Wednesday, September 30, 2009

Tidak yakin pada Isa, Umno ugut pengundi

Oleh Dzulfikar Mashoor


BAGAN PINANG :Tidak yakin dengan kemampuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Umno-BN cuba pula mengekang pegawai kerajaan dan tentera dari menyokong Pakatan Rakyat.

Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Noh Omar semalam melarang pegawai kerajaan dari menyertai sebarang mesyuarat anjuran pembangkang.

Ketua Penerangan PAS Idris Hj. Ahmad berkata, tindakan Noh itu adalah cerminan sebenar tahap pemikiran menteri-menteri di Umno-BN.

"Umno kata punca Melayu mundur kerana PAS berpelukan DAP, sedangkan rakyat Malaysia sebenarnya dimundurkan dengan tindakan serta cara berfikir Menteri 1Malaysia seperti Noh,"jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Idris turut menasihatkan Noh agar bersikap lebih demokratik dan nasional; kerana Menteri ini sarjana perundangan.

Tambahnya lagi, Noh sepatutnya fokus pada urusan kementerian, bukannya terlalu berpolitik.

Dalam perkembangan berkaitan, N31 bakal menyaksikan Isa menentang calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Dalam pada itu, pada 21 Januari lalu, akhbar The Star melaporkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu menjadi Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), pernah mengugut penjawat kerajaan dari menyertai Pakatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan ketika dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang menganggap politik ugutan sebagai politik lama Umno BN.

Tetapi, tanggapan sedemikian masih tidak kedengaran, biarpun Umno sekali lagi mengugut pengundi di sini, sejak semalam. - mks._

Selamat Datang Isa Samad ke PRK Bagan Pinang

sila jelaskan isu rasuah dan siapa jual tanah pantai Port Dickson

Wartawan Buletin


TELUK KEMANG – Selamat Datang Tan Sri Isa Samad ! Selamat bertanding dalam pilihanraya DUN Bagan Pinang yang bakal menyaksikan pertarungan sengit walaupun UMNO berasa selamat dengan undi pos melebihi 5,000 orang.

Penamaan Isa sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan, membuktikan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional tunduk kepada ugutan kumpulan yang taksub kepada Isa.

Isa, 59, merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno telah diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini.

Dengan mengumumkan Isa sebagai calon juga, menunjukkan betapa bankrapnya UMNO/ BN yang sudah ketandusan pemimpin baru dan bersih.

Isa telah dibuktikan bersalah melakukan rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004, dan digantung selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin UMNO, sejak 24 Jun 2005.

Ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson, M.Ravi berkata Bagan Pinang yang merupakan kubu kuat BN juga merupakan kubu jenayah dan rasuah.

Katanya, pimpinan UMNO yang akan bertanding, Isa Samad mempunyai kes rasuah namun UMNO tidak ada calon yang lain.

”Kita ada bukti, pimpinan yang akan bertanding (Isa Samad) ada kes rasuah, tetapi UMNO tidak ada calon selain dari dia,

”kita sentiasa sedia tidak kira siapa dia, bapak yang bertading atau anak yang bertanding, tidak peduli, kita akan sediakan peluru kita, bila dia sudah isytihar (sebagi calon) kita akan tembak dia,”katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihanraya PAS Terengganu di UPU Teluk Kemang semalam.

Menurutnya, Isa Samad adalah antara pemimpin UMNO yang telah menjual tepi laut (pantai) dengan geran kekal dan telah menjahanamkan satu Port Dickson.

”Tuan-tuan boleh nampak keliling Port Dickson hingga Pasir Panjang, semua tepi laut (pantai) dia telah jual, sekiranya dia bertanding, dan menang, yang tinggal sekarang di Tanjung Agas pun dia akan jual,”jelasnya.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi (AMPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Saharin berkata hanya di Port Dickson sahaja pantai yang telah ada geran.

Katanya, kerajaan UMNO yang ada telah meluluskan pemberian pantai ini kepada seorang bekas Exco negeri Sembilan, yang duduk dan meluluskan pemberian tanah itu dalam mesyuarat berkenaan.

Pimimpin UMNO Menagih Dadah – Sudah Tiba Masanya Menukar Kerajaan

SM Noor


KUALA TERENGGANU – Sudah tiba masanya rakyat ngeri Terengganu khususnya dan satu Malaysia amnya menolak UMNO dan Barisan Nasional kerana kepimpinannya korup, rosak akhlak dan moral.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Haji Hanafiah Ramly@Mat berkata demikian ketika menghubungi Buletinonline semalam.

Beliau berkata demikian setelah menerima SMS (Sistem Pesanan Ringkas) dari seorang penduduk di Kemaman yang melaporkan pemimpin UMNO Bahagian Kemaman telah ditangkap kerana menagih dadah.

”Saya menerima SMS dari seorang penduduk, kemudian saya mengesahkan dengan beberapa jawatankuasa DUN Chukai,

”Memang sah, kepimpinan utama pemuda UMNO Bahagian Kemaman ditangkap kerana menagih dadah,”ujarnya.

Menurut beliau, mereka yang ditangkap adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ahmad Tarmizi Johar dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Japilus Ismail.

Katanya abang Japilus yang turut ditangkap disyakki menjadi pengedar dadah tersebut dan ketiga-tiga mereka merupakan pimpinan pelapis yang telah dididik oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang juga adalah Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan.

Oleh yang demikian, beliau menyeru semua rakyat Terengganu dan Malaysia supaya bersama-sama kepimpinan Pakatan Rakyat yang bersih dari masalah korupsi, bebas keruntuhan akhlak dan tinggi moralnya.

”Sudah masanya Terengganu dan Satu Malaysia di pimpin oleh kepimpinan yang dapat menjadi contoh dan tauladan dan melaksanakan amanah dengan penuh ikhlas,

”dan juga sudah sampai waktunya rakyat membuat perhitungan yang betul dengan menolak UMNO dan Barisan Nasional,”jelasnya.

Sehubungan itu, agensi Bernama turut melaporkan, polis telah menahan dua orang pemimpin Pemuda Umno bahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, Terengganu malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata, kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu, merupakan antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.

"Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah tersebut pada pukul 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama.

"Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.

Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.

Pelajar Malaysia di Padang selamat

BERNAMA


JAKARTA: Seramai 330 pelajar Malaysia di Padang, Sumatera dilaporkan selamat selepas kejadian gempa bumi yang berlaku berhampiran bandar itu, demikian disahkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia di sini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata 80 peratus daripada pelajar sudah berkumpul di lapangan kampus perubatan Universiti Andalas sehingga jam 6.30 petang tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berskala 7.7 Richter berlaku di selatan Sumatera jam 6.16 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Gempa bumi itu berlaku kira-kira 60 kilometer (km) barat daya bandar Padang di Sumatera dan 452 km barat daya Melaka.

Sementara itu, Pusat Tsunami Pasifik menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu.

Hindraf, selepas Makkal Sakhti...

Lim Hong Siang


Slogan "Makkal Sakhti" telah menjurus kepada tsunami politik yang mengkaramkan BN-MIC pada 8 Mac 2008. Hindraf membeliakkan mata orang ramai dengan demonstrasi pada 25 November 2007, cuba dipadamkan kerajaan BN kemudiannya dengan penahanan lima orang pemimpin utama di bawah ISA.

Laungan "Makkal Sakhti" membanjiri hampir semua ceramah politik PKR-PAS-DAP semasa kempen PRU ke-12. Penahanan pemimpin Hindraf terbukti silap dan gagal, apabila luahan komuniti India meledak dalam peti undi, membuka lembaran baru sejarah politik tanahair dengan 2/3 majoriti BN dinafikan, dan lima kerajaan negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (gabungan parti politik kemudiannya).

Bahang dalam masyarakat India terus membara, sehingga kerajaan Najib terpaksa membebaskan lima orang tahanan Hindraf, yang sebelum ini dituduh (tanpa bukti) sebagai "pengganas". Pembebasan ini dibaca sebagai langkah Najib untuk mengembalikan sokongan masyarakat India.

Seandainya hasil soal selidik Merdeka Centre yang diumumkan pada Julai yang lalu diambil kira, Najib kelihatan semakin mendekati matlamatnya. 74% responden berkaum India berpuas hati dengan Najib, malah replika Najib tersergam megah di Batu Caves pada tahun ini, menggantikan replika Anwar Ibrahim pada tahun 2008.

Hindraf masuk gelanggang politik

Tsunami politik 8 Mac 2008 bukan sahaja merombak senario politik Malaysia, tetapi juga mengubah wajah Hindraf. Pemimpin Hindraf seperti Manoharan s/o Malayalam disarungkan jersi DAP dalam PRU ke-12, sementara pemimpin seperti S.Manickavasagam yang menghulurkan tangan semasa pemimpin Hindraf ditahan, kekal berada di PKR.

Perkembangan terbaru menyaksikan bekas penyelaras kebangsaan Hindraf, R S Thanenthiran menubuhkan parti baru, menggunakan "Makkal Sakhti" sebagai nama parti. Parti yang diluluskan pendaftarannya dalam masa yang singkat ini bakal dilancarkan Presiden BN, Najib Abdul Razak pada 10 Oktober ini.

Sementara itu, ikon Hindraf, P.Uthayakumar melanjutkan perjuangan melalui wadah baru, Parti Hak Asasi Manusia (Human Rights Party, PAHAM). Ringkasnya, pemimpin Hindraf kini terbahagi kepada sekurang-kurangnya empat kumpulan, mengikut wadah parti.

Plan menumpukan undi India

Apabila memasuki gelanggang parti politik, maka "kerusi" akan menjadi rebutan, pada masa yang sama juga sebagai salah satu kayu ukur untuk menilai sejauh manakah parti ini berpengaruh. Namun, melihat kepada realiti dari populasi dan struktur kawasan pengundi, agak sukar untuk kaum minoriti ini memberi impak terhadap senario politik tempatan secara bersendirian.

P.Uthayakumar sememangnya telah menyedari realiti tersebut. Beliau pernah mengetengahkan satu plan untuk menyatukan kekuatan komuniti tersebut. Berdasarkan plan ini, beberapa kawasan pengundi yang terdiri daripada 20% hingga 30% kaum India dikenalpasti, kemudian pengundi India digesa untuk mendaftarkan diri semula sebagai pengundi di kawasan tersebut.【Baca Malaysia Insider: Uthayakumar sets out to create Indian clout with new party】

Dalam perhitungan P.Uthayakumar, jikalau pengundi India ditumpukan, maka nisbah komposisi pengundi India akan bertambah di kawasan tertentu. Seandainya undi India tidak berpecah, maka calonnya akan memenangi kerusi tersebut. Malah, beliau meramalkan PAHAM akan memenangi 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi DUN sekiranya plan ini berjalan lancar.

Ke mana PAHAM?

Persoalannya, biarpun plan ini berjaya dalam PRU ke-13, tetapi ke mana perginya PAHAM selepas itu? Barisan Nasional, ataupun Pakatan Rakyat? Atau kekal bersendirian?

Apa yang berlaku sebelum pembebasan lima orang pemimpin Hindraf di bawah ISA adalah, sokongan komuniti India dicurahkan kepada bukan-BN, maka PR dimanfaatkan sepenuhnya. Namun, selepas pembebasan tersebut, ditambah pula rekod pentadbiran PR di empat negeri, Hindraf mengambil pendirian untuk duduk di atas pagar.

P.Uthayakumar jelas tidak berpuas hati dengan cara kerajaan PR Pulau Pinang mengendalikan isu Kampung Buah Pala, malah juga mempertikaikan keikhlasan kerajaan PR Selangor untuk mempertahankan kuil Hindu di Shah Alam. PR dianggap gagal menyelesaikan masalah komuniti India walaupun telah memerintah di empat negeri.

