Wartawan Sinar Harian
Dr Abu Hassan
DEMAM K-Pop tidak sahaja melanda penggemar muzik di
negara ini malah di serata dunia. Kini, konsep muzik dan fesyen dari
Korea diikuti peminat khususnya kumpulan remaja tanpa mengira kaum.
Peminat mengatakan mereka kebanyakannya mengikuti di Youtube sahaja.
Tetapi mengapa ia bagai menjadi fenomena besar? Bicara Isnin untuk siri
akhir ini mendapatkan pandangan pakar akademik, juga Dekan Fakulti
Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Dr Abu
Hassan Hasbullah.
Mengapakah K-pop yang dibawa oleh artis Korea dengan mudah
diterima sehingga ada yang fanatik sedangkan terdapat perbezaan bahasa?
PROF ABU HASSAN: Fenomena K-Pop ini bermula dengan
dasar pembangunan “creative futures”. Ia disusun dan mempunyai strategi
intelektual, praktikal dan pragmatik oleh Korea dengan bantuan dana yang
berkesan kepada kalangan penggiat dan pengusaha kecil yang akhirnya
menghasilkan satu genre baru dalam seni muzik, dengan bentuk dan
kandungan baru jauh berbeza dengan seni muzik tradisi.
Akhirnya inovasi ini mencipta pasaran kerana ia adalah produk “creative
futures” yang bergerak ke arah masa depan, bukan sekadar salinan
kandungan yang terdapat dalam warisan.
Sebagai sesuatu yang baru dan luar biasa, tentu sekali K-Pop
mencetuskan pasaran, dan pasaran ini akan berkembang di mana sahaja
sebagaimana jenama telefon pintar dan tablet mencipta pasaran.
Justeru, salahkah untuk memuja mesin taip, atau joget? Tentulah tidak,
tetapi inovasi ke atas warisan budaya seperti Dikir Barat yang dibentuk
mengikut genre masa depan pasti mencipta pasaran seperti K-Pop.
Malangnya keupayaan ini terbatas di negara kita walaupun ada Dasar
Industri Kreatif dan Dana Pembangunan Industri Kreatif kerana pengurusan
yang tidak pragmatik dan tidak praktikal. Di Malaysia, syarikat besar,
pengusaha yang sudah memiliki aset dan pasaran diutamakan sedangkan yang
sepatutnya dibina ialah pasaran baru yang terhasil daripada kebangkitan
penggiat kecil dengan reka cipta kreatif dan inovatif.
Inilah yang disebut “Creative Economy” atau “Economy of Attention”
iaitu pengupayaan masyarakat yang bertaburan untuk terlibat mencipta dan
memasarkan karya mereka seperti yang terjadi di Korea. Industri kreatif
mengatasi perbezaan seperti bahasa, resam dan pakaian kerana kreatif
adalah fesyen atau ragam penghidupan dan inovasi adalah “future”.
Penggiat kecil yang bertaburan adalah sumber pembinaan pasaran, manakala
pengusaha besar hanyalah pedagang yang tidak pernah membangunkan
sesuatu kebangkitan baru ekonomi.
K-Pop adalah bukti, muncul daripada penggiat kecil yang bertebaran, dan
dibantu secara dana dan strategi dan akhirnya, mencipta dan membina
ekonomi. K-Pop adalah produk “creative futures” yang terhasil dari
kesungguhan masyarakat Korea khususnya golongan muda untuk menyertai
rekaan produk kreatif, dan kesan dari kegigihan, keterbukaan dan
kecekapan pengurusan strategi ekonomi kreatif oleh institusi kewangan,
jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi Korea dalam menyokong
aktiviti KPop. Akhirnya K-Pop adalah ekonomi Korea Selatan itu sendiri.
Adakah penerimaan kepada muzik K-Pop ini boleh dipanggil budaya baru apabila kehadirannya dikatakan seperti satu fenomena?
PROF ABU HASSAN: K-Pop bukan budaya baru tetapi adalah
salah satu genre muzik yang dicetuskan dalam aktiviti seni dan
kreativiti masyarakat Korea terutama generasi muda yang terdedah secara
langsung dalam pertumbuhan ekonomi kreatif, lantas K-Pop dicipta dan
dibina pasarannya oleh artis-artis K-Pop yang merupakan kumpulan
anak-anak muda pragmatik, yang cuba mengembangkan perusahaan budaya ini
dengan sokongan secara keseluruhan institusi masyarakat khususnya
bank-bank dan jabatan kerajaan.
K-Pop sama sahaja dengan perayaan terhadap Elvis Presley, The Beatles,
Abba, Michael Jackson, Madonna dan Justin Bieber iaitu industri budaya
popular. K-Pop muncul daripada artis-artis muzik Korea Selatan akibat
daripada fikiran dan strategi untuk membina pasaran, selain daripada
pasaran klasik yang dikuasai oleh Hollywood, ataupun genre-genre seperti
pop, rock, jazz dan sebagainya.
