Friday, October 31, 2008

Api perkauman bawa negara ke ambang bahaya

Mohd Rashidi Hassan


Apabila MCA, Gerakan dan lain-lain komponen Barisan Nasional menggasak Umno dalam isu perkauman sempit Melayu-Cina, Pakatan Rakyat tidak seharusnya terheret sama.

MCA dan Gerakan yang menuduh Umno parti pembuli, pemimpin Umno 'racist' - perkauman, pemimpin Umno harus 'diISAkan' kerana mencetuskan perkara-perkara sensitif khususnya dilihat boleh membawa kepada ketegangan kaum.

Pakatan Rakyat juga tidak seharusnya terperangkap dengan permainan kotor BN apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa pembangkang mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kepentingan dan hak orang Melayu.

Kenyataan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering diputarbelitkan oleh media massa. Beliau didakwa mahu menggadaikan prinsip Islam dan kepentingan Melayu jika berkuasa nanti.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga dibalas dengan pelbagai kecaman, kononnya DAP mendesak hak istimewa Melayu dihapuskan.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, suatu ketika dahulu (ketika masih Timbalan Presiden) sering menjadi sasaran media pro BN yang mendakwa beliau mahu menghapuskan hak istimewa Melayu.

Walhal, Ustaz Hadi mengemukakan prinsip keadilan Islam yang menerima kesamarataan, kepimpinan serta ketuanan atas nama Islam.

Malah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sebelum pembentukan kerjasama Pakatan Rakyat lagi pernah berkata, PAS akan menerima siapa sahaja menjadi Ketua atau Perdana Menteri asalkan dia beragama Islam.

Oleh itu, rakyat, khususnya orang-orang Melayu harus fikirkan, apakah selama 62 tahun usia Umno, dan menjadi pemerintah negara sejak sebelum merdeka, bangsa Melayu dan agama Islam benar-benar terpelihara?

Orang-orang Melayu harus sedar daripada penipuan Umno/BN bahawa DAP adalah parti anti Islam dan anti Melayu yang akan merosakkan negara.

Jika hendak dituduh DAP anti Islam dan anti Melayu berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang terdahulu, bagaimana pula dengan memo sembilan Menteri bukan Islam kepada PM yang mencabar Islam tahun 2006 yang lalu?

Bagaimana pula dengan pelbagai tuntutan dan kecaman yang dilemparkan oleh MCA dan Gerakan terhadap Melayu Umno dalam perhimpunan mereka baru-baru ini?

Justeru, jangan sesekali kita rakyat Malaysia, terperangkap dengan 'racist game' yang membahayakan ini.

Pemimpin Umno memainkan sentimen kemelayuan, untuk mendapat sokongan dan pencalonan dalam pemilihan mereka yang berlangsung sekarang ini. Pemimpin Umno sudah tentu mahu kelihatan sebagai ultra Melayu.

Begitu juga dengan MCA dan Gerakan. Dalam keadaan masa depan politik mereka yang terumbang ambing, mereka tidak ada jalan lain kecuali meniup sentimen kecinaan dan menjadi ultra Cina untuk mengekalkan sokongan terhadap mereka.

Apa faedah yang rakyat akan dapat daripada kempen-kempen ultra bangsa yang digembar gemburkan pemimpin BN ini? Tidak ada! Mereka 'useless' semata-mata.

Ingatlah, Anwar sudah memberi jaminan berkali-kali bahawa keseluruhan kepentingan Islam dan hak istimewa orang-orang Melayu dalam Perlembagaan akan dipelihara sebaik-baiknya.

DAP juga dalam perbincangannya dengan KeADILan dan PAS, memperakukan janji bahawa semua yang dimaksudkan tersebut tidak akan dipersoalkan sama sekali.

Cumanya, ada konsensus dalam Pakatan Rakyat bahawa, di samping memelihara kepentingan Islam dan Melayu, keperluan dan kepentingan agama dan kaum lain juga harus dipelihara dengan lebih adil dan saksama.

Jerat perkauman PKNS

Dalam isu khusus di Selangor misalnya. Isu membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964. Dalam perlembagaannya tidak diwajibkan secara jelas, PKNS mesti dipimpin oleh orang-orang Melayu.

Hanya sejak ditubuhkan sehingga sekarang, BN dan Umno seolah-olahnya menjadikan PKNS seperti hak mutlak Melayu.

Di sebalik serangan terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa mengetepikan orang Melayu, malangnya kepada orang Melayu apabila didapati selepas 44 tahun BN berkuasa, kaum Cina menguasai 75 peratus perniagaan PKNS berbanding Melayu, hanya 25 peratus.

Isu tercetus apabila Pengurus Besarnya, Harun Salim bersara 31 Oktober lepas, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi, memangku jawatan Pengurus Besar, sementara menemui calon yang sesuai.

PKNS ada tiga Timbalan Pengurus Besar, selain dari Siew Moi (Perhubungan Korporat) ada dua orang lagi iaitu Md Nasir Md Arshad (Pentadbiran dan Pembangunan) dan Abdul Ghani Hashim (Teknikal).

Pelantikan tersebut dibantah keras oleh Pengerusi Umno Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Khalid didakwa mengenepikan orang Melayu, sebaliknya dilantik orang Cina.

Manakala Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Dr Hasan Mohd Ali turut tidak bersetuju dan mencadangkan perlantikan Siew Moi dibuat secara harian atau mingguan.

Dalam hal ini, nada Khir dan Hasan adalah sama, tidak setuju dengan Siew Moi, walaupun pendekatan masing-masing sedikit berbeza.

Manakala Ahli Parlimen DAP Kawasan PJ Utara, Tony Pua dalam reaksi berbeza mendakwa PAS 'salah faham', berikutan kenyataan Dr Hasan.

Katanya, "Keturunan pengurus besar tersebut tidak patut dipersoalkan sama sekali. Adalah mengecewakan apabila bantahan (terhadap pelantikan Low), dibuat berasaskan perspektif kaum dan tidak dari segi kualitinya," kata Pua.

Dalam hal ini, beliau berharap, PAS tidak akan hanya melihat pada perkara yang kecil semata-mata, tetapi juga turut mengambil kira soal yang lebih besar daripada itu.

Melihat kepada kriteria perlantikan, Khalid pada asasnya adalah orang ekonomi dan akaun, jarang sekali beliau membuat keputusan berdasarkan politik. Perlantikan Siew Moi tidak ada kena mengena dengan soal bangsa atau kaum.

Difahamkan selepas pertemuan dibuat Khalid dengan ketiga-tiga mereka, Khalid mendapati Siew Moi lebih layak memangku jawatan kerana mahir dalam urusan akaun dan pengetahuan perancangan perniagaan korporat PKNS.

Dua orang lain, walaupun berketurunan Melayu, bertugas dalam bidang Human Resource dan Teknikal.

Oleh itu dalam hal ini, tidak wajar menuduh Khalid membelakangkan orang Melayu kerana melantik orang Cina, kerana Khalid sudah menegaskan, pelantikan ini dibuat hanya sementara menanti calon yang sesuai.

Khalid selaku CEO GLC Selangor, memang berhak melantik, sesiapa sahaja yang layak menjadi Pengurus Besar PKNS, bukan sahaja di antara ketiga-tiga mereka sahaja.

Jika kerajaan negeri sudah mengetahui lebih awal bahawa Harun Salim hendak bersara, mereka boleh berusaha mengelakkan perbezaan pendapat sesama pemimpin.

Jangan sampai 'sudah hendak terberak baru hendak mencari lubang'. Sedarlah bahawa kenyataan yang sering bercanggahan antara KeADILan, PAS dan DAP, ia tidak baik untuk sebuah pakatan.

Walaupun MB ada kuasa eksekutif, zaman sudah berbeza. Zaman ini rakyat tidak menerima 'absolute power' atau 'executive one man decision'. Itu zaman Khir Toyo. Rakyat berbilang kaum di negara, mahukan Pakatan Rakyat mentadbir negeri secara konsensus.

Tanpa menafikan kuasa eksekutif MB dari sudut perlembagaan negeri, namun ada baiknya pemimpin ketiga-tiga parti KeADILan, PAS dan DAP, sama ada sendiri Khalid, Dr Hasan mahupun Teresa Kok, harus sentiasa duduk semeja mencari kesepakatan.

Pakatan Rakyat harus beringat, musuh-musuh yang hendak melaga-lagakan mereka begitu ramai. Harus lebih berhati-hari terhadap media massa yang dikuasai BN, kerana mereka sering menjadi dalang yang menyemarakkan api perkauman. - mks._

KES ALTANTUYA: Shariibuu tidak berpuas hati

SUARA KEADILAN
[KEMASKINI]


SHAH ALAM : Bapa kepada mangsa pembunuhan kejam, Dr Setev Shariibuu melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan tertuduh ketiga, Razak Baginda pagi ini.

Ketika ditemui Suara Keadilan, Shariibuu berkata tidak sepatutnya mahkamah membebaskan Razak.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, hanya Razak mengenali anak saya, mustahil beliau tidak terlibat,” menurut beliau melalui jurubahasanya, Siizkhuu Sainbileg.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Razak dibebaskan sedangkan kedua-dua tertuduh Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar mempunyai prima facie di dalam kes ini.

Sementara itu, peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Karpal Singh merasa terkejut dengan keputusan mahkamah membebaskan Razak.

Ini kerana menurut Karpal, terdapat bukti yang jelas penglibatan Razak dalam kes pembunuhan tersebut. Bagaimanapun, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh hakim berkenaan.

Dalam kes ini, Razak diwakili tiga peguam iaitu Wong Kian Kheong, Alex Tan dan Karen Lee,manakala Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar. Sirul pula diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pagi ini, Hakim Mohd Zaki Md Yasin memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik tanah air berusia 48 tahun itu.

Setelah membuat penilaian maksimum yang cukup tinggi terhadap kesemua bukti secara total, Mohd. Zaki berkata, “saya berpuas hati wujudnya kes prima facie bagi tertuduh pertama (Azilah Hadri) dan yang kedua (Sirul) untuk menjawab tuduhan.”

Manakala bagi tertuduh pertama dan kedua, Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.

Menurut laporan media, Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam dan dipercayai diletupkan pada 19 Oktober 2006

Razak, ialah seorang pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan tertuduh pertama dan kedua di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Pendawaan keatas Anwar: Mahkamah tangguh, keputusan mungkin 7 November

SUARA KEADILAN
[TERKINI]


KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah Sesyen Jalan Duta, SM Komathy Suppiah, sekali lagi menangguhkan bagi membuat keputusan dan menetapkan 7 November bagi menentukan kesahihan sijil yang ditandatangani Peguam Negara, Gani Patail bagi memindahkan kes pendakwaan terhadap tuduhan keatas Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Pada 10 September lalu, Barisan Peguam Anwar Ibrahim yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah mempertikaikan campurtangan Peguam Negara, Abdul Gani Patail yang menandatangani perintah untuk memindahkan kes pendakwaan terhadap tuduhan liwat keatas Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Menurut para peguam Anwar, tidak sepatutnya Abdul Ghani terlibat didalam kes tersebut kerana sebelum ini, Perdana Menteri Abdullah Badawi telah mengatakan Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.

Ini berikutan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu pernah membuat laporan polis terhadap Abdul Gani atas dakwaan memalsukan keterangan dalam insiden “mata hitam” Anwar pada 1998.

Mahkamah bebaskan Razak Baginda

MALAYSIA KINI


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.

Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

Sementara itu, Bernama melaporkan Keluarga Abdul Razak dicengkam emosi selepas Zaki memutuskan yang beliau mendapati tiada kes prima facie terhadap pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu.

"Prima facie" dalam bahasa Latin merujuk kepada kes yang mempunyai bukti yang cukup dan pada kadar minimum yang diperlukan untuk membolehkannya diteruskan dalam proses kehakiman.

