Saturday, December 31, 2016

Tun Mahathir sedia ke mahkamah buktikan salah laku Najib

MALAYSIA DATELINE
 
 
Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia dihadapkan ke mahkamaah bagi membuktikan kesalahan perdana menteri Datuk Seri Najib RazakTun Dr Mahathir Mohamad bersedia dihadapkan ke mahkamaah bagi membuktikan kesalahan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia didakwa di mahkamah untuk membuktikan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dana kewangan milik Kerajaan.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya pendakwaan terhadapnya tidak akan dibuat walaupun dirinya sebelum ini dipanggil polis untuk memberikan kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

“Saya sudah tiga kali disoal dan dipanggil polis. Saya minta kalau mahu tanya, tanyalah di mahkamah dan dakwa saya di mahkamah.

“Saya ada cukup bukti mengatakan bahawa Najib itu pencuri duit,” katanya seperti dipetik Selangorkini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Sengsara Rakyat, di Dataran Morib malam tadi.

Mahathir sebelum ini dipanggil untuk diambil kenyataannya berhubung tulisan yang didakwa menghasut di blognya, “chedet.cc” kerana mengkritik pentadbiran Najib Razak.

Beliau juga pernah diambil keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa menyamakan Perdana Menteri dengan pemimpin diktator Uganda Idi Amin, ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Jun lalu.

Bagaimanapun Mahathir mendakwa, segala kritikan dan dakwaannya terhadap perdana menteri tidak akan berlanjutan ke mahkamah.

“Biasanya kalau kita dakwa seseorang itu mencuri di hadapan orang ramai, tentunya dia ambil saman malu kepada orang buat dakwaan itu kalau dia tak mencuri.

“Tapi beratus orang kata Najib curi duit, dia tak saman sesiapa pun sebab dia memang mencurilah dia tak berani saman,” katanya.

DI MANA MUFTI PERAK?

shahbudindotcom


Dakwaan oleh "seorang tua" bernama Tunku Aziz Tunku Ibrahim kononnya sudah ada kesepatakan antara Tun Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang yang bersetuju menamakan Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU 14, adalah jelas mengarut dan fitnah.

Hakikatnya, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum lagi ada kata putus mengenainya.

Tak malukah "dah tua-tua"  pun masih bergentayangan dengan fitnah di sana sini
 
 
 
 
Malangnya, tidak pula Harussani Zakaria mahu menasihatkan "orang tua" itu agar segera berehat dan lebih menumpukan kepada amal ibadah?

Bukankah "orang tua" sebegini yang lebih afdal agar dinasihatkan berehat, memperbanyakkan amal ibadah dan bermain dengan cucu-cucu berbanding Tun Mahathir yang sedang cuba memperbaiki dan memulihkan pelbagai kerosakan dalam negara?

Lebih dari itu, Tunku Aziz ini juga dikatakan sudah dinyatakan oleh "orang besar TV3" dalam laporannya kepada Perdana Menteri  sebagai antara punca kemerosotan penonton terhadap saluran televisyen itu?

Maka, meminta "orang tua" itu agar berehat dan memperbanyakkan amal ibadah turut merupakan pertolongan tidak langsung dalam memulihkan imej kerajaan dan dapat pula " membodek" Najib kerana menyelamatkannya daripada terus disokong oleh seseorang yang sudah dianggap "tidak berguna" oleh TV3?

Oleh itu, cepat-cepatlah bersuara wahai Tuan Mufti Perak? 


Hanya "ikan bilis" ditangkap jika BOK SPRM dikecilkan

MALAYSIA DATELINE
 
 
Lim Kit SiangLim Kit Siang
Pengecilan Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memungkinkan hanya perasuah tahap “ikan bilis” yang akan ditangkap dan didakwa, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata SPRM pernah menangani kes besar berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), justeru langkah pengecilan itu memperkecilkan komitmen negara melawan rasuah.

“Mesej yang disampaikan sangat jelas – SPRM harus tangkap dan dakwa lebih ramai "ikan bilis" tetapi jangan kacau "ikan yu".

“China boleh tangkap dan penjarakan ‘harimau’ manakala Indonesia pula sambar "buaya" dalam kempen anti-rasuah mereka, tetapi Malaysia tidak boleh tangkap "ikan yu",” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengulas mengenai kemungkinan bahagian yang ditubuhkan 5 tahun lalu untuk menyiasat rasuah berprofil tinggi mencecah RM1 juta dan ke atas itu distruktur semula atau dikecilkan.

Beberapa kes berprofil tinggi yang pernah ditangani bahagian itu termasuk SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB yang kini di bawah Kementerian Kewangan, dan pembelian hartanah di London oleh Felda.

Ia turut menyiasat satu kes rasuah jutaan ringgit di Sabah.

Kepala kemaluan kehitaman, keluarga tuntut penjelasan

HKL
HKL - Foto sumber internet

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri menuntut Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberi penjelasan berhubung insiden kepala kemaluan anak lelaki mereka berusia sembilan tahun menjadi kehitaman dan rosak selepas rawatan.

Aliakbar Pakker Mohmad, 40, dan Rodziah Abdul Razak, 35, mendakwa kepala kemaluan anak tunggal mereka menjadi kehitaman selepas beberapa hari menjalani prosedur penyambungan selepas putus akibat terpotong ketika berkhatan di sebuah klinik di Jalan Ipoh 15 Disember lalu.

Menjelaskan lanjut mengenai insiden berkenaan, Aliakbar memaklumkan, pada hari kejadian dia dan isteri membawa anak mereka ke klinik berkenaan untuk bersunat melalui kaedah gunting.

"Bagaimanapun kami dimaklumkan oleh doktor yang bertanggungjawab menjalankan prosedur sunat itu bahawa keseluruhan kepala kemaluan telah terpotong secara tidak sengaja.

"Doktor tersebut mengaku bertanggungjawab terhadap insiden tersebut dan memaklumkan mereka telah mencantumkan sementara kepala kemaluan itu sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan kecemasan," jelasnya.

Menurutnya, setibanya di hospital swasta berkenaan, mereka kemudiannya diarahkan ke HKL untuk menjalani pembedahan penyantuman semula susulan ketiadaan pakar.

"Pakar di hospital itu memaklumkan seluruh kepala kemaluan terputus dan menulis surat rujukan kepada pihak HKL, sebelum anak dirujuk ke bahagian Urologi ,"jelasnya.

Bagaimanapun terang Aliakbar selepas beberapa hari menjalani operasi penyambungan, seluruh bahagian kepala kemalun yang dicantum menjadi kehitaman pada 27 Disember lalu.

Sementara itu melalui peguam P Uthayakumar berkata, satu surat rasmi telah dihantar kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain kelmarin bagi mendapatkan laporan perubatan kanak-kanak tersebut.

"Kami bagaimanapun dimaklumkan oleh setiausaha mereka tidak boleh menemui kami atau memberi penjelasan mengenai perkara tersebut hari ini," katanya.

Uthayakumar berkata, insiden yang menimpa kanak-kanak tersebut adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak pernah berlaku yang memerlukan rawatan pakar dengan segera.

"Sekiranya HKL tidak mempunyai kepakaran dan peralatan sesuai untuk menjalankan prosedur tersebut, mereka sepatutnya mendapatkan bantuan daripada pihak Baitulmal untuk menghantar kanak-kanak tersebut menjalani rawatan di Arab Saudi atau Singapura yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut," katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak malang tersebut Rodziah berharap masih ada sinar untuk anaknya pulih dan normal seperti orang lain.

"Dia satu-satunya anak kami. Saya masih meletakkan segunung harapan agar masih ada jalan untuk anak saya pulih dan menjadi lelaki normal seperti orang lain," katanya sambil menyeka air mata.

Rodziah berkata, buat masa sekarang anaknya masih belum mengerti mengenai kejadian yang menimpa dirinya namun beliau khuatir perkara itu akan menjadikan anaknya trauma kelak.

Dalam pada itu difahamkan Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan satu kenyataan media sebagai maklum balas insiden berkenaan

'Jamal kena beri kerjasama, bukan kejar populariti'

 Nur Jazlan Mohamed
Nur Jazlan Mohamed


JOHOR BAHRU - Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Seri Jamal Md Yunos diharap memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam menangani jenayah sekali gus tidak mengambil tindakan sendiri bagi meraih populariti dirinya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan pemilik Sekin Fishermen Village Hotel & Resort yang 'menyerbu' pusat judi haram, baru-baru ini, dibimbangi akan menjadi ikutan masyarakat sehingga boleh menimbulkan keadaan luar kawalan.

