Friday, September 28, 2018

PRK PD, malapetaka besar jika Anwar menang

Oleh NARAZA MUDA





PAS sudah menyatakan kesediaannya untuk meletakkan calon di PRK Port Dickson (PD), satu pilihan raya buatan Anwar Ibrahim untuk menjayakan agenda keinginannya dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Apakah semudah itu? PAS sememangnya mengambil kedudukan sebagai parti dan pembangkang yang berprinsip apabila mencabar Anwar, bukan kali pertama, Langkah Kajang sebelum ini digagalkan oleh PAS.

Umno yang terduduk penangan PRU14, terus hilang taring dan masih tercari-cari rentak sebagai pembangkang dalam sejarah negara. Walhalnya PAS memberi laluan kepada Umno di kawasan pengundi Melayu 42.72 peratus dan BN telah bertapak melalui MIC sebelum ini.

Jika Anwar menang, tragedi atau malapetaka baharu akan terjadi. Bukan pertembungan Mahathir dan Anwar, tetapi Azmin Ali. Sekarang pun Azmin memang menjadi penyokong dan Menteri paling berpengaruh selepas Mahathir.

Dan sudah ada maklumat sulit yang sedang diperkatakan memang ada perjanjian antara Mahathir, Azmin adalah Perdana Menteri selepas Mahathir.

Jika pertembungan ini berlaku, Mahathir akan terus menerajui Malaysia untuk tempoh yang lebih lama atas alasan mengekalkan kestabilan Pakatan Harapan (PH).

Sejarah Langkah Kajang telah mencetuskan pertembungan PKR, DAP dengan Istana Selangor, tidak mustahil krisis ini akan berlaku sekali lagi. PAS menjadi penyelamat waktu itu dengan menamakan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor untuk mengelak krisis perpanjangan.

Jika Anwar menang inilah antara jangkaan yang akan berlaku. Sebab itu PAS dilihat tidak memberi laluan mudah kepada Anwar untuk mengelak krisis besar dan malapetaka politik pertembungan alaf PH ini akan membantutkan perjalanan pentadbiran negara.

Untuk memastikan semua jangkaan ini tersasar, Anwar mesti dihalang menang di PD. Dengan erti kata lain PAS mestilah dimenangkan dalam apa jua sekali pun untuk mengekalkan kestabilan politik di Malaysia

PKR TAK GUSAR RAMAI AHLI UMNO MASUK PPBM



PKR tidak gusar dengan penghijrahan ahli UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selain menyifatkan parti itu masih lagi yang terkuat dalam Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan itu bukan saja tidak memberi kesan kepada PKR, malah menegaskan parti berkenaan tetap komited untuk menjalin kerjasama dengan PPBM.

“Bagi saya hubungan PKR dengan PPBM sekarang begitu baik. Saya tidak musykil kerana PKR masih parti yang kuat.

“Yang penting ialah mengekalkan hubungan baik dengan PPBM saling mempercayai dan hubungan peribadi saya dengan Tun (Dr Mahathir Mohamad) pun sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli PKR Terengganu di Kuala Terengganu, pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dan kira-kira 200 ahli serta penyokong PKR Terengganu.

Pertemuan itu adalah kali pertama selepas Anwar kali terakhir berkunjung ke negeri ini pada 2014.


Rogol remaja 13 tahun bergilir-gilir, 9 ditahan

MALAYSIA GAZETTE
Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 Sept lepas.
Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 Sept lepas. - foto hiasan

TAIPING – Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata suspek berumur 15 hingga 17 tahun itu ditahan pada 9 hingga 11 malam semalam di rumah suspek di sini dan Kamunting, susulan laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kamunting, Rabu.

Beliau berkata kesemua suspek direman mulai semalam sehingga 2 Okt.

Mohamad berkata siasatan polis mendapati mangsa dan seorang rakan perempuannya pergi ke Taman Tasik Taiping dan mereka dijemput dua lelaki yang menaiki motosikal pada 11 pagi, 18 Sept lepas.

Katanya mangsa sekali lagi dirogol bergilir-gilir 8 lelaki di Kampung Kurnia Jaya pada 19 Sept, dan 25 Sept di Taman Tekkah Permai.

Beliau berkata doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa mendapati alat sulit remaja perempuan itu mengalami kesan koyakan lama.

Katanya siasatan polis mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rogol, mendatangkan kecederaan parah dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Mohamad berkata polis sedang mengesan rakan mangsa itu serta 2 lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.— BERNAMA


UMNO belum tahap lumpuh, PH pula tidak boleh tersilap langkah


Wartawan MalaysiaGazette

Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR


KUALA LUMPUR – Memang UMNO sekarang adalah sebuah parti politik yang lemah tetapi ia belum sampai ke peringkat kejatuhan atau lumpuh.

Penganalisis politik, Mohd Roslan Saludin berkata, ini kerana parti tersebut masih mempunyai penyokong dan mendapat sokongan dalam kalangan orang-orang Melayu yang nasionalis.

“Kekalahan UMNO, isu-isu membabitkan parti, masalah-masalah dalaman yang berlaku dalam parti berkenaan tidak boleh dipukul rata sebagai kejatuhan UMNO.

“Parti yang berteraskan bangsa tidak boleh dipandang begitu, tambahan pula UMNO sedang melakukan reformasi, jika betul caranya ia umpama peribahasa carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Apatah lagi UMNO masih berteraskan kepada prinsip Ketuanan Melayu dan Islam walaupun tiga parti dalam Pakatan Harapan – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) cuba mendukungi teras yang sama, bezanya tidak menyentuh isu-isu sensitif.

“Teras yang didukung oleh tiga-tiga parti ini adalah sama dengan UMNO dan selepas Pilihan Raya Umum lalu, kedudukannya mungkin seimbang dengan UMNO.

“Setakat ini UMNO belum menampakkan kejatuhan atau lumpuh. Cuma ia belum kuat,” tambah bekas Felo Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dalam keadaan sekarang, Mohd Roslan berkata, Pakatan Harapan pula tidak boleh tersilap langkah.Jika itu berlaku, UMNO akan mengambil kesempatan sepenuhnya.

“Cuma ia bukan waktu terdekat ini,” ujar beliau.

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membayangkan parti UMNO, sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum Mei lepas, akan berhadapan satu kejatuhan.

Berucap pada satu majlis di New York, Perdana Menteri Malaysia itu berkata, ramai anggota parti berkenaan mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, UMNO kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk UMNO kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan UMNO. – MalaysiaGazette

KAITAN: UMNO menuju kejatuhan – Mahathir


Polis nafi dakwaan Raja Petra polis curi duit UMNO

MALAYSIA GAZETTE
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini menafikan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin bahawa polis telah mencuri RM43.3 juta wang UMNO.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini menafikan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin bahawa polis telah mencuri RM43.3 juta wang UMNO.

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh hari ini menafikan dakwaan penulis blog Raja Petra
Kamarudin bahawa polis telah mencuri RM43.3 juta wang UMNO.

Sambil menganggap tuduhan itu tidak berasas sama sekali, Amar Singh berkata jika Raja Petra mempunyai maklumat sahih berhubung dakwaannya, beliau digesa membuat laporan polis.

“Jangan hanya menyorok di belakang alam maya dengan membuat pelbagai andaian kes ini, saya cabar dia (Raja Petra) buat laporan polis.

“Jadilah seorang yang berani dan tidak melaporkan maklumat-maklumat yang palsu berhubung kes ini,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengulas dakwaan Raja Petra di blognya bahawa PDRM telah mencuri RM43.3 juta wang UMNO, di sini, hari ini.

