KOTA TINGGI - Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) tempat belajar
Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi hari ini pertama kalinya
tampil dalam satu kenyataan sekali gus merungkai segala pertanyaan orang
ramai ekoran kejadian yang berlaku.
Menerusi kenyataan dikeluarkan jemaah pengurusan di Facebook rasmi
madrasah berkenaan dipetik berkata, seperti mana yang dipersoalkan orang
ramai, pihak madrasah mengakui maklum tentang rekod jenayah lampau
dimiliki pembantu warden berkenaan.
Menurutnya, pembantu warden tersebut telah mengaku sendiri tentang
sejarah lamanya setelah diterima berkerja di madrasah sekali gus
membuatkan pihak madrasah memahaminya yang cuba bersikap jujur untuk
membaiki kehidupan.
"Kerana kami maklum, dia telah diberi parol dan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik.
"Rentetan daripada itu, kami berpendapat, andainya pengarah penjara
mengakui beliau sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal, apakah
kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya.
"Apakah pendirian anda semua tentang memberi peluang kepada seseorang untuk menjadi lebih baik?
"Semoga kita semua terus diberi peluang untuk menjadi lebih baik dan
berubah kearah yang lebih baik. Beliau telah menjalankan tugas dengan
baik dan beliau bukan seorang ustaz.
"Kami berani menyatakan komitmen beliau melebihi para ustaz di madrasah
kearah berubah menjadi insan yang lebih baik. Kekurangan seorang
manusia tidak sepatutnya memberhentikan dia terus menjadi manusia,"
kenyataan itu dipetik.
Katanya, kenyataan itu bagaimanapun tidak sama sekali membela pembantu
warden tersebut ketika dia memilih untuk mengambil tindakan terhadap
pelajar dengan menggunakan getah paip.
Jelasnya, kejadian yang berlaku (sebat) ia bukan seperti yang orang
ramai gambarkan dan pihaknya mempunyai bukti kejadian dalam rakaman
litar tertutup (CCTV) yang telah diserah pada Polis Diraja Malaysia
(PDRM).
Dalam tulisan tersebut turut memaklumkan, kenyataan dikeluarkan itu
sama sekali tidak bertujuan untuk mengganggu siasatan atau mengulas
perkara-perkara yang mungkin memberi kesan kepada siasatan pihak
berkuasa.
Sebaliknya, tulisan itu dibuat kerana setelah hampir dua minggu
madrasah menerima kecaman, tohmahan dan ugutan, serta begitu banyak
tekanan diberi tanpa sebarang jawapan.
Ekoran itu, atas rasa kebimbangan sekiranya tiada sebarang jawapan dari
madrasah, ia akan terus menyebabkan orang ramai tertanya-tanya dan
memungkinkan fitnah berleluasa.
Kenyataan itu turut memaklumkan tulisan berkenaan tidak dapat memberi
fokus yang banyak tentang sikap Allahyarham Thaqif, dakwaan penderaan,
dan hal-hal yang mungkin mengganggu emosi keluarga Allahyarham.
Ia berikutan kerana sedari awal pihak madrasah telah menjaga adab untuk
sama sekali tidak mahu mengguris perasaan keluarga Allahyarham.
Selain itu, tulisan berkenaan turut mengakui madrasah tersebut tidak
didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan berikutan ia tidak
disyaratkan namun madrasah sangat gembira untuk mendaftar dibawah
kementerian apapun selagi ia boleh menambah baik sistem di madrasah
tersebut.
"Seperti yang ditularkan dan ada didalam dada akhbar tentang luahan
arwah menggambarkan beliau sedang merasa perit semasa proses
pembelajaran di MTAJ, ia agak sukar dijelaskan buat masa ini.
"Bagaimanapun, terdapat enam keping lagi surat dari arwah yang mungkin
boleh menjelaskan watak sebenar arwah yang telahpun diserahkan kepada
pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Istilah yang digunakan mungkin tidak boleh menggambarkan hakikat
sebenar kejadian. Sebagai contoh, bila sesorang pelajar menggambarkan
dia dibuli, kita harus mendalami hakikatnya. Apakah buli yang kita
faham?
"Untuk hal ini, kita beri ruang untuk polis jalankan siasatan,"
katanya yang turut mengalu-alukan lawatan masyarakat ke madrasah
tersebut.
Jelasnya, MTAJ tidak mahu mendabik dada mengatakan tiada pelajar yang
mungkin mengambil kesempatan terhadap pelajar lain, kerana ia
berpotensi untuk berlaku dimana-mana sahaja pusat pengajian, namun,
dalam konteks MTAJ, ia adalah terkawal.
Tegasnya, MTAJ juga adalah sebuah madrasah tahfiz yang didirikan dengan
bantuan ramai umat islam dan sama sekali tidak berteraskan keuntungan.
Oleh yang demikian, apa jua bentuk sumbangan kewangan digunakan untuk
melengkapkan fasiliti agar anak-anak MTAJ dapat belajar dengan serba
serbi dan cukup.
Sebelum ini kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke Hospital
Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 19 April menjadi tular di media
sosial selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki
sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden
madrasahnya.
Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif
Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong
dari jari hingga bawah siku, namun pembedahan ditangguhkan kerana
jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil.
Bagaimanapun, selepas lapan hari bertarung nyawa, akhirnya Allahyarham
Mohamad Thaqif Amin, 11, meninggal dunia pada 2.05 petang pada 26 April
lalu ketika sedang dalam rawatan di HSI.