"Kami mahukan Jamal dan lain-lain bantu polis, bukan bawa media ke tempat itu (premis judi). Kalau hendak bagi maklumat kepada polis... bagi la maklumat. Jangan gunakannya untuk popularkan diri sendiri dan memburukkan polis," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pesta Memancing Sekampung di Sungai Skudai, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jamal serbu pusat judi Ampang pula]

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkenaan yang 'menyerbu' pusat judi haram di Sekinchan, Sabak Bernam dan Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Nur Jazlan berkata, pihak polis mempunyai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) yang sentiasa memantau aktiviti perjudian dan melakukan lawatan mengejut bagi menangani aktiviti berkenaan.

"Saya berharap tindakan Jamal ini dihentikan kerana kami tidak mahu menggalakkan aktiviti 'vigilante' iaitu rakyat mengambil tindakan ikut hati sendiri. Kalau rakyat sudah mula ambil tindakan sendiri, lama kelamaan keadaan keselamatan tidak terkawal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai melahirkan kekecewaan terhadap projek pemulihan Sungai Segget di Jalan Wong Ah Fook, di pusat bandar raya ini yang dilihat gagal memenuhi matlamat asal pemulihannya.

Nur Jazlan berkata, menerusi tinjauan beliau terhadap bahagian pertama sungai yang sudah dibuka, laluan sungai berkenaan didapati sempit dan tidak memenuhi matlamat untuk tarikan pelancongan.

Beliau berkata projek tersebut yang dipertanggungjawabkan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) di bawah Pelan Transformasi Johor Bahru bertujuan meluruskan sungai dan mengatasi pengairan, namun, kejadian banjir kilat masih berlaku.

"Saya kecewa dengan Irda kerana pengurusan dan perancangan projek yang lemah...mungkin kerana pemilihan kontraktor dan konsultan dari luar Johor Bahru yang menyebabkan projek bernilai kira-kira RM200 juta itu belum siap sepenuhnya," katanya.

Menurut Nur Jazlan, projek pemulihan Sungai Segget sepatutnya siap awal Januari ini tetapi pada masa ini terdapat banyak kerja belum selesai di sepanjang laluan Jalan Wong Ah Fook termasuk tiga kejadian banjir kilat yang berlaku pada bulan ini. - Bernama


AMANAH tuntut penjelasan SPRM laporan dakwa BOK dikecilkan

MALAYSIAKINI




Parti Amanah Negara (AMANAH) meminta penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan yang mendakwa Bahagian Operasi Khas (BOK) - yang mengendalikan kes-kes berprofil tinggi termasuk skandal 1MDB - telah dikecilkan.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub menggesa satu kenyataan rasmi dari suruhanjaya itu untuk menjelaskan mengapa bahagian ini dilaporkan telah dikecilkan.

Sedangkan, katanya dalam satu kenyataan, keperluan untuk ianya diperkasakan sangat mendesak mutakhir ini, dengan pendedahan perkembangan dan penemuan baru mengenai skandal 1MDB yang menuntut siasatan kes itu dibuka semula.

Malaysiakini yang memetik sumber yang biasa dengan perkembangan itu, telah melaporkan bahawa bahagian yang bertanggungjawab menyiasat beberapa besar sebelum ini dikatakan sedang dikecilkan atau berdepan dengan penyusunan semula.

Bahagian tersebut ditubuhkan kurang daripada lima tahun lalu untuk menyiasat kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan ahli-ahli politik, atau rasuah yang melibatkan jumlah lebih RM1 juta.

Ia tidak diketahui sama ada langkah yang dikatakan itu, telah dipersetujui atau disokong oleh Ketua Pesuruhjaya baru SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, kata sumber itu.

Antara kes disiasat bahagian itu termasuk SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB yang kini di bawah Kementerian Kewangan.

Kes-kes lain yang dalam siasatannya ialah pembelian hartanah hotel oleh Felda di London dan kes rasuah infrastruktur air di Sabah.

Sementara itu, Salahuddin berkata AMANAH "kecewa teramat sangat" jika laporan berkenaan pengecilan BOK itu benar.

"Diharapkan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Dzulkifli Ahmad dapat menjelaskan perkara ini bagi memastikan badan ini terus dilihat berwibawa dan berintegriti dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM, termasuk Dzulkifli bagi mendapatkan komen mengenai perkara itu tetapi masih belum menerima respons.

Tahun lepas, SPRM dilaporkan telah menyoal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selama dua jam setengah berkaitan RM42 juta wang SRC dan 'derma' RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, bagaimanapun, membersihkan Najib daripada sebarang salah laku awal tahun ini.

Kereta 'terbang', pemandu tiada lesen


Kereta 'terbang', pemandu tiada lesen
Orang ramai meninjau keadaan kereta yang terbabas ke bawah jambatan Tangok petang semalam.


BACHOK – Sebuah kereta Proton Satria ‘terbang’ ke bawah jambatan Tangok sehingga menggemparkan penduduk setempat petang semalam.

Timbalan Ketua Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, kereta itu dinaiki empat remaja berusia 16 hingga 20 tahun yang dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Melawi menghala ke arah Jelawat.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbabas jatuh ke bawah jambatan Tangok.

“Kami menerima panggilan  kira-kira jam 4.05 petang yang memaklumkan terhadap sebuah kereta terbabas ke bawah jambatan Tangok. Kereta itu dipandu seorang lelaki Melayu berusia 20 tahun yang dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.

“Penumpangnya sebelah kiri pemandu seorang wanita berusia 16 tahun seorang pelajar sekolah di Kota Bharu. Manakala penumpang di belakang pula seorang lelaki dan wanita berusia 16 tahun yang dikatakan pelajar dari sekolah berdekatan. Semua mangsa cedera di bahagian kepala dan beberapa anggota lain,” katanya.

Azmi berkata, ketika kejadian itu berlaku di jalan lurus, lalu lintas agak sibuk namun cuaca baik.

Beliau berkata, semua mangsa berada di hospital Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Kenapa saya pula kena siasat?

 NOR AZIHAN MD GHAZALI
 
 
Kenapa saya pula kena siasat?
Mohamed Azmin menunjukkan salinan kenyataan polis dan keratan akhbar selepas memberikan keterangan di IPD Shah Alam. - Foto: Afiq Razali
 

SHAH ALAM - "Saya hanya minta siasat bagaimana anak ketua polis negara memperoleh lesen perniagaan senjata api, sebaliknya kenapa saya pula yang disiasat?," soal Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaik selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.

Beliau tiba di IPD itu jam 5 petang ditemani peguam, N Surendran dan Latheefa Koya serta puluhan penyokong daripada PKR serta Bersatu.

Pada masa sama, beliau meluahkan rasa kecewa dengan tindakan polis merakamkan keterangannya atas satu pertuduhan selepas pihaknya mengkritik anak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Sebenarnya rakaman yang diambil sebentar tadi (semalam) adalah satu ucapan ceramah, di mana saya minta supaya anak Khalid disiasat selepas anaknya didakwa mendapat lesen penjualan senjata api.

“Saya sekadar minta disiasat apakah sistem hari ini, perdana menteri dan ketua polis negara tidak boleh disiasat? Sedangkan saya tunjuk kepada pihak polis tadi (semalam) bahawa beliau (Khalid) sendiri mengaku bahawa anaknya memperoleh lesen perniagaan senjata api sebelum beliau menjadi ketua polis negara,” katanya.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan adakah tindakannya meminta siasatan dilakukan terhadap anak Khalid sebagai satu kesalahan.

“Sebab itu saya rasa dukacita, sebab banyak masa dibuang semata-mata untuk menekan saya agar tampil memberikan keterangan.

“Bagaimanapun saya bersedia tentang apa juga kemungkinan di atas siasatan ini, kerana apa yang ditekankan satu proses perolehan yang mestilah telus, terbuka dan bertanggungjawab,” katanya.

Mohamed Azmin dipanggil polis bagi memberikan keterangan susulan kenyataan mempersoalkan perolehan lesen perniagaan senjata api milik anak Khalid dalam satu ceramah pada 3 Mac lalu.

N Surendran berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Terdahulu, Khalid mengakui firma senjata api yang dikaitkan dengan anak perempuannya itu memperoleh lesen perniagaan sebelum beliau dilantik menjadi ketua polis negara.

Khalid berkata demikian ketika mengulas satu artikel Sarawak Report bahawa anaknya, Juwiza dan adik iparnya, Mohd Isa Hussin pemilik Nilai Arms & Ammunition (NAA).