Amar Singh berkata ketika serbuan di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pavilion Residences pada Mei lepas, terdapat 50 pegawai dan anggota polis serta kakitangan Bank Negara Malaysia yang terlibat mengawal selia setiap pergerakan di kediaman itu.— BERNAMA

PPBM NEGERI SEMBILAN ‘TUTUP KEDAI’ – MUHYIDDIN

Wartawan Watan-Online
 


Ketika lantang mempersenda UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini mengumumkan pembubaran PPBM Negeri Sembilan dan dua bahagian di Ampang serta Subang kerana berdepan banyak masalah sukar diatasi.

Perkara itu diumumkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, pada Khamis.

Dengan pembubaran PPBM Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim akan menyusun semula kepemimpinan parti itu di negeri berkenaan.

“Jadi, (jabatan pendaftar pertubuhan) ROS bagi nasihat untuk bubar dan lantik semula pimpinan di peringkat negeri,” katanya.

Ketika ditanya apa masalah yang dihadapi PPBM kawasan itu, Muhyiddin berkata: “Kita ada banyak masalah sejak awal kita lantik bahagian, mereka buat banyak perkara pertentangan dengan perlembagaan parti, mereka buat laporan polis, sidang media yang nak jatuhkan parti, saya tak pasti sama ada mereka masih ingat lagi.

“Jadi saya tak nak ulas panjang tapi sebab Majlis Tertinggi dah buat keputusan hari ini, seluruh (bahagian) di Negeri Sembilan (dibubarkan),” katanya.

Menurut Muhyiddin, mesyuarat parti itu hari ini turut memutuskan ahli PPBM Negeri Sembilan, Datuk Nasarudin Mahamut dipecat.

Sementara itu, katanya, bahagian Ampang dan Subang pula akan diselaraskan oleh Ketua Badan Pimpinan PPBM Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

“Di Ampang macam-macam perkara yang kita suruh buat tapi tak ikut dan buat pandai-pandai, kita buat keputusan untuk dua bahagian ini dalam badan pimpinan negeri bawah Datuk Rashid dibubarkan,” katanya.


KEDUDUKAN ISA SAMAD DITENTUKAN JAWATANKUASA DISIPLIN



UMNO menyerahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk memutuskan kedududkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kedudukan Isa sama ada akan dikenakan tindakan ataupun sebaliknya hanya akan ditentukan jawatankuasa disiplin.

“Kita serahkan kepada jawatankuasa disiplin untuk menentukan,” katanya kepada Watan Online selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, Khamis malam.

Sebelum itu Isa ketika dihubungi mengesahkan akan bertandijg pada PRK Port Dickson sebagai calon Bebas bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ahli parti itu sepatutnya akur dengan keputusan yang dibuat untuk memboikot PRK itu.

Oleh itu katanya, tindakan akan diambil sekiranya ahli menyertai PRK itu serta membantu kempen mana-mana calon yang bertanding.

“Kita boikot (PRK Port Dickson) kerana kita melihat PRK sengaja diadakan bagi menjayakan matlamat peribadi seseorang. Jadi ia tidak sepatutnya dibuat.

“Kita tentulah akan memantau mana-mana ahli parti yang menjadi calon dalam PRK dan kemudian akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk dikenakan tindakan mengikut yang diperuntukkan oleh parti.

“Tindakan perlu diambil supaya kita dapat menjaga keluhuran dan kredibiliti parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga ahli Parlimen Lenggong berkata UMNO juga tidak membenarkan ahlinya menghulurkan bantuan kepada PAS yang telah mengesahkan penyertaan dalam PRK tersebut.

“Bila kita dah boikot maknanya mana-mana ahli tidak boleh melanggar dan terlibat langsung,” katanya.


Azhar mahu pastikan PRK Port Dickson pilihan raya bersih, adil di era Malaysia Baharu



Azhar mahu pastikan  PRK Port Dickson  pilihan raya bersih, adil di era Malaysia Baharu

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu Azhar Azizan @ Harun mahu Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson berjalan secara bersih dan adil kepada semua parti dan calon yang bertanding kali ini.

Beliau yang memulakan tugas  di hari  pertama hari ini, berkata, di era Malaysia Baharu ini, beliau berniat untuk memastikan tanggungjawab yang bakal dipikulnya dapat dilaksanakan secara adil dan mencapai matlamat untuk penambahbaikan suruhanjaya itu dan sistem pilihan raya di negara ini.

” Saya lapor diri ke SPR penuh dengan aktiviti dan cabaran kerana semalam SPR ke saman, esok adanya penamaan calon.

“Oleh kerana personaliti yang terlibat (bertanding) pada PRK Port Dickson  akan menjadi perhatian seluruh negara dan dunia. Saya akan pastikan ia berlangsung secara bersih dan adil dalam era Malaysia Baharu,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Ibupejabat SPR di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood dan Setiausaha SPR Datuk Elias Abu Bakar serta pegawai kanan suruhanjaya.

(dari kiri) Pengerusi SPR Azhar Harun bersama Tan Sri Othman Mahmood dan Datuk Mohamed Elias Abu Bakar beramah mesra dengan kakitangan SPR di kaunter pertanyaan.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi SPR menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Julai lepas.

Azhar yang juga bekas peguam berkata, beliau mengharapkan di bawah terajunya nanti SPR akan melangkah ke tahap lebih tinggi yang akan diperakui diperingkat antarabangsa.

“Saya berasa amat gembira tetapi saya juga akur dengan amanah amat besar dipertangungjawab atas bahu saya di era Malaysia Baharu ini.

“Niat saya untuk laksanakan amanah tersebut dengan seberapa baik yang boleh dengan bantuan timbalan dan ahli suruhanjaya lain.

“Ini kerana dua tiga bulan kita bercakap tentang untuk reform SPR dan saya akan bertemu dengan Tan Sri Rashid Abdul Rahman untuk mendapatkan kerjasama dan mengetahui agenda reform yang ingin dilaksanakannya…ini niat yang bagus jika SPR boleh ditambahbaikan,” ujarnya.

Pada Ogos lalu kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Bersatu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Jawantakuasa itu mempunyai 10 anggota terdiri dariapda Bersih, Merdeka Centera, BN, PHdan NGO.

Azhar Harun diberikan penerangan oleh pegawai SPR proses pengundian yang dilaksanakan suruhanjaya itu.

Ditanya mengenai teguran Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi SPR tidak atas persetujuan anggota parlimen sebagaimana dalam  manifesto PH.

Azhar melahirkan rasa terima kasihnya kepada peringatan Khairy kerana akauntabiliti yang ditunjukkan  dalam manifesto PH mengenai pelantikan seorang pengerusi dalam mana-mana agensi atau suruhanjaya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak boleh memihak kepada mana-mana parti sekiranya mekanisma pemilihan itu diwujudkan selepas ini, sekiranya kerajaan ingin melaksanakannya sebagaimana dalam manifesto adalah dialu-alukan.

“Tetapi pada masa ini mekanismanya belum ada tetapi pelantikannya ada mengikut mekanisma sedia ada, jadi saya terima sahaja,” ujarnya.

Khairy sebelum ini mempersoalkan pelantikan Azhar  sebagai Pengerusi SPR kerana tidak mendapat perakuan Parlimen seperti mana termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, tanpa pengerusi baharu pun SPR masih mampu mengendalikan PRK  Port Dickson.

Anwar tidak bimbang Mohd Isa tanding di Port Dickson



Anwar tidak bimbang Mohd Isa tanding di Port Dickson

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, bukan satu cabaran.

Pada masa sama, Anwar berkata tiada halangan kepada mana-mana individu atau parti politik yang ingin meletakkan calon bertanding PRK Port Dickson itu kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Itu hak dia sebagai rakyat, saya tidak mahu komen, dalam sistem demokrasi rakyat putuskan.