Zaki berkata seluruh isi kandungan afidavit Abdul Razak mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang patut diterima dan diberi pertimbangan sewajarnya.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah ialah kenyataan yang dibuat oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada kesalahan seperti pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya.

Abdul Razak yang mengenakan kemeja berjalur biru muda, pada awalnya kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh hakim namun riak wajahnya bertukar kepada lega dan tersenyum lebar.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan, anaknya Rowena dan anggota keluarganya menitiskan air mata gembira dan kesemua mereka bergegas memeluk Abdul Razak sebaik sahaja keputusan itu diumumkan.

Abdul Razak enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya oleh media mengenai perasaannya berhubung pembebasannya itu. Beliau beredar dari premis mahkamah di tingkat empat bangunan itu melalui tangga belakang.

Sementara Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada tertuduh yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah, di mana tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan. Keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh pula tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa. Dalam kes ini, hukumannya ialah mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Zaki menerima kenyataan yang diberikan oleh Azilah dan Sirul Azhar kepada polis sebagai sebahagian keterangan.

Azilah memberikan kenyataan yang mendedahkan lokasi tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan manakala Sirul Azhar mendedahkan kepada polis tempat barangan kemas milik Altantuya disembunyikan.

"Saya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka. Saya dengan ini memutuskan tertuduh pertama dan kedua untuk membela diri," katanya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris danBahasa Rusia di National University of Mongolia.

Pembunuhannya digambarkan sebagai amat kejam kerana mayatnya diletupkan dengan bahan letupan. Pakar forensik menemui cebisan dagingnya bertaburan di kawasan di Puncak Alam di Shah Alam.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.

Hakim Zaki mengambil masa kira-kira 25 minit dari 9.40 pagi untuk menyampaikan penghakimannya. Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kira-kira15 minit bagi memutuskan tarikh bagi Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Apabila prosiding disambung semula, Hakim mahu mendengar pembelaan diri oleh tertuduh petang ini tetapi menetapkan 10 November selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Azilah, Datuk Hazman Ahmad, dan peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin.

Hazman memaklumkan kepada mahkamah yang beliau mungkin akan memanggil enam hingga tujuh saksi manakala Kamarul Hisham berkata beliau akan memanggil penulis blog Raja Petra Kamarudin dan memanggil semula penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk memberikan keterangan.

Raja Petra sedang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dalam pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Mahkamah juga membenar peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong untuk bertindak sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan peringkat pembelaan.

Kronologi beli Eurocopter

MSTAR ONLINE


18 Julai 2007 - Kerajaan melalui mesyuarat Kabinet memutuskan untuk membuat perolehan bagi menggantikan pesawat Nuri.

3 September 2008 - Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter, pesawat milik Eurocopter Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat European Aeronautic Defence and Space Co (EADS). Kementerian itu mengeluarkan Surat Hasrat kepada Eurocopter pada 15 September 2008.

26 September 2008 - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Eurocopter memperoleh kontrak untuk membekalkan pesawat baru bagi menggantikan penggunaan Nuri.

13 Oktober 2008 - Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Zainal memberitahu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membeli kumpulan pertama lapan hingga 10 helikopter keluaran Eurocopter EC725 bagi menggantikan pesawat Nuri secara berperingkat.

13 Oktober 2008 - Ketua Pembangkang membangkitkan isu pembelian Eurocopter di Dewan Rakyat, didakwa dibeli dengan harga yang begitu tinggi dan memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu.

19 Oktober 2008 - Kabinet bersetuju pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri yang dipertikaikan pihak tertentu diperhalusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

19 Oktober 2008 - Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan kewajaran Kementerian Pertahanan dalam pembelian Eurocopter EC725, sambil menegaskan tidak ada sebarang penyelewengan dalam urusan dengan syarikat pembekal.

20 Oktober 2008 - Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR membuat laporan polis berkaitan penyelewengan wang yang didakwa mereka berlaku dalam pembelian Eurocopter EC725.

24 Oktober 2008 - Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberitahu akan meneliti laporan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam proses pembelian helikopter Eurocopter.

28 Oktober 2008 - Perdana Menteri mengumumkan keputusan kerajaan menangguhkan pembelian tersebut.

Ian Chin pernah dedah hakim diugut era Mahathir letak jawatan

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian Chin, yang pernah mendedahkan hakim diugut dipecat jika mereka membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan ketika eraTun Dr Mahathir Mohamad, telah mengemukakan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Disember ini.

Beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Julai lalu dan kemudiannya bercuti daripada bermula 21 Ogos hingga 30 November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah berkata demikian ketika menjawan soalan Tian Chua (PKR-Batu) yang bertanya sama ada kerajaan telah mengambil langkah-langkah bagi menyiasat dakwaan Hakim Chin terhadap Dr Mahathir.

Murugiah berkata, tidak wujud keperluan untuk menyiasat perkara itu memandangkan Hakim Chin telah meletak jawatan.

Sebelum itu, Murugiah memberitahu Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Hakim Ian dihadapkan ke tribunal atas kesalahannya membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan terdahulu.

Pada Jun lalu, Hakim Chin mencetuskan kejutan apabila mendakwa Dr Mahathir mengugut hakim-hakim di sebuah persidangan hakim pada 27 April 1997 bahawa mereka akan dipecat sekiranya keputusan penghakiman yang dilakukan tidak berpihak kepada kerajaan.

Hakim Chin mendedahkan perkara itu pada 11 Jun lalu sebelum mendengar petisyen pilihan raya yang difailkan calon DAP yang bertanding bagi kerusi Parlimen kawasan Sarikei, Wong Hua Seh, bagi mencabar keputusan pilihan raya umum pada 8 Mac lalu bagi kerusi tersebut, yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Ding Kuong Hiing.

Dr Mahathir bagaimanapun dalam blognya telah menafikan dakwaan tersebut.

Malaysia tidak amal kewartawan 'cheque book'

BERNAMA


KUALA LUMPUR Majlis Media Negara, yang masih pada peringkat perancangan, akan menjadi pihak ketiga yang neutral bagi mengawal media dan melindungi orang ramai daripada laporan yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun beliau mengalu-alukan peraturan yang kurang terhadap media, media masih memerlukan badan pentadbir bagi memastikan laporan yang bertanggungjawab dan seperti Majlis Peguam, majlis media itu adalah alat terbaik.

"Sekiranya kita ada Majlis Media Negara sebagaimana yang dikehendaki, sudah tentu orang ramai termasuk kerajaan, termasuk media mendapat keadilan daripada kemungkinan diserang, difitnah dan dilakukan secara tidak adil daripada media.

"Ia mampu memberi panduan untuk media patuhi etika-etika media tersendiri.

"Sekarang ini orang katakan kalau media kata jangan cakap tentang hal-hal perkauman orang kata itu arahan kerajaan.

"Sekarang biarkan media mengawal diri mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Maklumat Sedunia dan Forum mengenai Trend dan Masa Depan Media Massa Malaysia di Universiti Malaya di sini hari ini.

Ditanya sama ada Majlis Media Negara akan melengkapkan atau menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Ahmad Shabery berkata, beliau bukanlah orang yang sesuai untuk mengulas mengenainya kerana peraturan seperti itu bukan di bawah portfolio beliau.

Katanya, walaupun negara dikatakan memiliki kekurangan dalam kebebasan bersuara dan kebebasan media, Malaysia tidak mengamalkan kewartawan 'cheque book' atau 'envelope'.

"Terdapat negara membangun yang akhbarnya bebas tetapi dalam Transparency International, negara tersebut mempunyai korupsi yang tinggi.

"Media yang sepatutnya 'chec' (memeriksa) kerajaan daripada melakukan korupsi, juga mengamalkannya.

"Orang-orang yang ingin popular beri envelop (sampul surat berisi wang) kepada wartawan, editor untuk mendapat tempat lebih dalam akhbar. Dalam konteks ini, kerajaan itu sendiri bertambah korup kerana media itu juga korup," katanya.

Ahmad Shabery berkata di Malaysia, trend itu tidak pernah didengar.

Mesyuarat kedua Pemuda Gua Musang pula dibatal

BERNAMA


KOTA BAHARU Persoalan mengenai kesahihan dua mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang menimbulkan kekeliruan dan menunggu pengesahan statusnya kini terjawab apabila ibu pejabat parti mengisytiharkan bahawa mesyuarat yang diadakan pada 23 Oktober lepas sebagai yang sah.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara berkenaan disahkan hari ini apabila beliau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Umno memaklumkan bahawa keputusan mesyuarat dipengerusikan Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin adalah sah dan tidak terbatal sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

"Setelah berlakunya pertindihan, laporan lengkap mengenai perjalanan mesyuarat yang diadakan pada seminggu lalu telah dihantar ke ibu pejabat untuk dinilai dan dijalankan siasatan lanjut oleh pihak atasan.

"Keputusannya telah diketahui hari ini apabila saya menerima panggilan yang mengesahkan mesyuarat itu adalah sah dan Bazlan Baharuddin kekal sebagai Ketua Pemuda bahagian itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Terbuka Umno Bahagian Ketereh di sini hari ini.

Berikutan itu juga, katanya, mesyuarat Pemuda bahagian itu yang diadakan pada 25 Oktober lalu adalah terbatal.

Sebelum ini mesyuarat Pemuda bahagian itu yang diadakan pada 23 Oktober di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Gua Musang dan dihadiri oleh 189 anggota perwakilan daripada 79 cawangan dan turut dihadiri wakil Pemuda Umno negeri dilaporkan terbatal kerana tidak mematuhi arahan peringkat bahagian.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Umno Bahagian, Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mengesahkan hanya keputusan mesyuarat Pemuda yang diadakan pada 25 Oktober sahaja yang diguna pakai.

Pada mesyuarat itu, pegawai bank Mohd Azizi Abu Naim dipilih sebagai Ketua Pemuda Bahagian bagi menggantikan Bazlan.

Status usul Anwar tubuh Suruhanjaya Diraja Isnin

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Status usul yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tiga projek kerajaan persekutuan yang didakwa meragukan akan diketahui pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin ini.

Perkara itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum sesi Perbahasan Rang undang-undang Perbekalan 2009 di sini hari ini.

"Usul yang dikemukakan itu sampai di meja saya selepas jam sepuluh pagi (semalam), maka jawapannya akan dibuat pada hari Isnin," katanya.

Anwar menggunakan Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) bagi meminta mesyuarat ditangguhkan untuk menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat keraguan mengenai projek jalur lebar berkelajuan tinggi bernilai RM11.31 bilion, pembelian Bank Internasional Indonesia oleh Maybank bernilai RM4.26 bilion dan perolehan 12 unit Cougar Eurocopter EC-725 bernilai RM1.679 bilion.

Anwar sebelum itu bangun bagi meminta penjelasan Pandikar Amin mengenai status usul yang dikemukakannya.

"Saya ada kemukakan usul semalam," kata Ahli Pahlimen Permatang Pauh itu.

Celahan Anwar itu dijelaskan Pandikar Amin dengan berkata: "Kalau sebelum jam sepuluh maka jawapan boleh dibuat pada hari berikutnya".

Anwar akur dan menerima ketetapan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat itu.

'Time Based': Guru 'senior' tidak puashati terhadap 'junior'

Anis Nazri


Parlimen KUALA LUMPUR - Prinsip 'Time Based' yang digunapakai Kementerian Pelajaran dalam proses kenaikan pangkat guru siswazah dan guru bukan siswazah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang lama berkhidmat.

Perkara itu didedahkan Roslan Shaharum (PAS-Bukit Gantang) dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, sistem 'Time Based' itu menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan guru-guru yang telah lama berkhidmat berbanding guru-guru yang 'junior'.

