Tuesday, October 30, 2018

Beri keadilan, tunai hak kepada Kelantan

IZWAN ABDUL HALIM

UALA LUMPUR: Biarpun berlaku perubahan pada tema RMK11, setiap perancangan dan tindakan kerajaan mestilah berpaksikan kepada rakyat, yakni memberi manfaat yang maksimum secara menyeluruh.
 
Iaitu dalam maksud lain, tidak mementingkan golongan atau kroni tertentu sahaja, demikian penegasan oleh Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS - Tumpat) pada perbahasan Usul Kajian Separuh Penggal RMK11, di Parlimen semalam.
 
Menurutnya, negara tidak akan menjadi maju seandainya terdapat negeri-negeri dimundurkan, seperti tidak mempunyai sistem pengangkutan yang baik atau infrastruktur-infrastruktur lain.
 
Kelantan ujar beliau sebagai contoh, telah dianak tirikan sejak lebih 28 tahun lalu bermula 1990 di bawah Perdana Menteri (PM) keempat yang juga PM pada hari ini di mana dinafikan hak untuk mendapatkan lebuh raya dan pelabuhan.
 
"Kita (juga) dinafikan hak untuk mendapat lapangan terbang antarabangsa walaupun Kota Bharu itu adalah di antara lapangan terbang yang tersibuk dalam negara.
 
Kita diabaikan dalam pembangunan untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk satu jangka masa yang lama. Kita diabaikan dalam banyak projek-projek pembangunan yang boleh membangunkan negeri.
 
"Paling besar kita dinafikan hak untuk mendapatkan pendapatan bagi membangunkan sendiri negeri ini iaitu royalti petroleum yang terhak kepada Kerajaan Kelantan melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta Petronas.
 
Kalau wakil daripada Sabah dan Sarawak menyatakan ketidakpuashati mereka terhadap sumbangan ataupun bayaran royalti kepada mereka dengan kadar 5 peratus, Kerajaan Negeri Kelantan hanya dibayar dengan kosong peratus," luahnya.
 
Beliau turut memetik pandangan Peguam Negara yang pernah mewakili Kerajaan Kelantan dalam tuntutan royalti telah menyatakan bahawa tidak ada sebab tidak boleh menang dalam kes tuntutan itu melainkan hanya kerana tekanan politik.
 
Semalam kata Che Abdullah, mereka yang dulunya menuntut royalti itu telah berada dalam pihak kerajaan di mana sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk melakukan keadilan kepada Kerajaan Kelantan dengan terus membayar royalti tanpa sebarang dalih lagi.
 
"Cuba bayangkan kesan daripada pengabaian ini yang bukan sahaja memberi kesan semasa kepada rakyat, tetapi ia memberi kesan jangka panjang yang membantutkan pembangunan ekonomi kini dan akan datang.
 
"Ia juga memberi kesan berganda yang cukup besar terhadap pembangunan ekonomi negeri ini yang akhirnya membantut usaha menjadikan Malaysia negara maju. Amat menghairankan kita, apabila ada pihak yang merasa gembira di atas kemunduran negeri-negeri yang dianaktirikan ini.
 
"Kita boleh terima kiranya perasaan gembira ini disuarakan oleh pimpinan politik kampung. Namun amat malang kepada rakyat Malaysia apabila perasaan bangga dan gembira ini dilahirkan ataupun terlahir daripada pimpinan utama negara yang sepatutnya bertanggungjawab membangunkan semua wilayah dalam negara ini," kesalinya.
 
Beliau turut memuji prinsip-prinsip ditegaskan PM di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu khususnya berkaitan masyarakat dunia yang teraniaya dan jaminan diungkapkan beliau.
 
Sehubungan itu, beliau merayu atas semangat kasih sayang, keprihatinan dan demokrasi yang tinggi agar janganlah didera rakyat Kelantan, sebaliknya kembalikan hak dinafikan sebelum ini.
 
"Gunakanlah peluang kedua yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada PM hari ini untuk membetulkan kesilapan beliau masa lalu. Jangan biarkan Negeri Kelantan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand dilihat lebih mundur daripada kawasan sempadan negara jiran itu.
 
"Sepatutnya menjadi prioriti kepada Kerajaan Malaysia untuk memajukan kawasan sempadan negara. Kerana ia membawa imej yang besar kepada negara di mata dunia. Hari ini, Thailand telah lama membina tebatan banjir di sungai sempadan yang menyebabkan air dari sungai yang sama hanya membanjiri sebelah Negeri Kelantan sahaja.
 
"Rakyat Kelantan juga menumpang tuah lebuh raya negara Thailand yang memilih untuk pergi ke Utara Tanah Air seperti Kedah dan Perlis melalui Thailand. Kerana di sempadan negara jiran yang penduduknya 80 peratus beragama Islam di Negara Thailand itu, mereka mempunyai lebuh raya.
 
"Tetapi di negara kita di sempadan Negara Thailand itu di Negara Malaysia yang penduduknya lebih 90 peratus beragama Islam di Negara Malaysia ini, mereka dinafikan hak untuk mendapat lebuh raya," kemuka beliau.
 
Beliau yang juga Setiausaha PAS Kelantan berkata, banyak wang negara yang dibelanjakan di negara jiran itu sekali gus turut memberikan kesan ekonomi kepada negara.
 
Dato' Che Abdullah juga menggesa jangan didera rakyat Kelantan hanya kerana pilihan politik, sedangkan rakan-rakan di sebelah kerajaan dulunya adalah pejuang kepada kebebasan berpolitik.
 
"Apakah setelah diberi kuasa, tiba-tiba pendirian berubah 180 darjah? Saya menyeru kepada PM, jangan akur kepada suara-suara nakal pemimpin-pemimpin politik murahan yang hanya mementingkan diri dan bertindak atas dasar dendam kesumat dan kebencian.
 
"Pandangan sentiasa berubah mengikut kedudukan dan kepentingan diri. Semasa mereka bersama dengan Kerajaan Kelantan, mereka menyatakan royalti mesti disalurkan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
 
"Tetapi apabila mereka tidak lagi dipilih oleh rakyat Kelantan sebagai pimpinan Kerajaan Negeri, mereka memberikan pelbagai alasan untuk menafikan hak Kerajaan Negeri.

"Semasa mereka menjadi pembangkang dalam negara ini, mereka menyerang kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN masa itu. Tetapi setelah menjadi kerajaan, mereka bertindak seperti kerajaan yang terdahulu," ujarnya. - HARAKAHDAILY 


Ramai lagi pegawai kerajaan akan dihadapkan ke mahkamah – PM

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan bahawa ramai lagi pegawai kerajaan dari pentadbiran sebelum ini akan berhadapan tindakan undang-undang kerana rasuah.

“Sudah enam bulan (sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya); kami dalam proses menyusun semula kerajaan, Sebenarnya, secara amalan, mewujudkan kerajaan baru. Sudah tentu, kita memerlukan para pegawai yang berpengalaman; namun, sesetengah pegawai yang berpengalaman didapati melakukan rasuah dan sesetengah mereka telah pun didakwa atas kesalahan rasuah.

“Tetapi masih ada ramai lagi. Sebaik kita mendapat bukti, kita akan bertindak terhadap mereka namun buat masa sekarang, kita mempunyai tugas yang diperlukan untuk memerintah negara ini, kita tidak boleh hanya tertumpu kepada rasuah sahaja,” katanya pada persidangan akhbar selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah di sini.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sesetengah pegawai kanan kerajaan yang terlibat itu akan dikekalkan buat sementara waktu memandangkan perkhidmatan mereka masih diperlukan bagi membantu kerajaan tetapi sebaik sahaja tugas itu selesai mereka akan diberhentikan.

