MALAYSIAKINI
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya muafakat dalam Pakatan
Rakyat akan tetap kekal dalam menghadapi isu sekitar pertukaran menteri
besar Selangor.
“Saya percaya semangat muafakat dalam Pakatan akan terus dikekalkan dan
seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan
yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat,” katanya.
Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan hari ini, beliau menegaskan
bahawa peralihan itu dibuat sebagai kesinambungan agenda Langkah Kajang
yang diputuskan secara muktamad oleh pimpinan PKR sejak 15 Januari lalu.
Katanya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri dimaklumkan
perkara itu semenjak Mac 2014 dan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah telah
pun dikemukakan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat
minggu lalu.
DAP hari ini menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku
perpecahan Pakatan ekoran kegagalan “sebuah komponennya” menghormati
janji dan keputusan bersama.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula tampil menyatakan
sokongannya terhadap kepimpinan Khalid sebagai menteri besar Selangor.
Sependapat dengan presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik
Aziz membangkitkan soal prestasi cemerlang Khalid memimpin Pakatan
negeri dalam pilihan raya umum lalu.
No comments:
Post a Comment