MP PAS pertahan kehadirannya di majlis Umno UK

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali berkata kehadirannya di sebuah majlis kelab Umno di London pada hari Selasa adalah salah satu daripada beberapa acara lain di mana beliau telah mengambil bahagian di United Kingdom.

Menurut Khairuddin, beliau dan seorang lagi ahli Parlimen PAS, Mohd Izani Husin (Pengkalan Chepa), dalam lawatan untuk bertemu rakyat Malaysia yang tinggal di UK dan mempunyai lebih daripada 10 program yang dirancang.

Antaranya, kata beliau, adalah program untuk menjelaskan mengenai rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355) kepada rakyat Malaysia di London pada 27 Disember melalui Kelab Umno London, di mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.

Khairuddin menegaskan bahawa RUU355 merupakan inisiatif PAS yang disokong oleh kerajaan persekutuan.

Sambutan positif dari semua yang hadir dan soalan-soalan yang dibangkitkan, katanya, menunjukkan bahawa usaha murni itu disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia di luar negara.

Khairuddin berkata terdapat acara-acara lain di Birmingham, Manchester, Dublin dan Belfast.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapa penganjur acara-acara tersebut.

Penjelasan Khairuddin itu dibuat ekoran kehadirannya bersama dengan Jamil Khir di majlis Umno itu menjadi perhatian.

Terdapat spekulasi berulangkali diperkatakan mengenai kemungkinan kerjasama politik antara Umno dan PAS.

Bagaimanapun, PAS menegaskan bahawa kerjasama itu adalah terhad dan tidak merangkumi kerjasama pilihan raya.

6 pegawai SPRM terlibat dalam siasatan SRC dipindahkan

MALAYSIAKINI


Enam pegawai kanan di Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat secara langsung dalam siasatan terhadap SRC International, telah dipindahkan.

Difahamkan enam pegawai berkenaan dalam pasukan penyiasat itu, termasuk timbalan ketua bahagian itu, Tan Kang Sai.

BOK ditubuhkan pada 2010 untuk mengendalikan kes-kes berprofil tinggi serta kes-kes yang melibatkan rasuah lebih RM1 juta.

Dua pegawai dari pasukan itu telah dipindahkan pada bulan Oktober, manakala selebihnya, termasuk Tan, dipindahkan bulan ini. Kekosongan jawatan mereka yang dipindahkan dari unit khas itu, tidak diisi.

Difahamkan empat daripada mereka telah dipindahkan ke bahagian siasatan SPRM, manakala yang lain dipindahkan ke SPRM negeri dan agensi-agensi kerajaan yang lain.



Kejar pangkat boleh tapi jangan cara haram

kerja
Gambar hiasan.


SHAH ALAM - Tanamkan sifat taqwa dan integriti dalam menghadapi dugaan hidup yang penuh dengan cabaran. Demikian antara intipati ucapan Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Datuk Seri Zakaria Jaafar sempena Ucapan Tahun Baharu 2017.

Ujarnya, bagi menjauhi rasuah, individu harus menjauhkan diri daripada sikap tamak, mementingkan diri sendiri dan tidak amanah.

"Buatlah apa yang boleh kita buat. Jangan buat perkara yang kita tidak boleh buat seperti maksiat dan perbuatan haram.

"Jangan kita ambil mudah dalam memperolehi sesuatu dengan perbuatan yang salah dari sisi agama mahupun undang-undang. Hindarkan sikap ego dan sombong diri agar segala perbuatan dan keputusan yang dibuat akan berlandaskan pada nilai integriti yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zakaria menasihati orang ramai supaya berusaha dengan cara yang betul dan berintegriti dalam mengejar pangkat, kedudukan dan kekayaan.

"Jangan kita ambil hak orang lain dan menindas orang yang lebih rendah dari kita hanya untuk mencapai apa yang kita kehendaki. Kejayaan yang sangat manis dan bermakna ialah kejayaan yang diperolehi dengan hasil usaha dan tenaga kita melalui jalan yang betul. Kerana rezeki yang baik akan menjadikan kita keluarga yang baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menanam semangat bermaafan dan ringan tangan dalam menjalankan tugas harian.

"Semangat ini akan membawa kita kepada sifat taqwa, kesyukuran dan sentiasa bersangka baik dalam menjalankan tanggungjawab. Intergriti itu adalah dalam diri kita sendiri. Yakinilah segala perbuatan baik akan dibalas dengan baik dan begitu juga sebaliknya," katanya lagi.

Tambah Zakaria lagi, tahun 2017 diramalkan akan lebih mencabar akibat dari keadaan ekonomi yang bergolak, tekanan dari negara luar terhadap isu 1MDB, kenaikan harga barang dan ramalan kehilangan pekerjaan yang dijangka mencapai 50,000 pekerja dari semua sektor.

"Belia dan golongan cendiakawan yang menjadi harapan negara kini menjadi sasaran perasuah bagi memenuhi keperluan mereka memperolehi keuntungan. Kemerdekaan dan Pembangunan Negara yang dibina selama 59 tahun akan musnah dan terkubur dengan sekelip mata akibat dari perbuatan rasuah," katanya.

Oleh itu, ujarnya "tanggungjawab memerangi rasuah terletak pada semua rakyat Malaysia. Rasuah akan terus berleluasa sekiranya masyarakat hanya menunding jari, berpuak-puak dan berpecah belah menyalahkan satu sama lain," katanya

'Siasat campur tangan luar dalam pengambilalihan EHP oleh Felda'

Geraldine Tong 



Polis digesa menyiasat sama ada terdapat campur tangan luar dalam keputusan Felda memperoleh kepentingan 37 peratus dalam PT Eagle High Plantations Tbk Indonesia.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata beliau telah memberikan maklumat mengenai perkara ini kepada pihak polis semasa disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

"Saya telah memberi maklumat untuk membantu pihak berkuasa supaya mereka boleh memulakan siasatan sama ada atau tidak terdapat gangguan atau arahan daripada pihak atasan, sama ada di peringkat lembaga pengarah atau daripada ahli-ahli politik atau kerajaan kepada Felda untuk meneruskan pengambilalihan Eagle High.

"Oleh kerana memandangkan kedudukan kewangan Felda, tidak ada ahli lembaga akan bersetuju dengan pengambilalihan itu," katanya dalam sidang media hari ini selepas disoal siasat oleh pihak polis berikutan laporan polis terhadap Felda pada Khamis lalu.

Dakwa rasuah kepimpinan tertinggi, 200 ahli Umno sertai BERSATU

 
 
 
Lebih 200 anggota Umno hari ini menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kebanyakan mereka yang merupakan anggota cawangan Umno Sri Muda menyerahkan sebanyak 212 borang keahlian.

Anggota Majlis Tertinggi BERSATU Abu Bakar Yahya yang menerima borang keahlian tersebut berharap akan dapat mencapai matlamat parti itu mensasarkan satu juta ahli.

"Jangan fikir tentang mendapatkan jawatan dalam parti atau tidak, sebaliknya, marilah kita bersama-sama mencapai matlamat parti," katanya dalam sidang media yang diadakan di Taman Sri Muda, hari ini.

Sementara itu, bekas timbalan ketua pemuda Umno Cawangan Sri Muda Zul Iskandar Jamaluddin berkata beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno kerana rasuah  yang dikatakan berlaku dalam kalangan pemimpin Umno bahagian.

Zul Iskandar, yang telah menjadi anggota Umno selama 12 tahun, berkata kesilapan pemimpin telah menyebabkan peningkatan kos sara hidup.

"Kami, anak muda, berasa beban, terutama mereka yang telah berkahwin. Ini adalah sebab mengapa kami mengambil keputusan untuk menyertai BERSATU,"katanya.

Beliau juga berikrar akan menarik lebih ramai anggota Umno, terutama golongan belia menyertai BERSATU.
Abu Bakar dalam ucapannya pada majlis itu, berkata sebagai Melayu dan Islam, beliau sepatutnya berbangga kerana mempunyai seorang perdana menteri yang juga Melayu dan Islam.

"Tapi saya malu mempunyai PM yang dikecam dihina sehingga tak membela diri beliau melalui sistem kehakiman yang ada," katanya.

Selain pemimpin akar umbi Bersatu, majlis hari ini turut menyaksikan pemimpin dari masing-masing Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR cawangan Taman Sri Muda.

Ini bukan kali pertama Umno menghadapi "pembelotan" dalam parti itu.