Segala-gala ini menjurus kepada seruan PAHAM agar pengundi India di Bagan Pinang tidak turun mengundi di Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan yang bakal berlangsung pada 3 hingga 11 Okotober. Pendirian ini berbeza dengan pendirian Hindraf semasa PRK Bukit Selambau pada April yang lalu, apabila Hindraf menyeru untuk mengundi calon PKR pada saat-saat terakhir.

Strategi P.Uthayakumar cukup jelas, seandainya matlamat 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi DUN itu tercapai, maka beliau mempunyai "bargain power" yang lebih, apabila kedua-dua BN dan PR memerlukannya untuk menubuhkan kerajaan. PAHAM boleh memilih di antara BN dengan PR, bergantung kepada manakah yang menawarkan "pakej" yang lebih menarik.

"Pakej" yang dimaksudkan boleh dalam bentuk "dasar" yang lebih membela nasib komuniti India, mahupun jawatan dan pangkat untuk "wakil India" dalam kerajaan. PR telah berdepan dengan tuntutan sedemikian selepas PRU ke-12.

Persoalannya...

Perkiraan ini mungkin tepat sekiranya diasingkan dari konteks masyarakat Malaysia. Namun, pada realitinya, PAHAM perlu berdepan dengan pelbagai masalah yang kompleks.

Pertama, apakah PR sanggup memberi laluan kepada PAHAM untuk bertanding di semua kawasan yang dituntutnya? Kedua, apakah undi masyarakat India akan disatukan? Ketiga, biarpun disatukan, apakah kesemua undi ini akan memihak PAHAM? Keempat, apakah nisbah tersebut cukup untuk memenangkan calon PAHAM? Kelima, apakah PAHAM akan diterima masyarakat kaum lain?

Dan yang paling mustahak, apakah PAHAM menyumbang ke arah politik berbilang kaum, atau mengulangi model politik perkauman yang diamalkan selama ini? Apakah PAHAM akan kekal relevan, apabila rakyat Malaysia semakin berkecenderung untuk memilih parti yang berbilang kaum?

Masa tidak menunggu PAHAM. PAHAM perlu mengatur langkah dirinya secepat mungkin.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Artikel ini disusun daripada beberapa tulisan MerdekaReview edisi bahasa Cina sebelum ini.

Ketua Pemuda PAS: OSA Melindungi Penyelewengan

MERDEKA REVIEW


1. Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak sepatutnya digunakan ke atas mereka yang berani mendedahkan penyelewengan. Penyelewengan bukan rahsia Negara tetapi pengkhianatan kepada Negara. Penggunaan OSA hanya melahirkan rakyat yang bisu berdepan penyelewengan yang dilakukan oleh musang berbulu ayam atau syaithan berwajah insan.

2. Jika rakyat yang mengetahui atau menyedari malah mempunyai dokumen atau bukti penyelewengan dilakukan oleh pemimpin Negara tetapi takut untuk mendedahkannya justeru diancam OSA, maka ia akan mendedahkan Negara kepada bahaya kemusnahan dan kepincangan ketara.

3. Penyelewengan harta Negara, wang rakyat dan salah guna kuasa adalah elemen utama yang membawa kepada keruntuhan sesebuah tamaddun. Jika ini berlaku dalam Negara kita, tidak mustahil Negara kita juga akan hancur dan binasa segala peradabannya dan menjadikan Negara sebuah lembah yang berpuaka lantaran ia merosakkan keindahan bermasyarakat, keharmonian bernegara dan kedaulatan undang-undang.

4. Rakyat mesti peka betapa OSA sepatutnya tidak digunakan untuk melindungi penyelewengan dan penjenayah yang melakukannya. Mereka yang berani mendedahkannya seperti isu penyelewengan PKFZ yang kini berjumlah RM12 billion sewajarnya diberikan pingat gagah berani bukan diancam dan diugut untuk diambil tindakan dengan akta rahsia rasmi OSA.

5. Pihak berkuasa atau kerajaan UMNO dan BN, jika mahu mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada mereka mestilah adil dan telus dalam bertindak dalam kes ini biarpun melibatkan pemimpin UMNO dan BN.

6. Kertas dokumen yang didedah mesti di siasat kandungannya, fakta dan butirannya. Jika benar segera ambil tindakan bukan siasat siapa yang mendedahkannya.

7. Entah Negara apa Malaysia hari ini? Saya teringat sewaktu saya membuat report polis ke atas penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa Mahathir serta menteri-menteri kabinetnya seperti Rafidah Aziz dan lainnya pada waktu itu, yang disiasat dan disoal bertubi arus sehingga memakan masa 8 jam ialah saya yang membuat report sedang saya sudah menyenaraikan secara bertulis aduan saya. Sementara Mahathir (Perdana Menteri pada masa itu) bebas tanpa berani disoal siasat oleh polis.

8. Isu PKFZ ini sepatut telah lama diwujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara ini secara telus dan berkesan. Soalnya kenapa kerajaan UMNO dan BN tidak berani menubuhkan suruhanjaya ini atau mereka memang mahu menyembunyikan penyelewengan yang berlaku atau juga kerana mereka memang sedia maklum siapa yang melakukannya dan pelakunya mesti dilindungi?

9. Jika ini situasinya, Kerajaan UMNO dan BN tidak akan dihormati sampai bila-bila malah darjah kebencian rakyat kepadanya kian memuncak. Slogan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan hanya menjadi gula-gula pahit yang dipaksa ke atas rakyat sedang ia langsung tidak bermakna melainkan rakyat dahululah akan merana dan sengsara atas pencapaian indeks salah guna kuasa dan menyelewengan wang rakyat oleh kerajaan UMNO dan BN.

10. UMNO dan BN kini jelas dilihat sudah hilang upaya untuk memperbaiki nilai serta tahap intergriti mereka. Isu PKFZ RM12 billion, wang MAS hilang RM8 billion dan macam-macam lagi penyelwengan termasuklah salah guna wang peruntukan ADUN terus membelenggu dan memaku UMNO dan BN.

Kembalilah kepada Islam yang mengajar nilai taqwa dan qana’ah dalam skil kepimpinan pemimpinnya yang insyaallah akan menjadikan mereka pemimpin yang berwibawa, dihormati dan mampu membawa pulang keberkatan yang melimpah kepada rakyat dan Negara.

*Kenyataan media oleh Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

ISA: Suaram gesa Dr M minta maaf pada rakyat M'sia

MALAYSIA KINI


Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai tidak bertanggungjawab.

“Mantan perdana menteri nampaknya tidak menyedari realiti bahawa rakyat Malaysia menentang keras ISA dan mereka mahu ianya dihapuskan segera,” kata Penyelaras Suaram, Nalini E, dalam satu kenyataan hari ini..

“Ini telah dinyatakan dengan jelas kepada kerajaan apabila ribuan rakyat mengadakan perhimpunan pada 1 Ogos lalu menuntut supaya ISA dihapuskan.

“Kami ingin mengingatkan mantan perdana menteri itu bahawa gesaannya supaya ISA dikekalkan, sudah tidak lagi relevan dan rakyat Malaysia sudah sedar dan beliau tidak boleh memanipulasi realiti seperti ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu.

“Tidak ada ruang lagi bagi akta itu disemak atau dipinda. Sebaliknya, ISA seharusnya dimansuhkan tanpa lengah-lengah lagi. Mengamalkan tindakan menangkap dan menahan tanpa bicara mengikut undang-undang yang digubal untuk menangani darurut beberapa dekat yang lalu, hanya mengaibkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Menurut Nalini, Suaram juga mengutuk justifikasi yang dibuat oleh Dr Mahathir mengenai sebab beliau menahan 107 orang di bawah ISA dalam “Operasi Lalang” pada 1987.

Tahanan tanpa bicara

Oleh itu, katanya, Suaram menggesa Dr Mahathir supaya memohon maaf kepada semua tahanan terbabit yang ditangkap dan ditahan di Kamunting tanpa bicara selama dua tahun.

“Menahan seseorang di bawah ISA yang membenarkan tahanan tanpa bicara, sama ada terhadap pemimpin pembangkang, Umno atau sesiapa sahaja, adalah tidak adil.

“Ianya bertentangan dengan deklarasi sejagat hak asasi manusia, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan juga kebebasan asas hak asasi manusia.

“Membuat kenyataan terbuka untuk menjustifikasikan penggunaan ISA yang melanggar hak ramai orang sewaktu “Operasi Lalang”, menunjukkan betapa kejam dan tidak bertamadunnya beliau sebagai seorang pemimpin. Sampai sekarang pun beliau tidak menghormati kedaulatan undang-undang,” dakwa Nalini.

Menurutnya, Suaram juga ingin menegaskan bahawa sejak penggubalan ISA pada 1960, kesemua perdana menteri telah menggunakan ISA untuk menutup mulut lawan politik Umno.

“Dr Mahathir adalah antara perdana menteri yang menggunakan ISA secara meluas terhadap rakyat Malaysia selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri.

“Beliau telah menahan lebih 2,000 orang di bawah ISA, termasuk bekas timbalan perdana menteri yang juga pemimpin pembangkang sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gesaan pada Najib

“Ini merupakan satu 'rekod prestasi' yang mengaibkan dan tidak seharusnya dibanggakan!,” kata Nalini

Sehingga saat ini, tambahnya, tahanan ISA terus tertakluk kepada tahanan tanpa bicara, deraan fizikal dan layanan buruk serta tanpa sebarang semakan yang berkesan terhadap kewajaran mereka ditahan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak sepatutnya mengikut jejak langkah bekas kesemua perdana menteri sebelumnya.

“Datuk Seri Najib seharusnya melangkah keluar dari kecenderungan kerajaan authoritarian sebelum ini dan menamatkan amalan menahan suspek tanpa bicara.

“Jika perdana menteri serius dengan slogannya, “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, maka beliau hendaklah memansuhkan ISA dan membebaskan rakyat Malaysia daripada kekejaman ISA,” katanya.

Kesahihan MB Perak, Mahkamah Persekutuan dengar 5 Nov

MALAYSIA KINI


Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 5 November depan, kes pertikaian berhubung siapa menteri besar Perak yang sah.

Leong Cheok Keng, seorang daripada peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Bernama, firma itu telah menerima sepucuk surat bertarikh 3 September yang difakskan dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, memaklumkan mereka bahawa mahkamah itu telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pertikaian bagi jawatan Menteri Besar Perak Menteri bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang menteri besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.

Peguam bela Sulaiman Abdullah adalah peguam utama bagi Mohammad Nizar.

Rasuah politik: Saya sudah jalani hukuman, kata Isa

Andrew Ong


Calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad berkata isu beliau terbabit dalam rasuah politik tidak berbangkit lagi kerana beliau telahpun menjalani hukuman penggantungan keahliannya dalam Umno selama tiga tahun.

Isa digantung selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005 kerana rasuah politik kerana melanggar etika pemilihan pemilihan pucuk pimpinan Umno 2004.

Dalam pemilihan tersebut, Isa mendapat undi tertinggi untuk tiga jawatan naib presiden Umno, tetapi kemenangannya dibatalkan kerana didapati bersalah melanggar kod etika pemilihan.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Bercakap kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Isa berkata, beliau juga bukannya melakukan satu kesalahan jenayah.

Sebaliknya, tegas bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, beliau melanggar kod etika sewaktu pemilihan pucuk pimpinan Umno.