K-Pop menjadi fenomena kesan daripada K-Pop yang telah berjaya mencipta
pasaran dari bentuk dan kandungan muziknya, sebagaimana Coca-Cola
mencipta pasaran sejak sekian lama. K-Pop menjadi bukti bahawa industri
kreatif jika diuruskan dengan pragmatik, praktikal dan profesional akan
berupaya menjadi sektor penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK). Oleh itu, di Malaysia sendiri dijangka industri kreatif akan
menjadi penyumbang KDNK ketiga terbesar menjelang 2015 sekiranya
diuruskan sempurna, terutama kesedaran tinggi institusi kewangan untuk
menyokong penggiat kecil yang menguasai 70 peratus sumbangan terhadap
industri.
Jika boleh dipanggil budaya, adakah ia satu budaya yang mampu dikenang dan bertahan lama atau sekadar budaya bermusim?
PROF ABU HASSAN: K-Pop bukan budaya tetapi hanya genre
muzik. Sebagai genre muzik, ia hanya suatu jenama atau “brand” yang
dicipta dengan inovasi ke atas persembahan, pakaian, dan lain-lain
walhal KPop masih dalam genre “pop”. Ini menunjukkan tidak timbul ia
bermusim atau tidak kerana muziknya jelas adalah pop cuma persembahan
sahaja yang berbeza daripada kelaziman.
Ledakan genre muzik K-Pop menunjukkan bagaimana luar biasanya bangsa
Korea ini dalam menempatkan industri kreatif mereka di persada pasaran
ekonomi industri budaya melalui penjelmaan, penjenamaan dan pemartabatan
aktiviti “creative futures” sehingga akhirnya K-Pop bukan sahaja
membawa genre muziknya sebagai genre utama dalam industri muzik dunia,
di samping menempatkan segala budaya dan warisan Korea sebagai kandungan
dalam kebudayaan dunia.
Inilah yang ditunjukkan oleh Samsung, Hyundai, Kia kerana mereka
memahami bagaimana dengan membina kepakaran “creative futures” maka
mereka akan membina dan menguasai pasaran ekonomi kreatif, iaitu sektor
ekonomi terbesar dalam Kurun 21.
Malangnya, industri muzik kita pula semakin menjunam, bukan kerana kita
tidak punya tenaga atau graviti untuk menjadi seperti Korea dengan
K-Popnya, sebaliknya industri kita penuh dengan masalah pengurusan
seperti bagaimana teruknya penggiat-penggiat seni, pengusaha industri
kreatif dibantai dan ditibai oleh institusi kewangan, dan lebih malang
penggiat dan pengusaha kreatif kecil dan sederhana sentiasa diherdik
kerana tidak ada jaminan kewangan yang kuat untuk membolehkan pinjaman
diluluskan, walhal pinjaman itu sendiri adalah peruntukan dalam Dana
Industri Kreatif.
Misalnya, “syarikat ini kecil, sumber kewangan tak kukuh”, “jaminan
tidak cukup”, dan segala macam. Lalu bagaimana hendak menjayakan
citacita memajukan industri kreatif sebagaimana Korea Selatan melalui
KORUS (Korea Cultural Center) dan KOFIC (Korea Film Council) yang
berjaya memajukan industri kreatif sebagai penyumbang KDNK utama, dan
pembangunan “creative futures” sebagai dasar perekonomian Korea.
Adakah dengan ahli kumpulan mereka yang ramai itu secara
langsung mewujudkan satu kelompok kecil dan menjadi faktor penarik. Ini
kerana didapati kumpulan KPop ada yang dianggotai berbelas orang.
PROF ABU HASSAN: Itulah inovasi, produk “creative
futures”, iaitu dari kelaziman warisan dan tradisi berubah kepada bentuk
dan kandungan yang baru, di mana ia bukan sekadar penerus atau penyalin
naskhah klasik dan warisan. Jumlah anggota pada satu-satu kumpulan
K-Pop hanyalah elemen, dan kerana kelainan itu wajar ia disebut sebagai
kaedah di dalam pengurusan industri kreatif.
Sikap bangsa Korea yang sangat praktikal dan pragmatik, dengan
nilai-nilai keterbukaan dan kecekapan menjadikan mereka sebagai
masyarakat pencipta atau masyarakat inovatif dan kreatif yang sangat
luar biasa.
Sebaliknya jika kita lihat pengalaman dalam industri kreatif negara
kita, misalnya dalam industri filem, adakala pegawai-pegawai akaun,
pengurus-pengurus kewangan menunjukkan kuasa “lebih pandai” mereka
sehingga mereka mengawal “siapa yang patut diambil berlakon, skrip itu
salah dan skrip yang betul begini, sekiranya artis ini yang jadi hero
maka filem tidak akan laku, penyanyi itu yang kami suka bukan yang
seorang ini.”
Malah ada lagak para pegawai akaun, pengurus pinjaman, pentadbir
industri yang berperilaku mereka lebih hebat daripada profesor,
pensyarah, seniman, penggiat yang berpuluh tahun mengabdi diri memajukan
pengetahuan dan kepakaran buat masyarakat dalam industri kreatif ini.