Sebelum ini sekumpulan 110 anggota akar umbi Umno Selangor mengumumkan mereka menyertai BERSATU pada September lalu.


Jamal 'tawar diri' jadi presiden FAS

MALAYSIAKINI



Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos menawarkan dirinya sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatan itu semalam.

Perkara itu dinyatakan Jamal menerusi akaun Facebooknya hari ini.

“Setelah MB Selangor Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan Sebagai Presiden FAS. Hari ini 31 12 16 saya Datuk Seri Jamal Md Yunos menawarkan diri saya sebagai pengganti beliau. Jika tidak ada calon lain lagi setakat ini,” tulis Jamal di Facebooknya.

Tidak dapat dipastikan sama ada Jamal benar-benar serius atas tawaran itu atau sekadar berseloroh.
Sementara itu Malaysiakini mendapati terdapat dalam kalangan pengguna Facebook bersetuju sekiranya Jamal memikul tanggungjawab itu.

Antaranya, Nadzlie Awang Ali yang berkata "Kebaikan dan keburukan tetap ada pada setiap manusia tapi cuba kita pandang yang baik pula pada niat Dato Jamal Yunos.

"Mungkin FAS akan lebih baik di bawah kepimpinan beliau. Kita sama-sama tunggu dan lihat," tulisnya di ruangan komen Facebook milik Jamal.

Selain itu, Nong Hj Ibrahim pula berkata "Tahniah DS Jamal...seorang yang berani, lantang menyuarakan isu-isu panas...Kewangan mantap .. Connection dengan pemerintah kukuh. Ada gaya ..darah muda," katanya.

Bagaimanapun tidak kurang juga yang memperlekehkan 'niat' Jamal menerajui FAS.

"Terima kasih sekali lagi kerana sudi melakar senyuman di bibir ini. Teruskan dengan lawak anda. Anda mempunyai bakat lawak yang no 1 di planet," tulis Muhammad Nuh Adam.

Semalam Azmin serta dan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor Amirudin Shari membuat keputusan untuk tidak bersama FAS.

Azmin beliau membuat keputusan itu kerana mendakwa FAS dan pihak pengurusannya tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak negeri Selangor.

Bagaimanapun Azmin berkata kerajaan negeri akan tetap memberikan sokongan kepada kemajuan sukan bola sepak Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak.

Pakatan sulit: Bekas ahli DAP beri amaran kepada Tun M

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Zulkifli Mohd Noor hari ini memberi amaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berhati-hati sebelum membuat sebarang perjanjian sulit bersama Lim Kit Siang.
 
Ini kerana ujarnya, DAP sebelum ini pernah mengeluarkan Deklarasi Setapak DAP 1967 yang didakwa boleh menggugat keharmonian antara kaum.
 
Beliau turut mempersoalkan mantan perdana menteri itu apakah beliau sedar kewujudan deklarasi berkenaan sebelum memeterai perjanjian sulit dengan parti yang pernah dituduhnya sebagai rasis.
 
"Perjanjian sulit patut diumumkan. Tak perlu sulit. Sebab kita pun mahu tahu perjanjian tersebut, apakah Dr Mahathir biasa membaca Deklarasi Setapak?
 
"Deklarasi berkenaan dibuat pada 1967, berkenaan apa itu DAP, apakah perjuangannya. Deklarasi ini sepatutnya dibaca oleh Dr Mahathir. Jika beliau sebagai PM selama 22 tahun dan terlepas pandang siapa itu DAP dan perjuangan pemimpinnya, jika beliau baca kandungannya mungkin Dr Mahathir akan insaf. Bahawa sokongan yang diberikannya terhadap DAP akan memudaratkan negara," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Deklarasi Setapak itu menyebut bahawa DAP mahu 'memperbetulkan' prinsip pembangunan negara dalam sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dengan mengelakkan berlakunya hegemoni perkauman oleh mana-mana komuniti.
 
Ia juga menyebut bahawa usaha berkenaan perlu ditumpaskan dan disingkirkan sama sekali atas dasar keinginan dan boleh dilakukan.
 
Dasar yang diambil DAP menerusi Deklarasi Setapak itu bertentangan dengan salah satu Wasiat Raja-raja Melayu pada 5 Ogos 1957 yang menjamin hak dan keistimewaan kaum Melayu.
 
Zulkifli berkata demikian sebagai mengulas pendedahan yang dibuat bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pada semalam bahawa wujudnya pakatan sulit antara Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Pakatan yang dimeterai 3 Disember lalu menetapkan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak adalah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Kit Siang.
 
DAP hanya jaga kepentingan parti
 
Tunku Aziz juga mendakwa tindakan Kit Siang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sementara hanyalah satu cubaan 'political red herring' (politik mengalih tumpuan). 
 
Ini kerana, katanya, Kit Siang percaya pengundi Melayu tidak akan mengundi pakatan pembangkang jika mengetahui pemimpin itu berhasrat menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri.
 
"Di sebalik tabir (pendedahan) Tunku Aziz itu mungkin ada kebenarannya. Dan perjanjian sulit sebegini amat berbahaya kepada rakyat kerana ia akan berlaku, dikotakan selepas PRU14, dan akan mendatangkan kejutan kepada rakyat," ulas Zulkifli lagi.
 
Mengaitkan Deklarasi Setapak dalam dakwaan pakatan itu juga, Zulkifli yang juga bekas naib presiden DAP berkata Kit Siang akan menggunakan apa sahaja cara dalam 'menghalalkan' matlamat politik peribadinya dan parti secara keseluruhan.
 
"Kit Siang cuba naik 'tangga' untuk mencapai Deklarasi Setapak.
 
"Kit Siang dahulu menggunakan orang Melayu DAP. Selepas Melayu DAP terkubur, beliau menggunakan Anwar, selepas beliau masuk penjara dan masuk penjara sekali lagi, Kit Siang cuba menggunakan Dr Mahathir pula," ujarnya.
 
Tunku Abdul Aziz juga yakin pakatan sulit ini tidak disedari pemimpin pembangkang yang lain termasuk Wan Azizah, Muhyiddin dan pimpinan Parti Amanah Negara.
 
Katanya, beliau yakin pendedahan ini akan mewujudkan pergolakan dalam kalangan pimpinan pakatan pembangkang kerana mustahil perancangan itu dapat diterima secara konsensus dalam kalangan mereka.
 
Walau bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, Kit Siang menafikan wujudnya pakatan sulit berkenaan.
 
 
 

Kereta api Tumpat-Kuala Lipis tergelincir

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA KRAI: Sebuah kereta api dari Tumpat menghala Kuala Lipis tergelincir berhampiran terowong di Bukit Abu, Dabong, di sini, pagi tadi akibat berlaku tanah runtuh. 
 
Seramai 37 penumpang termasuk empat kakitangan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian jam 8 pagi itu. 
 
Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Zaid Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 
 
 
Semua penumpang dihantar ke Kuala Lipis menggunakan bas bermula jam 1 tengah hari tadi.
 
"Akibat kejadian itu, perkhidmatan kereta api dari Tumpat ke Gua Musang dihentikan buat sementara waktu sehingga kerja membaik pulih landasan selesai. 
 
"Bagi perkhidmatan kereta api ekspres ke Johor, perjalanan akan bermula di Gua Musang. Proses membaik pulih dijangka mengambil masa selama seminggu," katanya.

33 buah sekolah di Terengganu ditutup akibat banjir

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 pelajar di 33 sekolah di lima daerah di Terengganu tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2017 esok berikutan banjir sejak awal pagi tadi.
 
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata daerah paling teruk terjejas ialah Hulu Terengganu apabila 22 sekolah iaitu 19 sekolah kebangsaan dan tiga sekolah menengah dilanda banjir.
 
"Enam sekolah di Hulu Terengganu yang dilanda banjir ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Teris, SK Tapah, SK Tengkawang, SK Kuala Ping, SK Kua dan SMK Bukit Diman," katanya.
 
Sebanyak 16 sekolah lain di Hulu Terengganu pula tidak dapat beroperasi esok kerana laluan ke sekolah ditenggelami air iaitu SK Padang Setebu, SK Sungai Berua, SK Sungai Buloh, SK Kuala Jenderis, SK Matang, SK Lubuk Periuk, SK Bukit Tadok, SK Nibong, SK Betong, SK Pereh, SK Felda Tersat, SK Menerong, SK Cheting, SK Padang Setar, SMK Menering dan SMK Kuala Jenderis.
 