Baharu-baharu ini, sejumlah pegawai kerajaan didakwa kerana rasuah dan pecah amanah termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pertubuhan Risikan Luar Malaysia, Datuk Hasanah Ab Hamid.–Bernama

Siasatan kes cabul babit bekas menteri hampir selesai – Polis

THE MALAYSIAN TIMES
 


KANGAR: Siasatan kes cabul remaja bawah umur membabitkan seorang anggota Parlimen di Perlis, hampir selesai setelah pihak polis merekodkan keterangan 10 individu termasuk kenyataan suspek di Bukit Aman, pagi tadi.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata pihaknya turut merekodkan keterangan ibu, bapa dan guru mangsa serta pemandu suspek yang dikatakan berada di tempat kejadian sewaktu insiden itu berlaku.

“Kita jangka kertas siasatan akan siap dalam masa terdekat dan akan dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian sebelum diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan kes berkenaan walaupun ia melibatkan VVIP, seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.

“Mangsa berusia 15 tahun mendakwa dicabul pada 11.30 malam, 20 Okt lepas di dalam sebuah kereta di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra dan pihak polis menerima laporan pada 2.50 pagi, 21 Okt lepas.

“Bagaimanapun, mangsa menarik balik laporan pada 10.30 pagi pada hari yang sama dengan alasan tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan, namun pihak polis tidak pernah hentikan siasatan sejak menerima laporan kes itu,” kata Noor Mushar.

Ketika ditanya adakah wujud unsur sogokan atau ugutan sehingga mangsa yang berasal dari Mata Ayer, Padang Besar menarik balik laporan itu, Noor Mushar berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan jika menerima laporan mengenainya.

“Buat masa ini belum ada sebarang laporan mengatakan mangsa disogok atau diugut, jadi saya minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menuduh pihak polis tidak melakukan kerja.

“Kami menjalankan siasatan tanpa berat sebelah dan dalam masa yang sama kami ingin ‘menjaga’ mangsa kerana tidak mahu beliau menghadapi tekanan emosi atau sebarang gangguan kerana kes ini menjadi perhatian umum,” katanya.– Bernama

Ku Nan mengaku 12 kali disiasat SPRM


 
Ku Nan mengaku 12 kali disiasat SPRM

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengaku beliau telah dipanggil sebanyak 12 kali oleh SPRM.

Ketika memberikan soalan tambahan dalam Dewan Rakyat hari ini Adnan berkata, siasatan itu berkaitan dengan tugas beliau sebelum ini.

“Tidak benar saya tidak disiasat. Dah 12 kali saya jumpa SPRM,” kata Adnan.
Dalam sidang pagi ini, ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai  meminta pihak berkuasa mengambil tindakan kepada bekas Menteri Wilayah ekoran salah lakunya ketika menjadi menteri.

Ekoran itu Ku Nan mencabar ahli parlimen itu agar mengulangi tuduhan itu di luar Dewan Rakyat

Exco Pemuda AMANAH Negeri Sembilan maut kemalangan lebuh raya



Exco Pemuda AMANAH Negeri Sembilan maut kemalangan lebuh raya

Exco Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Abu Hanifah Mohd Kamal meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan susur keluar Bandar Seri Putra, pagi tadi.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Zaki Sabri memberitahu allahyarham meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan melibatkan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur dan sebuah lagi kereta.

“Allahyarham merupakan seorang aktivis yang berharga kepada AMANAH Negeri Sembilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Abu Hanifah, 35, yang merupakan Pengarah Kepimpinan Pemuda AMANAH negeri itu difahamkan dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, difahamkan tayar lori tersebut pecah sebelum menghempap kereta dipandu allahyarham dan sebuah lagi kereta.

Beliau yang juga Setiausaha AMANAH Kawasan Rasah meninggalkan seorang balu dan dua anak masing-masing lelaki dan perempuan berumur lapan dan empat tahun.

Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Rasah selepas Solat Asar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Sheikh Haji Muhammad Said, Rasah hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Negeri Sembilan melancarkan tabung kilat untuk keluarga allahyarham.

Orang ramai diseru menghulurkan sumbangan melalui akaun Bendahari di Bank Islam 05067020066798 atas nama Kamarul Muluk.

Kereta dipandu Allahyarham Abu Hanifah musnah dalam kemalangan dekat Bandar Seri Putra hari ini.


Saya tak akan keluar parti, kata Hishammuddin


 
Saya tak akan keluar parti, kata Hishammuddin 

Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau akan terus kekal setia dan berjuang bersama Umno walaupun telah banyak ahli dari parti tersebut keluar.

Menurutnya beliau tidak akan sama sekali keluar Umno dan akan berusaha membangunkan semula parti berkenaan.

Dengan penjelasan beliau tersebut sekali gus menolak khabar angin yang menyatakan ahli Parlimen Sembrong antara 40 wakil rakyat Umno yang bakal mengikuti jejak anggota parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Bersatu.

“Saya tegaskan sekali lagi saya tidak akan keluar parti. Mungkin dah seorang kurang dari senarai 40 orang itu.

“Orang putih kata kalau nak tahu actions speak lauder than word. Jadi action saya hari ini mana ada keluar parti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Setiap wakil rakyat ada maruah mereka,” menurutnya.
Katanya, dakwaan wakil Umno akan menyertai Bersatu beramai-ramai sengaja dijadikan isu untuk memanaskan keadaan.

“Hari ini buat satu isu, dua, tiga hari panas. bila tidak benar mereka alih kepada isu lain pula,” ujarnya

Sebelum ini, anggota Majlis Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin dilaporkan berkata, kira-kira 40 anggota parlimen Umno akan meninggalkan parti itu dan menyertai Brsatu.

Jelasnya, mereka sudah beberapa kali menemui Tun Dr Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepimpinan tertinggi lain parti itu, secara berseorangan atau berkumpulan.

Nazri hubungi Pas bincang kerjasama pembangkang


 Nazri Aziz
Nazri Aziz
 
 
KUALA LUMPUR - BN sedang mengusahakan rundingan dengan Pas bagi membentuk blok pembangkang yang kukuh.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan buat masa ini beliau baru menghubungi Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bagi merangka pelan kerjasama.

"Saya sedang hubungi Setiausaha Agung Pas, mungkin esok lusa kita tengok macam mana.

"Tapi bukan kita kata nak bergabung, saya tak fikir Pas  nak masuk BN pun, tapi kita nak bekerjasama waktu kita dalam pembangkang," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu memaklumkan, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan Pas harus berbaik-baik sebagai blok pembangkang.

"Zahid kata kita berbaik-baik dengan parti terutama sekali dengan Pas  sebab kita duduk dalam blok pembangkang," ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi BN menyatakan gabungan itu akan distruktur dan dijenamakan semula bagi menguatkan kembali gabungan parti itu dalam usaha memenangi PRU15 akan datang.

"Zahid , berkata gabungan pembangkang itu akan membabitkan lima parti komponen BN, rakan parti dalam pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setiausaha Agung BN yang baharu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sudah diberi mandat untuk melaksanakan pelaksanaannya dalam tempoh terdekat.

“Kita harus mengorak langkah untuk menjadikan entiti baharu ini bukan sahaja sebagai parti pembangkang ketika ini tetapi juga sebagai hasrat kita untuk mewujudkan sistem dua parti bagi bersaing dengan parti yang membentuk kerajaan,” katanya.

Mayat penumpang dalam bangkai pesawat

THE MA;AYSIAN TIMESMayat penumpang dalam bangkai pesawat


Anggota Basarnas mengumpul serpihan pesawat dan barangan peribadi milik mangsa yang ditemui di perairan Karawang.

JAKARTA - INDONESIA. Pengarah agensi Operasi dan Menyelamat Nasional (Basarnas),
Bambang Suryo Aji mengandaikan banyak lagi mayat mangsa terikat di tempat duduk penumpang dan tenggelam bersama bangkai pesawat Lion Air JT610 di perairan Karawang, Jawa Barat.

"Saya mengandaikan masih banyak mayat berada dalam bangkai pesawat.

"Mungkin ia mengambil masa satu atau dua hari lagi untuk mayat mangsa terapung ke permukaan," katanya.

