Menafikan bani China yang bermastautan di Tanah Melayu ini
berasal dari Tanah Besar China dan bani India berasal usul dari benua
India adalah satu jenayah sejarah.
Sama seperti menafikan Amerika telah meledakkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagsaki pada 6 dan 9 Ogos 1945.
Menafikan
fakta ini samalah seperti menafikan fakta bahawa dalam perang dunia
kedua 20 juta soldadu dan warga Soviet Union gugur di tangan Nazi
German.
Dalam konteks sejarah penafian sedemikian dipanggil –
revisionist history
– pengubahan sejarah – pemesongan sejarah - atau mengubah fakta sejarah
dengan memberi pandangan baru yang berlawanan dengan fakta sejarah.
Betul
– fakta baru tentang sejarah terus dimunculkan hasil kajian baru yang
dibantu oleh teknologi baru. teknologi membuktikan Peking Man telah
wujud 750,000 tahun dahulu.
Pendatang baru, pendatang lama
Java
Man telah wujud di Pulau Jawa 700,000 tahun dahulu manakala di Lembah
Lenggong - Orang Perak – Perak Man - datuk nenek moyang kepada Sakai dan
Proto Melayu telah merayau-rayau dalam hutan belantara Tanah Melayu
11,000 tahun dahulu.
Ini fakta bukan lebong (tipu). Garam tetap masin walau pun dibalut dan disira dengan gula.
Jika
semua fakta sejarah awal wahid ini telah diterima maka tulisan ini
senang difahami secara tuntas dan jelas. Tidak ada eek … tidak ada oook…
Khalas.
Maka kita kembali kepada tujuan asal kenapa wacana ini
dibuka. Kenapa kita wajib membincangkan kembali agenda pendatang baru
dan pendatang lama?
Wacana ini secara jujur dan terang bertujuan untuk melahirkan negara bangsa.
Semenjak
9 Mei 2018 dengan kemenangan Pakatan Harapan kelihatan jelas naratif
agama, bangsa, pendatang baru dan pendatang lama menjadi berita perdana.
Kuil diserang. Pegawai bomba gugur. Naratif- naratif ini sedang membakar dan memanaskan iklim politik tanah air kita.
Suasana
ini pada hemat saya tidak sihat. Naratif yang sedang ditaburkan ini
sedang meracun fikrah anak semua bangsa. Ianya bukan sahaja akan
menggagalkan niat mendirikan negara bangsa.
Malah berkemungkinan naratif songsang ini akan menjadikan 13 Mei sebagai pesta hari jadi.
Naratif
songsang ini berjaya mara ke hadapan untuk diterima pakai kerana selama
60 tahun minda kita semua - anak semua bangsa – telah dijajah oleh
United Malays National Organisation.
Parti politik yang mengakui
sebagai pejuang Melayu ini telah melakukan banyak pembelotan terhadap
bani Melayu. Manifestasi terbaru daripada pembelotan ini ialah
kemunculan pendatang baru bernama Zakir Naik dan pendatang lama bernama
Dong Zong.
Pada
hemat saya, selama ini kita ini gagal membincangkan secara historikal
dan secara ilmiah serta secara berilmu tentang latar dan adunan untuk
membina negara bangsa.
Hari ini dalam era internet semua perkara
(IOT) - kita tidak boleh lagi menangguhkan perbincangan agenda pendatang
lama dan pendatang baru. Hakikatnya kehadiran lambakan maklumat dan
bahan sejarah membolehkan kita berwacana secara rasional. Kata kunci di
sini ialah rasional.
Ini berbeza daripada cara lama kita berbicara sebelum masuk ke era internet semua perkara.
Juga selama ini kita – bani Melayu, bani China dan bani India terperangkap – dalam penghujahan emosi.
Berhujah
bersama emosi degil yang bebal. Memiliki emosi bukan satu yang salah.
Tanpa emosi kita bukan insan. Tanpa emosi kita bukan manusiawi.