Di Marang, SK Sentol Patah turut dilanda banjir manakala empat sekolah lagi tidak boleh beroperasi esok kerana dijadikan pusat pemindahan untuk mangsa banjir iaitu SK Kubu, SK Pengkalan Berangan, SK Bukit Gasing dan SMK Merchang, katanya.
 
"Di daerah Kuala Terengganu pula, tiga sekolah terpaksa ditutup kerana dinaiki air iaitu SK Kampung Bukit di Chendering, SK Undang dan SK Padang Midin.
 
"Di daerah Setiu, dua sekolah ditutup esok iaitu SMK Langkap yang dijadikan pusat pemindahan banjir dan SK Merbau Menyusut kerana dinaiki air manakala sebuah sekolah di Dungun yang dinaiki air ialah SK Seri Paka," katanya. 
 
Sehubungan itu, Shafruddin meminta ibu bapa supaya lebih prihatin dengan perkembangan terbaharu banjir dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan sekolah anak mereka.
 
"Sekolah hanya beroperasi semula apabila banjir reda dan keadaan pulih seperti biasa," katanya.
 
Terengganu mengalami hujan setiap hari sejak minggu lepas dan semakin lebat mulai Jumaat.
 
 

Ringgit tenat, rakyat Malaysia tak ghairah melancong

 
Agensi pelancongan berkata kebanyakan rakyat Malaysia membatalkan hasrat bercuti ke luar negara kerana memikirkan kos tinggi yang terpaksa dibelanjakan.


ringgit-malaysia-1


PETALING JAYA: Kejatuhan nilai ringgit pada tahun ini menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak melancong ke luar negara, kata agensi pelancongan.

Presiden Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Harith Mohd Ali berkata ramai membatalkan hasrat bercuti ke luar negara sama ada bersama keluarga atau rakan kerana memikirkan kos yang terpaksa dibelanjakan begitu tinggi.

“Berdasarkan pengalaman kami, tahun ini memang ada penurunan permintaan rakyat melancong ke luar negara dan syarikat saya sendiri mengalami penurunan 10% berbanding tahun lalu.

“Keghairahan rakyat untuk melancong tidak seperti dulu kerana mereka memikirkan kos terutamanya apabila keadaan ekonomi kita terjejas dengan nilai tukaran mata wang yang begitu rendah,” katanya.

Sebagai contoh, katanya pakej ke Beijing pada awal 2016 ialah RM3,000, namun meningkat 20% hingga 25% susulan kejatuhan nilai ringgit.

China antara negara paling diminati rakyat Malaysia untuk dikunjungi selepas Korea dan Jepun.

Pengurus J Horizons Sdn Bhd Saira Sani berkata syarikatnya pada masa ini hanya bergantung kepada permintaan syarikat korporat yang masih setia melanggan dengan agensi pelancongan.

“Kami bertahan sebab adanya syarikat korporat yang memberi sokongan dan selain kejatuhan nilai ringgit, kemunculan perkhidmatan atas talian memperlahankan lagi permintaan terhadap agensi pelancongan kerana sekarang semua tempah hotel dan pengangkutan melalui atas talian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar My Caring Borneo Sdn Bhd Linna Masud berkata pihaknya masih menganggap kejatuhan nilai mata wang negara tidak memberi kesan besar kepada rakyat untuk melancong terutamanya golongan muda.

“Tukaran rendah tidak jejaskan pelancongan ke luar negara kerana trend terkini melancong setiap tahun. Ia juga antara penyumbang utama sumber ekonomi negara malah setiap tahun kadar peratusan meningkat.

“Kebanyakan golongan remaja lebih agresif berbanding dewasa kerana 30% daripadanya memilih untuk bercuti di, Bali, Lombok, Maldives dan Boracay di Filipina,” katanya.

Harith berkata pihaknya tidak nampak akan adanya peningkatan permintaan rakyat untuk melancong ke luar negara pada 2017 jika keadaan ekonomi kita terus lembap.

“Saya tidak melihat akan ada peningkatan untuk 2017, berdasarkan keadaan ekonomi sekarang, namun saya berharap kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memulihkan ekonomi negara dan menstabilkan kembali tukaran mata wang asing negara,” katanya.

Linna berkata antara langkah yang boleh diambil kerajaan ialah mengadakan promosi harga tiket penerbangan yang dapat menarik kembali orang ramai bercuti ke luar negara

Jika gagal masuk Myanmar, flotila Rohingya tuju Bangladesh

 
Penganjur berkata kerajaan Myanmar tidak perlu bimbang kerana misi itu membawa bantuan makanan dan perubatan untuk etnik Rohingya, bukannya senjata.


flotalia


SELAYANG: Penganjur misi flotila ke Myanmar bagi membantu etnik Rohingya akan menukar hala tuju jika tidak mendapat kebenaran masuk dari kerajaan Myanmar.

Koordinator Jelajah Untukmu Rohingya, Mohd Hakim Mohd Nor berkata mereka akan ke pelabuhan Bangladesh jika gagal memasuki pelabuhan Myanmar.

“Jika kita tidak dapat masuk ke pelabuhan Sittwe, Myanmar kita akan pergi ke Teknaf di Bangladesh. Kita sudah membuat visa untuk ke Myanmar dan Bangladesh. Kita akan letakkan barang di Teknaf.

“Pelabuhan di Teknaf itu berhampiran perairan Myanmar. Kita akan serahkan bantuan kepada etnik
Rohingya yang berada di kem pelarian di Bangladesh,” katanya pada sidang media di Sekolah Pelangi Kasih, hari ini.

Sebelum ini, jurucakap pejabat presiden Myanmar, Zaw Htay menafikan menerima permohonan daripada penganjur flotila misi bantuan kemanusiaan itu dan berkata tidak akan menerima ketibaan jika mereka tidak mendapat kebenaran terlebih dulu.

Bagaimanapun, Htay berjanji tidak akan melakukan serangan sebaliknya hanya tidak akan menerima kedatangan mereka.

Hakim berkata sebelum bertolak pada 10 Januari depan, pihaknya akan bertemu dengan wakil kerajaan Myanmar bagi membuat permohonan sekali lagi.

“Insya-Allah saya sendiri bersama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) serta NGO lain akan pergi ke Yangon sebelum kapal bertolak untuk memastikan keselamatan misi ini.

“Kerajaan Myanmar kata kita tidak ada memohon permit masuk, atas dasar itu kita akan cuba berjumpa dengan wakil kerajaan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Myanmar tidak seharusnya bimbang dan khuatir kerana misi berkenaan tidak membawa senjata atau ancaman sebaliknya hanya misi keamanan.

“Kalau ada masalah, ia menunjukkan kerajaan Myanmar sangat tidak berperikemanusiaan. Kita hanya hantar makanan, pakaian ubatan, apa salahnya nak hantar?

“Kita bukan nak hantar barangan berbahaya, kita hendak bantu atas nama kemanusiaan, jika itu tidak dibenarkan, terbukti kerajaan Myanmar tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Pada 29 November lalu, media melaporkan Mapim bersama 28 NGO antarabangsa akan menghantar 1,000 tan beras, bantuan perubatan dan keperluan lain kepada masyarakat Rohingya yang dizalimi tentera Myanmar.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abd Hamid dilaporkan berkata misi Flotila ke Myanmar bersama NGO dari 20 negara itu akan belayar pada 10 Januari dengan disertai kira-kira 50 sukarelawan terdiri daripada pegawai perubatan dan aktivis kemanusiaan.

Myanmar sebelum ini berkata akses ke Rakhine akan dibuka untuk penghantaran bantuan kemanusiaan, tetapi ada masyarakat Rohingya tertentu yang dilarang mendapatkan bantuan atas alasan keselamatan.

2017 sukar diramal, mungkin bahaya, kata Salleh

 
Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata pendapat ini berdasarkan, antara lain konflik di Timur Tengah, perang mulut antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) serta cerita palsu yang disebarkan mengenai Malaysia.


salehh-keruak


KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini berkata 2017 “menjanjikan tahun yang paling sukar diramal dan mungkin ‘berbahaya’ untuk seluruh dunia”.

Beliau berkata pendapat ini berdasarkan, antara lain konflik di Timur Tengah, perang mulut antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) serta cerita palsu yang disebarkan mengenai Malaysia.

Menerusi catatan terbaharu dalam blognya, Salleh berkata konflik di Timur Tengah akan meningkat menjadi satu tragedi yang tidak ada bandingannya dalam sejarah jika gencatan senjata tidak dapat bertahan.

Beliau berkata perang mulut antara Rusia dan AS juga mengancam untuk membawa dunia kembali ke era perang dingin apabila dunia berdepan dengan senario sangat serius yang boleh berakhir dengan kemusnahan.