“Dia bermasalah dan diketahui umum, biar rakyat putuskan sebaiknya,” kata beliau kepada pemberita ketika menghadiri tayangan khas filem Tamil, Chekka Chivantha Vaanam di Seremban malam tadi lapor Bernama.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mohd Isa hari ini yang mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Parlimen Port Dickson.

Dalam pada itu, Anwar enggan mengulas kemungkinan individu lain yang turut menjadi calon pada PRK itu, antaranya bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor.

Sementara itu, Anwar mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRK tersebut agar mematuhi peraturan ditetapkan.

“Saya juga sudah beritahu rakan-rakan jangan gunakan jentera kerajaan, biar badan bukan kerajaan atau badan parti politik bekerjasama,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Turut hadir semasa tayangan filem berkenaan, Danyal Balagopal.

Tiga lagi Anjung Kasih akan beroperasi tahun depan, kata Wan Azizah



Tiga lagi Anjung Kasih akan beroperasi tahun depan, kata Wan Azizah

Sebanyak tiga buah Anjung Kasih dijangka siap dibina tahun depan menjadikan 14 tempat penginapan percuma untuk waris pesakit bakal beroperasi di hospital-hospital rujukan seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tiga Anjung Kasih tersebut dibina di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; dan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

“Tanggungjawab menjaga pesakit di hospital boleh menjadi satu kesukaran bagi waris yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan sehingga ada yang tidur bergelimpangan di ruang lobi hospital.

“Kerajaan prihatin terhadap situasi ini dan cuba meringankan beban mereka dengan menawarkan penginapan percuma supaya mereka dapat bersama semasa rawatan untuk pesakit dijalankan,”
katanya semasa merasmikan Better Brighter Anjung Kasih YKN @ Hospital Serdang, hari ini lapor Bernama.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie.

Selain di Hospital Serdang, Wan Azizah berkata sebanyak lapan Anjung Kasih telah beroperasi iaitu di Hospital Selayang, Selangor; Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dan Hospital Tengku
Ampuan Afzan Kuantan, Pahang; Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak; Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan; dan Hospital Sibu, Hospital Umum dan Hospital Miri, Sarawak.

Katanya dua lagi telah siap dibina dan bakal beroperasi menjelang hujung tahun ini di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Tuanku Fauziah Kangar, Perlis.

“Sejak diwujudkan pada tahun 2006 anjung kasih di seluruh negara telah memberi manfaat kepada lebih 54,000 waris pesakit,” katanya.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail

Mengenai Better Brighter Anjung Kasih YKN @ Hospital Serdang, Dr Wan Azizah berkata projek hasil kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan TNB itu bertujuan menaik taraf tempat penginapan tersebut serta menambah kapasitinya yang mampu menempatkan 102 orang pada satu masa berbanding 26 orang sebelum ini.

Menurutnya pelbagai kemudahan lain turut disediakan untuk keselesaan penghuni termasuk surau, ruang rehat, ruang cucian dan jemuran, ruang makan, bilik kaunseling dan bilik sukarelawan.

Dr Wan Azizah berkata kos menaik taraf bangunan tersebut ditangung oleh TNB, termasuk kos penyelenggaraan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau berharap waris pesakit yang menginap di Anjung Kasih dapat menjaga kemudahan yang disediakan dengan baik bagi memastikan keselesaan penghuni lain pada masa akan datang.

PAS jadi mimpi ngeri Anwar di Port Dickson

 
   
PULASAN | Sekurang-kurangnya sudah dua hari Port Dickson tidak hujan. Sedangkan dua hari juga Kuala Lumpur hujan lebat.

Bahang panas yang biasa-biasa itu seakan-akan bakal menjadi luar biasa di Port Dickson. Angin yang berpuput lembut dari Selat Melaka menjadikan bandar pelancongan di Negeri Sembilan itu semakin menggiurkan.

Malam tadi panas itu terasa lain macam dan menyediakan persekitaran antara kenangan masa silam, realiti hari ini dan harapan masa depan.

Di pekarangan Markas PAS Cawangan Kampung Bukit Tembok, ribuan mata, telinga, pokok-pokok kelapa dan gerai-gerai menjadi saksi kesungguhan PAS mahu memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kecil (PRK) 13 Oktober ini.

Tidak ketinggalan, bulan Muharam yang hampir sempurna penuhnya.

Slogan pada bangunan markas itu sekadar membayangkan iltizam PAS: "Jihad jalan kami Islam pasti menang".

Tidak jauh dari situ tertegaknya khemah bersejarah. Bukan sembarang orang yang ada di situ. Mereka ialah penyokong PAS yang istiqamah.

Di situ ada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ada Datuk Takiyuddin Hassan, ada Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, ada Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Siapa yang tidak kenal dengan mereka, kan?




Di depan khemah ada lori kecil yang 'dibajukan' separuh. Ditegakkan buluh-buluh yang mengibarkan bendera PAS serta Malaysia. Pada separuh badan lori itu pula dihiasai bendera hijau dengan bulatan putih di tengahnya.

Pada belakang lori kecil itulah jadikan pentas.

Sesiapa saja yang naik dan berucap di pentas bergerak itu, mereka membelakangkan sebuah rumah batu setingkat yang berwarna ungu.

Padanan Anwar

Port Dickson ialah satu lagi manoeuvre PAS dalam pentas siasah negara. Ia juga satu penegasan daripada parti itu bahawa tiada sesiapa yang boleh menganggap parti itu sudah menjadi sejarah.

Mustahil PAS tidak sedar siapa lawan yang akan dicabar pada PRK di Port Dickson itu nanti. Namun PAS bukan parti kecil anak.

Bak kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan dicabar oleh calon PAS yang sepadan. Jangan ada sesiapa yang cuba memperlekehkan mereka.

Padanan Anwar untuk kerusi parlimen Port Dickson ialah Mohd Nazari Mokhtar. Dia seorang bekas tentera berpangkat tinggi, seorang pengetua maahad tahfiz, lepasan universiti luar negara (Bangladesh) dan bukan orang baru dalam langkah pilihan raya.

Turut penting untuk ditekankan, Mohd Nazari seorang pengusaha ladang durian. Bukan sembarang durian, tetapi durian Musang King!




Begitulah ketajaman langkah dan wawasan PAS berdepan dengan HARAPAN.

Ia mengingatkan bagaimana Abdul Hadi merangka 'Langkah Langkawi' semasa negara berdepan dengan pilihan raya umum (PRU) lalu. Beliau menjanjikan seorang calon yang berwibawa dan bertenaga untuk mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika orang ramai menyangka Abdul Hadi mencalonkan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Langkawi, PAS dengan bergaya meletakkan tokoh yang dirasakannya jauh lebih hebat daripada bekas menteri kanan Umno itu.

PAS memilih Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad.

Nyaris juga Dr Mahathir kalah mengejut di Langkawi pada PRU ke-14 dulu.

Kajian mendalam

Hal yang sama dijangka bakal didepani Anwar pada 13 Okt nanti. Kecuali jentera HARAPAN merangka strategi yang betul-betul padu, Anwar tidak boleh leka dengan sebarang kemungkinan daripada PAS.

Jangan disangka tanpa bantuan Umno, PAS akan lemah. Hanya orang yang tidak faham akan langkah PAS boleh terpedaya. Bagi PAS, semakin mereka bersendirian, akan semakin kuatlah parti itu.

PRU ke-14 cukup menjadi bukti bagaimana PAS berjaya memporak-perandakan HARAPAN di negeri-negeri Pantai Barat.

Turut tidak boleh diabaikan ialah pelantikan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar A Samad sebagai pengerusi Jawatankuasa Induk Jentera PRK Port Dickson.




Beliau orang lama yang penuh dengan pengalaman. Selain pernah menjadi pesuruhjaya PAS Selangor, beliau juga bekas exco kanan di negeri tersebut.