Tetapi
dalam konteks mencari jalan untuk melahirkan negara bangsa kita wajib
pinggirkan emosi. Kita asaskan pebincangan kita secara rasional, ilmiah
dan historikal.
Tapi awas dan waspada dalam era semua benda
internet - kita juga wajib memiliki keilmuan dan kewaspadaan ilmiah
untuk menapis dan menangkis dan mengenepikan fakta yang boleh ditafsir
malah berbentuk fakta walhal ianya hanyalah lebong.
Lebong juga
boleh disalut oleh kajian ilmiah. Lebong ilmiah berbantalkan emosi.
Lebong ilmiah ini hanya satu tujuan untuk mengenepikan sejarah alam
Melayu.
Kata-kata lucah seperti orang Melayu adalah juga
pendatang; kita semua di Malaysia ini adalah pendatang; buktinya ialah
Zahid Hamidi adalah pendatang dari Jawa; Najib adalah pendatang Bugis
dari Sulawesi.
Kenyataan ini adalah kenyataan bangang lagi bodoh. Kenyataan ini berniat jahat.
Kenyataan
ini samalah seperti memberi kenyataan bahawa Mao Zedong yang tinggal di
Beijing adalah seorang pendatang dari Provinsi Hunan yang jauhnya 1,339
kilometer dari kota Beijing.
Fakta membuktikan bahawa Mao
memiliki bahasa loghat yang berbeza daripada loghat dan bahasa di
Beijing. Tetapi satu dunia tahu Mao masih ditakrif sebagai bani China
Walhal Tan Melaka dari Medan yang hanya 970 kilometer dari Melaka tapi tidak pula ditakrif sebagai bani Melayu.
Provinsi
Hunan didiami oleh bani China. Bejing juga didiami oleh bani China.
Medan didiami oleh bani Melayu. Melaka didiami oleh bani Melayu.
Kenapa yang tinggal di Medan bukan bani Melayu?
Apa
yang saya utarakan adalah hujah ilmiah lagi rasional untuk menepis
sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Melayu juga pendatang di Tanah
Melayu ini. Amin.
Siapa pendatang dan siapa anak watan wajib
difahami dengan jelas. Bila perkara ini telah difahami mari kita beralih
ke babak ke dua.
Ini babak pendek. Babak dengan pertanyaan – kenapa dan bagaimana bani China dan bani India meluru masuk ke Tanah Melayu?
Jawabnya
jelas bani China dari Tanah Besar China dan bani India dari benua India
meluru masuk ke Tanah Melayu untuk menjadi buruh.
Buruh ini diperlukan dalam sistem ekonomi kapitalis Inggeris untuk menjarah kekayaan bumi Tanah Melayu.
Sebelum
berundur Inggeris telah menyediakan boneka politik untuk mengambil alih
kuasa. Budak suruhan Inggeris ini diberi nama United Malays Natioanal
Organisation.
Parti politik ini - lebih tepat lagi budak suruhan
tajaan Inggeris ini melakukan pembelotan terhadap kepentingan menyeluruh
bani Melayu.
Justeru pembelotan inilah yang membolehkan pendatang
masuk dan terus bermastautin di Tanah Melayu. Tidak cukup dengan
pembelotan di Semenanjuang pada tahun 1957 - pada tahun 1965 Singapura
terpisah dari ibu kandung Semenanjung.
Pembelotan parti Ketuanan
Melayu ini berbeza dengan sikap Parti Komunis China. Parti Komunis China
terus menerus mengakui bahawa Taiwan adalah sebahagian dari wilayah
China.
Walau pun pesisir pantai terdekat antara Tanah Besar China dengan Taiwan ialah 220 kilometer.
Bayangkan
betapa dekatnya Singapura dengan Semenajung. Jika kita berkompang di
Stulang Laut akan kedengaran bunyi kompang Johor di Woodland.
Ini satu bukti yang sahih bagaimana United Malays National Organisation telah belot menjual Singapura kepada pendatang.
