Wednesday, December 31, 2014

Helikopter polis terlibat kemalangan

MALAYSIAKINI



 
 
 
BLOG BANJIR Malaysiakini membawa maklumat terkini mengenai keadaan banjir di seluruh negara.


8.30pm: Jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 146,070 orang pada jam 6 petang lapor, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jumlah yang dipindahkan di Kelantan turun lebih 21,000 orang manakala kumpulan yang terjejas di Pahang meningkak kepada 253 orang.

Jumlah mangsa di Terengganu dan Perak juga berkurangan beradasarkan semakan Malaysiakini jam 8.15 malam ini.

Keadaan di Johor bagaimanapun tidak berubah

Kelantan – 59,915 (-21,543)
Pahang – 46,438 (+253)
Terengganu – 10,377 (-798)
Perak – 6,936 (-178)
Johor – 138 (tidak berubah)
Jumlah: 123,804

8.10pm:
Dua orang juruterbang dan dua orang anak kapal terselamat apabila helikopter yang dinaiki terlibat dalam kemalangan ketika menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian tersebut berlaku di Kampung Rambai, Tanah Merah.

Saya sahkan helikopter PDRM terlibat dalam kemalangan di Kampung Rambai, Tanah Merah, Kelantan. Alhamdulillah dua juruterbang dan dua kru selamat,” katanya dalam tulisan di Twitter.

7.20pm: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyatakan, semua perkhidmatan telekomunikasi di Pahang sudah dipulihkan sejak petang ini, lapor Bernama.

7pm: JKR di Twitter umum semua jalan ke Jengka dari Kuala Lumpur sudah terputus.

6pm: MKN lapor, jumlah mangsa yang dipindahkan menurun kepada 146,070 dari 147,809 orang pada tengahari.

Semakan Malaysiakini menunjukkan jumlah yang dipindahkan di Kelantan menurun 14,000 orang.

Jumlah di Pahang bagaimanapun meningkat 15,000 orang.

Peningkatan jumlah mangsa juga direkodkan di Terengganu, Perak dan Johor.

Kelantan - 81,458 (-14,801)
Pahang - 46,185 (+15,106)
Terengganu – 11,175 (-1,842)
Perak - 7,114 (-159)
Johor - 138 (-43)
Jumlah: 146,070

4.11pm: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyebut, lebih daripada satu pertiga penduduk di Kelantan masih tidak mendapat bekalan air bersih kerana separuh daripada kesemua 32 loji rawatan air masih belum dapat berfungsi.

“Dari segi bilangan akaun pengguna, sejumlah 91,100 akaun pengguna dari jumlah besar 223,300 akaun di negeri Kelantan masih belum mendapat bekalan air melalui paip,” kenyataan SPAN dipetik.

Menurut suruhanjaya itu, terdapat pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) masih belum dapat dimasuki, yang melewatkan lagi usaha membaik pulih loji.

Setakat ini, sejumlah 16 daripada 31 loji rawatan airnya masih belum dapat berfungsi, berbanding 24 buah yang tidak berfungsi beberapa hari lalu.

“Beberapa loji rawatan air kini sedang beroperasi mengunakan set jana kuasa bergerak TNB,” kata SPAN.

Sementara itu di Pahang, seramai 37,600 pengguna daripada keseluruhan 378,800 pengguna masih belum mendapat bekalan air bersih.

3.50pm: Pemilik perniagaan di Terengganu, Kelantan dan Pahang diberi kelonggaran untuk buat pendaftaran bagi cukai barangan dan perkhidmatan sehinga 31 Januari 2015.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Khazali Ahmad berkata tempoh pendaftaran bagi negeri lain tetap berakhir pada hari ini, lapor Bernama.

3.20pm: MP Temerloh Nasrudin Hassan berkata, keadaan banjir di kawasannya semakin pulih dan paras air surut sebanyak 60 cm dalam tempoh dua hari.

Agensi Bernama yang membuat tinjauan udara melaporkan bahawa keadaan banjir di Kemaman, Terengganu juga semakin surut.

Jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan seramai 30,000 orang di seluruh negara hari ini.

2.45pm: Polis Kelantan menahan 99 individu yang disyaki mencuri daripada tiga pasaraya yang dilanda banjir antara 26 dan 28 Disember, lapor The Star.

Suspek berkenaan ditahan reman selama seminggu dan disiasat mengikut Section 451 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk dengan niat mencuri, kata ketua polis negeri Datuk Mazlan Lazim.

1.42pm: Syukur dan terima kasih. Perasaan ini diluahkan mangsa banjir sewaktu menyambut baik langkah kerajaan mempercepatkan pembayaran wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan khas awal persekolahan RM100 setiap anak pada pertengahan bulan depan.

Saufi Ismail dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa, dekat sini berkata beliau mampu menarik nafas lega seketika selepas mendengar berita tersebut kerana semua kelengkapan persekolahan tiga anaknya iaitu beg sekolah, alat tulis dan pakaian seragam sekolah musnah akibat banjir, lapor Bernama.

1.37pm: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan tengah hari ini, Pahang kekal manakala Perak, Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan berbanding pagi tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa terus meningkat kepada 181 orang daripada 44 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di Batu Pahat dan Segamat, lapor Bernama.

Di PERAK, jumlah di Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian dan Manjung menurun kepada 7,273 orang daripada 1,975 keluarga berbanding 7,748 orang daripada 2,066 keluarga pagi tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, jumlah mangsa di Perak Tengah kini seramai 4,921 orang, Kuala Kangsar (1,194 mangsa), Hulu Perak (797 mangsa), Kerian (321 mangsa) dan Manjung (40 mangsa).

Di KELANTAN, jumlah mangsa berkurangan sebanyak 14,488 orang kepada 96,259 orang tengah hari ini berbanding 110,747 malam tadi, menurut agensi berita nasional lagi.

1.32pm: Berikut jumlah terkini mangsa banjir di pusat pemindahan setakat 12.30 tengah hari.

KELANTAN - 96,259
TERENGGANU - 12,504
PAHANG  - 51,356
PERAK  - 7,273
JOHOR  - 181

1.20pm: Seramai 10 orang dilaporkan mati lemas akibat banjir di negeri ini sejak 18 Disember lepas hingga semalam, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul Rahman.

Beliau berkata dalam tempoh berkenaan juga terdapat dua orang termasuk seorang kanak-kanak berusia satu tahun lapan bulan di Kampung Kuala Sepertang masih hilang dihanyut arus banjir, lapor Bernama.

1.18pm: ADUN Salor Datuk Husam Musa mencadangkan agar Petronas menghulurkan bantuan kemanuasian sebanyak RM3 bilion kepada negeri Kelantan.

"Apa kata Petronas yang telah mengaut kekayaan dari laut Kelantan tanpa apa-apa sumbangan selama ini menunjukkan jiwa kemanusiaannya dengan memberikan RM3 bilon bagi tujuan itu?", katanya.

Beliau juga membayangkan agar helikopter yang digunakan untuk perusahaan Petronas di laut Kelantan digunakan untuk misi menyelamat.

"Semasa menunggu helikopter di hangar Lapangan Terbang Kota Bharu, dapat dilihat susunan heli operator yang terkait dengan pelantar Petronas di laut Kelantan," katanya.

1.07pm: Mangsa banjir yang kehilangan sijil kelahiran, kad pengenalan atau lain-lain dokumen pengenalan diri akibat bencana itu akan diberikan gantian secara percuma.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka boleh membuat gantian itu di mana-mana Jabatan Pendaftaran Negera (JPN), apabila keadaan banjir pulih kelak, lapor Bernama.

12.59pm: MCA hari ini menerima sumbangan RM1.1 juta termasuk wang tunai dan barangan keperluan asas untuk mangsa banjir, lapor Bernama.

12.40pm: Perdana menteri lawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sek Keb Bukit Mentok, Kemaman, lapor Bernama.

12.35pm: Kira-kira 100 anggota Skuad Puteri Prihatin yang merupakan sayap sukarelawan Pergerakan Puteri Umno telah digerakkan ke Perak bagi membantu mangsa banjir di lapan lokasi terjejas bencana alam itu.

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata anggota sukarelawan berkenaan akan memberi tumpuan bagi menyalurkan bantuan pakaian dan makanan serta apa sahaja bentuk sokongan kepada mangsa terbabit, lapor Bernama.

12.31pm: Ketika kebanyakan golongan muda di negara ini hanya mahu membaca dan memberikan komen tentang banjir di media sosial, sekumpulan 14 anak muda memanfaatkan saluran itu untuk mengumpul bantuan bagi membantu mangsa banjir.

Lebih menarik perhatian, Hermy Rahim, 27, dan 13 rakannya bukanlah orang ternama dan tidak bernaung di bawah apa-apa persatuan atau badan bukan kerajaan, malah ketika memulakan usaha itu mereka bergerak sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak, lapor Bernama.

10:05am: Umno telah menubuhkan pusat gerakan, menggerakkan 100,000 ahlinya untuk kerja pembersihan selepas banjir, lapor Agenda Daily hari ini.

Wanita Umno, diketuai oleh timbalan setiausahanya Rosni Sohar akan mengendalikan pusat itu dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, di mana bantuan boleh dihantar ke Tingkat 4, Menara Dato Onn.

Orang ramai boleh menghubungi hotline pusat itu di talian 03-40429511 atau 03-40482788.

Perdana Menteri yang juga presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan perkara itu lewat semalam

9.55am: Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), angka terbaru menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir - dari 230,000 kepada 181,000.

Kelantan - 110747
Pahang - 49206
Terengganu - 13017
Perak - 7615
Johor - 172

Jumlah: 180757
Tambah kapsyen

9.30am: Roketkini melaporkan pengerusi DAP Perak Datuk Nga Kor Ming telah mendermakan keseluruhan gaji MP beliau bagi bulan Disember kepada tabung bantuan banjir parti itu.

Nga juga MP Taiping. DAP Perak juga telah mengumpul tambahan RM10,000 untuk dana bantuan banjir.

9.20am: Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Lanchang dan Chenor (Km124 dan Km126) masih ditutup kerana banjir di sekitar Temerloh, Pahang. Pihak berkuasa lebuh raya mengesahkannya di Twitter rasminya.
 

K'jaan Umno-PAS Kelantan? TPM hanya ketawa

MALAYSIAKINI


 


Timbalan perdana menteri hanya ketawa ketika diajukan soalan sama ada PAS dan Umno di Kelantan perlu membentuk kerajaan campuran dalam usaha membaik pulih negeri.