Beliaulah antara pemimpin kanan PAS yang awal mengarahkan jentera parti itu bergerak untuk bersedia bekerja menghadapi Anwar.

Pedulilah tentang perintah yang dikeluarkan Iskandar pada awalnya terarah ke kawasan Pandan.

Meski pun jarak di antara Pandan dan Port Dickson jauh, beliau lebih cergas bersiaga berbanding orang lain.

Itu belum diambil kira faktor analisis dan kajian mendalam oleh kumpulan pemikir PAS seperti Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Kepada Malaysiakini baru-baru ini beliau menyatakan belum ada arahan daripada pihak atasan untuk membuat kajian kebolehmenangan PAS di Port Dickson.

Kalau kaji selidik itu dijalankan dengan betul, tidak mustahil peluang kemenangan buat PAS akan bertambah tiga kali ganda.

Bulan masih menyinar

Apa pun itulah strategi PAS mendepani HARAPAN. Mereka bijak mencatur gerak dan pada masa sama mengaburi mata lawan.

Cuma masalah - kalau boleh dikatakan masalah - ialah hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Sept untuk hari menamakan calon bagi PRK Port Dickson.

Sesetengah pemimpin tertinggi mungkin berada dalam dilema antara hadir mengiringi Mohd Nazari di bandar peranginan Negeri Sembilan, atau memberikan tanda kemesraan hangat buat Umno yang mengadakan perhimpunan agung tahunan mereka di Kuala Lumpur.




Semasa ceramah berakhir di Pasir Panjang malam tadi, penyokong PAS pulang dengan wajah berseri-seri. Bulan masih menyinar cerah di langit.

Pokok-pokok kelapa yang ada di tepi kawasan lapang itu sedikit pun tidak membuat peniaga cuak jika ada buahnya yang gugur tiba-tiba.

Di laluan masuk, sebuah kereta SUV berjenama BMW sedang bersedia menanti penumpangnya .

Entah siapalah yang punya. Sebuah motosikal Kawasaki berkuasa besar menderu laju sebaik tayarnya menyentuh jalan besar.

Imej-imej itu berbaur dengan markas PAS yang serba sederhana dan lori kecil yang menjadi pentas keramat untuk mengumumkan nama Mohd Nazari.

Port Dickson ialah jelmaan masa silam, realiti masa kini dan harapan masa depan PAS.

Buat PAS, selamat berjuang, selamat berjaya dan kenang daku dalam doamu.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak gemar menggunakan pembaris semasa menulis.

Adun Chenderuh antara 13 cedera nahas

Adun Chenderuh antara 13 cedera nahas
Nahas tiga kenderaan di KM329 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tapah, pagi tadi.

 
IPOH - Adun Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor  antara 13 yang cedera dalam nahas tiga kenderaan di KM329 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tapah, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, 62 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang bermula, malam ini.

Ketua Polis Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, tiada kecederaan serius berlaku dan wakil rakyat itu sedang menerima rawatan di Hospital Tapah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta jenis Honda CRV dipandu mangsa gagal mengelak sebuah lori yang terbabas di tengah lebuh raya.

"Kejadian turut menyebabkan sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) gagal mengelak dan merempuh lori terbabit.

"Daripada maklumat diterima, kenderaan dipandu wakil rakyat itu dan MPV dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun masing-masing membawa penumpang dalam perjalanan untuk menghadiri perhimpunan Umno di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 33 tahun yang membawa muatan batu forselin tidak mengalami kecederaan. Katanya, ketika kejadian, hujan lebat di lokasi.

"Semua mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

DBKL wajibkan pendaftaran pusat tahfiz

SINAR HARIAN
 
Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad sewaktu berucap merasmikan ‘10th International Conference on World Class Sustainable Cities 2018 (WCSC 2018)’ di ibu kota, hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Tindakan mewajibkan pendaftaran pusat-pusat tahfiz dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) adalah bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid-murid terjamin, kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.

Melalui proses pendaftaran, ia turut memudahkan DBKL untuk melakukan pemeriksaan dari segi struktur bangunan dan kemudahan serta memberi nasihat kepada pusat-pusat tahfiz untuk mematuhi syarat-syarat minimum yang ditetapkan, katanya.

"Kami nak mendaftarkan mereka bukan bererti mereka mendapat kelulusan daripada semua aspek, kami cuma mahu mereka di dalam senarai kami, biar kami tahu kewujudan mereka supaya sebarang permasalahan  dapat dikenal pasti dengan mudah.

Selain itu, kami tidak mahu pusat-pusat tahfiz ini dibuat dalam bangunan tidak selamat ataupun dibina atas nama sekolah tahfiz tapi di belakang dengan tujuan lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-10 mengenai Bandaraya Lestari Bertaraf  Dunia  2018 (WCSC 2018) di sini hari ini.

DBKL telah memberikan tempoh sehingga 31 Dis tahun ini untuk proses pendaftaran itu dan tindakan penghentian  operasi akan  diambil sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

"Jika ada premis yang beroperasi tanpa lesen kami turut akan ambil tindakan yang sama, kami melakukan demikian bukan berniat untuk menutupnya tetapi mahu membantu mereka dari segi keselamatan dan kebajikan di samping memelihara imej agama Islam," katanya.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata pusat tahfiz di Kepong yang pengetuanya didakwa terbabit dalam kes meliwat sembilan pelajarnya  tidak mendapat kelulusan Jawi kerana gagal mengemukakan laporan Bomba dan DBKL.

Dalam ucaptamanya pada WCSC 2018, Khalid menggesa kesemua bandar raya di Malaysia supaya  mengguna pakai dan menyesuaikan strategi pembangunan dan tindakan me
reka  untuk  mengurangkan  kesan perubahan  iklim.
“Pembangunan hijau akan memastikan bandaraya-bandaraya sihat dan selesa serta juga akan membantu penggunaan tenaga yang lebih efisien dan mapan,” kata beliau.

Khalid berkata Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, yang akan diwartakan pada penghujung tahun ini, disediakan untuk menggabungkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) atau Agenda Perbandaran  Baharu (NUA)

“Kami komited untuk menyokong dan melaksanakan SDG dan pelan tindakan NUA bagi memastikan  bandaraya ini selamat, terangkum, berdaya tahan dan mapan dengan urus tadbir bandar yang efisien,” katanya.

Beliau berkata komunikasi dan kerjasama yang lebih baik dalam kalangan pelbagai agensi dan kementerian diperlukan untuk perancangan dan pelaksanaan projek yang lebih baik  serta  inisiatif  dalam  membina  sebuah bandaraya lestari yang memastikan tiada siapapun ketinggalan.

“Bagaimanapun, kami akan memastikan kesemua agensi pelaksana faham akan peranan mereka ke arah mencapai matlamat bersama dan menyelaras usaha mereka menerusi dialog antara kementerian dan agensi di peringkat wilayah dan bandar raya,” katanya.

Bertemakan “Kuala Lumpur:Today and Beyond” , persidangan sehari itu mengumpul lebih 500 delegasi tempatan dan antarabangsa mewakili profesional daripada industri berkaitan pembinaan dan alam sekitar, pengurus bandaraya, agensi kerajaan, kumpulan penduduk dan pemegang kepentingan bandaraya. –Bernama

Kematian akibat keracunan metanol meningkat 40 orang

SINAR HARIAN

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
 
 
KUALA LUMPUR - Kematian akibat keracunan metanol meningkat kepada 40 orang hari ini dengan Negeri Sembilan menjadi negeri terkini yang mencatatkan kematian selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua lagi kematian dilaporkan masing-masing satu di Perak dan Selangor.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, jumlah kematian akibat keracunan metanol di Selangor seramai 24 orang, Kuala Lumpur (11) orang, Perak (empat) orang dan Negeri Sembilan (satu) orang.