"Itulah perkataan yang digunakan - kod etika pemilihan - saya telah menjalani hukuman (penggantungan keahlian) tiga tahun. (Jadi) perkara itu tidak berbangkit lagi," katanya.

Sebaliknya, kata Isa, mereka yang disabitkan dalam kesalahan jenayah masih diterima rakyat dan ada yang menjadi ketua menteri dan menteri.

Ditanya mengenai kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Isa tidak sepatutnya dipilih bertanding di Bagan Pinang kerana rekod rasuah politiknya, Isa hanya menjawab "Saya senyum".

Isa berkata, berdasarkan tahap sokongan yang ditunjukkan oleh akar umbi dan kempen yang akan dijalankan, beliau menjangka akan menang dengan majoriti lebih besar.

Ditanya perasaannya bertanding kerusi negeri selepas lama menjadi menteri kabinet, Isa berkata beliau menerima jatuh bangun dalam politik.

"Saya telah menjadi seorang menteri dan menteri besar, sekarang saya calon BN. Ianya ok kerana ini adalah satu perjuangan," kata Isa yang juga ketua Umno bahagian Teluk Kemang.

"Apabila parti memberi amanah kepada saya, maka tiada sebab bagi saya untuk menolaknya," katanya sambil menambah bahawa beliau gembira kerana dipilih untuk pertama kalinya bertanding mewakili kawasannya.

Isa mewakili kerusi DUN Linggi sejak 1978 dan pada 2004 beliau beralih bertanding kerusi parlimen Jempol dan kemudiannya
dilantik sebagai menteri wilayah persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang eliau sandang sebelum metelakkan jawatan pada tahun 2005, selepas keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun atas kesalahan politik wang ketika bertanding jawatan naib presiden pada 2004.

Sebelum itu, Isa pernah bertanding jawatan-jawatan penting di peringkat pusat. Pada 1993, Isa bertanding jawatan ketua Pemuda Umno etapi tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Pada tahun berikutnya, Isa mencuba nasib pula bertanding jawatan naib presiden Umno tetapi tewas juga, sehinggalah memenangi jawatan naib presiden pada 2004 tetapi dibatalkan kerana politik wang.

M'sia-Arab Saudi bentuk syarikat usahasama AS$2.5b

MALAYSIA KINI


Malaysia dan Arab Saudi hari ini memasuki era baru dalam kerjasama ekonomi dengan penubuhan sebuah syarikat usahasama dengan modal AS$2.5 bilion yang akan mengendalikan aliran pelaburan langsung asing dari Timur Tengah serta membuat pelaburan strategik dalam projek berimpak tinggi di Malaysia.

Syarikat usaha sama berkenaan merupakan hasil perkongsian antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited (PSI).

Usaha teroka itu merupakan yang pertama dilaksanakan oleh PSI di rantau ini dan menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia dan prospek ekonominya, demikian menurut kedua-dua syarikat berkenaan dalam kenyataan bersama.

Maklumat lanjut mengenai usaha sama berkenaan akan diumumkan hari ini, lapor Bernama.

1MDB, syarikat milik penuh kerajaan Malaysian, ditubuhkan baru-baru ini bagi memacu inisiatif strategik untuk pembangunan ekonomi mampan jangka panjang dan menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

PSI, berpangkalan di Al-Khobar, Arab Saudi, bertanggungjawab melaksanakan pelaburan yang boleh mengukuhkan hubungan antara antara Arab Saudi dan negara utama di seluruh negara.

Objektif syarikat usaha sama berkenaan adalah bagi mendapatkan, meneroka dan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi dan perniagaan yang menghasilkan peningkatan dan penggalakkan kemakmuran masa depan dan pembangunan ekonomi mampan jangka panjang Malaysia.

Ia dijangka melabur secara aktif dalam sektor tenaga diperbaharui.

Syarikat usahasama itu juga dijangka menjadi perantara bagi pelaburan dari Timur Tengah ke rantau ini dengan itu memberi kelebihan kepada Malaysia dalam menarik pelaburan dari rantau yang kaya dengan wang dan sumber berkenaan.

Ketua pegawai eksekutif PSI Sheikh Tarek bin Essam bin Ahmad berkata: "Malaysia telah lama menjadi model kestabilan dan pembangunan untuk negara membangun.

"Kami percaya dasar liberalisasi ekonomi terbaru yang diumumkan perdana menteri akan menjadikan Malaysia sebagai tempat yang menarik untuk pelabur.

"Kami menjangka Malaysia akan menjadi rakan penting untuk negara Arab Saudi."

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Halmi yang menyambut baik penubuhan syarikat usaha sama itu berkata: "Syarikat usaha sama itu bersedia untuk terus meningkatkan FDI dari Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi.

"Kami akan memanfaatkan kedudukan kukuh PSI di peringkat antarabangsa, rangkaian dan kepakaran mereka untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan."

Syarikat usaha sama itu akan melaksanakan projek dalam pelbagai sektor yang memberi manfaatkan bersama dan seiring dengan misi 1MDB untuk memacu pembangunan ekonomi mampan jangka panjang di Malaysia.

Manohara akan fail permohonan baru

Salhan K Ahmad


Peguam yang mewakili model Manohara Odelia Pinot berkata pihaknya serius untuk menghadapi tuntutan saman daripada Tengku Temenggong Kelantan Tengku Fakhry Ismail Petra dengan mengemukakan satu permohonan baru.

Mohamad Faiz Adnan berkata pihaknya akan mengemukakan satu permohonan itu di mahkamah sama terhadap Tengku Fakhry yang dijangka akan menyebabkan kes melibatkan tuntutan hutang serta tuntutan taat setia itu, tertangguh.

"Kita jangka demikian kerana permohonan ini akan memberi kesan kepada kes-kes lain sebelum ini," kata Mohamad Faiz yang enggan memberi butiran lanjut berkenaan permohonan berkenaan.

Mohamad Faiz, daripada firma Faiz Adnan & Associates berkata, pihaknya juga masih berpeluang memfailkan pembelaan apabila tuntutan-tuntutan itu didengar pada 5 Oktober ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Beliau juga menolak pandangan peguam Tengku Fakhry semalam bahawa pihaknya tidak serius dalam menjalankan kes itu. Katanya lagi, beliau telah mendapat pendirian Manohara yang tidak bersetuju dengan tuntutan-tuntutan berkenaan.

Setakat ini, Manohara belum memfailkan apa-apa pembelaan terhadap saman Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Fakhry Ismail Petra yang menuntutnya kembali taat setia kepada suaminya dan tuntutan bayaran hutang berjumlah RM1,112,250 dari model Indonesia itu.

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu telah memberi masa 14 hari kepada Manohara untuk menjawab saman tersebut, dan tempoh itu telah berakhir pada 21 September lalu.

Belum fail pembelaan

Mohamad Faiz menjelaskan beliau masih menunggu arahan daripada anak guamnya itu untuk melakukan pembelaan berhubung pemfailan tuntutan hutang dan juga tuntukan taat setia ke atas model Indonesia itu.

"Benar, kami belum memfailkan pembelaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Tapi kita serius dalam kes ini. Kita memang dilantik dan ada hitam putih daripada Manohara," tambahnya.

"Cuma kita perlukan masa untuk pastikan kes ini berjalan dengan efisyen sebab ia melibatkan dua negara berbeza. Kes ini pun masih di peringkat pra-perbicaraan lagi," katanya lagi.

"Kami belum memfailkan pembelaan kerana masih tunggu arahan daripada anak guam. Kami telah cadangkan beberapa strategi untuk kes ini, tetapi kena tunggu arahan dari beliau," kata Mohamad Faiz.

Katanya lagi, tindakan pihaknya tidak memfailkan pembelaan itu adalah soal teknikal yang boleh ditentukan oleh mahkamah.

"Pada tarikh lepas, kami beritahu (mahkamah) kami baru saja dilantik, jadi kami perlukan masa. Kes ini masih dalam perbincangan dengan anak guam. Untuk jawab ikut kaedah itu perlukan masa," katanya.

Jelasnya, beliau juga telah mencadangkan beberapa strategi untuk menghadapi kes berkenaan kepada Manohara dan kini sedang tunggu arahan selanjutnya daripada beliau.

"Kami sedang tunggu arahan daripada (Manohara). Kalau kita dah failkan baru kita akan beritahu," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Umno sudah habis gas, kata PAS

MALAYSIA KINI


PAS menyifatkan Umno 'sudah kehabisan gas oksigen untuk bernafas' kerana mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, pencalonan Isa menggambarkan Umno sudah kehilangan orang yang berwibawa dan calon yang bersih dari segi moral dan rasuah.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004.

isa samad bn candidateIsa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Mengulas lanjut, Idris berkata, sabitan kesalahan rasuah oleh jawatankuasa disiplin Umno itu menyebabkan Isa kehilangan jawatan naib presiden dan menteri Wilayah Persekutuan.

"Kita mengharapkan semua pengundi yang berada di Bagan Pinang adalah mereka yang mempunyai jati diri yang kukuh akan membuat perhitungan yang tepat untuk memilih wakil rakyat di kawasan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sebagai mana sedia maklum Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang mempunyai ramai pengundi tentera yang kita tahu mereka adalah orang yang berdisiplin dan bermoral tidak akan rela berketuakan orang yang telah terpalit dengan rasuah," katanya.

Idris juga menyifatkan pemilihan Isa sebagai calon, menjadi kayu ukur bahawa pemimpin Umno tidak ada kesungguhan memerangi rasuah.

"Kajian Transparency International (TI), menunjukan rekod Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke-43 pada tahun 2007," katanya.

Oleh itu, PAS menyeru pengundi Bagan Pinang supaya selamatkan negara daripada rasuah yang boleh membinasakan negara.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Saya bukan Wahabi, kata Mohd Asri

Jimadie Shah Othman


Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.berkata beliau tidak pernah mendokong fahaman Wahabi seperti tanggapan umum terhadapnya selama ini.

Oleh itu, beliau menolak tanggapan bahawa beliau terbabit dalam usaha untuk mengembangkan fahaman tersebut ketika menjadi mufti Perlis.

perlis malaysia youngest mufti mohd asri zainul abidin 241106Sebaliknya, kata tokoh agama yang sering mengundang kontroversi itu, Wahabi tidak pernah bertapak di Perlis.

Menurutnya, fahaman juga tidak sama dengan "Sunnah Perlis" yang diamalkan oleh sebahagian penduduk Perlis sekarang.

"'Sunnah Perlis' bukanlah Wahabi, sebaliknya satu aliran pembaharuan bagi memajukan umat Islam dalam pelbagai bidang," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Perlis tidak pernah menjadi Wahabi. Buku-buku (tokoh Wahabi) Muhammad Abdul Wahab tidak pernah diajarkan di Perlis. Pandangannya tidak pernah timbul dan dirujuk.

"Beliau bukanlah seorang ahli fekah. Kalau tanya orang Perlis siapa Muhammad Abdul Wahab, mereka pun tidak kenal," katanya.

Tokoh agama muda itu mengulas kekeliruan berhubung penggunaan Istilah Wahabi bagi merujuk kepada beberapa pandangan dan pengamalan agama negeri itu yang berbeza dengan pengamalan di negeri-negeri lain.

Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Mohd Asri berkata, istilah yang tepat bagi menggambarkan pengamalan agama di Perlis adalah Kaum Muda.

Katanya, gerakan pembaharuan Kaum Muda dikembangkan oleh tokoh-tokoh yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah, seperti Syed Sheikh Al- Hadi sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Gerakan itu, tambahnya, mahu menggerakkan perubahan dalam pelbagai aspek masyarakat seperti pendidikan dan penindasan terhadap kaum wanita.

