohd Pilus
 
TEMPAHAN diteliti dan disiapkan sebaik mungkin.

Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) menganjurkan Karnival Buku Ilmiah Dalam Talian 2.0 (KABI 2.0) sehingga 12 November ini bagi membantu pelajar institut pengajian tinggi mendapatkan buku pengajian dengan harga yang lebih murah tanpa perlu keluar dari rumah sendiri.

Pelbagai pilihan buku dan tajuk ditawarkan pada karnival buku ilmiah itu bagi membolehkan pelajar peluang membuat pemilihan dengan lebih berkesan.

Pada edisi kali ini, MAPIM turut bekerjasama dengan platform marketplace Shopee sebagai rakan strategik dengan menganjurkan jualan MAPIM X Shopee yang akan diadakan bermula 26 Oktober hingga 11 November, iaitu acara kemuncak KABI 2.0.

Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran MAPIM, Azman Hashim berkata, sejajar dengan pengajaran dalam talian dan penangguhan pendaftaran pelajar ke kampus secara fizikal sehingga wabak Covid-19 terkawal, karnival itu dan MAPIM X Shopee adalah platform terbaik bagi pelajar mendapatkan bahan pembelajaran secara dalam talian.

Selain itu, ia juga menawarkan pelbagai pilihan dengan lebih 28 penerbit universiti dan juga swasta akan mengambil bahagian.

"MAPIM X Shopee juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan bukan sahaja buku berbentuk akademik, malah genre buku yang lebih meluas dengan harga yang berpatutan.

"Pada 11.11 ini, lebih 15,000 judul buku ditawarkan dalam KABI 2.0 dengan baucar pembelian, selain harga buku serendah RM11 ditawarkan oleh penerbit yang mengambil bahagian," katanya.

Menurut Azman lagi, selain aktiviti jualan dalam talian, karnival berkenaan turut menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan perbukuan antaranya slot bual bicara secara dalam talian Republika Merah; Aktiviti Larian, Berbasikal dan Baca (Virtual Run, Ride and Read - V3R) dan Hab Latihan MAPIM (MAPIM Training Hub - MATRAH).

Katanya, semua aktiviti yang dilaksanakan dalam Republika Merah seperti bual bicara buku, sesi bersama penulis dan sebagainya akan dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Facebook MAPIM.

"Bagi program (V3R 2020) pula, peserta boleh memilih sama ada untuk berlari lima kilometer (km) atau berbasikal (20km).

ANTARA proses menyiapkan tempahan.
ANTARA proses menyiapkan tempahan.

"Tarikh pendaftaran bagi program itu adalah sehingga 30 Oktober ini, manakala tempoh untuk membuat larian dan berbasikal sehingga 12 November depan.

"Setiap peserta akan menerima baju T, pingat, e-sijl dan baucar pembelian buku," katanya.

Sementara itu, MATRAH yang menganjurkan bengkel dan latihan berkaitan penerbitan akan diadakan sepanjang penganjuran berkenaan.

Bengkel itu bagaimanapun akan mengenakan caj minimum kepada peserta dan ia juga akan dijalankan secara dalam talian.

Nana ikuti kuliah agama

Norhayati Nordin
 
NANA lebih bersemangat apabila setiap produk seninya  diterima baik dan mendapat komen positif.

BIARPUN pelbagai sektor ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19, namun kehidupan tetap diteruskan. Suka dan duka yang kita lalui ketika ini adalah ujian besar.

Usah meratap takdir, tetapi bangkit dengan semangat positif.

Itulah yang dipegang penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana. Walaupun tahun ini amat mencabar, tapi masih ada kemanisannya.

Menurut ibu tunggal berusia 36 tahun ini, dia lebih tenang melihat positif pada saat sukar sekarang kerana Allah masih lagi memberi hamba-Nya peluang. Secara tak langsung, banyak masa di rumah itu sepatutnya menjadikan kita lebih berusaha dan kreatif.