Berdasarkan kewarganegaraan pula, kematian melibatkan dua warga Bangladesh, dua (India), 11 (Myanmar), 10 (Nepal), 11 (Malaysia) dan empat lagi tidak diketahui kewarganegaraan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima sejumlah 95 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM dengan Selangor sebanyak 63 kes, Negeri Sembilan meningkat kepada tiga kes, Kuala Lumpur dan Perak kekal, masing-masing 17 dan 12 kes," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah yang dicatatkan menerima rawatan di hospital, lapan didapati stabil dan dibenarkan pulang.

Sebanyak 17 pesakit masih menerima rawatan di enam hospital di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata daripada 17 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital itu, tujuh pesakit dalam keadaan kritikal.

“KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini,” katanya. - Bernama

Khidmat Teong Kim ditamatkan lepas gagal ke Piala Dunia B-17

MALAYSIAKINI


Khidmat ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim ditamatkan serta-merta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) tahun depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selepas menerima arahan daripada Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Datuk Hamidin sudah mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baru skuad B-16 kebangsaan.

“Dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” kata S Ramalingam dalam kenyataannya, hari ini.

Skuad negara B-16 perlu menempatkan diri sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir Kejohanan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 untuk menempah tiket ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru.

Bagaimanapun, skuad berkenaan gagal melangkah ke suku akhir dan hanya menamatkan kempen Kumpulan A di tangga ketiga susulan kekalahan 0-2 kepada Jepun dalam aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Ramalingam bagaimanapun menjelaskan Teong Kim tidak pernah mengikat sebarang kontrak dengan FAM, sebaliknya mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” katanya

Bob Lokman istiqamah perjuangan PAS

 
   

Hanya orang yang tidak memahami perjuangan sanggup meninggalkan parti politiknya, kata Bob Lokman.

Justeru, Bob memilih untuk kekal menjadi anggota dan penyokong PAS walaupun parti itu gagal memenangi banyak kerusi  pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Tambah Bob lagi, parti yang dilanda ujian dan mengalami krisis dalaman adalah perkara lumrah dan hal itu tidak sepatutnya menjadi penyebab perjuangan itu berakhir.

“Selagi tidak mencapai tahap siasah, individu itu tidak akan sampai ke peringkat perjuangan yang sebenar. Dia hanya sampai pada peringkat ikut-ikutan.

“Jika individu itu tidak memahami perjuangan PAS misalnya, bermaksud dia hanya mengikut-ikut (menyertai perjuangan parti). Tetapi jika dia faham, itulah definisi perjuangan yang sebenar.

“Begitu juga dengan Umno. Baru-baru ini ramai yang keluar. Umno telah jadi polemik kerana ada yang tidak memahami perjuangan,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Masjid I’tisam TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor semalam.

Baru-baru ini, pemimpin veteran Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee mengumumkan meninggalkan parti dengan alasan demi "menjaga kepentingan Melayu dan Islam".

Keputusan itu dibuat seminggu selepas dua tokoh Umno yang lain, Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman keluar parti.

Selain itu, beberapa lagi pemimpin seperti bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar, Anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali turut mengambil langkah sama.

Mengulas lanjut, bekas pelakon, pengacara, penulis lirik dan pelawak itu berkata, sesiapa yang keluar daripada parti masing-masing tanpa alasan kukuh menyebabkan dia hilang hormat pada individu terbabit.

“Jika faham ilmu perjuangan, kita tidak akan undur ke belakang. Kalau boleh, mati pun dalam perjuangan walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang untuk menegakkannya.

“Dalam salah satu kes terbaru, keluar selepas 40 tahun berada dalam Umno, bermakna tokoh itu tidak faham kenapa beliau duduk dalam parti berkenaan.

“Beliau tidak boleh jangka apa-apa termasuk kejatuhan Umno. Begitu juga orang yang duduk dalam PAS lepas tu keluar. Dia hanya tengok PAS dengan pandangan dia,” katanya.


'Umno tak malu, sudah ditolak masih merayu'

 
   

PKR Melaka menyifatkan Umno tidak malu dan makin hilang maruah susulan cadangan presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan kerajaan perpaduan dengan parti Pakatan Harapan.

"Inilah nasib Umno hari ini yang sangat ego dan keras kepala pada satu ketika dahulu.

“Meludah ke langit jatuh ke muka juga," kata Naib Pengerusi PKR Melaka G Rajendran dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pendirian dua pemimpin utama HARAPAN, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat jelas dengan menolak kerjasama itu.

Malah, katanya, Anwar selaku presiden PKR, berkata cadangan itu tidak relevan.

“Namun, Umno masih merayu dan ini sangat memalukan," tambahnya.

Terdahulu, Zahid dalam laporan New Straits Times, berkata Umno adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk "kerajaan perpaduan" dengan mana-mana parti HARAPAN tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan BN untuk memboikot pilihan raya kecil Port Dickson ada kaitan dengan usaha menjalin perikatan dengan PKR atau BERSATU.


Najib selesai bayar wang jamin RM3.5 juta

MALAYSIAKINI

   
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi 25 pertuduhan jenayah telah selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Hasil semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada jam 9 pagi, mendapati Najib, 65, telah selesai membayar wang jaminan itu.

Pada 20 Sept lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan wang jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin sementera kesnya selesai dan menetapkan 16 Nov untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar pada 21 Sept (Jumaat) dan RM500,000 setiap hari sebelum atau pada 28 Sept.

Pada 21 Sept lepas Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan telah membayar jaminan RM1 juta iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5juta itu.

Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Najib iaitu Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Najib pada 4 Julai lepas didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan pada 8 Ogos lepas, dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Okt.
- Bernama

K’jaan perpaduan: Tunggu Dr M balik, kata Wan Azizah

MALAYSIAKINI

   

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sebarang cadangan atau usaha mewujudkan kerajaan perpaduan bersama pembangkang khasnya Umno hanya akan dibincangkan selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pulang ke tanah air.

“Kita belum buat perjumpaan, tunggu Dr. Mahathir balik untuk bincang dan bagaimana hendak meneruskan sebab benda ini untuk negara kita.

“Kerjasama dengan mana-mana pihak perlu diteliti sama ada boleh atau tidak hendak dilaksanakan,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia hari ini.

Dr Mahathir sedang berada di New York, Amerika Syarikat bagi menghadiri perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Wan Azizah yang juga adalah timbalan perdana menteri, berkata, perbincangan itu perlu diadakan bagi mengetahui dengan lebih lanjut bentuk kerjasama tersebut kerana ia melibatkan kepentingan negara.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu wawancara yang disiarkan semalam dipetik sebagai berkata, Umno adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk "kerajaan perpaduan" dengan mana-mana parti Pakatan Harapan tidak lama lagi.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, Umno terbuka untuk membentuk kerajaan perpaduan sebelum atau selepas Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.

Selain itu, menurut Ahmad Zahid, sebarang perbincangan dengan mana-mana parti tidak akan mempunyai tempoh masa yang ditetapkan atau tarikh akhir kerana sebarang keputusan mesti mempunyai persetujuan daripada kedua-dua pihak.

Mengulas kenyataan itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan Pakatan Harapan pada masa ini komited dengan pendiriannya hanya ada satu kerajaan sahaja dan tidak perlu kepada kerajaan perpaduan.

Beliau yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR berkata, cadangan itu juga tidak relevan untuk dibincangkan dalam Pakatan Harapan.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata beliau tidak boleh menerima idea kerajaan perpaduan antara Umno dan mana-mana parti HARAPAN memandangkan rakyat menolak Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata idea gabungan parti komponen HARAPAN dengan Umno tidak pernah dibincangkan mereka.

Sebaliknya, kata Gobind, ia hanyalah idea Ahmad Zahid.