Walaupun tidak menolaknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan  bahawa yang penting sekarang, kedua-dua pihak menjalankan tanggungjawabnya.

"Tak apalah... kalau nak ada (kerajaan campuran) pun boleh.

"Kalau tak sampai ke peringkat itu, di peringkat sekarang ini kita tahu menjadi tanggungjawab kedua-kedua kerajaan negeri dan persekutuan (untuk membaikpulih Kelantan).

"Bukan saja di Kelantan tapi negeri-negeri lain juga," katanya pada sidang media di ibu pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pemilik Sinar Harian Datuk Hussamuddin Yaacub, yang juga anak Kelantan, mencadangkan penggabungan itu demi melancarkan pemulihan selepas banjir.

Naib Presiden PAS Datuk Husam PAS bagaimanapun menolak pandangan itu dan menggesa Petronas menyumbang dana kepada tabung khas pemulihan banjir.

Selain itu, Muhyiddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, walaupun tidak semua harus dibebankan kepada kerajaan pusat, namun pihaknya memahami bahawa Kelantan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

Justeru, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sebahagian peruntukan kepada mangsa banjir di Kelantan.

'Kelantan tak ada sumber kewangan'

Malah, selain peruntukan, kerajaan juga akan memastikan sumbangan berpatutan diberi bagi menyelesaikan masalah utama yang melanda negeri itu.

"Tak semua saya fikir harus dibebankan kepada kerajaan persekutuan tetapi dalam kes kerajaan Kelantan kita tahu mereka tiada kemampuan.

"Bukan pasal politik tetapi mereka tak ada sumber kewangan. Tapi soal utamanya nasib rakyat Kelantan mesti terbela.

"Jadi cara bagaimana? Kerajaan pusat sendiri akan ambil inisiatif untuk membantu meringankan beban mereka termasuk membina rumah sementara dan kekal, bantuan kebajikan dan lain-lain supaya kehidupan mereka dapat dipulihkan," kata Muhyiddin.

Bekas Menteri Di JPM Meninggal Dunia

MSTAR ONLINE
 
 
Abdul Hamid Zainal Abidin.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Brig Jen (B) Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, malam tadi pada usia 70 tahun akibat komplikasi jantung.

Menerusi mesej daripada anak Allahyarham, Junaidi, 26, yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia daripada mengerjakan umrah, bapanya meninggal dunia pada jam 9.52 malam selepas dimasukkan ke IJN kira-kira jam 5 petang.

"Minta kawan dapat ziarah ayah saya buat kali terakhir di rumah (No 8 Jalan Suasana 5/3A Bandar Tun Hussein Onn, Cheras)," katanya.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, jam 11 pagi Rabu.

Allahyarham Abdul Hamid pernah memegang jawatan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta bekas Pengerusi MARA.

Allahyarham adalah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1435H/2013M.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya dalam akaun twitter miliknya malam Selasa.

Pesawat QZ8501 Tidak Meletup Di Udara - Pakar

MSTAR ONLINE
 
 
Anggota SAR membawa beg mayat ke lokasi nahas.
 
 
 
JAKARTA: Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 tidak mungkin meletup di udara berikutan penemuan beberapa serpihan dan mayat yang terapung di perairan Selat Karimata, kata pakar nahas udara.

Pesawat tersebut berkemungkinan terjunam ke Laut Jawa dan berkecai akibat hentaman kuat.

Serpihan pesawat Airbus 320-200 itu ditemui lebih 48 jam selepas pesawat tersebut dilaporkan hilang dari radar semasa dalam perjalanan dari Surabaya menuju Singapura pada pagi Ahad.

Pesawat tersebut membawa bersama 155 penumpang termasuk tujuh anak kapal.

Sehingga malam Selasa, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai tiga mayat yang sudah membengkak.

Operasi SAR mungkin mengambil masa selama beberapa minggu sebelum pasukan penyiasat mengenal pasti punca nahas membabitkan pesawat tersebut.


Perkara yang paling sukar adalah pencarian kotak hitam pesawat yang merekodkan semua percakapan di dalam kokpit selain data kedudukan dan kelajuan pesawat tersebut.

Berdasarkan hasil penemuan sehingga hari ini terdapat beberapa kemungkinan mengenai apa yang berlaku terhadap pesawat tersebut.

Gelandangan: Kekal Imej Masjid, NGO Dicadang Guna Pusat Dobi – Mufti

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Dr Zulkifli Mohamad Albakri
Dr Zulkifli Mohamad Albakri. Foto Facebook Dr Zulkifli Mohamad Albakri.
 
 
 
PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Albakri mahu imej masjid sebagai tempat beribadat dan aktiviti keagamaan dikekalkan.

“Saya tak nak masjid dijadikan macam rumah. Masjid perlu dikekalkan kemasjidannya,” katanya
ketika dihubungi mStar Online bagi mengulas cadangan badan bukan kerajaan (NGO), Pertiwi Soup Kitchen supaya masjid di sekitar Kuala Lumpur mempertimbangkan untuk menyediakan ruang bagi menempatkan kemudahan seperti mesin basuh dan pengering baju buat golongan gelandangan.

Zulkifli berpendapat bahawa cadangan itu akan menimbulkan kebimbangan mengenai longgokan baju-baju kotor dan kesulitan di kalangan pengguna lain untuk menggunakan kemudahan-kemudahan di masjid.

“Saya bimbang sekiranya perkara ini berlaku, akan ada longgokan baju-baju kotor di masjid. Itu belum lagi, orang ini datang tunggu basuh baju, orang itu longgok baju.

“Orang ini berebut nak pakai mesin basuh, orang itu kata satu mesin basuh tak cukup, perlu ada lebih banyak lagi. Jadi akan timbul macam-macam perkara nanti.

“Mungkin ruang yang ada hendak digunakan untuk pengguna masjid nak mengambil wuduk. Kita mahu masjid dijadikan tempat bersolat dan aktiviti keagamaan,” katanya.

Beliau menambah, masjid-masjid di Kuala Lumpur terutama pada setiap Jumaat akan dipenuhi dengan umat Islam untuk bersolat.

Mstar Online pada Selasa melaporkan Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid mencadangkan supaya ruang untuk menempatkan kemudahan mesin basuh, pengering baju dan lokar menyimpan barang buat golongan gelandangan dapat disediakan di masjid-masjid di sekitar ibu negara.

Mengulas lanjut, Zulkifli berpendapat bahawa NGO tersebut boleh memikirkan cara lain yang lebih munasabah dalam soal kebersihan pakaian gelandangan.

Sebagai contoh katanya, NGO boleh menyediakan baju-baju lain untuk gelandangan sementara baju mereka dibasuh menggunakan khidmat dobi pada harga berpatutan.

“Sebelum NGO sediakan baju yang lain kepada gelandangan ini, mereka boleh tandakan baju-baju dari segi kuantiti yang diberi. Dobi ini boleh dibuat menerusi ejen-ejen pada harga yang berpatutan,” kata Zulkifli.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, gelandangan beragama Islam yang datang ke masjid untuk tujuan bersembahyang, berwuduk dan menggunakan kemudahan untuk membersihkan sedikit diri tanpa membazir air dan mengotori kawasan dialu-alukan kerana ia merupakan hak ke atas mana-mana orang Islam.

“Ini tidak menjadi masalah, insyaAllah. Cuma, sepatutnya jagalah adab-adab berada di masjid tanpa mengotori dan mencemarkan imejnya,” katanya.

Mengenai kemudahan gelandangan untuk mandi, Zulkifli berkata, perkara itu boleh dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang lebih memahami tentang-tentang dasar-dasar berkaitan dengan masjid.

Katanya, rujukan itu termasuk cadangan Pertiwi Soup Kitchen agar ruang disediakan untuk menempatkan lokar bagi gelandangan menyimpan barang peribadi mereka.

Pelakon Bollywood masuk Islam selepas ikuti ceramah

HARAKAHDAILY


TITIK balik awal kehidupannya terjadi saat kematian Yash Chopra - pengarah ternama Bollywood. Boleh dikatakan ia mengalami kemurungan berat sepeninggalan orang terdekatnya itu, lapor laman web Islampos.

"Saya sangat dekat dengan Yash Chopra. Kematiannya benar-benar menggegarkan kehidupan saya. Saya begitu tertekan," kenang dia seperti yang dilaporkan oleh Muslimvillage, Ahad (28/12/2014).

Murcyleen Peerzada, seorang pelakon Bollywood yang di kala itu terbiasa hidup mewah. Namun, seperti yang dituturkan Peerzada selepas kematian Yash Chopra ia mula berfikir tentang kehidupan dan kekuatan yang lebih tinggi yang mengawal segalanya.

"Ketika kemurungan, entahlah saya tiba-tiba dan tidak sengaja melihat ceramah Nouman Ali Khan dan Yasmin Mogahed."

Ketika mendengar ceramah itu, Peerzada terkejut. Ia seperti mendengar nasihat langsung daripada Tuhan. Dan itulah titik balik kehidupannya.

"Saya mula berdoa dua kali sehari. Setiap doa itu, saya meminta Tuhan membimbing saya menunjukan jalan yang benar," katanya.

Malamnya, ia memutuskan arah masa depan kehidupnya. Ia mula belajar Islam di bawah bimbingan Farah Naik, isteri Zakir Naik. Selepas itu, Peerzada menjadi muallaf. Beliau pun menjadi aktivis Yayasan Islam Zakir Naik.

Penampilannya kini berubah setelah menjadi Muslim. Peerzada telah memakai tudung. Pembantu pengarah filem 'Ek Tha Tiger' ini, bergaya hidup sederhana. Ia sumbangkan seluruh koleksi busana dan aksesori yang dimilikinya kepada rumah anak yatim.

"Sebelum saya memakai tudung, saya perlu tahu kenapa saya harus memakai. Ini bermaksud, saya ingin apa yang saya kenakan kerana Allah dan kebenaran." [Ra/islampos/muslimvillage]

Saman 130 pemilik tanah lot terhadap kerajaan Selangor ditolak

BERNAMA 


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos saman difailkan 130 pemilik tanah lot bagi Projek Perumahan Desa Kerayong Indah di Kuala Selangor terhadap kerajaan negeri Selangor dan dua lain yang didakwa gagal menyiapkan projek itu.
    
Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim dalam penghakimannya berkata setelah meneliti hujahan dan fakta yang dikemukakan, mahkamah mendapati kerajaan negeri Selangor selaku defendan pertama dan Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor sebagai defendan kedua bukan pihak dalam perjanjian projek itu.
  
Katanya sementara tindakan saman yang diambil plaintif terhadap pemaju projek perumahan itu, Bumi Circle Sdn Bhd, sebagai defendan ketiga, telah melebihi had masa dan mahkamah berpendapat tuntutan itu dihalang oleh had masa.
  
Beliau mengarahkan plaintif membayar kos  RM15,000 masing-masing kepada kerajaan negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor dan RM7,000 kepada defendan ketiga.
  
Dalam prosiding hari ini, kesemua 130 plaintif diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Laden manakala kerajaan negeri Selangor diwakili Penolong Penasihat Undang-undang Selangor, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Pada April 2007, kesemua plaintif itu memfailkan saman terhadap ketiga-tiga defendan, menuntut pembayaran ganti rugi khas RM3.9 juta dan ganti rugi am RM10.1 juta kerana gagal menyiapkan projek  perumahan itu yang sepatutnya disiapkan pada tahun 2005.
   
Mereka mendakwa tapak tanah dalam bentuk tanah lot  bagi projek perumahan itu diberi oleh kerajaan Selangor kepada Bumi Circle yang dilantik sebagai pemaju pada tahun 1998 untuk dibangunkan sebagai rumah atau kedai.
   
Bagaimanapun, kata mereka, projek yang dirancang  untuk dibina di tanah seluas 86 hektar itu gagal disiapkan  dalam tempoh yang ditetapkan walaupun wang pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga rumah serta yuran guaman bagi urusan perjanjian jual beli sudah dibuat. - Bernama

Semua sekolah JAIS bermula 12 Januari

 
Keputusan tersebut mengambil kira semua keadaan dan kesukaran pelbagai pihak yang terlibat dalam bencana banjir.


jawi2


PETALING JAYA : Semua sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memulakan sesi persekolahan tahun 2015 bermula pada 12 Jan 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyelaraskan semua sekolah di bawah JAIS dengan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Keputusan ini mengambil kira semua keadaan dan kesukaran semua pihak yang terlibat dalam bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan beberapa kawasan di negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor amat bersimpati dan prihatin kepada keluarga yang terlibat dengan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berharap sekolah-sekolah swasta dan agensi-agensi lain di Negeri Selangor dapat menyelaraskan permulaan persekolahan pada 12 Jan ini.

Tambahnya, keputusan itu diambil supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat seluruhnya.

Pada 29 Dis lalu, Kementerian Pendidikan bersetuju menangguhkan permulaan sesi persekolahan 2015 selama seminggu berikutan banjir yang melanda hampir seluruh negara pada masa sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, pihaknya sangat mengambil berat masalah yang bakal dihadapi semua pihak termasuklah pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya sesi persekolahan dibuka mengikut jadual asal iaitu pada 4 dan 5 Januari 2015.

Beliau berkata, tarikh baru sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Jan 2015 (Ahad) manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Jan 2015 (Isnin).

Najib perlu jawab ‘kehilangan’ jet rasmi kerajaan

 
Ia bukan saja berkaitan kelayakan menggunakan jet rasmi itu tetapi juga menambahkan lagi pembaziran wang negara


najib razak_300


PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak perlu memberikan jawapan mengenai ‘kehilangan’ jet rasmi kerajaan di dalam negara tatkala beliau sedang sibuk melawat mangsa banjir.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin mendakwa, ‘kehilangan’ tersebut merupakan kesilapan besar yang membayangi percutian Perdana Menteri bermain golf di Hawaii bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Beliau menambah, kerja keras Najib selama beberapa hari menyelesaikan masalah banjir tidak akan dikenang rakyat apabila mendapati jet tersebut digunakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor meneruskan percutian ke Indianapollis.

”Ketika orang ramai bercakap soal banjir dan pesawat Air Asia hilang, mereka juga turut bercakap mengenai pesawat rasmi kerajaan yang juga ‘hilang’ sedangkan Najib sudah berada di dalam negara.

“Ia bukan saja berkaitan kelayakan menggunakan jet rasmi itu tetapi juga menambahkan lagi pembaziran wang negara,” katanya, dalam entri terbaru shahbudindotcom.blogspot.com.

Kata Shahbudin, tindakan isteri Perdana Menteri menggunakan jet rasmi kerajaan telah menjadi alasan terbaik pembangkang untuk melancarkan kecaman dan burukkan lagi sikap tidak peduli terhadap kemarahan rakyat.

Dakwanya, Najib seolah-olah menganggap penggunaan jet oleh isterinya tidak menjadi kesalahan dan bukan pembaziran kerana beliau Rosmah banyak berjasa kepada negara.

“Barangkali jawapannya, ‘biarlah Rosmah menggunakannya, pengorbanannya amat besar kepada negara. Dia juga penyokong dan pendokong Najib dengan sepenuh hati selama ini. Lagi banyak jet digunakannya, tambah makmur negara kita’,” tambah Sahahbudin.

Mayat ke-7 ditemui, satu mayat pakai jaket keselamatan

Pagi ini, kami menemui sejumlah empat mayat dan satu memakai jaket keselamatan.


body


SURABAYA: Pasukan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) menemui mayat ketujuh dipercayai mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.

Setakat ini, anggota SAR menemui tujuh jenazah – tiga semalam dan empat hari ini – dipercayai penumpang dan kru pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terputus hubungan Ahad lalu, dengan salah satu jenazah itu mengenakan pakaian pramugari.

Sementara itu Reuters di JAKARTA melaporkan, satu mayat yang ditemui di lokasi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dipercayai terhempas, lengkap dengan jaket keselamatan, menurut pegawai Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS).

“Pagi ini, kami menemui sejumlah empat mayat dan satu memakai jaket keselamatan,” kata Timbalan Ketua Operasi BASARNAS, Tatang Zaenudin.

Pasukan mencari kini giat mencari baki mangsa dan serpihan badan pesawat, termasuk kotak hitam.
Ahad lalu, pesawat Airbus 320-200 itu yang membawa 162 penumpang dan anak kapal hilang dari radar selepas 42 minit berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi.

Banjir: Majlis Keselamatan Negara dijangkiti ‘sindrom penafian’

tony_pua

Roketkini.com



PETALING JAYA: Jawapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada kritikan orang ramai berhubung pengurusan bencana yang lembab menunjukkan badan itu dijangkiti ‘sindrom penafian’.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua berkata, MKN dilihat defensif apabila terpaksa secara panjang lebar memberi penerangan, malah mengatakan mereka yang mengkritik itu hanya tahu mengkritik, tanpa melakukan apa-apa.

“Mereka (MKN) sehingga bersusah payah menyebut nama saya sebanyak empat kali dalam kenyataan panjang lebar, menuduh kritikan-kritikan itu sebagai ‘hanya membuat kenyataan dari bangku simpanan’ dan ‘penuh kesombongan’.

“Ada dua isi penting dalam jawapan mereka terhadap kritikan itu. Pertama, MKN bercakap macam dia tak melakukan apa-apa yang salah, dan orang awam sepatutnya tutup mulut kalau tak terlibat dalam kerja pengurusan bencana banjir kerajaan.

“Yang kedua, kenyataan MKN sendiri mendedahkan betapa persiapan dan kepentingan menyelesaikan krisis adalah teruk,” kata Tony

Menjawab reaksi MKN Pua menjelaskan, meskipun tidak terlibat dalam, adalah tugas rakyat mendedahkan ketidakcekapan MKN.

“Kami besarkan isu ini bukan untuk memalukan MKN dan kerajaan Pusat, supaya mereka yang berkuasa memperbetulkan kesilapan mereka dan mengurangkan masalah dihadapi rakyat.

“Mereka kata saya buat dakwaan liar dengan ambil berita tak sahih di media sosial.

“Namun, bila lihat kembali dua kenyataan saya sebelum ini. Langsung tak ada petikan khabar angin.

“Bahkan, saya hanya memetik kata-kata Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ketua UMNO Kelantan dari Astro Awani.

“Saya tak tahulah pula, kenyataan menteri itu boleh dikatakan sebagai sumber yang tak boleh dipercayai.” ujar Pua.

Secara tidak langsung MKN sendiri mendedahkan kelemahannya membuat persiapan menghadapi banjir di Pantai Timur.

Dalam pada itu kata Tony, beliau pada asalnya menyangka Tan Sri Muhyiddin bermesyuarat pada 27 Disember 2014, sepuluh hari selepas banjir selepas membaca kenyataan MKN.

“Tetapi kemudian, saya ketawa membaca penafian MKN itu apabila mereka telah bermesyuarat pada 3 Januari 2014, kira-kira setahun lepas,” tambahnya.

“Saya tak mahu menambah malu MKN kalau saya tanya apakah mesyuarat itu memang untuk selesaikan masalah banjir Disember tahun lepas,

“Faktanya, MKN sendiri mengaku hanya ada dua mesyuarat sejak tahun lepas.

“Jelas membuktikan MKN tidak meletakkan pengurusan bencana banjir ini sebagai keutamaan,” tambah Tony. – Roketkini.com

Banjir: Masih ada menteri belum habis bercuti?

selepas_banjir2

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari selepas pulang ke tanahair, apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi arahan untuk memastikan menteri tidak memonopoli penggunaan aset seperti helikopter dan meminggirkan mangsa banjir yang perlu diberi keutamaan.

Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang merujuk insiden dua orang ibu dengan komplikasi semasa bersalin di klinik kesihatan Badang, Kelantan diketepikan untuk memberi laluan kepada VVIP.

“Inilah sebabnya saya menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat bencana banjir serta kesiapsiagaan pengurusan,” kata dalam satu kenyataan.

Majlis Keselematan Negara (MKN) seolah-olah tidak mengaku arahan tidak jelas, selain kecelaruan komunikasi apabila Perdana Menteri mengakui banjir kali ini adalah bencana besar hanya pada hari keempat selepas pulang dari Hawaii.

“Najib mengarahkan menteri yang sedang bercuti di luar negara untuk kembali ke tanah air untuk membantu usaha-usaha pertolongan banjir.

“Tiga hari sudah berlalu. Adakah semua menteri telah pulang daripada bercuti di luar negara untuk menyertai operasi bantuan banjir.

“Siapakah menteri yang masih bercuti di luar negara?