"Saya tahu bukan saja penggiat seni seperti saya berhadapan masalah pendapatan terjejas akibat Covid-19, tetapi hampir semua orang. Namun, ada baiknya juga peluang duduk di rumah yang kita peroleh ini.

"Untuk saya sendiri, antara 'kemanisan' di sebalik dugaan hebat ini, banyak masa di rumah memberi ruang buat saya kenal dan memperbaiki diri sendiri.

"Masih ada banyak kekurangan diri yang perlu saya atasi. Selain itu, saya bersyukur masih memperoleh kesempatan menghabiskan masa bersama keluarga. Selama ini, saya jarang ada masa lapang yang banyak kerana begitu sibuk dengan kerja dan pelbagai aktiviti seni," katanya.

Menurut penyanyi lagu Terus Mencintai dan terbaharu, Angkara ini, dia sekarang banyak belajar secara dalam talian mengenai masakan serta mengikuti kuliah agama.

"Saya sentiasa percaya di sebalik dugaan yang Allah beri pada kita, pasti ada hikmah dan jalan keluarnya. Cuma kita kena sabar, cekal dan terus berusaha demi kehidupan yang perlu dijalani ini.

"Semua orang terkesan dan cara saya menghadapi situasi perit ini, kena tetap positif, yakin sepenuh hati ada hikmah di sebaliknya dan belajar membiasakan diri menjalani rutin norma baharu dalam kehidupan," katanya.

Mengulas kerjaya seninya, Nana berkata, kini dia memberi tumpuan untuk menyiapkan dua lagu baharunya yang bakal dilancar tahun depan, termasuk menghasilkan projek album kerohanian.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerjaya nyanyian masih lancar walaupun perlu menghadapi pelbagai dugaan. Saya gembira keberadaan diri dalam industri seni masih mendapat sokongan peminat dan saya tidak menyepi.

"Ia penting buat saya untuk 'tidak menyepi' kerana pernah berlaku kepada saya dahulu yang 'hilang seketika'. Bukan mudah mendapatkan peluang untuk diterima semula. Jadi, sekarang saya tak boleh senyap dan kena keluar dengan produk seni berkualiti.

"Kini, saya giat berusaha ke arah itu kerana tidak mahu menghampakan peminat yang terus memberi sokongan. Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang terus menyokong saya dan pasti menerima apa saja produk saya keluarkan," katanya.

Nana berkata, dia menjadi lebih bersemangat apabila setiap produk seninya seperti lagu bukan sekadar diterima baik, tetapi turut mendapat komen positif yang mendoakan kebaikan daripada peminatnya.

Mengulas perancangan album kerohanian itu, Nana berkata, dia akan bekerjasama dengan beberapa orang ustaz, namun belum mahu berkongsi nama-nama ustaz terbabit.

Mengenai lakonan pula, Nana berkata, jika tiada aral dia akan memulakan penggambaran drama tahun depan. Apa judul drama bakal dibintangi itu masih dalam perbincangan dengan pihak produksi.

DALAM perancangan hasil album kerohanian dan akan bekerjasama dengan beberapa orang ustaz.
DALAM perancangan hasil album kerohanian 
dan akan bekerjasama dengan beberapa orang ustaz.

Teruja mengarah video muzik

Bakal muncul dengan sekurang-kurangnya tiga lagu baharu pada tahun depan, Nana teruja untuk berkongsi hasil kreatif video muzik salah satu lagunya yang dilancar pada 1 Januari nanti.

Menurut Nana, dia akan menjadi pengarah video muzik lagu itu dan ia satu pengalaman bermakna buatnya kerana sudah lama menyimpan impian.

"Selama pembabitan dalam kerjaya seni, boleh dikatakan saya kini sudah berjaya mencapai sekitar 60 peratus impian di hati. Salah satunya keinginan mengarahkan video muzik sendiri.

"Setakat ini, bahan lagu sudah siap dan dalam proses rakaman. Selepas itu, video muzik akan dirakam dan saya berdoa segala perancangan ini akan lancar. Insya-Allah, semoga ia menjadi kenyataan," katanya.

Tidak berbicara lanjut mengenai genre lagu dan konsep video muzik itu, Nana berkata, tidak bagus untuk berkongsi banyak pada peringkat awal.

Memandangkan ketika ini kes jangkitan Covid-19 belum reda, Nana berharap supaya kita semua akur dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Katanya, semua perlu patuh menjaga kebersihan dan elakkan daripada sebarang tekanan.

Menurut Nana, rakyat Malaysia pasti boleh memutuskan rantaian Covid-19 yang masih mencatat peningkatan tinggi jika melakukannya bersama-sama.

Menurut pelakon drama Dia Semanis Honey dan Cekelat Honey ini, kita semua pernah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dan sekarang cuma perlu terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Lebih 70 rumah rosak dilanda ribut

 Oleh AJIE MUSTAFA

PENDUDUK Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang, bergotong-royong membaiki bumbung rumah mereka yang rosaK selepas dipukul ribut malam semalam.

KUANTAN: Lebih 70 buah rumah rosak di bahagian bumbung ekoran angin kencang dan ribut selama kira-kira 30 minit yang melanda kawasan perumahan Indera Mahkota 2, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu turut menyebabkan beberapa kenderaan rosak ditimpa kayu serta dahan pokok.

Seorang remaja yang sedang menunggang motosikal turut cedera ditimpa pokok.

Wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan perumahan itu, Mohd. Razif Ramli, 42, berkata, dua hari lalu, kawasan perumahan di situ turut dilanda ribut, namun ia tidak seteruk semalam.

“hujan lebat diikuti angin kencang sehingga menyebabkan banyak bumbung rumah diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui di Indera Mahkota 2 di sini hari ini.

Mohd. Razif berkata, penduduk di situ turut bergotong royong memasang bumbung rumah yang tercabut diterbangkan angin ribut.

“Dianggarkan lebih RM360,000 kerugian ditanggung semua penduduk yang terlibat ekoran kejadian ribut semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada denda jika tak kibar bendera

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS

Ahmad Suaidi Abdul Rahim

IPOH: Tiada denda akan terhadap pemilik premis perniagaan dan bangunan persendirian yang tidak mengibar bendera negeri pada sambutan hari ulang tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah 6 November ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam surat pemakluman kepada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan hari ini.

Menurutnya, usaha menyemai semangat taat setia dalam kalangan rakyat kepada Sultan hendaklah dilakukan secara arif dan berdiplomasi.

Beliau berkata, ini agar semangat kesetiaan yang sahih subur dalam jiwa rakyat.

“Premis perniagaan dan persendirian termasuk masjid dan rumah ibadat digalakkan mengibar bendera negeri secara sukarela.

“Sehubungan itu diingatkan segala usaha bagi menggalakkan pemilik premis perniagaan dan bangunan persendirian mengibarkan bendera dan menyalakan lampu bangunan dilakukan secara berhemah.

“Pihak berkenaan tidak mengenakan sebarang denda atau kompaun sekiranya pemilik premis tidak berbuat demikian,” katanya.

Menurut Ahmad Suaidi, sebagai lambang taat setia kepada Sultan Perak, bangunan kerajaan, pejabat, institusi pengajian dan sekolah di negeri ini hendaklah mengibarkan bendera negeri.

Beliau berkata, sementara premis perniagaan dan persendirian termasuk masjid dan rumah ibadat digalakkan melakukan perkara yang sama secara sukarela.

“Bangunan-bangunan juga digalak untuk menyalakan lampu sehingga pukul 12 tengah malam pada 5 dan 6 November ini,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan kompaun akan diambil terhadap pemilik premis perniagaan yang tidak mematuhi arahan mengibarkan bendera negeri Perak pada sambutan hari ulang tahun Keputeraan Sultan Perak.