"Mereka mendapati gaji di antara mereka sama, walaupun berbeza dari sudut pengalaman dan juga senioriti mereka. Sebagai contoh, kenaikan Time Based DG 32, gaji yang diterima guru yang mengajar 18 tahun, sama dengan guru yang baru mengajar sepuluh tahun," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan.

Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail, berkata terdapat beberapa syarat untuk kenaikan iaitu sepuluh tahun, contohnya dari DG 41 kepada DG 44.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan berlakunya kelewatan dalam proses kenaikan tersebut memandangkan keluarga kementerian yang besar, selain menghadapi proses birokrasi dari peringkat sekolah, guru besar, PPD dan JPA.

Sebelum itu, Roslan dalam soalan asalnya meminta kementerian menyatakan sejauhmana asas keadilan yang dipatuhi pihak kementerian dalam merangka proses kenaikan pangkat melalui Time Based. - mks._

Thursday, October 30, 2008

Pulihkan Umno, Najib bakal gunakan Ezam?

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof dalam satu ulasannya membayangkan Ezam Mohd Noor kini dilihat tidak memberi 'apa-apa' untuk Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tempoh Abdullah bertakhta di dalam Umno hanya berbaki beberapa bulan lagi.

Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat (AMK) mungkin akan dipergunakan oleh bakal Presiden Umno yang baru, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Tapi saya percaya Najib tidak akan mempersia-siakan kehadiran Ezam di dalam Umno. Najib sedang merencana banyak agenda dalam persediaan beliau mengambil alih tanggungjawab sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia," ujarnya.

Antaranya adalah tanggungjawab besar beliau untuk memulihkan kredibiliti Umno dan BN di mata rakyat, ujar Sabki yang juga seorang peguam.

Beliau berkata demikian dalam satu ulasan yang diterbitkan dalam blognya, sabki.blogspot.com baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sabki berkata dalam pilihan raya umum ke-12 membuktikan rakyat menuntut reformasi besar dalam pentadbiran negara kerana di mata rakyat, Malaysia sudah kepupusan nilai demokrasi dan keadilan.

Di mata rakyat juga, pemimpin BN dan Umno adalah pengamal politik rasuah dan korupsi, justeru katanya untuk Umno dan BN terus relevan dalam persada politik negara, mereka mesti berusaha merubah hakikat ini, katanya.

Kebangkitan rakyat menuntut integriti, keadilan dan pemulihan demokrasi mesti ditangani Najib, katanya.

"Apakah Najib akan menggunakan Ezam untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau sedang melaksanakan pemulihan demokrasi dan perang terhadap rasuah?," ujarnya.

Ezam adalah tokoh demokrasi dan anti rasuah sejak sekian lama, seperti kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, diri Ezam itu bagai sebuah instititusi yang memperjuangkan demokrasi dan menentang rasuah.

"Saya yakin semangat dan inspirasi menentang rasuah masih berpasak dalam diri Ezam, dan saya harap ianya masih sekental dulu," kata Sabki dengan sinis.

Berbicara lanjut, Sabki berkata di awal zaman awal 80-an, ketika Umno berdepan dengan kebangkitan idealisma Islam sedunia Dr Mahathir telah membawa masuk Anwar untuk memberikan imej Islam kepada Umno.

"Kemasukan Anwar, tokoh muda ABIM ke dalam Umno telah memberikan keyakinan kepada umat Melayu Islam bahawa Umno cukup serius dalam pelaksanaan Islam.

"Ia juga berjaya mengimbangi suara PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang melaungkan pelaksanaan Islam dalam pentadbiran negara. Maka rakyat terpesona dengan Umno dan melupakan PAS. Apa yang terjadi pada Anwar selepas itu adalah sejarah yang kita semua maklum," katanya.

Sabki melihat, mungkin kali ini Umno di bawah Najib akan menggunakan Ezam untuk meredakan tuntutan rakyat dan pembangkang kepada demokrasi dan penentangan terhadap rasuah. "Mungkin selepas ini, Ezam akan diberikan satu kedudukan penting dalam mana-mana portfolio kerajaan dalam menangani rasuah," katanya.

Sabki membayangkan bahawa Ezam akan menjadi Anwar nombor dua kepada Umno dalam semua usaha itu dalam meraih kepercayaan rakyat yang kini luntur.

Sebelum itu Sabki menyatakan beliau sempat mengunjungi Ezam di rumahnya di Shah Alam pada 25 Oktober lalu ketika bekas Ketua AMK itu mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri. - mks._

Pengurus Besar PKNS tak semestinya orang Melayu

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Tiada peruntukan undang-undang yang menetapkan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mesti seorang Bumiputera, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali (gambar).

Bagaimanapun katanya, adalah sesuatu yang memecah tradisi apabila PKNS yang sejak 44 tahun diterajui Bumiputera cuba digantikan dengan pengurus besar yang bukan Bumiputera.

“Di dalam negara ini kita boleh lihat syarikat yang memegang amanah orang Melayu adalah diterajui Bumiputera dan tindakan menggantikannya dengan orang lain akan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat terutama pegawai dan kakitangan PKNS itu sendiri.

“Kita juga amat mengambil berat sekiranya sebelum ini PKNS kerugian berbilion ringgit akibat salah urus tadbir peneraju sebelum ini. Bagaimanapun ia bukan kesalahan pengurusan tertinggi PKNS, ia adalah salah kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dr Hassan berkata demikian mengulas perlantikan Low memangku jawatan Pengurus Besar PKNS selama setahun berkuatkuasa 21 Oktober lalu sementara kerajaan negeri mencari Pengurus Besar PKNS baru di kalangan Bumiputera yang berpengalaman dalam pembangunan hartanah, pembangunan semula dan disegani.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan desakan lima pertubuhan di dalam PKNS yang mahukan Khalid menjelaskan perlantikan Madam Low yang disifatkan memecah tradisi peneraju PKNS.

Kata Dr Hassan, pengurus besar yang bakal dilantik menerajui PKNS selepas ini mestilah terdiri daripada seorang profesional yang bukan sahaja mahir dalam urusan hartanah, tetapi merupakan individu yang kuat pegangan agama Islam agar tidak berlaku penyelewengan.

Ketika ditanya mengenai perbezaan pendapat apabila DAP menyokong perlantikan tersebut, Dr Hassan berkata ia adalah satu perkembangan yang positif dalam menunjukkan keseimbangan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

“Ketika ini ia terletak sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Jemaah haji diminta jaga maruah negara

BERNAMA


PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menasihati jemaah haji Malaysia supaya sentiasa menjaga imej dan maruah negara ketika berada di tanah suci.

Baginda juga menasihati mereka supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dan bersabar dalam melaksanakan segala rukun haji yang ditetapkan agar dapat kembali semula ke tanah air dengan haji yang mabrur.

“Beta yakin para jemaah haji telah bersedia dengan kursus yang telah diberikan. Semoga selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air,” titah baginda ketika mengu capkan selamat jalan kepada rombongan pertama jemaah haji di Kompleks Haji Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berkenan bersalaman dengan 355 orang jemaah haji sebelum mereka menaiki bas khas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seramai 27,000 orang jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan ibadah haji tahun ini bermula dengan kum pulan pertama yang berlepas hari ini dan dijangka pulang ke tanah air pada 13 Disember.

Kumpulan terakhir yang bertolak pada 1 Disember pula dijangka pulang pada 11 Januari depan.

Pilihan Raya Umum ke-12 iktiraf kuasa rakyat - Musa Aman

Ahmad Tajdid


KOTA KINABALU - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu telah merobah senario politik tanah air apabila kuasa rakyat diiktiraf sebagai kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan.

Keadaan ini didorong oleh perubahan sikap dan tuntutan rakyat masa kini yang tidak sama dengan sikap dan tuntutan rakyat era lalu, kata Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Panglima Musa Aman dalam perutusannya pada majlis perasmian Seminar Politik Malaysia anjuran UiTM Sabah dan Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (inQKA), UiTM Shah Alam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Masidi Manjun.

Negeri Sabah, ujarnya turut merasa bahang tsunami politik yang melanda negara khususnya di Semenanjung.

Bagaimanapun beliau melahirkan perasaan bangga kerana BN Sabah masih mengekalkan 'kemenangan besar' dan terus memerintah negeri itu.

Sambil menyifatkan Seminar Politik Malaysia itu diadakan tepat pada masanya ekoran perkembangan semasa yang berlaku pasca pilihan raya umum Mac lalu, beliau berharap resolusi seminar itu kelak dapat dimanfaatkan oleh kerajaan BN Sabah bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Musa turut menyeru kepimpinan politik negara agar bersikap lebih matang dalam menangani isu-isu perkauman dan agama kerana rakyat sudah semakin matang dalam berpolitik dan menilai keupayaan kerajaan setiap masa.

Menurutnya, politik negara perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas bagi memenuhi keperluan dan tuntutan semasa.

Sehubungan itu, kerajaan katanya perlu bertindak pantas memenuhi kehendak rakyat jika mahu terus kekal berkuasa.

"Pandangan yang dibangkitkan beberapa dekad lalu mungkin tidak sesuai digunakan sekarang, dan saya percaya melalui seminar ini banyak idea akan dihasilkan kerana ia disertai oleh ramai ahli akademik," ujarnya.

Seminar tiga hari bertemakan "Landskap Politik Malaysia Pasca Pilihan Raya Ke-12" itu berlangsung di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, dekat sini.

Seramai lebih 200 peserta seluruh negara dan 89 kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu.

Majlis perasmian turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof Dr Mustafa Mohd Zain, Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato' Ismail Wadin dan Penolong Naib Canselor InQKA, Prof Madya Dr Shireen Haron. - mks. _

Paket rokok wajib tertera imej risiko merokok

MSTAR ONLINE


PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Liow hari ini mewajibkan setiap syarikat pengeluar rokok memaparkan imej gambar amaran risiko merokok pada setiap paket rokok yang dikeluarkan bermula Januari tahun depan.

Selain amaran itu, kementerian juga telah memulakan satu siri berhubung langkah-langkah mensasarkan perokok termasul menyediakan minimum harga RM6 untuk sepaket rokok pada hujung tahun ini, memperbanyakkan premis-premis larangan merokok dan mengharamkan pengeluar menggunakan perkataan-perkataan seperti "low tar", "light", "ultra-light" dan "mild" pada paket jenama mereka berkuat kuasa serta merta.

Liow berkata, sebanyak 21 syarikat pengeluar dan pengimport rokok telah bersetuju dengan keputusan terbaru ini.

“Menjelang 1 Januari tahun depan, setiap jenama rokok mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada produk mereka yang mempamerkan amaran-amaran ini.

"Bagaimanapun, mungkin masih ada stok lama dalam negara ini menggunakan paket lama," katanya kepada media di pejabatnya, di sini.

Liow berkata, menjelang Jun tahun hadapan setiap paket rokok wajib mempunyai dua logo yang ditetapkan itu.

"Selain daripada amaran berkenaan setiap paket juga perlu mematuhi arahan dengan tidak menjual rokok kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan amaran mengenai rokok mengandungi 4,000 bahan kimia," katanya.

Beliau berkata, terdapat enam set imej gambar amaran yang menasihatkan orang ramai supaya tidak merokok termasuk imej penyakit barah mulut, barah kerongkong dan kecacatan rongga hidung. Turut disertakan adalah nombor talian infoline kepada perokok yang mahu berhenti merokok.

Liow berkata, imej gambar yang ditetapkan bagi setiap paket rokok mesti meliputi 40 peratus bagi muka hadapan dan 60 peratus bagi belakang setiap paket rokok.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendapati 21.5 peratus populasi orang dewasa atau tiga juta orang dewasa menghisap rokok, manakala 15 peratus menunjukkan golongan remaja telah mencuba untuk merokok dan 8 peratus lagi mengakui akan menjadi perokok tetap.