“Ini tidak memperbaiki keyakinan orang ramai terhadap kecekapan dan profesionalisme MKN sebagai badan utama yang bertanggungjawab ke atas pengurusan bencana banjir di negara ini,” katanya..

Dalam pada itu katanya, DAP dan Pakatan Rakyat bersedia mengenepikan perbezaan politik dan sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk membantu mangsa banjir.

Namun, sangat dikesali apabila Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong dan Adun DAP Mengkibol Tan Hong Pin dihalang pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung daripada memberikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan.

“Rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India dan orang Asli mesti saling membantu dalam krisis kemanusiaan, disaat negara berhadapan bencana banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

“Bencana banjir terburuk dalam masa beberapa dekad ini adalah masa untuk bersatu padu sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan garis politik demi membantu mereka yang memerlukan.

“Bukannya menyebarkan penipuan untuk membangkitkan kebencian dan sikap tidak toleran antara kaum dan agama,” tambah Ahli Parlimen Gelang Patah itu. – Roketkini.com

Pulau Pinang terus perarakan Maulidur Rasul, tambah baik program

maulid_Penang

Roketkini.com


PULAU PINANG: Meskipun ditohmah media UMNO-BN, kerajaan Pulau Pinang tetap mengadakan perarakan Maulidur Rasul 1436H pada hari Sabtu, 3 Januari ini.

Perarakan yang akan bermula jam 8 pagi dari Vision Park ke Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas dijadualkan disertai lebih 50 kontinjen agensi kerajaan negeri, persekutuan dan NGO.

Ia merupakan sebahagian dari program Himpunan Ummah Maulidur Rasul yang dianjurkan kerajaan negeri mulai 26 Disember hingga 6 Januari depan.

Antara program lain termasuk 10 siri ceramah di Mutiara FM pada jam 2.30 petang setiap hari selain bacaan kitab Syamail Muhammadiah di 212 masjid seluruh negeri.

Pada hari perarakan, penerbitan i-Fikrah diedarkan kepada semua peserta perarakan memuatkan tulisan tokoh terkenal, Ustaz Shauqi Othman, yang sering terlibat dalam program televisyen dan radio.

Exco Hal Ehwal Islam, Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Kassim berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada usaha pengembangan syiar Islam selain menambahbaik pengisian program setiap tahun.

Namun, beliau menyelar pihak tertentu termasuk media yang melemparkan tuduhan kononnya kerajaan negeri menyekat program perarakan Maulidur Rasul.

“Saya kesal apabila ada media dan pihak tertentu sengaja melemparkan tohmahan dan mengaitkannya dengan politik perkauman sempit.

“Perlu ditegaskan, pergerakan kontinjen adalah sebahagian acara sambutan, bukan intipati utama majlis Himpunan Ummah Pulau Pinang seperti mana amalan beberapa negeri lain selama ini,” kata Malik.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut menambah jumlah hadiah wang tunai untuk anugerah Maulidur Rasul di Pulau Pinang.

Antaranya Tokoh Maulidur Rasul, Qudwatul Rasul Dalam Inovasi, Qudwatul Rasul Masyarakat dan juga Qudwatul Rasul Belia.

Kerajaan negeri turut menambah program baru, iaitu tazkirah Dhuha yang disampaikan Ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang, Rosli Othman dikuti solat Dhuha berjemaah diimamkan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Haji Wan Salim. – Roketkini.com

[VIDEO] Terkini QZ8501: Identiti 2 Mangsa Berjaya Dikenalpasti, Khairunnisa & Hayati

KELAB GREENBOC



 

Jenazah Pramugari Khairunnisa Berhasil Diidentifikasi

Dua jenazah penumpang/kru korban pesawat AirAsia QZ8501 sudah berhasil identifikasi oleh Basarnas dan tim gabungan.

Komandan KRI Bung Tomo, Kolonel Yayan menyebutkan, keduanya atas nama Hayati Lutfiah dan Kevin Alexandaer.

Dalam daftar penumpang, tertulis Soetjipto, Kevin Alexander, dan Hamid, Hayati Lutfiah (nama belakang ditulis di depan). Sedang satu lagi yang sudah teridentifikasi jasad pramugari, Khairunnisa Haidar Fauzi.

Kolonel Yayan menjelaskan, identifikasi berhasil dilakukan berdasar identitas yang ditemukan di tubuh korban.

"Kami temukan identitas yang menempel di tubuh korban," ujar Kolonel Yayan disiar dari JPNN, Rabu (31/12).

Untuk Hayati, jasad dikenali lantaran ada kartu nama yang ditemukan di tubuhnya.

"Ada kartu nama Hayati Lutfiah, alamat Tegalsari, Surabaya," tandas Yayan.

Sejauh ini, baru tujuh penumpang/kru korban pesawat AirAsia QZ8501 sudah berhasil dievakuasi. -rmol.co



Tag nama Hayati Lutfiah, peti perlindungan tulisan Air Asia antara 28 objek ditemui


Tag nama tertulis Hayati Lutfiah antara 28 barang yang dipercayai kepunyaan mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 pada lokasi kapal terbang itu terhempas iaitu di sekitar Kepulauan Jawa.

Menurut stesen penyiaran Indonesia Metro TV, selain tag nama itu, pasukan penyelamat turut menjumpai beberapa bag bagasi, makanan ringan, payung dan bubur segera.

Antara lain, pasukan penyelamat yakin penemuan objek itu sememangnya daripada pesawat malang itu apabila turut menjumpai kotak perlindungan dengan tulisan "AirAsia".

"28 barangan yang sudah kami kumpulkan dari laut iaitu bagasi ada yang warna biru, ada makanan ringan bubur segera dan tiga buah payung, beg tangan, beg Adidas juga kunci," kata Komander kapal KRI Bung Tomo Kolonel Yayan .

Penerbangan QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terputus hubungan dengan menara kawalan Jakarta pada pagi Ahad selepas meminta kebenaran untuk terbang pada altitud lebih tinggi bagi mengelak ribut.

Rakaman televisyen menunjukkan mayat terapung di lautan semalam mencetuskan kemarahan di kalangan keluarga dan waris yang menunggu berita mengenai nasib insan kesayangan mereka yang menaiki pesawat itu.

Pada masa sama kolonel itu berkata, melihat daripada keadaan tujuh mayat yang ditemui, sukar untuk mengecam identiti mereka.

Bagaimanapun, tiga daripadanya berjaya dikenalpasti identitinya berdasarkan barangan atau tag nama yang berada di baju mayat.

"Jenazah kami temukan, beberapa dalam keadaan baik, namun demikian sulit dicam," kata Yayan ketika mengulas mengenai keadaan mayat.

Beliau berkata pasukannya menemukan mayat perempuan berusia kira-kira 25 tahun memakai seluar Levis biru, kemeja-t hitam berketinggian kira-kira 160cm bagaimanapun dengan keadaan kaki yang patah.

"Ada juga jenazah perempuan lain yang memakai kemeja-t hitam, berambut panjang, memakai gelang dan cincin emas di tangan kanan, berusia kira-kira lebih 40 tahun," katanya.
-TMI


Keluarga Sahkan Jenazah Hayati Lutfiah yang Pakai Gelang Emas

Surabaya - Jenazah perempuan yang dikenalpasti Hayati Lutfiah dievakuasi KRI Bung Tomo. Dari ciri-ciri yang disebutkan oleh Komandan KRI Bung Tomo Kolonel Kolonel Laut Yayan Sofyan, keluarga mengidentifikasi bahwa jenazah itu adalah Hayati.

Kolonel Yayan menyebut gelang dan cincin emas melekat di tangan jenazah perempuan yang mengantongi kartu nama bertuliskan Hayati Lutfiah. Keponakan Hayati, Fany Meilinda (29), mengonfirmasi bahwa tantenya memang mengenakan gelang dan cincin emas di kedua tangannya.

"Iya benar, tante memang mengenakan gelang emas di tangan kanan dan kirinya," ujar Fany saat ditemui detikcom di rumahnya, Jalan Praban Wetan, Surabaya, Rabu (31/12/2014). Fani mengatakan, selain gelang, Hayati juga mengenakan cincin di jari kanan dan kirinya.

Hayati Lutfiah merupakan penumpang AirAsia QZ8501. Almarhumah berangkat ke Singapura bersama suaminya Djoko Suseno, anaknya Naura Kanita Rosada Suseno, dan ibu mertuanya Soemanik Saeran.

Jenazah Hayati kini masih ada di KRI Bung Tomo bersama 3 jenazah lainnya. Rencananya jenazah-jenazah tersebut akan dibawa ke Surabaya dari Pangkalan Bun.
-detik.com

LIHAT VIDEO DI SINI DAN JUGA DI SINI

Pastikan semua mangsa terima bantuan banjir

MSO


Pihak bertanggungjawab menguruskan bencana banjir; mennyelamat dan menyalurkan bekalan makanan sama ada di pihak kerajaan negeri atau pun Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau pun parti-parti politik harus lebih prihatin untuk memastikan mangsa banjir dilayani sebaik mungkin dan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan apa lagi ada mangsa banjir dianak tiri atau tidak dipedulikan.

Lori  membawa bantuan daripada rakan Fb sudah bergerak.

Sebaik keadaan banjir mulai surut dan jalan-jalan utama untuk berhubung ke kawasan dilanda banjir dibuka semula, kini berbondong-bodong barangan bekalan dan segala macam keperluan dibawa baik oleh agensi kerajaan maupun badan-badan sukarelawan, dan orang perseorangan.

Malam tadi sepanjang jalan menuju ke Pantai Timur dari lebuh raya Karak baik memasuki ke jalan Gua Musang atau ke Kuatan - Terengganu kelihatan banyak lori berbagai saiz membawa barang dipercayai bekalan untuk mangsa banjir.

Bukan itu sahaja, ratusan buah kenderaan pancuan empat roda, 4x4 yang sarap dengan barang juga kelihatan menuju menghala ke Jalan Gua Musang dan Kuantan. Kenderaan itu yang sarap dengan muatan dipercayai membawa bekalan untuk mangsa-mangsa banjir.

Sekejap tadi saya ke pasar raya NSK di Selayang untuk membeli barangan asas bagi dihantar ke Nenggeri, Gua Musang, sempat menyaksikan orang ramai yang membela belah barangan asas dalam jumlah yang besar. Dipecayai mereka juga membeli barangan keperluan untuk dihantar kepada mangsa banjir.

