JOHOR BAHRU: Kerajaan mengumumkan kadar baru tol di Kompleks Kastam,
Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini berkuat
kuasa 1 Ogos nanti.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md
Salleh, dalam satu kenyataan berkata, kenaikan itu melibatkan kenderaan
Kelas 1 hingga Kelas 5 dari kedua-dua arah keluar dan masuk kompleks
itu.
Kadar tol baru arah masuk Malaysia, kenderaan kelas-kelas berkenaan
ialah masing-masing RM9.70; RM14.70; RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 manakala
kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80; RM10.20; RM13.60; RM3.40 dan
RM5.50.
"Kadar tol baharu di CIQ, BSI ini adalah bersesuaian dengan kemudahan
dan perkhidmatan yang dinikmati oleh pengguna semasa melalui kompleks
tersebut dari laluan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL)," katanya.
Menurut beliau, kutipan tol itu akan dibuat secara elektronik sepenuhnya bagi memastikan aliran trafik lancar.
Pengguna-pengguna yang tidak melalui CIQ itu tidak akan terkesan daripada kenaikan tol tersebut.
Kadar lama sejak Januari 2011 masing-masing adalah RM2.90; RM4.50, RM6.10, RM1.40 dan RM2.30.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
menyifatkan kadar baharu itu hanya bersifat untuk mengawal jumlah
kemasukan kenderaan sahaja.
"Apabila kita masuk ke Singapura pun, selain VEP kita juga kena bayar tol, masuk ke bandar pun kena lagi.
"Jadi penggunaan tol ini merupakan kaedah bagi mana-mana negara untuk
mengawal penggunaan kenderaan yang semakin bertambah," katanya ketika
diminta mengulas perkara itu selepas majlis penyerahan sumbangan sempena
Aidilfitri di Pasir Gudang hari ini.
No comments:
Post a Comment