Tindakan kompaun adalah langkah terakhir yang akan diambil setelah usaha menasihati gagal diikuti oleh pemilik premis perniagaan di bandaraya ini. – UTUSAN ONLINE

PM bayangkan HSR dibina dalam masa terdekat

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

MUHYIDDIN Yassin berucap pada Majlis Perjumpaan bersama Kepimpinan Masyarakat Parlimen Pagoh, Kompleks Sukan Pagoh, Muar. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

PAGOH : Perdana Menteri membayangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2029.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek yang membabitkan kos lebih RM50 bilion itu akan memberi pelbagai manfaat kepada negara di samping tempoh perjalanan Kuala Lumpur-Singapura bakal mengambil masa 80 minit.

“Rakyat Parlimen Pagoh paling bertuah kerana sebuah stesen HSR akan wujudndi sini iaitu berdekatan Universiti Hub Pendidikan Tinggi Pagoh. 

“Projek ini akan melalui kawasan ini dan merupakan peluang kita untuk meningkatkan peluang ekonomi di kawasan ini,” katanya dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan kerajaan akan mewujudkan zon ekonomi Pagoh di atas tanah seluas 4,000 ekar dengan membawa masuk pelbagai syarikat gergasi antarabangsa.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Pagoh pada baru-baru ini dan ia bakal dibangunkan oleh Sime Darby Property.

“Usaha ini bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi.

“Perancangan untuk Pagoh bukan setahun dua tahun tetapi berterusan, justeru itu saya berharap rakyat dapat mengambil peluang ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Pelancongan Melaka ‘musnah’ angkara PKPB Lembah Klang

 Oleh MUHAMMAD AIMY AHMAD

Muhammad Jailani Khamis

MELAKA: Pelan pelancongan Melaka yang dirangka oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan semula pertumbuhan sektor itu ‘musnah’ gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pelbagai mekanisme telah dilakukan seperti merendahkan harga, pakej-pakej menarik, meningkatkan kualiti dan pembersihan berkala.

Namun, kesemua usaha itu kini dilihat tergendala termasuk sasaran menarik kehadiran 5.6 juta pelancong menjelang hujung tahun ini.

“Saya tak tahu macam mana lagi nak buat kerana kita sudah buat macam-macam cara, apabila PKPB dilaksanakan di Lembah Klang pelancong hujung minggu dari tiga negeri ini tidak dapat datang jadi perkara begini banyak merosakkan Melaka.

“Semasa gelombang pertama dahulu kerajaan negeri masih ada rizab yang baik jadi kita tidak terlalu terkesan teruk dan berharap tidak berlaku gelombang seterusnya tetapi akhirnya ia berlaku juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datin Zuraida Kamaruddin di Taman Klebang Utama, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, ujar Muhammad Jailani, pihaknya menaruh harapan agar PKPB tersebut tidak disambung lagi selepas ini atau melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi membolehkan pelancong datang ke Melaka.

Sementara itu, mengulas mengenai Bajet negeri Melaka dan Persekutuan 2021 yang akan dibentangkan kelak, beliau berharap fokus kepada sektor pelancongan yang kini terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik Covid-19 diberi perhatian sewajarnya.

Ujar Muhammad Jailani, antara yang diharapkan pihaknya adalah kewujudan rizab pelancongan yang dapat membantu sektor berkenaan jika berlakunya sebarang musibah yang tidak dijangka pada masa depan.

Jelasnya, dengan adanya rizab tersebut, ia dapat disalurkan kepada pemain industri pelancongan yang terkesan, sekali gus dapat mengelak sektor tersebut daripada lumpuh sepenuhnya.

“Apabila berlakunya Covid-19, kita mula sedar betapa pentingnya rizab untuk pelancongan. Jadi saya sangat berharap bajet Persekutuan dan negeri dapat memikirkan satu jumlah rizab untuk industri pelancongan sekiranya berlaku musibah seperti ini. 