Sekitar jam 10:00 pagi, tadi terdapat kira-kira 10 buah lori yang diisi dengan beras, gula, minyak masak, garam, sardin, sabun dan lain-lain. Keadaan demikian menurut seorang juruwang di pasar raya berkenaan berlaku sejak dua tiga hari lepas dan keadaan meningkat sejak kelmarin. Pasar raya berkenaan dibuka 24 jam.

Apa yang disaksikan itu penghantaran barangan keperluan menerusi jalan darat. Penghantaran barangan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga dilakukan menerusi udara dan sebagainya.

Sementara itu berbagai pihak yang simpati dengan nasib mangsa banjir telah membuka pusat-pusat punggutan bekalan masing-masing. Ada yang membuka pusat punggutan di surau, masjid dan juga dewan orang ramai.

Manakala ada individu pula mengambil inisitiaf membuat pengumpulan barangan dan kutip derma untuk membela barangan dan menghantar sendiri. Facebook menjadi medium utama untuk menghimpun derma dan menghebahkan barangan untuk dihantar kepada mangsa banjir.

Dalam pada itu blog Merah Tinta juga tidak ketinggalan ikut sama berpartisipasi. Hasil daripada sumbangan ikhlas para penjengok blog Merah Tinta dan rakan Facebook saya hari ini bekalan berkapasiti lori lima tan di hantar ke Kelantan.

Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di beberapa buah kampung di Nenggeri, Gua Musang. Penduduk kampung berkenaan hampir 90% dilanda banjir dan merupakan antara kawasan yang lambat menerima bantuan banjir. Alhamdulilah lori yang membawa bekalan makanan dan pakaian hasil punggutan Tabung Mangsa Banjir Bukit Bekok kini dalam perjalanan ke destinasi.

Komitmen semua pihak dalam menumpahkan simpati bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir ini sesuatu yang membanggakan. Masyarakat bangkit menggerakkan aktiviti masing-masing tanpa ada kerahan daripada mana-mana pihak. Melihat berbagai pihak membantu itu, kita (saya) sudah tidak terfikir lagi akan ada mangsa banjir yang terbiar ataupun tidak mendapat keperluan mereka.

Mungkin kini sudah berlaku timbunan bekalan makanan dan bekalan untuk mangsa banjir di Kelantan. Adalah diharap semua mangsa banjir tidak "mipat" seorang pun untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu bagi memudahkan para derma dan orang ramai menghulurkan sumbangan elok kalau pihak Jawatankuasa Benca Banjir Negeri, dan juga MKN menyenaraikan kawasan-kawasan yang masih kritikal atau memerlukan bantuan segera. Dengan adanya senarai lokasi itu ia memudahkan para penderama atau mana-mana pihak yang berhajat menyampaikan derma masing-masing.

Tanpa penyenaraian kawasan itu menyebabkan berlaku pertindihan penghantaran bekalan dan bantuan. Ada mangsa di kawasan tertentu menerima sampai dua tiga kali bantuan sementara di kawasan lain pula mangsa baru menerima sekali bekalan dan bantuan sahaja.

Kelambatan atau ketiadaan senarai seperti ini ia menyukarkan pihak-pihak yang ingin menyalurkan bekalan secara langsung kepada mangsa. Sesetengah penyumbang hanya meninggalkan barangan mereka di pusat-pusat pemindahan yang ada kalanya tidak diketahui ke mana barangan itu disalurkan.

Berita Terkini RON95 Harga Minyak Petrol Turun : Harga Baru RON95 (RM1.93) RON97 (RM2.13) 1 Januari 2015




berita ron95



Berita Terkini RON 95 RON97 Harga Minyak Petrol Turun; Harga Baru RON95 (RM1.93) RON97 (RM2.13) 1 Januari 2015 : Setelah rakyat “dihadiahkan” untuk “menikmati” harga minyak RON95 turun sebanyak 4 sen selama sebulan sejak 1 Disember 2014 dan selepas hampir sebulan berlalu, kerajaan Malaysia mengumumkan penurunan harga RON95 minyak petrol sebanyak 30 sen bermula 1 Januari 2015 ini.

Berita terkini yang baru sahaja Berita Semasa terima yang mana kerajaan Malaysia berbesar hati mengumukan harga baru RON95, RON97 dan minyak diesel bagi awal tahun baru 2015 seperti di bawah ini :

Berita Terkini RON95 RON97 2015 : Senarai Harga Minyak Petrol Turun?

  • harga petrol RON95 2015 : RM1.93 seliter
  • harga baru petrol RON97 2015 : RM2.13 seliter
  • harga baru minyak diesel RM2.20 2015 : RM1.96 seliter
Sehingga 31 Disember 2014, harga minyak yang dijual adalah seperti di bawah ini :
  • harga minyak RON95 31 Disember 2014 : RM2.26 seliter
  • harga minyak RON97 31 Dismeber 2014 : RM2.46 seliter
  • harga minyak diesel 31 Disember 2014 : RM2.23 seliter
minyak ron95

Pada ketika ini, harga minyak dunia berlegar pada kadar US$57 setong. Dengan penurunan harga minyak RON95 turun ini, Ahmad Maslan mahukan peniaga-peniaga menurunkan harga barang.

P/S : Dengan trend harga minyak dunia turun ini dan juga harga ron95 2015 turun di bawah paras RM2.00 seliter selepas sekian lama, dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban rakyat Malaysia berbelanja. Apa kata anda pula?

harga ron95 2015

Banjir: Tiada perancangan kecemasan, kata Rafizi

MALAYSIAKINI


 


Walaupun banyak bantuan diberikan kepada mangsa banjir, pemimpin PKR beranggapan, lebih bagus sekiranya kerajaan pusat dan negeri mengadakan persediaan lebih awal bagi menghadapi bencana itu.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, negeri di pantai timur menghadapi bencana banjir setiap tahun dan langkah-langkah pencegahannya perlu ditetapkan.

"Rakyat Malaysia bersama-sama untuk membantu (mangsa banjir), tetapi ia sebenarnya tidak begitu perlu dan boleh dielakkan jika mereka belajar sesuatu daripada banjir besar tahun lepas.

"(Jika situasi mencemaskan) berlaku sekali lagi, ia bermakna bahawa kita tidak belajar apa-apa pun daripada tahun lepas atau tidak ada apa yang dilakukan untuk membetulkan dan menetapkan prosedur yang betul untuk bertindak semasa keadaan kecemasan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual bersama KiniTV semalam.

Selain itu, tambahnya lagi, bukan hanya Putrajaya, malah kedua-dua kerajaan BN dan kerajaan negeri Pakatan sama-sama "tidak mempunyai sebarang perancangan kecemasan".

PAS tolak k'jaan campuran PAS-Umno demi banjir

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menolak pandangan bahawa satu kerajaan campuran PAS dan Umno diperlukan di Kelantan untuk membangunkan semula negeri itu selepas banjir.

Beliau sebaliknya menggesa agar syarikat petroleum nasional Petronas menyumbang dana kepada satu tabung khas untuk tujuan berkenaan.

"Alasan seperti itu terlalu rapuh.

"Petronas sumbang RM3 bilion pada kerajaan negeri melalui satu tabung khas, Kelantan boleh dibangunkan semula," kata ADUN Salor itu kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas cadangan kerajaan gabungan itu yang diajukan pemilik Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub (kanan).

Husamuddin yang merupakan seorang anak Kelantan mengunjurkan pemulihan semula Kelantan akan memakan wang berbilion ringgit.

Beliau juga melihat krisis itu akan mengambil masa selama dua tahun untuk diuruskan.

"Kita adakan moratorium, gencatan politik. Kalau bekerjasama saja tak jadi, mesti akan bergaduh juga.

"Sekarang Umno Kelantan dan PAS Kelantan harus bergabung dalam satu kerajaan campuran untuk pulihkan kembali negeri.

"Tidak ada jalan lain lagi," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.

PM: Projek tebatan banjir keutamaan RMK-11

MALAYSIAKINI


 


Projek tebatan banjir di seluruh negara akan menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sebagai langkah untuk mengatasi bencana banjir pada masa akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Perdana Menteri berkata jabatan-jabatan yang berkenaan akan diminta mengemukakan laporan dan kajian sebelum perinciannya dapat ditentukan.
  
"Tentu sekali kita kena minta laporan daripada jabatan-jabatan berkenaan (dahulu) dan masa yang paling awal (pelaksanaan projek) adalah dalam tempoh RMK-11 nanti.
  
"Dengan berlakunya banjir di beberapa buah negeri secara serius kali ini, sudah tentu keperluan projek-projek tebatan banjir perlu diberi keutamaan yang lebih tinggi dalam tempoh RMK11, namun ia bergantung kepada kewangan kerajaan," katanya. RMK11 bermula pada 2016.
  
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat pengurusan banjir Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Pembandaran Kemaman dan meninjau keadaan banjir di bandar Cukai, di sini hari ini.
  
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga anggota Parlimen Kemaman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
  
Najib berkata ini berikutan banjir yang berlaku di beberapa negeri begitu serius dan ternyata sistem tebatan banjir sedia ada belum berkesan sepenuhnya.
  
Katanya kerajaan perlu melihat terlebih dahulu kemampuan kewangan negara kerana satu tebatan banjir akan memakan kos ratusan juta ringgit dan membabitkan kawasan yang dikenal pasti berisiko di seluruh negara.
  
Terdahulu, Perdana Menteri diberi taklimat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar tentang keadaan semasa banjir di Kemaman. - Bernama

‘RON95, diesel sepatutnya kurang dari RM1.90’

MALAYSIAKINI


 


MP PKR, Rafizi Ramli mendakwa pengguna sepatutnya membayar kurang daripada harga RM1.90 untuk petrol RON95 dan diesel.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan semalam bahawa harga kedua-dua bahan api tersebut akan diletakkan di antara RM1.90 dan RM1.95 bermula Januari.

Rafizi berkata, harga RON95 sepatutnya ditetapkan pada kadar RM1.75 dan RM1.79.

Katanya, kadar itu termasuk margin keuntungan dan bayaran balik kos yang dijanjikan oleh kerajaan kepada syarikat pengeluar minyak, sebanyak 32 sen seliter untuk RON95 dan 23 sen seliter untuk diesel.

Beliau memberi alasan, harga pasaran RON95 dan diesel masing-masing sudahpun turun ke paras RM1.43 dan RM1.56 pada 30 Disember.