Untuk
menghalalkan kemasukan pendatang sebelum 1965 bani Melayu didodoikan
dengan apa yang dihebohkan, dengan apa yang dipanggil - kontrak sosial.
Ini dikatakan – perjanjian sosial - antara anak watan Tanah Melayu dengan pendatang asing.
Kontrak sosial apa? Perkataan kontrak yang diketahui oleh bani Melayu pada ketika itu ialah - kuli kontrak.
Hakikatnya
mengenai kontrak sosial pandangan bani Melayu tidak diambil. Malah
mereka tidak tahu apa pun yang berlaku. Bani Melayu tidak ditanya. Tidak
dirujuk.
Ini
sama seperti Inggeris menukar nama Kwantung kepada Canton. Tanpa
persetujuan anak watan Kwantung. Menukar nama Mumbai kepada Bombay tanpa
persetujuan anak watan Maharashtra.
Menukar nama Al Khairah kepada
Cairo tanpa persetujuan anak watan Al Khairah.
Pada tahun 2019 ini
anak semua bangsa wajib diberi tahu bahawa tidak ada rujukan, tidak ada
pungutan suara, tidak ada referendum yang bersangkutan dengan
perjanjian kontrak sosial ini.
Semua ini hanyalah lebong United
Malays National Organisation, elit Melayu dan kaum feudal Melayu. Tiga
kumpulan ini telah berkomplot menipu dan menjual kepentingan bani
Melayu.
Parti nasionalis Melayu, parti kiri – Parti Komunis Malaya
telah diharamkan. Cadangan dan usul mereka tentang rupa bentuk negara
bangsa di Tanah Melayu yang merdeka telah tidak dipedulikan.
Pemimpin nasionalis dan orang kiri yang tidak ke hutan angkat senjata melawan Inggeris telah ‘disikat’ dan masuk penjara.
Kontrak
sosial tanpa rujukan dengan anak watan Tanah Melayu sabenarnya satu
pembelotan yang paling besar dilakukan oleh United Malays National
Organisation terhadap bani Melayu.
Pembelotan ini hanya satu
tujuan sahaja. United Malays National Organisation membelot – menjual
hak Melayu - untuk mendapat kuasa daripada kolonial Inggeris. Parti
Ketuanan Melayu ini mahu menjadi pengganti Inggeris.
Sementara
itu, kaum feudal yang makan tanggung dan berak cangkung tidak tahu satu
habuk. Kaum feudal yang memiliki kesetiaan adat istiadat Melayu dan
faham erti bangsa dan watan Melayu seperti Datuk Bahaman, Datuk Sagor,
Maharaja Lela atau Tengku Yusoff telah dibunuh atau dihalau dari Tanah
Melayu.
Inggeris menjanjikan makan tanggung berak changkung dengan
gaji yang lumayan kepada kaum feudal. Untuk menipu dan menggula-gulakan
bani Melayu dikatakan bahawa Raja Melayu ini adalah kepala agama Islam.
Apa makna kepala agama Islam ini tidak ada siapa
yang tahu. Guru Nanak pun tidak mengetahui apa kaitan Raja dan Sultan
Melayu dengan Islam.
Kaum agamawan yang sedar akan
tanggung jawab mereka telah dipinggirkan. Mereka mempersoalkan kenapa
diterima pendatang asing untuk menjadi warga Tanah Melayu.
Justeru sampai ke hari ini kita ada terdengar sayu-sayu bunyi ucapan pemimpin Parti Islam PAS yang mempertikakan konsep
jus soli.
Apakah
tulisan saya ini ungkit mengungkit. Jawabnya tidak. Ini bukan ungkit
mengungkit. Bangsa Yahudi menimbulkan hak mereka yang terpendam selama
2000 tahun dahulu di Palestin.
Bangsa Maori di New Zealand makin
lantang bersuara untuk merampas kembali naratif sejarah mereka.
Bagaimana pendatang masuk telah kita ketahui. Ini hanya babak pertama.
Babak kedua tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.