Lior berkata, dengan keputusan terbaru ini yang diambil kementeriannya itu, Malaysia akan menyertai 15 buah negara lagi yang telah mematuhi World Health Organisation Framework Convention mengenai Kawalan tembakau.

“Di Kanada, amaran-amaran ini telah menyebabkan separuh daripada perokok di negara itu ingin berhenti merokok dan di Thailand, 80 peratus perokok berpendapat gambar-gambar ini memberi kesan kepada mereka.

"Sejak 10 tahun yang lalu, kita telah berjaya mengurangkan jumlah perokok di Malaysia sebanyak 2% melalui pelbagai kempen-kempen yang telah dilaksanakan.

“Dengan jumlah yang sedikit seperti itu, sememangnya pihak kementerian tidak berpuas hati,” katanya.

Liow berkata, semua kem Latihan Khidmat Negara akan dijadikan sebagai kawasan larangan merokok dengan segera manakala perokok tidak akan dibenarkan lagi di kawasan sekitar koridor dan kompleks membeli-belah.

Ditanya mengenai harga minimum yang ditetapkan bagi paket 20 batang rokok, Liow berkata, harga yang ditetapkan akan disesuaikan setiap kali kerajaan mengumumkan cukai dan caj tambahan dalam bajet.

“Pejabat Peguam Negara ketika ini sedang dalam proses untuk mewartakan harga minumum bagi sekotak rokok,” katanya sambil menambah sesiapa yang gagal untuk mematuhi keputusan terbaru boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, Kementerian Kesihatan telah mengkompaun 2,622 orang perokok dengan jumlah denda yang diperoleh sebanyak RM564,000 dan seramai 1,946 perokok telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Wednesday, October 29, 2008

Lebih 7 kes Cabul, Rogol - Pemuda UMNO Tolak Bincang Masalah Sosial

Ditulis oleh SM Noor


Kuala Terengganu - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob berkata, pihaknya telah menghantar beberapa pucuk surat kepada kerajaan dan Pemuda UMNO bagi membincangkan masalah sosial yang kini menjadi isu nasional, namun tidak mendapat sebarang respon.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah sosial yang semakin parah melanda khususnya di negeri ini dimana statistik jenayah menunjukkan Terengganu negeri paling tinggi berlaku kejadian rogol dan zina bawah umur.

Beliau turut mendesak kerajaan supaya satu pelan bertindak lebih komprehensif diwujudkan dalam usaha menyelesaikan masalah sosial yang semakin serius di kalangan remaja di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata dalam keadaan zaman yang telah berubah, semua pihak perlu melihat secara holistik tentang pendekatan-pendekatan yang boleh digunakan terhadap remaja sekarang.

“Program-program perlu dilihat di samping pendekatan baru dan ini semua wajar kita fikirkan bersama. Saya lihat hiburan semata-mata yang dibuat Barisan Nasional (BN) telah menjadikan keadaan seperti ini berlaku.

“Pergaulan bebas, penyebaran bahan-bahan lucah secara tidak terkawal dan ini semua merupakan faktor utama yang harus kita fikir bersama agar masalah sosial remaja dapat diatasi demi masa depan agama, bangsa dan negara kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan HIMPIT 2008.

“Saya harap semua pihak dapat memberi komitmen untuk kita fikirkan perkara ini demi masa depan remaja kita,” katanya

Pada bulan ini sahaja (Oktober) pelbagai kejadian masalah sosial dilaporkan oleh media di negeri Terengganu, termasuk perbuatan lucah, klip video lucah pelajar sekolah, merogol dan cubaan merogol.

Seawal 2 Oktober, sewaktu bulan Ramadhan, seorang adik telah menendang bahagian kemaluan abangnya dan berjaya menyelamatkan maruahnya dari dicabul di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu.

Rakyat Terengganu pada 14 oktober lalu telah dikejutkan dengan tindakan seorang remaja wanita 21 tahun yang telah merendam bayi yang baru dilahirkannya dalam baldi, sebelum mencampakkan bayi tersebut di kawasan masjid ‘Terapung’, Kuala Ibai.

Sebelumnya, pada 10 oktober, seorang remaja wanita yang sedang menonton televisyen di rumahnya terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki telah menceroboh masuk ke dalam rumahnya dan tanpa segan silu terus menunjukkan alat sulitnya ke arah mangsa.

Adegan tidak senonoh itu berlaku ketika remaja berusia 17 tahun itu hanya tinggal seorang diri di rumah keluarganya di Rumah Awam Kos Rendah Tok Randuk, Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 8.30 malam.

Pada 16 Oktober, seorang warga emas berusia 66 tahun telah dicekup Pegawai Agama Daerah Besut, Nik Zulhaiza Ismail selepas dipercayai berasmara termasuk melakukakn ‘seks oral’ dengan seorang remaja wanita berusia 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Keruak, Hulu Besut.

Pada 21 Oktober, media melaporkan Klip video berjudul 'Tayangan Perdana' menggemparkan masyarakat kerana melibatkan seorang pelajar perempuan yang selama ini dianggap berakhlak.

Paling mengejutkan, aksi ghairah itu dirakam oleh seorang remaja lelaki menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah kelas kosong di sekolah itu.

Pada 21 Oktober lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki merogol anak tirinya yang berumur 17 tahun dalam kejadian di Kampung Che Lijah, Dungun, semalam.

Tangkapan dilakukan selepas mangsa mengadu lelaki berumur 36 tahun itu merogolnya dalam semak ketika diajak oleh bapa tirinya untuk menemaninya ke rumah kawan untuk mengambil motosikal yang baru dibeli, Ahad lalu.

Pada 26 Oktober, polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun kerana disyaki merogol seorang pelajar sekolah di sebuah rumah kosong di Ajil, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah 1 negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, tangkapan itu dilakukan selepas mangsa mengadu teman lelakinya dan lapan lagi lelaki yang dikenali merogolnya secara bergilir-gilir di rumah itu.

Juruaudit mula siasat skandal PKFZ

Kuek Ser Kuang Keng


Firma perakaunan terkenal PricewaterhouseCoopers (PWC) mula menjalankan audit terhadap projek kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), antaranya melibat pinjaman mudah berbilion ringgit yang diberikan oleh kerajaan.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Lee Hwa Beng memberitahu Malaysiakini enam anggota pasukan audit itu yang diketuai oleh seorang pengurus kanan PWC mulakan tugas mereka awal bulan ini.

Siasatan itu dijangka siap penghujung tahun ini.

"Sama ada laporan (audit) ini diumumkan kepada orang ramai akan ditentukan oleh menteri pengangkutan (Datuk Ong Tee Keat)," katanya.

Tambahnya, pasukan audit diberikan kuasa menemubual semua kakitangan PKFZ, termasuk yang telah berhenti, dan juga ahli-ahli lembaga pengarahnya.

Surat-surat berhubung siasatan itu telah dihantar kepada pihak-pihak berkenaan dan individu terbabit.

"Kita berharap semua orang akan memberikan kerjasama kepada juruaudit tersebut," kata Lee.

Tambahnya, pelantikan sebuah firma audit antarabangsa bertujuan memberikan keyakinan bahawa siasatan itu dijalankan oleh satu badan bebas.

Mengulas kelewatan siasatan pasukan auit itu, yang diumumkan pada Mei lepas, Lee berkata ia disebabkan keperluan prosedur.

Kes Presiden SAPP buktikan 'siasatan terpilih' BPR

HARAKAH DAILY


Semuanya hanya satu kebetulan, dakwa Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Kenyataan itu terpaksa dibuat apabila khalayak umum melahirkan kehairanan atas 'kepantasan' BPR mengeluarkan kenyataan media berhubung siasatan rasuah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee 24 jam selepas parti komponen BN itu menyatakan hasrat mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Menurut Ahmad, apa yang berlaku hanya 'satu kebetulan' dan tindakan badan itu untuk menyiasat kes tersebut tidak ada kena-mengena dengan situasi politik tanah air masa sekarang.

"Kebetulan pada dua hari lalu, saksi utama kes Tan Sri Kasitah Gadam iaitu Datuk Wasli Mohd Said menimbulkan keterangan baru yang beliau (Wasli) pernah beberapa kali diarah membayar wang yang keseluruhannya berjumlah RM5 juta kepada ejen-ejen Yong.

"Justeru, BPR sebagai badan penguat kuasa undang-undang berhubung pencegahan rasuah mesti mengambil tindakan dan kita telah pun memulakan siasatan.

"Bagaimanapun, kita akan mengkaji nota keterangan mahkamah itu dahulu... apakah butir-butir yang ditimbulkan," kata beliau ketika ditemui pemberita sebelum menghadiri majlis makan malam sempena sukan tahunan BPR dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura di Putrajaya pada 22 Jun.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Yong mengarahkan pembayaran wang lebih RM5 juta, iaitu hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri Sabah, kepada ejen-ejen pilihannya pada 1996.

Ahmad Said berkata, pihaknya tidak dipengaruhi sesiapa termasuk parti politik.

"Ketika Yong membuat kenyataan pun (berkaitan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri), saya berada di luar negara. Saya sendiri yang mengeluarkan arahan kepada pegawai-pegawai saya supaya siasatan terhadap Yong dimulakan," katanya.

Ketika ditanya berhubung dakwaan Yong yang BPR pernah mengambil kenyataan beliau berhubung kes yang sama beberapa tahun lalu, Ahmad Said berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

"Saya pada masa itu bukan Ketua Pengarah justeru saya tidak tahu berkaitan hal itu.

"Tapi itu tidak penting. Yang penting adalah keterangan baru di mahkamah dan kita akan mengambil tindakan hasil daripada keterangan itu dan turut akan menyiasat lapan lagi individu lain yang disebutkan," kata Ahmad seperti dilapor mSTAR Online.

Ketika diminta mengulas isu ini, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabky Yusof mempersoalkan tindak-tanduk BPR yang tidak membuka kertas siasatan terhadap para pemimpin Umno dan BN yang dilapor terlibat dalam amalan rasuah selama ini.

Bagaimanapun, institusi pembanteras rasuah di bawah Jabatan Perdana Menteri itu cepat melakukan siasatan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan BN yang tidak lagi disukai atau diingini.

"Ini membuktikan BPR melaksanakan amalan siasatan terpilih," tegasnya.

Sabky juga mempersoalkan alasan 'keterangan baru' yang diterima BPR bagi membuka kertas siasatan Yong Teck Lee memandangkan bekas Ketua Menteri Sabah itu pernah disiasat atas dakwaan yang sama tiga tahun lalu.

"Bagi saya, alasan sebenar BPR bertindak adalah kerana Yong dan SAPP secara terbuka menentang Abdullah Ahmad Badawi," ujarnya.

Menurut Sabky lagi, jika BPR benar-benar serius memerangi rasuah, banyak kes membabitkan para pemimpin Umno dan BN disiasat dan didakwa pejabat Peguam Negara.

Beliau yang juga pengamal undang-undang memberi contoh siasatan rasuah membabitkan kerajaan negeri Kelantan, Dato' Seri Anwar Ibrahim malah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bukti siasatan terpilih BPR.

Keadaan ini, jelasnya menghakis kredibiliti dan imej BPR di kalangan rakyat yang menganggap badan itu hanya menjadi alat pemimpin BN yang berkuasa.

"BPR perlu dibebaskan daripada campurtangan politik BN dan menjadi badan yang benar-benar bebas. Siasatan rasuah sewajarnya tidak tertumpu kepada musuh politik BN tetapi juga para pemimpin BN," tegasnya.

Apa juga alasan yang diberi BPR, imejnya di kalangan rakyat semakin merudum. Apatah lagi siasatan 18 kes berprofail tinggi yang didakwa mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Rais Yatim pada 2004 kini terperap di pejabat BPR.

