SHAH ALAM: DAP menyifatkan pandangan yang dilontarkan Pengarah Operasi
Pusat Penyelidikan PAS ( PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki melalui mesej
WhatsApp yang terdedah dan tersebar di laman sosial sejak kelmarin
mempunyai unsur perkauman.
Setiausaha Publisiti parti itu Tony Pua mempertikaikan isi kandungan
mesej Zuhdi yang berbunyi "DAP, gereja dan non-Muslim melalak isu
serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka" dan "Hujung tahun
ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So
mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum
ini".
Justeru beliau menggesa Zuhdi yang dianggapnya sebagai berfikiran
sempit mengeluarkan kenyataan seperti itu untuk membuat permohonan maaf
kepada rakyat secara terbuka.
"Isunya bukan sama ada perbincangan Zuhdi dalam WhatsApp adalah sulit, atau “senario”, atau pendirian peribadi.
"Isunya ialah Zuhdi membongkarkan fikiran dan sifat rasis dan ekstremis beliau dalam analisanya.
"Oleh sebab itu, nama beliau masih tidak dapat dibersihkan daripada
tanggapan buruk pelbagai golongan," kata Pua menerusi kenyataannya
semalam.
Pada masa yang sama, Pua mahu PAS mengambil tindakan tegas terhadap
pemimpinnya seperti Zuhdi supaya nama baik PAS yang berslogan “PAS for
All” tidak tercemar.
"Kalau pemikiran yang rasis dan ekstremis tersebut tidak dikesali, kami
tidak beringin Zuhdi terus berada dalam Pakatan Rakyat, mahupun beliau
mungkin tidak berniat keluar," jelasnya.
Zuhdi dalam akaun Facebook menafikan dirinya pencetus cadangan supaya
PAS keluar Pakatan Rakyat dan bergabung dengan Umno membentuk kerajaan
perpaduan (UG) demi mengekalkan kuasa Melayu-Islam di Selangor.
Katanya, analisis senario sebaliknya dibuat berdasarkan permintaan ahli
kumpulan WhatsApp itu yang mahu membayangkan kemungkinan jika PAS
keluar Pakatan Rakyat (PR) dan kesannya kepada Selangor.
"Untuk melakukan analisis senario ini, selain daripada memerlukan
fakta-fakta semasa, daya imaginasi penganalisis juga harus diambil
kira," katanya.
Zuhdi yang lantang mengkritik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
dalam akaun Facebook mendakwa usulnya kemudian disokong kuat lebih 10
orang ahli dalam kumpulan WhatsApp itu yang mana sebahagian besar
daripada mereka amat rapat dengan Anwar.
Namun penjelasan Zuhdi itu disanggah Pua kerana baginya, apa yang
menjadi amarah adalah isi kandungan mesej bukannya pembentangan analisis
tersebut.
Menurut Pua, walaupun ramai yang akan rasa kecewa jika PAS memutuskan
untuk bercerai dengan PKR dan DAP, tetapi pendirian Zuhdi untuk keluar
atau kekal dalam PR bukan tumpuan utama kritikan.
No comments:
Post a Comment