Rafizi seterusnya mendakwa, kerajaan mengaut keuntungan tambahan daripada cukai petrol secara senyap-senyap kerana harga tersebut sudahpun turun seawal 1 Disember lalu.

Naib presiden PKR itu turut mengemukakan carta yang menunjukkan bahawa harga RON95 dan diesel termasuk keuntungan masing-masing adalah RM2.05 dan RM2.10 sejak awal bulan ini, dan terus menurun dengan sekata sehinggalah ke paras harga 30 Disember.

“Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), BN mendapat durian runtuh dengan mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat.

“...Jumlah cukai petrol yang dikutip secara senyap oleh kerajaan bagi Disember 2014 ialah RM633 juta tanpa diketahui oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Rafizi seterusnya menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan perbelanjaan yang dibuat daripada kutipan cukai tersebut.

Beliau turut mengulangi gesaannya agar subsidi bahan api diperkenalkan semula agar harga RON95 dan diesel di pam masing-masing boleh dikurangkan kepada RM1.61 dan RM1.64.
 

Objek gelap, besar di kedalaman 50 meter

MALAYSIAKINI



Pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal, hilang Ahad lalu.
 
 
 
Pesawat Airbus 320-200 itu berlepas dari Surabaya, Indonesia pada jam 5.20 pagi waktu tempatan (6.20 pagi waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Singapura dua jam kemudian, tetapi ia terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.
 
Pihak berkuasa Indonesia melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).
 
Malaysiakini menyiarkan secara langsung perkembangan yang berlaku hari ini.


LANGSUNG HARI KEEMPAT

1.12pm: Satu imej sonar mengenalpasti satu objek besar dan gelap dalam laut yang mungkin merupakan pesawat AirAsia yang hilang, lapor Reuters.

"Ia kira-kira 30 ke 50 meter di dalam air," kata Hernanto, seorang pegawai dengan agensi menyelamat dan mencari Indonesia.

Ahli-ahli penyelamat kini bersiap sedia untuk mendapatkan sebarang mayat dari pesawat dan melakukan proses pengenalpastian.

"Kami berdoa yang ia adalah pesawat itu agar proses mengeluarkan mayat boleh dilakukan secepat mungkin," kata Hernanto.

12.04pm: Presiden Indonesia Joko Widodo akan mengadakan mesyuarat kabinet di pejabat beliau hari ini.

Mesyuarat itu antara lainnya dijangka akan membincangkan nahas pesawat AirAsia.

Sampel DNA ahli keluarga untuk kenal pasti mangsa

10.40am: Sampel DNA untuk tujuan mengenalpasti identiti diperolehi daripada 30 keluarga yang mempunyai sanak saudara dalam penerbangan QZ8501, lapor detik.com

Pihak berkuasa menggesa lebih ramai anggota keluarga tampil ke hadapan agar lebih banyak sampel dapat diambil.

10.20am: Operasi SAR Indonesia telah meminta kapal perang USS Sampson supaya bersiap sedia.

Pihak berkuasa juga berkata, walaupun mereka mengalu-alukan bantuan negara jiran, tetapi mereka akan hanya menggunakannya apabila diperlukan, lapor detik.com.

10.15am: Selain mayat, pasukan SAR telah juga menemui dua pintu pesawat, satu tingkap kecemasan, satu beg galas dengan makanan di dalamnya serta kasut kanak-kanak dan sebuah kamera poket, lapor detik.com yang memetik para pegawai.

Cuaca buruk jadi cabaran

10.05am: Dua puluh lagi penyelam kini bersiap sedia, menjadikan jumlah penyelam yang terlibat dalam operasi SAR seramai 47 orang.

Pegawai operasi SAR berkata, akibat laut bergelora dan cuaca buruk, detik.com melaporkan mereka masih tidak dapat meneruskan usaha mengambul mayat di laut.

10.00am: Britain, Singapura dan Perancis menghantar pakar mereka membantu mengesan kotak hitam pesawat. Airbus juga menghantar pakar untuk membantu mengesan rangka pesawat itu, lapor detik.com.

Enam mayat dikeluarkan

9.10am: Pesawat Hercules yang terlibat dalam operasi SAR terpaksa berpatah balik ke Pangkalan Bun disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk.

Operasi SAR hari ini bermula jam 5.40 pagi, lapor detik.com.

9am: Sehingga ini, enam mayat sudah dikeluarkan - tiga lelaki dan tiga perempuan.

Satu daripadanya telah dikenal pasti sebagai seorang pramugari, lapor detik.com.

8.30am: Daripada tiga mayat mangsa nahas pesawat malang QZ8501 yang ditemui di perairan Belitung semalam, seorang daripadanya adalah seseorang kanak-kanak itu.

detik.com melaporkan para pegawai berkata mayat yang dilihat dari pesawat tentera Hercules ialah dua lelaki dan seorang perempuan.

Laporan itu memetik pegawai yang terlibat dalam operasi SAR sehingga 7 petang semalam.

Gerakan mencari diteruskan awal hari ini.

Khemah sementara untuk mangsa hilang rumah

SINAR HARIAN

banjir
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan akan menyediakan khemah secepat mungkin untuk menempatkan mangsa yang kehilangan rumah atau rosak teruk akibat banjir di negeri ini.
  
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penyediaan khemah itu adalah tindakan segera sebelum rumah sementara dapat disiapkan untuk mangsa.
  
"Jumlah sebenar mereka yang terbabit sedang dikenal pasti tetapi ramai masih tinggal di sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan walaupun banjir sudah surut dan mereka ini akan keluar dari sekolah berkenaan apabila sesi baharu persekolahan bermula pertengahan bulan depan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
  
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, jajahan Kuala Krai dan Gua Musang merupakan kawasan paling ramai mangsa kehilangan rumah atau rosak teruk.
  
Beliau berkata, kawasan-kawasan yang sesuai akan dikenal pasti untuk pembinaan khemah tersebut yang akan dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air.
  
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan membina rumah sementara untuk mangsa yang kehilangan rumah atau rosak teruk akibat banjir sebelum rumah kekal disediakan untuk mereka.
  
Mustapa berkata, Kelantan memerlukan lebih banyak bekalan makanan dan pakaian untuk mangsa banjir dan berharap rakyat Malaysia yang prihatin akan segera menyumbang.
  
Beliau juga berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat penilaian kemudahan  infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan masjid yang rosak akibat banjir. - Bernama

QZ8501: PDRM sedia tawar pasukan pakar kesan identiti mangsa

ANTARAPOS.COM


Post Pic



SUBANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan khidmat pasukan pakar bagi membantu pihak berkuasa Indonesia dalam mengesan identiti mangsa yang terbabit tragedi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya mempunyai pasukan pakar yang sebelum ini berpengalaman mengendalikan kes seumpamanya di Acheh dan Ukraine.

"Kita amat bersimpati dan mengucapkan takziah di atas tragedi yang melanda.

"Kita sedia menghulurkan bantuan dan akan menghantar pasukan, sekiranya diperlukan atas semangat kerjasama serantau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan banjir di Redland Aviation Service Sdn Bhd, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang di sini, sebentar tadi.

Ahad lalu, pesawat Airbus 320-200 itu yang membawa 162 penumpang dan anak kapal hilang dari radar selepas 42 minit berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Singapura pada 8.20 pagi.

QZ8501: Banyak lagi serpihan pesawat, barang penumpang ditemui

ANTARAPOS.COM


Post Pic



JAKARTA: Kapal perang Indonesia, KRI Bung Tomo hari ini mengumpulkan sejumlah besar barangan peribadi milik mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, selain beberapa objek keras daripada bahagian pesawat.

"Peralatan kecemasan bertulis AirAsia, dua pintu pesawat, satu unit tingkap kecemasan, beberapa beg berisi makanan dan kasut kanak-kanak serta kamera poket ditemui di kawasan perairan Pangkalan Bun," kata ketua operasi KRI Bung Tomo, Dispne Koarmatim, hari ini.

Sementara itu, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) pagi ini menemui tiga lagi mayat yang dipercayai penumpang dan krew pesawat AirAsia Indonedia QZ8501 yang terputus hubungan Ahad lalu, dengan satu mayat dengan pakaian pramugari.

Semua mayat masih berada dalam KRI Bung Tomo ketika ini.

"Pada kedalaman 24 meter, alat sonar mengesan beberapa objek berselerakan dipercayai serpihan badan pesawat," katanya. – Detik.com

Hai O bimbang gejala rasuah

SINAR HARIAN


Hai O (duduk, kiri) bimbang gejala rasuah kembali menular disebabkan masalah tunggakan gaji pemain.  
Hai O (duduk, kiri) bimbang gejala rasuah kembali menular disebabkan masalah tunggakan gaji pemain.



PRESIDEN Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar tidak menolak kemungkinan masalah kelewatan gaji pemain mampu mendorong kepada gejala rasuah dan mengatur perlawanan.  Lapor KAMARUL AKHIR / WWW.ASIANA.MY

Jelasnya, situasi seumpama ini tidak seharusnya berlaku ketika Liga Malaysia (Liga -M) akan diswastakan tidak lama lagi.

"Permasalahan dihadapi rakan dari Perlis nyata mengecewakan kami di PFAM, saya faham apa dialami pemain, bekalan elektrik dipotong, kenderaan ditarik dan pelbagai masalah lain disebabkan masalah tunggakan gaji.

"Namun apa yang membimbangkan tidak mustahil isu rasuah dan mengatur perlawanan berlaku kerana mereka terdesak memerlukan kewangan untuk menyelesaikan tanggungan," katanya.

Pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini yang turut dikenali dengan panggilan Hai O menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan setiap persatuan negeri mengambil berat berkaitan isu ini.

QZ8501: Mayat berpegangan tangan

SINAR HARIAN


Gambar menunjukkan jaket keselamatan ditemui terapung. - Foto AFP Gambar menunjukkan jaket keselamatan ditemui terapung. - Foto AFP
 
 
PANGKALAN BUN - INDONESIA . Pembantu juruterbang Hercules C130 Indonesia, Leftenan Satu Tri Wibowo berkata, dia melihat tiga jasad mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 terapung dalam keadaan berpegangan tangan.

Jasad itu dilihat terapung di Selat Karimata bersama lapan lagi mayat.

“Ada sekitar tujuh hingga lapan objek menyerupai tubuh manusia. Tiga daripadanya terapung dalam keadaan berpegangan tangan.

“Satu lagi mayat berada di bawah serpihan pesawat. Jadi tak sempat diambil gambar,” katanya.