Sebelum dilantik Menteri Luar, Rais ditukarkan ke portfolio Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang antara lainnya menyangkut urusan arkib, muzium dan antikuiti.

Ada yang berpandangan sinis bahawa 18 kes berprofail tinggi itu telah disimpan Rais di Jabatan Arkib dan Antikuiti atas arahan kabinet!- tajdid _

Boleh ambil Syabas, tapi jangan beban pengguna

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor boleh mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tetapi perlu mengambil kira kepentingan pengguna dengan menawarkan tarif air yang tidak membebankan selepas pengambilalihan itu.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kementerian juga mahu memastikan pengambilalihan itu menepati syarat dan peraturan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Kami perlu memastikan tarif (yang bakal dikenakan) berpatutan. Katakan kerajaan negeri beli dari Syabas dengan premium yang tinggi (kemungkinan) kerajaan juga akan jual air pada harga yang tinggi kepada para pengguna kerana siapa yang akan membiayai keseluruhan transaksi. Itu merupakan kebimbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran dan Persidangan ‘My Broadband’ 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Shaziman turut memberitahu bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada Rabu lepas bagi mendapatkan penjelasan perkara yang berkaitan pengambilalihan Syabas.

“Kita beritahu Kerajaan Negeri Selangor.. jika mereka boleh mempercepatkan keseluruhan proses, mungkin kita boleh tangguhkan sementara waktu (kenaikan tarif air pada tahun hadapan),” katanya.

“Tetapi, kita memerlukan mereka menyerahkan kesemua aset kepada PAAB (Pengurusan Aset Air Bhd) dengan segera supaya SPAN boleh mengkaji perkara itu,” katanya.

Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju tetapi Shaziman berkata “persetujuan satu perkara, untuk menzahirkannya merupakan satu perkara lain.”

Selasa lepas, kerajaan negeri Selangor menyatakan ia akan mengambil alih Syabas jika dapat memuktamadkan satu perjanjian yang boleh memanfaatkan rakyat dan negeri itu.

Khalid berkata negeri itu sedang melakukan usaha terbaik untuk menstruktur semula sistem bekalan air bagi memastikan para pengguna membayar pada kadar paling minimum yang mungkin bagi mendapatkan air.

Bagaimana pun, Khalid berkata beliau tidak boleh mendedahkan kos pengambilalihan itu kerana ia akan hanya didedahkan selepas perjanjian dimuktamadkan.

Katanya, beliau akan dapat melakukan perkara itu menjelang Disember.

Wanita MCA sokong Khalid lantik Siew Moi

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita MCA menyokong keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketuanya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata dalam dunia global kini, perlantikan jawatan tinggi kerajaan tidak seharusnya berdasarkan kepada warna kulit atau jantina.

"Walaupun ideologi politik saya berbeza dengan Tan Sri Khalid, saya percaya dengan keyakinan serta kepercayaan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor itu terhadap keupayaan kaum wanita untuk menerajui PKNS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang memiliki keupayaan dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan perlu diberikan peluang untuk mencurahkan khidmat bakti mereka.

"Sekiranya seseorang yang dilantik itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik, dia seharusnya dibenarkan untuk meneruskan perkhidmatannya pada kedudukan itu, namun sekiranya di gagal, masih tidak terlalu lambat untuk menamatkan saja perkhidmatannya.

Chew turut menggesa Khalid supaya tidak dipengaruhi oleh pihakpihak tertentu yang prejudis dan mempersoalkan perlantikan Low berdasarkan kepada aspek kaum dan jantina.

Siswi jawab UPM, dakwa mangsa diskriminasi

Abdul Rahim Sabri
(kemaskini)


Belum reda isu pembuangan kolej dua mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) - mereka mendakwa layak tinggal di asrama kerana cukup merit tetapi disingkirkan kerana menganggotai Persatuan Mahasiswa Islam (PMI).

"Rakan kami, ketua aras blok Lekir, yang terlibat dalam pengiraan merit memberitahu kami merit kami mencukupi dan masih ada lain yang lebih rendah meritnya tetapi layak untuk tinggal di kolej," kata Nor Farhana Farzieana Azmi (kiri) dan Nur Shafiqa Mohd Ali dalam satu kenyataan bersama.

Tambah mereka, menurut seorang felo blok di Kolej Tun Perak, "merit kami memang mencukupi untuk terus menginap di kolej dan kami diberitahu bahawa kami terpaksa dikeluarkan atas sebab-sebab tertentu iaitu kerana kami merupakan ahli PMI".

Rabu lepas, PMIUPM mendakwa barisan pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa penyingkiran sistematik universiti itu dari kolej-kolej kediaman.

Presidennya Mohd Safwan Ab Ghani berkata, sejak tiga tahun lepas, mereka "dibuang kolej beramai-ramai tanpa sebab yang munasabah."

"Kami tertanya-tanya apakah salah kami sehingga kami dilayan sebegini buruk. Apakah dosa kami sehingga kami dinafikan hak dan didiskriminasikan oleh pihak pengurusan kolej dan universiti."

Nor Farhana Farzieana, seorang exco PMI, dan Nur Shafiqa (kanan), ahli persatuan itu serta bekas exco Majlis Perwakilan Pelajar UPM, yang dibuang pada 15 Oktober, dibenarkan kembali ke kolej seminggu lepas itu.

Kenyataan mereka itu bagi mengulas siaran media UPM minggu lalu berhubung penyingkiran mereka daripada kolej.

Bagi menjawab dakwaan UPM bahawa mereka mendiami secara "tidak sah", pelajar-pelajar itu juga berkata mereka dibenarkan menduduki kolej berkenaan setelah berjumpa dan membuat rayuan dengan seorang pegawai kolej.

"Selepas beberapa minggu, ketua blok Lekir, datang ke bilik dengan membawa buku rekod pelajar, kami diminta untuk mengisi buku tersebut.

"Jadi sepatutnya pihak kolej mengetahui tentang penempatan kami disitu," kata Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa lagi.

Menolak kenyataan ketua bahagian komunikasi korporat UPM Abdullah Arshad pada 22 Oktober yang menyebut dua mahasiswi itu berdegil setelah pemeriksaan dijalankan pada September, mereka menafikan pernah menerima sebarang notis, surat dan peringatan supaya berpindah sehingga beberapa hari sebelum dikenakan tindakan dua minggu lepas.

Abdullah juga menyatakan Kolej Tun Perak diberikan keutamaan kepada pelajar Kor SUKSIS dan pelajar baru, bagaimanapun dua pelajar cemerlang itu menafikannya kerana wujud rakan-rakan mereka yang dibenarkan menetap di asrama tersebut.

Tambahan pula, kata Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa, pendaftaran Kor SUKSIS semakin berkurangan dan pelajar baru sedikit sahaja.

Sambil menyifatkan kenyataan UPM itu "palsu dan berunsur fitnah", mereka juga mendakwa ia "mempunyai banyak paradoks dan fakta yang tidak benar".

Tambah mereka, setelah menghubungi Abdullah dan memintanya membetulkan semula kenyataan media UPM, ketua bahagian komunikasi korporat itu meminta mereka menghantar kronologi kes.

"Malangnya sehingga hari ini (26 Oktober - tarikh kenyataan dua pelajar ini) tidak ada tindakan lanjut dibuat olah pihak universiti," kata mereka.

Dakwa Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa lagi, mereka dimaklumkan pengurusan kolej sendiri yang menyediakan kenyataan media UPM minggu lalu.

Replika Anwar ingin dikekalkan hingga Krismas

Jimadie Shah Othman


Imej besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menimbulkan kontroversi, akan diruntuhkan awal bulan depan jika permohonan mereka melanjutkan tempoh penegakannya tidak diluluskan.

"Permit tamat 4 November ini. Kita ingat mahu minta sambung (kelulusan). Tetapi kalau tidak dapat, tidak mengapalah, saya turunkanlah," kata pengelola projek itu R Viriya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau berharap dapat mengekalkan imej setinggi 12.2 meter tersebut di satu simpang dekat Wisma Keringat untuk tempoh kira-kira dua bulan lagi sehingga sambutan hari natal dan tahun baru.

Ekoran itu, kata Viriya, beliau bercadang menemui wakil rakyat Batu Caves, Amiruddin Shari bagi mendapatkan pandangan beliau.

Bagaimanapun, tambahnya, permohonan baru untuk melanjutkan tempoh belum dibuat kepada pihak berkenaan Majlis Perbandaran Selayang.

"Mungkin dalam dua hari lagi (akan memohon)," kata Viriya yang juga timbalan pengerusi persatuan penduduk Kampung Indian Settlement dekat situ.

Penegakan imej itu genap sebulan lalu mula mencetuskan kontroversi apabila mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin awal bulan lalu dilaporkan mendakwa imej itu "berunsur keberhalaan" dan "perlu dihapuskan dengan segera."

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Amiruddin, yang juga naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), yang menjelaskan “tidak pernah wujud aktiviti keberhalaan di tempat itu”.

Viriya sebelum ini berkata, penduduk setempat bersedia untuk merobohkannya jika kontroversi berlarutan berhubung penegakan replika gergasi itu.

Katanya, patung berharga RM5,000 itu yang dibina sempena sambutan hari raya awal bulan ini dan Deepavali semalam.

Pemuda PAS Selangor bagaimanapun menafikan imej gergasi itu termasuk dalam kategori patung yang diharamkan dalam ajaran Islam.

Patung ini dibina atas menggunakan duit sumbangan masyarakat.

Pita Lingam: Mahkamah tangguh permohonan ketepi penemuan inkuiri

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi semalam menangguhkan keputusannya berhubung permohonan lima individu untuk mendapat kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mengenepikan penemuan-penemuan yang terkandung dalam laporan siasatan Inkuiri Suruhanjaya Diraja berhubung satu klip video yang kontroversi.

Bernama melaporkan, Hakim Dato' Abdul Kadir Musa berkata, beliau akan memberikan penghakiman pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Suruhanjaya itu ditubuhkan selepas penyiaran klip video selama 22 minit itu yang memaparkan peguam Datuk V.K. Lingam berbual di telefon, kononnya dengan bekas ketua hakim negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, didakwa mengaturkan urusan pelantikan hakim.

Klip video itu dirakam pada 2002 ketika Ahmad Fairuz menjadi hakim besar Malaya.

Permohonan mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman itu dibuat oleh Lingam, Fairuz dan tiga lagi bekas ketua hakim negara Tun Mohd Eusoff Chin, ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dan Setiausaha Agung Umno Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut dikaitkan dalam siasatan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi memberitahu mahkamah bahawa permohonan itu perlu ditolak memandangkan penemuan-penemuan dalam Inkuiri tidak boleh dikaji semula.

Sementara itu, Majlis Peguam melalui peguam pemerhati Razlan Hadri yang hadir pada saat akhir, memohon untuk menyerahkan penghujahan bertulis berhubung aspek undang-undang berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Lingam yang mewakili dirinya sendiri membantah permohonan itu, dan menyatakan bahawa adalah tidak adil bagi satu-satu pihak untuk mencampuri perkara itu pada saat akhir. Beliau turut mempersoalkan kenapa Majlis Peguam tidak membuat permohonan ketika perbicaraan bermula pada Julai.

Beliau berkata akan berlaku penangguhan yang lebih lama jika Majlis Peguam dibenar membuat penghujahan memandangkan peguam lain juga perlu menyediakan jawapannya.