Video rancangan pengeboman dari komputer riba Noordin Mat Top didedahkan

OLEH:AFP


JAKARTA: Polis Indonesia hari ini mendedahkan siri fail yang diambil daripada komputer riba suspek pengganas, Noordin Mohamed Top yang menunjukkan perancangan secara terperinci dan santai yang dilakukan oleh suspek-suspek pengganas sebelum insiden pengeboman di Jakarta Julai lalu.

Rakaman video daripada komputer riba yang dirampas dalam serbuan di Jawa Tengah bulan ini yang turut membunuh Noordin, 41, menunjukkan pengebom berani mati dan anggota-angota militan lain sedang berbincang dan membuat persediaan untuk dua pengeboman berani mati pada 17 Julai lalu yang telah mengorbankan tujuh nyawa.

Dalam salah satu video, dua pengebom, Dani Dwi Permana, 18, dan Nana Ikhwan Maulana, 28, kelihatan sedang melakukan senaman regangan berdekatan sebuah lot kosong di hadapan hotel-hotel yang menjadi sasaran pengeboman iaitu JW Marriot dan Ritz-Carlton.

Dalam satu video lain, kelihatan pengebom-pengebom dan penjual bunga di hotel itu, Ibrohim yang dikatakan membantu rancangan pengeboman itu dari dalam sedang memakan biskut dan epal di atas rumput di hadapan hotel.

Anggota militan keempat yang masih dalam buruan polis, Syaifudin Jaelani bercakap di belakang tabir: "America, dimusnahkan; Australia, dimusnahkan; Indonesia, dimusnahkan."

Dalam satu video lain, pengebom remaja, Dani dilihat sedang berada di hadapan hotel-hotel itu dan berkata, "Ini bukan membunuh diri, ini perbuatan baik."

"Kita lihat bagaimana mereka mempersiapkan diri, bagaimana mereka memfilemkan rancangan mereka dan tinjauan terhadap sasaran melalui kaca mata mereka," kata jurucakap polis Nanan Soekarna kepada wartawan.

"Kita lihat bagaimana mereka benar-benar mempersiapkan diri, ini bukan hanya sesuatu yang dikatakan oleh pihak polis."

Fail-fail lain yang dijumpai dalam komputer riba Noordin termasuk video-video menunjukkan pembelian dan perbincangan berhubung serangan yang akan berlaku serta surat-surat daripada Jaelani yang ditujukan kepada keluarganya bagi menerangkan struktur organisasi operasi yang dirancang.

Isa Samad calon terbaik untuk Bagan Pinang, kata Samy Vellu

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad adalah "pilihan terbaik" bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang menjadi miliknya pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini, kata Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

"Kami berpuas hati dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memilih Tan Sri Isa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya MIC yakin, tiba masanya nanti pengundi kawasan itu akan tampil beramai-ramai untuk mengundi Isa yang dianggapnya sebagai seorang yang "rendah diri dan dikenali ramai".

Samy Vellu berkata MIC sudah 'berkampung' di Bagan Pinang sejak dua minggu lalu, dan akan memasuki peringkat kedua dalam menjalankan tugas berkempen di Bagan Pinang.

"Saya boleh katakan yang pengundi India pasti akan memilih Tan Sri Isa," katanya.

Dua AJK Pemuda Umno bahagian diberkas terlibat dadah

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata, kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu, merupakan antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.

"Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah tersebut pada pukul 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama. Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka," katanya di sini semalam.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.

Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.

Tsunami: Sekurang-kurangnya 34 maut di Samoa, angka korban dijangka meningkat

OLEH: AP


PAGO PAGO (Samoa Amerika): Sekurang-kurangnya 34 dilaporkan terbunuh selepas ombak tsunami yang berpunca daripada gempa bumi kuat melanda Samoa dan Samoa Amerika awal pagi Selasa, dengan angka korban dijangka meningkat.

Sementara itu, sejumlah pekerja turut dilaporkan hilang selepas kemudahan Perkhidmatan Taman Negara di sini musnah dalam kejadian bencana itu.

Kenderaan dan manusia dihanyutkan ke laut selepas satu ombak deras melanda menyebabkan mereka melarikan diri ke kawasan tinggi dan berada di situ selama berjam-jam.

Dengan kekangan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi, pegawai-pegawai bertugas bertungkus lumus untuk mendapatkan maklumat mengenai mangsa-mangsa dan kerosakan.

Gempa bumi itu dengan magnitud antara 8.0 dan 8.43 melanda sekitar waktu subuh kira-kira 20 batu (32 km) di bawah dasar laut, 120 batu (190 km) dari Samoa Amerika yang merupakan wilayah Amerika Syarikat yang didiami sehingga 65,000 penduduk dan terletak 125 batu (200 km) dari Samoa.

Tuesday, September 29, 2009

Nik Aziz jemput Mahathir lawat Kelantan

BERNAMA


KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melawat dan melihat sendiri pembangunan di bawah pentadbirannya di Kelantan.

Beliau berkata, tidak perlu bekas Perdana Menteri itu datang ke pejabatnya (secara rasmi) untuk meninjau sejauh mana kejayaan yang dicapai sepanjang mentadbir negeri ini yang dianggap mundur dan tidak membangun itu.

Nik Aziz mendakwa, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri ialah pembangunan dari segi fizikal dan pembersihan minda dan ini paling penting berbanding pembangunan fizikal.

"Kenyataan itu, (kononnya) kerajaan negeri di bawah tadbiran saya ini tidak maju dan mundur, tidak betul.

"Sebab itu saya jemput dia mari sendiri tengok dari segi pembangunan fizikal, sekarang ada KB Mall, ada Hotel Renaissance, ada pasar raya Tesco, ada Parkson, ada Nirwana, dia boleh tengok sendirilah," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Menteri Besar Kelantan itu harus bertanggungjawab terhadap kemunduran negeri itu di bawah pentadbiranya.

Dr Mahathir berkata, pada satu tahap tertentu, beliau (Nik Aziz) bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan. Beliau perlu menerimanya. Di negara lain, orang akan letak jawatan jika mereka gagal.

Nik Abdul Aziz berkata tindakan perubahan utama yang dilaksanakan di Kelantan adalah membetulkan tauhid orang Islam di negeri tersebut termasuklah isu halal dan haram.

Antara perubahan yang dibawa adalah menutup premis judi nombor ekor, menghadkan penjualan arak, melaksanakan sistem gadaian Islam dan mengimarahkan masjid.

"Brain wash yang paling penting sekali, daripada syirik kepada tauhid dan Kelantan sekarang ni tegak di atas Islam, halal haram kami ambil peduli," katanya.

Mursyidul Am PAS itu juga memberi contoh pembangunan ala pembersihan minda yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinannya dibuat sebelum hari raya barubaru ini.

Di bawah program itu, belia Islam berkerjasama dengan belia Cina dan India membahagikan juadah dan air minuman untuk berbuka puasa di jalan Kuala Krai kepada pemandu kenderaan (anak Kelantan di perantauan) yang pulang berhari raya.

Peralihan kuasa: Samy Vellu belum tetapkan masa sesuai bercuti 2 bulan

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu masih belum memutuskan masa yang sesuai untuk beliau pergi bercuti selama dua bulan, yang dilihat sebagai permulaan kepada proses peralihan kuasa parti itu.

"Saya mahu pergi (bercuti) dua bulan tapi belum tetapkan tarikh," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang pertama selepas pemilihan parti itu 12 September lalu.

Berhubung soalan sama ada beliau akan pergi bercuti mulai awal tahun depan, Samy Vellu berkata:

"Saya belum memutuskan lagi bila mahu pergi bercuti selama dua bulan.

"Terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum saya pergi bercuti," katanya.

Ketika ditanya sama ada keputusan untuk pergi bercuti itu merupakan langkah memberi latihan kepada penggantinya, Samy Vellu yang menerajui MIC sebagai Presiden sejak 1981 memberitahu:

"Datuk Palanivel tidak memerlukan apa-apa latihan. Beliau tahu macam mana harus menjalankan kerjanya.

"Bila saya pergi bercuti, Palanivel akan bertindak sebagai pemangku presiden.... itu sahaja," katanya.

Mesyuarat CWC hari ini juga tidak menyentuh soal pelan peralihan kuasa parti, kata Palanivel ketika ditemui selepas sidang media itu.

"Kami membincangkan secara terperinci mengenai (idea dan input) untuk Rancangan Malaysia Ke-10... banyak masa dihabiskan untuk perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Samy Vellu ketika ditanya mengenai pelancaran Parti Makkal Sakthi Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak 10 Oktober ini iaitu sehari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Samy Vellu sekali lagi enggan memberikan komen secara terperinci.

"Kami tiada komen mengenainya. Kami merasakan bahawa kami menjalankan tugas kami, kami bekerja di Bagan Pinang, dan kami tahu bahawa kami boleh meraih undi di sana.

"Itu sahaja yang boleh saya katakan tentang Bagan Pinang... sama ada satu lagi parti ditubuhkan atau tidak, biarkan mereka tubuhkan parti.

"Biar kita tunggu dan lihat. Di negara ini begitu banyak parti ditubuhkan pada masa-masa lalu, biar kita lihar berapa lama mereka akan bertahan," kata bekas menteri persekutuan ini.

Berhubung kenyataan Najib semalam bahawa Dewan Tertinggi Barisan Nasional akan membuat keputusan terhadap permohonan parti politik yang berhasrat menyertai komponen parti pemerintah, Samy Vellu berkata:

"Biar dibincangkan, itu sahaja jawapan saya."

Isa Samad calon BN di Bagan Pinang

Abdul Rahim Sabri


Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Isa, 59, merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

PAS pula akan mengumumkan calonnya malam ini.

Sebelum mengumumkan nama calon BN, Muhyiddin bertanya kepada para hadirin siapa yang mereka mahu, dan mereka menjawab: "Isa".

Sambil memetik slogan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin berkata "sebab rakyat didahulukan, rakyat nak?" disambut dengan laungan kuat "Isa".

Najib tiba sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan calon BN itu pada jam 5.15 petang.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

PAS umum calon malam ini

Abdul Rahim Sabri


Dewan Harian PAS bermesyuarat petang tadi untuk memuktamad pemilihan calonnya bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober depan.

Nama calon tersebut akan diumumkan malam ini bertempat di markas PAS Batu 9, Jalan Pantai Teluk Kemang oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Had Awang.

Manakala Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemilihan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Menurut sumber, dalam mesyuarat petang tadi, dua nama disebut untuk dipilih sebagai calon PAS.

Mereka ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri itu, Kassim Tahir.

Bagaimanapun, dipercayai PAS akan memilih calon yang lebih muda, iaitu Zulkefly untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang itu.

Filem Bruno diharamkan di M'sia

BERNAMA


Filem Bruno, terbitan Universal Picture Production diharamkan penayangannya di Malaysia kerana ia didapati mengandungi adegan dan kata bual lucah.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini berkata hasil penelitian dan semakan Lembaga Penapis Filem (LPF) mendapati filem itu tidak melepasi etika budaya dan amalan hidup masyarakat di negara ini.

movie bruno ban 290909LPF mendapati filem yang dibintangi Sacha Cohen Boren itu bertemakan gay dan mengandungi adegan lucah, kata bual lucah dan turut mengetengahkan paparan shot
penggunaan peralatan seks.

"Filem ini juga dengan jelas telah menyentuh sensitiviti kepercayaan dengan mempersendakan agama Kristian," kata kenyataan itu.

Pengedar filem Bruno, Golden Screen Cinemas telah dimaklumkan berhubung keputusan pengharaman itu melalui sepucuk surat bertarikh 6 Ogos lepas dan pengedar juga dimaklumkan tentang asas-asas pengharaman berserta laporan penapis filem untuk filem itu.

Mufti Perlis cuti panjang?

Jimadie Shah Othman


Kini tersebar berita yang mendakwa bahawa Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya akan bercuti panjang mulai Khamis ini.

Berita tersebut semakin luas tersebar di negeri itu sejak kelmarin dan menimbul tandatanya di kalangan banyak pihak mengenai sebab beliau bercuti panjang.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Sumber-sumber yang rapat dengan pejabat mufti Perlis mengesahkan Dr Juanda akan bercuti mulai 1 Oktober ini.

Sumber-sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai sebab-sebab Dr Juanda bercuti.

"Apa yang dapat saya katakan ialah Dr Juanda akan cuti lama," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu beberapa rakan Dr Juanda, ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, mereka difahamkan bahawa mufti Perlis itu bercuti untuk "menjalankan penyelidikan akademik" di sebuah universiti terkemuka di luar negara.

Seorang daripadanya berkata, mereka difahamkan Dr Juanda akan mula bercuti awal bulan depan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Juanda berkata beliau sedang menghadiri mesyuarat dan minta menghubunginya semula.

Bagaimanapun, usaha menghubungi selepas itu tidak berjaya.

Dr Juanda, 37, dilantik sebagai mufti Parlis pada 3 Februari lalu, menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bersara mengejut kerana "tidak selesa dengan permainan politik" beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Sebelum itu, Dr Juanda merupakan timbalan mufti negeri Sarawak selama lima tahun.

Beliau dipinjamkan oleh kerajaan Sarawak untuk berkhidmat di Perlis selama tiga tahun, sehingga Februari 2012.

Dr Juanda, anak kelahiran Igan dekat Sibu, menuntut di Universiti Al-Azhar dari 1991 hingga 1995 dalam jurusan syariah.

Sebelum itu, beliau menuntut di Kolej Islam Klang.

Penduduk Behor Temak bantah Wahabi imam solat Jumaat

Jimadie Shah Othman


Selain membuat pertukaran imam, usaha memperluaskan fahaman 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' - yang pada masyarakat umum, dikenali sebagai Wahabi - juga didakwa dilaksanakan dengan membawa masuk imam khas pada hari Jumaat.

Seorang anak kariah di Masjid Al-A'la, Behor Temak, Perlis memberitahu Malaysiakini, pada 14 dan 21 Ogos lalu, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) telah menghantar iman dari luar bagi mengimankan solat Jumaat di masjid tersebut.

Masjid Al-A'la, Behor TemakMenurut Adnan Saad, tindakan itu mendapat bantahan penduduk setempat memandangkan masjid berkenaan sudah pun mempunyai tiga orang imam.

"Kita hendak bela maruah imam kita. Kita sudah ada imam. Apa tujuan hantar iman dari luar?" katanya.

Semalam, Malaysiakini difahamkan, terdapatnya usaha mengembangkan aliran Wahabi - yang juga dirujuk sebagai "Sunnah Perlis" atau Salafi - melalui pertukaran imam Masjid Al-A'la, Behor Temakbaru-baru ini.

Dua imam terbabit - yang tidak mengamalkan fahaman Wahabi - telah menerima surat arahan pertukaran pada 18 Ogos lalu, yang didakwa bertujuan memberikan tekanan kepada mereka supaya melepas jawatan tersebut.

Sebagai tanda bantahan, ketiga-tiga imam masjid itu bertindak meletakkan jawatan sebagai pada 31 Ogos lalu.

Bantahan pada MAIPs

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Adnan, 60, yang berkata, beliau mengambil inisiatif dengan mengadukan perkara itu Setiausaha MAIPs, Malik Hussin pada 24 Ogos lalu.

"Dia kata (perkara) biasa. Mana boleh biasa, mesti ada sesuatu," tambah Adnan.

Selepas peletakan jawatan ketiga-tiga iman masjid terbabit, pesara tentera itu mengutip lebih 200 tandangan penduduk bagi memohon pembatalan peletakan jawatan ketiga-tiga iman terbabit.

Tandatangan sokongan itu diedarkan dari rumah ke rumah bermula awal bulan ini, jelas Adnan.

Surat yang dialamatkan kepada Malik yang juga pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) bagaimanapun tidak mengaitkan bantahan mereka dengan usaha mengembangkan fahaman tersebut, sebaliknya mendakwa wujudnya politik dalaman dalam pengurusan masjid di kawasan itu.

Malik ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya masih belum menerima surat tersebut yang dipos Sabtu lalu ke alamat pejabatnya di Kangar.

Perdebatan agama

Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Perdebatan agama sentiasa tercetus apabila terdapat beberapa fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan, antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah dan tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh.

Aliran yang diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 itu turut popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania.

Di Malaysia, ia dikembangkan oleh tokoh-tokoh Kaum Muda yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Asas-asal fahaman aliran ini dikembanggkan daripada pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah - tokoh pembaharuan Islam pada abad kelima selepas kewafatan Nabi Muhammad - yang membawa idea menyucikan agama dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, menggalakkan ijtihad dan menolak bid'ah dan tahyul dalam agama.

Taklimat terakhir pindaan perlembagaan kepada Umno negeri - Muhyiddin

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan Umno negeri akan diberi taklimat terakhir mengenai cadangan pindaan Perlembagaan parti itu sebelum dibentangkan pada Perhimpunan Agung Umno Khas Oktober ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ianya adalah untuk mencapai satu kata sepakat mengenai pindaan yang akan dibentangkan itu, kata Muhyiddin yang jga Timbalan Presiden Umno.

"Walaupun ada pendapat yang berbeza tetapi apabila sampai ke peringkat akhir kita harap ada satu keputusan yang baik di mana semua pihak boleh terima apa yang kita hendak kemukakan nanti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama pada Persidangan Perkhidmatan Awam 2009 ke-14 di Institut Tadbiran Awam Negara di Bukit Kiara di sini Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa bahagian Umno yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan perlembagaan parti antaranya berkaitan dengan sistem pemilihan jawatan dalam parti.

Muhyiddin berkata Umno pusat sudah memberi peluang kepada setiap negeri untuk meneliti draf pindaan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata pindaan itu penting bagi memberi peluang kepada parti untuk menjana semula kekuatan baru dan menarik sokongan bukan sahaja daripada anggota parti tetapi juga mereka yang belum menyertai Umno untuk bersama-sama dengan parti.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mohd Yusmadi Mohd Yusuff yang mahu jawatan Ketua Menteri negeri itu digilirkan berdasarkan formula baru yang memberi peluang kepada semua kaum menjadi pemimpin, Muhyiddin berkata perkara itu terserah kepada mereka.

"Itu pandangan mereka, saya tidak berhak hendak beri pandangan kepada mereka di sana. Kita dah berpengalaman lama, PKR ini baru saja, kita dah berpuluh tahun. Kita dah faham dan kita buat sesuatu keputusan berdasarkan kehendak dan keperluan.

"Umpamanya di Sabah, kalau digilirkan selalu kita tahu kesannya adalah pada pembangunan negara. Disebabkan itu kita hentikan proses penggiliran," katanya.

Malaysiakini sambut ulangtahun ke-10

MALAYSIA KINI


Pada tanggal 20 November ini, Malaysiakini - akhbar bebas internet pertama di negara ini - akan menyambut ulangtahun penubuhannya dalam menyalur laporan berita bebas dan seimbang sejak 10 tahun lalu.

Ketua Pengarang Kumpulannya Steven Gan - yang juga salah seorang pengasas Malaysiakini - berkata: "Media yang bebas memerlukan sumber kewangan yang bebas - sentiasa menjadi moto tersirat kami sejak 10 tahun lalu.

"Sementara kewujudan Malaysiakini penting dalam memberi impak kepada masyarakat, ia lebih penting lagi bagi kami mempelbagaikan sumber-sumber pendapatan bagi memastikan kami terus bebas.

"Terima kasih banyak-banyak, terutamanya kepada para pelanggan, yang menyokong kami selama ini, bagi membolehkan Malaysiakini kekal bebas dalam menyalurkan berita dan pandangan kami. Sambutan ini bertujuan untuk kami mengucapkan terima kasih atas sokongan padu mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini dilancarkan pada 20 November 1999 sebagai portal berita internet percuma dengan tujuh orang kakitangan. Hari ini, lamanweb ini mempunyai 65 kakitangan, yang melaporkan berita dan pandangan setiap hari dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, Cina dan Tamil.

Lamanweb ini juga ditatap lebih 37 juta pengunjung dan 750,000 muat-turun video setiap bulan oleh 1.6 juta pengunjung unik (Analisa Google, Ogos 2008).

Pada bulan Julai 2008, Malaysiakini menjadi laman web yang paling banyak berita dibaca dan paling popular di kalangan laman web di Malaysia (Alexa.com)

Sambutan ulangtahun Malaysiakini akan bermula melalui talian, mulai pertengahan September 2009. Pelbagai aktiviti menarik telah diatur, dengan acara kemuncaknya merupakan Majlis Jamuan Makan Malam Ulangtahun ke-10 Malaysia (MAD) pada 28 November 2009 di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Banyak acara menarik telah diatur sepanjang majlis tersebut seperti acara hiburan, cabutan bertuah dan banyak lagi. MAD dijangka menarik kehadiran tokoh-tokoh terkemuka tanahair dalam bidang politik dan ekonomi. Lebih banyak maklumat lanjut boleh didapati di www.malaysiakini.com/weare10.

"Kami berharap dapat menganjurkan acara yang meriah manakala majlis makan dikena bayaran kerana ia juga merupakan satu majlis kutipan dana. Hasil kutipan akan disalurkan kepada Tabung Bangunan memandang Malaysiakini selama ini beroperasi di premis yang disewa. Ia lebih praktikal untuk menimbang bagi memiliki bangunan pejabat sendiri," kata pengasas serta ketua pegawai eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran

"Para pelanggan dan penyokong pasti akan puas hati dan bergembira apabila menghadiri majlis tersebut. Ia pasti menjadi malam yang tidak akan dapat dilupakan," janji Premesh.

Syarikat ini memiliki dua anak syarikat - Manage4me Sdn Bhd dan 247 Media Sdn Bhd, yang masing-masing memiliki: Malaysiakini.com, Malaysiakini.tv, Manage4me.com, Kinibooks.com, Voize.my, Fansrock.us, Earth247.tv, Digitalibrary.my

Keputusan inkues: Sujatha bunuh diri

S Pathmawathy


Pelakon drama K Sujatha mati kerana meminum racun rumpai, demikian diputuskan mahkamah koroner hari ini.

Koroner Mohd Faizi Che Abu, tidak mendapati wujud sebarang perbuatan jenayah dalam kes tersebut.

Oleh itu, katanya beliau berpendapat bahawa mangsa telah membunuh diri.

Faizi berkata beliau membuat kesimpulan tersebut kerana tidak terdapat kecederaan lain pada badan mangsa kecuali, antara lain, yang berkaitan dengan racun paraquat.

Seramai 24 saksi telah dipanggil memberi keterangan dalam inkues berhubung kematian pelakon berusia 28 tahun itu.

Sujatha mati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada 25 Jun 2007 - enam hari selepas dimasukkan ke hospital itu kerana dipercaya meminum racun paraquat.

Antara yang dipanggil memberi keterangan ialah ketua pegawai eksekutif Maika Holding, S Vell Paari, sepupunya Dr Saktiveloo yang merupakan seorang pakar di hospital berkenaan dan dua adik lelaki Sujatha.