“Harapan kami ialah dengan kedatangan tahun baru, (Presiden Amerika yang dipilih) Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin akan duduk bersama dan menyelesaikan perbezaan mereka (AS dan Rusia),” katanya.

Perang mulut antara AS-Rusia berhubung dakwaan Rusia menggodam pilihan raya presiden AS 2016 meningkat sejak beberapa hari lepas, dengan pentadbiran Obama menuduh Rusia terlibat dalam usaha memastikan kemenangan Trump sebagai presiden dalam pilihan raya itu.

Salleh berkata: “Banyak salah faham ini disebabkan persepsi dan maklumat yang salah dan kemudian berkembang menjadi konflik. Pergaduhan antara AS-Rusia merupakan kes berdasarkan khabar angin dan syak wasangka”.

Beliau berkata Malaysia turut mengalami keadaan yang sama.

“Cerita palsu mengenai negara ini disebarkan. Ada yang kata Malaysia akan bankrap. Kemudian mereka katakan Tabung Haji akan bankrap. Semua cerita negatif dan mengelirukan ini berterusan,” katanya.

Salleh berkata rakyat Malaysia cenderung untuk menerima berita palsu dan pembohongan sebagai fakta tanpa memeriksa kebenaran dan kesahihan berita berkenaan.

“Sekiranya kita mahu mengelak daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan, maka kita perlu mengesahkan apa saja perkara yang diberitahu kepada kita,” katanya

JKR Ambil Alih Semua Projek Bina Bangunan Kerajaan

 Oleh: SIRA HABIBU
 
 


PETALING JAYA: Kementerian dan agensi kerajaan dilarang daripada terus melaksanakan pelbagai jenis projek pembinaan bangunan mulai sekarang.

Menerusi Rancangan Malaysia ke-11, pelaksanaan projek-projek berkenaan kini adalah tugas Jabatan Kerja Raya (JKR).

Berdasarkan notis bertarikh 16 Disember, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pelan pra-diluluskan (PAP) bagi 17 jenis bangunan telah disediakan dalam usaha untuk mengurangkan masa perancangan projek dan kos.

Peraturan baharu itu berkuatkuasa daripada tarikh notis dikeluarkan.

Ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan kementerian dan agensi diberitahu untuk memastikan bahawa semua projek dikemukakan dan dilaksanakan oleh JKR.

PAP memberi tumpuan kepada fungsi untuk mengurangkan proses yang rumit dan mahal.

"Ia adalah wajib untuk semua agensi kerajaan mematuhi syarat itu," kata Mohd Irwan.

JKR katanya juga tidak dibenarkan untuk memberi pengecualian kepada kementerian atau agensi mengenai perkara itu.

Jawatankuasa Tindakan Negara membuat keputusan pada 30 September lalu untuk tidak membenarkan kementerian dan agensi melaksanakan projek pembinaan sendiri.

Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk melaksanakan keputusan Majlis Tindakan Negara.

Sebelum ini, sepertimana yang diberikan dalam Pekeliling Perbendaharaan 182, kementerian dibenarkan untuk mendapatkan perkhidmatan perundingan apabila jabatan-jabatan teknikal JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran tidak mampu menyediakan perkhidmatan yang diperlukan.

Ketika itu sebahagian daripada garis panduan bagi pelaksanaan pelan kedua untuk Rancangan Malaysia Ke-10 dilaksanakan pada tahun 2012.

Walau bagaimanapun, Perbendaharaan tidak lagi membenarkan pengecualian itu.

"JKR perlu memastikan pengecualian kepada Pekeliling 182 tidak lagi diberikan kepada mana-mana kementerian atau agensi untuk memastikan kelancaran pelaksanaan keputusan Jawatankuasa Tindakan Negara," kata beliau.

JKR telah menyediakan 100 reka bentuk PAP untuk 17 jenis bangunan termasuk kuarters kerajaan, sekolah, pusat-pusat tahanan, balai polis, balai bomba dan penyelamat, bengkel, masjid, surau, dewan dan klinik kesihatan.

Bangunan lain adalah pejabat-pejabat kerajaan, asrama, klinik penjagaan dan rawatan, garaj, sekolah dan kemudahan sukan serta perpustakaan.

Mohd Irwan juga mengumumkan bahawa jawatankuasa Sistem Pembinaan Industri (IBS) telah dibubarkan.

"Isu-isu dasar IBS untuk projek-projek kerajaan boleh dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negara," katanya.

Walaupun semua projek kerajaan perlu dilaksanakan dengan menggunakan kaedah IBS, pengecualian boleh dibuat dengan persetujuan terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah JKR.

Walau bagaimanapun, pengecualian kepada peraturan IBS itu hanya boleh dibuat untuk projek bernilai RM10 juta di bawah, dan untuk pengubahsuaian struktur yang sedia ada yang tidak melibatkan pembinaan bangunan baru.

Friday, December 30, 2016

Harga runcit RON95, diesel dijangka meningkat Januari ini

BERNAMA
 
 
Datuk Lokman Noor AdamDatuk Lokman Noor AdamHarga runcit petrol RON95 dan diesel dijangka meningkat pada Januari ini berikutan harga pasaran minyak mentah dunia mencatat peningkatan bulan ini, kata Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata harga runcit RON95 dan diesel ditetapkan mengikut purata harga bahan api itu di pasaran dunia selama sebulan selain dipengaruhi oleh pergerakan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika.

"Purata maksudnya harga dari tarikh 1 hingga 31 dibahagi dengan 31 hari. Bukan mengikut harga di hujung bulan seperti pemahaman sesetengah pihak.

"Dengan pengukuhan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia kini, ia mengakibatkan kos pembelian minyak juga meningkat. Ia memberi kesan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lokman Noor berkata harga runcit petrol dan diesel ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran bermula 1 Dis 2014 berikutan kejatuhan harga minyak dunia ketika itu.

Lokman Noor berkata masih ramai tidak dapat menerima bahawa kerajaan perlu menghentikan pemberian subsidi secara pukal dan membantu mereka melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.
Katanya subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti golongan kaya dan miskin menerima nilai subsidi yang sama.

"Contohnya pada Julai 2014, bagi setiap liter RON95, kerajaan memberikan subsidi RM0.6843 seliter," katanya sambil menjelaskan yang kaya menggunakan kuantiti minyak jauh lebih banyak berbanding yang miskin.

"Mereka yang miskin menggunakan kereta Kancil, setelah mengisi tangki mereka penuh dengan RON95, jumlah subsidi yang diterima hanyalah sekitar RM16.29.

"Mereka yang datang dari kelas menengah pula menggunakan Toyota Camry dan membelanjakan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah RM48.87, yang mana tiga kali ganda lebih besar daripada yang miskin tadi," katanya.

Lokman Noor berkata berdasarkan kajian Kementerian Kewangan, kerajaan membelanjakan 70 peratus daripada nilai subsidi untuk membantu golongan kaya dan hanya 30 peratus subsidi yang diberikan dalam bentuk RON95 dan diesel yang dinikmati golongan sasaran.

Pada masa sama, di bawah sistem subsidi pukal warga asing yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Setiap hari terutamanya di hujung minggu, katanya, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia turut bocor kepada kenderaan Singapura, selain ia diseludup ke Thailand dan Filipina serta dijual di perairan antarabangsa.

"Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian daripada kerajaan kepada rakyatnya. Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang.

"Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing," katanya.

Kes JANS: 3 kena 37 tuduhan babit RM61.57 juta

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Selepas menjalankan siasatan selama hampir tiga bulan membabitkan jumlah dokumen sehingga setinggi bangunan dua tingkat dan hampir 100 individu dirakam percakapan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa bekas Pe­ngarah Jabatan Air Sabah, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, bagi kesalahan menyeleweng dana infrastruktur air negeri.
 
Pendakwaan di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad di Mahkamah Sesyen di sini itu mendapat tumpuan apabila isteri Awang Mohd. Tahir iaitu Fauziah Piut, 51, dan bekas timbalan pengarah jabatan itu yang telah bersara, Lim Lam Beng, 62, turut didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram.
 
Awang Mohd. Tahir sebagai tertuduh pertama berdepan de­ngan 12 pertuduhan iaitu memiliki secara haram sebanyak RM56.9 juta yang ditemukan di rumah dan keretanya
serta di dalam akaun bank, beberapa kenderaan mewah dan 86 utas jam tangan mewah.
 