Perbicaraan petang ini berlanjutan sehingga 5.45 petang semalam apabila Hakim membenarkan Razlan untuk membuat penghujahan secara lisan bukan di mahkamah terbuka tetapi melalui Azizah. - mks._

Lantik Norhayati Onn Senator, Umno masih degil

Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR - Pelantikan semula Norhayati Onn sebagai Senator yang pernah menimbulkan kontroversi dengan bekas Ahli Parlimen Gombak memperlihatkan kedegilan Umno dalam mementingkan sahsiah dan akhlak pemimpin mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, Umno masih dengan sikapnya yang tidak mementingkan soal akhlak dan moral dalam kepimpinan walaupun mereka sudah kerugian dalam tsunami pilihan raya lalu.

"Umno tetap Umno masih tidak ada perubahan dasar dan perjuangan Umno tidak kukuh tidak menunjukkan satu kesedaran, " katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemimpin yang mempunyai sahsiah yang baik dan bermoral wajar dijadikan asas kepada pemimpin kerajaan untuk dijadikan contoh terbaik kepada rakyat.

"Sepatutnya kerajaan yang bermaruah tidak mengambil beliau (Norhayati), ramai lagi pemimpin yang lain boleh diangkat, kena buktikanlah di mana Kerajaan Islam Hadhari?" tegas beliau.

Norhayati pernah menimbulkan kontroversi berhubung isu gambarnya dengan bekas Ahli Parlimen Gombak malah kes 'nuyuz' suami beliau masih dibicarakan di Mahkamah Syariah Shah Alam.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai senator pada 14 Oktober 2005 untuk tempoh tiga tahun. Bagaimanapun Norhayati dikatakan telah mendapat surat pelantikan semula senator pada 22 Oktober lalu. - mks. _

Tuesday, October 28, 2008

Kementerian diminta campur tangan kenaikan benih padi

BERNAMA


PASIR PUTEH – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta campur tangan berhubung kenaikan harga padi benih jenis 232 daripada RM25 kepada RM40 sekampit di Kelantan yang dianggap membebankan petani.

Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Cherang Rotan, Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berkata kenaikan mendadak itu menyebabkan petani terpaksa membelanjakan sebanyak RM160 (tahun ini) berbanding RM100 (tahun lepas) untuk membeli benih bagi keperluan setiap 0.3 hektar.

“Harga yang tinggi itu boleh melemahkan semangat petani untuk mengerjakan sawah pada musim kedua bermula sekarang kerana bebanan yang mereka tanggung selama ini seperti kos kenaikan upah membajak sahaja pun sudah memeritkan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata kenaikan harga benih itu menjadi bebanan terhadap petani terutama yang mengerjakan penanaman di kawasan jelapang Cherang Rotan yang seringkali mengalami kerugian setiap musim akibat tanaman dimusnahkan oleh tikus.

“Jika kementerian boleh menurunkan pada harga yang menasabah sekurang-kurangnya antara RM30-RM35 sekampit ia boleh mengurangkan bebanan mereka menampung kos sara hidup berkeluarga terutama menanggung anak-anak sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komoditi Padi, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Mat Najib Abdullah berkata kenaikan harga benih tidak dapat dielakkan disebabkan harga yang ditetapkan di kilang RM34 sekampit, tidak termasuk kos buruh dan pengangkutan.

Selain itu, katanya KADA terpaksa mengimport benih dari negeri lain terutama Kedah, Perak dan Selangor bagi mencukupkan keperluan 4,500 metrik tan setahun.

Khir didakwa mahu pecah belah hubungan kerajaan Negeri, Sultan

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Tohmahan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo bahawa pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat tidak mempunyai hubungan baik dengan Tuanku Sultan Selangor dibidas oleh exco Kerajaan Negeri dan Adun Pakatan Rakyat.

Azmin Ali (KeADILan-Bukit Antarabangsa) menyelar dakwaan Khir yang berniat jahat mahu menimbulkan kegelisahan rakyat bahawa kenyataan itu cuba menimbulkan keresahan di kalangan rakyat khususnya Pakatan Rakyat dengan Tuanku Sultan.

Dalam sesi mesyuarat Peringkat Jawatankuasa Perbekalan Rang Undang-undang itu, Azmin menegaskan, taat setia rakyat Selangor kepada Tuanku Sultan tidak pernah berbelah bagi.

Pimpinan Rakyat juga katanya, menyokong untuk menjamin kuasa mutlak bagi memastikan pentadbiran agama Islam di Selangor berjalan dengan lebih baik dan kemas.

Bagaimanapun, katanya kenyataan Khir itu seolah-olah menjelaskan bahawa telah timbul masalah komunikasi antara pihak Istana dengan kerajaan Negeri.

"Saya yakin kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar dapat memberikan kepimpinan yang baik dengan memastikan peranan Istana dalam kerajaan Negeri lebih jelas," tegasnya.

Dalam perbahasan tersebut, Speaker, Teng Chang Khim mencelah; "Adakah kerajaan dahulu (BN) ada masalah dengan Sultan?"

Azmin dengan pantas menjawab hanya yang buta sejarah sahaja menafikan tidak ada masalah antara kerajaan negeri dengan pihak Istana.

Menurut beliau, pernah suatu ketika Menteri Besar (Umno) mengambil anak raja tetapi menafikan sehingga timbul krisis besar seolah-olah Menteri Besar ketika itu bergelumang dengan masalah skandal sama ada rasuah dan penyelewengan.

Dengan peristiwa itu, Tuanku Sultan terpaksa mengambil pendirian tegas supaya perkara tersebut tidak akan berulang.

"Saya harap Khir jangan cuba melaga-lagakan hubungan Tuanku Sultan dengan pimpinan Pakatan Rakyat kerana bagi kami akan memastikan kemurniaan Raja-raja Melayu khususnya di Selangor," tegasnya.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Istiadat dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali menegaskan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Menteri Besar sentiasa menjunjung prinsip Raja.

"Kami hendak menentukan bahawa sistem di Malaysia termasuk di Selangor dari segi agama Islam tonggaknya adalah Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Sultan dan ini tidak boleh dipersoalkan kerana ia termasuk dalam Perlembagaan negara dan negeri," tegasnya.

Beliau berkata, hanya Umno saja yang pernah menjatuhkan institusi Raja-raja Melayu.

Menurutnya, pindaan Enakmen adalah bertujuan menentukan bahawa Sultan merupakan pemerintah teratas dalam segala hal terutama hal Ehwal Agama Islam.

Beliau menegaskan, Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) mahu melahirkan bibit-bibit keretakan antara pimpinan kerajaan Negeri dengan Tuanku Sultan dan mahu mencari ruang untuk menimbulkan kekeruhan.

"Apakah Khir pura-pura tidak tahu bahawa dalam masa lapan bulan Pakatan Rakyat mentadbir telah mewujudkan satu hubungan paling intim dengan Tuan ku Sultan," katanya. - lanh _

Selangor peruntuk RM1,340j bagi Belanjawan 2008

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1,340 juta bagi Belanjawan 2008 dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM670 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM670 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Ketika menjawab soalan lisan Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya), Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menjelaskan RM178,271,628 telah diluluskan untuk peruntukan tambahan Belanjawan 2008 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,580,271.62.

Beliau berkata, tambahan RM20 juta untuk perbelanjaan mengurus menjadikan peruntukan tersebut berjumlah RM690 juta.

Katanya, tambahan sebanyak RM158.2 juta untuk perbelanjaan pembangunan menjadikan peruntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM828 juta.

Menurut beliau, prestasi perbelanjaan kerajaan Negeri secara keseluruhannya sehingga 30 September ini mencapai 62.98 peratus iaitu hampir RM957 juta di mana perbelanjaan pembangunan mencapai 59.9 peratus yang jumlahnya secara keseluruhan 496 juta.

Bagaimanapun, tambah beliau peratus tersebut tidak menunjukkan perbelanjaan sebenar kerajaan negeri kerana masih terdapat perbelanjaan tanggungan yang belum diselesaikan.

Menurut beliau, pada kebiasaannya dijangkakan prestasi perbelanjaan kerajaan Negeri akan meningkat antara 90 peratus ke 95 peratus pada hujung tahun berdasarkan pada bayaran projek pembangunan kerajaan Negeri dan perbelanjaan tanggungan.

Beliau berkata, pada biasanya kerajaan negeri ada belanjawan yang seimbang dan pemantauannya supaya dapat menyelesaikan semua peruntukan dan penggunaan pada tahun tersebut. - lanh _

Adun BN rakam tahniah kejayaan Pakatan kuasai 5 negeri

Lanjusoh


KOTA BHARU - Selepas lebih tujuh bulan Pakatan Rakyat menguasai lima negeri, baru hari ini kedengaran ucapan tahniah dilafaz wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di atas kejayaan tersebut.

Dato' Nozula Mat Diah (BN-Paloh) juga merakam ucapan serupa kepada PAS di Kelantan apabila berjaya mempertahankan kerajaan negeri sehingga memasuki tahun ke-18.

"Tahniahlah kepada PAS di Kelantan kerana kejayaan luar biasa mempertahankan kerajaan negeri sehingga memasuki tahun ke-18 sekarang.

"Tahniah sekali lagi dirakam kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya menguasai lima negeri pada pilihan raya umum lalu," katanya ketika membahas Bajet Kelantan 2009 pada persidangan Dun hari ini.

Pada ucapan yang sama beliau mencadangkan kerajaan negeri menaikkan jumlah elaun yang dibayar kepada Adun memandangkan ia tidak dikaji semula sejak 2002 lagi.

Katanya, elaun pokok yang diterima sekarang sebanyak RM3,600 tidak memadai untuk membantu rakyat miskin, lebih-lebih lagi apabila berlaku kematian.

"Usahkan mahu bantu rakyat, hendak bayar ansuran Harier (Toyota) pun tidak sepadan kalau dah pencen nanti. Cuba bayangkan sekarang dengan jumlah elaun sebanyak itu hendak bantu rakyat pun susah," katanya.

Ketika ditanya Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning) adakah Adun Paloh tidak lagi keluar dewan ketika pihak kerajaan menggulung perbahasan, katanya ia belum tentu lagi.

Malah katanya, apabila elaun sudah bertambah tentunya banyak tempat hendak pergi sama ada minum teh di hotel atau tempat-tempat lain.

Beliau mencadangkan elaun wakil rakyat dinaikkan sama dengan gaji pegawai kerajaan negeri yang bergaji N52.

Beliau juga mengakui skim Takaful Merdeka yang dilancarkan Umno Kelantan sebelum ini bermasalah, tidak sebagaimana Takaful Kifaalah yang dikendalikan kerajaan negeri.

Dato' Omar Mohamad (PAS-Perupok) ketika membahas enakmen yang sama mahu kerajaan negeri turut diberitahu apabila berlaku pertukaran atau pelantikan pegawai-pegawai baru.

"Apa yang berlaku sekarang kerajaan negeri tidak diberitahu apabila ada pelantikan pegawai atau pertukaran mereka, sedangkan setiap tahun kerajaan negeri meluluskan bajet untuk mereka.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam banyak keadaan, kerajaan negeri tidak diberitahu apabila berlaku pelantikan baru pegawai atau mereka bertukar ke tempat lain," ujarnya.

Lebih malang lagi katanya, ada sesetengah pejabat tanah dan jajahan biar pun bilangan pegawai semakin ramai, namun masalah permohonan pemilikan tanah oleh rakyat belum dapat diselesaikan dalam tempoh lebih singkat.

Menurut beliau sepatutnya pegawai di pejabat tanah tahu di mana ada tanah-tanah milik kerajaan negeri yang boleh diberi kepada rakyat.

Kata beliau juga sejak 1990 sehingga 2007 sebanyak 83,800 permohonan hak milik tanah oleh rakyat berjaya diselesai berbanding 38,097 lagi yang belum diselesaikan.

Beliau juga merakamkan ucapan syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya melantik lebih ramai pegawai dan kakitangan berbanding ketika Kelantan di bawah terajui BN sebelum 1990.

Jumlah kakitangan kerajaan negeri sekarang seramai 5,538 orang berbanding 5,000 orang sebelum 1990.