“Jadi jika adanya rizab tersebut, kita hanya akan gunakan apabila perlu sahaja supaya kita dapat bertahan dalam tempoh sukar, sekali gus dapat mengelakkan pembuangan pekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

'Cari kaedah baharu PRU, perluas undi pos'

Kaedah baharu mengundi perlu dipertimbangkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19, seperti berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan lalu. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.
Kaedah baharu mengundi perlu dipertimbangkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19, seperti berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan lalu. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar memperhalusi kaedah melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan selamat jika ancaman COVID-19 berjaya diredakan namun situasi politik negara tetap tidak stabil.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata ia sejajar intipati kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sejurus mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu iaitu kemungkinan PRU-15 dilaksanakan selepas penularan wabak berada di tahap minimum.

"Buat masa sekarang dan baki tahun ini, UMNO sedar rakyat tidak mahukan PRU yang tergesa-gesa.

"Yang di-Pertuan Agong sudah menggambarkan dalam titah baginda bahawa ketegangan politik perlu dikendurkan dalam pada negara menghadapi gelombang ketiga COVID-19.

"Namun setelah ancaman COVID-19 diredakan dan andai kata situasi politik masih tidak stabil dengan majoriti terlalu tipis, maka mengembalikan mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan.

"Cuma kita tidak boleh hanya memberi gesaan terbabit tanpa memikirkan bagaimana untuk menjalankan pilihan raya dengan selamat, mengambil iktibar pengalaman kita di Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahril berkata, antara perkara yang wajar diperhalusi adalah prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, ketat dan memberi keyakinan kepada rakyat serta petugas parti.

Katanya, SOP perlu jelas dan tidak berubah-ubah sepanjang berkempen seperti tiada ceramah atau rapat umum dibenarkan manakala penguatkuasaan perlu adil tanpa mengira parti.

"Selain itu, hak mengundi melalui undi pos wajar diperluas kepada seberapa ramai yang mampu, terutama pengundi luar kawasan dan golongan berusia seperti warga tua yang menghadapi risiko lebih tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

"Tiada sebab ia tidak boleh dilaksanakan jika ada kemahuan politik. Di Amerika Syarikat, lebih 80 juta rakyatnya mengundi dalam pemilihan Presiden mereka dan ramai dalam kalangan itu adalah undi pos. Mengapa tidak Malaysia?

"SPR boleh menambah saluran dan tempoh mengundi jika ada pengundi mahu mengundi secara manual.

"Ini hak pengundi tetapi perubahan prosedur wajar dilaksanakan bagi mengelak kesesakan di tempat mengundi," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tanggungjawab melaksanakan pilihan raya dengan selamat bukan terletak di bahu SPR dan kerajaan semata-mata, kerana ia turut menuntut komitmen ahli politik.

"Ada yang masih berkeras ahli politik tidak bersalah terhadap gelombang ketika COVID-19 susulan PRN Sabah.

"Sebagai seorang yang pernah dijangkiti COVID-19 dan menginsafi pengalaman kempen yang saya sendiri terbabit, saya tak perlu nafikan wujud kekurangan pihak parti politik termasuk UMNO yang menyumbang kepada apa yang berlaku sekarang.

"Mungkin ada faktor lain membawa kepada gelombang ketiga, tetapi pengamal politik wajar mengakui dan menginsafi kita juga ada tanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Sebelum menyalahkan orang lain, eloklah melihat diri sendiri terlebih dahulu," katanya.

37 individu dikompaun, 18 GRO dicekup

SERDANG: Seramai 36 pengunjung dan seorang pekerja di tiga pusat hiburan di Jalan Puteri, Puchong dekat sini, malam tadi dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menerusi Ops Noda bermula jam 10 malam itu, serbuan dilakukan 15 anggota dan lima pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata pihaknya turut menahan 18 wanita warga Vietnam dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan tujuh pekerja lelaki Myanmar serta Bangladesh di pusat hiburan terbabit.

"Semua individu dikompaun dan ditahan itu berusia antara 25 hingga 55 tahun. Operasi berjalan lancar. Saya juga sempat menemubual beberapa pelanggan yang dikompaun.

"Tiada sebarang pertengkaran berlaku. Mereka akur dan terima denda yang dikenakan.

"Kita harap perkara ini tidak berulang," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, lewat malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b dan 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Perkara 3 dan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan).

