Tuesday, July 29, 2014

Suasana muram sambut Aidilfitri di Seri Perdana

MALAYSIAKINI


Pada 1 Syawal, sudah menjadi kebiasaan melihat sebilangan besar rakyat daripada pelbagai kaum membanjiri Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, bagi sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri.
  
Jumlah pelawat kadang-kala mencecah lebih 100,000 orang pada satu-satu masa. Walaupun cuaca panas dan jaraknya kira-kira 35 km dari pusat bandar raya, orang ramai yang biasanya membanjiri Seri Perdana nampaknya tidak kisah.
  
Lagipun, bagi pelawat termasuk anggota pembangkang dan rakyat biasa, inilah peluang keemasan untuk mereka untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet yang lain secara bersemuka.
  
Namun tahun ini, tiada kemeriahan kecuali bagi sekumpulan kecil individu yang diundang khas bagi pertemuan tertutup di kediaman rasmi itu. Mereka termasuk sanak-saudara yang kehilangan orang tersayang dalam insiden MH370 dan MH17.
  
Walaupun ramai yang bersedih bahawa tradisi Rumah Terbuka Aidilfitri dibatalkan bagi menghormati mangsa yang terkorban dalam tragedi MH370 dan insiden MH17, mereka secara umum bersetuju bahawa pembatalan rumah terbuka besar-besaran di Seri Perdana adalah amat sesuai.

Selain majlis di Seri Perdana, Pejabat Perdana Menteri juga mengumumkan pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Rembau, Negeri Sembilan pada 17 Ogos.
  
Bagaimanapun, sesetengah orang langsung tidak tahu tentang pengumuman pembatalan majlis itu dan masih berbaris di Seri Perdana pagi tadi, menurut beberapa orang saksi.
  
Tan Sri Robert Phang, Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial berkata pembatalan majlis rumah terbuka menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin terhadap perasaan sebilangan besar rakyat.
  
Beliau menyifatkan perdana menteri sebagai seorang yang amat bersimpati dan memahami perasaan anggota keluarga yang masih berdukacita atas kehilangan orang tersayang.
   
"Anda benar-benar seorang pemimpin yang amat memahami, bertimbang rasa, penyayang dan mesra yang sentiasa menawan hati rakyat. Keputusan yang amat tepat pada masanya dan dihargai," kata Phang dalam surat kepada perdana menteri meminta beliau mengadakan sambutan hanya secara kecil-kecilan dan kerajaan berbuat demikian.

"Pengulas yang kerap-kali membuat komentari mengenai perkembangan semasa, Rueben Dudley dari Petaling Jaya berkata, 2014 tercatat sebagai tahun yang malang bagi Malaysia dan dua tragedi yang menimpa Malaysia Airlines telah memberi alasan kepada rakyat Malaysia "untuk melupakan perayaan yang biasanya disambut untuk berkongsi kesedihan orang lain yang berkabung."
  
"Itu bukan untuk mengetepikan kesucian dan kepentingan adat dan amalan mana-mana perayaan. Tetapi, ia adalah sebagai menghormati mereka yang terkorban dan kehilangan orang tersayang," kata beliau.
  
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata adalah tidak sesuai untuk rakyat Malaysia berada dalam suasana riang seperti masa lalu ketika mayat mangsa tragedi MH17 masih disiasat.
  
"Kami hendak memberitahu dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan bersama dalam menghadapi saat-saat kesedihan akibat kehilangan orang tersayang," kata beliau dan menambah umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa hendaklah menyambutnya secara sederhana ekoran keadaan.
  
 
Apa yang Malaysia lakukan hari ini sudah tentu memberikan kesan positif kepada kehidupan mereka yang terjejas akibat tragedi MH17 dan MH370. Syabas Malaysia!   -Bernama

No comments: