SHAH ALAM: PKR perlu menjelaskan mekanisme pelantikan Menteri Besar
atau Ketua Menteri secara lebih terperinci agar kedua-dua parti komponen
di dalam Pakatan Rakyat itu boleh menerima sebarang keputusan bersabit
isu menggantikan Menteri Besar Selangor.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis
Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata,
PKR harus sedar Selangor bukan dipimpin secara tunggal oleh parti itu.
"Apa juga perjanjian itu, jika ada satu perjanjian bertulis (yang
rasmi), itu lainlah. Tetapi jika tidak ada (perjanjian) termasuk
persefahaman nak tukar MB...Mungkin persefahaman nak melantik MB ada,
tetapi persefahaman nak ganti MB tidak ada.
"Mengikut undang-undang tubuh, MB mesti mendapat sokongan majoriti ahli
Dewan. Soalnya apakah Khalid sudah tidak mendapat sokongan majoriti
ahli Dewan?
"Kemudian perkenan Tuanku. Yang tersuratnya begitulah jika mengikut
undang-undang," demikian menurutnya ketika dihubungi Antarapos, hari
ini.
PKR hari ini mendesak PAS menghormati mekanisme pelantikan Menteri
Besar dan Ketua Menteri yang disahkan oleh Pakatan Rakyat (PR).
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution
menggesa PAS untuk menerima keputusan parti itu mencalonkan Datuk Seri
Dr Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim.
Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang menyatakan sokongannya terhadap Khalid untuk kekal bagi
jawatan nombor satu di negeri itu dengan alasan beliau bebas dari
sebarang skandal dan rasuah.
Rabu lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat akur terhadap hak PKR menentukan calon menteri
besar.
Mengulas hal yang sama, Mustafa berpendapat tidak ada salahnya lontaran
Hadi terhadap Khalid yang melihat isu itu dari segi kesejahteraan dan
keutuhan kerjasama ketiga-tiga parti tersebut di Selangor.
Dalam masa yang sama beliau tidak menolak kemungkinan Khalid akan
menyertai PAS sekiranya merasakan dirinya bersih daripada segala dakwaan
kepimpinan partinya sendiri.
"Jika PAS dan PKR masing-masing bertegas dengan pendirian, sudah pasti
apabila PKR gagal mendapat penyelesaian bersama PAS, sudah pasti berlaku
keretakan PR di Selangor. Berkemungkinan Khalid menyertai PAS.
"Tidak mustahil. Jika Khalid merasakan tidak bersalah, beliau ada
maruah dan mengapa beliau mesti akur kepada perkara dimana pihak lain di
dalam parti ada tujuan tertentu. Khalid juga kita kena ingat, beliau
ada sokongan," katanya lanjut.
Saifuddin turut berkata mekanisme yang diguna pakai pada mesyuarat
Pakatan yang lalu adalah sama yang digunakan dalam pelantikan Menteri
Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri pimpinan Pakatan di Pulau
Pinang, Kedah dan Kelantan sebelum ini.
No comments:
Post a Comment