Beliau juga memberitahu Pejabat Sultan Kelantan memohon pertambahan kakitangan baru sebanyak 71 orang bagi tahun 2009 berbanding jumlah yang ada sekarang seramai 137 orang.

Menurutnya pertambahan pegawai dan kakitangan baru hendaklah selaras dengan keupayaan sesebuah agensi bagi menyumbangkan perolehan hasil kepada kerajaan negeri. - mj _

Low Siew Moi dilantik pemangku Pengurus Besar PKNS

BERNAMA


SHAH ALAM: Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Low Siew Moi dilantik sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS untuk tempoh selama setahun.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan Low yang sepatutnya bersara tahun ini, tetapi dilanjutkan tempoh persaraannya bagi mengambil alih tugas Pengurus Besar PKNS sekarang Datuk Harun Salim yang akan bersara hujung bulan ini.

"Jika kedua-duanya bersara serentak, ia tidak boleh menjamin penerusan pentadbiran PKNS yang berkesan dan kerana itu saya telah meminta Low agar menangguhkan persaraannya dan sebaliknya bekerjasama dengan Lembaga Pengarah PKNS bagi menerajui urusan pentadbiran PKNS sehingga calon yang sesuai dilantik bagi mengisi jawatan Pengurus Besar ditemui," katanya pada sidang media.

Low sudah 35 tahun berkhidmat di PKNS, termasuk 11 tahun sebagai Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun, yang bertanggungjawab ke atas bahagian korporat dan kewangan serta pengurusan aset PKNS.

Mengenai calon jawatan Pengurus Besar PKNS, Abdul Khalid tidak menolak kemungkinan calonya adalah dari luar PKNS.

SMS ugut tak sihat

Oleh Abdul Halim Yusoff


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan perbuatan berkempen menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan menjelang pemilihan Umno Mac depan sebagai budaya tidak sihat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno menegaskan perbuatan itu tidak seharusnya dilakukan sesiapa saja kerana calon yang hendak bertanding mesti menzahirkan amalan demokrasi sihat.

"Saya tidak tahu siapa yang menghantar SMS seperti itu, tapi perbuatan mengugut melalui SMS ini membawa satu budaya buruk yang tak patut dilakukan oleh sesiapa sekalipun.

"Kita mesti ingat, kita mengamalkan demokrasi yang sihat di negara kita," katanya kepada pemberita selepas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menghadiri Majlis Rumah Terbuka MIC sempena Deepavali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Najib diminta mengulas pendedahan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, berhubung lebih 10 SMS berbaur ugutan yang diterimanya supaya mencalonkan gandingan pemimpin tertentu bagi jawatan tertinggi pada pemilihan Umno Mac depan.

Kelmarin, Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, penghantar SMS itu yang menggunakan nombor telefon bimbit 012-8242902, dengan angkuh meminta Umno Johor Bahru menyokong pencalonan pemimpin berkenaan atau bahagian itu akan dikenakan tindakan.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk, Seri Dr Rais Yatim, menyarankan Umno menyerahkan siasatan kes itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau badan lain yang bertauliah kerana Lembaga Disiplin parti tidak mempunyai prasarana mencukupi untuk mengendalikannya secara berkesan.

"Parti kita belum lagi nampak mampu menangani gejala seperti budaya ugutan, politik wang dan beberapa amalan buruk lain yang boleh menghancurkan Umno.

"Tapi saya sedar cadangan saya ini mungkin tidak dapat diterima banyak pihak, terutama yang cenderung kepada budaya ugutan dan politik wang. Namun, Umno perlu naik setapak lagi untuk menjadi lebih matang, jika tidak saya berani meramalkan parti ini menuju ke arah kehancurannya," katanya.

Rais bagaimanapun yakin Abdullah dan Najib mampu menangani gejala itu jika kesepakatan untuk merubahnya dicapai di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan dipanjangkan ke peringkat akar umbi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, Shahrir perlu membuat laporan polis berhubung kes SMS ugutan itu.

"Walaupun Lembaga Disiplin mempunyai cukup keupayaan untuk menyiasat kes itu, lebih baik ia turut dilaporkan kepada polis untuk siasatan," katanya.

Tengku Adnan berkata, calon yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan pada pemilihan parti Mac depan sepatutnya mematuhi peraturan dan etika berkempen.

"Tidak timbul isu tak cukup pendedahan... yang penting cara kita bekerja untuk parti. Kalau orang kenal kita, orang akan sokong," katanya.

Monday, October 27, 2008

Umno berpenyakit kerana masalah dalaman - Dr Hamzah

Basiron Abdul Wahab


RAUB - Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar berkata, Umno kini berada dalam keadaan tidak sihat akibat masalah dalaman parti itu sehingga dilabel oleh veteran parti itu sendiri sebagai sakit tua.

Malah ada di antara pemimpin parti itu secara sinis mengatakan jawatan-jawatan di dalam parti itu sepatutnya diberi kepada pembida tertinggi.

"Begitulah parahnya Umno sekarang ini dan kenyataan bekas pemimpin parti itu menunjukkan rasa kecewa mereka terhadap isu dalam parti itu," katanya.

Dr Hamzah menghadiri majlis meraikan Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Tengku Puji Abdul Hamid yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 8 November ini serta sambutan Aidilfitri di Markas PAS Dong, dekat sini.

Hamzah berkata, pelan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negara masih berjalan walaupun tanpa disebutkan bila masanya.

"Pelan peralihan kuasa Pakatan Rakyat terus berjalan walaupun tanpa tarikh," ujarnya.

Katanya seribu kemungkinan peralihan kuasa boleh berlaku secara mengejut dan tidak disangka oleh semua termasuk anggota Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tras, Choong Siew Onn yang turut berucap pada majlis itu berkata, para pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah enam buah negeri mesti menunjukkan mereka berbeza daripada pemimpin BN yang boros dan banyak menghabiskan wang rakyat.

Katanya jika kita mampu menunjukkan cara kita mentadbir negeri lebih baik daripaa BN sudah tentu rakyat akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, setakat ini apa yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang misalnya yang menggunakan kelas ekonomi ketika menaiki kapal terbang adalah contoh baik yang ditunjukkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

"Dengan cara itu banyak wang rakyat dapat dijimatkan dan ia tidak dilakukan oleh pemimpin BN sebelumnya," ujar beliau. - mns_

Jalan Bukit Merah-Bagan Serai masih dinaiki air

Ekmal Yusof


BUKIT MERAH - Walaupun banjir di sini dikatakan sudah surut, tetapi masih terdapat beberapa buah rumah di kawasan rendah masih dinaiki air pada tengah hari semalam.

Pada awalnya dilaporkan 480 orang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan di sini tetapi kini telah ramai yang pulang kerumah masing-masing.

Tinjauan Harakahdaily mendapati Jalan Bukit Merah-Bagan Serai masih ditutup kepada kenderaan ringan di mana air masih berada sedalam dua kaki di atas jalan raya di Kampung Tengah 20 kilometer dari Bagan Serai.

Pemandu kenderaan ringan terpaksa berpatah balik menggunakan Jalan Gunung Semanggol-Simpang Empat untuk pergi ke Bagan Serai melalui Jalan Persekutuan Taiping-Parit Buntar.

Di Kampung Tengah dekat sini pada tengah hari semalam beberapa buah rumah di tepi jalan raya (Bukit Merah-Bagan Serai) itu masih ditengelami air sedalam dua kaki. - mns _

Kerajaan digesa berunding dengan Hindraf

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendesak kerajaan agar mengadakan pertemuan secara terbuka serta membuka meja perundingan dengan tahanan Hindraf supaya dapat melihat secara objektif tuntutan kumpulan ini.

Salahuddin melahirkan kebimbangan sekiranya kumpulan ini terus dilayan sedemikian, mereka akan mengambil keputusan yang lebih mengancam keselamatan negara.

"Menutup pintu rundingan serta mengharamkan kumpulan ini bukanlah cara yang terbaik. Kami tidak boleh menerima kenyataan bahawa Hindraf adalah sebuah pertubuhan anti Islam dan anti Melayu kerana ini hanya merupakan propaganda yang dikeluarkan ke atas mereka," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.

Sementara itu, Salahuddin bersama Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa mengunjungi 10 ahli Hindraf yang ditahan reman sejak 23 Oktober lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam.

Jelas Salahuddin, kunjungan tersebut sebagai tanda simpati terhadap tahanan tersebut serta ahli keluarga mereka.

Tambah Salahuddin, keluarga tahanan juga merakamkan ucapan terima kasih di atas tanda simpati yang ditunjukkan PAS itu.

Salahuddin juga menyatakan, beliau akan membangkitkan mengenai perkara tersebut dalam perbahasan di Dewan Rakyat nanti.

Pada 23 Oktober lalu 11 orang individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang menggelarkan diri mereka sebagai "Kumpulan Prihatin Kaum India" ditahan di hadapan pintu masuk bangunan pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Kehadiran mereka ke situ bagi menghantar sepucuk surat rayuan bagi pembebasan lima orang tahanan ISA Hindraf bersempena ketibaan Deepavali pada 27 Oktober nanti. - mns_

Turun minyak lagi

BERNAMA


PEKAN: Datuk Seri Najib Razak membayangkan kerajaan akan menurunkan lagi harga petrol dan diesel akhir bulan ini berikutan trend penurunan harga minyak dunia ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Kabinet menyerahkan kepada exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk membuat keputusan berhubung harga baru itu.

“Tunggulah, kita dah janji kalau harga minyak dunia turun, harga minyak petrol dan diesel tempatan akan melambangkan harga pasaran minyak yang sebenarnya.

“Beri sedikit masa untuk kerajaan membuat keputusan, kabinet sudah memberi mandat kepada exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk membuat keputusan jika harga minyak dunia semakin menurun, minyak tempatan juga akan turun,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada bakal haji kawasan Parlimen Pekan di kediamannya, di sini, semalam.

Ditanya sama ada kerajaan mungkin mengumumkan harga baru petrol dan diesel pada 30 Oktober atau 1 November ini seperti kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad kelmarin, Najib berkata: “Tak bolehlah bagi tahu, tapi biasanya tak lama kita akan buat keputusan... lebih kurang begitulah (tarikh umumkan harga baru itu), tertakluk bila mesyuarat (Majlis Ekonomi) nanti.”

Harga minyak di pam turun tiga kali sejak Ogos lalu iaitu pada 23 Ogos, 24 September dan kali terakhir 15 Oktober.

Harga petrol Ron97 turun daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol Ron92 daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20. Diesel pula turun daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Ditanya kemungkinan harga petrol dan diesel diturun ke paras harga bawah RM2, Najib sambil ketawa berkata: “Tunggu dululah (pengumuman harga baru itu).”

Ditanya mengenai trend penurunan harga petrol dan diesel ini dilihat tidak menjurus kepada penurunan harga barang, Najib berkata, kerajaan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi perkara itu.

“Kita mengambil beberapa langkah, termasuk bekerjasama dengan pasar raya besar (dan) pengeluar.

“Pemilik pasar raya besar setuju menurunkan harga beberapa barangan dan produk yang akan diumumkan sehari dua ini,” katanya.

Mengenai kesan penurunan harga komoditi sawit dan getah kepada peneroka, Najib berkata, kerajaan memberi jaminan pendapatan peneroka tidak akan turun di bawah paras RM1,000 sebulan.

“Sebelum ini mereka mendapat purata (pendapatan) tinggi antara RM3,000 dan RM4,000 (sebulan), pada satu aspek kita harap mereka mengamalkan amalan menabung, mereka ada rezab sedikit bagi menghadapi zaman harga menurun.

