KOMENTAR: Tatkala tirai 2012 hampir dilabuhkan, Pakatan Rakyat (PR)
terus membuktikan kemampuan mentadbir negeri-negeri yang diterajuinya
dengan pelbagai kejayaan membanggakan di sepanjang memerintah.
Antara
pencapaian yang dianggap sebagai mercu tanda kejayaan negeri PR pada
2012 termasuklah pengkiktirafan Ketua Audit Negara yang dikepalai Tan
Sri Ambrin Buang terhadap pengurusan fiskal yang baik oleh Kerajaan
Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 yang dibentangkan di
Parlimen pada 15 Oktober lalu, jelas membuktikan pengurusan kewangan di
negeri PR jauh lebih baik meninggalkan negeri ditadbir Umno-BN.
Antara yang mendapat pujian dalam laporan LKAN, kutipan yang
diperoleh Kerajaan Selangor meningkat sebanyak RM62.5 juta berbanding
tahun sebelumnya.
Negeri Selangor turut mencatat sejarahnya tersendiri apabila buat
kali pertama, rizab Kerajaan Negeri itu mencecah lebih RM2.5 bilion.
Selain itu, sambutan rakyat Selangor terhadap pelbagai Agenda
Merakyatkan Ekonomi Selangor oleh Kerajaan Negeri juga semakin
dicemburui Umno-BN.
Sehingga 30 September 2012, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak
RM766,913,379 bagi menjayakan 16 program bantuan atau skim bantuan untuk
rakyat Selangor sejak program tersebut dilancarkan.
Dalam tempoh sama, seramai 166,441 rakyat Selangor dan 1,303,601 isi
rumah menerima pelbagai manfaat dari program-program tersebut.
Antara program yang diperkenalkan, Pemberian Air Percuma, Skim Mikro
Kredit Selangor (SkimSel), Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia
Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Pusat Tuisyen
Rakyat, Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR), Skim Bantuan Tadika
(TUNAS) dan Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKEMBAR) dan lain-lain.
Umno-BN Melawan Dengan Fitnah
Maka,
tidaklah menghairankan apabila Umno-BN semakin menggila menyerang
dengan memfitnah Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan tampuk
pentadbiran negeri terkaya itu kembali ke pangkuan mereka.
Antara tindakan luar kewarasan yang diambil Umno-BN termasuklah
projek pembikinan iklan fiksyen ‘krisis air Selangor’ yang diadakan di
sebuah pangsapuri di Petaling Jaya pada 24 September lalu.
Bagaimanapun tembelang politik tidak bermoral ini terburai juga
setelah beberapa media termasuk TV Selangor sendiri berjaya menghidu
kegiatan tersebut.
Ketika di lokasi penggambaran, TV Selangor sempat diberitahu oleh
beberapa pelakon bahawa mereka dibayar RM50 untuk menjayakan beberapa
adengan yang menggambarkan ‘krisis air Selangor’.
Penggambaran
tersebut juga tampak lucu apabila lori tangki yang kononnya membekalkan
air kepada ‘mangsa krisis air’ itu bukan sahaja tidak membawa hatta
setitik air, malah ‘mangsa-mangsa’ itu sendiri mengambil air paip
sebelum diisi ke dalam baldi-baldi yang dibawa sebagai prop
penggambaran.
Penduduk yang kurang senang dengan tindakan tersebut juga memberitahu
kediaman mereka tidak pernah mengalami gangguan bekalan air seperti
mana yang mahu digambarkan dalam filem fiksyen itu.
Manakala pada Oktober lalu, penduduk Taman Medan Cahaya turut menjadi
mangsa politik kotor Umno-BN apabila mereka diperalat untuk menyertai
demontrasi menuntut 20 meter padu air percuma dari Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun,
Pengerusi Persatuan Penduduk Blok B, Mohamad Fuad Jam Jam dan penduduk
Blok H, pangsapuri terbababit, A Ramlee Yahaya, memberitahu pangsapuri
terlibat sudah menerima bekalan air percuma sejak 2011 lagi.
Selain itu, Mohamad Fuad turut memberitahu sebelum demontrasi
diadakan, persatuannya dimaklumkan penganjur demontrasi, tujuan utama
demontrasi diadakan adalah untuk memprotes penerbitan filem menghina
Nabi Muhammad SAW sekaligus menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk.
Politik Ganas Berleluasa
Oleh kerana tekanan memuncak untuk kembali berkuasa di negeri PR dan
mengekalkan kuasa di Putrajaya, Umno-BN berterusan menggila dengan
bertindak ganas bagi menghalang kemaraan PR.
Beberapa
insiden ganas melibatkan serangan penyokong Umno-BN terhadap penyokong
PR di tapak ceramah samada di Selangor mahupun di negeri-negeri lain
turut menjadi antara topik hangat diperkatakan di sepanjang 2012.
Terbaru, dalam kejadian di Negeri Sembilan, Ketua Penerangan Anak,
Naraza Muda cedera di bahagian kepala dan pengsan selepas dipukul dengan
sebatang kayu tajam oleh penyokong Umno-BN dalam Konvoi Kembara Oren
pada 23 Disember baru-baru ini.
Manakala, dua penyokong PR turut mengalami kecederaan akibat diserang
dengan satu senjata tajam oleh penyokong Umno-BN dalam ceramah PR di
Gombak pada 4 Disember lalu.
Insiden
keganasan Umno-BN lain yang paling diperkatakan di sepanjang 2012, siri
serangan terhadap konvoi ‘Jelajah Merdeka Rakyat’ termasuk bas ‘Merdeka
Rakyat’ yang dinaiki Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih malang lagi, polis sendiri tidak menunjukkan kesungguhan untuk
mentangani isu keganasan politik ini sekaligus menjadikan ia berlarutan.
Gadai Tanah Rizab Melayu
Selain
bertindak ganas terhadap penyokong parti lawan, Umno-BN juga tidak
segan silu memainkan isu perkauman bagi menakutan pengundi Melayu yang
kononnya bakal kehilangan kuasa politik mereka
Bagaimanapun malang bagi Umno-BN, usaha-usaha mereka tidaklah
mendatangkan kesan maksimum seperti yang mereka harapkan apabila
tindakan ganas itu turut dicemuh masyarakat umum.
Selain itu, tindakan ‘patriotik’ Umno-BN itu juga disia-siakan dengan
pembongkaran tindakan khianat parti tua itu menjual tanah milik
Kerajaan Negeri dan tanah rizab Melayu sendiri.
Di Selangor sahaja, dari 1999 hingga 2008, dianggarkan tidak kurang
24 Lot tanah milik Kerajaan Negeri dianggarkan bernilai lebih RM300
juta, yang diperolehi Umno-BN ketika era pentadbiran Umno-BN dijual pada
harga rendah atau bertukar tangan kepada pihak ke-tiga.
Umno-BN juga bijak mengaut keuntungan mudah dengan menyelitkan
kepentingan mereka dalam setiap urusniaga penjualan tanah tersebut
kepada pihak ke-tiga.
Oleh demikian, rakyat Selangor harus bijak membuat pilihan dalam pilihan raya yang bakal diadakan pada 2013 nanti.
Jika dinilai dari segi prestasi, ia bukanlah suatu pilihan sukar buat
rakyat Selangor kerana rekod lebih empat tahun prestasi pentadbiran PR
Selangor dan rekod pentadbiran 55 tahun Umno-BN menceritakan segalanya.