Beliau dan isteri didakwa me­lakukan kesalahan itu di Graceville, Sembulan pada Oktober lalu.
 
Sementara itu, Fauziah yang ditahan oleh SPRM semalam berdepan dengan 19 pertuduhan iaitu kesalahan memiliki secara haram wang sebanyak RM2.2 juta di dalam akaun bank di Sabah dan Semenanjung termasuk lebih RM600,000 dalam unit pelaburan dan 93 utas beg tangan daripada pelbagai jenama terkemuka di rumah mereka pada Oktober serta November lalu.
 
Selain pertuduhan individu, pasangan suami isteri berkenaan turut dituduh atas dua kesalahan iaitu secara bersama memiliki sebanyak 921 jenis pelbagai barang kemas dan barangan mewah yang tidak dinyatakan nilainya di lokasi sama pada bulan Oktober.
 
Dalam pada itu, Lam Beng yang juga merupakan bekas penasihat kewangan di Kementerian Kewangan negeri berdepan empat pertuduhan memiliki kereta mewah dan wang tunai secara haram berjumlah RM2.38 juta di beberapa lokasi pada Oktober serta November lalu.
 
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dan bagi pertuduhan individu, mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
 
Pertuduhan bersama antara Awang Mohd. Tahir dan isterinya pula dibuat mengikut akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
 
Selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Ummu Khaltom memberi kebenaran Awang Mohd. Tahir diikat jamin sebanyak RM10 juta dengan dua penjamin, isteri­nya sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin dan Lam Beng seba­nyak RM1 juta oleh dua penjamin.
 
 

Ezam sah keluar PPBM

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengesahkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selepas kurang daripada tiga bulan menyertai parti tersebut.
 
"Ya, betul," katanya dipetik Malaysiakini. 
 
Terdahulu, portal Free Malaysia Today yang memetik sumber melaporkan, Ezam memaklumkan perkara itu kepada setiausaha agung PPBM dalam suratnya.
 
Menurut sumber portal itu, Ezam mengambil tindakan berkenaan kerana kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina Saadudin, diturunkan daripada jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.
 
Namun Ezam menafikan sebeb pengundurannya ada kaitan dengan masalah dalaman parti. Beliau sebaliknya berkata mahu menumpukan perhatian kepada NGO antirasuah Hisbah yang dipengerusikannya.
 
Katanya, mesyuarat tahunan lembaga pengarah Hisbah juga memintanya menjadi tidak partisan dalam menumpukan perhatian kepada kemelut 1MDB dan dakwaan berkaitan Felda.
 
“Atas sebab itu saya secara rasmi hantar surat undur diri dari PPBM kepada setiausaha agung.
 
“Tidak ada sama sekali soal masalah dalaman parti. Saya tidak pernah terlibat dalam pimpinan parti sama sekali dan saya tidak mahu dilibatkan,” katanya.
 
Untuk misi antirasuah melalui Hisbah itu, kata Ezam lagi, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk PPBM.
 
Ezam berkata telah menghantar surat pengundurannya seminggu lalu.
 
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PPBM yang dihubungi Antarapos petang ini berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan perkembangan itu.
 
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh ketika ditanya perkara itu hanya menjawab 'Maaf, tiada maklumat'. 
 
Ini adalah kali ke-2 PPBM berdepan dengan 'pengunduran' ahli selepas kali pertama oleh Datuk Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.
 
Untuk rekod, Ezam menyertai PPBM pada 13 Oktober lalu, selepas mengumumkan keluar Umno pada 2 Oktober.
 
 

PAS sambut baik gencatan senjata di Syria

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM : PAS mengalu-alukan perkembangan positif proses gencatan senjata yang dipersetujui di kalangan pihak yang bertempur di Syria.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera.
 
“Kesejahteraan rakyat awam perlu dikembalikan segera, dan pada masa yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini.
 
“Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
 
Menurutnya lagi, umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.
 
“Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam.
 
“Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah.
 
"Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman di kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka,” katanya lagi.
 
Tambah Abdul Hadi, apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara, maka baharulah isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku dapat disiasat seterusnya diambil langkah sewajarnya.
 
Turki dan Rusia bersetuju dengan gencatan senjata untuk seluruh wilayah yang dilanda konflik bermula 28 Disember lalu.
 
 

PKR jangan berperangai seperti Amanah - Mohd Amar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan parti itu berpendirian tidak mengamalkan budaya tikam belakang, terutamanya dalam menjalinkan persahabatan bersama rakan sekutu politik.
 
Justeru ujarnya atas dasar sama, PAS ingin mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menjalinkan persahabatan politik dengan parti itu untuk menghormati dan jujur dengan pendirian yang dipegang parti itu.
 
"Sahabat kita, baru atau lama, duduk elok-elok dengan kita. Terutamanya PKR. Nak berkawan dengan Amanah boleh, tapi jangan berperangai seperti Amanah. Kena jaga, terutamanya di Kelantan.
 
"Kita sejak dari dulu hingga kini, tidak pernah sekali pun khianati sahabat. Kita tidak suka budaya tikam belakang. Kalau nak tikam, tikam depan-depan," katanya dipetik Sinar Harian.
 
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Karnival Ekonomi Anak Muda Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
 
Menurutnya, PAS telah berkali-kali dikhianati iaitu semasa berada di dalam BN dan ketika menjalinkan persahabatan dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum ini.
 
Beliau juga memberitahu, malah Pas bukanlah 'tangga' untuk batu loncatan mana-mana pihak sehingga parti itu dilupakan apabila sudah sampai ke atas puncak.
 
"Bila sampai atas, lupakan tangga yang naik tadi. Kena ingat, tidak selamanya kita berada di atas, satu masa mesti kita mahu turun. Masa itu, tangga juga yang dicari nanti," katanya.
 
 

Eagle High: Siapa Sondakh Kepada Najib?

PADA mulanya saya tidak bercadang menambah apa-apa lagi kepada apa yang telah saya tulis mengenai urusan jual-beli luar biasa yang membabitkan Felda/FGV dan Rajawali Group sejak tahun lalu.

Kalau pembaca berminat boleh rujuk tampalan bertajuk “FGV Bayar Mahal Kepada Sondakh” pada 13 Jun 2015 di pautan ini.

Berkenaan silap mata korporat memindahkan pembelian 37 peratus saham ladang Eagle High (helang tinggi) daripada Felda Global Ventures (FGV) kepada sebuah anak syarikat Felda lain bernama FIC Properties Sdn Bhd, saya rasa komen Pengerusi CIMB, (Datuk Seri) Mohd Nazir Abdul Razak, lebih daripada memadai.

Sebagai orang korporat dan adik Perdana Menteri sendiri, saya yakin kebimbangan beliau adalah berasas. Nazir mahu Felda memberi justifikasi mengapa ia membayar harga yang rata-rata dianggap terlalu tinggi dan tidak mencerminkan realiti pasaran serta potensi aset.

FeIda membayar AS$505.4 juta (kira-kira RM2.3 bilion) atau tiga kali lebih mahal daripada harga purata 2015. Saya yakin tidak ada siapa pun akan menentang pembelian oleh Felda jika harganya berpatutan, selari dengan pasaran dan telus.

Peter Sondakh: Sahamnya naik tapi FGV turun

Anehnya, boleh kata semua urusan jual-beli oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia yang membabitkan Kumpulan Rajawali dan taukenya, Peter Sondakh, diselubungi misteri dan keluarbiasaan.

Misteri Rajawali

Banyak cerita saya dengar, termasuk daripada pembahas blog ini, yang memberi maklumat atas dasar sulit & persendirian mengenai pertalian di antara Najib dengan Sondakh.

Ada sesetengah maklumat itu memang saya pun tidak berani menyiarkannya sekali pun tanpa label P&C kerana terlalu peribadi dan sukar disahkan.

Cuma yang hendak saya tambah kali ini adalah beberapa kebetulan yang sedikit sebanyak menyokong khabar-khabar angin dan kisah misteri yang melibatkan perhubungan Najib-Sondakh.

Fakta-fakta yang akan saya sebutkan di bawah adalah maklumat awam. Sesiapa pun yang berminat dan tekun boleh memperolehnya di domain awam.

Antaranya:

1. Kalau Najib berketurunan Bugis yang buminya Sulawesi, Sondakh pula dilahirkan di Manado, Sulawesi.

2. Jikalau Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953, Sondakh pun dilahirkan pada 23 Julai 1953 juga.

3. Najib beragama Islam dan sering mempamerkan keislamannya di khalayak ramai manakala Sondakh dilaporkan oleh akhbar The Star sebagai pengamal setia agama Kristian.

