Oleh Liew Chin Tong
Kesusahan
yang dirasai bersama di antara DAP, PAS dan pemimpin-pemimpin
masyarakat sivil pada tahun 1987 secara ironinya membentuk azam kuat
untuk perubahan dan keakraban yang erat untuk melihat ianya tercapai.
Hari ini 25 tahun yang lalu, iaitu pada 27 Oktober 1987, adalah
tarikh berlakunya salah satu titik hitam sejarah Malaysia apabila 106
ahli politik dan aktivis sosial ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang. Manakala permit cetakan tiga
suratkhabar iaitu The Star, Sinchew dan Watan pula ditarik balik.
Tindakan keras pihak berkuasa mengejutkan seluruh negara serta
menandakan berakhirnya fasa pertama kepimpinan Tun Dr Mahathir Muhamad
sejak tahun 1981 yang bergolak dan sering disalah anggap sebagai
demokratik. Dr Mahathir menggantikan Tun Hussein Onn dengan sokongan
yang lemah di dalam Umno dan hampir tiada sesiapa untuk dipercayai.
Dengan meletakkan Musa Hitam bertanding menentang Tengku Razaleigh
Hamzah dalam pemilihan Timbalan Presiden Umno untuk tahun 1981 dan 1984,
Dr Mahathir berjaya melengah-lengahkan masa dan memberikannya ruang.
Tetapi semua perbuatannya itu melantun kembali pada 1987 apabila Tengku
Razaleigh berkerjasama dengan Musa untuk mencabar gabungan Dr
Mahathir-Ghafar Baba.
Pemilihan pada 24 April memperlihatkan kekalahan Tengku Razaleigh
kepada Dr Mahathir dengan hanya 43 undi, selepas berlakunya insiden
terputus bekalan elektrik yang meragukan di pusat kiraan undi.
Umno terus dalam keadaan gelabah selepas pemilihan parti, dengan
legitimasi Dr Mahathir telah benar-benar tercalar. Penyingkiran
penyokong Team B yang terdiri daripada Abdullah Ahmad Badawi, Rais
Yatim, Shahrir Samad dan Radzi Sheikh Ahmad daripada kabinet dan
kerajaan menambah ketidakstabilan keadaan ketika itu.
Sekalipun sokongan terhadapnya adalah lemah, gaya pemerintahan Dr
Mahathir tidak gemar mengamalkan perundingan. Tambahan pula,
berbagai-bagai ide yang beliau paksakan yang selalunya tidak begitu
masak, menyebabkan skandal kewangan yang besar dan pelbagai; hanya dalam
tempoh beberapa tahun pemerintahannya. Muncul aktivisme masyarakat
sivil di kalangan penduduk bandar yang kritis dan tajam pemerhatian.
Gerakan kebangkitan Islam telah lahir sebagai tempat berkumpulnya
orang-orang yang benci dengan sikap materialistik mahu kaya cepat Umno.
Selain itu, Dr Mahathir bukan sahaja melaga-lagakan pemimpin-pemimpin
Umno, beliau juga mempergunakan sentimen kaum terhadap satu sama lain.
Pada Oktober 1987, pejuang pendidikan Cina bergerak menentang dasar yang
meletakkan guru yang tidak fasih berbahasa Mandarin untuk mengetuai
sekolah Cina. Sebagai tindak balas Pemuda Umno dikerahkan untuk
mengapi-apikan sentimen Melayu.
Di antara bulan April sewaktu pemilihan Umno dan bulan Oktober,
pentadbiran Mahathir bergerak tanpa hala tuju jelas apabila lawannya di
dalam parti telah pun memulakan kempen untuk menjatuhkannya pada
pemilihan parti tiga tahun berikutnya.
Keretakkan semakin jelas dan suasana semakin tegang.
Pada 18 Oktober, berlakunya kejadian amuk dengan senjata M16 oleh
Prebet Adam di Chow Kit sedang Pemuda Umno merancang untuk sebuah
perhimpunan pada 1 November bagi mempamerkan kekuatan mereka.
Dr Mahathir menyambar peluang yang tepat pada masanya. Pada 27
Oktober, Ops Lalang dilancarkan untuk menahan pengkritiknya yang paling
lantang termasuklah Ketua Pembangkang ketika itu, Lim Kit Siang dan 16
wakil rakyat DAP. Bukan sahaja Dr Mahathir melumpuhkan pembangkang,
beliau menakut-nakutkan negara dan yang lebih penting, musuhnya di dalam
Umno. (Dalam skala yang lebih kecil, hampir sama dengan penahanan
aktivis Reformasi pada April 2001 yang bertujuan menghidupkan semula
kekuasaan Dr Mahathir selepas pentadbirannya terjejas selama setengah
tahun, selepas kekalahan ketika Pilihan Raya Kecil di kawasan berbilang
kaum Lunas pada 21 November 2000)
Suku abad kemudian, sambil kita melihat kembali kem tahanan
besar-besaran 1987 Dr Mahathir di kala terlihat sebuah peluang besar
untuk perubahan kerajaan, boleh dirasakan semacam satu keadilan puitis
apabila Operasi Lalang nampaknya telah “meyatukan” penentang-penentang
Barisan Nasional dan memberikan mereka azam yang kuat untuk menentang
habis-habisan.
Lim Guan Eng, Mat Sabu dan ramai lagi merupakan aktivis muda pada
waktu itu, di saat parti-parti pembangkang dan pelbagai gerakan
menentang Barisan Nasional atas tujuan yang berbeza dan seringkali
bercanggah sesama sendiri.
Tetapi di Kamunting, tidak kira demi apa pun perjuangan mereka,
mereka ditahan di sebalik tirai besi sebagai manusia dan rakyat
Malaysia. Mereka mula sedar bahawa Barisan Nasional menuai hasil lumayan
daripada ketegangan kaum dan agama untuk menghancurkan musuh
politiknya.
Perikatan pemerintah mengawal sumber-sumber media untuk menetapkan
agenda berpihak kepada golongan berkuasa. Dengan sumber kewangan yang
melimpah ruah serta undang-undang drakonian BN, pembangkang
dipecahbelahkan dan ditakluk. Satu-satunya cara untuk membebaskan diri
daripada semua itu adalah dengan mencari titik persamaan dan berjuang
untuk pendemokrasian politik.
Ini adalah salah satu sebab yang harus diberi perhatian dalam
mengenang Oktober 1987. Itu beserta kesengsaraan mereka yang ditangkap
dan kesedihan keluarga mereka, yang tidak merana dengan sia-sia.
Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan
pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk
semua. –
Roketkini.com