Vell Paari - anak lelaki presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu - adalah majikan Sujatha. Vell dikaitkan dalam kes tersebut kerana dia dikatakan mempunyai hubungan intim dengan Sujatha.

Bagaimanapun, dalam keterangannya, Vell Paari menafikan mempunyai sebarang hubungan romantik dengan Sujatha.

Umno diboikot, jika Isa tak jadi calon

Dzulfikar Mashoor


TELOK KEMANG :"Kami mahu Isa. Kalau tak kami BOIKOT". Demikian kain rentang yang masih dapat dilihat di beberapa kawasan Batu 6 Teluk Kemang, di sini.

Dipercayai kain rentang itu dibuat sendiri oleh penyokong tegar bekas Menteri Besar, Tan Seri Mohd Isa Abdul Samad.

Kain rentang itu juga dikatakan sebagai isyarat awal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa akar umbi bertegas mahukan Isa.

Ini kerana Najib dijadualkan mengumumkan calon pilihan Umno BN petang ini.

Bersebelahan rumah kampung Isa, Balai Raya Si Rusa yang dijadikan bilik gerakan Umno kelihatan tidak dihiasi sebarang bendera dan kain rentang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Umno Telok Kemang, Datuk Ismail Taib berkata, dia telah mengarahkan budak-budaknya menurunkan kain-kain rentang berkenaan.

Image(Gambar: Salah satu kain rentang yang dinaikkan di Bagan Pinang)

"Ini kerja orang gila,"kata beliau sebagaimana dilaporkan The Malaysian Insider.

Ekoran itu, kain rentang protes yang sama mula diturunkan di sekitar kampung halaman Isa, Kampung Baru Si Rusa, sejak pagi tadi.

Suasana hambar di situ, seolah-olah menggambarkan Umno tempatan boikot pilihan raya jika Isa tidak terpilih sebagai calon.

Beberapa perkembangan terkini menjangkakan Umno masih berdepan pergelutan kuasa dalaman dalam Umno, walaupun Umno berjaya menampilkan seorang calon yang bersih. - mks.

Mahathir diguna untuk selamatkan BN

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG : Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menegaskan, akhirnya Barisan Nasional (BN) terpaksa mencungkil 'bahan purba' untuk menyelamatkan senario politik tanahair apabila Barisan Nasional (BN) dilihat tertekan dengan isu yang mencengkam peribadi kepimpinan.

Mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang didakwa dapat meningkatkan sokongan ekoran terkenal dengan jolokan 'cucu Tok Guru' juga tidak berdaya menyekat kemaraan rakyat menolak BN setelah terbongkar menantunya, Khairy Jamaluddin menjadi pengerak utama pengtadbiran.

Malahan di era kepimpinannya, BN terus menjunam apabila kalah teruk pada pilihan raya ke-12 lalu walaupun pada awal penguasaanya menyaksikan peningkatan.

Di era kepimpinan Perdana Menteri sekarang, Dato' Seri Najib Tun Razak masih terpalit isu Antantuya, kapal selam dan sebagainya maka jalan pintas BN terpaksa memanggil mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdiri di belakang untuk menguatkan hujah serta bercakap bagi pihak kerajaan.

"BN terpaksa mengeluarkan 'bahan purba' semula untuk selamatkan senario politik tanahair yang semakin meruncing dengan berbagai isu termasuk rasuah, penyelewengan, kroni, sistem kehakiman yang musnah, penindasan dan ugutan politik berleluasa, " terangnya dalam ceramah di Kampung Pelet, Penanti semalam.

Baginya, panggillah sesiapa pun kerana rakyat sendiri sudah muak dengan gelagat kepimpinan BN yang asyik mementingkan diri.

Pada tujuh pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum ke-12 lepas juga memperlihatkan kecenderungan rakyat kepada Pakatan Rakyat yang berjaya merampas lima negeri daripada Umno dan BN.

Justeru itu sambungnya, Dr Mahathir dibenarkan memberikan kenyataan di siaran televisyen atau media cetak setiap malam mengulas atau memberi pandangan tentang keadaan politik atau permasalahan yang terjadi dalam BN.

"Dr Mahathir seolah nak jadi Perdana Menteri balik bila mukanya sering terpampang di kaca TV dan akhbar tidak sepertimana Pak Lah sepi umpama sudah meninggal, " tambahnya yang juga bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan Kuala Kedah, Kedah.

Najib ujar beliau, menyedari tidak mampu lagi mengetuai jentera pilihan raya kerana semuanya tewas dengan majoriti besar kecuali di Manik Urai, Kelantan sekadar 65 undi sahaja. - mks._

SMS minta saksi jumpa pakar psikiatri cetus pertelingkahan

BERNAMA


SHAH ALAM: Satu SMS yang dihantar kepada ahli keluarga Teoh Beng Hock supaya mereka hadir untuk pemeriksaan mental mencetuskan pertikaman lidah antara peguam dan pihak yang membantu siasatan inkues kematian beliau.

SMS yang dihantar pada Jumaat lepas meminta tunang Teoh, Soh Cher Wei selain rakan yang sepatutnya menjadi pengapit di hari pernikahan mereka, Woo Chuan Sing, ibu bapa dan dua adik beradik Teoh hadir di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Selayang, dan berjumpa dengan seorang doktor di sana.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, menyatakan perkara itu (berjumpa pakar psikiatri) tidak sepatutnya berlaku dan pihak yang menghantar SMS berkenaan sepatutnya menyatakan mengapa saksi dipanggil untuk ditemuduga dan sama ada ia sebagai satu cara untuk menyatakan Teoh membunuh diri.

"Saya rasa tidak elok sebarang permintaan untuk hadir membantu siasatan dihantar hanya melalui SMS sahaja. Permohonan perlu dihantar mengikut undangundang. Kita tidak tahu siapa penghantar SMS. Perkara sebegini bukannya perkara mainmain," katanya.

Dalam prosiding tidak dinyatakan siapakah pengirim SMS itu yang hanya menyatakan: "Selamat petang puan (ditujukan kepada tunang Teoh), inkues kematian Teoh, diminta hadir di Unit Mekar, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, aras 2, Hospital Selayang untuk ditemuduga oleh Dr Yati pada 28 Sept 2009, pukul 2 petang. Kerjasama puan amat diperlukan, sebarang pertanyaan sila hubungi ...".(... itu disebabkan tiada nama dinyatakan ketika prosiding).

Peguam mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, turut membantah perjumpaan dengan pakar psikiatri itu dengan alasan ia tidak relevan dengan kes.

Katanya pihak yang membantu Koroner Azmil Muntapha Abas mengendalikan kes ini sepatutnya menyatakan dahulu apa yang perlu ditanya dan tidak diketahui status doktor yang akan menemubual.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili kerajaan Malaysia pada awalnya kelihatan berang dengan hujah Gobind dan Malik kerana beliau telahpun menegaskan bahawa SMS yang dihantar itu hanyalah untuk menemubual saksi berkaitan latar belakang Teoh dan tiada kaitan langsung dengan peribadi saksi.

Katanya temubual itu bukan hanya akan melibatkan keluarga Teoh tetapi juga saksi lain yang berjumpa Teoh semasa hari kejadian.

"Saya rasa Gobind telah membuat kesimpulan terlalu cepat. Telah saya katakan bahawa kehadiran pakar psikiatri adalah hanya untuk membantu inkues ini, untuk bertanya tentang latar belakang Teoh. Jika ditanya saya sekarang apa soalan yang akan diajukan kepada saksi, saya sendiri tidak tahu, doktor itu yang akan tentukan," katasnya.

Setelah keadaan agak tegang hampir 20 minit ia ditenteramkan dengan penerangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abbas, yang turut membantu prosiding itu.

Abazafree berkata bahawa bukan seorang sahaja pakar psikiatri yang akan menemubual saksi tetapi ada dua orang doktor dan mereka akan merangka soalan yang akan diajukan.

"Pakar psikiatri ini bukannya pakar biasa tetapi mereka pakar forensik psikiatri.

Seorang bertugas di Selayang dan seorang lagi di Hospital Permai, Johor Bahru.

Mereka telah memberitahu polis bahawa mereka akan menemuduga secara bebas saksi yang bersama Teoh dan keluarga bagi mendapatkan maklumat tentang tahap mental Teoh.

"SMS bukan dari Dr Yati dan saya diberitahu mereka bukan untuk menyiasat tahap mental saksi tetapi ia untuk mendapatkan maklumat sebelum membuat kesimpulan.

"Kitapun tidak tahu apa bentuk kesimpulan itu. Tetapi sekiranya Malik berkata keadaan ini terlalu awal, lebih baik kita dapatkan skop soalan untuk temuduga dahulu," katanya.

Koroner Azmil kemudian membuat keputusan supaya soalan yang bakal diajukan dikemukakan di mahkamah pada Jumaat ini dan pihakpihak terbabit boleh berhujah sama ada ia relevan atau tidak.

Di awal prosiding, Azmil berkata beliau berhasrat meneruskan kes dengan memanggil saksi selain T. Sivanesan tetapi Tan memberitahu tiada saksi yang hadir hari ini kerana pihaknya menghadapi masalah disebabkan pegawai penyiasat kes itu, ASP Ahmad Nazri Zainal, mengalami kemalangan.

Katanya, sebelum ini Ahmad Nazri bertanggungjawab memanggil saksi-saksi.

"Oleh kerana terdapat rayuan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Rayuan, keterangan Sivanesan perlu ditangguhkan dahulu dan saksi lain akan dipanggil," kata Azmil.

Pada 9 Sept lalu Sivanesan, yang merupakan saksi yang dikemukakan oleh Gobind Singh, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah didera oleh pegawai SPRM tetapi keterangannya ditangguhkan atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa, yang mewakili SPRM.

Abdul Razak kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap perintah Azmil yang membenarkan Sivanesan, yang pernah disoal siasat SPRM Selangor lebih setahun lalu, memberi keterangan tetapi pada keesokannya (10 Sept), Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam memutuskan Azmil tidak terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang.

Inkues disambung Khamis ini dan abang Teoh, Beng Kee serta sahabatnya Woo Chuan Sing akan memberi keterangan.

Penubuhan Makkal Sakthi, kaum India diingatkan jangan terpedaya

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG : PAS mengingatkan ahli Kelab Penyokong PAS terutamanya masyarakat India supaya jangan terpedaya dengan cubaan Barisan Nasional (BN) mengelirukan mereka dengan penampilan parti baru 'Makkal Sakthi'.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof berkata, penubuhan parti ini dibuat oleh mereka yang kecewa kerana tidak dapat jadi calon pilihan raya.

Menurutnya, BN sengaja mengatur strategi untuk memadam semangat masyarakat India yang nyata menolak parti berasaskan perkauman samada MIC, Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) ataupun Parti Progresif (PPP).

Justeru itu, BN terpaksa mencipta parti baru untuk mengembelengkan tenaga masyarakat India agar memberikan kepercayaan kepada parti baru kononnya hasil perjuangan rakyat akar umbi untuk menggantikan parti perkauman India lainnya.

Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir menyambut baik penubuhan Makkal Shakti baru-baru ini.

"Ahli Kelab Penyokong PAS kena tetapkan pendirian dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan dakyah BN yang memperkudakan parti tersebut untuk menarik kembali sokongan masyarakat India yang nyata terus semangat menyokong Pakatan Rakyat, " tegasnya ketika dihubungi.

Tambahnya,jika benar bekas pemimpin Hindraf yang kecewa hendak memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan untuk masyarakat India mereka seharusnya memilih Pakatan Rakyat sebagai penasihat atau penaung bukan BN yang sedang menanti rebah dalam arena politik tanahair.