Katanya lagi, lokasi pencarian terarah di sekitar perairan Karawang namun ia bakal diperluaskan sekirannya pencarian tidak membuahkan hasil.

Sejak semalam, pasukan penyelamat telah menemui beberapa cebisan mayat.

Pasukan SAR kini bertungkus lumus untuk mencari badan pesawat yang dipercayai tenggelam 30 hingga 35 meter di bawah permukaan air. - Agensi

Asyraf Wajdi ‘kagum’ dengan Mujahid



Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ‘kagum’ terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Wah hebatnya menteri agama boleh menentukan siapa golongan homoseksual yang terlibat dan tidak terlibat dalam aktiviti songsang,” katanya menerusi catatan di Twitternya.

Catatan Twitter itu dibuat sebagai respons ringkas Asyraf terhadap kenyataan Mujahid yang mendakwa tidak semua golongan gay dan transgender di negara ini terbabit dalam hubungan songsang.

Mujahid berkata demikian kepada media di lobi parlimen hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.

Kenyataan Mujahid itu, sekali lagi mengundang kontroversi dan tular di media sosial.

Altantuya: Deepak mungkin dipanggil

Altantuya Shaariibuu
Altantuya Shaariibuu
 
 
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan, J Deepak akan dipanggil untuk membantu siasatan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini susulan kenyataan baharu oleh Deepak yang mengaitkan kes tersebut dengan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kalau ini dianggap bukti atau maklumat baharu yang ada asas, kita boleh ambil tindakan. Kemungkinan kita akan panggil Deepak dulu untuk dapat kenyataan sebenarnya.

"Kalau disabitkan dalam kenyataan itu nama  yang disebutkan tadi (Najib) dan dia perlu disiasat, maka kita akan ambil tindakan sewajarnya. Ini perkara yang penting untuk dapatkan keputusan muktamad dalam kes Altantuya," katanya ketika menggulung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini, tersebar video pendedahan dibuat  Deepak yang mengaitkan Najib dan Rosmah dengan pembunuhan Altantuya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kes Altantuya: Polis digesa ambil keterangan Najib, Rosmah ]

Menurut Muhyiddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima arahan Peguam Negara pada 10 Oktober lalu untuk menemuduga semula beberapa orang saksi bagi kes Altantuya.

"Sekiranya terdapat bukti baharu, mana-mana pihak boleh kemukakan pada PDRM untuk siasatan lanjut," katanya.

Altantuya dibunuh secara kejam pada 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam dengan kepalanya dilapor ditembak sebelum badannya diletupkan dengan bom C4.

Kes berkenaan selepas dibicarakan mendapati dua pegawai polis yang menjadi pengawal pengiring Najib yang juga merupakan perdana menteri ketika itu didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.

Sunday, October 28, 2018

Betul ke kerana Maszlee?

Kasthuri Jeevendran

xPenghadang-Media-681x530


KUALA LUMPUR – Gara-gara insiden Menteri Pendidikan, Maslzee Malik hampir ‘tersungkur’ di lobi Parlimen Isnin lepas kerana diserbu berpuluh media, Dewan Rakyat mengambil inisiatif untuk meningkatkan keselamatan wakil rakyatnya.

Apa yang dilakukan, pihak Parlimen telah meletakan penghadang di pintu laluan keluar masuk Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen bagi memberikan ruang kepada mereka untuk bergerak.

Kejadian itu menjadi bahan bualan bukan sahaja media tetapi juga para netizen yang membuat ulasan di laman sosial untuk beberapa hari.

MalaysiaGazette berkesempatan menemui salah seorang pegawai Maszlee melahirkan kekecewaan kerana laporan yang dilakukan seolah-olah berat sebelah demi mensensasikan berita tersebut.

“Saya tidak faham mengapa laporan itu nampak seperti Maszlee bersalah. Mengapa juga ianya ‘sungguh’ berat sebelah. Saya telah dihampiri oleh salah seorang media sebelum kejadian itu.

“Ketika itu media tersebut sudah bertanyakan kepada kami tentang soalan yang hendak ditanyakan dan saya telah maklumkan akan memberi kenyataan. Mengapa selepas diberikan jaminan itu, mereka masih menjolok beliau ketika sedang berjalan.

“Mengapa dalam laporan hanya dinyatakan beliau tidak berhenti sehingga tersungkur? Mengapa tidak sebut tentang sudah diberitahu akan memberi jawapan bertulis selepas itu? Mengapa juga tidak dilaporkan bagaimana mereka (segelintir) media mendekati beliau secara agresif?

“Semua itu tidak dilaporkan sebaliknya hanya sekadar berita seolah-olah beliau tidak berhenti sehingga tersungkur sahaja. Ini sama juga seperti sebelum ini, beliau kalau boleh hendak tukar kementerian.

“Itu bukan cerita sebenar, kata beliau seandainya diberikan peluang selepas lima tahun, beliau mahu ke kementerian lain untuk tujuan transformasi dan membawa perubahan di kementerian lain, itu sahaja. Bukan seperti beliau tertekan sehingga mahu tukar kementerian.

“Tidak adil sebenarnya dan tidak betul. Kita berikan sepenuhnya kerjasama dengan baik. Malah beliau sentiasa mahu bercakap dengan media, tidak boikot. Tetapi hanya bahan yang boleh dijadikan sensasi sahaja akhirnya membawa imej negatif sahaja dipaparkan,” luahnya.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, walaupun kerajaan baharu ini mesra media namun pada masa yang sama pemasangan penghadang ini adalah tepat pada masa dan wajar.

“Ini bukan kerana insiden yang terjadi kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam sahaja, anda boleh bayangkan sekiranya perkara sama terjadi kepada Perdana Menteri kita yang berusia 93 tahun?

“Jumlah media bukan sedikit, sebaliknya sangat ramai. Kita masih lagi mesra media kerana itu lobi Parlimen masih terbuka untuk pengamal media berinteraksi tetapi pada masa sama kita perlu utamakan keselamatan wakil kita juga,” ujarnya ketika ditemui di lobi baru-baru ini.

Penghadang keselamatan itu dijangka hanya untuk sementara waktu sehingga isu-itu tertentu dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan.
MGF22102018_PROGRAMMEET&GREET_04
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik
Sumber Parlimen pula berkata, ada juga wakil rakyat yang melahirkan rasa tidak senang kerana sentiasa dikerumuni media pada setiap masa sehingga ‘kebebasan’ mereka tersekat.

Bagaimanapun, pengamal media tidak boleh disalahkan kerana itu adalah ‘tugasan’ mereka apatah lagi ada juga segelintir wakil rakyat yang dahulunya begitu mesra media kini enggan melayan pertanyaan media.

Ada juga yang ‘pilih bulu’ dan hanya bercakap dengan media tertentu sahaja, dulu tidak begitu. Kini boleh menyekat segelintir daripadanya.

Malah pegawai-pegawai media yang ada antaranya masih baharu pula enggan memberi kerjasama, panggilan serta mesej tidak terjawab walaupun sebelum itu berjanji akan memberikan jawapan.

Maka yang menjadi ‘platform’ kepada para media adalah Parlimen dan senang untuk ‘jolok’ sahaja untuk dapatkan jawapan serta kepastian untuk berita-berita tertentu, namun itu juga tidak berapa disenangi. – MalaysiaGazette


PKR tak terlepas budaya politik wang – Rafizi

Nizam Zain
Rafizi Ramli
Rafizi Ramli


AMPANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak terlepas daripada penularan budaya politik wang dalam pemilihan meskipun parti itu sudah menjadi kerajaan pusat sejak empat bulan lalu.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti perlu berani berdepan dengan politik wang dengan mengetatkan peraturan pemilihan parti itu pada masa akan datang.

“Apa pun keputusan pemilihan ini nanti, PKR kena lihat lebih serius supaya kita berupaya untuk mengetatkan peraturan pemilihan parti akan datang untuk memastikan kita memperbaikinya.