4. Kebugisan Najib menjadi mutakhir dengan penganugerahan gelaran tertinggi Bugis “I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil” pada tahun 2005.

5. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri pada bulan April 2009, tidak lama selepas itu Sondakh mendapat anugerah gelaran Tan Sri (kehormat) dan muncul sebagai penasihat Najib mengenai Indonesia.

6. Antara kepakaran Sondakh, menurut laporan akhbar The Star pada 23 Jun 2015 adalah menjual-beli syarikat dan membangun semula syarikat yang rugi.

7. Catatan Wikipedia bahasa Indonesia pula berkata, bintang Sondakh menjadi terang apabila berjaya merapati gerakan Orde Baru (New Order) pimpinan Allahyarham Presiden Suharto.

8. Urus niaga terawalnya dengan GLC Malaysia adalah penjualan saham miliknya dalam firma telekomunikasi, Excelcomindo Pratama kepada Telekom Malaysia (TM) pada tahun 2005 dengan harga AS$400 juta (nilai hari ini kira-kira RM1.8 bilion) dan sekali gus menjadikannya antara orang terkaya di Indonesia.

9. Tidak lama selepas penjualan kepada TM, Sondakh mula membeli aset-aset di Malaysia, termasuk aset milik Khazanah Nasional Berhad. Ini sangat menarik – dia jual asetnya di Indonesia kepada Khazanah (melalui TM) dan beli aset-aset Khazanah di Malaysia.

10. Timbul tanda tanya apakah Sondakh lebih menghargai aset-aset Khazanah di Malaysia daripada asetnya sendiri di Indonesia? Apakah penjualan Eagle High kepada Felda juga cara beliau menukar aset mentah yang belum produktif di Indonesia dengan aset matang dan teruji di Malaysia?

11. Antara aset Malaysia milik Sondakh termasuklah Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Four Seasons Resort Langkawi, Pusat Konvensyen Langkawi dan Hotel  St Regis, Langkawi. Hampir  semua aset ini sama ada dibeli daripada Khazanah atau dibangunkan bersama Khazanah dengan kesemua atau sebahagian modalnya diperoleh dari pasaran tempatan.

12. Apakah Sondakh terlibat membantu Najib dengan apa cara jua dalam menangani skandal 1MDB/SRC, khususnya berkaitan misteri "kehilangan" orang yang terbabit langsung dengan skandal itu seperti Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil dan Datuk Suboh Mohd Yassin?

13. Akhir sekali, apakah urus niaga Felda-Rajawali ini ulang tayang kepada skim cepat kaya dan pengumpulan tabung pilihan raya seperti yang berlaku kepada 1MDB dan FGV sebelum PRU 2013?

Kesimpulannya, sebarang penghalusan mengenai urus niaga yang melibatkan Sondakh dan Malaysia tidak lengkap tanpa mendalami apa yang tersurat dan tersirat dalam perhubungan di antara Najib, keluarganya dan Peter Sondakh.

Wallahuaklam. 


Kemurahan Selangor bawa keberkatan

OLEH AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Kemurahan pentadbiran Selangor pimpinan PAKATAN yang memberikan banyak skim bantuan kepada rakyat membuka lebih banyak pintu keberkatan.

Pendakwah bebas, Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, program bantuan diperkenalkan Kerajaan Negeri dari bayi sehingga warga emas berhasil membuat rakyat gembira dan selesa dengan pentadbiran sedia ada.

dsc_0896

“Ambil contoh Selangor, walaupun dihujung 2015 buat unjuran Belanjawannya defisit, sama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Tetapi di hujung tahun 2016 ini rupanya keberkatan Allah buka kepada Selangor, kita ada lebihan RM300 juta. Bahkan Negeri Selangor juga mempunya rizab simpanan tinggi.

“Apabila rakyat gembira, lebih banyak pintu keberkatan terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu forum perdana bertajuk ‘Rezeki Berkat, Keluarga Selamat, Allah Rahmat’ bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Dipengerusikan selebriti terkenal, Sharifah Anis Al-Idrus, forum berkenaan turut disertai Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff.

Forum berlangsung lebih sejam itu antara lain menekankan soal keberkatan dalam mencari rezeki supaya dapat membentuk sahsiah keluarga yang harmoni.

Disamping itu juga, ibu bapa perlu memberikan penekanan terhadap perkembangan anak-anak supaya mengamalkan akhlak Islam bagi mengelakkan mereka mudah terjerumus dalam kancah hiburan melalaikan.
-nR-

Tindakan kunci tayar mulai 1 Sept - DBKL

astro awani


Tindakan kunci tayar mulai 1 Sept - DBKL
Mohd Amin berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan-jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan mengunci tayar kenderaan yang diletakkan sesuka hati sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas bermula 1 Sept.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan-jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan.

Kawasan itu ialah Jalan Masjid India, Jalan Tun Sambanthan (Brickfield), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Bulan, Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Chow Kit, Jalan Kenanga, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Solaris Mont Kiara dan Jalan Klang Lama.

"Pelaksanaan ini dilakukan berdasarkan kajian dan penelitian Pemudah (Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan) DBKL yang mendapati sikap pengguna meletak kenderaan secara tidak bertanggungjawab ini menjadi antara punca utama kesesakan lalu lintas.

"Dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 746,185 kompaun telah dikeluarkan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas, 232,726 kepada kenderaan yang tidak membayar caj parkir serta 4,857 ditunda kerana kesalahan parkir, jadi tindakan lebih tegas perlu diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 di sini hari ini.

Mhd Amin berkata pemilik kenderaan perlu hadir dan menjelaskan bayaran denda berjumlah RM50 dalam tempoh empat jam tayar kenderaan dikunci bagi tuntutan semula sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100 dikenakan.

Pelaksanaan undang-undang itu adalah di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Denda RM2,000 jika guna pembungkusan plastik, polisterin mulai September 2017

ASTRO AWANI


Denda RM2,000 jika guna pembungkusan plastik, polisterin mulai September 2017
Kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 Sept 2017.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata tindakan itu susulan pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi (boleh urai) yang berkuat kuasa mulai Ahad ini.

Beliau berkata kementerian memberi tempoh selama sembilan bulan sebagai usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada warga kota sebelum melaksanakan 100 peratus penggunaan bahan tersebut.

"Dalam tempoh tersebut, kita menyasarkan agar Kuala Lumpur menjadi bandar raya bebas plastik. Saya menggalakkan rakyat agar berhenti menggunakan beg plastik, sila bawa beg anda sendiri apabila membeli-belah," katanya pada sidang media sempena penguatkuasaan penggunaan produk biodegradasi di sini hari ini.

Katanya kementerian telah memaklumkan kepada persatuan peniaga dan pasar malam berhubung pelaksanaan itu selain mendapat kerjasama daripada pembekal produk biodegradasi yang menepati keperluan peniaga dan pengguna.

"Kebiasaannya bahan biodegradasi ini mahal...hasil daripada perbincangan bersama pembekal, mereka telah pun bersetuju untuk menawarkan harga borong yang wajar kepada peniaga-peniaga setanding dengan harga polisterin dan plastik," katanya.

Loga Bala berkata tindakan proaktif kementerian itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman polisterin dan plastik terhadap kesihatan, sekali gus menggalakkan pembangunan industri pengeluaran produk biodegradasi.

Pelancaran penggunaan bahan boleh urai itu telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 3 Jun lepas.

Mengulas mengenai pelaksanaan undang-undang itu, rakan kongsi Restoran Chat Masala Brickfields dan Klang, N. Palaniappan berkata restoran itu sedang menggantikan bekas polisterin kepada bekas makanan biodegradasi secara berperingkat.

"Kami faham akan keburukan bekas polisterin itu...jadi kami guna pendekatan gantikan ia dengan bekas mesra alam bagi pengguna.

"Biarpun harga bekas itu lebih mahal berbanding bekas polisterin, kami tak kisah melaksanakannya...harga makanan yang dijual akan tetap sama, margin keuntungan mungkin kurang tetapi kami tidak akan rugi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, restoran itu pernah menerima notis daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi.
 
Sementara itu, peniaga pasar malam di Pantai Dalam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Kadir berkata larangan penggunaan plastik di pasar malam sukar dikawal memandangkan pengguna lebih 'mesra plastik'.

"Mungkin mereka perlu membawa beg kertas atau beg kain sendiri ketika ke pasar malam, implementasi sepenuhnya tetap akan mengambil masa panjang," katanya. -- BERNAMA