Tri berkata, kesemua jasad berkenaan dikesan dari ketinggian 150 meter dari atas permukaan air.

Selain mayat, turut ditemui objek keras menyerupai gelongsor kecemasan dan pintu pesawat.

Kesemua objek berkenaan ditemui kira-kira 105 kilometer dari Pangkalan Bun.

“Kedudukan objek tersebut ditemui kira-kira 10 kilometer dari lokasi terakhir pesawat tersebut dikesan,” kata pegawai tentera udara Indonesia, Agus Dwi Putranto.
Beliau berkata, 10 objek itu terdiri dari pintu pesawat, gelongsor kecemasan dan objek berbentuk segi empat.

Seorang jurugambar agensi berita AFP yang menyertai misi Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) mengesahkan ternampak serpihan di atas laut seperti jaket keselamatan, rakit pesawat dan tiub. - Tempo.co

Solat hajat di masjid seluruh Selangor Jumaat ini

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor, melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi melahirkan rasa amat bersimpati serta prihatin dalam isu banjir yang berlaku di negeri Pantai Timur.

Atas dasar itu, Dr. Ahmad menyeru seluruh umat Islam di Selangor mengadakan solat hajat dan kutipan derma bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengajak kepada semua umat Islam di seluruh negara khususnya rakyat negeri Selangor mengadakan solat hajat dan munajat pada hari jumaat ini (02 Januari 2014) selepas solat Jumaat serta boleh ditunaikan pada bila-bila masa di antara solat di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri Selangor bagi memohon kepada Allah SWT agar musibah banjir ini dapat dipulihkan serta diberikan perlindungan dan keselamatan kepada mangsa-mangsa banjir. Seperti yang dinyatakan di media masa iaitu jumlah keseluruhan mangsa banjir di 6 negeri yang terlibat sehingga kini adalah seramai 225,731 orang  mangsa. Negeri-negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Selangor. Kami mengucapkan takziah serta semoga mereka sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

“Atas rasa tanggungjawab dan simpati kami, satu mesyuarat khas bersama pihak JAIS telah diadakan, dan kami telah bersetuju membuat satu kutipan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir bagi kali ke-2 pada Jumaat ini (02 Januari 2015) di masjid-masjid seluruh Negeri Selangor sebagai sokongan moral kami kepada mangsa-mangsa banjir. Kutipan pertama telah dibuat pada hari Jumaat lalu (26 Disember 2014). Hasil kutipan sumbangan tersebut akan segera diserahkan kepada negeri yang terlibat,” ujarnya dalam satu kenyataan media.       

Selain itu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Yayasan Amal Malaysia untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir. Kerajaan Negeri Selangor telah mengiktiraf Yayasan Amal Malaysia (YAM) sebagai koordinator untuk menyelaras petugas-petugas sukarelawan ke negeri-negeri yang terlibat.

Dr. Ahmad turut menyeru kepada yang berminat untuk menjadi sukarelawan pasca banjir ini supaya menghubungi Ustaz Yusof bin Abdullah, Setiausaha Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor ditalian 014-729 3560.

Beliau juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada mangsa pesawat Air Asia QZ 8501 dan mendoakan agar usaha pencarian kesemua mangsa pesawat tersebut berjaya ditemui dan dipermudahkan oleh Allah SWT serta takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. – HARAKAHDAILY

RON95 RM1.91, RM633 juta cukai dikutip Dis 2014


RAFIZI RAMLI 


HARGA pasaran bagi petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 1 Disember 2014 hingga 30 Disember 2014 disertakan di dalam Lampiran A (harga pasaran RON95) dan Lampiran B (harga pasaran diesel) yang disertakan bersama.

Data harga telah diperolehi secara sah dari pasaran seperti berikut:

RON95 – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Mogas 95 Unleaded

Diesel – ditentukan oleh MOPS bagi Singapore Gasoil

Kadar tukaran matawang – ditentukan oleh kadar rasmi Bank Negara

Dari Lampiran A dan Lampiran B, jelas bahawa harga pasaran bagi RON95 (tidak termasuk jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak) telah menjunam ke harga hanya RM1.43 seliter pada 30 Disember 2014.

Keadaan yang sama juga berlaku dengan harga diesel yang menjunam dari paras ke harga hanya RM1.56 seliter pada 30 Disember 2014 (tanpa jamin keuntungan).

Malah, dengan jaminan keuntungan dan kos yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat minyak sebanyak 32 sen seliter (RON95) dan 23 sen seliter (diesel) seperti yang terpaksa dibayar rakyat sekarang, harganya sepanjang Disember 2014 adalah jauh lebih rendah dari yang terpaksa dibayar rakyat. Pengguna di Malaysia telah membayar harga yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran disebabkan dasar penetapan harga oleh Barisan Nasional ini.

Mengambil kira jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak itu, harga RON95 ialah RM2.05 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.75 seliter (pada 30 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.26 seliter.

Harga diesel pula (termasuk jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak) ialah RM2.10 seliter (pada 1 Disember 2014) dan terus menurun kepada RM1.79 seliter (pada 30 Disember 2014); berbanding harga yang dibayar oleh rakyat RM2.23 seliter.

Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), Barisan Nasional mendapat durian runtuh dengan mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat.

Perkiraan cukai petrol tersembunyi yang telah ditanggung oleh rakyat ditunjukkan di dalam Lampiran C. Anggaran ini dibuat berdasarkan jumlah penggunaan petrol sebanyak 14 bilion liter setahun dan penggunaan diesel sebanyak 9.64 bilion liter setahun seperti jawapan Perdana Menteri di Parlimen.

Dalam bulan Disember 2014, rakyat membayar sebanyak RM402 juta cukai petrol bagi RON95 dan RM231 juta bagi diesel.

Maka, jumlah cukai petrol yang dikutip secara senyap oleh kerajaan bagi Disember 2014 ialah RM633 juta tanpa diketahui oleh rakyat.

Berdasarkan harga purata RON95 dan diesel bagi Disember 2014, maka harga bagi Januari 2015 yang sepatutnya diumumkan oleh Barisan Nasional pada malam ini tidak boleh lari dari harga berikut:

RON95 ditetapkan pada harga RM1.91 seliter (tanpa subsidi 30 sen). Jika subsidi dikembalikan seperti dituntut KeADILan, harga RON95 hanyalah RM1.61 seliter.

Diesel ditetapkan pada harga RM1.94 seliter (tanpa subsidi 30 sen). Jika subsidi dikembalikan seperti dituntut KeADILan, harga diesel hanyalah RM1.64 seliter.

Sekiranya harga yang diumumkan Barisan Nasional berbeza dari harga ini, menteri yang terbabit perlu menjelaskan bagaimana harga RON95 dan diesel ditentukan kerana pengiraan yang dibuat KeADILan setakat ini menggunakan formula Barisan Nasional sendiri dan harga pasaran MOPS yang diterbitkan.

Sehingga kini juga tidak ada seorang pemimpin Barisan Nasional pun yang menyangkal pendedahan saya bahawa Barisan Nasional telah mengutip cukai petrol dan diesel secara senyap-senyap akibat mekanisme penentuan harga sebegini. Ini bermakna mereka mengesahkan bahawa rakyat memang telah membayar cukai petrol dan diesel sejak November 2014 lagi.

Dengan pendedahan bahawa jumlah cukai yang dikutip bagi Disember 2014 telah mencecah RM633 juta, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak wajib menjelaskan ke mana wang ini telah dibelanjakan dan kenapa rakyat perlu membayar cukai petrol dan diesel kepada rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang sangat membebankan.

Saya akan terus membawa isu cukai petrol dan diesel ini hingga ke Parlimen sesi depan sehingga saya mendapat jawapan yang memuaskan dari Barisan Nasional. - HARAKAHDAILY

(*)   Penulis ialah Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Mayat nahas AirAsia akan diterbangkan ke Surabaya

BERNAMA 


JAKARTA: Kesemua mayat nahas pesawat AirAsia QZ8501 akan diterbangkan ke Surabaya untuk dikenal pasti oleh pihak berkuasa.

Laporan sebuah portal berita Suara.Com Rabu memetik jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (SAR) Bambang Soelistyo sebagai berkata dalam operasi tengah malam semalam hingga awal pagi tadi, pasukan SAR menemui tiga lagi mayat iaitu seorang wanita yang berpakaian pramugari dan dua lelaki.

"Dalam pencarian dari tadi malam hingga pagi ini, sudah kita temukan tiga jenazah. Satu perempuan yang berpakaian pramugari, dan dua laki-laki," kata Bambang.

Katanya, mayat berkenaan akan diterbangkan ke Surabaya, setelah dibersihkan di Pangkalan Bun.

Beliau juga berkata, dengan penemuan tiga mayat itu, setakat ini sebanyak enam mayat telah ditemukan dalam operasi SAR di kawasan perairan berkenaan sejak semalam.

Kesemua mayat itu ditemui terapung di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, masing-masing seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia dan seorang warga United Kingdom.

Kru pesawat itu terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang warga Perancis. - BERNAMA

Banjir Johor beransur pulih


Anggota Jpam membantu mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah selepas air surut di Segamat. - Foto Sinar Harian oleh MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON Anggota Jpam membantu mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah selepas air surut di Segamat. - Foto Sinar Harian oleh MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON
 
 
JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di Johor dilaporkan semakin baik, hanya berbaki 172 mangsa di enam pusat pemindahan.

Laporan Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor enam pusat pemindahan yang masih di buka melibatkan  Segamat dan Batu Pahat.

Laporan jam 8 pagi merekodkan mangsa yang tinggal di Sekolah Kebangsaan Kg Spang Loi (16), Balairaya Kg Batu Badak (28), Sekolah Agama Kg Kuala Paya (30) dan  Balairaya Kg Tandung(10), Segamat.

Manakala di Batu Pahat, iaitu Sekolah Kebangsaan Kota Dalam (45) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Perdana (43).

Masa untuk bersatu, demi rakyat!


26 Disember, TV siar wajah terkini Acheh, wilayah paling teruk dilanda tsunami 10 tahun lalu. Pekarangan Masjid Baiturrahman yang dulu seperti padang jarak, padang tekukur sudah kembali indah.

Yang lebih indah Acheh kini sebuah wilayah damai, tiada lagi pergolakan bersenjata tentera kerajaan Indonesia dengan gerila Gerakan Acheh Merdeka (GAM).