“Politik wang merupakan sesuatu asing dalam pemilihan PKR sebelum ini, peraturan pemilihan perlu menetapkan wang sama ada mengadakan jamuan besar-besaran di hotel boleh dianggap politik wang atau sebaliknya.

“Ia adalah proses pembelajaran buat PKR, saya bersyukur apabila dakwaan politik wang dalam pemilihan diambil perhatian oleh parti,” katanya kepada pemberita di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Cempaka hari ini.

Terdahulu, Rafizi membuat tinjauan di pusat pemilihan PKR Cabang Pandan di Dewan MPAJ Taman Cempaka di sini kira-kira 11 pagi tadi.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti itu.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu kini tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Dakwanya, terdapat cabang yang menerima sogokan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM100,000 dan RM200,000 untuk berdepan dalam saingan di peringkat cabang parti.

Rafizi juga berkata, pembanterasan khususnya ketika pemilihan parti perlu dilakukan dengan tegas bagi memastikan budaya tidak sihat itu menular dalam kalangan anak muda.

“Kita perlu sedar keperluan untuk memperketatkan peraturan dan budaya politik yang melibatkan generasi muda supaya mereka tidak terlibat dengan politik wang pada masa depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Dua kali ketinggalan, Perak julang Piala Malaysia

Mohammad Arif Nizam
 x43615007_2230060697066423_2803292684146442240_n-681x680
Perak menjulang Piala Malaysia 2018.


SHAH ALAM – Perak muncul sebagai juara Piala Malaysia selepas ia menewaskan Terengganu 4-1 menerusi tendangan penalti pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Kejayaan ini merupakan kali ketujuh Perak merangkul piala keagungan bola sepak negara selepas menjulangnya kali terakhir pada 2000 menewaskan Negeri Sembila 2-0 di stadium sama.

Dua tahun sebelum itu, skuad The Bos Gaurus turut menewaskan Terengganu menerusi sepakan penalti 5-3.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada 90 minit permainan dan 3-3 pada masa tambahan 30 minit.

Dalam perlawanan dramatik dan tegang dengan keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan, Perak melakukan kebangkitan dua kali apabila ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama.

Namun anak buah Mehmet Durakoviv itu menyamakan kedudukan 2-2 pada penghujung permainan dan sekali ketinggalan 2-3 pada awal masa tambahan sebelum melakukan keajaiban dengan menyamakan jaringan 3-3 pada penghujung masa tambahan.

Situasi itu memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti. – MalaysiaGazette


Lompat parti sekadar andaian Kadir tutup kelemahan PPBM

Kasthuri Jeevendran
Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin bahawa 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai  partinya dianggap satu tindakan terdesak.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, PPBM seolah-olah mahu menutup kekurangan mereka sendiri kerana hanya mempunyai 13 buah kerusi Parlimen sahaja.

Oleh yang demikian, demi mengelirukan umum dan cuba lakukan perpecahan dalam kalangan UMNO sendiri, jelas Shamsul, ia andaian Kadir semata-mata.

Datuk A. Kadir Jasin menjawab kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar semalam.
A. Kadir Jasin
“Kadir mahu tunjuk kononnya PPBM sudah kuat apatah lagi dengan kelirukan umum dengan dakwaan kononnya 40 ahli parlimen mahu lompat parti.

“PPBM sebenarmya sangat gusar dengan kehadiran Datuk Seri Anwar (Ibahim) yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri kelak. Oleh yang demikian beliau terpaksa berkata kononnya 40 Ahli Parlimen UMNO sorang akan sertai PPBM.

“Jelas sekali kenyataan ini juga seolah-olah satu ‘perlumbaan’ antara PPBM dan Parti Keadilan Rakyat sebenarnya. Masing-masing mahu bina pengaruh dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH). Itulah hakikatnya. Anwar Ibrahim perlu celik dengan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demkian dalam satu kenyataan berhubung dakwaan Kadir semalam segelintir wakil rakyat UMNO sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi menyatakan hasrat masuk PPBM.

Bagaimanapun Kadir berkata, tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat setelah menyertai Bersatu dan siasatan akan tetap dilakukan sekiranya terlibat dengan sebarang salah laku.

Tambah Shamsul, kenyataan Kadir juga gambaran ada perancangan pimpinan PPBM mahu menyekat kemaraan Anwar mengambilalih jawatan Perdana Menteri.

“Jadi Anwar harus berhati hati dalam perkara ini dan segeralah bertindak sebelum terlambat.

“Sudah tentu perancangan sebenar pucuk pimpinan tertinggi PPBM untuk terus berkuasa walaupun terpaksa mengikut arahan parti DAP. Memang sangat nyata kepimpinan tertinggi sungguh gusar sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan terdesak seperti ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Shamsul menyeru semua ahli UMNO supaya tidak sesekali ‘termakan’ dengan tohmahan seperti ini yang ternyata jelas hanya mahu pecah belah perpaduan yang sedia terbina selama ini. –MalaysiaGazette


Tak adil menteri DAP serang Kelantan

Wartawan MalaysiaGazette

x44905838_10155675825700952_6423378205419241472_n


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap serangan tanpa henti menteri DAP terhadap kerajaan Kelantan sebagai tidak adil.

Terbaru, katanya, serangan dibuat ahli parlimen Pulau Pinang hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa hutang kerajaan Kelantan ialah RM1.4 bilion pada tahun 2016.

“Apakah keperluan dan matlamat untuk menghina termasuk tindakan kerajaan pusat untuk mendedahkan surat-surat sulit dari kerajaan Kelantan kepada kerajaan pusat?

“Baru-baru ini, Menteri Kewangan sudah pun mengesahkan bahawa penurunan hutang Pulau Pinang sebanyak 90 peratus ialah jasa kerajaan pusat pada masa itu.

“Selain bantuan tunai yang lain, kerajaan pusat juga telah memberi geran sebanyak RM1.3 bilion kepadanya bagi menaikkan kapasiti Empangan Mengkuang.

“Adakan kerajaan BN (Barisan Nassional) memperlekeh dan bertanya mengapa negeri yang kaya tidak dapat menampung keperluan air sendiri?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Najib, apa keperluan kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) menghina Kelantan yang kadangkala memerlukan pertolongan  terutamanya selepas banjir yang teruk akhir tahun 2014.

“Ya, tak dapat dinafikan Kelantan adalah antara negeri paling miskin pada ketika ini tetapi ini ekoran tindakan kerajaan BN terdahulu di bawah PM ke- 4 yang menghentikan projek-projek pembangunan dan keperluan asas kerana ia jatuh di bawah kepimpinan parti lain pada 1990 sehingga tiada satu pun lebuh raya atau infrastruktur air bersih yang sempurna di negeri itu.

“Kerana faktor ini, sumber pendapatan dan pembangunan kerajaan Negeri adalah terbantut,” dakwa Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada akhir tahun 2007, menurut Najib, iaitu sebelum DAP mengambil alih, Pulau Pinang ialah negeri kedua terkaya di Malaysia dengan nilai Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita untuk Pulau Pinang sudah pun RM31,039 iaitu 4.5 kali ganda berbanding RM6,943 untuk Kelantan.

Ini bermaksud harga tanah di Pulau Pinang jauh lebih bernilai berbanding Kelantan dan DAP mampu memilih jalan mudah untuk menjual tanah kerajaan seperti satu penjualan seluas 102 ekar tanah di Bayan Mutiara sahaja pada tahun 2012 dan memperolehi RM1.07 bilion, katanya.

“Beribu-ribu hektar tanah dan hak tanah kerajaan Pulau Pinang telah dijual atau pun ditukar sejak DAP mengambil alih. Negeri Kelantan tidak mempunyai jalan mudah yang sama.

“Semasa saya menjadi PM, saya banyak menyalurkan peruntukan bagi memperbetul dan membangunkan negeri Kelantan baik dari segi infrastruktur pengangkutan (lebuhraya CSR, ECRL, pembantuan fiskal, instrastruktur air, projek kumbahan (yang juga telah dibatalkan oleh PH) ataupun penebatan banjir,” ujarnya lagi.

