MALAYSIAKINI
Pemimpin dan ahli politik Dayak dalam kerajaan sentiasa mengutamakan
kepentingan kaum itu dan hak-hak mereka di negara ini, kata Timbalan
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.
Sehubungan itu beliau meminta kaum Dayak, terutama di kawasan pedalaman
agar tidak mudah terpedaya dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa nasib
mereka tidak dibela oleh pemimpin terbabit.
"Kami sentiasa membela komuniti ini dalam sebarang isu yang ada
kepentingan. Justeru jangan fikir kami tidak menjalankan tugas atau
terlalu selesa dengan apa yang kami terima sehingga tidak mempedulikan
kaum sendiri," katanya kepada pemberita selepas pulang daripada sesi
pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang Unyat Chupong di Merirai, Kapit
hari ini.
Nanta yang juga Anggota Parlimen Kapit berkata hanya kerana apa yang
mereka lakukan tidak mendapat publisiti media, tidak bermakna mereka
tidak melaksanakan tanggungjawab.
Beliau juga menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
seorang pemimpin yang bertimbang rasa dan prihatin terhadap keperluan
rakyat serta mudah didekati.
Katanya rakyat Sarawak turut bertuah kerana mempunyai Tan Sri Adenan
Satem sebagai Ketua Menteri kerana beliau juga seorang pemimpin yang
bertimbang rasa, berpandangan jauh serta mudah didekati.- Bernama
No comments:
Post a Comment