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya akan mengadakan operasi pematuhan PKPB di Serdang, dari semasa ke semasa bagi mengawal penularan COVID-19.

"Tujuan operasi adalah untuk mendidik masyarakat betapa pentingnya pematuhan arahan PKPB bagi memutuskan rantaian COVID-19 daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat.

"Jika masih terdapat kesalahan, maka kita akan keluarkan kompaun," katanya.

Sekolah agama, TABIKA, TASKA di zon merah tutup

JOHOR BAHRU: Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA), taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dan pusat aktiviti yang berada di zon merah, di sini, diarahkan tutup sementara dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, arahan penutupan SAKJ itu dibuat susulan daerah ini yang diklasifikasikan sebagai zon merah mulai semalam oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, semuanya SAKJ ditutup bermula 1 sehingga 14 November ini yang meliputi daerah Johor Bahru dan Kulai.

"Arahan penutupan sementara ini membabitkan semua SAKJ, semua Tadika Agama Johor, semua sekolah Darjah Khas, Kolej Marsah Johor, semua Maahad dan Pusat Tahfiz berdaftar serta sekolah agama persendirian berdaftar di sekitar Johor Bahru dan Kulai.

"Arahan ini turut merangkumi mana-mana pusat tahfiz, pondok dan madrasah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail, berkata semua TABIKA, TASKA, pusat jagaan, pusat aktiviti warga emas dan kanak-kanak serta pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di zon merah, di sini, ditutup sementara bermula 2 hingga 14 November ini.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memutuskan sebanyak 269 kelas TASKA dan TABIKA membabitkan 7,104 kanak-kanak akan ditutup sementara, selain arahan sama turut dikeluarkan bagi pusat jagaan warga emas dan pusat PDK.

"Keputusan penutupan ini mengambilkira pandangan dari Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal dan tidak dijangkiti kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas," katanya

Friday, October 30, 2020

Disyaki jadi punca pencemaran air, kilang makanan diarah henti operasi

  AZRUL RADI

 
Difahamkan, terdapat pelepasn air berwarna putih dari kilang tersebut melalui saluran paip bawah tanah yang menuju ke Sungai Balak.
 
Malah, siasatan JAS juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah yang mengalir ke Sungai Balak.
 
Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, pihaknya telah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) yang mana operasi pengeluaran kilang diberhentikan serta merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang.
 
“Pihak kilang juga diarahkan untuk melakukan kerja-kerja penutupan saluran haram ke Sungai Balak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai yang telah tercemar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Menurut Norlin, tiga sampel telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM), dengan keputusan analisis kimia dijangka diperolehi dalam masa terdekat.
 
Jelasnya, Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar juga dikeluarkan bagi melarang pengendalian proses perindustrian untuk satu tempoh sehingga langkah-langkah pemulihan sepertimana diarahkan itu dipatuhi.
 
“Kertas siasatan juga telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974,” katanya.
 
Tambahnya, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
 
Rabu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan laporan berhubung pencemaran air di alur sungai di di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS). -SM

Bangga buat terowong, menara, bila buat masjid mula negatif

  KHAIRULANUAR YAHAYA

Annuar berkata, pihak yang sama bangga bila mahu membina lapangan terbang dan menara walaupun sudah wujud pembinaan kemudahan yang sama di lokasi berhampiran.

Katanya, pihak yang sama turut berasa bangga bila mahu membina terowong bawah laut walapun telah ada dua jambatan yang boleh digunakan untuk merentasi laut berkenaan.

“Ada yang bangga bila buat lapangan terbang, walau sudah ada airport berdekatan. Bangga buat terowong bawah laut,walau ada dua jambatan merentasi laut.

“Bangga nak buat menara walau dah bersepah menara di Kuala Lumpur. Tapi bila nak buat masjid, pusat al-Quran mereka mula negatif,” kata Annuar kesal.

Hari ini ciapan Annuar mengenai projek Quranic Village dihentam golongan yang tidak senang dengannya pelaksanaannya.