Lanjutan itu, katanya, Kelantan dapat mengurangkan defisit setiap tahun dan KDNK mereka naik 95.8 peratus dari 2008 kepada RM13,593 pada akhir tahun 2017 berbanding kenaikan 60.6 peratus untuk Pulau Pinang pada tempoh yang sama.

Ia bermaksud perkembangan ekonomi Kelantan pada tempoh itu lebih tinggi berbanding Pulau Pinang.

“Rakyat Pulau Pinang ialah rakyat Malaysia. Rakyat Kelantan juga rakyat Malaysia. Negeri yang kurang pembangunan patut dibantu dengan lebih banyak oleh kerajaan pusat – bukan dihina dan diperlekehkan dengan berterusan,” katanya.- MalaysiaGazette


Syed Saddiq budak mentah, terpengaruh liberalisme

Oleh Siti Fatimah Ishak 

Menteri Belia dan Sukan kata ketuanan Melayu sudah berakhir



BANGI– Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa, ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan amat dangkal dan menyedihkan.

Ketua Biro Latihan Kepimpinan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, apa yang disuarakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu adalah fahaman dan perjuangan yang amat bahaya.

Katanya, jika seruan itu dibiarkan, bangsa Melayu yang sudah sedia tertindas di bumi sendiri akan terus dianiaya oleh pemimpin sebegini.

“Hendak berkongsi kekayaan negara katanya? Betulkah kaum Cina yang telah memonopoli hasil mahsul dan pegangan ekuiti di Malaysia selama puluhan tahun mahu berkongsi dengan bangsa Melayu sebagai pemilik dan penduduk asal tanah ini?

“Sedikit pun saya tak nampak perkara itu berlaku. Malah, kaum Cina sudah mula menghakis pula kuasa politik negara yang selama ini dikuasai oleh bangsa Melayu. Di mana kesaksamaan yang disebut Syed Saddiq?,” soalnya.
Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Syed Saddiq bahawa pada masa ini tidak sesuai lagi bercakap soal ketuanan Melayu.
Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa, Malaysia sudah masuk fasa bah
aru di mana rakyat berbincang mengenai kesaksamaan semua, bukan kesamarataan, tetapi kesaksamaan.

“Kita di zaman perkongsian kekayaan. Ini salah satu agenda yang akan parti saya ketengahkan dan perjuangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Lukman berkata, menteri berusia 25 tahun itu terlalu mentah untuk bercakap soal ketuanan Melayu yang beliau sendiri tidak faham.

Katanya, ternyata menteri ini kurang bijak dan tertipu dengan fahaman liberalisme dan humanisme yang bertujuan mencabut terus identiti bangsa dan agama daripada konteks kenegaraan.

“Beliau amat jahil sejarah dan identiti negara yang amat bertuah ini. Apa yang beliau cakap membuktikan dirinya lemahnya penguasaan terhadap Perlembagaan Negara dan struktur sosio-ekonomi Malaysia,” katanya.


Fasa akhir pemilihan PKR Selangor hari ini


SHAH ALAM: Fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, berlangsung hari ini di 6 daripada 22 cabang di negeri ini.

Enam cabang berkenaan adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota layak mengundi.

Tanjong Karang mempunyai 3,418 anggota, Kuala Selangor (17,737), Ampang (12,626), Pandan (7,017), Shah Alam (9,309) dan Hulu Langat (11,858).

Proses pengundian menggunakan kaedah e-undi itu dijangka bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir 5 petang.

Tumpuan fasa terakhir hari ini sudah pasti kepada persaingan merebut jawatan timbalan presiden antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli, kerana Selangor dikatakan “kubu kuat” menteri hal ehwal ekonomi itu.

Pada 2 fasa pemilihan membabitkan 16 cabang sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor mendahului dengan undian terkumpul sebanyak 14,315 undi sementara Mohd Rafizi memperoleh 12,948 undi.

Mohamed Azmin mendapat sokongan daripada 10 cabang iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Petaling Jaya (PJ) Utara dan PJ Selatan, sementara Mohd Rafizi memperoleh sokongan daripada 6 cabang iaitu Hulu Selangor, Kelana Jaya, Kapar, Klang, Puchong dan Selayang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din berkata, turut menjadi tumpuan pada hari ini adalah pemilihan di cabang Ampang dan Pandan, di mana “orang kuat” Mohamed Azmin iaitu ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin telah menang tanpa bertanding jawatan ketua cabang Ampang.

Cabang Pandan pula menyaksikan saingan merebut jawatan ketua cabang melibatkan Mohd Rafizi dan 3 pencabarnya, yang mana seorang daripada mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Mengenai isu undi “hilang” dalam pemilihan di beberapa cabang di Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini, Rashid berkata pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya seperti memperkemas sistem e-undi itu bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada pemilihan hari ini.

“Jadi pengundi tidak perlu risau (mengenai undi ‘hilang’) sistem pengundian sangat telus, tiada isu kami (JPP) nak sebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, pakar teknologi maklumat mengesahkan 2,000 undi yang “hilang” dalam pemilihan PKR 2018 di beberapa cabang di Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini disebabkan data tidak dapat disimpan secara “cloud” kerana capaian internet yang lemah.

Rashid juga memberi jaminan isu kewujudan “pengundi hantu’” pada pemilihan di beberapa cabang di Selangor sebelum ini tidak akan berlaku hari ini.

“Sebenarnya tiada isu mengenai ‘pengundi hantu’, banyak orang tidak faham, kita ada sistem ‘Borang 11’ di mana sebelum anggota parti mengundi, mereka perlu isi borang 11.

“Kita tetap benarkan mereka mengundi tetapi kemudian kita buat saringan dengan rujuk Borang 11 itu, jika dia bukan anggota parti kita ‘buanglah undi dia masuk bakul sampah’.

“Mengenai dakwaan ada anggota tentera mengundi pada pemilihan sebelum ini pula, anggota tentera tidak boleh mengundi kerana dia tiada kad pengenalan ‘civilian’ dan untuk mengundi mereka kena ada kad pengenalan ‘civilian’ terlebih dahulu baru dibenarkan mengundi,” katanya, dengan menambah petugas turut ditambah bagi mempercepat proses pengundian di setiap cabang.

Had 2 penggal OK, tapi bukan untuk Sarawak, Sabah, kata aktivis

Seorang aktivis berkata, perlembagaan Sarawak tidak tertakluk 
kepada kehendak kerajaan persekutuan untuk memindanya 
sesuka hati. (Gambar Bernama)
 
KOTA KINABALU: Seorang aktivis Sarawak berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada 2 penggal adalah bertentangan dengan perlembagaan negeri.

Zulfaqar Sa’adi berkata, beliau tiada masalah sekiranya cadangan itu bertujuan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, tetapi ia seharusnya tidak merangkumi Sabah dan Sarawak.

“Perlembagaan Sarawak wujud sebelum pembentukan Malaysia lagi. Ia diberikan kepada kami oleh Rajah Charles Vyner Brooke pada 1941 dan melalui beberapa pembaharuan perlembagaan pentadbiran British sehingga 1963, kesemuanya melalui inkuiri serta perundingan dengan rakyat Sarawak.

“Perlembagaan adalah untuk rakyat dan keputusan tentang bagaimana ia dibentuk mesti diputuskan oleh rakyat Sarawak sendiri,” katanya.

Pada waktu Sarawak berserta Sabah, Singapura dan Persekutuan Malaya membentuk Malaysia, wilayah itu telah pun mempunyai perlembaaan sendiri menurut Perintah Dalam Majlis Sabah, Sarawak dn Singapura (perlembagaan negeri) 1963 di ‘Court of Balmoral’ di hadapan Ratu England.