Tsunami 26 Disember 2004, meskipun telah meluluhlantakkan muka bumi Acheh dan mengorbankan ratusan ribu nyawa, rupanya turut menyelit hikmah, membawa pergi dendam dan permusuhan selama 30 tahun.

Usaha membina semula Acheh bukan mudah. Ia sudah tentu lebih payah dengan wujudnya dua pihak yang berebut kuasa.

Mujur, tsunami yang datang dengan hentakan paling dahsyat dalam sejarah dunia moden, telah menghantar mereka ke meja rundingan.

Pada 27 Disember 2005, GAM yang ditubuhkan 4 Disember 1976, mengakhiri usianya menerusi perjanjian damai dengan pemerintah Indonesia.

Pada masa kita mengimbau bencana dahsyat itu dan perubahan yang berlaku di Acheh, bencana sedang membedal Pantai Timur.

Seperti Acheh, Kelantan wilayah paling teruk alami kemusnahan dalam tragedi kali ini. Dan seperti Acheh di Indonesia, Kelantan adalah negeri paling 'Islamis' di Malaysia.

Acheh sudahpun menguatkuasakan undang-undang hudud, dalam pentadbiran yang terpisah daripada undang-undang  Republik Indonesia manakala Kelantan sedang dalam proses untuk melaksanakannya.

Ahad, 28 Disember Sinar Harian menyiarkan tajuk muka depan Masa Untuk Bersatu mengiringi foto Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob melawat mangsa banjir.

Turut sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Umno Kelantan.

Esoknya, foto itu jadi viral. Ramai yang mengaku 'sejuk hati' melihat kemesraan mereka.

Kedua-duanya membuat kenyataan sama, tidak akan mengisytihar darurat di Kelantan.

Walaupun Tok Mat (Ahmad Yaakob) pemimpin Pas, berkokok juga bantahan dalam partinya sendiri oleh mereka yang mungkin sekadar membaca skrip ditulis oleh dalang di luar Pas yang tidak senang duduk melihat kemesraan pemimpin parti itu dengan pemimpin Umno, lebih-lebih lagi Najib.

Apa yang sebaiknya dalam keadaan ini ialah ketepikan sementara politiking. Ini masa untuk semua pemimpin membuktikan jiwa kepemimpinan mereka membantu rakyat dalam kesusahan.

Ini masa untuk membuktikan mereka berpolitik bukan atas kepentingan diri tetapi untuk berkhidmat, menunaikan harapan, menjadikan diri  pergantungan, menunjukkan jalan yang selamat dan membela orang dalam kesusahan.

Politik pada era telefon pintar ini juga bukan untuk 'berselfie' dalam air banjir sambil tersenyum, kemudian sebarkan gambar itu ke seluruh alam dengan kapsyen 'turun padang bantu mangsa banjir'. Bukan. Itu semua bukan. Politik yang sebenar adalah pengorbanan dan keikhlasan. Barulah  layak dipanggil pemimpin.

Pada ketika darurat inilah siapa yang sebenar layak dipanggil pemimpin, berjiwa negarawan, bukan politikus picisan yang tidak endah untuk terus
bercuti di luar negara ketika negara dilanda bencana hingga perlu dipanggil balik oleh Perdana Menteri, dinilai. Inilah masa untuk mereka mengorbankan kepentingan, sanggup meranduk air bah bersama dengan rakyat, tidur berbantal lengan di pusat-pusat pemindahan.

Daripada Kabinet, dua menteri layak dipuji ialah Tok Pa (Mustapa Mohamed) dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Tok Pa, saya difahamkan baru dua hari sampai di Makkah untuk menunaikan umrah (bukan bercuti di Jerman), tetapi segera balik apabila bah semakin melarat.

Shabery pula jelas bersungguh-sungguh membantu mangsa meredah air hingga nampak keletihan di wajahnya ketika muncul di TV.

Di Acheh, mengapa GAM mudah bersetuju untuk meletak senjata setelah 30 tahun berjuang menuntut merdeka sedangkan dalam kalangan penduduk Acheh, mereka dapat sokongan kuat, bukan semata-mata moral bahkan juga ekonomi?

Jawapannya ialah apabila wilayah itu musnah akibat tsunami dan mengambil kira bahawa kelangsungan hidup rakyat lebih penting daripada politik mereka, GAM tidak melihat jalan lain selain berdamai dengan kerajaan Indonesia.

Tanpa perdamaian yang total, Jakarta tidak dapat berperanan aktif untuk memulihkan semula Acheh.

Nah! Inilah iktibarnya bagi kita. Kelantan sekarang umpama Acheh dari segi kemusnahan akibat banjir, cuma bezanya seperti kata seorang kawan, tsunami datang dari laut (ombak,  tsunami dalam bahasa Jepun maksudnya, dinding air) manakala banjir melimpah dari sungai. Kesan banjir lebih teruk sebab kawasan yang jauh dari laut juga habis digodamnya.

Lihatlah gambar rumah mangsa banjir, ada yang ranap, hanyut, macam-macam.

Ramai yang mengaku 'sejuk hati' melihat gambar mesra Najib dengan Tok Mat namun apakah bantuan RM500 juta untuk mangsa banjir daripada Kerajaan Pusat cukup? Jawabnya, tidak. RM500 juta bukan untuk Kelantan sahaja tetapi mangsa banjir di seluruh negara.

Nilai kemusnahan di Kelantan sahaja akibat banjir kali ini dianggarkan berbilion ringgit. Sesetengah kawasan di Kelantan sudah jadi 'ground zero'.
Inilah yang dibangkitkan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub kepada editor kanan akhbar ini petang kelmarin.

Benarlah kata-kata Hussamuddin bahawa sekarang berduyun-duyun orang menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

"Berapa banyak bantuan boleh dihantar, berapa lama boleh tahan? Soalnya, apa akan berlaku kepada orang Kelantan selepas ini?

Bagaimana mereka nak terus hidup, nak bina semula hidup sedangkan harta benda, rumah, lembu kambing, ladang, habis musnah Ada kedai, kedai hancur. Ada kilang keropok, kilang batik, habis musnah?" katanya.

Dalam keadaan ini, kata Hussamuddin, mangsa terpaksa bergantung harap kepada kerajaan.

"Tetapi Kerajaan Negeri, maaf cakap, tidak mampu. Mahu tidak mahu, Kerajaan Pusat. Tetapi apabila kerajaan berlainan parti, saya yakin apa yang dibuat tidak akan lancar," tegasnya.

Sebagai anak Kelantan dan tokoh korporat berjaya, Hussamuddin sering jadi rujukan anak-anak Kelantan di Kuala Lumpur.

"Kawan-kawan saya juga bangkitkan persoalan yang sama, bagaimana nak bina semula Kelantan? Saya tidak semata-mata melihat mereka dalam situasi sekarang tetapi selepas ini. Apa nasib orang Kelantan selepas banjir, masalah nak dapatkan semula kehidupan yang sudah hilang. Rumah pun hanyut.

Nilai ekonomi orang Melayu banyak di Kelantan. Kerana banjir, orang Melayu semakin jauh ketinggalan. Aset dan perniagaan banyak yang musnah. Ini bukan lagi krisis Kelantan tetapi krisis negara," katanya.

Daripada perbincangan dengan rakan-rakannya, kata Hussamuddin, lahir idea alangkah moleknya kalau pemimpin Pas Kelantan dan pemimpin Umno Kelantan sanggup mengorbankan kepentingan politik masing-masing dengan menubuhkan kerajaan campuran di negeri itu.

"Idea kami nak tengok pemimpin Pas Kelantan dan pemimpin Umno bukan setakat mesra ketika bantu mangsa banjir sekarang tetapi  duduk bersama dalam kerajaan negeri untuk bina semula Kelantan yang telah musnah. Kami nak tengok sebuah kerajaan campuran Pas - Umno ditubuhkan di Kelantan," jelasnya.

Signifikannya idea itu, kata Hussamuddin apabila kedua-dua parti bergabung dalam sebuah kerajaan, segala urusan akan lebih lancar.

"Ini akan memudahkan proses pembangunan semula Kelantan, akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat, dalam keadaan mereka begitu memerlukan pembelaan seperti sekarang," ujarnya.

Sebagai contoh kata beliau, meskipun dalam pertemuan baru-baru ini, nampak mesra dan mudah untuk Kerajaan Kelantan bersetuju menerima projek-projek bantuan Kerajaan Pusat namun hal yang sebaliknya mungkin akan berlaku apabila tiba masa pelaksanaan.

'Katakan ada projek pembangunan yang Kerajaan Pusat nak buat, ia memerlukan kelulusan tanah daripada Kerajaan Negeri.

Sebagai parti politik yang bersaing, apakah kita boleh jamin kelulusan akan diberi dengan mudah sedangkan projek itu akan beri mileage kepada Kerajaan Pusat yang juga pesaing mereka dalam politik?"

"Itulah apa yang harus difikirkan oleh ahli-ahli politik Kelantan demi rakyat," katanya.

Ditanya sama ada idea kerajaan campuran itu sama dengan kerajaan perpaduan yang pernah dicanang sebelum ini, Hussamuddin berkata, tidak!
Menurutnya, ini untuk Kelantan sahaja, bukan di peringkat Persekutuan ataupun berkait dengan isu penyertaan Pas ke dalam BN.

Saya teringat apa yang pernah berlaku di Pulau Pinang untuk mengesahkan bahawa idea itu mempunyai duluan atau precedent. Pada Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969, Gerakan bertanding sebagai parti pembangkang yang kuat, menang 16/24 untuk mengambil alih pemerintahan Pulau Pinang dan hampir berjaya merampas Perak dari tangan Perikatan.

Atas sebab-sebab tertentu, parti itu kemudian menubuhkan kerajaan campuran dengan Perikatan di Pulau Pinang pada 13 Feb 1972, penggabungan yang hanya berlaku di peringkat negeri, bukan di peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, dari segi mekanisme, saya kira idea ini boleh dilaksanakan - jika dibenarkan oleh undang-undang tubuh negeri Kelantan - dengan Pas kekal sebagai Menteri Besar manakala anggota Exco turut dilantik daripada kalangan Adun Umno.

Dengan itu, segala bantuan projek, peruntukan dan seumpamanya boleh disalurkan terus daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Seperti kata Hussamuddin, ini akan jauh lebih memudahkan, menyahkan segala hangky-pangky politik, juga kerenah birokrasi. Jika masih curiga, insaflah demi rakyat!