“Kita ada langkah seperti memberi bonus yang saya umumkan (sebelum ini), bonus RM700 hingga RM2,000 (diberikan) Disember ini, langkah lain bagi menggalakkan peneroka mengambil bahagian dalam aktiviti lain seperti berniaga, kraftangan dan bercucuk tanam, tidak bergantung kepada sawit dan getah untuk pendapatan mereka,” katanya.

Menjawab soalan mengenai langkah menghadapi kesan krisis ekonomi global, Najib berkata, beliau akan mengumumkannya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada 4 November ini.

Pakatan Rakyat Komited Perjuang Hak Golongan Marhaen - Anwar

Wartawan Laman Reformasi


PERMATANG PAUH - Ketua Umum KeADILan merangkap Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan kerja sehari di kawasan beliau khusus nya di kampung Permatang Rawa untuk meyampaikan bantuan dan sumbangan disamping berucap dan beramah mesra bersama fakir-miskin dan warga emas termasuk kaum India di sana.

“Ianya bukan sahaja melibatkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus bertanggungjawab juga memantau melalui egensi tertentu”, demikian jelas Anwar setelah mendengar keluhan penduduk. Semasa DrWan Azizah mewakili mereka, pelbagai usaha telah di lakukan, namun gagal dilaksanakan kerana kawasan tersebut di kelilingi pembangunan pesat. Usaha-usaha itu gagal dilaksanakan oleh kerajaan Pusat kerana di lihat lebih cenderung membantu syarikat-syarikat besar berbanding usaha membantu golongan-golongan buruh, nelayan, petani serta orang dhaif yang benar-benar perlukan bantuan.

“Baru-baru ini Menteri Kewangan umum RM5 bilion untuk menaikan saham dan RM5 bilion untuk bantu orang kaya, syarikat-syarikat besar tetapi untuk membantu golongan kecil, amat payah. Saya tidak menyatakan kerajaan Barisan Nasional tidak membantu tetapi jumlah RM5 bilion di lihat terlalu besar untuk membantu syarikat-syarikat kaya. Nak suntik saham, saya tak kata orang kaya tak turun pendapatan dengan harga barang dan tanggungan sekarang. Mudah-mudahan akan ada perubahan nanti”, tambah Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang.

“Dulu masa saya berucap sebagai Menteri Kewangan, saya dengar bagaimana Ketua Pembangkang Saudara Lim Kit Siang berhujah supaya kita dapat meneliti dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya kita baiki, dapat teliti, tetapi sekarang mereka tidak mahu mendengar, malah sombong dan takut untuk mendengar hujah saya. Sebabnya, kalau mereka dengar, sudah tentu mereka dapat menyelesaikannya.

“Misalnya, untuk menurunkan harga minyak, saya telah katakan dahulu bahawa kita boleh turunkan harga minyak sedikit demi sedikit sebagaimana sekarang, macamana nak turunkan harga barang keperluan dengan serta-merta. Inilah implikasinya jika turunkan sedikit demi sedikit harga minyak. Saya sebutkan harga minyak kerana ianya penting dan sekarang harga minyak RM70 setong dan harga minyak masih tinggi dan golongan yang memotong getah dan kelapa sawit, harga keduanya jatuh.

“Ikhtiar dan doa dan bila ada surau dan masjid kenalah mengimarahkan dan susun semula jawatankuasa masjid dan pertingkatkan kelas pengajian quran an agama semoga ianya dapat menjadi pengisisan jemaah dan haruslah di tingkatkan, walaupun ianya bemula dengan 5 orang”, demikian tegas Anwar mengakhiri ucapan beliau. Anwar di teman oleh ADUN Penanti merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohd Fairus Khairuddin.

Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen kawasan tersebut, mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas ikhtiar membantu golongan miskin secara beransur-ansur.

Katanya, penghapusan masalah miskin tegar dan usaha ini harus di susuli dengan doa dan mengimarahkan masjid. Beliau juga mengucapkan terima kepada rakan-rakan yang kaya-raya, berada dan berkemampuan untuk sama-sama membantu meringankan beban masyarakat miskin dan tidak berkemampuan.

Lelaki Malaysia ditembak mati di Golok

UTUSAN ONLINE


RANTAU PANJANG - Seorang rakyat Malaysia mati dipercayai ditembak oleh beberapa lelaki ketika sedang membaiki motosikalnya di sebuah bengkel di pekan Sungai Golok, selatan Thailand hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa Mohd. Zuki Mohd. Nawi, 37, berasal dari Tanah Merah, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membaiki motosikalnya di sebuah bengkel di pekan tersebut sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati satu das tembakan dipercayai terkena pada bahagian kepala manakala dua das lagi pada badan mangsa.

"Kita masih menunggu laporan siasatan daripada polis negara itu berhubung kejadian ini dan berdasarkan maklumat mangsa dipercayai menjalankan perniagaan di bandar tersebut.

"Ketika kejadian beberapa lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan kereta dikatakan telah melepaskan beberapa das tembakan secara rambang terhadap mangsa sebelum melarikan diri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari rumah isterinya di Kampung Gok Ayam, Sungai Golok untuk pulang ke Rantau Panjang melalui pangkalan haram.

Amir Hamzah berkata, mayat mangsa telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bendang Gok, Tanah Merah untuk urusan pengkebumian selepas bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Golok.

"Jenazah mangsa dibawa ke Rantau Panjang kira-kira pukul 7.30 petang sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

"Motif sebenar pembunuhan ini belum diketahui kerana siasatan masih di peringkat awal," katanya.

Sunday, October 26, 2008

Markas Tarbiyah PAS akan berfungsi semula

SIASAH DAILY


KUALA LUMPUR : Mulai November ini, Pusat Tarbiyah PAS Taman Melewar akan dihidupkan sepenuhnya dengan kuliah-kuliah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan merasmikannya pada 3 November ini.

Kuliah yang akan diadakan selepas solat Maghrib itu akan diadakan hampir setiap malam di Dewan Besar Datuk Fadzil Noor bermula tarikh tersebut.

Menurut jadual kuliah yang diedarkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS, sepanjang November ini, sebanyak 20 kuliah akan diadakan di situ.

Ia membabitkan para guru dari PAS dan juga pengkuliah profesional dari luar.

Pada 3 November ini, bekas pensyarah Universiti Malaya yang kini adalah Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfudz Muhamad akan memberikan kuliah mengenai Qanun Jenayah Syariah.

Turut terlibat memberikan kuliah sepanjang bulan November adalah hampir 20 orang lagi guru yang memberikan kuliah untuk pelbagai topik dari aqidah sehinggalah muamalat.

Sejak berpindah ke pejabat baru di Jalan Raja Laut, bekas pejabat agung PAS itu dilihat sepi dan kosong dari aktiviti.

Ekoran itu, pelbagai kritikan dibuat terhadap PAS kerana membiarkan kemudahan yang sudah sedia ada dalam PAS itu.

Ekoran itu, Lajnah Tarbiyah PAS dikatakan diberi amanah untuk menghidupkannya dengan kelas-kelas pengajian secara yang sistematik.

Di samping itu, Siasah difahamkan, tanah milik PAS itu akan dibangunkan dengan bangunan-bangunan selepas ini di samping mengekalkan fungsinya sebagai markas tarbiyah.

Lembaga Disiplin cadang dua ahli UMNO dipecat

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Lembaga Disiplin UMNO akan mencadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti agar dua orang ahli parti dipecat kerana menyokong parti pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, kedua-dua mereka ialah ahli Bahagian Kota Marudu Sabah, Isang Rawai dan ahli Bahagian Ledang Johor, Mohd Shamsuddin Dawam.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, kedua-duanya adalah antara 15 orang yang disiasat lembaga itu kerana tuduhan melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyokong parti pembangkang, politik wang dan salah guna kuasa.

“Isang didapati menjadi calon Bebas manakala Mohd Shamsuddin menjadi wakil calon Pas pada pilihan raya umum Mac lepas. Jadi sekarang terserahlah kepada MT untuk memecat mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, enam lagi tertuduh yang disiasat lembaga itu juga didapati bersalah kerana pelbagai kesalahan tetapi diberi amaran.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail, Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, ahli UMNO Bahagian Raub Datuk Abdullah Abu Bakar, Pengerusi Tetap Cawangan Labuan Datuk Yunus Kurus dan ahli UMNO Bahagian Labuan Alias Hussin.

“Antara kesalahan mereka ialah sabotaj pada pilihan raya lepas, politik wang dan salah guna kuasa,” katanya.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, tujuh didapati tidak bersalah setelah disiasat iaitu Jelin Dasanap atau Jelani Hamdan (Kota Marudu), Majial Mangulizang (Kota Marudu), Kampun Inok (Kota Marudu), Datuk Ahmad Yassin (Ledang), Ja’afar Ahmad (Ledang), Shahrl Ismail (Tanjung Pia) dan Jamilah Endan (Tanjong Piai).

Beliau berkata, sebanyak 632 aduan telah diterima oleh lembaga itu sejak 30 September lepas dan sehingga kini 135 daripadanya telah disiasat oleh panel penyiasat.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang mana-mana ahli parti yang melanggar disiplin perlu tampil dan jangan mengambil masa terlalu lama untuk membuat laporan.

“Masalah disiplin ini terutamanya politik wang begitu ketara dalam UMNO dan saya difahamkan dari segi pemilihan parti lain seperti MCA dan Gerakan didapati kurang (politik wang), jadi malulah.

“Sesiapa yang buat aduan akan diberi imuniti dan dirahsiakan identiti mereka, jadi tak usahlah takut untuk tampil. Jika tidak bagaimana nak hapuskan gejala yang memberi keburukan kepada parti, individu dan negara itu,” katanya.

Mengenai cadangan Ahli MT UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim Selasa lepas supaya semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara tender, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, ia sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan.

“Kita tidak boleh lakukan sebagai tender. Adakah kita akan dapat orang yang betul-betul boleh memimpin kita melalui kaedah tender ini? Barangkali dia (Rais) bukan serius apabila mengemukakan cadangan itu,” katanya.

Polis ditahan reman

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN


SEREMBAN: Seorang anggota polis ditahan reman bersama dua rakannya bagi membantu siasatan kes pukul seorang pengurus pusat karaoke di Taipan, Senawang, awal pagi kelmarin.

Anggota berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan di rumahnya selepas didakwa menyerang serta menyalahguna kuasa ketika berhibur di pusat karaoke berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata anggota polis itu bersama dua orang awam ditahan malam kelmarin dan direman sehingga Selasa ini.

“Siasatan awal mendapati suspek adalah anggota polis manakala rakannya orang awam. Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan satu kejadian pukul,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi kelmarin, suspek bersama empat rakannya dikatakan menumbuk pipi pengurus pusat karaoke, Lo Kim Siong, 25, sebanyak dua kali selepas mangsa meminta mereka membayar wang.

Sebelum kejadian itu, suspek dikatakan meminta diskaun istimewa ketika hendak berhibur di pusat karaoke berkenaan dan pihak pengurusan memberi potongan harga 10 peratus.

Suspek bersama rakannya bagaimanapun tidak berpuas hati apabila diminta membayar perkhidmatan itu dengan mendakwa di tempat lain mereka boleh berhibur secara percuma sebelum Lo diserang.

Saiful berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan mengambil tindakan jika mereka terbukti bersalah.

“Sikap sebegini boleh menjejaskan imej polis dan kita akan mengambil tindakan tanpa pilih kasih. Jika cukup bukti, mereka akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon, memuji langkah diambil polis dalam menegakkan undang-undang.

“Saya kagum dengan tindakan pantas polis dalam hal ini yang segera menahan suspek selepas laporan dibuat walaupun membabitkan anggota sendiri.

“Tindakan ini menunjukkan sikap profesional pasukan polis dalam menangani jenayah, malah polis memberi jaminan jika suspek dibuktikan bersalah, mereka bukan saja dihadapkan ke mahkamah, malah dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.