Zulfaqar berkata, ini bermakna perlembagaan Sarawak tidak wujud dan dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, pengumuman oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada 2 penggal boleh membawa makna menetapkan cara bagaimana perlembagaan Sarawak boleh diubah dan diperbaharui.

“Perlembagaan Sarawak tidak tertakluk kepada kehendak kerajaan persekutuan untuk memindanya sesuka hati. Ia diwujudkan sebelum pembentukan Malaysia dan diberi kuasa undang-undang oleh British kepada rakyat Sarawak.

“Kerajaan persekutuan tidak mempunyai apa-apa peranan di dalamnya. Justeru, perdana menteri atau kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah atau memperbaharui perlembagaan kami. Hanya rakyat Sarawak ada kuasa itu,” katanya.

Zulfaqar berkata, perlembagaan persekutuan telah dipinda lebih 600 kali tanpa mengambil kira hak dan kepentingan Sarawak.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak boleh dibenarkan “campur tangan” berkaitan perlembagaan Sarawak.

“Berikan mereka sedikit ruang dalam hal yang dikatakan kecil ini, lambat laun seluruh perlembagaan itu diubah.

“Kerajaan Sarawak harus melihat perkembangan ini sebagai percubaan kerajaan persekutuan mengambil alih perlembagaan negeri atas nama reformasi perlembagaan.

“Mereka tidak patuh kepada perlembagaan persekutuan dalam konteks hak Sarawak seperti yang sedia ada. Apakah jaminan yang boleh mereka berikan dalam isu had 2 penggal ini? Ia akan gagal sama seperti sistem giliran 2 tahun di Sabah,” katanya.

Pakatan Umno-PAS: MCA ancam putus hubungan dengan Umno


Wee berkata, kerjasama antara 2 parti itu tidak akan bermakna 
apa-apa sekiranya masing-masing mempunyai prinsip berbeza. 
(Gambar Bernama)
PETALING JAYA: MCA mengancam untuk memutuskan hubungan dengan Umno sekiranya ia mengikat kerjasama dengan PAS tanpa terlebih dulu membincangkannya dengan parti itu.

Timbalan Presiden MCA, Datu Seri Wee Ka Siong berkata, Umno atau presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak boleh membuat keputusan satu pihak mewakili Barisan Nasional (BN).

Bekas menteri itu berkata, gabungan politik itu sentiasa cuba mendapatkan konsensus dalam kalangan parti komponennya, dengan menambah nasib BN tidak bergantung “di tangan Umno semata-mata”.

“Jika mereka tidak iltizam pada semangat saling menghormati sesama parti komponen seperti sepatutnya, tetapi terus berpakat dengan PAS tanpa berbincang lebih dahulu dengan MCA, maka MCA tidak akan teragak-agak untuk memutuskan hubungan dengan Umno,” katanya di laman Facebook beliau.

Katanya, kerjasama antara 2 parti itu tidak akan bermakna apa-apa sekiranya masing-masing mempunyai prinsip berbeza.

Ahli Parlimen Air Hitam itu memberi respons terhadap laporan yang memetik Zahid sebagai berkata bahawa Umno akan “mempertahankan” PAS sebagai sekutu politiknya yang baru.

Zahid dilaporkan berkata demikian dalam satu pertemuan dengan pemimpin parti Islam itu.

Wee mengingatkan Zahid bahawa tidak ada masa depan untuk “jalan politik mono-etnik” dan memberi amaran bahawa keputusan beliau untuk bekerjasama dengan PAS akan menyaksikan BN berkubur.

MCA katanya, akan mencari jalan sendiri kerana mereka tidak boleh “dengan jujur berjalan bersamanya (Zahid) di atas jalan kemusnahan ini”.

“Kita hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika beliau bertegas untuk berpakat dengan PAS.”

Wee sebelum ini mengisytiharkan untuk bertanding jawatan tertinggi MCA selepas presiden parti itu,
Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil tanggungjawab ke atas pencapaian buruk MCA dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas dan memaklumkan tidak akan mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan bulan depan.

PAS minta masukkan RUU355 dalam senarai akta dipinda

ainulillia

Papar akta baharu dua minggu sebelum dibentang bacaan kali pertama


BANGI – PAS menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat pertimbangan sewajarnya supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 termasuk dalam senarai akta yang akan dipinda dalam sesi mesyuarat Parlimen akan datang.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, pertimbangan itu sebagai tanda komitmen kerajaan mengangkat institusi Mahkamah Syariah dan memperbaharui undang-undang berkaitan jenayah syariah di negara ini.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak Kerajaan Persekutuan telah menyenaraikan secara keseluruhan 133 undang-undang yang akan dimansuh, dipinda dan digubal oleh kementerian-kementerian dalam sesi mesyuarat Parlimen kali ini dan akan datang.

“PAS menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membuat pertimbangan sewajarnya supaya Akta 355 disenaraikan antara akta yang bakal dipinda,” katanya dalam satu kenyataan.


RUU355 antara lain adalah untuk meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada, iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah mengikut Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen disebutkan, kecuali hukuman mati.

Selain itu, Nasrudin turut meminta supaya RUU baharu yang akan digubal mestilah dipaparkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Rabu lalu, Vui Keong berkata, kerajaan PH bercadang memansuh, memperkenal serta meminda kira-kira 117 akta sebagai langkah reformasi undang-undang di negara ini.


Syor PDRM tubuh jabatan khas banteras jenayah alam sekitar

siti hafidah

Ada 21,000 kawasan mudah berlaku tanah runtuh di seluruh negara


KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) disaran menubuhkan jabatan khas untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar, khususnya membabitkan kecurian dan kemusnahan alam di seluruh negara.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun ada antara kesalahan dilakukan terletak di bawah bidang kuasa agensi lain, namun peranan polis mampu membantu mengekang aktiviti jenayah berkenaan yang semakin menjadi-jadi.

“Penglibatan aktif dan agresif pihak polis dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain mampu membantu kerajaan menangani isu berkaitan pada masa akan datang termasuk membanteras sindiket yang terlibat dalam pemburuan haram, kecurian balak dan kayu gaharu serta penerokaan tanah haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lee berkata, aspek penguatkuasaan bersama polis dan agensi berkaitan juga akan dapat membantu mengatasi pembangunan tidak terkawal di kawasan cerun yang menjadi penyebab utama kejadian tanah runtuh yang sering dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Kajian Universiti Teknologi Malaysia mendapati, terdapat 21,000 ‘hotspots’ atau kawasan yang mudah berlaku tanah runtuh di seluruh negara dan 16,000 daripada jumlah itu berada di Semenanjung Malaysia.

“Selain aktiviti pembangunan, penerokaan tanah tidak terkawal juga menjadi antara punca beberapa kejadian tanah runtuh yang turut mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau berkata, langkah pencegahan jenayah alam sekitar oleh pihak polis juga adalah selaras dengan tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani jenayah alam sekitar yang turut dikaitkan dengan isu integriti dan amalan rasuah yang berleluasa.

“Dilaporkan, jenayah alam sekitar ini menjadi lebih buruk dengan pembabitan agensi yang sepatutnya dipertanggungjawabkan memelihara kesejahteraan alam sekitar namun bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang,” katanya. – Bernama


‘Tok Pa masuk Bersatu nak kejar kepentingan peribadi’

siti hafidah 

Ahli Parlimen Jeli bukan pejuang sejati: Ketua UMNO Tanjung Piai



PONTIAN – Tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya kerana mahu mengejar kepentingan peribadi, kata Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan.

Beliau berkata, tindakan Mustapa atau Tok Pa yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu bukan pejuang sejati kerana tidak bersama rakan-rakan dalam kesusahan.

Katanya, UMNO berpegang kepada prinsip kesetiaan ahli kepada parti tidak kira ketika susah atau senang.