Menurut mereka lebih baik wang tersebut digunakan untuk masyarakat ketika Covid-19 melanda.

Anwar berkata, projek itu akan diuruskan secara bersama oleh Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Restu.

“Pembiayaannya turut di biayai melalui Dana Wakaf dan swasta. Ia merupakan extension kepada Kompleks Nasrul Quraan sedia ada. Mungkin ramai yang belum lawati pusat ini,” kata Annuar.

Annuar dalam kenyataan awalnya berkata, rekabentuk Quranic Village sudahpun hampir siap dan akan memulakan pembinaannya di pusat pentabiran kerajaan, Putrajaya tahun depan.

Peruntukan awal bagi pembinaan perkampungan itu di atas tapak seluas 20 ekar sudahpun diluluskan dan dijangkan akan memulakan pembinaan pada 2021.

Perkampungan Al-Quran akan dibangunkan dengan kos kira-kira RM150 juta. Antara lain perkampungan itu akan menempatkan sebuah masjid baharu berkonsepkan ‘al-Quran’ bernilai RM50 juta.

Masjid baharu itu di Perkampungan al-Quran itu menjadi masjid ketiga di Putrajaya dan akan dibina di Presint 14.

Pembinaan Perkampungan al-Quran adalah langkah untuk memperluaskan lagi identiti bandar pentadbiran negara itu yang sinonim dengan seni bina serta ‘roh’ Islam dan juga lokasi pusat pencetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.-SM

Dr. Noor Hisham sekali lagi tegaskan belum masa adakan pilihanraya

Menurutnya, ketika ini bacaan R-naught Covid-19 pada tahap 1.0 menunjukkan masih berlaku penularan pandemik dalam kalangan masyarakat.

Katanya, mengikut bacaan itu jika terdapat 100 orang positif Covid-19 maka ia akan merebak kepada 100 yang lain.

“Jadi buat masa ini masih tidak sesuai untuk kita mengadakan pilihan raya. R-naught masih belum dilandaikan kepada 0.3.

“Walaupun kita lihat ada puncak pada 24 Oktober dan 26 Oktober iaitu 1228 kes dan 1240 kes. Kes ini disumbangkan oleh kluster penjara. Alhamdullilah, setakat ini boleh kawal dalam penjara seperti depoh tahanan. 

“Dalam komuniti kita masih perlu berusaha mempergiatkan aktiviti, kalau kita patuh SOP dalam tempoh dua tiga minggu kita boleh turunkan R-naught kepada 0.5 ini yang penting,” tegas Dr. Noor Hisham dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya ketika gelombang ketiga bermula pada 20 September lalu bacaan R-naught adalah 2.2.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan di empat negeri, KKM berjaya menurunkan R-naught kepada 1.5.

“Dan kalau kita lihat semalam kalau kita ikut unjuran 1.5 sepatutnya kita mendapat kes iaitu kes seharian sebanyak 1200 kes.

“Tetapi semalam kita hanya mendapat 649 kes dan hari ini kita ada 799 kes. Tetapi kalau ikut unjuran hari ini kita dapat 1300 kes.

“Bererti kita sudah berjaya merendahkan atau melandaikan lengkungan iaitu kurang 1.5 selepas dua minggu PKPB,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, semua rakyat khusus di empat negeri perlu patuh kepada prosedur operasi standard.

Jika mereka boleh duduk di rumah untuk tempoh dua minggu lagi negara boleh melandaikan R-naught kepada 0.3.

Walau bagaimanapun menurut Dr. Noor Hisham, jika pilihan raya tidak dapat dielakkan kerana peruntukan Perlembagaan maka ia perlu  mengikuti tiga prinsip yang ketat.

“Pertama ialah tidak ada melintas sempadan ataupun daerah. Yang kedua tidak membenarkan perhimpunan ataupun berkempen secara ramai-ramai.

“Yang ketiga tidak ada walk about ataupun kunjungan dari rumah ke rumah. Kalau kita tidak mengikut kepatuhan jadi mungkin Covid-19 akan merebak,” amaran Dr. Noor Hisham.-SM