Thursday, September 27, 2018

Analisis: Mahathir 'sailang' Anwar?

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB 
 
 

IMPIAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohammad mungkin tidak akan kesampaian, walaupun Langkah PD telah disusun.
Tidak mustahil, walaupun Parlimen Port Dickson (PD) dirasakan selamat buat Anwar dan PKR, namun Parlimen PD juga boleh menjadi penamat jalan kepada team Anwar dalam memastikan Presiden PKR itu tidak ke Dewan Rakyat, seterusnya diangkat sebagai PM.
Ingat, dendam Mahathir terhadap Anwar bukan mudah untuk dipadam begitu sahaja dengan kerjasama di bawah Pakatan Harapan (PH). Mahathir tidak pernah senang dengan kehadiran Anwar dalam kerjasama PH.
Apatah lagi adegan lompat melompat MP Umno telah pun bermula, dimulakan anak didik Tun Daim Zainuddin iaitu Dato’ Seri Mustapa Mohamed selaku MP Jeli, dikuti Dato’ Seri Anifah Aman sejurus selepas Tok Pa membuka jalan.
Dijangkakan ada antara 16 orang lagi akan menyeberang, maka dapat dilihat andai kemasukan MP Umno ini sebagai satu usaha mengukuh kedudukan Bersatu dalam PH, dan usaha menghalang cita-cita Anwar.
Umum mengetahui dendam kesumat Mahathir ke atas Anwar, namun ramai pimpinan Umno yang pro Mahathir tahu kenapa Mahathir cukup berdendam dengan Anwar khasnya dalam episod pemecatan tahun 1998 yang akhirnya menghadiahkan adegan usung tilam, pemenjaraan Anwar dan berlakunya reformasi oleh pemimpin muda yang pro-Anwar.
Ketika itu, hayat politik Anwar diselamatkan PAS di bawah pimpinan Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor, walau pada awalnya ditentang hebat oleh Mohamad Sabu yang kerap menggelarkan Anwar dengan gelaran sangat sinikal.
Kes Sodomi 1 dan kemudian Sodomi 2, umum tahu penglibatan Mahathir dalam mempastikan Anwar terpenjara, dan bagaimana Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dijadikan ayam tambatan bagi mengendali kes itu atas nasihat Mahathir agar Anwar disumbat semula ke tirai besi.
Apapun berlaku sama ada benar atau salah (Anwar), yang pasti umum tahu pembabitan secara terselindung Mahathir, dan kemudiannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan Mahathir, walau kemudiannya Mahathir mula menyerang Najib angkara mencantas hayat politik anaknya, Dato’ Seri Mukhriz.
Dendam kesumat ini tak terhenti setakat adegan Sodomi 2 melibatkan Saiful Bukhari Azlan, dan peguam yang menjadi pendakwaraya ketika itu adalah Shafee. Anwar tersumbat ke penjara selepas bicara kes Sodomi 2.
Dalam percubaan berikutnya adegan filem berdurasi 20 minit China Doll, Anwar sekali lagi diaibkan dan se-Malaya adegan selingkuh ini yang kemudian menjadi viral.
Keresahan Mahathir berdepan Anwar dapat dilihat apatah lagi sebaik Mahathir menguasai kerajaan, dia menafikan pula soal perjanjian dua tahun selaku PM.
Bingkas dengan telahan awal Mahathir itu, Anwar dan kumpulan pro-nya dalam PKR kini sedang berusaha memastikan calon MP PD itu jadi PM.
Antara yang kuat membedal Mahathir ketika ini termasuk ayam tambatan Anwar, Rafizi Ramli dan Abdullah Sani, tidak kurang Fuziah Salleh.
Di pihak pro Mahathir dalam PKR yang diketuai Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin kini sedang giat mempertahan Azmin yang diketahui anak kesayangan Mahathir yang berperanan di sisi Anwar sejak dahulu lagi.
Dalam perang antara Mahathir dan Anwar, Azmin dan Rafizi masing-masing sedang menghunus propaganda antara satu sama lain, menjadikan PKR semakin berpecah.
Maka Anwar perlu sahaja beringat bahawa yang menjadi PM hari ini adalah Mahathir, insan yang menyumbatnya ke penjara dalam Sodomi 1 dan terkait dalam Sodomi 2, tidak mustahil kerusi anganan Anwar di PD boleh terlepas dengan permainan Mahathir yang kini menguasai sepenuhnya kerajaan.
Dendam dan kesumat Mahathir tidak boleh diselindung, sinikalnya dalam banyak hal terhadap Anwar tidak boleh dinafikan, malah kini pelbagai rancangan sedang hangat dijalankan olehnya termasuk adegan lompat melompat MP Umno yang sedang berjalan.
Seperkara lagi, ketika hangat isu ini berjalan, peguam tersohor, Muhammad Shafee tiba-tiba ditahan pula kerana tuduhan terlibat skandal pengubahan wang haram.
Muhammad Shafee dalam responsnya tidak menjangkakan bahawa dirinya akan didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM9.5 juta, lima tahun lalu.
Beliau berkata, kesemua transaksi RM9.5 juta itu mempunyai resit yang dikeluarkan oleh firmanya terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak sebagai yuran guaman.
“Saya langsung tidak menjangkakan pertuduhan terhadap saya, ini kerana saya hanya terima bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, baru-baru ini selepas selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.
 
Tambahnya, sebagai peguam adalah tidak wajar untuknya mempersoalkan daripada mana sumber kewangan yang dibayar oleh Najib itu diperoleh.
“Takkan saya nak tanya perdana menteri (Najib) daripada mana sumber wang berkenaan,” katanya.
Muhammad Shafee turut menyifatkan bahawa tuduhan yang dikemukakan kepadanya itu adalah bermotifkan politik malahan tidak berasas serta karut.
Membaca kenyataan Shafie, pastinya pemerhati politik dapat menangkap makna sebenar babak politik ketika ini, dan apakah sekali lagi Mahathir memasang jerat untuk menghalang Anwar? Umum tahu jasa Shafee dalam pengendalian Sodomi 2, apatah lagi kelibat Tan Sri Gani Patail pula seolah-olah kurang berkesan dalam babak-babak sebegini.
Anwar sebenarnya meniti jalan sukar, dalaman parti sendiri sudah mula berpecah belah, yang jelas berpaling tadah sudah mula kelihatan, yang setia pun silap-silap bila berdepan "jawatan dan pangkat, laba kemenangan" bisa tersungkur.
Melihat situasi ini, Anwar barangkali tidak mudah ke posisi nombor satu, kecuali adanya usaha membina koalisi lain bukan bersama kumpulan yang dilihat bertentangan aspirasinya.
 
Adegan semakin menarik, menjelang penamaan calon PRK Parlimen PD, apa sahaja boleh berlaku, sama ada episod malang 98 boleh berulang ke atas Anwar, atau kes lain pula akan dihadapkan ke atasnya.
Apa yang jelas, persefahaman longgar PH membentuk kerajaan pusat dalam PRU14 lalu memungkinkan pelbagai situasi. Langkah PD mungkin tidak sama seperti Langkah Kajang, kerana bila-bila masa sahaja Mahathir boleh memasang perangkap menghalang laluan itu 
 
 

OKU mengadu pada Najib, PH tipu


OKU mengadu pada Najib, PH tipu

Beberapa keping gambar yang dimuat naik pada laman facebook bekas Ketua Srikandi Bersatu Anina Saadudin mengenai seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) bersama kakaknya telah bertemu Datuk Seri Mohd Najib Razak menceritakan keperitannya kerana tidak lagi menerima bantuan sara hidup daripada kerajaan Pakatan Harapan.

Kejadian yang berlaku di hadapan sebuah bank di Wang Maju pada Rabu itu 9.9k sukaan, 1.9k komen dan 2.9k perkongsian yang majoritinya memuji dan menyokong usaha dilakukan Najib ketika pemerintahan kerajaan BN untuk membantu golongan berpenapatan rendah dan miskin.