ImageAgak mengejutkan sambungnya, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, penubuhan parti baru itu begitu cepat didaftarkan semata-mata untuk menampung kehendak masyarakat India yang telah kecewa dengan parti berteraskan kaum India di Malaysia.

"Jangan ambil perhatian tentang penubuhan Parti Makkal Sakhti yang ditubuhkan oleh orang yang tiada pendirian. Bersabarlah dengan perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat. Kita akan mencapai kemenangan muklak nanti, " ujar beliau lagi.

Justeru itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang berharap, semua ahli Kelab Penyokong PAS di serata negeri bersatu tanpa mengira warna kulit di samping memperbanyakan program bersama masyarakat bukan Islam.

Cara itu tambah Dr Mujahid, dapat menambah kesepaduan, kematangan dan percambahan ilmu politik di samping mendapat penjelasan isu terkini mudah-mudahan pendekatan itu memberi ketabahan dalam usaha menarik seramai mungkin mereka yang masih tercari-cari wadah perjuangan.

Katanya,anggaplah penubuhan 'Makkal Sakhti' tajaan mereka yang kecewa itu sebagai sebuah lubang yang besar menanti BN jatuh untuk ditimbus oleh mereka yang menanti kepincangan serta kemusnahan BN secara menyeluruh.

"Kalau boleh ditakrifkan penubuhan Makkal Sakthi sebagai lubang besar untuk menimbus BN yang hanya ada nyawa-nyawa ikan sahaja. Biar rakyat yang tentukan kelak, " terangnya. - mks. _

Biar Ibrahim Ali jadi 'kupang tembaga'

Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH : Keceluparan Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, Dato' Ibrahim Ali yang kini sedang bertikam lidah dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ada hikmahnya kata, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,Mohamad Sabu.

"Siapa tidak kenal Ibrahim Ali yang suka melompat parti dan termahsyur dengan bila bagi betis dia hendak peha walhal perjuangannya tidak lagi releven dengan politik semasa. Tambahan lagi kerusi bebas yang dimenanginya atas lambang PAS pada pilihanraya umum ke-12 lalu adalah restu Menteri Besar sendiri yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri.

"Biar dia terjun dengan labu-labunya kerana itu yang dia mahu. Dia seorang yang tidak tahu berterima kasih bahkan melawan dengan begitu celupar sekali. Itu satu hikmah kerana selepas ini jika dia bertanding juga atas tiket bebas sama ada kunci ke.. bas ke.. pasti kalah, " terangnya.

Menurutnya,sewajarnya Ibrahim Ali bersama Pakatan Rakyat selepas kemenangan di Pasir Mas itu bukan menyendiri atas tiket bebas kononnya untuk memperbetulkan mana yang salah tidak kira parti mana sekali pun dalam parlimen.

Biarpun kata Mohamad, beliau acapkali bertegang leher dengan kepimpinan BN mengatakan kebenaran tetapi perjuangannya bukan kerana menjagai hak malahan perjuangannya lebih kepada pentingkan populariti.

Tetapi beliau yakin pada pilihanraya umum akan datang Menteri Besar Kelantan itu akan berhati- hati memberi mandat pada sesiapa yang dipilih sebagai calon terutamanya membabitkan penggunaan lambang bulan purnama.

"Tengoklah nanti apa akan jadi padanya bila kalah pilihan raya. Umno pun tidak layan, PAS tidak bagi peluang kedua, KeADILan pun macam tu, DAP pun turut menolak perjuangan lompat melompat dia akan jadi 'kupang tembaga' bersendirian tanpa kawan, " jawabnya

. Pertikaman lidah berlaku apabila Menteri Besar Kelantan menasihati Ibrahim supaya kosongkan kerusi Pasir Mas kerana telah mengkhianati pengundi di situ apabila memberinya kemenangan untuk menyuarakan kebenaran bukan mencerca PAS dengan berbagai tuduhan yang kadang- kadang kenyataanya boleh meruntuhkan akidah.

Selepas teguran tersebut, Ibrahim Ali terus melatah dengan mendesak Menteri Besar Kelantan berundur kerana faktor tua, selalu sakit dan memberi peluang orang lebih muda menerajui Kelantan.

Bukan itu sahaja malahan beliau juga mengatakan 10 sebab kenapa Dato' Nik Aziz perlu letak jawatan sebagai Menteri Besar. - mks. _

Undi Pos: Pemuda Pas mahu SPR sediakan garis panduan bertulis

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR : Dewan Pemuda PAS (DPP) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya SPR mengeluarkan garis panduan bertulis, berkaitan peraturan undian pos sebagai memudahkan rujukan bagi anggota tentera dan parti parti bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa berkaitan Undi Pos DPP, Suhaizan Kayat berkata, ia penting bagi mengesan sebarang pelanggaran prosedur atau peraturan SPR sepanjang proses pengundian pos dijalankan.

" SPR kena sediakan garis panduan bertulis, jika berlaku sebarang keraguan, kita boleh tunjuk garis panduan tu kepada komander kem," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pertemuan bersama SPR di Putrajaya semalam, mereka turut dimaklumkan SPR berhubung beberapa pindahan pada peraturan pilihanraya.

Ia termasuk peraturan 7 (1), Peraturan Peraturan Pilihan Raya 2003 (Pengundian Pos) di mana buku kauterfoli tidak lagi dicetak nama no siri anggota yang mengundi.

Pindaan itu selaras dengan peraturan 19 (3), Peraturan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Awam) yang memperuntukkan perkara sama tetapi dimansuhkan pada 2006.

Suhaizan ketika mengulas pindaan itu berkata, SPR seharusnya memberi maklum kepada pelanggan mereka khasnya parti parti politik berhubung pindaan tersebut.

"Sepatutnya sebarang perubahan yang dibuat dalam Peraturan Pilihan Raya, mesti dimaklumkan atau ditaklimatkan kepada pelanggan mereka seperti parti parti politik," ujarnya yang juga Ketua Penerangan DPP.

Peraturan peraturan SPR berkaitan undi pos juga katanya masih lagi longgar dimana masih banyak ruang yang boleh dimanipulasi pihak tertentu yang berkepentingan.

Berhubung borang 2, DPP katanya tidak mahu ia dimansuhkan terus kerana menyedari beberapa kepentingan borang berkenaan dikekalkan.

Namun penggunaan borang tersebut perlu kepada sedikit pembaikian demi menjaga kerahsiaan undi anggota.

"Kita tak mahu borang 2 dimansuh terus, kita lihat sebarang manipulasi boleh dikesan melalui borang itu. Ia boleh dijadikan bukti jika berlaku sebarang penyelewengan.

" Apa yang kita nak adalah, cetakkan nombor siri anggota pada borang tersebut digugurkan, itu sahaja," katanya. _

MIC mula 'berlembut' dalam kes disiplin terhadap Subra?

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan terbaru, MIC kelihatan mula mengambil pendirian 'berlembut' berhubung soal mengenakan tindakan disiplin terhadap ahli-ahlinya termasuk ke atas bekas Timbalan Presidennya, Datuk S. Subramaniam.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang bermesyuarat buat kali pertama hari ini, susulan pemilihan parti 12 September lalu, tidak membincangkan soal tindakan disiplin yang pernah disebutkan oleh Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu ke atas Subramaniam dua minggu lalu.

"Kami belum memutuskan apa-apa tentang itu... kami biarkan perkara itu seperti sedia ada, kita tunggu masa yang sesuai," kata Samy Vellu kepada pemberita selepas mesyuarat kira-kira dua jam hari ini.

Ketika ditemui sehari selepas pemilihan 12 September lalu, Samy Vellu menegaskan bahawa MIC tetap akan mengambil tindakan disiplin ke atas Subramaniam, yang telah tewas pemilihan jawatan itu buat kali kedua.

Menurut Samy Vellu, Subramaniam bakal berhadapan dengan tindakan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana membawa kumpulan penyokong - dianggarkan 500 orang - yang disifatkan sebagai "samseng" oleh Samy Vellu bagi mencetuskan kekecohan ketika pemilihan yang berlangsung di PWTC.

CWC yang bermesyuarat sebelum pemilihan itu telah memutuskan untuk merujuk Subramaniam kepada Jawatankuasa Disiplin berhubung kenyataannya mengulas laporan dakwaan penipuan undi pada pemilihan 1977.

Bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindaraj mendakwa, beliau telah membawa 30 undi ke bilik pengiraan undi, yang akhirnya membantu kemenangan Samy Vellu.

Pun begitu jelas Samy Vellu, CWC mengekalkan keputusan yang diputuskan dua minggu lalu supaya tindakan mahkamah diambil terhadap Govindraj atas alasan telah memburukkan nama dan imej MIC melalui kenyataan-kenyataan medianya.

Hari ini Samy Vellu turut mengumumkan pelantikan bekas Naib Presiden, Tan Sri K. S. Nijhar sebagai pengerusi baru Jawatankuasa Disiplin.

Nijhar yang meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden MIC ekoran perselisihan faham dengan Samy Vellu tahun lalu pernah mengepalai Jawatankuasa Disiplin pada akhir 1980-an termasuk dalam kes pemecatan bekas Naib Presiden, Tan Sri M.G. Pandithan.

Ketika ditemui mStar Online, Nijhar berkata, pihaknya perlu melihat fail sebelum menentukan sama ada terhadap kes terhadap Subramaniam ataupun sebaliknya.

Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan jika cukup maklumat, kata beliau.

"Jawatankuasa Disiplin akan melihat keputusan CWC sebelum ini... sama ada terhadap kes disiplin ataupun tidak, ia bergantung pada hasil penelitian Jawatankuasa Disiplin.

"Kemungkinan ada kes, kemungkinan tidak akan ada kes," kata beliau.

Jawatankuasa Disiplin akan bertemu dalam tempoh tiga hari lagi, jelas Nijhar.

Terdahulu Samy Vellu berkata, beliau telah memberikan amaran keras terhadap dua anggota CWC yang berucap pada satu pertemuan di Klang malam kelmarin - yang membincangkan sama ada MIC masih relevan ataupun sebaliknya selain tentang hala tuju politik masyarakat India.

"Saya ada bertanya kepada kedua-dua anggota CWC berkenaan dan mereka mengakui ada menghadiri pertemuan itu.

"Saya memaafkan mereka kali ini tetapi akan mengambil tindakan terus jika mereka mengulangi perkara yang sama," katanya.

Kedua-dua anggota CWC iaitu ialah K.P. Samy dan S.P. Manivasagam yang memenangi kerusi CWC walaupun bertanding sebagai calon bukan Pasukan Presiden.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa MIC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak mahupun ahli yang cuba menjejaskan perpaduan dalam parti dan menggugat kestabilan parti.

"Kita akan bertindak tegas terhadap mana-mana ahli yang berbuat demikian tanpa mengira status mereka," katanya.

Pertemuan di Klang itu turut mengadakan kajian ringkas empat soalan untuk mendapatkan pandangan sama ada MIC masih relevan ataupun tidak.

Subramaniam pada awalnya disebut-sebut akan menghadiri pertemuan tersebut lalu mengumumkan pendirian tentang masa depannya dalam bidang politik.

"Ini adalah satu perkara yang amat serius kerana mereka telah melibatkan diri dalam satu usaha untuk menghancurkan nama baik MIC dan memberi gambaran kepada orang ramai bahawa MIC adalah tidak relevan," katanya.

Mengenai aduan pelanggaran peraturan pemilihan 12 September lalu, Samy Vellu memberitahu, mereka telah diberi peluang untuk mengemukakan aduan mereka dalam tempoh seminggu selepas pemilihan.