“Tok Pa cakap UMNO sudah tidak sehaluan dan tidak boleh dipercayai. Jadi timbul persoalan, kenapa Tok Pa boleh bertahan berpuluh tahun dalam parti UMNO ini?,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khidmat Masyarakat Kampung Rimba Terjun di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai situasi politik UMNO kini, Jefridin mengakui keadaannya kini cukup mencabar apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri membuat gesaan terhadap ahli UMNO supaya menyertai Bersatu.

Sebelum ini, Mustapa mengumumkan keluar daripada UMNO, selepas menyedari usaha memulihkan imej parti semakin sukar, selain bertentangan dengan prinsip perjuangannya selama 40 tahun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas kemudiannya mengumumkan masuk Bersatu secara sukarela, kerana yakin parti itu mampu memberinya peranan lebih besar membela kepentingan kawasannya di Jeli khususnya, dan Kelantan secara menyeluruh.


Saturday, October 27, 2018

Tok Pa sah masuk BERSATU

 
    Bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed sah menyertai BERSATU.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media di ibu pejabat BERSATU sebentar tadi.

Sidang media dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti itu termasuk pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mustapa berkata keputusan itu setelah meneliti perkembangan politik semasa sepanjang beberapa minggu menjadi anggota parlimen bebas.

"Saya percaya ini akan memberi peluang kepada saya untuk memainkan peranan yang lebih berkesan bagi membela kepentingan pengundi saya di Jeli...,

"Saya menyokong segala usaha Mahathir untuk memberi penekanan terhadap integriti dan ketelusan ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik dalam parti dan negara.

"Saya juga menyokong langkah oleh beliau dan kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan. Usaha ini amat penting meletakkan asas yang kukuh dalam memastikan ekonomi negara membangun secara lestari dan mampan," katanya yang juga anggota parlimen Jeli.

Terdahulu dalam sidang media itu, beliau menyerahkan borang keanggotaan BERSATU kepada Mahathir dan kemudian diserahkan replika kad keanggotaan yang tertera namanya.

Pada 18 September lalu, beliau mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dalam parti itu, antaranya kerana percaya hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsip politiknya dan "tidak banyak usaha dibuat untuk melakukan proses rejuvenasi" secara dalaman.

Mahathir: Mustapa layak masuk BERSATU

Mengalu-alukan penyertaan Mustapa, Mahathir berkata bekas menteri itu layak untuk menyertai partinya.

"Kita beri masa untuknya menjadi anggota parlimen bebas.

"Setelah kita melihat pendiriannya (dalam isu-isu), kita setuju bahawa dia layak menjadi anggota BERSATU," kata perdana menteri.

Ketika ditanya sama ada lebih ramai bekas anggota parlimen UMNO, atau yang masih bersama parti itu, akan menyusuli langkah Mustapa, Mahathir hanya berkata beliau mengalu-alukannya.

"Kita terbuka tetapi mereka perlu jadi bebas dahulu," katanya.

Selain Mustapa, antara anggota parlimen yang telah keluar Umno selepas PRU ke-14 adalah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang),  Datuk Rosman Isli (Labuan), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Datuk Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

Sementara Rozman telah menyertai Parti Warisan Sabah, lagi empat belum menyertai mana-mana parti.

Selepas 9 Mei, anggota parlimen Umno berkurang daripada 54 kepada 48 orang.


Hadi: Dedah rahsia, Guan Eng tunjuk moral tidak elok

MALAYSIAKINI

   

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan permintaan kerajaan negeri Kelantan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan pusat sebagai tidak bermoral.

Ini kerana katanya, surat permohonan pendahuluan Kerajaan Kelantan itu adalah bersifat rahsia dan tidak sewajarnya didedahkan.

“Memanglah dari segi amalan, akhlak, moralnya tidak elok begitu dan kita pun tak dedah rahsia dia,” ujarnya seperti dilapor Harakahdaily semalam.

Lim pada 22 Oktober lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan yang berhidmat dengan kerajaan negeri.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan anggota parlimen PAS, yang mendakwa Lim cuba mengelirukan dewan.

Pada Rabu lalu, Lim mendedahkan surat daripada kerajaan Kelantan yang meminta bantuan kewangan sebanyak RM24.5 juta.

Surat itu menyatakan kebimbangan bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya.

Lim berkata kerajaan persekutuan memberi jaminan untuk memberi bantuan kerana isu itu melibatkan kakitangan awam.


Sinead O'Connor peluk Islam, umum nama baharu

Astro Awani, Agensi
Sinead O'Connor peluk Islam, umum nama baharu
Sinead O'Connor meninggalkan agama Kristian dan memeluk agama Islam. -Twitter @MagdaDavitt77
PENYANYI Ireland Sinead O'Connor meninggalkan agama Kristian dan memeluk agama Islam.

Pendedahan tersebut dikongsi penyanyi yang popular dengan lagu "Nothing Compares 2 U" itu menerusi akaun Twitter miliknya.


Sinead kini menggunakan nama Shuhada' Davitt.


Dalam perkongsiannya, penyanyi berusia 51 tahun itu berkata beliau berbangga memeluk agama Islam.

Beliau turut kongsikan video melaungkan azan.


Bukan itu sahaja, beliau turut memuat naik foto berhijab pertamanya di Twitter.

Mengapa Zahid kena bercuti?

 
   
PULASAN | Apabila ada pensyarah universiti menulis mengenai politik negara dengan bersahaja dan bebas, dan tidak pula mengambil kira perasaan orang lain, ia memang agak janggal.

Secara politik ia menjadi satu lagi petanda bahawa negara yang tercinta ini sedang berubah ke arah yang tidak menentu selepas 9 Mei 2018.

Selama lebih 60 tahun Malaysia dipandu dengan begitu baik dan terkawal di bawah BN, kini Pakatan Harapan (HARAPAN) sedang memporak-perandakan masyarakat dengan keterbukaan sikapnya.

Tugas hakiki seorang pensyarah bukanlah menyuruh atau mendorong orang supaya berfikir, sebaliknya memandu masyarakat supaya kekal mendengar kata.

Kata-kata itu pula mestilah daripada orang atas yang serba tahu. Semakin tinggi kedudukan seseorang semakin banyaklah tahu yang ada dalam kepalanya. Sepatutnya.

Justeru memang wajar pensyarah itu dipanggil oleh pentadbiran universiti dan ditegur supaya tidak menulis sangat. Kalau masih mahu menulis pun, biarlah hal-hal yang lebih penting daripada mengajak masyarakat berfikir.



Mencipta hidangan berbentuk kipas menggunakan tempoyak, misalnya, atau mementaskan drama tentang perlunya orang Melayu menjadi penjilat kepada pembesar-pembesar negara dan negeri adalah contoh aktiviti yang mustahak digerakkan oleh cendekiawan di negara ini.

Berani sindir pemimpin

Rindu benar kita kepada aktiviti kreatif yang luar biasa seperti membentuk logo 1Malaysia menggunakan gula-gula itu, atau bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk mencatat nama dalam buku rekod Malaysia itu.

Apa hak pensyarah itu menulis dan mengajak orang berfikir?

Jika kemandulan fikrah pensyarah itu belum cukup meresahkan, lihat pula bagaimana anggota Umno tergamak bersuara menyuruh presiden mereka bercuti sehari dua ini.

Itu adalah satu lagi natijah daripada kegagalan HARAPAN mengawal tatasusila orang Melayu pascapilihan raya umum ke-14 lalu.



Tanpa Umno berkuasa, orang Melayu sudah berani menyindir pemimpin sendiri.

Justeru kita dapat faham sangat mengapa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan melayan soalan wartawan yang bertanya mengenai saranan supaya beliau bercuti.

Ahmad Zahid seorang pejuang. Pantang untuk si pemberani bercuti. Pedulilah kalau ada 145 kes di mahkamah pun, tanggungjawab mesti dilunaskan.

Tidak ada apa-apa yang perlu diaibkan dengan kes di mahkamah kerana orang Melayu itu memang terlalu istimewa dan unik.

Keadaan itu memang difahami majoriti orang Melayu sejak sekian lama.