Status dimuatnaik itu menyebut wanita OKU ini menghentikan motor yang ditungganginya apabila terserempak kelibat bekas perdana menteri itu di hadapan sebuah bank di Wangsa Maju.

“Berhadapan Affin Bank Wangsa Maju pagi tadi, OKU ini break motor dan menjerit memanggil Datuk Seri Najib, “Perdana Menteri!!!”

“Datuk Seri Najib kata “saya bukan lagi Perdana Menteri”.

“Pantas wanita ini menjawab “dalam hati saya Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri saya”.

Beliau menangis sambil mengadu PH telah menipu manifesto tentang bantuan kepada OKU. PH menjanjikan bantuan RM800 hingga RM1,000 tapi semuanya tipu. BR1M juga akan dihapuskan.

“Seumur hidup saya tidak pernah terima duit dari kerajaan, hanya Datuk Seri Najib bantu saya. Hari ini saya tidak mahu minta duit dari Datuk Seri, saya cuma mau kasi tahu saya sayang Datuk Seri.

“Saudaranya beritahu, wanita OKU ini menangis setiap kali lihat Datuk Seri Najib di TV,” tulis Anina.

Cukai gula: Penyelesaian segera kepada obesiti?

Cukai gula: Penyelesaian segera kepada obesiti?
Gambar hiasan
 
 
SEMUA makanan menyumbang tenaga kepada manusia, tetapi krisis obesiti di Malaysia yang meruncing mendatangkan panik kepada sesetengah pihak.

Cadangan berdasarkan bukti diperlukan bukannya penyelesaian segera tanpa bukti sains yang kukuh seperti mewujudkan cukai ke atas minuman manis bergula.

Bagaimana cadangan perlaksanaan cukai ke atas gula menyelesaikan masalah obesiti di Malaysia apabila gula hanya menyumbang kepada 102 kalori sehari, jauh di bawah batas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 224 kalori?

Bagaimanakah ‘cukai soda’ yang merupakan sumber kalori kecil iaitu purata 30 kalori setiap orang sehari, menyelesaikan masalah obesiti di negara ini?

Pada 1996, hanya 4.4 peratus rakyat Malaysia mengalami obesiti. Pihak bertanggungjawab gagal menjangkakan kesan peningkatan ekonomi dan mengawal tabiat makan yang memberi kesan terhadap rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, Singapura memperkenalkan program makanan sihat, Simbol Pilihan Sihat pada tahun 1998. Sebagai perbandingan, kita baru sahaja memulakan program sama pada tahun 2017.

Singapura telah melabur dalam kempen pendidikan dan kesedaran supaya rakyatnya lebih mahukan produk makanan yang lebih sihat.

Di samping itu, Singapura bekerjasama dengan syarikat makanan, saintis dan ahli nutrisi sebagai usaha mencegah obesiti. Usaha tersebut termasuklah penyelidikan berdana dan mencipta persekitaran yang menyokong inovasi dalam teknologi makanan yang bertanggungjawab menghasilkan makanan yang lebih sihat.

Sebaliknya yang berlaku di Malaysia, pihak bertanggungjawab tidak mengesyorkan dan melaksanakan tindakan untuk mengatasi obesiti, malah menyokong idea populis untuk mengenakan cukai ke atas produk mengandungi gula walaupun laporan 4/2013 oleh Akademi Sains Malaysia menyatakan polisi tersebut adalah yang ke-25 dari 28 pilihan polisi.

Satu kajian oleh Institut Global McKinsey pada 2014 menyimpulkan kawalan pemakanan dan pembaharuan tabiat makanan lebih efektif daripada perlaksanaan cukai ke atas minuman di United Kingdom.

Pada 2017 pula, Institut Penyelidikan Ekonomi New Zealand (NZIER) ditugaskan Kementerian Kesihatan New Zealand untuk menilai bukti cukai gula sebagai instrumen fiskal untuk meningkatkan kesihatan.

Selepas mengkaji sejumlah 47 penyelidikan dan kertas kerja yang diterbitkan lima tahun sebelum itu, NZIER menyimpulkan bahawa ‘bukti perlaksanaan cukai gula untuk meningkatkan kesihatan adalah lemah’.

Walaupun begitu, idea perlaksanaan cukai terhadap produk yang mengandungi gula dibangkitkan sekali-sekala terutama apabila kesihatan orang awam dicabar, kesan daripada membendung wabak penyakit tidak menular.

Walaupun laporan terkini Suruhanjaya Peringkat Tinggi WHO yang tidak mengesyorkan langkah fiskal untuk mengekang pengambilan gula, badan kesihatan di Malaysia tetap ditekan untuk mengambil dasar tersebut oleh pakar antarabangsa.

Perlu diingat bahawa pakar-pakar tersebut tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kesan, antaranya kerosakan ekonomi atau kehilangan pekerjaan, hasil daripada cadangan mereka. Pakar-pakar ini tetap akan pulang ke negara mereka sendiri dan membiarkan Malaysia menanggung kesan idea yang salah.

Sokongan terhadap perlaksanaan cukai minuman bergula adalah merbahaya kerana ia mengalihkan perhatian daripada punca sebenar peningkatan kadar obesiti dan memusnahkan harapan untuk penyelesaian yang lebih berkesan akibat pelaksanaan yang berdasarkan idea popular semata-mata.

Daripada mengguna pakai penyelesaian ‘silver bullet’, pihak bertanggungjawab dan penggubal dasar di Malaysia perlu menjalankan analisis ketat berkenaan bukti dan data, selain melibatkan sekali pihak berkepentingan dalam perbincangan sebenar.

Adun DAP mohon maaf, perjelas salah faham surat ahli majlis


Roketkini.com

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perling Cheo Yee How kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang membuat serangan tanpa usul periksa berhubung isu surat yang dikeluarkan ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang didakwa kononnya tidak menggunakan bahasa Kebangsaan. 

Sebaliknya, menurut beliau, surat asal jemputan majlis perbincangan mengenai infastruktur jalan raya bertarikh 12 September lalu dan ditandatangani oleh Ahli MBIP, Chan Wei Khjan sebenarnya menggunakan bahasa Melayu dan kemudiannya diterjemahkan dalam dwi-bahasa (bahasa Cina dan Inggeris) . 

Hanya surat dalam dwi-bahasa menjadi tular di laman sosial dan menimbulkan rasa tidak senang orang ramai, walaupun pada hakikatnya surat asal itu ditulis dalam bahasa Melayu. 

Pun begitu, beliau tetap memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan perkara tersebut.

Beliau tampil membuat penjelasan itu susulan tindakan bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin yang dilihat sengaja mahu menimbulkan provokasi apabila hanya memuat naik surat dengan terjemahan bahasa Cina dan Inggeris tanpa menyertakan sekali surat asal dalam bahasa Melayu di laman sosial miliknya. 

“Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Perling merakamkan rasa kesal dengan tindakan Mohamed Khaled yang sengaja menimbulkan keraguan di hati masyarakat berbilang kaum di dalam negara ini,” kata Yee How dalam kenyataan kepada media.

“Tindakan mereka itu tidak patut dicontohi oleh masyarakat majmuk di Malaysia ini.

“Di sini kami ingin memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan perkara ini serta pihak kami juga bertanggungjawab dalam menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada pihak kami.”

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Tan Hong Pin menjelaskan terjemahan yang dikeluarkan dalam dwi-bahasa itu adalah untuk memaklumkan kepada kalangan penduduk yang mungkin tidak fasih Bahasa Melayu. 