"Mereka telah menyaksikan sendiri proses pemilihan dan telah menandatangani surat akuan penerimaan keputusan pemilihan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Aduan Pelanggaran Peraturan Pemilihan MIC 2009, P. Subramaniam menulis surat kepada Setiausaha Agung MIC mendakwa CWC yang bermesyuarat hari ini adalah tidak sah.

Bagan Pinang satukan Mahathir dan Khairy

Harakahdaily
(ANALISIS)


HARI ini mungkin hari bersejarah untuk penduduk Port Dickson apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menjejakkan kakinya ke pusat perlancongan antarabangsa itu.

Sebelum ini, Najib pernah ke sana. Namun, ketika itu nasibnya kurang baik. Beliau pun bukan lagi Perdana Menteri ketika itu.

Namun, beliau bernasib baik kerana mempunyai seorang rakan baik di sana iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tan Sri Isa Abdul Samad. Dan masalahnya ketika itu berjaya di selesaikan.

Hari ini, Najib turun ke Port Dickson sebagai seorang Perdana Menteri. Beliau mendapat sambutan permaidani merah di sana.

Beliau menyertai para pemimpin Umno dan BN yang lain dalam majlis rumah terbuka BN di sana.

Dan hari ini juga, timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin, mengumumkan Isa sebagai calon Umno Bagan Pinang. Walaupun mendapat tentangan dan bantahan secara terbuka dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, ia tidak dihiraukan oleh Najib.

Pelbagai andaian dibuat kenapa Umno pimpinan Najib sanggup meletakkan Isa sebagai calon walaupun mendapat bantahan demi bantahan.

Yang paling ketara adalah pendapat bahawa Najib sangat memerlukan kemenangan yang besar dalam pilihan raya kecil ini selepas kalah dalam tujuh pilihanraya kecil sebelum ini.

Isa adalah taruhan utama untuk kemenangan ini. Ini kerana, golongan bawahan sangat-sangat mahukan Isa kembali ke persada utama politik tanah air selepas dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin Umno kerana membeli undi dan merasuah perwakilan Umno.

Pemilihan ini bermakna Najib menolak pandangan, memilih Isa membolehkan Umno menang di Bagan Pinang tetapi akan mengalahkan Umno di seluruh negara.

Turut dijadikan sebab mengapa Isa dipilih adalah kempen-kempen yang dibuat di Bagan Pinang termasuk menaikkan kain rentang ugutan agar Umno memilih Isa sebagai calon.

Kain rentang itu berbunyi "Kami mahu Datuk Isa. Kalau tidak kami boikot'. Kain rentang ini dinaikkan di merata tempat dalam kawasan pilihan raya ini hatta di kampung Isa sendiri.

Namun, bagi pihak yang nakal, punca utama kenapa Isa dipilih sebagai calon adalah kerana peristiwa lama di Port Dickson itu.

Najib sanggup melawan Tun Dr Mahathir, orang yang memberikan tekanan kepada Tun Abdullah Badawi agar meletakkan jawatan dan melantik Najib sebagai PM.

Najib juga sanggup berbeza pendapat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, yang secara sindiran menolak Isa sebagai calon.

Dan mungkin ini adalah pertama kali, Mahathir mempunyai pendapat yang sama dengan anggota Parlimen Rembau itu iaitu menolak Isa sebagai calon, selepas sekian lama mereka berbeza pendapat.

Sekurang-kurangnya, pilihan raya kecil Bagan Pinang menyatukan Mahathir dan Khairy, selepas sekian lama Mahathir memukul menantu Tun Abdullah itu._

Sebutan kes Pekeliling 24 Nov ini

BERNAMA


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 24 November ini bagi sebutan kes permohonan Peguam Negara untuk membatalkan Pekeliling Kerajaan Negeri Selangor yang mengarahkan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu pejabat dengan kehadiran peguam.

Timbalan Pendaftar Mankiranjit Kaur menetapkan tarikh sebutan itu di dalam kamar di sini hari ini.

Yusmadi Yusoff, peguam yang mewakili kerajaan Selangor memberitahu pemberita prosiding kes itu yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan kerana salinan permohonan daripada kerajaan negeri yang dimeterai untuk membatalkan permohonan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail belum diperolehi.

"Kerajaan Negeri Selangor masih belum dapat salinan yang dimeterai untuk diserahkan kepada pihak Peguam Negara untuk dipertimbangkan untuk dijawab," katanya.

Yusmadi berkata kelewatan ini mungkin disebabkan oleh proses pemindahan pentadbiran Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam ke bangunan lain.

Difahamkan Bahagian Mahkamah Sivil Shah Alam akan dipindahkan ke Bangunan Malaysian Resources Corporation Bhd bersebelahan Plaza Alam Sentral di sini mulai 1 Oktober ini.

Pada 20 Ogos lepas, Peguam Negara memfailkan permohonan bagi membatalkan pekeliling bertarikh 28 Julai lepas yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud yang dinamakan sebagai defendan bersama kerajaan negeri.

Dalam afidavit sokongannya Abdul Gani berkata memandangkan pekeliling itu merupakan arahan pentadbiran sekiranya pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang tidak mematuhi pekeliling itu mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Bagaimanapun kerajaan Selangor dalam permohonannya untuk membatalkan permohonan Peguam Negara, berkata pihak yang sepatutnya memohon pembatalan pekeliling itu ialah SPRM kerana badan itu menerima kesan terus daripada pekeliling itu bukannya Peguam Negara yang dikatakan tidak memiliki "locus standi" dalam hal itu.

Pekeliling itu dikeluarkan kerajaan negeri selepas Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati selepas memberi keterangan kepada SPRM di pejabat suruhanjaya itu di Plaza Masalam Seksyen 9 di sini pada pertengahan Julai lepas.

Panel rayuan kekal hukuman sebat Kartika

MALAYSIA KINI


Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Pahang hari ini mengekalkan keputusan hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata keputusan itu dibuat selepas panel tersebut membuat semakan terhadap prosedur penghakimannya.

NONEBagaimanapun tarikh pelaksanaan hukuman tersebut belum diputuskan panel berkenaan yang turut dianggotai Ketua Hakim Syarie Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman, katanya ketika dihubungi Bernama.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Hukuman sebat itu kemudian ditangguhkan baru-baru ini bagi menghormati bulan puasa.

Suri rumah terkejut temui kalimah Allah pada daging

MALAYSIA KINI


Seorang suri rumah terkejut terlihat kalimah Allah pada daging yang dibeli oleh anaknya di Alor Setar, Kedah, semalam.

Rashadah Abdul Rani, 57, berkata kalimah Allah itu dapat dilihat dengan jelas selepas daging itu dipotong dalam bentuk kepingan sebesar tapak tangan kanak-kanak dan direndam dalam air.

"Saya menyuruh anak saya membeli sekilo daging di Pasar Alor Gunung untuk dijadikan juadah saya dan suami bersahur kerana kami berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal.

"Selepas memotong dan merendamnya dalam air, anak perempuan saya yang menolong di dapur terlihat kalimah Allah pada enam keping daging tersebut," katanya kepada pemberita yang menemui beliau di rumahnya hari ini.

Rashadah berkata beliau akan mengeringkan daging itu untuk disimpan dan dijadikan bahan untuk tujuan perubatan.

Sementara itu, cucu saudaranya yang merupakan pengamal perubatan alternatif, Suhaila Saad, 32, berkata beliau telah merujuk perkara itu kepada seorang lagi pengamal perubatan alternatif yang dipanggil Syeikh.

"Syeikh mengatakan ia adalah tanda kebesaran Allah dan hendak tunjukkan kepada umat Islam bahawa di mana sahaja kita berada kita perlu berpandukan kepada paksinya," kata Suhaila.

Usia 55 tahun ke atas paling banyak maut

UTUSAN ONLINE


BALING - Wajarkah kerajaan melarang rakyat yang berusia 55 tahun menunggang motosikal atau memandu bersendirian bagi mengelak daripada berlaku kemalangan maut.

Itulah cadangan yang dikemukakan Polis Daerah Baling setelah melihat salah satu daripada faktor utama berlaku kemalangan ialah pengguna kenderaan yang terlibat sudah memasuki usia warga emas.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan berkata, peningkatan kematian di kalangan pengendali kenderaan warga emas agak membimbangkan dan wajar diberi perhatian.

Menurut beliau, sebagai langkah awal, setiap keluarga perlu memastikan ahli mereka yang sudah lanjut usia supaya tidak memandu kenderaan sama ada kereta atau motosikal sekiranya mereka tidak lagi mampu berbuat demikian.

"Inilah yang kita bimbang... Ada penunggang atau pemandu kereta yang sudah lanjut usia masih mahu menunggang atau memandu kereta sendirian.

"Statistik di daerah ini menunjukkan kadar kemalangan maut melibatkan warga emas berusia 55 tahun ke atas meningkat berbanding tahun lalu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut beliau, daripada sejumlah 35 kematian yang dicatatkan di Baling sepanjang sembilan bulan tahun ini, sebanyak 18 daripadanya adalah warga emas.

Angka kematian itu meningkat sebanyak 53 peratus berbanding tempoh yang sama iaitu dari Januari hingga September tahun lalu.

PM gesa bawa pulang bijak pandai negara

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu usaha dipertingkatkan bagi membawa pulang golongan bijak pandai Malaysia yang berada di luar negara terutama dalam bidang sains.

Perdana Menteri berkata, negara setakat ini masih gagal menepati sasaran bilangan penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) yang secukup melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan di bawah RMK-9 adalah 60 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja.

Namun, kata beliau, setakat ini, hanya seramai 18 RSE yang mampu dihasilkan berdasarkan bilangan tenaga kerja yang digariskan itu.

"Nyata sekali bilangan ini adalah jauh daripada memuaskan hati dan sesuatu harus dilakukan bagi memperbaiki keadaan.

"Kita perlu mengenal pasti punca ketidakmampuan kita bagi menghasilkan lebih ramai profesional sains, jika ia kerana ketandusan pemikiran, kita perlu mencari jalan untuk memperbaikinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sains Mahathir di sini malam ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tambah Najib, salah satu kaedah terbaik untuk meningkatkan RSE negara adalah membawa mereka yang menetap di luar untuk kembali ke negara ini.

"Kita perlu membawa bakat-bakat (bijak pandai) pulang dan menyediakan insentif agar mereka kekal di sini.

"Apa sahaja yang perlu, hendaklah dilakukan untuk mengatasi kelemahan pembentukan bakat bidang sains, " katanya.

Jelas beliau, pelaburan yang lebih banyak perlu dilakukan bagi membina pangkalan penyelidikan dan pembangunan serta kumpulan berbakat dalam pelbagai cabang sains.

Katanya, sains, teknologi dan inovasi adalah pemacu kepada pembaharuan ekonomi sesebuah negara yang menjadikan bidang itu satu keutamaan bagi pembangunan ekonomi arus perdana.

"Kita perlu meletakkan penanda aras diri kita (dari segi kemajuan bidang sains) dengan negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, India dan China," katanya.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan Prof. Gurdev Singh Khush dari University of California dipilih sebagai pemenang Anugerah Sains Mahathir 2008 atas jasanya dalam bidang penyelidikan padi.

Beliau terpilih atas kejayaannya membantu meningkatkan hasil pengeluaran beras dunia dari 257 juta tan pada 1966 kepada 520 juta tan pada 1990.

Kejayaan Gurdev yang berasal dari India itu turut membantu menambah bekalan makanan kepada satu bilion penduduk dunia di samping meningkatkan taraf hidup para petani di Asia.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pula diumumkan Perdana Menteri sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir 2009 kerana peranannya memajukan industri perabot kayu getah di peringkat global.