K-Pop adalah bukti sikap yang dinamik dengan kepercayaan untuk setiap
ahli masyarakat mencetuskan novel idea, sehingga menghasilkan produksi,
dan kemudiannya mendistribusikan produk-produk mereka akan berupaya
membentuk pasaran dan seterusnya akan membina atmosfera budaya di
peringkat antarabangsa.
Kita hanya sentiasa suka mencemuh, mencela dan menafikan kehebatan
bakat, potensi serta keupayaan pengusaha kita, walhal Korea telah
membuktikan K-Pop mereka pada hari ini telah berada sebaris gagahnya
dengan kuasa industri kreatif lain khususnya Amerika dan Eropah.
Pada pandangan Prof, adakah fenomena K-Pop boleh kita katakan penjajahan secara halus?
PROF ABU HASSAN: Itu hanya persepsi. Dahulu masyarakat
pernah memusuhi televisyen kerana dikatakan akan membawa pelbagai
budaya yang bertentangan dengan budaya dan warisan tempatan, sehingga
beribu seminar membincangkan negatif pengaruh TV berlangsung. Nyata
tohmahan itu silap bila sekarang ini boleh dikatakan setiap rumah
memiliki set TV. Kini, internet pula dianggap sebagai ancaman.
Maka kerana itu K-Pop tidak mungkin sejenis senjata pemusnah untuk
penjajahan, kerana K-Pop hanya salah satu genre muzik, yang terhasil
dari kreativiti dan inovatif masyarakat khususnya para remaja.
K-Pop tidak ubah seperti minuman Barbican, yang muncul setelah
kebosanan dengan Coca-Cola dan Pepsi. K-Pop adalah produk industri
kreatif yang terhasil daripada dinamiknya strategi pembangunan ekonomi
kreatif Korea Selatan.
Sebab itu berbalik kepada hitung nasib industri kreatif kita, dalam
situasi kita sebenarnya sangat bercita-cita kerana kita ada Dasar
Industri Kreatif, ada Dana Industri Kreatif namun ke mana duduknya?
Sebab kita sentiasa membuat keputusan dengan curiga bukan dengan
cita-cita; seperti kecurigaan institusi kewangan yang menguruskan dana
terhadap penggiat dan pengusaha kreatif di negara kita.
Asyik-asyik mendukung syarikat besar yang sudah berjenama dan kukuh, walhal kumpulan gergasi ini tidak sampai pun 10 syarikat.
Sedangkan para penggiat dan pengusaha kecil berganda-ganda bilangan
mereka, namun semangat mereka dilemahkan oleh tindakan dan keputusan
yang tidak pernah membantu untuk industri kreatif nasional maju,
misalnya industri muzik. Dan K-Pop muncul mengisi kekosongan pasaran
produk seni dan kreatif kita akibat masalah-masalah tadi, dan akhirnya
K-Pop mendapat keuntungan yang sangat besar. K-Pop bukan penjajahan,
sebaliknya fenomena ledakan pasaran K-Pop di negara ini berlaku kesan
daripada gagalnya pembangunan industri kreatif kita akibat lemahnya
sistem galakan, meskipun telah ada.
Pada pandangan Prof adakah K-Pop hanya boleh bertahan berapa
tahun sebelum kehilangan peminat. Ini seperti irama Hindustan. Dahulu
orang minat tetapi kini sudah tidak panas.
PROF ABU HASSAN: K-Pop tidak akan hilang, sama seperti
irama Hindustan juga tidak hilang. Cuma mungkin akan berlaku
inovasi-inovasi baru ke atas K-Pop, dan seterusnya berlaku perubahan ke
atas bentuk dan kandungan muziknya.
Sekira K-Pop hanya popular beberapa tahun, dan selepas itu berubah ke
bentuk yang lain; dalam kedudukan apa pun mereka telah berjaya menguasai
pasaran ekonomi kreatif dunia khususnya di negara ini.
Justeru, kita tidak perlu prejudis, sebaliknya kita yang harus belajar
untuk mengembalikan pasaran industri kreatif nasional kepada produk
kreatif nasional sebagaimana yang telah berlaku sepanjang 1950 hingga
1970-an dulu. Yang penting ialah “bebasnya” penggiat dan pengusaha
industri kreatif kita untuk berkarya dalam pilihan-pilihan mereka
bukannya ditentukan itu dan ini oleh pegawai-pegawai akaun,
pengurus-pengurus kewangan dan pentadbir-pentadbir jabatan kerana para
seniman, artis, penyanyi, sasterawan, pelukis, dan sarjana seni dan
kreatif telah benar-benar berilmu dan berpengetahuan tinggi dalam bidang
mereka.
Adakah fenomena K-Pop ini membawa unsur negatif tanpa kita sedari?
PROF ABU HASSAN: K-Pop adalah seni hiburan. Ada atau
tidak unsur negatif adalah terserah kepada masyarakat untuk
menguruskannya. Cuma yang kita perlu pelajari bagi memenuhi keperluan
pertumbuhan industri kreatif ini ialah, kesungguhan institusi kewangan
untuk membantu dengan menyalurkan dana-dana kepada penggiat dan syarikat
kecil serta artis baru, sekali gus akan menghasilkan lingkaran
perusahaan dan pasaran kreatif.