Orang Melayu mesti menyokong bangsa sendiri walau apa pun yang dilakukan. Kalau yang dipertikaikan itu seorang pemimpin, lagilah besar beban tanggungjawab masyarakat mempertahankan wibawa individu terbabit.

Salah atau benar - itu nombor dua. Yang penting, kalau seseorang itu Melayu, maka Melayu yang lain mesti bersatu membela.

Lompat, tapi bukan menari

Itu antara jasa besar Umno selama ini, sehinggalah HARAPAN memecahkan tradisi berkenaan pada 9 Mei 2018. Sejak itu haru-biru orang Melayu.

Apa hak Datuk Mohamad Hasan bercakap tentang idea supaya Ahmad Zahid bercuti?

Pantang besar untuk seorang pemimpin hebat seperti anggota parlimen Bagan Datuk itu berundur setapak.

Kewajiban Ahmad Zahid bukan bergerak ke belakang tapi kalau boleh biar melompat dua tiga depa ke depan.

Cuma untuk mengharapkan beliau lincah menari ke kiri dan ke kanan seperti Tan Sri Irwan Serigar Abdullah agak keterlaluanlah. Bukan semua orang besar dalam negara ini memiliki bakat sedemikian rupa.

Semalam Ketua Pemuda Umno pula secara celupar membangkitkan idea perlunya presiden Umno bercuti.


Sebenarnya Ahmad Zahid bukanlah asing sangat kepada cuti. Dalam seminggu tentu ada hari tertentu untuk beliau melupakan seketika segala sepak terajang dalam partinya.

Tidak cukupkah cuti itu wahai Asyraf Wajdi Dusuki?

Apa hak you bangkitkan soal keperluan presiden Umno bercuti?

Pemimpin Umno - seperti Tok Mat dan Asyraf Wajdi - wajib belajar adab berpolitik daripada PAS.
Parti tersebut sesuai dijadikan suri teladan untuk orang seperti Tok Mat dan Asyraf Wajdi melaksanakan tugas masing-masing dalam Umno.

Pernahkah kita melihat mana-mana orang PAS memberi cadangan kepada Tuan Guru Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya bercuti?


Mungkin ada tetapi ia tidak begitu ketara. Kalau ada pun, mungkin dibuat secara tertutup dan PAS sangat mahir menangani desakan seumpama itu.

Mengadakan rehlah di Tasik Kenyir, misalnya, dapat mewujudkan kesatuan fikrah agar seluruh pemimpin dan anggota parti sentiasa walak kepada pemimpin.

Itulah yang dipelajari Ahmad Zahid sejak berkawan dengan PAS rasanya. Cuma tidak ramai yang memahami. Cuma kaedah PAS dan Ahmad Zahid mempertikaikan hak seseorang bertanya tentang cuti itu adalah sedikit perbezaan.

Kalau dalam kalangan PAS, mereka tidak akan bertanya: "Apa hak you cakap soal cuti?"

Orang PAS ada cara tersendiri. Orang PAS akan kata: "Apa hak enta mintak ana bercuti?


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak menggunakan 'pembaris' semasa menulis.


Ramai orang Islam di pusat hiburan

Sinar Harian
Ramai orang Islam di pusat hiburan
Antara yang diperiksa menerusi Ops Bah di pusat hiburan di sekitar ibu negara. - Foto Sinar Harian
 
KUALA LUMPUR: Kebimbangan tercetus apabila mendapati ada pengunjung pusat hiburan di ibu negara dipenuhi mereka yang beragama Islam.

Perkara itu dilihat menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) dalam serbuan di tiga premis di Jalan Imbi dan Jalan P Ramlee, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M Noor Azman Taib berkata, operasi bermula jam 1 pagi telah menyerbu pusat karaoke mewah dan mendapati lebih 90 peratus adalah terdiri daripada pengunjung beragama Islam.

"Di premis ini kita telah menemui banyak minuman keras dan pil disyaki dadah.


"Malah premis ini juga dikesan melanggari Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 yang mana kita telah mengambil tindakan terhadap kesalahan itu," katanya kepada pemberita, selepas selesai Ops Bah.

Beliau berkata, serbuan kedua membawa kepada premis perjudian berlesen dan mendapati ia beroperasi secara sah serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, kemudian premis ketiga iaitu sebuah pusat hiburan yang telah beroperasi sejak setahun lalu ini didapati telah tamat tempoh lesen hiburan.

"Malam ini, dianggarkan seramai 700 sehingga 800 pengunjung termasuk warga asing telah memenuhi premis ini," katanya.

Tegas beliau, terdapat pengunjung warga tempatan melibatkan mereka yang beragama Islam dan itu adalah amat membimbangkan kerana kemungkinan akan menyebabkan gejala sosial dan tidak mustahil boleh berlaku aktiviti tidak bermoral.

"Ada juga kelab malam yang ada pelancong asing dengan tarikan hiburan seperti nyanyian atau parti.

"Apa yang boleh ditekankan adalah usahlah mengunjungi tempat sebegini kerana banyak lagi tempat yang boleh dikunjungi. Tempat ini tidak sesuai untuk Muslim, kepada pengusaha sila ikut peraturan dan jangan timbulkan masalah," katanya.

Had umur kahwin di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan wanita

Bernama
Had umur kahwin di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan wanita
Had umur perkahwinan di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan beragama Islam dan bukan Islam. - Gambar hiasan
 
JOHOR BAHRU: Had umur perkahwinan di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan beragama Islam dan bukan Islam seperti diselaraskan peringkat pusat.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata sebelum ini, usia perkahwinan di negeri ini dibenarkan minimum 18 tahun untuk lelaki manakala 16 tahun untuk perempuan.

Beliau berkata bagaimanapun, perkahwinan di bawah 18 tahun masih boleh diberi kelonggaran untuk dilakukan dengan mengikut alasan munasabah selain perlu mendapat kelulusan menteri besar.

"Dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lepas (16 Okt di Putrajaya), kita (kerajaan) sudah tetapkan perkahwinan tidak kira Islam atau bukan Islam berumur 18 tahun ke atas tetapi boleh diberi kelonggaran, mestilah munasabah.

"Dibolehkan juga berkahwin di bawah umur 18 tahun tetapi dengan mendapat kelulusan menteri besar atau ketua menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2018 peringkat Johor di sini pada Ahad.

Osman berkata had umur minimum 18 tahun tersebut juga sudah dibincangkan dengan Peguam Negara.

Sementara itu, mengenai Bajet Johor 2019 yang dijadual dibentang 29 Nov ini, beliau berkata ia akan berlandaskan lapan teras di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 yang merangkumi melaksanakan pembangunan lestari, demokrasi dinamik dan kesaksamaan sosial, urus tadbir cekap, berintegriti dan demokratik, penggerak zon perdagangan dan komuniti digital serta memperkasa sistem pendidikan Islam, modal insan dan warisan Johor.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneliti inti pati Bajet 2019 yang akan dibentang Perdana Menteri, 2 Nov ini supaya sebarang rancangan di negeri ini selari dengan pusat.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri yang meminta cadangan daripada rakyat dalam merangka inti pati Bajet Johor, beliau berkata ia bagi memastikan kerajaan mendengar idea yang baik daripada rakyat.

"Badan bukan kerajaan (NGO) dan media juga, kalau ada idea, boleh bantu kita (kerajaan negeri). Ini bukan semata-mata idea dan kehendak kerajaan, kita mendengar idea yang baik daripada rakyat," katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, lapan pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2018 peringkat Johor membawa pulang wang tunai keseluruhan RM43,000, piala iringan dan sijil penghargaan antaranya Fauzi Faizal dari Kelab Belia Sungai Tiram yang memenangi kategori belia lelaki, Nor Latifah Ali Syaiful dari Persatuan Belia Bintang Selatan memenangi kategori wanita manakala Majlis Belia Daerah Segamat memenangi kategori Badan Gabungan Terbaik Majlis Belia Negeri Johor. -- BERNAMA