“Penterjemahan dalam pelbagai bahasa dapat membantu komunikasi supaya komuniti setiap kaum lebih memahami dasar kerajaan dengan mendalam,” katanya dalam satu kenyataan sambil menegaskan menghormati kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Adun Skudai, menegaskan bahawa Wei Khjan tidak berniat untuk merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu. 

“Selepas berbincang dengan Ahli Majlis, saya dapati beliau tidak mempunyai niat untuk mencabar kedudukan bahasa kebangsaan.

“Ahli Majlis yang mengeluarkan surat rasmi yang mengandungi tiga bahasa hanya berdasarkan semangat muhibah.

“Harapkan isu ini tidak dibesar-besarkan untuk menimbulkan perasaan tidak senang hati antara kaum,” kata Hong Pin. – Roketkini.com


DAP cadang kerajaan wujud sistem tingkat keselamatan pelajar tahfiz, anak yatim


Oleh

Kerajaan perlu memainkan peranan khusus untuk memastikan aspek keselamatan kanak-kanak di pusat-pusat pendidikan persendirian terjamin kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Menurutnya, ia boleh dilaksanakan dengan langkah pemantauan berkesan secara berkala agar pihak berkenaan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan yang telah mengarahkan penutupan sebuah sekolah tahfiz di Kepong.

“Setelah melihat sendiri keadaan pusat tahfiz tersebut yang kelihatan tidak terurus; dengan pendawaian yang terjuntai dan lokasi yang tidak kondusif untuk proses penghafalan Al-Quran, saya merasakan perlu ada garis panduan yang jelas tentang operasi pust-pusat pendidikan dan jagaan kanak-kanak seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Lip Eng berkata, sistem pemantauan bukan sahaja perlu diwujudkan untuk menjamin keselamatan anak-anak di pusat tahfiz dan pusat jagaan anak yatim tetapi juga di rumah anak yatim, gereja dan seumpamanya demi memelihara keselamatan, kebajikan dan kepentingan kanak-kanak.

“Saya justeru mencadangkan supaya diwujudkan satu sistem untuk memantau dan menyelia pusat-pusat tahfiz serta tenaga pengajarnya; dengan melibatkan bukan sahaja badan-badan agama dan agensi kementerian pendidikan, tetapi juga pihak jabatan kebajikan,” katanya lagi.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu berkata, ibu bapa dan penjaga tidak wajar menyerahkan anak-anak kepada mana-mana individu atau organisasi atas nama pendidikan, tanpa mengambil peduli tentang kebertanggungjawaban organisasi tersebut.

“Anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama sebagai sebuah negara yang baru sahaja mengecapi perubahan.

“Mengabaikan kebajikan dan keselamatan mereka di tangan-tangan mereka yang tidak bertanggungjawab bukanlah satu pilihan,” katanya lagi. – Roketkini.com


NGO pro-Umno gesa SPRM buka semula laporan pemimpin PKR ke atas Dr M




  • NGO mesra Umno, Pemantau Malaysia Baru hari ini mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan ke atas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berdasarkan laporan yang sebelum ini dibuat oleh pemimpin PKR.

    Salah seorang anggota NGO itu, Zamil Ibrahim, yang hadir bersama kira-kira 100 yang lain di hadapan Istana Negara hari ini, berkata mereka memberi masa 48 jam kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM DAtuk Seri Shukri Abdull untuk mengambil tindakan.

    Dalam ucapannya, Zamil, yang merupakan bekas pemimpin pusat PKR, berkata mereka juga mahu Yang di-Pertuan Agong mengkaji semua pelantikan Shukri oleh kerajaan HARAPAN.

    Dia mendakwa Shukri seorang "penakut" yang "menyalahgunakan kuasa" untuk menjatuhkan pemimpin BN.

    "Ketika dia berundur dari SPRM (sebagai timbalan ketua pesuruhjaya pada 2016), Shukri menyampaikan ucapan di mana dia meminta rakan-rakannya meneruskan tugas kerana mereka akan disoal di akhirat jika menyembunyikan kes.

    "Saya ingin tanya dia sekarang, adakah tindakannya hari ini tidak akan disoal do akhirat?

    "Kami ingin memohon Yang di-Pertuan Agong mengkaji semula pelantikan Shukri... Kerana beliau gagal menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, (menyalahgunakan kuasa) untuk menjatuhkan pemimpin BN.

    "Di mana semua laporan yang dibuat pemimpin PKR terhadap Dr Mahathir dan anak-anaknya? Kami mahu SPRM buka semula. Saya beri masa 48 jam," katanya kepada hadirin.

    Permulaan gembira buat nasi ayam kampung Bob Lokman

     


    Baru dua hari Bob Lokman berniaga nasi ayam kampung di pekarangan Masjid Al-I’tisam, Taman TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor, sudah ada khabar menggembirakan buatnya.

    Selama dua hari itulah nasi ayam kampung bekas pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik berkenaan habis dalam tempoh hanya tiga jam.

    “Nasi berlauk ayam goreng - yang disembelih sebelum tempoh matang bagi mendapatkan isi lembut - dijual pada harga RM7.50 berserta air laris sangat cepat,” katanya kepada Malaysiakini.

    Pemilik nama asal Mohd Hakim Lokman itu ditemui di Masjid Al- I’tisam hari ini.

    Kali terakhir Bob, 54, berniaga adalah pada Jun lalu. Ketika itu dia mengusahakan perkhidmatan menyajikan makanan atau katering.

    Bob terpaksa menghentikan perniagaannya kerana perlu berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital selama enam bulan ekoran masalah jantung dan paru-paru.

    Selain itu Bob turut mengidap penyakit kencing manis.

    Bob ketika ini menggagahkan diri untuk berniaga secara kecil-kecilan demi menyara kehidupannya sekeluarga walaupun dia mengaku menghadapi kesukaran untuk berdiri terlalu lama.

    Tugas memasak dan jualan dibantu buat sementara waktu oleh adiknya, Sharipah Hikmah, 51, anak sulungnya Mohd Adam dan seorang lagi anak saudaranya.

    Untuk fasa permulaan, Bob menyasarkan hingga 200 pelanggan. Gerai dibuka setiap hari kecuali Isnin dengan waktu operasi yang bermula seawal jam 12 tengah hari hingga 3 petang.

    Jika perniagaannya menunjukkan perkembangan sangat positif, Bob bercadang untuk menambah jenis menu dan jumlah hidangan dari semasa ke semasa selain memanjangkan waktu jualan.

    “Perniagaan akan dilanjutkan pada sebelah malam bermula jam 6 petang hingga 11 malam dengan hidangan seperti spaghetti, sup kambing atau kambing bakar,” katanya.

    Kata Bob, buat masa ini pihak masjid membantu dengan mengizinkannya berniaga di situ tanpa mengenakan sebarang bayaran hingga keadaan mengizinkannya untuk membayar sewa.

    “Pihak masjid bagi peluang untuk berniaga dulu. Sekiranya tiada aral melintang dan perniagaan ini maju untuk diteruskan barulah kami akan rundingkan mengenai sewa,” katanya.

    Sementara itu, Bob yang pernah menulis kira-kira 350 lirik lagu antaranya Isabella, Pada Syurga di Wajahmu dan Rendang Tak Berbuah berkata dia terpaksa mengambil 15 jenis ubat setiap bulan dengan kos dianggarkan melebihi RM1,000.

    Walaupun kini hanya perlu pergi ke hospital sekali sebulan bagi menjalankan rawatan, kata Bob dia masih bergantung kepada tabung oksigen untuk bantuan pernafasan semasa tidur.

    “Tanpa tangki oksigen pernafasan boleh terhenti secara tiba-tiba dan insiden itu mengakibatkan saya dimasukkan ke hospital beberapa kali sebelum ini.

    "Kesan daripada kejadian itu badan akan terasa lesu dan mengantuk," katanya.